Sunday, 22 March 2015

Kubung~Cynocephalus variegatus ( Colugo or Flying Lemur )


Pemerhatian Mamalia.

Kubung ~ Cynocephalus variegatus  ( Colugo or Flying Lemur  )

Mamalia ini jarang sekali dapat kita melihatnya kerana ia aktif, ketika bermulanya waktu senja membawa ke waktu malam. Penyamaran adalah salah satu cara ia menyelamatkan diri daripada musuh-musuhnya. Warna bulunya hampir menyamai dengan tempat ia berpaut dan bergantung.




Hampir setiap hari saya meredah hutan namun jarang sekali saya dapat berjumpa dengan  Kubung~Cynocephalus variegatus . Kali terakhir saya berjumpanya pada 24 Ogos 2011 di Hutan Bukit Freazer.

 


Baru-baru ini saya berpeluang membuat pemerhatian yang agak lama , iaitu selama 2 malam berturut-turut. Dengan peluang sebegini maka dapatlah sedikit sebanyak saya mengetahui akan mamalia unik ini yang sangat kurang pengkaji mendapat peluang membuat pemerhatian tentang tingkah laku ketika dilapangan kehidupan semulajadi.



Pada hemat mata saya, bentuk tubuh dan saiz  Kubung~Cynocephalus variegatus seakan-akan menyerupai seekor Kancil , tetapi berkebolehan terbang bersewah, bergayut dan memanjat. Kubung~Cynocephalus variegatus mempunyai lapisan selaput kulit nipis ( pada pandangan bawah ) dan berbulu ( pada pandangan atas ) yang menyaluti bahagian 2 tangan hadapan bersambungan pada 2 bahagian kaki belakang ( berkedudukan seperti kaki belakang Arnab dan Kanggaro ) yang bersambung pula pada bahagian ekor yang bertulang kuat yang agak panjang. Bentuk selaput kulit menyamai selaput kulit yang ada pada spesis Keluang, Kelawar dan Tupai Terbang.




Mempunyai 5 jari  yang berkuku panjang bercangkuk tajam dan kukuh sebagai membantunya bergayut, mencengkam dan bergantung. Walaupun mempunyai sepasang tangan bahagian hadapan, tetapi ianya hanya berfungsi untuk kerja-kerja mendepang, memanjat, bergayut, mendakap dan bergantung sahaja. Genggaman 2 tangan hadapan tidak digunakan untuk memetik dan mengambil makanan untuk disuapkan ke dalam mulutnya sepertimana perbuatan spesis Siamang, Ungka, Lotong, Beruk ,Kongkang dan Tupai menyuap makanan kedalam mulut.


Kubung~Cynocephalus variegatus mengambil makanannya terus menggunakan mulutnya sepertimana Kancil, Kijang , Rusa , Lembu dan lain-lain. Menjadikan pucuk-pucuk, putik tumbuhan sebagai makanan rujinya. 



Sepasang mata bulat Kubung~Cynocephalus variegatus berkebolehan melihat dengan tajam dan jelas pada jarak yang agak jauh pada waktu malam gelap gelita. Keistimewaan ini yang hampir sama dengan penglihatan spesis Burung Bertemak dan Burung Tukang.


Tidak diketahui pula akan kebolehan kakitangan yang mempunyai selaput kulit itu samada , berupaya  berkepak berfungsi sepertimana pelepah sayap burung yang mampu mengubah haluan-haluan penerbangannya ketika sedang berterbangan.

Pergerakan Kubung~Cynocephalus variegatus adalah sangat pelahan, hampir menyerupai pergerakan spesis Kongkang~Nycticebus coucang. Sejurus hinggap mendakap batang pokok, setelah membuat penerbangan ia akan bergerak perlahan-lahan naik kebahagian yang tinggi. 




Andaikata ia berada dilantai tanah ia akan mengesut-gesut dengan perlahan seperti anjing laut melakukan pergerakan. Keadaan ini sangat merbahaya kepada keselamatan dirinya. Hendaknya kita sebagai manusia yang mempunyai hatibudi dan akal apabila terserempak haiwan ini dilantai tanah hendaklah kita memberi belas ehsan kepadanya supaya tidak mengapa-apakannya. Berikan ia masa untuk memanjat pokok untuk menyelamatkan dirinya. Ketika itu ia hanya mengharapkan belas ehsan manusia sahaja kerana ia memang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan dirinya.



Cara Membuang Najis Dan Mengulung Selaput Kulit Ekor Kubung~Cynocephalus variegatus


Selepas Kubung~Cynocephalus variegatus  berjaya hinggap pada batang pokok ekornya akan menjongkit, ketika itu selaput kulit bahagian bawah akan jelas kelihatan, termasuk tulang ekor serta buritnya.



Ada ketikanya ia akan membuang najisnya jatuh menitik-nitik dan bertaburan dibawah pokok. Kemudian ia akan mengulung selaput kulit dengan kekuatan tulang ekor secara perlahan-lahan hingga terkatup masuk dibawah punggungnya.



Pemerhatian Ketika Kubung~Cynocephalus variegatus Mencari Makan

Daripada apa yang dapat diperhatikan, Kubung~Cynocephalus variegatus gemar memakan pucuk daun dan putik pokok-pokok buah-buahan seperti gajus yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Ia akan secara senyap dan pelahan-lahan dalam gelap memanjat ranting-ranting secara tubuh badannya dalam keadaan bergayut. Keempat kaki tangannya memegang dahan manakala badannya tergantung dibawah.










Penjagaan Anak

Setiap musim mengawan pasangan Kubung~Cynocephalus variegatus berupaya mempunyai seekor anak yang akan sentiasa dikendung dibahagian selaput kulit belakang kaki dan tulang ekornya. Ia akan membawa kemana-mana sahaja anaknya itu sehingga ia boleh berdikari sendiri.





Apa yang menjadi persoalan saya ialah tentang kekuatan , kemahiran dan kecekapan Kubung~Cynocephalus variegatus mengendalikan anaknya ketika ia membuat penerbangan dan hinggap pada batang pokok dalam keadaan anaknya berada dibawah selaput kulit punggung ibunya itu. Tidakkah anaknya itu tercedera akibat terhantuk pada batang pokok yang keras ketika ibunya hinggap didalam gelap pada batang pokok?  Bagaimana ia mengawal situasi sebegitu tidak dapat saya ulas.



Memanjat naik kebahagian yang lebih tinggi dengan beban berat anaknya merupakan satu keadaan yang meletihkan . Pastinya ia memerlukan kekuatan kakitangan yang dibantu oleh kuku bercangkuk yang tajam untuk memudahkan pergerakan dilakukan.  




Bagaimana kaedah ibunya memberi anaknya makan masih menjadi tandatanya. Samada Ibunya itu akan memberi suapan mulut ke mulut seperti burung ataupun anaknya itu mengambil sendiri pucuk-pucuk daun untuk dimakan. Semuanya masih menjadi tandatanya kepada saya. Hendaknya dimasa akan datang saya berpeluang membuat pemerhatian ini. Wasalam.  

Wednesday, 11 March 2015

Upacara Mengeringkan Buluhias Dan Kepercayaan Masyarakat


But-But Besar~Centropus sinensis

Ketika terlihat But-But Besar~Centropus sinensis ini,  ketika itu dia sedang berdiang mendepangkan pelepah sayap bagi tujuan mengeringkan buluhiasnya yang lembab basah disebabkan oleh embun dan hujan pagi.

But-But Besar~Centropus sinensis

Sepertimana pemerhatian yang  biasa dilihat, burung ini akan memilih tempat yang terbuka dan tinggi bagi mempercepatkan proses pengeringan buluhias. Buluhias harus dikeringkan terlebih dahulu bagi melancarkan ia terbang mencari makanan dengan lebih mudah tanpa menggunakan tenaga yang banyak. Jika dibandingkan terbang dalam keadaan buluhiasnya yang basah dan berat. Apatah lagi reka bentuk dan saiz sayapnya agak pendek jika dibuat perbandingan dengan spesis burung Helang atau Gagak.

But But Besar~Centropus sinensis

Keupayaan burung mengimbangkan tubuh badannya tanpa bergerak, pada ranting berukur lilit kecil sambil mendepangkan kedua belah pelepah sayapnya untuk satu tempoh jangkamasa yang lama mengambarkan burung ini mempunyai sepasang kaki yang kental dan genggaman jejari kaki yang kuat.

But But Besar~Centropus sinensis

Memang kelakuan burung dari keluarga But-but ini lebih mengutamakan kakinya untuk bergerak dengan berjalan dan melompat daripada menggunakan pelepah sayapnya.  Ia hanya akan terbang bilamana dirinya terancam atau terbang secara bersewah dari tempat yang tinggi hinggap ke ranting atau dahan yang rendah . 

But But Besar~Centropus sinensis
Kepercayaan Masyarakat

Masyarakat Melayu mempunyai kepercayaan terhadap spesis burung ini adalah penting dalam bidang perubatan tradisonal. Yang mana organnya atau minyaknya berupaya menyembuhkan kecederaan sakit terseliuh atau patah. Persoalannya spesis But-But yang mana satu diantara 3 spesis dari keluarga burung But-But yang dimaksudkan oleh pengamal bidang perubatan tradisonal. But-But kecil~Centropus bengalensis, But-But Besar~Centropus sinensis atau But-But kaki-pendek ~Centropus rectunguis ?

But-But kecil~Centropus bengalensis

Monday, 9 March 2015

Hikayat Dongeng Air Bah


Malaysia negara indah permai yang bertuah , dulunya seolah-olah dilindungi oleh Penciptanya  daripada malapetaka besar seperti Tanah Runtuh, Taufan Puting Beliung, Bah Besar, Gempa Bumi, atau Tsunami. Dipendekkan cerita, sekarang ini malapetaka telah mulai rajin menimpa tanahair kita secara bersiri tanpa henti.


Bumi ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu manusia sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang telah kamu lakukan.~Hadis Riwayat Muslim
Tupai Kerawak Hitam~Ratufa bicolor mendiami kawasan hutan yang mempunyai pokok-pokok yang tinggi menjadikan buah-buahan hutan, tunas pokok dan pucuk-pucuk daun sebagai diet utama mereka.


"Ghost of the Forest" adalah gelaran burung Pekaka cekak perang~Actenoides concretus kerana spesis ini sukar untuk ditemui kerana ia tinggal didalam hutan yang tidak tercemar. Penimbang aras dan penentu sesebuah kawasan hutan yang kaya dan tidak tercemar adalah, bilamana spesis burung ini mendiami kawasan hutan tersebut.


Tumbuhan hijau yang matang merupakan payung bumi dan juga adalah merupakan tempat haiwan dan hidupan lain mencari kebebasan kehidupan, bersembunyi gembira tanpa gangguan manusia penakluk yang tamak haloba.

Sambaraja Nila~Hypothymis azurea tidak tinggal dikawasan ladang kelapa sawit, ladang getah , belukar, kebun atau pun kawasan lapang. Spesis ini hanya tinggal didalam hutan rimba.

Tiada sejarah membuktikan bahawa Siamang~Sympalangus syndactylus boleh tinggal didalam ladang kelapa sawit dan ladang getah. Sarangnya dibuat diatas pokok-pokok hutan matang jauh didalam hutan belentara. Ruji diet pemakanannya adalah dari buah-buah hutan, pucuk-pucuk dan tunas-tunas daun hutan.


Pokok-pokok hutan seperti ini mengambil beratus tahun untuk menjadi matang, malangnya manusia yang tamak haloba dan kejam memandang hutan sebagai laba milik peribadi mereka.
Kini Lotong Chenekeh~Presbytis siamensis telah mula kerap kelihatan dikawasan-kawasan penempatan manusia kerana kawasan untuk mereka berlindung dan mencari makanan telah menjadi kecil. Spesis Lotong-lotong akan mula dianggap sebagai haiwan perosak tanaman oleh manusia dari hasil perancangan dan tindakan manusia sendiri.

Kura-kura katup~Cuora amboinensis


Sambar Kenari Kepala Kelabu~Culicicapa ceylonensis





Ular Kapak Tokong~Tropidolaemus wagleri
Ular Sawa Batik~Python reticulatus


Untuk mengupas sebab musabab, mengapa dan bagaimana pekara ini terjadi, saya sendiri mengakui tidaklah mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu alam atau sains. Saya bukan Datuk Prof.Dr.emeritus atau sekian-sekian. Tetapi saya hanya rakyat jelata yang melihat dan berfikir menggunakan kaedah hukum Wajib, Harus, dan Mustahil. Sekiranya jawapannya tersasar pun, saya yakin pastinya ia tidak jauh.


Ungka~Hylobates lar


Ilmu perhutanan dan perkayuan yang dikurniakan oleh Allah kepada seseorang individu telah disalah gunakan. Ilmu yang dimilikinya itu sepatutnya, mereka bertanggung jawab memelihara tumbuhan dan apa-apa kehidupan didalamnya. Malangnya mereka menjadi agen pemusnah hutan.

Malkoha perut hitam~Phaenicophaeus diardi
Belatuk Leher kuning langsat~Meiglyptes tukki
Tuntong Sungai~Batagur baska

Banteng~Bos javanicus

Tenggiling~Manis javanis

Kawasan Hutan Tanah Gambut yang telah hampir mengecil dari masa kesemasa. Masih banyak maklumat yang kita tidak ketahui tentang spesis kehidupan haiwan, serangga, ikan, raptilia yang tinggal dikawasan hutan tanah gambut.

Siapa boleh menidakkan letak kedudukkan Tanahair kita Malaysia di garisan Khatulistiwa ? Bentuk mukabuminya yang berpelbagai bentuk dan jenis hutan. Ada yang Hutan Berpaya , Hutan  Tanah Pamah, Hutan Sederhana Tinggi dan Hutan Pergunungan. Setiap bentuk mukabuminya itu telah dilengkapkan pula dengan kesesuaian ciri-ciri habitat kehidupan penghuninya berserta tumbuh-tumbuhannya.

Bukti imej keratan akhbar balak-balak yang tidak sempat dibawa keluar daripada hutan bertaburan diatas jalanraya kesan daripada kekuatan dan besarnya arus air bah yang berupaya membawa bertan-tan kayu balak.

Ini bermakna negara kita memang dari dahulu lagi akan menerima limpahan air hujan yang banyak. Oleh sebab itu Allah telah melengkapkan tumbuhan pokok-pokok hutan rimba yang luas sebagai  penyediakan tebatan banjir semulajadi. Malangnya ramai manusia yang buta mata hatinya, dengan sengaja tidak mahu menjaganya, malah mereka menjahanamkan benteng malapetaka ini.

Sepertimana yang telah  dan sedang giat berlaku pihak pengurusan tanahair sedang merancang satu projek raksasa malapetaka yang tidak kurang hebatnya daripada apa yang baru terjadi itu. Nanti, seperti yang sudah-sudah, dengan tanpa rasa aib  mereka akan menyalahkan suratan takdir. Menuduh kejadian itu semua terjadi  adalah kehendak ilahi yang tidak boleh dielakkan.

Jumlah kerugian dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh manusia akibat air bah besar setelah doa-doa ribuan haiwan yang teraniaya dimakbulkan oleh pencipta sekelian alam.

Kaedah yang murah ,lebih bijaksana dan berkesan iaitu  tebang dan bakar.
Kemusnahan Alam Sekitar secara berjadual. Proses bermula dengan penebangan pokok untuk hasil balak, kemudian diganti dengan pertanian dan diikuti pula dengan meratakan batuan bukit untuk industri simen.

 Hutan dan batuan seperti ini akan menerima gilirannya untuk dilenyap setelah  projek industri simen ditempat lain tamat.



Pemandu-pemandu jentera berat yang memerah keringat mencari rezeki halal dengan menjadi agent pemusnah alam sekitar.


Kesan batuan batu kapur yang telah diletupkan untuk tujuaan membuat simen.

Keupayaan jentera-jentera berat ini berkebolehan untuk meratakan bukit.


Didalam belentara ini penuh dengan hidupan unggas yang bertuhankan Allah jua, janganlah kita hanya memandang dengan pemandangan  mata kepala, pandanglah dengan mata hati.


Kekayaan sumber biodiversity didalam gua langsung tidak bernilai dari pandangan manusia berfahaman kapitalis.

Memang benar negara kita harus membangun, tetapi biarlah membangunnya itu secara beretika dengan mengikut hukum alam. Membangunnya itu harus, hasil labanya  biarlah dapat dirasai oleh semua golongan penduduk dan penghuninya. Sambil mengutamakan konsep "Menimbangkan kesan baik harus lebih banyak dari kesan buruknya". Bukanlah  hanya sekelompok golongan  yang berpedomankan keuntungan sahaja berpeluang mengaut laba tanpa berkesudahan.

 Kehidupan hakiki Musang Pulut~Paradoxurus hermaphroditus adalah didalam hutan, mereka tidak kenal akan bahaya jalanraya kesan pembukaan hutan secara berleluasa 
Ular Katam Tebu~Bungarus fasciatus
Dipercayai dari spesis Baning perang~Manouria emys emys

Musang Lamri~Paguma larvata~Mangsa Langgar Lari


Malkoha dada berangan~Phaenicophaeus curvirostris~ Mangsa Langgar Lari

Musang Lamri~Paguma larvata~Mangsa Langgar Lari

Babi Hutan~Sus scrofa

Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis

Semua Hidupan Liar yang dilindungi dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar tidak akan dilindungi sekiranya haiwan tersebut dibunuh dengan menggunakan kenderaan atau dibunuh melalui system berjadual. Iaitu  dengan memusnahkan tempat mereka berlindung dan mencari makan. Musang Pulut~Paradoxurus hermaphroditus


Setiap hari pasti berlaku kemalangan yang melibatkan hidupan liar.Kucing Batu~Felis bengalensis


Manusia menggunakan kebijaksanaan ilmu pengetahuannya dan kuasa yang diamanahkan kepadanya untuk berusaha mensucikan  segala macam perbuatannya, bagi membolehkan pekara yang jelas bertentangan hukum alam dapat dilaksanakan. Mereka akan memberi alasan dan berhujah seolah-olah mereka berada ditempat yang benar.


Akta Perlindungan Hidupan Liar tidak terpakai walaupun dengan jelas 23.36 hektar hutan tempat hidupan liar mencari makan dan berlindung akan musnah. Tidak kah tindakan ini satu tindakan kejam dan tidak peri kemanusiaan.

Kepada pembuat dasar dan penguatkuasaan pula, wajib yakin  akan kesan bencana yang akan berlaku sekiranya tidak sama-sama menjaganya. Kita pula jangan hanya menyokong dengan lisan tetapi tidak dengan perbuatan. Dalam diam dan sembunyi   menyokong serta membantu mempercepatkan kemusnahan khazanah negara yang tidak ternilai itu. Tidakkah golongan manusia ini mengetahui apa yang dilakukan adalah satu rancangan komplot besar-besaran untuk menindas. Penganiayaan yang kejam itu ditujukan terhadap makhluk bernyawa samada haiwan, serangga, burung dan tumbuhan.


Pastinya nanti jawapan kepada cadangan yang diajukan kepada pihak kerajaan akan melibatkan projek-projek raksasa tebatan banjir yang melibatkan ratusan juta ringgit.
Jawapan kepada keputusan ini telah dijangka ketika malapetaka Air Bah berlaku beberapa bulan yang lepas. Kontraktor berebut-rebut untuk mendapatkan projek tebatan banjir ini yang bernilai RM 568 juta.


1. Keputusan Pembuat Dasar.

Pembuat dasar hanya mematuhi sebahagian Al Quran iaitu dalam soal wajib haram dan beribadat sahaja. Tetapi mereka buta mata hatinya untuk tidak mematuhi saranan yang telah ditegaskan dalam ayat-ayat Al Quran yang lain. Apa yang mendukacitakan ialah para Ulama' hanya pandai mengupas segala macam isi Al Quran dan Hadis berkaitan sembahyang , puasa, haji, tetapi tidak pandai mengupas maksud ayat-ayat berhubung ayat-ayat penjagaan hak makhluk lain, kebersihan alam dan pengekalan alam sekitar.



Mereka tidak memberi keutamaan kepada penjagaan alam sekitar , tidak bertegas menasihati masyarakat kepada kepentingan melindungi alam sekitar. Jangan berlaku kejam terhadap makhluk selain manusia. Mereka merahsiakan tuntutan sebenar dengan tidak memaklumkan bahawa kemusnahan alam sekitar  itu  juga adalah satu perbuatan dosa besar sepertimana dosa-dosa yang lain. Pekara-pekara yang menjaga hal ehwal alam sekitar tanahair tidak dititik beratkan sepertimana mereka menitik beratkan soal hukum cukai , bersedekah, berzakat, beristeri 4, aurat perempuan, wakaf, jual beli , riba' dan hutang puitang.


Dulunya permandangan ini adalah hutan rimba yang penuh dengan penghuninya. Tetapi kini hanya pemandangan lapang panas dan kering.

Membuat keputusan menganiaya dengan kejam makhluk-makhluk lain itu telah jelas bertentangan dengan ayat-ayat Al Quran. Seolah oleh mereka langsung tidak berhak untuk hidup bebas seperti kita manusia. Sedangkan  sama-sama diberi peluang hidup hanya sekali dialam ini.

Mungkin pada waktu ini hutan tempat haiwan meneruskan kehidupan telah habis musnah. Sampaikan haiwan itu sendiri  tidak tahu bahawa dirinya itu telah dianiaya oleh makhluk manusia. Walaupun  haiwan itu tidak berdosa namun manusia tetap mahu ia  di aniaya. Maka tunggu sajalah akan akibatnya sepertimana Nabi pernah memberi peringatan; , Doa-doa makhluk yang teraniaya sangat mujarab untuk diperkenankan oleh Allah dengan segera.

Bila hujan air akan terus meresap dalam tanah dan mengalir dengan cepat sehingga kawasan yang rendah dan berlekuk dipenuhi dengan air hujan yang berwarna oren.

Tidak perlu kita berfikir jauh mengapa air bah melanda wilayah pantai timur dan wilayah selatan tanahair kita? Punca utamanya ialah kita telah membuang payung tadahan air hujan semulajadi yang selama ini menjadi benteng misteri daripada bencana air bah.Walaupun kita gantikan semula dengan tanaman sawit dan getah, namun begitu gantian itu tidak sesuai untuk dijadikan payung tadahan air hujan.


Kebanyakkan agen pemusnah alam sekitar adalah dari kalangan warga asing yang tidak mempunyai sebarang kesayangan terhadap negara tumpangan mereka.

Apa akan terjadi bilamana manusia menukar dan mengubah bentuk muka bumi yang sudah tersedia sempurna dalam skala kemusnahan yang besar serta tidak terhad ? 


Apa akan terjadi bilamana pekara yang dinyatakan dibawah ini dilaksanakan?

1. Laluan sungai dan pesisiran pantai ditambak untuk dijadi kawasan penempatan manusia.
.
2. Kawasan paya ditambak dan dikambus menjadi kawasan penempatan.

3. Kawasan berbukit diratakan untuk kuari-kuari simen, dan bahan-bahan galian.

4. Tanah-tanah ditebuk korek jauh sedalam-dalam  tanah bumi untuk mengeluarkan pelbagai jenis galian.

5. Hutan-hutan ditebang untuk pembalakan dan kemudian digantikan dengan aktiviti ekonomi pertanian secara luas tanpa had.

Tiada seorang pun yang mempunyai kuasa dan keupayaan untuk menghalang kekejaman  seperti ini dapat dihentikan.


Sebenarnya, tanah Hutan Simpan ini milik siapa?



Pada hemat saya Pekara No: 1 , 2 , 3 dan 4 bencananya akan lebih tertumpu kepada keadaan kawasan setempat. Adakalanya kesan bencana tidak akan berlaku dan adakalanya akan berlaku. Namun begitu musibahnya tetap akan berlaku juga. Hanya menunggu masa yang sesuai sahaja akan kesan kemusnahan itu.




10 tahun akan datang anak-anak kita tidak dapat membezakan Hutan Simpan yang sebenarnya.



Tetapi tidak kepada Perkara No 5, yang mana kesan musibahnya sangat besar, yang melibatkan luas kawasan yang sangat besar. Kerugian hartabenda , kesengsaraan ribuan jiwa manusia dan haiwan pada waktu yang serentak dan berpanjangan. Kesannya pula sangat mendalam dan sangat lama untuk dipulihkan.

Keuntungan yang dikecapi  oleh golongan industri pembalakan dari kemusnahan " Hutan Payung Bumi" dikecapi secara gembira dan bersendirian sahaja. Hasil tindakan golongan industri ini telah mengakibatkan malapetaka bencana Air Bah, yang terpaksa ditanggung oleh terlalu ramai rakyat. Keuntungan yang diterima tidak mampu menampung segala kerugian yang berlaku.

Adakah tanaman sayur-sayuran ini milik sebenar warga tempatan.?

Adakah tanaman sayur-sayuran ini untuk keperluan warga tempatan.?





Saya ceritakan pengalaman dongeng peribadi tentang bagaimana sangat pentingnya  pokok-pokok hutan kepada manusia.  Yang selama ini mungkin ramai yang telah tahu tetapi tidak merasa dan percaya akan kehebatan pokok-pokok didalam hutan belentara.

Kita ambil contoh hanya kepada sebatang pokok yang tingginya 20 meter. Pokok-pokok ini telah membantu manusia secara sembunyi mengelakkan kita daripada ditimpa malapetaka air bah. Untuk air hujan dari langit jatuh terus meresap ke atas tanah didalam hutan harus melalui banyak proses yang panjang.


Keadaan Hutan yang sederhana tebal yang batang pokok yang masih muda belum matang.

Daun-daun dari bermacam-macam betuk dan saiz melindungi cahaya dan air menimpa terus pada lantai hutan.

1. Ketika  air hujan dari langit mula turun menimpa bumi, titisan air hujan akan jatuh menimpa pada bahagian daun-daun yang pelbagi bentuk, saiz dan corak daun terlebih dahulu.

Batang-batang pokok yang bermacam-macam saiz ukur lilit dan tinggi.

2. Kemudian titisan air akan meleleh dan menitik keranting-ranting pokok yang  bercabang-cabang banyaknya.


3. Seterusnya air akan meleleh turun pula pada dahan-dahan pokok yang pelbagai saiz ukur lilit dan panjangnya.

Tumbuhan yang melekat dan menjalar pada batang-batang pokok.

Tumbuh-tumbuhan tumpang yang hidup subur melekat pada dahan-dahan pokok hutan.

4. Kebiasaannya pada pokok terdapat tumbuhan lumut dan tumbuhan tumpang. Air akan meresap pula pada tumbuhan-tumbuhan ini sebelum air hujan melepasi kebahagian pokok yang lain. Aliran laluan air diperlahankan oleh lumut-lumut yang tebal melekat pada batang pokok. 

Lumut-lumut yang banyak dan tebal melekat pada batang-batang pokok hutan.

5. Selepas melepasi bahagian dahan-dahan pokok, air hujan akan meleleh dan mengalir pula pada batang-batang pokok yang pelbagai saiz besar, sangat tinggi dan berlubang-lubang.

Tumbuhan melilit dan berjurai-jurai.

6. Apabila air hujan sampai pada bahagian berhampir pada pangkal pokok , air hujan akan meleleh kesemua bahagian perdu akar yang lebar dan lubang-lubang yang berada pada setiap batang pokok.

Daun-daun kering yang menutup lantai tanah hutan
7. Pada ketika ini air mula menimpa daun-daun kering yang menutupi lantai tanah hutan. Ada yang jatuh meresap kedalam tanah dan ada juga yang bertakung dalam kadar yang kecil pada daun-daun kering.



8. Mana-mana sisa air yang melepasi daun yang paling tinggi ia  akan menitik-nitik pula kepada daun-daun yang berada dibawah pokok pada bahagian bawah. Sangat jarang air hujan akan jatuh terus ke lantai tanah.



Proses dan tata cara air hujan menimpa dan meresap kedalam tanah mengambil masa yang panjang sebelum  air dapat  mengalir ketempat yang rendah seterusnya masuk ke dalam anak-anak sungai kecil sebelum air memasuki ke sungai-sungai besar.




Keadaan  pokok-pokok dihutan, tumbuh adalah tidak seragam, tidak sepertimana pokok-pokok getah atau Kelapa Sawit yang tumbuh tersusun teratur  dengan serentak. Dibawah pokok yang besar akan ada pokok-pokok yang lebih kecil mengikut peringkat usia pokok. Ada pelbagai bentuk dan jenis tumbuhan merayap dan melilit. Pokok tua akan tinggi dan pokok muda akan lebih rendah. Maka untuk air hujan turun terus menimpa tanah harus mengambil masa yang panjang.


Pekara yang sama pada pokok-pokok didalam hutan tidak akan terjadi kepada pokok-pokok kelapa sawit didalam ladang. Keadaan bentuk daun kelapa sawit yang lurus memanjang adalah seragam dan berbentuk seperti longkang yang tersusun pada batang pelepah. Bila mana air hujan turun jatuh menimpa daun kelapa sawit,  air akan terus mengalir jatuh menimpa lantai tanah yang kurang  tumbuhan. Tumbuhan yang ada hanyalah lalang atau pun rumput.


Spesis Kelapa sawit sedang menakluki hutan tanah gambut.
Tambahan pula penggunaan baja tanaman dalam pada skala yang besar pastinya sedikit sebanyak akan mencemarkan air yang masuk kedalam sungai-sungai. Maklumat ini adalah kebenaran bukannya sengaja untuk merosakkan industri minyak kelapa sawit sepertimana negara-negara Barat yang mahukan minyak soya bersaing dari sudut ekonomi.



Keputusan membenarkan pengambilan hutan untuk tujuan ekonomi kelapa sawit ketika ini adalah sangat melampau batas. Pemandangan bentuk muka bumi tanahair sudah tidak secantik dahulu kerana tumbuhannya adalah seragam dan sejenis sahaja.


















Tetapi apa yang telah berlaku dengan keadaan bentuk mukabumi Malaysia ketika ini , kawasan hutan telah banyak diterokai oleh manusia untuk tujuan laba kekayaan. Dimana kawasan penempatan , perlombongan, pertanian adalah lebih luas daripada jumlah kawasan Hutan. Keadaan ini telah tidak seimbang. Sejarah proses pembangunan tanahair bermula dengan aktiviti pembalakan kemudian disusuli pula dengan ekonomi sektor Tanaman Pertanian dan Perlombongan galian bumi. Setelah tuaian dan mendapatkan laba tanah , maka kegunaan tanah itu diubah pula dengan sektor hartanah oaitu pembangunan penempatan dan industri.








Keretapi ini telah tenggelam ketika bah besar melanda kawasan Stesen Limau Kasturi









Serdak tanah merah
Kekuatan dan kederasan air bah sehingga batang pisang boleh patah pada bahagian tengah.



Kediaman mereka telah dihanyutkan oleh air bah.


Hakikatnya sekarang ditanahair kita, jumlah luas tanah untuk kegunaan pertanian tanaman Kelapa Sawit adalah lebih besar daripada jumlah luas hutan disesuatu kawasan. Sehingga kini  kawasan hutan terus menerus diberi kelulusan untuk pembalakan. Dalam waktu yang sama juga  kecurian balak sentiasa berlaku .  Maka untuk kita menyalahkan suratan  takdir serta ketentuan penciptanya adalah tidak munasabah. Memang perangai  manusia yang gelap hati cenderung untuk tidak mahu bertanggung jawab atas perbuatannya itu. Sedangkan itu  adalah perancangan  untuk mencipta siri-siri musibah secara berpanjangan. Maka kesannya nanti marilah kita tanggung bersama-sama sambil kita salahkan Allah kerena mendatangkan bencana air bah kepada kita. Wasalam.