Monday 22 April 2019

Tekukur Khukhu Ekor-panjang~Macropygia unchall ( Barred Cuckoo Dove )



Tekukur Khukhu Ekor-panjang~Macropygia unchall ( Barred Cuckoo Dove )



Akhirnya setelah berbelas tahun memburung baru sekarang berpeluang bertemu dengan burung Tekukur Khukhu Ekor-panjang~Macropygia unchall ( Barred Cuckoo Dove ). Walaupun saiznya lebih besar daripada sepupunya Tekukur Khukhu Melayu-kecil~ Macropygia ruficeps ( Little Cuckoo Dove) namun ia sangat sukar ditemui lagi pada waktu sekarang. Kalau 7 atau 8 tahun dahulu, menurut sumber lisan rakan memburung spesies ini  biasa dilihat di kawasan pergunungan tanah tinggi Cameron, Pahang. Tetapi bukan lagi zaman sekarang..
  
















Sementara burung-burung ini masih dapat dilihat, lihatlah dan hargailah..Akan sampai waktuya dimana spesis burung tertentu sudah sangat susah untuk ditemui lagi. Wasalam.

Saturday 20 April 2019

Penemuan Spesies Katak Kerdil Di Selangor Darul Ehsan, Malaysia.



Penemuan Spesies Katak Lubang Pokok Kerdil Semenanjung ~ Metaphrynella pollicaris Di Selangor Darul Ehsan, Malaysia.


Muhammad Muhir Bin Muhammad Daud, 
Rosla Bin Mustakim
Red Door To Hunt

Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 25hb April 2019





Intisari/Abstrak

Tujuan memaklumkan penemuan spesis Katak Kerdil  ini adalah untuk berkongsi maklumat dengan khalayak dan para penyelidik bidang Katak & Kodok (Anura) tempatan.  Hasil penelitian struktur morfologi spesies tersebut, penulis telah mendapatkan bantuan pakar Katak Tempatan iaitu Saudara Bellabutti DM. Beliau telah mencadangkan katak ini adalah dari spesies famili Katak (Rananidae), walaupun ciri-ciri permukaan kulitnya menjurus kepada  spesies Famili Kodok (Bufonidae ) .


Spesis Katak Kerdil bersaiz 17 mm




Pendahuluan

Penyelidik-penyelidik dalam bidang Katak & Kodok (Anura)  sudah sedia maklum bukan satu pekara yang mudah untuk menjumpai spesis Katak kerdil. Perkara ini bertambah rumit apabila mencari Katak Kerdil di kawasan Hutan Pergunungan Berkabus dan dikawasan Hutan Alfin. Tidak banyak ekspidisi penyelidikan yang dilakukan oleh pihak Universiti ke kawasan hutan pergunungan seperti yang dinyatakan kerana ia sangat  sukar. Spesis Katak kerdil ini telah dijumpai oleh seorang Naturalis tempatan  sebanyak 2 kali. Pada pertemuan pertama ditahun 2009, pada ketika itu beliau tidak mengetahui kepentingannya kepada bidang Sains Ampibia. Sejak dari itu spesis Kakak Kerdil tidak lagi dijumpai dikawasan tempat ia dijumpai dahulu. Selepas 10 tahun berlalu, baru-baru ini pada 13 hb April 2019 spesis Katak Kerdil itu dijumpai semula. Katak Kerdil itu telah ditangkap untuk sesi rakaman dan pengecaman sebelum dilepaskan hidup dalam habitatnya yang asal.






Peralatan Dan Cara Tata Kerja

Menangkap katak dengan tangan kemudian menyimpannya didalam botol yang diisi sedikit air dan penutup botol mempunyai lubang-lubang pengudaraan. Kaedah yang digunakan adalah dengan melepaskannya dikawasan terbuka yang luas dan lapang untuk tujuan pemerhatian  perilaku dan sesi rakaman. Alat bantuan kajian pemerhatian yang digunakan adalah  Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D  , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon  F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.






Hasil Dan Pembahasan

Hasil siasatan adalah sepertimana yang diterangkan dalam butiran-butiran sepertimana dibawah. Memandangkan spesis ini jarang sangat dijumpai maka perincian hal bentuk dan hal keadaan katak tersebut wajar sekali dinyatakan secara terperinci dalam bahasa Kebangsaan. Spesis ini telah di sahkan oleh pakar Katak Tanahair iaitu Saudara Bellabutti DM, butiran itu adalah seperti berikut:-

Spesies                     : Metaphrynella pollicaris.
Nama Tempatan       : Katak Kerdil Lubang Pokok Semenanjung~Metaphrynella pollicaris.
Nama Inggeris         :  Malaysian Treehole Frog
Genus                       : Plethodontohyla
Famili                       : Microhylidae
Saiz                          : 17 mm dari muncung mulut hingga hujung tongkeng
Jantina                     : Betina





Orang Yang Menjumpainya~ Saudara Muhammad Muhir Bin Mohammad Daud. Beliau adalah seorang Naturalis Pencinta Alam Sekitar, Peminat Pemerhatian Burung dan Hidupan Liar. Sejak 2008 sehingga sekarang beliau, beliau banyak melibatkan diri secara bersendirian menyelamatkan burung-burung hijrah keletihan ,yang terdampar dikawasan pergunungan semasa musim hijrah.


Pernyataan Ringkas~Spesis ini mempunyai keupayaan melompat pada ketinggian lebih kurang 2 kaki daripada lantai tanah untuk lompatan yang pertama. Untuk lompatan seterusnya ketinggian telah mula berkurangan. Ia juga boleh melekatkan anggota tubuhnya pada dinding atau daunan. Ketika berada disitu ia berupaya juga  memanjat secara merangkak naik ke bahagian atas dengan mudah. Selain melompat dari lantai tanah ia juga merayap diatas lantai lumut.







Rupa Bentuk Fizikal~Spesis ini mempunyai kepala berbentuk tiga segi,  Sepasang mata yang tersembul pada bahagian kepala, Dibahagian mata ada selaput mata yang boleh diturun naikkan, iris mata berwarna keemasan dan pupil berwarna hitam, bentuk bahagian mulutnya  seperti sudu , pada kulit bahagian bawah rahang mulut mempunyai lebihan kulit seperti mata gergaji mengerutu.Tumbul hidungnya jelas kelihatan tersembul dan disebelah tumbul hidung terdapat  2 lubang hidung.  Sepasang Gelebir Supratympanic terletak pada bahagian belakang mata, mempunyai tangan berserta dengan 4 jari berselaput yang bersambung antara jari dengan jari. Pada kesemua permukaan tapak jari terdapat beberapa tubercles (lubang-lubang kecil berfungsi untuk melekatkan anggota badan ketika memanjat permukaan yang berdinding). Mempunyai sepasang kaki dengan  5 jari berselaput antara jari dengan jari. Dipermukaan tapak jari   tersusun beberapa tubercles pada setiap jari kaki.





Struktur Morfologi ~ Secara amnya spesis ini kelihatan seperti Famili Bufonidae yang mempunyai permukaan kulit  menggerutu dan berkutil. Namun begitu struktur morfologi spesis ini mempunyai kesemua ciri-ciri famili Rananidae kecuali tidak kelihatan Gegendang Telinganya ( Timpanum) . 

Warna ~ Warna dasar keseluruhan kulitnya berwarna coklat cair seperti warna air lumpur.Keseluruhan permukaan kulitnya mengerutu dan berkutil sehingga ke permukaan kulit bahagian bawah perut. Corak permukaan kulit bahagian belakang badan berbentuk seperti bentuk Labu Sayong. Corak dan bentuk itu berwarna coklat gelap yang mana titik-titik hitam memenuhi ruang berbentuk Labu Sayong itu. Bahagian kaki dan tangan terdapat siri susunan belang berwarna coklat daun getah kering bersama titik-titik hitam. Titik-titik hitam juga menjadi garis sempadan belang antara warna coklat air lumpur dengan coklat daun getah kering. Warna kulit menggerutu bahagaian perut katak berwarna putih.




Habitat~ Spesis ini mendiami kawasan hutan berkabus tanah tinggi dan Hutan Elfin pada ketinggian 1,200 meter dari paras laut. Dipercayai mendiami didalam lubang-lubang pokok yang dikelilingi oleh kawasan berlumut yang sentiasa sejuk dan lembab.


Kawasan Dijumpai~Lokasi dijumpai adalah didalam Negeri Selangor Darul Ehsan, namun lokasi sebenarnya terpaksa dirahsiakan kerana kekhautiran akan di tangkap untuk tujuan perniagaan atau menjadi bahan kajian tanpa kebenaran khas oleh Kerajaan Negara Malaysia.






Kesimpulan & Saranan


Sehingga kehari ini jumlah Katak didunia yang didaftarkan dalam senarai Katak Dunia adalah sebanyak 8,004. Di Malaysia terdapat lebih 150 spesis Katak yang telah di dokumentasikan oleh penyelidik tempatan. Namun tidak banyak maklumat yang diketahui tentang spesis Katak Kerdil yang mendiami  dikawasan Hutan Alfin atau dimana-mana kawasan pergunungan di Malaysia. Kesukaran penyelidik untuk naik sampai ke sana menjadi batu penghalang utama  menjalankan ekpidisi penyelidikan disitu. Apabila sampai di situ belum tentu spesis itu tentu dijumpai, kerana  saiznya yang terlalu kecil. Ditambah pula dengan keadaan warnanya menyerupai alam sekeliling maka langsung tidak memberi peluang untuk ia dijumpai. Sebab itu melaporkan penemuan spesis Katak Kerdil ini sangat penting  dalam bidang Amfibia tempatan.   




Ucapan Terima Kasih

Penulis mengucapkan berbanyak banyak terima kasih keatas Saudara Muhammad Muhir Bin Muhammad Daud kerana beliau tanpa ada rasa jemu sentiasa memaklumkan apa-apa penemuan hidupan liar dan tumbuhan yang ditemuinya. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Saudara Mike Chong diatas hujah cadangan ilmiah yang dilontarkan dalam menyediakan laporan ini.

Setelah 2 bulan laporan ini disiarkan, saya mendapat maklum balas daripada pakar Katak tanahair iaitu Saudara Bellabutti DM , menyatakan spesis Katak yang dilaporkan itu adalah dari spesies Katak Kerdil Lubang Pokok Semenanjung~Metaphrynella pollicaris. 




Rujukan


1. https://amphibiaweb.org/lists/Bufonidae.shtml

2.http://research.amnh.org/vz/herpetology/amphibia/

3.http://amphibia.my/index.php

4.http://nurfiqhiamj.blogspot.com/2018/06/identifikasi-kodok-dan-katak.html

5.Kajian Katak Hutan Nirwana UPMKB





Tuesday 16 April 2019

Pemerhatian Burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus Menjaga Anak


Pemerhatian Burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus Menjaga Anak Dan Menyerap Gangguan Daripada Manusia.





Burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus  mula membuat sarangnya pada awal bulan Februari 2019.Pokok yang menjadi pilihan untuk membuat sarang  adalah didalam kawasan hutan tanah rendah. Sarang dibina diatas sebatang pokok yang bersaiz sederhana besar dengan mempunyai ciri-ciri keselamatan. Aspek keselamatan dari gangguan serta ancaman daripada pelbagai spesis primat, dan reptilia.



Daripada apa yang dapat diperhatikan kawasan dibawah pokok tempat bersarang, ditumbuhi pelbagai jenis tumbuhan yang kebanyakan dari jenis pokok menjalar dan berduri. Salah satunya adalah dari tumbuhan spesis rotan dan palma. Duri rotan yang tajam  berbisa  menjalar dibawah kawasan sarang, adalah sebagai salah satu benteng keselamatan.  Ancaman daripada ular , tupai atau kera untuk menjadikan  tumbuhan dibawah itu sebagai pengantara untuk naik keatas pokok .  




Rimbunan tumbuhan dibawah sarang itu juga sebagai tempat  pelbagai jenis serangga hidup didalamnya. Kawasan itu dicadangkan akan menjadi tempat burung mencari diet makanan dari jenis serangga sebagai sumber protien anaknya. Bermakna burung tidak perlu terbang jauh meninggalkan sarang untuk mencari sumber makanan.  

.



Bentuk sarang dan saiznya adalah seperti mangkuk susu getah  dibina mengikut kesesuaian saiz telor dan mampu menampung seekor anak burung. Bahan binaan sarang terdiri daripada pelbagai jenis daun kering, kulit-kulit kayu yang disiat, bulu-bulunya sendiri dan sarang labah-labah.  Dipercayai binaan sarang dicari dan dibina pada waktu senja dan awal waktu malam.




Ketinggian  lokasi  sarang  dianggarkan 3 meter  daripada  lantai  tanah. Ia   membuat  sarangnya   diatas ranting,    diantara pangkal 2 cabang  ranting  untuk  memudahkan  sarang  dibuat  dengan  teguh.  Yang  mana  diatas sarangnya itu terdapat helaian daun-daun sebagai tempat atap berlindung daripada titisan air hujan dan cahaya matahari.




Pada setiap kali musim membiak induk burung mengeluarkan sebiji telor.Tidak dapat dipastikan kerja-kerja mengeram telor dilakukan oleh ibu atau bapa burung. Kerana penampilan spesis jantan dan betina  menyerupai antara satu sama lain. Jangka masa proses burung mengeramkan telornya tidak dapat diketahui. Sejak dari telor menetas hingga anak burung berupaya terbang keluar dianggarkan antara 12 ke 15 hari. Keadaan itu bergantung kepada cuaca dan tahap gangguan yang diterima.









Untuk pemerhatian ini, anak burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus telah berupaya keluar daripada sarang, cuma dalam jangka masa hanya 12 hari sahaja. Keadaan secepat itu berlaku adalah dipercayai, induk burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus menerima tekanan dan gangguan yang melampau. Gangguan melampau itu ditanggung untuk tempoh masa yang panjang berpunca daripada terlalu ramai jurufoto burung yang datang pada setiap hari. 




Dari laporan sahih yang diterima daripada rakan-rakan dan lawatan tapak mendapati;-

1. Disekeliling sekitar kawasan sarang telah terang hasil daripada kesan pijak tapak kaki jurufoto, tripot kamera dan kerusi .

2. Tumbuhan yang mengganggu sudut tepat ke arah sarang telah dicantas untuk tujuan rakaman yang sempurna.



3. Memandangkan kawasan memerhati serta merakam terhad tumbuhan telah dicantas dan ditebang untuk dijadikan tempat merakam burung diatas sarang. Hal keadaan perbuatan menebang dan mencantas itu telah memberi tekanan menambah rasa cemas kepada burung. Burung merasa khuatir seolah-olah pokok tempat ia bersarang juga akan ditebang.



4. Memandangkan sifat semulajadi burung tidak aktif pada waktu siang,   hanya dengan membatukan dirinya sahaja. Sesetengah jurufoto telah menggoyangkan pokok supaya anak dan induk burung terkejut untuk melakukan beberapa episod-episod pergerakan. Dari episod pergerakkan itu jurufoto menyangka dapat menghasilkan rakaman yang disangkakan bermutu.




Undang-Undang Malaysia Akta 716

Sarang:- Ertinya apa-apa tempat tinggal, jeruman atau apa-apa sira yang dibina atau digunakan oleh mana-mana hidupan liar, bertelor, mengeram telor, melindungi telor atau anak yang tidak matang atau memelihara anak yang tidak matang.

Umpan:- Termasuk apa-apa peralatan bunyi atau pandang dengar, garam, ulat ternak yang digunakan bagi maksud.





Akta 716  ( 49 )

Larangan perbuatan tertentu didalam rizab hidupan liar dan kawasan perlindungan hidupan liar.

Tiada seorang pun boleh:-

a. Didalam suatu rizab hidupan liar mengganggu, memotong, mengalih atau mengambil apa-apa tanih , kayu atau tumbuhan.

b. Didalam suatu kawasan perlindungan hidupan liar

i.Meburu mana-mana haiwan dan burung.

ii.Mengambil , mengganggu, merosakkan atau memusnahkan sarang atau telor mana-mana haiwan atau burung atau:-

iii.Mengganggu , memotong, mengalihkan bahan atau galian semulajadi.




Walaupun akta ini telah diwartakan sejak 2010 lagi, akta-akta yang digubal diatas kertas cukup baik tetapi malangnya perlaksanaan sangat mendukacitakan. Sehingga ke hari ini tidak ada seorang pun pegawai daripada Jabatan terbabit mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan untuk menzahirkan akta terbabit. Boleh jadi Akta tersebut dibuat  sekadar sebagai satu kenyataan berperenggan sahaja, yang tidak berupaya langsung menjaga kebajikan  hidupan liar. Atau akta seperti ini bertujuan untuk  sekadar makluman kepada masyarakat yang ingin mengetahui hal ehwal undang-undang, dalam menjaga kebajikan burung. Dengan harapan masyarakat akan faham  seterusnya mindanya akan terikat kepada akta tersebut.

Bagaimanakah perlaksanaan pengkuasaan akta boleh dizahirkan, jika pegawai yang mempunyai kuasa tidak pergi ke lapangan untuk membuat pemerhatian atau membuat siasatan.





Dengan menghadapi pelbagai tekanan yang diterima, pada musim 2019 burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus secara amnya telah berjaya membawa keluar anaknya daripada sarang. Namun dalam usia baharu 12 hari , anaknya itu ia belum cukup kuat untuk terbang sempurna.

Keadaan ini memungkinkan anaknya terdedah kepada ancaman:-

1. Daripada terjatuh dari tempat bertenggek yang tinggi sehingga mengakibatkan tulang sayap patah atau mendapat kecederaan yang lain sehingga mengancam nyawa.

2.Daripada burung-burung pemangsa, primat dan raptilia




Pemerhatian burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus menyerap gangguan.





Walaupun induknya telah meninggalkan sarang bersama anaknya, namun anaknya itu pasti tidak berupaya terbang jauh daripada lokasi sarang. Pada hari yang sama secara kebetulan induk dan anaknya  telah dijumpai bertenggek diatas ranting disekitar sarang yang ditinggalkan. Pada mulanya pemerhatian telah dilakukan tanpa ada sebarang kacau ganggu. Namun lama kelamaan salah seorang jurufoto warga asing merasa teruja dan telah pergi menghampiri ke kawasan burung sedang bertenggek. Bertujuan untuk  merakam dari jarak dekat dengan menggunakan kamera Telepon pintarnya. Sejurus jurufoto warga asing itu melangkah melepasi sempadan "Zon Bahaya Burung" induk burung dengan sertamerta membuat riak muka memberi amaran. Tindak balas daripada induk burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus menampakkan naluri semulajadi setiap makhluk dalam menjaga hal ehwal keselamatan anaknya.



Ia membeliakkan mata sambil membuka luas paruh  sehingga terkeluar organ seperti lidah seekor ular atau biawak.Wajah muka burung yang kelihatan garang marah dengan bulu kening tegak keatas mengekori setiap pergerakan jurufoto asing tersebut. Bukan itu sahaja yang dilakukan tetapi induk burung juga mengagah-agahkan kepalanya ke depan menghala ke jurufoto asing. 




Induk burung memberi isyarat supaya jangan hampir, dipersilakan nyah dari situ. Tidak dapat dipastikan apa perlakuan  sebenarnya yang telah berlaku, diatas tindakan burung menggangngakan luas paruhnya.Lagak seperti seekor Ular tedung sedang menyemburkan racun bisa. Sekadar andaian dan tanda tanya apakah  Cucur Besar~Batrachostomus auritus menyembur racun bisa kepada musuhnya apabila keadaan dirinya terasa terancam. 



Setelah selesai mengambil gambar dengan teleponnya, warga asing itu berundur dari situ dan induk burung kembali tenang seperti biasa. Keadaan seperti diam membatu ini akan berlanjutan sehingga waktu senja. Sementara itu dipercayai induk kepada pasangan burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus ini juga berada disekitar kawasan tempat anaknya bertenggek. Namun mata tidak dapat mengesan , kerana ia berupaya menyamar sebagai sebahagian ahli alam disekelingnya. 




Kesimpulan dan persoalan daripada pemerhatian peristiwa itu saya mendapati burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus adalah seperti berikut:-

1.Pada waktu siang burung akan memilih untuk hinggap diranting yang selamat dengan persekitaran yang menyerupai buluhiasnya. Memilih dikawasan yang suram dan kurang dengan cahaya matahari untuk dia berehat. Cahaya yang gelap suram itu adalah hampir menyamai suasana pada waktu senja atau waktu malam. Dengan keadaan gelap seperti waktu malam itu ia berupaya melihat dengan jelas dikawasan " Zon Bahaya" sekiranya apa-apa ancaman datang kepada dirinya.


2.Pada waktu siang ketika menemani anaknya induk burung tidak sesekali akan terbang meninggalkan anaknya walaupun ada ancaman bahaya kepada anak dan dirinya.

3.Ketika waktu siang, walaupun ia berada dalam suasana cahaya yang suram gelap seperti waktu senja, induk burung tidak mencari makanan untuk anaknya. 


Wasalam.




















Thursday 4 April 2019

Tata Cara Mengambil Madu Lebah Pokok Tualang Di Kampong Pagi, Kuala Tembeling Jerantut Pahang



Tata Cara Mengambil Madu Lebah Atas Pokok Tualang Di Kampong Pagi, Ulu Tembeling Jerantut Pahang Darul Makmur

Rosla Bin Mustakim
Red Door To Hunt


Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 7 April 2019




Abstrak


Pokok Tualang~Koompassia excelsa antara spesies pokok hutan Tropika tertinggi yang tumbuh hidup  subur didalam hutan di Semenanjung Malaysia. Spesies Pokok Tualang~Koompassia excelsa adalah salah satu pokok yang  menjadi pilihan  koloni Lebah membuat sarang-sarang mereka pada dahan diatas pokok ini.  Sifat fizikal pokok ini yang tumbuh tegap kukuh serta tinggi dengan permukaan kulit batang pokok yang licin menjadi pelindung semulajadi daripada ancaman musuh. Di Semenanjung Malaysia madu lebah yang dituai dari kawasan hutan berhampiran Kampong Pagi , Ulu Tembeling Jerantut dipercayai mempunyai kualiti yang terbaik. Ini disebabkan koloni lebah-lebah mendapat sumber manisan madu bunga daripada khazanah pokok-pokok  hutan dara yang tidak tercemar. Bebas dari segala macam baja kimia mahu pun dari racun perosak. Hutan Simpan Taman Negara yang berusia 130 juta tahun mempunyai udara segar dan bersih menyimpan khazanah alam asli tidak pernah terokai untuk aktiviti ekonomi atau pertanian. Memandangkan  hutan ini sahaja kawasan hutan terakhir bebas daripada segala macam pencemaran. Maka hasil tuaian madu disini yang lebih dikenali dengan Madu Tualang Kampong Pagi adalah madu berkualiti tinggi dan antara yang terbaik di Semenanjung Malaysia.  



Pokok Tualang~Koompassia excelsa

Mukadimah

Untuk mendapatkan madu lebah yang asli di kawasan hutan simpan Taman Negara Ulu Tembeling Jerantut Pahang adalah tergantung kepada beberapa faktor alam semulajadi. Ia bukan boleh dituai pada bila-bila masa sepanjang tahun, kerana koloni lebah mendapatkan sumber manisan dari tumbuhan pokok-pokok hutan yang berbunga mengikut musim dan cuaca. Jikalau musim bergerak mengikut seperti mana kesesuaian koloni lebah membuat sarang. Maka Pencari Madu Lebah harus berusaha terlebih dahulu mencari lokasi pokok tempat sarang lebah dibina didalam hutan. Lebah membuat sarang di atas  Pokok Tualang~Koompassia excelsa yang matang pada ketinggian antara 36 ke 50 meter tinggi dari paras lantai tanah. Perbandingan ketinggian itu dianggarkan sama dengan " 4 batang tiang elektrik ". Setelah dapat mengenal pasti lokasi sarang lebah, mereka akan merancang dan menetapkan tarikh tuaian madu  dapat dilakukan.  Tuaian hanya dilakukan pada waktu malam yang gelap , dimana bulan tidak mengembang mengeluarkan cahaya terang. Tuaian madu lebah tidak dapat dilakukan pada waktu hari hujan dan  angin bertiup kencang . Sekiranya semua berjalan sepertimana yang dirancang, pada ketika itu barulah operasi menuai madu lebah boleh dilakukan. Jumlah madu lebah yang telah dapat dituai itu bergantung kepada saiz sarang-sarang lebah yang dijumpai. Operasi menuai madu lebah diatas Pokok Tualang~Koompassia excelsa merupakan satu pekerjaan yang cukup merbahaya, rumit dan memenatkan. Ia memerlukan keberanian, mempunyai ketahanan menerima sengatan, tidak gayat pada ketinggian, ramai tenaga yang cekap dan  berpengalaman. 


Kekunci Kata:- Pencari Madu Lebah, Madu Tualang Kampong Pagi , Pokok Tualang~Koompassia excelsa, Taman Negara Ulu Tembeling Jerantut Pahang .




KAEDAH  DIGUNAKAN DALAM PEMERHATIAN/ KAJIAN & ALAT YANG DIGUNAKAN


Semua sumber matlumat didalam penulisan ini adalah berdasarkan dari hasil sesi soal bicara secara lisan dengan Pencari Madu berpengalaman. Beliau masih aktif melakukan kerja-kerja mencari madu di Kampong Pagi, Ulu Tembeling  Jerantut Pahang sehingga tarikh penulisan ini dibuat. Ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada Saudara Wan Chik @ Pak Teh dan Saudara Razak kerana berkesanggupan berkongsi pengalamannya secara terperinci dalam melakukan tata kerja menuai Madu Lebah diatas Pokok Tualang~Koompassia excelsa. Alat bantuan kajian yang digunakan adalah Teropong Carl Zess, Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D  , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon  F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.





KEPUTUSAN & PERBINCANGAN


Kakitangan, Pembahagian Tugasan & Peralatan Diperlukan.

Pekerjaan menuai madu lebah dari Pokok Tualang~Koompassia excelsa memerlukan sekurang-kurangnya  7 orang pekerja yang berpengalaman. Setiap kakitangan mempunyai kepakaran bidang tugasan masing-masing. Bidang tugasan dalam pekerjaan menuai madu lebah itu terbahagi kepada tiga bidang pekerjaan.  Kerja-kerja menaik & menurunkan tali, memasang tali , kerja memanjat serta menuai madu lebah. Setiap orang telah dipertanggung jawabkan melaksanakan tugasan yang  telah dibahagi-bahagikan tugasnya.  Diantara sesama mereka akan bekerja bergotong royong menyediakan peralatan dan alat bantuan perlaksanaan tugas. Peralatan yang diperlukan adalah seperti berikut:- 

1. Kerja-kerja menaikkan tali keatas pokok.
2. Kerja-kerja memasang tali diatas pokok.

a.Lastik Kayu
b.Batu ladong
c.Benang Tangsi / Tali Tangsi yang panjang bersesuaian dengan ketinggian pokok Tualang.
d.Tali saiz ukuran halus.
e.Tali saiz ukuran sederhana.
f.Tali saiz ukuran tebal /terbesar.
g.Takal ( Pulley)





3. Kerja-kerja memanjat pokok dan menuai madu lebah.

a. 10 ke 12 batang paku saiz 6 inci.
b. Tukul Besi.
c. Pisau atau Badik.
d. Andang
e. Pemetik Api.
f. Bakul










Waktu Perlaksanaan Dan Tata Cara Menuai Madu Lebah 


Waktu Perlaksanaan

Mengikut kalender Hijrah Melayu, cuma ada beberapa hari sahaja cahaya bulan tidak kelihatan pada waktu malam. Maka  penentuan untuk melakukan kerja-kerja menuai madu lebah memerlukan kata persepakatan  dan kesungguhan diantara mereka. 

Setelah mendapat keputusan, pada hari yang dijanjikan mereka akan berkumpul dijeti dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kerja-kerja mengangkat  menyusun peralatan bantuan dan bekalan makanan ke dalam bot-bot panjang yang bakal digunakan. Setelah selesai semua urusan tersebut, pada kebiasaannya mereka akan memulakan perjalanan pada sebelah petang antara jam 3:00 ke 4:00 petang.  Pertimbangan  itu berdasarkan jarak lokasi sarang, samada yang berada jauh didalam hutan atau sebaliknya. Mereka akan mencari tempat melabuhkan bot-bot mereka dilokasi yang sesuai dengan jarak yang paling dekat dari lokasi Sarang Lebah Pokok Tualang. Dari situ mereka bekerjasama  membawa semua beban peralatan dan bekalan makanan. Perjalanan berjalan kaki meredah hutan  ke lokasi sarang lebah, harus sampai pada waktu sebelum matahari terbenam. Tujuannya untuk memudahkan, merancang kerja-kerja dengan lebih kemas dan teratur. Supaya mendapat rehat secukupnya dari kepenatan membawa beban. Sekiranya cuaca mengizinkan sepertimana yang dijangkakan, maka  kerja-kerja menuai madu lebah akan dimulakan selepas selesai solat maghrib.





Tata Cara Menuai Madu Lebah

Tukang panjat pokok merangkap mengambil madu lebah terlebih dahulu akan berbincang dengan pakar lestik . Mereka membincangkan untuk memilih dahan  paling hampir pada lokasi  sarang untuk menyangkutkan tali. Supaya Tukang panjat tidak perlu sia-sia membuang tenaga untuk memanjat lebih tinggi. Tenaga diperlukan untuk membuat tangga paku yang bertingkat-tingkat, memudahkan dia berpaut ketika kerja-kerja menuai madu dilakukan nanti. Dalam gelap gelita Tukang lastik menyediakan batu ladong yang telah diikat dengan benang tangsi, untuk dituju ke arah dahan yang telah mereka pilih. Sebagai tukang lastik mahir, kemana sahaja yang dikehendai oleh tukang panjat dia akan melaksanakan. Hanya dengan beberapa kali usaha melastik ke arah tempat yang dituju, benang tangsi sudah tersangkut pada dahan pokok Tualang yang tinggi. 





Walaupun dalam gelap gelita pakar tali mempunyai kaedah mencari batu ladung yang jatuh diatas tanah. Setelah menjumpai batu ladung yang diikat dengan benang tangsi, maka tugas itu diambil alih pula oleh pakar tali, yang sudah bersiap sedia dengan berbagai jenis saiz tali. Benang tangsi akan diikat sambung kepada tali bersaiz kecil dan ditarik naik melepasi dahan pokok. Proses itu diulangi semula dengan tali kecil diikat sambung kepada tali bersaiz sederhana. Tata cara itu diulang sama seperti sebelumnya sehingga diikat sambung dengan tali bersaiz besar. Proses ini terpaksa digunakan secara berperingkat peringkat dari semua jenis saiz tali  . Ini disebabkan tali bersaiz kecil tidak berupaya menaikkan tali bersaiz besar yang terlalu berat untuk ditarik, pada ketinggian dahan pokok tualang. Setelah itu tali bersaiz besar akan dinaikkan bersama takal ( Pulley) yang telah diikat sempurna dan kemas. Mereka akan memastikan takal( Pulley) berfungsi dengan lancar. 



Sejurus kedudukan takal yang tergantung bersama tali dalam keadaan kemas dan sempurna didahan pokok itu selesai. Maka  kerja-kerja memanjat pokok sudah boleh dilakukan. Semasa kerja-kerja menaikkan tali dijalankan, tukang panjat mempersiapkan dirinya dangan pakaian yang sesuai bagi mengurangkan  kesan bisa sengatan lebah-lebah. Dengan berkaki ayam, memakai seluar panjang yang tebal dengan hujung kaki seluar diikat. Supaya lebah-lebah tidak memasuki dari bahagian kaki. Memakai 2 helai baju lengan panjang jenis fabrik yang tebal, juga diikat kemas dibahagian pergelangan tangan. Memakai sarung kepala yang menutupi bahagian leher, kepala dan sebahagian wajah muka. Setelah semua kelengkapan siap dan yakin, maka dia mengikat dirinya dengan tali untuk ditarik naik ke atas pokok. Ikatan kemas dibahagian pinggang dan celah kelangkang sebagai usaha keselamatan diri sambil bertawakal. Bersamanya dia akan membawa tukul besi, paku, badik dan pemetik api.





Kerja-kerja menaikkan sipenuai madu lebah dilakukan oleh 3 ke 4 orang pekerja mahir yang telah dikhaskan. Dengan mempunyai rekod  sifar malapetaka, dalam keadaan tergantung-gantung sipenuai dinaikkan dengan selesa tanpa menimbulkan perasaan cemas. Sesampai diatas dahan yang hendak dituju. Sifat keberanian menghadapai keadaan gelap gelita diatas dahan tualang yang tinggi, sambil mencari imbangan yang selesa dan selamat untuk bertapak. Kemudian melakukan usaha membuat tangga menuju ke dahan sarang lebah. Satu persatu paku diketuk terbenam pada dahan pokok. Kedalaman setiap batang paku dibenam dianggarkan lebih kurang 3 inci dalamnya. Jarak antara sebatang paku ke sebatang paku dianggarkan 1 kaki. Dipacakkan pada kiri dan kanan sisi batang pokok secara berselang seli hingga ke tempat sarang lebah.    



Pada saat ini isyarat dari atas diberi supaya dihulurkan beberapa batang andang bersama bakul mengkuang/buluh untuk dinaikkan keatas. Setelah memperbetulkan kedudukan diatas pokok, andang yang diperbuat dari lilitan ikat bersalut dengan sabut kelapa  itu akan dinyalakan. Andang yang terbakar itu akan disapu-sapukan kebahagian badan sarang lebah. Seni sapuan andang ke sarang lebah hendak dilakukan dengan tertib. Api andang tidak boleh terlalu dekat pada sarang nanti madu akan tercemar dengan rasa hanggit terbakar. Serentak dengan itu koloni lebah terkejut berterbangan lintang pukang tanpa arah, dalam gelap meninggalkan sarangnya. Kepanasan api berupaya mengejutkan koloni lebah untuk meninggalkan sarang. Tetapi percikan bara api andang seperti butiran bunga api pula berupaya mengalih pandangan koloni lebah. Kumpulan lebah akan mengejar bara api yang jatuh kebawah. Disebabkan api bara yang jatuh dari tempat yang sangat tinggi, maka ia akan terpadam sebelum sampai ketanah. Koloni lebah yang mengejar bara pada mulanya akan sesat hilang punca dalam kegelapan. Walaupun sempat ditepis dengan tangan beberapa kali serangan lebah, namun dua tiga ekor pasti berjaya meninggalkan sengatan. Hukum ini wajib dirasai oleh sipengambil madu. Beliau kena kuat bertabah menahan rasa sakit  bisa sengatan lebah semasa proses menghalau lebah.




Sebagai yang sudah berpengalaman, beliau mengetahui bahagian-bahagian sarang yang dipercayai mengandungi madu lebah. Maka memilih bahagian itu dikerat dengan pisau secara cermat pada bahagian tertentu bagi mengelakan kebocoran sarang. Sarang yang dipotong disusun masuk kedalam bakul sehingga penuh lalu diturunkan. Proses ini akan diulangi beberapa kali sehingga bahagian sarang yang mengandungi madu itu habis. Adab pengambil madu akan meninggalkan bahagian sarang yang mengandungi lava dan anak-anak lebah sebagai kelangsungan kehidupan koloni lebah dikawasan tersebut.  Selepas semua proses selesai barulah pengambil madu itu turun dengan proses yang sama semasa naik. Tugas menuai madu telah selesai dijalankan dan ia akan berehat, sementara itu pekerja lain menjalankan kerja-kerja menurunkan tali dan berkemas.Setelah selesai berkemas, mereka membawa peralatan masing-masing dan memikul hasil sarang lebah berjalan menuju ketempat bot mereka berlabuh untuk pulang. 






Tatacara Mengumpul dan Perlaksanaan Pembahagian Hasil Tuaian Madu.

Setelah sampai di jeti, kumpulan ini akan bergerak pergi ke lokasi rumah bersama hasil tuaian untuk  membahagi-bahagai hasil tuai madu lebah. Disana sarang-sarang yang telah dikerat akan dikeluarkan madunya dari sarang. Kepakaran dalam membelah sarang adalah diperlukan supaya tidak rugi dimana semua madu didalam sarang dapat diambil setiap titik. Mereka akan mencari pangsa khas bagi menumpahkan keseluruhan kandungan madu didalam sarang. Keseluruhan madu akan ditakung masuk kedalam bekas khas kemudian proses pembahagian hasil dapat dilakukan.










Sifir pembahagian hasil tuai madu telah mempunyai kata sepakat dan dipersetujui sejak dari lagi, iaitu ; Tukang Panjat merangkap mengambil sarang lebah akan mendapat 2 koleh/cawan madu, manakala pekerja-pekerja yang lain akan menerima 1 koleh/cawan.  Mana-mana baki madu yang tidak boleh dibahagikan, maka antara mereka akan kalah mengalah atau tolak menolak untuk tidak menerima baki itu. Atas budi bicara dan adab kesantunan antara mereka menyelesaikan pembahagian tersebut. Pada kebiasaannya mereka akan mengikut giliran atau mengikut keperluan senang susah ahli kumpulan pada ketika itu.Prinsip yang tidak pernah tertulis antara mereka ini telah diamalkan dengan baik sejak dulu lagi demi keharmonian silaturahim. 





Setelah pembahagian madu dilakukan secara saksama, proses seterusnya dikehendaki setiap orang akan menapis menyuring madu  menggunakan penuras kain benang halus. Proses memisahkan madu dari cebisan sarang, debu dan habuk untuk mendapat kualiti madu terbaik . Setelah selesai disuling madu itu  akan dimasukkan kedalam botol mengikut saiz botol. Madu Lebah Tualang dari Kampong Pagi Ulu Tembeling  telah ditetapkan pada harga RM 200.00 sebotol bersaiz sekati. Setiap kali tuaian madu memang telah ada pelanggan menunggu secara mengikut giliran untuk membelinya. Kadang-kadang madu untuk kegunaan sendiri terpaksa dijual kepada orang atas sebab-sebab kesihatan sipembeli. Semua kerja selesai dan boleh pulang kerumah antara jam 3:00 ke 4:00  pagi.



Kesimpulan yang dapat dibuat , madu asli Tualang memang telah terbukti khasiat dari sudut kesihatan badan manusia. Jadi mana-mana benda yang asli, pada adatnya memang susah untuk diperolehi. Ia susah diperolehi kerana  melibatkan ramai tenaga pekerja yang ada sifat keberanian, cekal, kemahiran dan menuntut kekuatan mental dan fizikal. Adalah tidak munasabah sekiranya madu tualang yang asli, ada banyak dipasaran dengan harga tawaran yang murah.











Janganlah sesekali cuba tawar menawar untuk menurunkan harga yang telah ditawarkan ketika hendak membeli Madu Tualang Asli, kerana perbuatan itu menzahirkan sifat keji yang memalukan diri sendiri. Perbuatan  itu dianggap sebagai satu penghinaan kepada  pencari madu.