Tuesday 27 November 2018

Ilmu Dari Satu Kematian


Ilmu Dari Satu Kematian

Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat 

Semasa berkayuh basikal di kawasan cerun bukit di Taman Melawati, saya terjumpa seekor bangkai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat betina  yang baharu sahaja mati beberapa jam yang lalu, dipercayai akibat kemalangan Langgar Lari. Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat malang ini dipercayai datang dari kawasan cerun bukit, yang  subur rimbun dengan tumbuhan  rumpun buluh. Sebelum ini sudah beberapa kali menjumpai bangkai spesies ini akibat musibah yang sama. Saya banyak mengenali hidupan liar bukan dari pemerhatian didalam hutan, tetapi daripada pemerhatian bangkai hidupan liar  malang yang terlibat dengan kemalangan Langgar Lari.




Memandangkan hal kejadian kemalangan Langgar Lari Hidupan Liar boleh dikatakan berlaku setiap hari, maka jangan di sia-siakan korban itu. Walaupun sedih dengan apa yang terjadi tetapi setiap pekara yang berlaku itu suka atau tidak suka pasti akan ada hikmahnya kalau kita cari. Pendidikan seperti ini tidak sama dengan apa yang kita dapat daripada hasil mentelaah buku. Pemerhatian seperti ini adalah tingkatan yang kedua tingginya  selepas pemerhatian hidupan liar didalam habitatnya.




Selama ini saya merujuk kepada 2 buah buku lama iaitu Mamalia Semenanjung Malaysia ~ Mohammad Momin Khan dan A Field Guide Of The Mamals Of Borneo~ Junaidi Payne, Charles M.Francis & Karen Philips. Berdasarkan adat ilmu pengetahuan yang sentiasa ada maklumat baharu dari masa kesemasa maka saya ingin berkongsi serba sedikit maklumat tentang Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat ini yang tidak tertulis didalam buku tersebut.



Pengenalan

Ciri-ciri khas pengenalan haiwan ini adalah ia mempunyai sepasang gigi kacip yang panjang terletak dihadapan mulutnya.  Panjang 2 batang gigi kacip itu lebih kurang 2 inci panjang pada bahagian atas dan 2 batang gigi kacip bawah yang hampir sama panjangnya dengan yang diatas. Kedudukan gigi kacip bahagian atas menutup gigi kacip bawah. Set Gigi kacip itu berwarna karat besi. Hidupan Liar ini adalah  satu-satunya haiwan yang ada di Malaysia yang mempunyai bentuk Gigi Kacip yang panjang terkeluar dari bahagian mulutnya. Penampilan wajah bahagian mukanya menyerupai American Beaver~Castor canadensis. 




Maka ia sangat mudah untuk dikenali dan  membuat perbezaan antara haiwan-haiwan yang lain. Gigi Kacip yang pipih keras serta tajam itu membantu haiwan ini memakan diet utamanya iaitu batang buluh dan umbut-umbut buloh. Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat hidupnya banyak masa dihabiskan didalam lubang tanah dan akan keluar apabila untuk mencari makan. Pada satu-satu masa ia berupaya melahirkan 2 atau 3 ekor anak.






Dibahagian hidungnya tumbuh bulu-bulu misai hitam yang panjang pada kedudukan yang jarang-jarang. Mempunyai sepasang cuping telinga yang kecil bentuk separuh bulat. Lehernya hampir tidak kelihatan kerana terlalu pendek. Kaki bahagian hadapannya hanya mempunyai 4 batang anak jari pendek yang sama saiz  berserta kuku bentuk runcing. Bentuk bahagian tapak kakinya  adalah seperti tangan manusia dari jenis berkulit lembut yang berwarna putih. 





Manakala kaki bahagian belakang pula mempunyai 5 batang anak jari dengan kuku yang berbentuk runcing juga. Mempunyai bentuk 3 batang anak jari yang sama panjang dan saiz dibahagian tengah dan 2 batang anak jari pendek pada bahagian kiri kanan disisi 3 jari tengah. Bentuk kaki bahagian belakang lebih memanjang daripada bentuk kaki hadapan.



Dibahagian bawah badan berhampiran dengan kaki hadapan terdapat 2  tetek puting susu manakala dibahagian bawah badan berhampiran kaki belakang berhampiran dengan organ jantina pula terdapat 4 tetek puting susu. Mempunyai ekor berkulit tanpa berbulu yang panjangnya dianggarkan 4 ke 5 inci berwarna kehitaman.  Berat anggota badan haiwan dewasa ini dianggarkan 1 kilogram. Ia dipercayai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat betina.




Agak ralat kerana tidak dapat memaksimakan bangkai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat betina dari sudut ilmu. Saya cuma dapat hanya sedikit pengetahuan luaran haiwan ini sahaja. Andaikata saya mempunyai kuasa seperti Profesor di Universiti-universiti tempatan, akan saya nasihatkan semua pengkaji dan pelajar tempatan menjadikan setiap bangkai haiwan hasil dari Langgar Lari dijadikan bahan kajian mereka. 



Contohnya berapa ramai anak tempatan yang mahir dalam bidang kemahiran Awetan Texidermy.? Saya rasa tidak ramai, jikalau ada pun hanya kepada haiwan yang biasa-biasa sahaja. Maka bagaimanakah  mereka boleh jadi mahir sekiranya tidak ada banyak masa latihan. Apakah pelajar di universiti tempatan mendapat latihan dengan mencari hidupan liar yang hidup. Kemudian dibunuh untuk berlatih,  bidang Awetan Texidermy untuk mereka menjadi mahir. Sudah tentu tidak. Sebab itu Muzium-muzium dinegara kita telah terlalu jauh ketinggalan  dengan British Natural History Museum dan muzium antarabangsa yang lain. 



Dalam bidang pelajaran Veteriana Hidupan Liar di negara kita juga sangat berkurangan. Kita harus mempunyai ramai tenaga pakar sebagai pelapis kepada Associate Professor Dr.Jalila Abu dalam  bidang ini. Sudah tentu beliau tidak dapat menangani setiap kes kemalangan hidupan liar di negara kita seorang diri. Jikalau berlaku  kemalangan  langgar lari  melibatkan hidupan liar yang tercedera  ringan seperti patah tulang kaki , maka jalan penyelesaiannya  mangsa terpaksa ditidurkan. Ini adalah kerana kita tidak ada keupayaan yang ramai dalam ilmu kepakaran dalam bidang veteriana membaik pulih kecederaan hidupan liar.




Tentu sekali bangkai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat ini berguna dalam bidang Sains Zoology. Jikalau pekara ini penting maka pihak yang melihat pekara ini penting, mereka harus mengatasi semua  masalah  logistik. Orang yang berkepentingan itu tidak bolehlah bersenang-senang dengan mengharapkan bangkai itu dihantar sampai kedepan pintu makmal mereka. Mereka wajiblah datang mengambilnya sendiri atau mengarahkan kakitangan mereka melakukan usaha itu. Cari jalan bagaimana tata cara untuk menuntut bangkai pada jarak lokasi yang jauh. Sediakan juga tata cara menyimpan bangkai hidupan liar, termasuk memberi imbuhan saguhati atau sijil penghargaan kepada yang telah mengusahakan tanpa memilih spesis hidupan liar. Apa yang penting, berapa kesungguhan pekara ini dapat dizahirkan dengan tata cara yang betul dan sempurna.



Jikalau keadaan ini berterusan sepertimana sekarang, maka pada  fikirkan saya sangatlah rugi kerana bangkai hidupan liar yang jarang ditemui itu menjadi sia-sia kematiannya. Hilang lenyap dalam keadaan busuk berhari-hari ditepi jalan. Dihurung oleh langau dan lalat begitu sahaja. Kemudian dimakan oleh ulat-ulat atau di makan oleh anjing liar dan biawak. Eeerrm. Wasalam la.

Sunday 25 November 2018

Saki Baki Yang Tinggal Itu Pun Hendak Di Musnahkan....





Katakan ada anak watan tanahair kita mengepalai sebuah kumpulan, kemudian mereka  telah berpakat dengan seberapa ramai kuncu-kuncunya untuk memusnahkan sehabis-habisnya Lapangan Terbang KLIA atau Bangunan Parlimen atau Tugu Peringatan Negara. Hendak dijadikan cerita semua yang dirancangkannya itu berjaya dimusnahkan. Hasil kemusnahan itu pulak, mereka semua telah  mendapat laba keuntungan daripada kemusnahan. 







Wang keuntungan itu pula disalurkan  daripada orang luar. Maka mereka semua bersenang hatilah ahli-ahli kumpulan itu. Mereka berjoli bermewah-mewah menghabiskan rezeki dari keuntungan kemusnahan itu. Setelah habis puas berjoli, maka keuntungan yang mereka perolehi itu telah mulai surut. Maka gusar sungguh hati mereka lalu berpakat lagi. Kali ini mereka berpakat untuk memusnahkan Bangunan KLCC pula. Dan keadaan yang sama itu berulang-ulang dilakukannya sehingga habis rata tanahairnya itu.




Apakah bahasa dan perkataan yang paling layak patut diberikan kepada anak-anak watan dan kuncu-kuncunya itu ?  Apakah ada perkataan yang molek lain, selain daripada perkataan Pengkhianat Negara. Atau ada perkataan lain yang sama ertinya dengan Pengkhianat Negara yang lebih cocok dapat digelarkan kepada mereka ini semua. Saya fikir itu sajalah perkataan yang layak diberikan kepada mereka itu, iaitu Pengkhianat Negara dan Tanahair. Orang seperti ini adalah penjenayah dan  Pengkhianat Negara. Mereka tidak ada langsung perasaan patiotik yang cintakan tumpah darah tanahairnya sendiri.




Bangunan serta monument yang dimusnahkan itu semuanya adalah milik negara ini. Ia telah dibina diatas tanah didalam negara kita dengan cara bersusuh payah. Demi untuk memajukan negara supaya negara Malaysia dapat menjadi maju dan makmur.




Apakah pula perkataan yang layak diberikan kepada anak watan yang mengepalai kumpulannya untuk memusnahkan saki baki Hutan Belentara Semulajadi pula. Tumbuhan Hutan Belentara  yang tumbuh secara semulajadi diatas tanah didalam negera kita. Bukankah saki baki Hutan Belentara yang masih ada itu adalah sebuah aset Ilmu Pengetahuan yang sangat luas dan besar. Aset Ilmu yang tidak ada galang gantinya dengan segala wang ringgit. Pengkhianat Negara atau Tokoh Kemajuan Negara.?





Disebabkan kumpulan Pengkhianat Negara ini buta hati dan buta hati perut,  yang matanya hanya tersasar kepada melihat  wang ringgit dan keuntungan sahaja. Maka saya terpaksa senaraikan satu persatu apa itu Aset Ilmu Pengetahuan bagi Negara. Diatas tanah bumi Malaysia yang bertuah ini  telah tersedia bermacam jenis batu-batuan, galian  yang membentuk keadaan mukabumi. Lembah, tanah pamah, paya, bukit bukau, gunung ganang, batu kapur dan gua-gua.




Diatasnya pula tumbuh bermacam dan berjenis-jenis spesis tumbuhan. Disitu ada pelbagai jenis serta bentuk tumbuhan liar samada dari jenis tumbuhan Lumut, Cendawan, Tumbuhan Orkid, Palma dan lain-lain.  Sekiranya tidak percaya silalah semak dengan pihak FRIM ,  atau Jabatan Perhutanan. Setiap jenis tumbuhan itu masih banyak ilmu yang belum lagi dipelajari oleh warga tempatan.





Didalam Hutan belentara itu telah tersedia juga berselirat lengkang lengkok saliran sungai yang panjang dan mengalirkan air deras yang jernih. Didalam sungai itu ada kehidupan dari berbagai-bagai jenis kehidupan di dalam air dan gigi air. Kehidupan dari jenis spesies Ikan , Udang, Ketam, Kerang, Labi-labi, Kura-kura, Ular, Biawak , Buaya , Memerang dan hidupan-hidupan kecil yang tidak dapat dinamakan satu persatu.




Didalam Hutan belentara itu ada juga Gua-gua batu kapur  yang lubang guanya jauh ke dalam perut bumi. Dengan keadaan gelap gelita, entah apa yang ada didalamnya. Berpuluh spesis Kelawar, burung lelayang dan  Katak .Sehingga sekarang masih belum sepenuhnya dapat diterokai oleh pakar ilmuan. Didalam Gua itu terkandung bermacam-macam khazanah dan tamadun purba. Tidak menolak pada dinding gua terlekat bermacam jenis fossil haiwan purba. Itu semua sehingga sekarang masih belum sempat  dikaji dan direkodkan.





Didalam Hutan belentara itu tempat tinggal berbagai jenis hidupan daripada sekecil-kecil spesies hinggalah sebesar-besar spesis haiwan.  Hidupan Serangga ada beribu jenisnya banyaknya dan berbagai-bagai jenis bentuknya yang tidak pernah kita lihat. Ia terdiri daripada jenis Rama-rama, Kupu-kupu, Kumbang-kumbang dan berjenis-jenis Serangga merayap, bersayap yang ada lagi masih belum diketahui akan namanya. Di situ ada beratus spesis burung,  jenis Cicak Mengkarung, Ular, Katak, berbagai jenis Kelawar, Tupai, Primat, dan pelbagai keluarga Mamalia. Terlalu banyak hidupan liar yang bergantung hidup pada Hutan Belentara.




Apakah itu semua bukan Aset  Negara  dalam bentuk Ilmu pengetahuan ? Katakan di Malaysia ada 100 Universiti yang memiliki beribu pendidik dan profesor. Belum tentu mereka dapat memahirkan pengetahuan terhadap segala macam setiap kehidupan di dalam Hutan Belentara negara kita itu. Aset-aset ilmu negara  ini membuatkan penagih ilmu daripada seluruh dunia menjadi lapar kepada Aset Ilmu yang ada di dalam negara Malaysia. 



Bayangkan ramai pelajar & pengkaji dari seluruh dunia menjadikan negara Malaysia sebagai gedung mencari ilmu mereka. Silih berganti dari masa kesemasa mereka datang menetap belajar disini. Pelajar-pelajar dari semerata tempat didunia silih berganti datang menuntut ilmu dan mengkaji.. Selagi Aset itu dijaga dengan baik, selagi itu lah ia dapat dimanafaatkan oleh warga tempatan dan warga dunia.




Keuntungan menyediakan ilmu pendidikan adalah lebih banyak berlipat-lipat kali ganda daripada mana-mana ekonomi pertanian & pembalakan. Keuntungan itu tidak memusnahkan apa-apa cuma menjaga dan menyelia sahaja. Itu lah bezanya kumpulan orang yang mempunyai tahap pemikiran maju dengan kumpulan orang pemikiran yang mundur. 




Mari kita tinjau kembali pekara yang telah lepas. Sejak dari mula Tanahair kita merdeka dulu  berapa luas hutan telah dikorban-musnahkan untuk memberi laluan kepada ekonomi negara. Samada untuk aktiviti pertanian, perlombongan dan aktiviti ekonomi yang ada hubung kaitnya dengan rakyat tempatan. Ya, memang benar sebagai negara muda yang sedang bertatih, itu semua harus dikorbankan demi memajukan negara untuk sekelian penduduknya. 



Namun cukup cukuplah dengan pengorbanan hutan yang telah dikorbankan dahulu. Ini tidak !,  Tinggalan saki baki Hutan Belentara yang masih ada jugak, hendak dimusnahkan. Dimana letaknya penanda aras akal fikiran mereka ini.? Jika tetap mereka meneruskan untuk memusnahkan saki baki  yang masih ada, memang sah lah, acuan fikiran dan  gerak fikir dari kalangan pengkhianat tanahairnya sendiri. 




Saya ulangi mereka ini sampah masyarakat dan penjenayah Alam sekitar. Mereka tidak ada langsung perasaan patriotik  kasih sayangnya terhadap tanahairnya sendiri. Mereka ini adalah penghancurkan tamadun ilmu. Tamadun ilmu negara yang tidak dapat ditinggalkan kepada anak cucu cicit bangsa Malaysia. Mereka berpura-pura untuk memajukan negara walhal mereka mengkayakan diri sendiri. Sibangsat yang bertopengkan dengan wajah bercahaya orang alim, konon .  Wasalam.

Monday 19 November 2018

Warta Jenaka Judul : Kerepek Ubi Bil: 39 . 31 Mei 1937



Warta Jenaka 
Judul : Kerepek Ubi .  Bil: 39  Tarikh: 31 Mei 1937



Buku tulisan jawi bahasa Melayu ini telah saya terjumpa  pada 2013, 5 tahun lepas. Ia dijumpai ditepi tong sampah umum berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu, di Arau Perlis. Ketika buku ini dijumpai, ia didalam keadaan yang berlipat-lipat, lembab dan bergulung. Sebahagian halamannya telah terbakar dan tidak dapat diselamatkan. Bersama buku ini juga, terdapat banyak buku-buku lama yang telah hangus terbakar. Cuma buku ini sahaja yang dapat saya kutip dan bawa pulang. Memandangkan tarikh didalam buku ini mencatatkan 1937, maka timbul rasa sayang. Saya berusaha mengelokkannya kembali supaya dapat saya baca kemudian hari. Setelah menjalani proses memperbaikinya untuk satu tempoh yang panjang,  akhirnya saya berpusa hati dengan keadaan buku ini. Dulunya buku ini telah dihumban dan untuk dibakar kerana telah menyemakkan ruang rumah pemiliknya, tetapi  kini telah ada pemilik baharu. Katakan jika dibakar dahulu, lenyaplah segala cerita-cerita budaya masyarakat Melayu pada tahun-tahun 30an. 

Menerusi hasil kajian saya, mendapati buku ini rupa-rupanya telah ditulis oleh sekumpulan pengiat sasterawan tanahair Semenanjung Tanah Melayu pada tahun-tahun zaman penjajahan British sekitar 1937. Buku ini telah diterbitkan 80 tahun dahulu dan dijual pada harga 15 sen. Penerbitnya adalah Encik Syed Hussien Ali Al-Sagoff.  Manakala Aditornya pula ialah Encik Haji Abdul Rahim Kajai, En.Hisham Yunus, Encik Ibrahim Mahmud, Encik Ishak Haji Muhammad dan En.Osman Kalam. Menurut beberapa sumber ia telah dihentikan penerbitanya pada 1941 kerana Semenanjung Tanah Melayu pada ketika itu telah ditakluki oleh Negara Jepun.





Semasa dalam proses kajian saya telah terbaca satu  PDF lengkap diatas tajuk CIRAS Discussion Paper No: 75 Jawi Magazine Reprint Series 3 Warta Jenaka terjemahan bahasa jawi Melayu kepada rumi Melayu. Terjemahan itu telah diusahakan oleh Persatuan Pengkaji Bahasa Jawi dari Negara Jepun ( Jawi Reseach Society Japan ) dan disediakan oleh Center for Southeast Asian Study, Kyoto University , Encik Hiroyuki Wamamoto. Warta Jenaka yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu menggunakan huruf rumi itu adalah keluaran tahun Januari 1958 ~ Oktober 1958. 433 halaman mukasurat.

Lagikan bangsa Jepun sebuah kuasa besar dunia yang pernah menakluki Semenanjung Tanah Melayu telah bersungguh-sungguh mempelajari intipati sosio budaya penulisan masyarakat Melayu, inikan pula saya tak berbuat apa-apa. Terasa malu pada diri sendiri. Kajian yang diusahakan oleh Kyoto University itu telah mencabar saya secara peribadi untuk saya melakukan pekara yang sama.

Sementelah saya ada menyimpan buku Warta Jenaka terbitan awal iaitu tahun 1937 , maka saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan pekara yang sama juga. Dibawah ini saya terjemahkan satu judul dari bahasa melayu huruf jawi kepada bahasa melayu huruf rumi, untuk di kongsi sebahagian cerita didalam buku tersebut.






Serba sedikit maklumat buku ini;

Buku yang tidak berkulit ini, bermula dari muka halaman 5 hingga halaman 96. Dihalaman 5, permulaan  judulnya ialah  Apa Kurang Pada Belida.  Bilangan 30 dan ditulis pada 29 Mei 1937 dan buku ini berakhir pada halaman 96 dengan tajuk Biji Jangkus Bilangan 61 ditulis pada 21 Oktober 1937.

Dalam perkongsian terjemahan ini saya memilih tajuk, Kerepek Ubi bilangan 39 yang ditulis pada 31 Mei 1937. Untuk makluman, saya ada mengganti sepatah dua perkataan yang memberi maksud yang sama, kerana dizaman 2018, perkataan itu sudah tidak sesuai lagi digunakan selepas 80 tahun masa berlalu.




WARTA JENAKA
Bilangan 39
Tahun: 31 Mei 1937

Judul : KEREPEK UBI


Muka surat 33

Alamak ana tak sangka, anta sangka ana bilang-bilang jari ana tujuh kali pula kepangkal baharu ana tahu masa ini, hari baik namanya siang terang malam bergelap bulan diatas rupanya kita sudah maulud dua belas padahal ana tidak teringat rakan-rakan ana yang sudah sendawa. Bila jam ana hendak memuntal suap, siapa pun ana tak ingat. Ana pikir lebih baik ana kirim ucapan Selamat Maulud kepada semua rakan-rakan ana. Kalau dia orang ada berhati perut, hendak balas aku terima, jikalau sekiranya tidak, tidak mengapa, aku terima juga. Ana punya ucapan Selamat Maulud itu ana buatkan gurindam demikian bunyinya:-

Awang Kutti lah Awang Kutti,
Duduk berumah tepi pantai,
Makan Maulud berulam petai
Bila terkencing diatas lantai




Mukasurat 34

Selamat Maulud marhaba saki
Makan berjamu kerepek ubi
Bila bersyarah bertubi-tubi
Muka orang habis didobi

Wak Keledek misainya jarang
Makan Kerepek kena palang jarang
Degilnya bukan sebarang-barang
Citra karutnya jarang yang kurang

Selamat Maulud terpekik-pekik
Kesana kemari pergi mencekik
Makan dodol wajid bertakik
Dalam kelambu menjerat Berkik

Wak Mugik tuan handalan
Untung Puteri Seharibulan
Boleh dibawa berjalan-jalan
Jamuan Maulud licin ditelan

Selamat Maulud bersuka-suka
Jamuan banyak selera terbuka
Pandai membuat pantun seloka
Bisa tajam boleh meluka

Si Ketuyat Si Ketuyat
Kemana kemari terkuyat-kuyat



Mukasurat 35

Mujur poketnya ada berduit
Cik Timah Lawa datang mencuit

Selamat Maulud jamu selera
Bungkus dibuka sama juara
Untuk kawannya sama juara
Dapat ditangkis segala mara

Pak Sampuk lah Pak Sampuk
Kemana lalu orang bertepuk
Siapa bertepuk kena berlekuk
Mujur masaknya sehabis empuk

Selamat Maulud makan kerepek
Lagu Mauludnya merepek-repek
Barang yang keras ditakik kopek
Barang yang lembut dikoyak rabik

Si Luncai perutnya buncit
Bila terbatuk mesti tercerit
Pikaran orang mudah dihancit
Siapa menentang terkena lancit

Selamat maulud main Cik Lambong
Barbaju kolet berkain rambong
Bila bercakap melambong-lambong
Siapa disumpahnya mesti kembong




Mukasurat 36

Demikianlah kasih sayang ana kepada rakan-rakan ana semua, sebab baik hati ana, baik rupa ana, baik perangai ana, baik pakaian ana. Adakan tak kena Cik Timah Lawa , begitu juga Awang Kutti tidak juga percaya. Katanya ana temberang sahaja, padahalnya jikalau ana main temberang mana bolehjadi gadis-gadis Melayu baik yang sudah mencuba berkehendakkan ana, badan dan mata mahu, hati tak mau. Sebabnya tiap-tiap gadis itu tak mau, bukan apa-apa, melainkan ialah sebab dia orang cemburu.

Ana tak kuasa panjang-panjang kira, sebab ana tahu jikalau ana panjang-panjang kira nescaya dibelasah oleh Mak Lachok. Reban ayam pun nanti kena kunci, mana jalan hendak mengambil telor ayam?

Sebelum Maulud di Melaka tempoh hari ana masuk ke kedai gunting tiba-tiba ana terpandang dalam cermin "Si Tukang Gunting" itu ada gambar manusia yang pelik sekali. Ana tanyakan kepada tukang gunting itu, Jawabnya, konon itulah ana punya gambar. Jikalau tidak ana cukup sabar " Si Tukang Gunting " itu ana sepakkan. Itu pun ana lempar gambar didalam cermin itu sebab diajuk-ajuknya ana. Ana senyum dia senyum ana ketawa dia ketawa. ana lempar satu kali ana cabut. Ada ana dengar dipanggilnya ana bunyinya macam panggilan Si Tukang Gunting, ana tak perduli.


Wasalam..

Friday 16 November 2018

Spesies Apa Burung Misteri Ini ?


Spesies Apa Burung Misteri Ini ? 


Memburung dengan menaiki motosikal beratus kilometer dalam cuaca yang tidak menentu. Keadaan cuaca di Kuala Lumpur nampak cerah tetapi setibanya  di Malim Nawar Perak,hujan turun dengan lebat secara bersiri. Hujan berhenti dan hujan, kemudian berhenti dan hujan lagi. Walaupun keadaan cuaca tidak menentu saya telah berjumpa spesies burung yang saya sendiri tidak mengetahui akan spesiesnya. Warna buluhiasnya yang sangat berlainan daripada burung-burung dari spesies Belekok dan Pucong yang pernah saya lihat di Malaysia. 


Warna buluhias yang agak ganjil itu membuatkan saya teruja untuk merakam sebanyak imej dan aksinya, mana yang dapat. Namun itu semua tidak dapat dilakukan dengan senang, kerana waktu menjumpai burung ini cuaca tidak mengizinkan. Hujan turun sangat lebat dan pada ketika itu, saya tidak ada tempat berteduh. Hanya sempat mencuri-curi merakam dalam hujan, mujur kamera saya tidak terjejas oleh terkena basah air hujan.

Dibawah ini saya mencadangkan beberapa kebarangkalian spesis yang boleh dikaitkan dengan Burung Belekok misteri itu :-

1. Belekok Kecil~Egretta garzetta

Ciri-ciri persamaan Belekok Misteri yang dapat dikaitkan dengan Belekok Kecil ~ Egretta garzetta adalah pada kulit diantara pangkal paruh dengan mata yang berwarna merah jambu. Mempunyai sepasang keting kaki berwarna hitam dan jari kaki berwarna kuning. Mempunyai buluhias tocang berjurai dibelakang kepala burung. Walaupun 3 ciri itu dapat dikaitkan pada burung Belekok Misteri, namun saiz tubuh badan dilihat lebih besar daripada Belekok Kecil~Egretta garzetta.

2.Belekok Cina ~Egretta eulopholes

Ciri-ciri persamaan Belekok Misteri yang dapat dikaitkan dengan Belekok Cina ~Egretta eulopholes adalah mempunyai persamaan saiz dengan burung Belekok Misteri itu. Keting kaki dan jari kaki berwarna kuning. Tetapi kulit diantara pangkal paruh dengan mata adalah tidak sama dengan Belekok
Cina yang mempunyai warna kebiru-biruan. Malah dibelakang kepala burung  Belekok Cina ~Egretta eulopholes tidak ada bulu tocang berjurai dibelakang kepalanya.




3. Belekok Karang Pasifik~ Egretta sacra


Ada beberapa ciri-ciri persamaan dengan burung Belekok Misteri ini. Ciri yang paling hampir sekali adalah pada warna buluhiasnya yang berwarna kelabu. Dimana hampir keseluruhan buluhiasnya berwarna kelabu cuma sesetengah dibahagian muka burung berwarna putih. Saiz bentuk badannya yang hampir sama dengan burung misteri itu. Namun begitu warna paruh dan keting kaki Belekok Karang Pasifik~ Egretta sacra tidak sama dengan burung misteri itu.  Burung Misteri itu mempunyai sepasang keting kaki berwarna hitam dan jari kaki berwarna kuning.Tambahan pula tidak ada bulu tocang berjurai dibelakang kepalanya.





4. Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae

Jikalau Burung misteri ini berada didalam kumpulan burung Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae pemerhati & pemburung yang berpengalaman pasti akan menyangka bahawa burung misteri ini adalah spesies Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae. Kerana ciri-ciri yang ada pada burung misteri ini mirip kepada Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae. Namun begitu jikalau membuat  penelitian secara terperinci, akan terdapat beberapa ciri-ciri yang mungkin menafikan burung misteri ini adalah bukan dari spesies Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae. Burung misteri itu mempunyai sepasang keting kaki berwarna hitam sedangkan Puchong Muka-putih~Egretta novaehollandiae mempunyai keting kaki berwarna hijau kekuning-kuningan. Warna kulit diantara pangkal paruh dengan mata adalah berwarna kehitaman. 2 perbezaan penting ciri-ciri tersebut adalah milik burung Belekok Kecil~Egretta garzetta. 

Nota: Taburan spesies ini adalah disekitar negara Australia, New Zealand , Indonesia dan New Guinea


5. Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra & Belekok Kecil~Egretta garzetta mengalami gangguan pigmentasi DNA.

Tidak menolak barangkali burung misteri ini adalah dari spesies Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra atau Belekok Kecil~Egretta garzetta yang mengalami gangguan pigmentasi DNA. Dengan hal keadaan itu telah mengakibatkan warna buluhiasnya berubah sama seperti buluhias burung misteri itu.




6.Hybrid antara Belekok Kecil~Egretta garzetta dengan Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra

Memandangkan Belekok Kecil~Egretta garzetta dan Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra boleh bertemu di Semenanjung Malaysia maka kita tidak boleh menolak persenyawaan antara dua spesies ini telah berlaku. Memandangkan ciri-ciri kedua-dua spesies itu ada terdapat pada burung misteri tersebut. 



Atau untuk merungkai jawapan tepat tentang status burung misteri ini, kita boleh mengambil contoh buluhias pelepah yang tercabut. Atau menangkapnya, kemudian mencabut sedikit buluhias untuk dijadikan contoh pemeriksaan DNA. Hasil keputusanan pemeriksaan DNA itu nanti, besar kemungkinan akan memperoleh jawapan tepat akan status spesis burung misteri itu. Boleh jadi jawapannya, ia adalah spesies burung baharu. Wasalam. 

Wednesday 14 November 2018

Sebahagian Spesies Ikan Paya Air Tawar Di Selangor


Sebahagian Spesies Ikan Paya Air Tawar Di Selangor

Ikan Haruan Kedak~Channa limbata~ Dwarf Snakehead Fish



Memandangkan sudah berjam-jam menanti kelibat burung yang susah sangat untuk ditemui, sejak kebelakangan ini . Entah apa sebabnya. Daripada menadih tidak berbuat apa-apa, maka saya mencari apa-apa ilmu alam yang baharu untuk dipelajari. Ditepi jalan ada sebatang saliran longkang yang air nya itu bersambungan dengan kawasan paya air tawar. Air longkang yang menerima kemasukan dari air paya yang sangat jernih.  



Didalam takungan longkang kelihatan berpuluh-puluh ekor anak ikan bersaiz seperti berudu. Kumpulan itu berenang secara berkumpulan didalam air yang sangat cetek yang dasarnya bertimbun daun-daun kering hutan. Jarang sekali saya dapat melihat air payar sejernih ini di kawasan lembah kelang atau di Semenanjung Malaysia.




Sejenak kemudian datang seekor ikan dewasa dari bawah palung bawah tanah. Kehadiran Ikan dewasa itu sebagai petanda semua anak-anak ikan yang berselerak banyak itu adalah dibawah tanggung jawabnya. Ikan dewasa itu seperti mengembala dan membawa semua anak-anaknya. Anak-anaknya itu dianggarkan lebih kurang 60 ekor. Kesemua anak ikan itu mengikut ikan dewasa berenang masuk kedalam lubang terowong.





Ini adalah buat pertama kali menjumpai  melihat dengan mata kepala spesies ikan Haruan Kedak~Channa limbata~ Dwarf Snakehead Fish. Sebelum ini hanya mendengar namanya sahaja dari kenalan Naturalis saya iaitu Saudara Syamil Abdul Rahman dari Perlis Nature & Wildlife. Tidak menyangka spesies ini masih boleh diketemukan lagi di negeri Selangor. Kehadiran spesies Ikan ini adalah sebagai penimbang aras kepada tahap kualiti air jernih bersih untuk kawasan paya air tawar.





Melalui pemerhatian saya, ciri-ciri pengenalan  Ikan Haruan Kedak~Channa limbata~ Dwarf Snakehead Fish dewasa  ia mempunyai saiz  dianggarkan antara 3 ke 4 inci panjang sahaja. Ikan dari jenis pemangsa ini mempunyai 2 warna sisik  secara berbelang seragam. Ia itu antara warna coklat keladak cair dan kelabu cair. Warnanya hampir sama dengan warna Ikan Puyu~Anabas testudineus.




Mempunyai 2 sesunggut pendek yang terletak diatas rahang mulut ikan. Sepasang mata berbentuk bulat, Sklera mata warna oren gelap dan Iris mata berwarna hitam. Sirip pektoral  berbentuk lebar sama seperti bentuk kulit kerang yang dipangkalnya mempunyai tompokan 2 warna   hitam dan oren. Pada Sirip Dorsal ikan betina terdapat bintik-bintik warna biru cerah yang berselang seli dengan warna kelabu. Manakala dibahagian hujung sepanjang sirip dorsal pula berwarna oren yang sangat cair. Sirip Dorsal ikan Jantan dan betina menampakkan sedikit perbezaan warna. 3 warna secara berjalur selari memanjang dengan warna Coklat keladak cair, hitam dan oren. Warna yang sama itu bersambungan pada Sirip kaudal ekor ikan.











Ikan Haruan~Channa striatus









Ikan Julung-julung~Dermogenys sp. Freshwater Halfbeak Fish.







Ikan Tembok tebing~Luciocephalus pulcher~Malayan Pikehead Fish







Ikan Trigonostigma heteromorpha









Ikan Rasbora vulgaris






Ikan Tebal Sisik~Barbodes banksi






Ikan Kemaras @ Ikan Kepala Timah~Aplocheilus armatus











Jiran Ikan-ikan ~ Berudu






Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengkaji spesies Ikan di Malaysia iaitu Saudara Muhammad Rasul Abdullah Halim, Saudara Mike Chong dan Saudara Syamil Abdul Rahman dari Perlis Nature & Wildlife kerana membantu saya membuat pengecaman spesies ikan-ikan didalam siaran saya ini. Wasalam.