Thursday 5 September 2019

Pekaka Cekak-perang ~ Actenoides concretus ( Rufous Collared Kingfisher )Cari Makan


Pemerhatian Burung Pekaka Cekak-perang ~ Actenoides concretus ( Rufous Collared Kingfisher ) Cari Makan.





Pemerhatian ini telah dibuat pada bulan Ogos 2019 yang lalu di Hutan Simpan Taman Negeri Selangor Sungai Congkak. Sekitar jam 10:30 pagi sekor burung betina Pekaka Cekak-perang ~ Actenoides concretus ( Rufous Collared Kingfisher ) dilihat sedang bertenggek membatu pada sebatang akar yang tersangkut antara 2 batang pokok. Paras ketinggian tempat ia bertenggek tidak berapa tinggi dianggarkan 3 ke 4 meter dari lantai hutan. Kedudukannya betul-betul membelakangkan sinar cahaya matahari yang tembus pada ruang rimbunan daun-daun pokok kelihatan seperti berlubang. Keadaan seperti itu memang stratigik untuk dia melihat mangsa bergerak dengan bantuan lempahan cahaya , tetapi tidak sesuai kepada pihak si pemerhati. Ya mendatangkan silau pada permandangan mata juga tidak dapat melihat dengan jelas. Apatah lagi bila imejnya dirakam akan menghasilkan kualiti rakaman yang kurang baik. Untuk mengubah lokasi pemerhatian lain, ia tidak sesuai pula disebabkan rimbunan tunbuhan melindungi permandangan tepat pada burung.




Dalam suasana cahaya yang suram gelap dan dengan sedikit bantuan cahaya matahari  burung itu membuat pemerhatian calon mangsa. Bertenggek keras membatu diranting itu sangat lama, dianggarkan 15 ke 20 minit. Dalam tempoh itu sesekali ia menoleh ke kiri dan kekanan. Kadang-kadang membuka luas paruh seperti menguap dan ada juga dia membuat renggangan otot pelepah sayapnya. Tidak semena-mena dengan tidak mengayakan ia akan melonjak hendak terbang, burung itu  seperti menjunam dengan kedua belah sayap terkatup pada badan. Meluncur laju ke arah kawasan rimbunan tumbuhan renek rendah, bertindak serentak menyambar pantas dengan mengetip mangsa dengan paruhnya. Sejurus dengan itu ia terus terbang menghala ke arah dalam hutan yang lebih ke dalam. Pada saat itu juga sempat melihat  arah hala tuju kawasan tempat ia terbang hinggap bersama mangsa. Mengekori perlahan-lahan secara terbongkok-bongkok meredah ranting dan mengelak akar rotan. Dalam terbongkok-bongkok itu mata melilau mencari  dimana burung itu hinggap bertenggek.




Pada jarak 2 meter tempat saya berdiri terlihat burung itu sedang bertenggek pada ranting pokok yang rendah hampir separas dengan mata. Burung itu kelihatan megah mengepit mangsanya, sekor serangga dari jenis Mentadak Mentadu ( Praying Mantis ). Paruhnya yang besar mengepit erat bahagian perut dengan keadaan kepala serangga itu bergerak-gerak terjuntai kebawah. Dengan keadaan terkepit  Mentadak mentadu itu seperti telah hilang daya upaya untuk hidup lagi. Berserah dan menerima sahaja apa yang bakal berlaku kepada dirinya. Menunggu saat tubuh badannya dilibas-libas dengan kuat berpusing-pusing sehingga separuh mati. Kemudian merasa hal keadaan seluruh batang tubuhnya masuk perlahan-lahan kedalam saluran kerongkong burung yang sempit itu. Setelah proses selesai dan burung itu merasa yakin mangsa telah lemah terkulai, barulah ia membetulkan kedudukan badan mangsanya. dengan mengimbang-imbang kedudukkan badan pada posisi kepala di dalam anak tekak dan badan diluar paruh.




Memandangkan saiz mangsa lebih besar dari rongga tekak yang menyukarkan proses menelan. Maka burung itu  mendonggakkan kepala, lalu meradak makanan dengan menghenjut-henjutkan kepala. Mentadak mentadu yang separuh mati itu melorut masuk dalam saluran kerongkong seterusnya tersimpan mereput dalam tembolok. Sejurus itu, kelihatan burung mengerakkan otot dalaman badan untuk membetulkan kedudukan mangsa makanannya. Selepas itu ia bertenggek tegak terpaku untuk satu tempoh yang lama. Memerhatikan perilaku burung sehingga ia sendiri secara semulajadi terbang hilang pergi entah kemana. Ini bukan pemerhatian kali pertama spesis burung Pekaka Cekak-perang ~ Actenoides concretus ( Rufous Collared Kingfisher ).



Sepanjang memburung boleh dikatakan telah banyak kali berpengalaman melihat tingkah laku spesis ini. Samada jantan, betina atau pun juvana. Berdasarkan pengalaman itu menjadi tanda tanya pada saya, mengapa ia tidak terbang menghilangkan diri,  setelah ada manusia datang rapat kepadanya. Pernah beberapa kali bertindak rapat pada  kedudukan, antara saya dengan burung boleh ditangkap dengan tangan. Proses itu tidak menggunakan apa-apa alat helah atau umpan. Proses itu dilakukan secara alami semulajadi. Pada saat itu, saya terpaksa menukar kamera lensa 300mm kepada kamera lensa 100 mm untuk tujuan rakaman.  Persoalannya mengapa sampai jadi begitu? Disini saya ingin mencadangkan bahawa ada besar kemungkinan sistem penglihatan  mata burung ini tidak  sama dengan sistem mata manusia. Di alam ini ada berbagai-bagai bentuk dan jenis  rekabentuk yang dijadikan oleh Allah. Setiap makhluk mempunyai sistem dan bentuk kanta mata  yang sesuai dengan apa yang diperlukan. Sebagai contoh Burung dari spesis Pungguk, Cucur, Tukang tentu sekali tidak sama dengan spesis Pucung, Berkik dan bla bla.  Spesis Keluang  , Kelawar ( permandangan terbalik ), Jenis Serangga tentu ada perbezaan dari sudut reka bentuk kanta penglihatan. Ada yang melihat dengan pandangan tanpa warna, ada yang melihat warna  berbeza dengan apa warna yang dilihat dari mata manusia.



Memandangkan saya hanya pemerhati burung biasa-biasa sahaja bukan ahli ornitologi, maka saya mencadangkan ada besar kemungkinan sistem mata burung Pekaka Cekak-perang ~ Actenoides concretus ( Rufous Collared Kingfisher ) menggunakan sistem kanta mata yang boleh mendekatkan  (zoom) imej objek yang jauh, pada satu-satu masa. Dalam erti kata lain ia berupaya mengerakkan otot-otot mata sesuai dengan keperluannya.  Dengan sistem begitu burung melihat objek yang jauh seperti melihat pada jarak yang dekat atau dengan pandangan micro. Dalam waktu yang sama  mana-mana objek berhampiran dengannya pula akan menjadi kabur. Disaat itu segala urusan menjaga keselamatan dirinya bergantung penuh dengan kecekapan deria pendengaran. Atas alasan  ini burung tidak ketakutan ketika saya secara senyap dan perlahan-lahan bertindak rapat menghampirinya. kerana pandangan kabur. Hendaknya dimasa  akan datang akan ada pelajar  atau ahli ornitologi tempatan mendalami kajian mata burung, demi membuktikan secara ilmiah sains akan kesahihan cadangan ini. Waallah huua'lam bis sawaab. Wasalam.
   

















Pemerhatian Burung Tangkap Lalat



Pemerhatian Burung Tangkap Lalat
Pucong Kecil~Butorides striatus ( Little Heron )



Nota Pemerhatian

Di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ada cabang sebatang anak sungai Klang yang cetek, kotor dan busuk mengalir terlalu perlahan. Aliran air yang lesu itu terhalang oleh berbagai bentuk dan jenis sampah sarap. Terlalu banyak kalau ingin ditulis satu persatu, dan jika ditulis akan mendatangkan pulak malu.Itu petanda penghuni yang mendiami bandaraya yang serba maju dari segi infratruktur adalah dari jenis metaliti manusia kelas dunia ke 3. Paras air anak sungai ini juga berlain-lain keadaan. Ada yang berlumut lembab serta berselut , ada yang cetek airnya dan ada yang terkepung  menjadi kolam mini. 



Walaupun air anak sungai ini mengalir, namun pada hemat peribadi saya ia tidak sah untuk berwuduq , lantaran kekotoran yang melampau. Ada disebahagian tempat, walaupun air nampak jernih tetapi berbau hanyir dan busuk. Kerana mana ada sungai dan parit didalam bandaraya Kuala Lumpur yang bersih, semuanya kotor belaka. Sungguh pun begitu  di sepanjang anak sungai itu telah tersedia  rezeki bekalan makanan untuk makhluk-makhluk ciptaannya, jika berusaha mencari. 


Seekor burung juvana Pucung Kecil~Butorides striatus ( Little Heron ) kelihatan bersendirian sedang berjalan dikawasan gigi anak sungai. Kadang-kadang berjalan diatas selut dan kadang-kadang jari kakinya basah berendam kerana meredah air. Habis keting kakinya terlekat lendir lumut warna kehijauan. Kemudian hilang kembali setelah berjalan meredah air dikawasan cetek. Sambil berjalan kepalanya terhanguk-hanguk dengan sepasang mata tajam mencari objek yang boleh dimakan. Setelah lebih kurang 2 meter terhanguk-hanguk meredah air , burung itu berhenti diatas sebuah tayar kenderaan yang terbenam dalam selut. Bersebelahan tayar itu ada pempers bayi yang baru dibuang bersama-sama najis bayi yang masih terlekat pada pampers. 


Disitu juga ada sekor bangkai ikan Talapia yang telah kembung perutnya menunggu pecah. Mungkin akibat terperangkap dalam kolam mini yang telah bertukar menjadi racun kepada ikan malang itu. Gabungan bangkai ikan dan najis bayi pada pampers itu sudah tentu menarik perhatian lalat. Gerombolan lalat menghurong kedua objek itu secara bersepah-sepah dan bertitih-titih. Ada yang bertenggek diatas najis ada yang berpusing-pusing beterbangan mengelilingi kawasan itu. Burung juvana Pucung Kecil~Butorides striatus ( Little Heron ) berjalan seperti didalam taman tanpa apa-apa sebarang tindak balas pada suasana busuk disitu. Berdiri tegak sambil memerhati kawasan sekeliling. 


Tidak semena-mena dengan kekuatan tulang batang leher panjang dan ketajaman mata burung dia membuat patukan ke udara sekelilingnya. Adakalanya dibahagian kiri, ke atas dan ke kanan. Dari jauh kelihatan tindakan burung itu seperti perbuatan sia-sia. Tetapi apabila dilihat pada imej rakaman kamera, tindakan burung itu sebenarnya bukanlah kerja sia-sia. Dihujung parung  itu terkepit lalat-lalat yang berjaya ditangkap dengan hujung paruh runcingnya. Pemerhatian perilaku burung menangkap lalat yang sedang terbang adalah pekara yang baharu pada saya. 



Pada kebiasaan melihat spesies ini mencari makanan dari jenis ikan, udang , cacing atau ketam. Samada dengan merejam paruhnya ke dalam air atau membenamkan parut didalam selut atau tanah. Tetapi  perilaku menangkap lalat di udara untuk menangkap lalat merupakan pengalaman baharu. Pemerhatian ini menjadi bukti jelas tentang kecekapan burung menggunakan gabungan pancaindera yang dicipta oleh Maha Pencipta seperti mata, paruh dan batang lehernya untuk mencari rezekinya.  Kecepatan tujahan paruh ke udara sambil mengepit lalat mengatasi pepantasan lalat-lalat sedang terbang. Wasalam.