Friday, 26 June 2015

Pemerhatian Burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema


Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Jantan )

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema

Spesis burung Jantan ini hampir menyerupai dengan Jerijit Suria Leher-coklat~Anthreptes malacensis dan Jerijit Suria Pipi-merah delima~Anthreptes singalensis. Sekali pandang terkadang kala menimbulkan kekeliruan, kerana warna pada leher burung-burung ini seakan-akan sama warna lehernya. Kepada yang tidak cekap seperti saya, memerlukan sedikit rakaman imej bagi memastikan ketepatan warna iaitu antara warna coklat dan warna merah seperti warna batu-bata. 

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Betina )



Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Jantan )

Manakala pada burung betina buluhiasnya pula hampir menyerupai antara satu sama lain. Pada saya pengecaman hanya boleh dilakukan apabila burung ini datang secara berpasangan. Burung betina Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema mempunyai buluhias berwarna kemerah-merahan atau warna oren pada bahagian dadanya. Warnanya itu tidak berapa jelas jika dilihat sekali pandang.

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema~ Betina

Berdasarkan pengalaman saya spesis burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema agak sukar untuk ditemui jikalau dibandingkan dengan spesis burung Jerijit Suria Leher-coklat~Anthreptes malacensis. Kerana habitat kebiasaan ditemuinya adalah didalam kawasan hutan belentara. Sedangkan burung Jerijit Suria Leher-coklat~Anthreptes malacensis boleh sahaja ditemui dikawasan kampong-kampong dan kebun-kebun yang bersempadankan dengan hutan dan belukar.

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema~Juvana/Remaja

Berdasarkan pengalaman pemerhatian burung, diet burung ini pelbagai iaitu dari jenis nekter bunga , buah-buah makaranga dan kadang-kadang dari jenis serangga. Pemerhatian kaedah menyedut nektar bunga agak menarik perhatian saya, iaitu burung akan menghentak-hentak paruh tajamnya menembusi bunga-bunga pada bahagian tepi bunga lalu menghisap nektar didalam bunga.

Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Betina )

Jelas kelihatan warna pada leher burung jantan ini mirip pada warna merah batu-bata.


Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema ( Betina )

Sebelum ini saya melihat spesis ini memakan buah makaranga secara bersendirian sahaja, tetapi baru-baru ini saya berpeluang membuat pemerhatian burung ini mengambil diet nekrarnya daripada bunga-bunga masak daripada pokok Ubi Kayu. Sepanjang pemerhatian selama 3 hari berturut-turut , boleh dikatakan spesis burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema sangat mengemari nektar yang ada pada bunga pokok Ubi Kayu. Sepanjang 3 hari itu tidak ada burung lain yang datang ke pokok Ubi kayu itu selain kumpulan burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema. Mereka datang secara berkumpulan mengulangi-ulangi ke pokok Ubi Kayu yang dipenuhi dengan bunga-bunganya.




Sepanjang waktu pagi dalam tempoh 3 jam membuat pemerhatian, dipokok Ubi Kayu itu dikerumuni selih berganti-ganti. Burung jantan, betina dan juvana seperti sedang berpesta menghisap nektar tanpa menghiraukan kehadiran saya, walaupun pada jarak yang hampir padanya. Berdasarkan pengalaman ini, tidak keterlaluan jikalau saya menyatakan spesis burung Jerijit Suria Leher-merah~Anthreptes rhodolema sangat mengemari nektar dari bunga Pokok Ubi Kayu, sepertimana spesis burung Merbah , Perling  dan Takur mengemari buah-buah masak pokok Ara. Wasalam.

Friday, 19 June 2015

Selingkar Kisah : Fajar Di Bumi Permata



Rezeki Dari Hutan Orang Asal TEMUAN.

Saudara Kita Halim Tamun


Selain memburung saya juga akan membuat pemerhatian tentang hal ehwal kehidupan manusia, untuk dijadikan iktibar dan tauladan kehidupan saya, supaya menjalani kehidupan yang lebih bermaruah  dan bershukur. Ketika memburung dikawasan Hutan Simpan disekitar Ulu Langat, saya telah bertemu dengan saudara kita orang Asal dari suku kaum TEMUAN, yang ketika itu sedang memikul 5 batang buluh panjang.


Meredah hutan sambil memikul beban panjang

Ketika saudara kita itu sedang duduk berehat untuk menghilangkan penat lelah akibat memikul batang buluh, saya menyapanya sebagai tanda untuk memulakan bicara. Kebiasaannya adab orang asal ialah mereka terlebih malu daripada biasa. Tetapi jika kita mulakan dulu pastinya mereka akan rasa gembira dan menerima kita dalam suasana yang berlapang dada. 



Hasil daripada perbualan itu barulah saya tahu banyak pekara terpencil yang membawa sengsara kepada mereka, yang tidak diketahui oleh khalayak. Pekara ini telah berlaku secara bersiri pada setiap musim, ketika berurusan dan melayan kerenah Peraih Buluh yang pelbagai.  Untuk berjaya seorang Peniaga haruslah sentiasa cerdik dan pintar ketika membuat segala urusan jual beli , jikalau tidak pastinya akan bakal mendapat penat, rugi dan sakit hati. Maka siapa yang cerdik dan pandai merekalah yang akan berjaya untung.

Sentiasa ditemani oleh anjing-anjingnya yang patuh dan setia

Mencari Buluh Lemang.
Buluh saiz 2 jari

Buluh saiz 3 jari

Pada setiap musim bulan Ramadhan dan Syawal, Saudara kita ini Halim Tamun dan Hasan Ruak akan berkerja sama untuk mencari buluh bagi menampung permintaan Peraih Buluh dan Peniaga Lemang di sekitar Ulu Langat dan Lembah Klang.

Buluh saiz 4 jari


Urusan tempahan Ruas Buluh yang dilakukan oleh Peraih kepada pencari buluh hanya berasaskan  kepercayaan antara satu sama lain. Umpama Kerbau berpegang pada ekornya, manakala manusia pula berpegang pada kata-kata lisannya. Peraih hanya perlu  membuat panggilan talipon kepada Si Pencari Buluh dan memaklumkan secara lisan berapa jumlah Ruas Buluh yang diperlukan dan tempoh masa Buluh boleh diambil. Urusan bayaran tunai akan berlaku ketika Peraih Buloh datang untuk mengambil buluh tempahan mereka. Maka apa-apa bayaran cengkeram tunai tidak timbul semasa permulaan urusan perniagaan ini.


Berdasarkan jumlah tempahan maka Si Pencari Buluh akan merayau ke hulu ke hilir didalam hutan mencari rimbunan buloh yang sesuai untuk dijadikan buloh lemang. Tentunya memerlukan sedikit modal, kudrat tenaga yang banyak dan kemahiran memilih batang buluh. Dalam pada itu adat resam dihutan seperti serangan Agas, Nyamuk, disengat Lebah, tumpahan darah oleh Pacat, onak duri dan miang selumbar buloh adalah pekara wajib dilalui oleh Si Pencari Buluh.



Setelah lokasi buluh ditemui maka proses penebangan batang-batang buluh dilakukan. Bukan semua batang buluh didalam rimbunan  itu sesuai untuk ditebang. Adakalanya batang yang sesuai berada dikawasan luar rimbunan buluh dan adakalanya ia berada dibahagian dalam rimbunan buluh. Antara cabaran yang terpaksa dilalui ialah ruang menghayun parang untuk menebang buloh sangat terhad dan  mereka melakukan hayunan dalam keadaan yang gelap dibawah rimbunan pokok buluh. Sentiasa berwaspada dengan Pucuk dan Umbutnya yang dipenuhi  miang buluh dari terkena permukaan kulit.




Setelah menebang batang-batang buluh, harus pula disusun ikat untuk memudahkan Si Pencari Buluh memikul  membawa keluar daripada hutan. Cabaran seterusnya bergantung kepada permukaan bentuk mukabumi tanah iaitu antara tempat buluh dikumpul dengan lokasi jalan raya tempat proses seterusnya. Jikalau buluh yang sesuai dijumpai dibawah bukit atau diatas bukit maka cabaran memikul keluar batang buluh adalah cukup memenatkan dan sengsara.




Proses berikutnya ialah menggergaji  batang buluh mengikut ruas-ruas yang sesuai untuk membuat lemang. Setiap batang buluh yang digergaji harus dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan batang buluh pecah. Andaikata setiap batang buluh pecah  maka tenaga dan sengsara yang dialami Si Pencari Buluh akan menjadi sia-sia. Setiap batang ruas yang dipotong akan disusun ikat mengikut saiz buluh, iaitu bersaiz 2 jari, 3 jari dan 4 jari.




Pada ketika ini, Si Pencari Buluh akan mula menghubungi Peraih Buloh  membuat temujanji, untuk mengambil buluh  tempahan mereka. Masa untuk mendapat laba atas hasil pencarian buloh ditentukan oleh kesesuaian masa si Peraih Buloh. Mana-mana Peraih Buluh yang menyewa lori maka lambatlah Sipencari Buluh boleh mengutip hasil pencariannya itu. Bukan boleh dengan sertamerta mereka datang untuk mengambil buluh.  Mana-mana Peraih  yang mempunyai Van dan Lori sendiri maka lebih cepat sedikit mereka akan datang mengikut kesesuaian mereka.


Catitan Pengalaman Perit Yang Diceritakan.

1. Sementara menunggu Peraih Buluh datang mengambil tempahan mereka, buluh-buluh yang telah siap disusun ikat telah dicuri olah manusia yang menganggap perbuatan itu dibolehkan dari segi undang-undang ciptaan manusia dan Tuhan. Mungkin mereka mencabar dengan alasan, buluh-buluh adalah tumbuhan hutan yang tidak berpemilik, maka ia adalah milik sesiapa yang menjumpainya. Andaikata pihak Polis dan Mahkamah ingin mencari bahan kes bukti, tentulah sangat lah susah untuk mensabitkan kesalahan tersebut terhadap si pencuri buluh.



2. Peraih yang dikenali tidak datang mengambil buluh-buluh yang ditempahnya sepertimana yang dijanjikan. Walaupun dihubungi beberapa kali namun tidak mendapat jawapan dan terus senyap menghilangkan diri . Sangkaan untuk mendapat laba dan untung atas segala usaha penat lelah bertukar menjadi rugi, marah dan sakit hati. Kerugian ini dapat dikurangkan sekiranya Peraih mempunyai akal budi untuk memberi wang cengkeram untuk menjalankan kerja-kerja pencarian buluh.

Saudara kita Halim Tamun menceritakan pengalaman sambil gelak dan tawa.


3. Peraih yang datang untuk mengambil buluh yang ditempahnya, bersendiwara mendakwa buluh-buluh yang disediakan tidak sesuai untuk dijadikan bekas buluh lemang. Mendakwa buluh yang disediakan adalah dari buluh tua, buluh retak, pecah dan sebagainya. Sengaja untuk memberi tekanan dan helah kepada Si Pencari Buluh bertujuan untuk mengurangkan lagi kadar harga buluh. Seni-seni menekan tidak dizahirkan melalui lisan dan perbuatan, tetapi secara merendahkan mutu dan memberi Pencari Buluh rasa serba salah. Dalam ertikata lain Peraih terlihat seperti teranyai dan wajar meninggalkan  buluh yang ditempah akan ditinggalkan. Mahu tidak mahu Si Pencari Buluh terpaksa akur akan desakan.

Setelah menyusun batang buluh Saudara Halim Tamun akan mengergaji ruas buluh sebelum disusun ikat

Cukup mengejutkan apabila Saudara kita Halim Tamun memberitahu kadar seruas batang buluh dijual kepada Peraih Buluh hanyalah 50 sen sahaja walapun saiz buluh yang berbeza . Kadar 50 sen itu termasuk upah disusun dan diikat, Peraih hanya perlu datang dan menyusun masuk kedalam kenderaan mereka sahaja.


Sedangkan, harga pasaran sebatang buluh lemang yang dijual dipasar dan tepi jalan adalah RM 2.00 seruas mengikut saiz berbeza. Kadar Saiz 2 jari adalah lebih murah daripada kadar saiz 3 jari atau 4 jari. Yang pastinya tidak akan ada sesiapa yang hendak membakar lemang hanya dengan sebatang lemang sahaja. Tentu sekali mereka akan membeli sekurang-kurangnya 7 atau 10 batang buluh. Kerana mereka akan membakar lebih 10 batang ruas kerana kepayahan menyediakan bahan-bahan dan kerumitan menjaga api Lemang.


Saudara Kita Hasan Ruak memberitahu, hanya ROBOT sahaja yang tidak menipu

Bermakna untuk sebatang buluh Saudara kita Halim Tamun dan Hasan Ruak hanya mendapat upah lebih kurang RM 4.00 ke RM 5.00  sahaja, setelah bertungkus lumus mengeluarkan buluh dari hutan. Manakala Peraih buluh mendapat laba yang berlipat kali ganda, tanpa bersusah payah setelah mengambil kira kos minyak.



Daripada apa yang diceritakan oleh saudara kita ini , pada hemat saya, kalau tidak keterlaluan saya berani nyatakan bahawa  akal hati budi masyarakat peniaga-peniaga kita pada waktu  kini lebih terdorong mempunyai gerak fikir keduniaan yang akan menyeret dan menjerumuskan bangsa kita didalam pergelutan jiwa seperti haiwan yang tidak mengendahkan kehidupan moral  dan kehidupan rohani. Sehari-harian hati-hati mereka telah dijirus dengan baja najis yang menyuburkan jiwa keji yang tertanam kukuh dan menyegarkan dibenak hati mereka itu. Malah boleh merasa  aman tenteram , tanpa  sekelumit perasaan aib dari menindas insan lain.

Menghilangkan dahaga sebelum menyambung kerja-kerja yang belum selesai

Ya , itulah perniagaan yang halal namanya. Siapa yang cerdik dan berani maka berolehlah keuntungan dan kepada siapa yang dianggap kurang cerdik maka rugi dan tertindaslah ia sepanjang masa. Tidak mengapalah. Syabas dan Tahniah. Wasalam.








Wednesday, 17 June 2015

Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium






Memerhati Kelakuan Burung Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium Mandi


Ruang sembahyang dijadikan tempat bermalam.


Hari sudah mulai senja, burung-burung yang diidamkan masih tidak tercapai, maka saya membuat keputusan untuk tidur sahaja di kawasan Bukit Renggit. Memohon kepada pegawai keselamatan Pusat Konservasi Perhilitan untuk menumpang tidur di surau. Sebelum azan maghrib hujan lebat berserta angin ribut berlaku dikawasan ini sehingga jama 12:30 tengah malam. Banyak dahan dan pokok tumbang jatuh dijalan utama menghalang perjalanan lalu masuk.

Keadaan bukit-bukau yang digundolkan melebihi ribuan hekter.




Pada pandangan peribadi kejadian ribut ini berlaku adalah disebabkan oleh kawasan ini dikelilingi oleh kawasan lapang yang begitu luas. Dimana hutan-hutan yang tinggi dan tebal sudah habis ditebang  untuk memberi laluan kepada bidang pertanian. Pokok-pokok yang menjadi benteng tiupan angin  kencang telah musnah.

Pokok jenis Palma hutan tempat pemerhatian burung mandi.



Daun kering tempat air hujan bertakungan 

Kebiasaan keadaan hujan yang panjang pada waktu malam adalah penanda yang baik kepada pemburung seperti saya. Yang mana diesok harinya burung-burung yang kuyup basah buluhiasnya akan aktif keluar mencari makan dan untuk mengeringkan buluhias yang basah memberatkan pergerakkannya.

Merendamkan diri sambil membersihkan buluhias daripada kekotoran.


Awal pagi burung sungguh banyak dan aktif, namun begitu burung idaman tidak mahu keluar dari tempat habitatnya. Saya hanya sekadar mampu mendengar kicauan burung idaman Burung Berlau belang~Pitta guajana dan Jay berjambul~Platysmurus galericulatus sahaja.



Sedang saya menunggu, saya terdengar kicauan seekor burung Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium melompat-lompat dari sebatang ranting ke celah-celah ranting pokok renek yang rimbun, dan suram cahayanya. Sambil melompat  diselang selikan dengan bunyi kicauannya. Terjenguk-jenguk dan tertoleh-toleh kiri kanan dan atas bawah, kalau-kalau ternampak serangga untuk dimakannya.


Keadaan buluhias burung yang telah bersih dan bersiap sedia untuk meneruskan pencarian rezekinya.

Memerhatikan serangga atau ulat untuk dimakan

Burung Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium terhenti pada sehelai daun kering yang besar lebar, didalamnya ada takungan air hujan yang masih belum sejat. Burung itu terus masuk kedalam takungan air dalam keadaan berdiri. Kelihatan jari kaki dan sebahagian pangkal keting kaki terendam oleh air hujan. Ia memerhatikan disekelilingnya lalu ia duduk  merendamkan sebahagian perut dan cunut sambil mengocak-gocakkan air menggunakan kedua belah pelepah sayapnya. Merecik-recik air disekeliling daun kering sambil sesekali ia berdiri.


Kemudian ia naik berdiri diatas ranting sambil ia toskan buluhias dengan cara mengembang dan menggetarkan buluhias untuk tujuan keringan buluhias. Disisir-sisirkan bulu hiasnya dengan paruhnya terlebih dahulu sebelum menyambung kembali kegiatan pencarian rezekinya. Wasalam.