Saturday, 4 August 2018

Cerita Pendek Kumpulan Primat Melintas Jalanraya Dengan Selamat



Memerhatian Kecekapan Spesies Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque) Melintas Jalanraya Dengan Selamat.

Lokasi: Genting Sempah menghala ke Genting Highland.
Tarikh: 31 Julai 2018.
Masa :3:00 p.m
Keadaan Cuaca: Cerah dan terang.
Tempoh Pemerhatian : 30 minit.




Sepanjang saya menggunakan jalanraya dan mengembara disegenap pelusuk Malaysia belum pernah sekalipun, saya terjumpa bangkai spesies Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque) yang menjadi mangsa " Langgar Lari ". Padahal saya kerap melihat mereka secara berkumpulan berjalan mundar mandir dan melintas diatas jalanraya. Apakah puncanya atau rahsia spesis Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque) tidak menjadi mangsa "Langgar Lari" sepertimana haiwan-haiwan lain.? Buat pertama kali saya berkesempatan membuat pemerhatian satu kumpulan yang terdiri daripada 11 individu Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque) yang sedang bersiap sedia untuk melintas jalanraya di Genting Sempah.




Jalanraya di Genting Sempah menuju ke Genting Highland itu mempunyai 2 lorong naik dan 2 lorong turun, termasuk ruang bahu jalan pada kiri kanan jalanraya. Di tengah jalanraya terdapat ruang dan pagar besi sebagai pembahagi jalan. Jarak jauh antara permulaan dibahu jalanraya disebelah kiri, hingga ke penghujung bahu jalan di sebelah kanan, dianggarkan lebih kurang 40 meter panjang. Jarak itu merupakan satu jarak yang agak jauh bagi seekor haiwan untuk menyeberang jalan. Semasa kejadian keadaan lalu lintas jalanraya agak sibuk dengan kenderaan dari pelbagai jenis kenderaan.



Mereka berkumpul dibahu jalan, dengan diketuai oleh Induk Jantan, yang berada paling hadapan sekali pada bahu jalan. Ia memerhatikan semua kenderaan melepasi dihadapan mereka satu persatu. Induk Jantan sanggup menunggu sehingga rantaian kenderaan menjadi terputus untuk ia bertindak berlari untuk menyeberang jalan. Pada ketika itu jarak antara Induk Jantan dengan sebuah kenderaan yang sedang bergerak , dianggarkan sejauh 60 meter. Semasa Induk Jantan berlari melintas jalan beberapa ekor berok lain turut juga mengekorinya secara serentak beriringan menuju kebahagian tengah pembahagi lalu berhenti disitu. 




Disana mereka menunggu lagi sehingga rantaian kenderaan terputus, maka barulah mereka berlari menyeberang dengan selamat keseberang jalan. Manakala beberapa ekor Berok yang masih belum sempat melintas jalan, dilihat menggunakan kaedah yang sama, sepertimana yang dilakukan oleh Induk Jantan tadi. Ini termasuklah berok betina , berok remaja dan beberapa ekor berok juvana. Memandangkan keadaan lalu lintas agak sibuk pada ketika itu, maka sebahagian kumpulannya terpaksa memberhentikan niat mereka lalu terpisah buat sementara. Sejurus terpisah, kumpulan itu dilihat naik semula keatas tebing jalan dan menunggu sambil melakukan pelbagai aktiviti mereka ditepi hutan berhampiran.




Maklumat Pemerhatian Berok Kentoi~Macaca arctoides Stump-tailed Macaque Yang Dilakukan oleh Saudara Syamil Abdul Rahman  dari Perlis Nature And Wildlife. 

Bagi spesies Berok Kentoi~Macaca arctoides Stump-tailed Macaque di Wang Kelian Perlis pula, cara mereka melintas jalan lebih kurang sama dengan cara Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque). Induk jantan akan berada dibahu jalan secara bersendirian sambil memerhatikan keadaan lalu lintas kenderaan. Setelah keadaan jalan telah lenggang dari kenderaan dan percaya keadaan telah selamat maka,  Induk Jantan akan memberi isyarat mata kepada kumpulannya yang berada dicelah-celah rimbunan tumbuhan ditepi jalan untuk segera melintas jalan. 




Kumpulan Berok Kentoi~Macaca arctoides Stump-tailed Macaque akan  berlari secara beramai-ramai dengan serentak ke seberang jalan. Induk Jantan akan menunggu dibahu jalan sehingga semua kumpulannya selesai menyeberangi jalan. Setelah ia pasti semua ahli kumpulannya selamat menyeberang barulah Induk Jantan akan berjalan menyeberang lalu masuk ke dalam hutan berhampiran. Apa yang terpuji dan menarik di laluan Wang Kelian ini, ialah pemandu-pemandu  disini, akan segera memberhentikan kenderaan mereka  apabila melihat kumpulan Berok Kentoi~Macaca arctoides Stump-tailed Macaque melintas jalan. Seperti telah menjadi satu budaya kepada semua pengguna jalanraya disini untuk memberi laluan kepada spesies Berok Kentoi. Sebab itu belum ada lagi kes Berok Kentoi~Macaca arctoides Stump-tailed Macaque menjadi mangsa "Langgar Lari" di Wang Kelian. Sikap ini harus dicontohi oleh semua pengguna jalanraya di Malaysia.




Pemerhatian Lotong Chenekah ~Presbytis melalophus Sedang Melintas Jalan.

Lokasi: Taman Melawati.
Tarikh: 19 Julai 2018.
Masa :6:30 p.m
Keadaan Cuaca: Mendung.
Tempoh Pemerhatian : 15 minit.

Keadaan berbeza pula, ketika saya membuat pemerhatian Lotong Chenekah ~Presbytis melalophus yang sedang melintas jalan. Pemerhatian kejadian itu berlaku pada 19 Julai 2018 jam 6:30 petang disebatang  jalanraya di Melawati, Kuala Lumpur. Ketika pemerhatian itu dilakukan seekor Lotong Chenekah ~Presbytis melalophus sedang berada diatas pokok  ditengah pembahagi jalan. Dari atas pokok Lotong Chenekah ~ Presbytis melalophus itu meninjau kenderaan yang datang menghala ke hadapan ditempat ia bercadang untuk melintas jalan. 




Pada ketika itu terdapat 5 buah kenderaan melintasi jalan tersebut dengan laju. Selepas sahaja 5 buah kenderaan itu melintas dihadapannya, Lotong Chenekah ~ Presbytis melalophus itu turun dari atas pokok untuk menyeberang jalan secara tergesa-gesa. Kebetulan datang lagi 2 buah kenderaan pada jarak lebih kurang 70 meter. Lalu dengan pantas Lotong Chenekah ~ Presbytis melalophus naik semula memanjat keatas pokok.




Ditinjaunya lagi keadaan lalu lintas dari atas pokok sambil matanya memandang disekelilingnya seperti dalam keadaan tertekan. Setelah diperhatikan tiada kenderaan, diberanikan dirinya turun dan dengan sertamerta ia berlari pantas menyeberang jalan dengan selamat. Sampai diseberang ia  terus memanjat pokok yang tumbuh disepanjang jalan dan menghilangkan diri. Hal keadaan ini memberi kesimpulan bahawa Lotong Chenekah ~ Presbytis melalophus dilihat seperti ia lebih mudah merasa cemas dan tertekan berbanding dengan Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque). Ia juga agak kurang mahir menentukan jarak kenderaan dan kelajuan kenderaan sepertimana Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque).




Ringkas  pemerhatian ini sedikit sebanyak telah memberi saya sedikit pandangan , buah fikiran dan hujah kepada kejadian Langgar Lari yang kerap terjadi kepada Hidupan Liar. Secara ringkasnya, ini telah membuktikan bahawa spesies Berok ~ Macaca nemestrina (Pig Tailed Macaque)  mempunyai keupayaan mengenal tahap bahaya dan bentuk bahaya yang bakal mendatangkan ancaman kepada mereka. Dari situ mereka berupaya menjangka atau bersiap sedia bertindak untuk menyelamatkan diri.




Spesies ini berupaya mengawal keadaan cemas yang bakal datang kepada mereka. Mereka dapat mengagak kedudukan jarak selamat dengan kepantasan kenderaan yang datang menghala kearah mereka. Bermakna tahap intelektual secara semulajadi spesies ini datang hasil daripada pengamatan mereka sendiri tanpa perlu diajar oleh sesiapa. Dalam ertikata lain, mereka berupaya belajar dengan sendiri mengikut suasana dan keadaan.



Faktor bentuk tubuh , ketangkasan dan kedudukan mata penglihatan mereka juga dipercayai banyak membantu mereka melihat apa sahaja bentuk ancaman. Berbanding dengan spesis hidupan liar yang lain seperi Biawak, Kura-kura, Ular, Musang dan Kucing.

Nota Penghargaan Dan Terima Kasih.

Maklumat Pemerhatian Berok Kentoi~Macaca arctoides (Stump-tailed Macaque) adalah dilakukan oleh Saudara Syamil Abdul Rahman  dari Persatuan Perlis Nature And Wildlife. Beliau adalah aktivis Hidupan Liar dan Alam sekitar di negeri Perlis. Sedang membuat kajian dan mengumpul maklumat terhadap Spesies Berok Kentoi~Macaca arctoides Stump-tailed Macaque. Maklumat pemerhatian beliau itu, telah dikongsi serta disampaikan secara lisan kepada saya  ketika pertemuan pada tahun 2017 dahulu. Diucapkan terima kasih atas segala maklumat  pemerhatian itu. Wasalam.

Monday, 30 July 2018

Selamatkan Kelicap Madu-kecil~Arachnothera longirostra ( Little Spiderhunter ) Dari Dimakan Kucing


Selamatkan Kelicap Madu-kecil~Arachnothera longirostra ( Little Spiderhunter ) Dari Dimakan Kucing.



Pada Julai 2018 anak saya telah terjumpa sekor burung Kelicap Madu-kecil~Arachnothera longirostra ( Little Spiderhunter ) yang tidak berupaya terbang dengan sempurna. Burung itu melompat meronta-ronta dan terbang kemudian jatuh ketanah. Berhampiran dengan burung itu ada 2 ekor kucing domistik yang sedang memerhatikan burung tersebut. Tidak dapat dipastikan sebab apa burung  tersebut terbang-terbang kemudian jatuh ke tanah.








Memandangkan keadaan tersebut bakal mengundang bahaya kepada burung, kebarangkalian   akan dimakan oleh kucing-kucing tersebut adalah tinggi. Maka anak saya pun pergi menangkap. Dengan mudah sahaja burung itu ditangkap dan dibawanya kepada saya. Saya membuat pemeriksaan luaran sepertimana Prof Dr.Jalilah Universiti Pertanian Malaysia lakukan dahulu. Saya mendapati tidak terdapat sebarang kecederaan berlaku kepada kedua belah sayapnya. 




Cuma terdapat sedikit luka kecil dibawah mata sebelah kanan burung tersebut. Selaput alis mata burung disebelah kanan kerap tertutup berbanding mata sebelah kiri. Ada kemungkinan burung ini mengalami kecederaan pada kita. Mungkin yang menyebabkan dia tidak berupaya terbang dengan sempurna adalah kerana ia kurang imbangan pemandangan. Memandangkan pada ketika itu kami sekeluarga bercadang menghantar anak saya pulang ke Universiti di Bistari Jaya. 




Maka saya membuat keputusan membawa burung untuk memberi ia rehat serta perlindungan sementara daripada ancaman bahaya dari dimakan oleh kucing. Dalam perjalanan saya membeli sebatang madu lebah untuk diberikan kepadanya sebagai penambah tenaga. Konon-kononnya berharap dapat memulihkan tenaga kekuatan atau pulih sedikit demi sedikit sebelum boleh terbang dengan sempurna. 



Ketika berada didalam kereta, pada awalnya burung itu merasa tertekan dimana ia cuba terbang didalam kereta. Lama kelamaan ia mulai tenang bertenggek pada jari anak saya. Sepanjang perjalanan ke Bistari Jaya ia hanya bertenggek diam sahaja. Saya membawa kesuatu tempat yang menyamai dengan habitat kebiasaan spesies ini dijumpai dan melepaskannya disitu. 



Sejurus dilepaskan ia terus terbang dengan sempurna dan hilang dari pemandangan. Pada mulanya berniat untuk melepaskan ditempat saya menyelamatkannya. Khuatir juga berkemungkinan burung itu ada mempunyai anak didalam sarang yang hendak dijagainya. Tetapi memandangkan pada saat itu saya telah bersiap untuk ke Bistari Jaya. 




Berharap burung Kelicap Madu-kecil~Arachnothera longirostra ( Little Spiderhunter ) tidak mempunyai tanggung jawab sepertimana yang saya bayangkan. Keutamaan pada ketika itu hanyalah untuk menyelamatkan nyawa  burung itu daripada ancaman kucing. Wasalam.

Monday, 23 July 2018

Encik Abdul Majid Bin Long ~ Perintis & Penyumbang Ilmu Bidang Ornitologi Semenanjung Malaysia


Encik Abdul Majid Bin Long ~ Perintis & Penyumbang Ilmu Bidang Ornitologi Semenanjung Malaysia 



Buku Burung-burung Di Semenanjung Malaysia~G.C Madoc telah terlihat untuk dilelong dihalaman internet. Tanpa berlengah  sahabat saya Saudara Raja Ibrahim @ King Miharbi terus memaklumkan tentang buku itu. Sejurus mengetahuinya, saya menaruh harapan yang tinggi supaya buku tersebut akan menjadi milik saya.Mengetahui buku itu mempunyai  kepentingan kepada saya, beliau menggunakan kemahiran berunding dan pengalamannya untuk mendapatkan bagi pihak saya. Diucap berbanyak-banyak terima kasih.




Buku berjudul Burung-burung Di Semenanjung Malaysia adalah terjemahan dari buku bertajuk An Introduction Of Malayan Bird's. Buku Bahasa Inggeris karangan Encik Guy Charles Madoc, terbitan edisi pertama tahun 1943. Buku ini adalah antara buku terawal yang pernah diterbitkan mengenai aktiviti memburung dan kajian  burung di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga menjadi buku rujukan kepada peminat pemerhatian burung   selain buku The Bird's of Malay Peninsular ~ Herbert C Robinson & Frederik N Chesen.








Secara ringkasnya buku ini merupakan buku panduan yang sangat berguna kepada orang awam yang mempunyai minat untuk menjalankan aktiviti memburung. Diterangkan juga panduan asas bagaimana untuk mencari serta mengenal burung yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia. Dalam pada itu penulis ada menceritakan juga, sejarah penemuan dan pemerhatian burung pada tahun-tahun sebelum Semenanjung Tanah Melayu merdeka. 







Ditulis pada zaman yang mengutamakan pemburung untuk melihat, mengingat, melukis, memerhati tabiat dan mencatit perilaku burung dilapangan. Beliau menulis buku ini ketika dipenjarakan oleh tentera Jepun  di Changi Singapura . Ketika itu beliau tidak terfikir langsung aktiviti ini akan berkembang maju meluas menjangkau memasuki kebidang seni fotografi. Dengan perkembangan semasa, kini ramai peminat  burung sudah tidak memerlukan buku panduan seperti ini lagi. Kerana telah digantikan dengan beberapa buku-buku lain yang bersesuaian dengan maklumat terbaharu yang lebih lengkap. Peminat pemerhati burung bukan sahaja menggunakan teropong tetapi ditambah dengan peralatan rakaman yang termaju dan mahal. 




Kini di Malaysia peminat pemerhatian burung sudah kurang melihat, melukis dan melaporkan apa yang mereka perhatikan. Sebaliknya telah diganti dengan memberi tumpuan  melihat kecantikan burung sambil merakam imej burung. Peminat akan ralit memerhati imej-imej burung yang dirakam  pada bila-bila masa dirumah. Itu lah ringkasan perubahan  yang telah berlaku  dalam aktiviti pemerhatian burung di negara ini.






Maklumat yang terkandung dalam buku ini juga sudah cukup lengkap untuk kita memulakan aktiviti memerhatikan burung. Maka tidak perlu lagi saya membuat apa-apa ulasan tentang buku ini. Sebenarnya apa yang hendak saya utarakan  pada sudut mata saya ialah pada satu kenyataan penghormatan. Penghormatan  Encik Guy Charles Madoc bertarikh 23 hb March 1984 yang diberikan kepada Allahyarham Encik Abdul Majid Bin Long dihalaman ruang prelim itu adalah sangat besar ertinya. 







Memang sebelum ini saya juga tidak mengenali Encik Abdul Majid Bin Long, walaupun berulang-ulang kali membaca buku edisi bahasa Inggeris. Namun begitu setelah terbaca namanya dalam buku edisi bahasa Melayu, timbul perasaan  tanda tanya dan ingin tahu. Siapakah orang Melayu ini yang bernama Encik Abdul Majid Bin Long.







Melalui petikan kenyataan Encik Guy Charles Madoc itu, dapatlah mengetahui dan menghuraikan bahawa Allahyarham Encik Abdul Majid Bin Long sentiasa bersama dengannya selama 20 tahun . Selama tempoh itu mereka berdua sentiasa berganding bahu  dalam bidang pemerhatian burung serta perkembangan ilmu bidang Ornitologi. Pengalaman pemerhatian burung selama 20 tahun adalah satu jangkamasa yang sangat lama. Jangkamasa yang begitu lama itu melayakkan sesiapa sahaja menjadi seorang pakar dalam bidang pemerhatian burung.





Walaupun sebagai pembantu, pengalaman selama itu sudah cukup melambangkan bahawa seseorang itu tersangat mahir dan mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan burung secara terperinci dan meluas. Pancaindera mata dan telinga  mereka sangat cekap  mencari  dan mengenal setiap spesies burung. 




Ketagihan dan keseronokan memerhati burung memberikan Ilmu kepada  mereka.  Encik Guy Charles Madoc telah diberi peluang membuktikan kepakarannya dengan menyalur ilmu berkenaan burung dalam bentuk buku. Maka sehingga sekarang beliau telah dikenali oleh segenap lapisan masyarakat dan jasanya dikenang.


But-but Kecil~Centropus bengalensis

Manakala Encik Abdul Majid Bin Long pula  menyimpan ilmu yang diketahuinya itu hanya didalam hatinya sahaja. Maka sehingga ke hari ini tiada siapa yang mengetahui kewujudan dan kepakaran beliau. Secara perinsipnya , berdasarkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh Encik Abdul Majid Bin Long , layaklah ia dinobatkan sebagai perintis pemerhatian dan pembelajaran burung warga tempatan di Semenanjung Tanah Melayu. 


But-but Besar (Terakup)~Centropus sinensis


Walaupun tidak diceritakan perincian setiap peristiwa mereka bersama, tetapi kita semua dapat bayangkan hal keadaan yang sedemikian berlaku pada ketika itu. Ditahun-tahun pemerintahan British 1930an hingga 1950an dapat dibayangkan bagaimana kesukaran Encik Abdul Majid Bin Long menemani Encik Guy Charles Madoc pergi keseluruh pelusuk Semenanjung Tanah Melayu. 




Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarius


Tanpa bantuan warga tempatan seperti Encik Abdul Majid Bin Long yang memang tahu selok belok negerinya sendiri, sudah tentu Encik Guy Charles Madoc akan berhadapan berbagai-bagai kesulitan ketika dilapangan. Menaiki kapal menempuh ombak lautan terbuka luas, pergi ke pulau-pulau dilaut terbuka, menyusuri di tepian pantai, meredah hutan bakau, merentas kawasan paya air tawar, berperahu menyusuri sungai-sungai, memasuki kawasan kampong-kampong pedalaman, pekan-pekan, kawasan taman tanah rendah, berpanas dipadang semak terbuka, meredah hutan tanah pamah dan hutan kawasan tanah tinggi. 







Merbuk Aman~ Geopelia striata

Merbuk Aman~ Geopelia striata


Saya memetik sebuah laporan jurnal dari Malayan Nature Jurnal berjudul A Visit To Gunung Tahan yang dilaporkan oleh Encik Guy Cherles Madoc . Beliau telah menceritakan akan ekspidisi hebatnya yang dilakukan  pada 19 Feb 1959 . Ekspidisi kajian burung-burung hutan tanah tinggi untuk mencari dan melihat burung Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia) di Gunung Tahan. Kita ambil kira perjalanan darat dari Kuala Lumpur  ke Kuala Tahan.


Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopelia chinensis

Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopelia chinensis

Kemudian berperahu dari Kuala Tahan hingga ke Kuala Teku. Berbekalkan kekuatan 17 orang Melayu dengan 5 buah perahu sarat dengan bekalan dan peralatan. Mereka  berperahu mudik sampai ke Kuala Teku. Sepanjang perjalanan kesana mereka terpaksa mengharungi 65 laluan jeram air deras (rapid). Untuk sebuah perahu yang tidak mempunyai apa-apa beban bekalan, memerlukan keupayaan kudrat seramai 10 orang untuk mengangkat perahu melepasi jeram-jeram.


Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopelia chinensis


Dari Kuala Teku mereka memerlukan tambahan 14 orang porter untuk meneruskan ekspidisi mendaki naik ke puncak Gunung Tahan. Diceritakan juga azab menghadapi kepanasan melampau sehingga 50 darjah Fahrenheit ketika melintas dikawasan Padang. Semata-mata untuk mencari burung Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia). Sengsara tidur hanya dengan bertikar diatas lantai tanah. Terperangkap kesejukan , terkena dengan  hujan lebat dan ribut  di kemuncak Gunung Tahan. 




Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus

Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus

Burung Tukang Savana~Caprimulgus affinis


Lokos basah dan menggigil menahan kesejukan yang melampau di kemuncak Gunung Tahan. Itulah yang dilalui oleh Encik Guy Cherles Madoc bersama temannya Encik Abdul Majid Bin Long demi perkembangan ilmu dalam bidang Ornitologi. Walaupun ekpidisi itu dianggapnya gagal kerana tidak bernasib baik untuk bertemu burung Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia), tetapi mereka dapat bertemu dengan burung-burung lain dikawasan tanah tinggi pergunungan.

Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia)

Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia)




Kesumba Tengkuk-merah~Harpectes kasumba

Itu adalah serba sedikit catitan yang dilalui oleh Encik Guy Charles Madoc dengan pembantunya Encik Abdul Majid Bin Long. Begitu susahnya mereka ingin mendapatkan ilmu. Mencari kepada pekara yang belum pasti. Boleh jadi berjumpa dan boleh jadi gagal. Pada  waktu yang sama  terpaksa bekorbanan  berpisah dengan ahli keluarga dan menahan rindu dengan mereka.


Kesumba Tengkuk-merah~Harpectes kasumba


Kesumba Tengkuk-merah~Harpectes kasumba


Persoalannya sekarang, siapakah dikalangan rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam bidang pemerhatian burung , seorang pendidik bidang Ornitologi, pengiat-pengiat Persatuan Burung,  kenal akan nama Encik Abdul Majid Bin Long ? Saya yakin rata-ratanya tiada seorang pun  mengenali beliau kecuali ahli keluarga terdekatnya atau anak cucu kepada Encik Abdul Majid Bin Long.







Pekaka Leher-putih~Halcyon smyrnensis

Memang saya akui, saya juga tidak mengenal Encik Abdul Majid Bin Long sehinggalah terbaca maklumat penghargaan yang ditulis oleh Encik Guy Charles Madoc. Mengapa pekara seperti ini boleh berlaku kepada Encik Abdul Majid Bin Long, sehingga jasanya tidak diketahui oleh warga tempatan. Malah bukan itu sahaja , tidak ada sebarang maklumat berserta bukti sahih tentang dirinya dapat dirujuk atau dibaca. Gambar batang tubuhnya langsung tidak dapat dikesan, disebabkan  tiada sebarang matlumat. Begitulah halnya yang terjadi kepada Encik Abdul Majid Bin Long. 





Rollar Paruh-merah~Eurystomus orientalis

Berbeza pula dengan nasib Encik Ali Wallace pembantu Encik Alfred Russel Wallace yang melalui pengalaman yang sama.  Warga Sarawak yang menjadi teman dan  membantu Alfred Russel Wallace sepanjang tempoh membuat kajian diseluruh kepulauan Melayu. Namun sejurus Alfred Russel Wallace menerbitkan bukunya beliau telah memberi penghormatan dan penghargaan kepada pembantunya Encik Ali Wallace, melalui beberapa artikel dan boleh dirujuk sehingga sekarang.




Apa yang menjadi persoalan kepada saya ialah, mengapa Encik Guy Charles Madoc tidak memberi penghormatan kepada Encik Abdul Majid Bin Long. Sepertimana beliau memberi penghormatan kepada Dr.Moleworth, Encik F.G Allen, En.Gibson Hill dan Dr.Tho Wan Hoe didalam penerbitan buku An Introduction Of Malayan Bird's edisi yang pertama ditahun 1943. 


Takur Tembaga~Megalaima haemacephala

Takur Tembaga~Megalaima haemacephala

Takur Jumbai-berapi~ Psilopogon pyrolophus

Takur Jumbai-berapi~ Psilopogon pyrolophus


4 tahun kemudian  pada tahun 1947 buku ini diulang cetak , diikuti pula tahun 1956 dan 1976. Namanya masih tercicir tidak dimasukkan didalam bukunya sebagai orang yang telah berjasa. Selama tempoh hampir 33 tahun  itu nama Encik Abdul Majid Bin Long telah tercicir didalam buku itu. Selama tempoh itu jugalah  orang yang membaca buku itu tidak mengetahui akan jasa dan kewujudan Encik Abdul Majid Bin Long.





Belatuk Pinang-tua Kecil~Dinopium javanensis (Betina)

Belatuk Pinang-tua Kecil~Dinopium javanensis (Jantan)


Namun begitu setelah 41 tahun berlalu iaitu pada tahun 1984 , Encik Guy Charles Madoc telah menterjemahkan buku edisi Bahasa Inggerisnya kepada edisi Bahasa Malaysia. Buku yang diterbitkan dengan bantuan Persatuan Pencinta Alam telah mendapat sokongan bantuan kewangan dari Petronas.  Maka pada ketika itu, barulah beliau teringat jasa Allayarham Abdul Majid Bin Long. Beliau telah mengambil masa selama   41 tahun untuk mengenang jasa  Encik Abdul Majid Bin Long untuk disematkan didalam buku Burung-burung Di Semenanjung Malaysia.





Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis


Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis


Malangnya buku yang diterbitkan pada tahun 1984 oleh Persatuan Pencinta Alam itu tidak ramai pula yang tahu akan kewujudannya. Lagikan buku ilmiah terbit baharu tidak mendapat perhatian, inikan pula buku terbitan 33 tahun yang lampau.  Sementelah itu pula dengan sifat orang Melayu yang kurang berminat membeli dan membaca bacaan ilmiah, maka sama sahaja statusnya pada Encik Abdul Majid Bin Long, yang masih juga  tidak dikenali oleh khalayak warga tempatan. Kadang-kadang difikirkan, tindakan yang dilakukan pleh Encik Guy Charles Madoc itu ada betulnya juga. 


Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis


Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis

Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis

Samada beliau memberi penghormatan dan penghargaan atau tidak, tanggapan orang Melayu  sama sahaja. Dikalangan orang Melayu tidak dipedulikannya langsung akan pekara remeh seperti ini. Bertambah-tambahlah lagi dengan sifat dan budaya orang Melayu yang memang kurang berminat membaca bacaan ilmiah berbanding membaca bacaan hiburan, khabar angin, mistik dan kisah puaka. Berterusanlah beliau tidak dikenali. Harap-harapnya penerbit ada menghantar senaskah  buku sebagai cenderahati kepada waris Allahyarham Abdul Majid Bin Long di Bukit Kuda Kelang Selangor sebagai tanda ingatan jasanya.





Minivet Dagu-kelabu~Pericrocotus solaris (Betina)

Minivet Dagu-kelabu~Pericrocotus solaris (Jantan)

Minivet Dagu-kelabu~Pericrocotus solaris (Jantan)

Bertitik tolak dari situ lah sejak buku ini diterbitkan 33 tahun lalu barulah sebilangan warga tempatan  seperti saya  mengetahui siapa itu Allayarham Abdul Majid Bin Long. Sepatutnya beliau telah dikenali sudah lama sejak 73 tahun yang lalu. Dari kerana itu , setelah saya mengetahui akan hakikat perkara tersebut, maka menjadi tanggungjawab saya pula untuk memaklumkannya kepada khalayak ramai.






Cemcili Tengkuk-badam~Enicurus ruficapillus ( Betina )

Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama. Walau kasturi tersorok lama, namun harumnya tetap segar, walau intan berlian tertanam dalam tanah kilauannya tetap bersinar-sinar.


Cemcili Tengkuk-badam~Enicurus ruficapillus ( Betina )


Mengapa Encik Guy Charles Madoc mengambil masa begitu lama sejak 1943 sehingga 1984 iaitu selama 41 tahun untuk mengenang jasa Allahyarham Abdul Majid Bin Long?  Hanya dia sahaja yang mengetahuinya.  Sebagai menghormati jasa dan pengorbanan yang besar oleh Guy Charles Madoc dalam bidang pemerhatian burung & ornitology adalah molek membuat kenyataan berbaik sangka sahaja diberikan terhadap beliau.



Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

Boleh jadi beliau secara tidak sengaja telah terlepas pandang akan pekara itu. Boleh jadi juga, ada besar kemungkin semasa hayatnya ada, Allayarham Abdul Majid Bin Long telah meninggalkan wasiat supaya jangan sesekali namanya dicatit didalam bukunya itu. Maka Encik Guy Charles Madoc dengan rasa berat hati dan serba salah telah mengotakan apa yang telah diwasiatkan oleh temannya itu 


Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

















Agaknya itulah tanda-tanda sifat orang Melayu dulu-dulu yang berilmu, tidak mahu membangga dan dibangga. Tidak mahu menjulang-julangkan namanya sendiri atau tidak mahu dirinya dikenali ramai. Baginya  Ular menyusur akar bisanya tidak akan hilang. Mengikut rasmi padi, makin berisi makin lah ia tunduk.  Wasalam.


Nota Penghargaan:

Terima kasih dan penghargaan kepada sahabat saya Saudara Mike Chong kerana sudi meminjamkan buku An Introduction Of Malayan Bird's ~ G.C.Madoc miliknya sebagai rujukan perbandingan.


Terima kasih kepada sahabat saya saudara Raja Ibrahim @ King Miharbi  atas ingatan dan kecekapan beliau  lah saya dapat memiliki buku Burung-burung Di Semenanjung Malaysia Karangan Encik Guy Charles Madoc pada Disember tahun 2017.

Rujukan Malayan Nature Jurnal.