Wednesday, 25 May 2016

Pemerhatian Burung Falkon Katik Peha- hitam ~Microhierax fringillarius


Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius 




Sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada rakan-rakan , bahawa burung  Falkon Katik Peha hitam ~ Microhierax fringillarius bersarang didalam lubang. Kini saya melihat sendiri proses pasangan ini membiak dan membesarkan bakanya. Pemerhatian ini telah memberi peluang kepada saya menimba  ilmu pengetahuan secara terus daripada sumber kejadian Alam Semulajadi . 

Pada kebiasaannya burung pemangsa akan mencari ranting-ranting kayu untuk membina sarangnya seperti bentuk mangkuk sarang diatas pokok atau dicelah lereng-lereng bukit .  Tetapi burung pemangsa Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillariusi berlainan pula sifatnya, dimana ia menjadikan lubang sarang  di dalam pokok sebagai sarangnya.



Dari segi fizikalnya burung ini, tidak ada tanda-tanda pada bentuk paruhnya yang ia berkebolehan mematuk dan mengorek batang kayu untuk dijadikan lubang sarang sepertimana yang dilakukan oleh  keluarga burung Belatuk dan Takur. Burung-burung ini mempunyai bentuk paruh yang sesuai untuk kerja-kerja mematuk dan mengorek. Bentuk paruh pada burung Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius yang melengkung bercangkuk seperti mata kerambit itu adalah tidak sesuai untuk melakukan itu semua.





Jikalau ia tidak membuat lubang sarang sendiri, bagaimana ia boleh bersarang di dalam lubang.? Saya menjangkakan  Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius menggunakan lubang sarang burung spesies lain yang telah ditinggalkan atau pun lubang sarang yang dirampas dengan kaedah menghalau pemilik lubang tersebut. 



Pemerhatian ini hanya dilakukan pada peringkat anak burung sudah pun menetas di dalam lubang sarang iaitu pada 12 April 2016. Bermakna saya telah terlepas untuk memerhatikan proses burung bertelor dan mengeram.  Proses burung bertelor dan mengeram barangkali berlaku pada sekitar bulan March 2016. Dan saya juga tidak dapat menjangkakan berapa lama burung dewasa mengeramkan telornya sehingga ia menetas.





Perihal Kelakuan Burung Ketika Itu

Pasangan burung dewasa sentiasa melakukan pengawasan dari jarak yang  berhampiran dengan lubang sarangnya. Sambil mereka mengawas ia juga memerhatikan  mangsanya untuk dijadikan makanan anaknya. Selain anak-anak burung , cicak, adakalanya burung dewasa membawa rama-rama , dan pepatong kepada anaknya. Ketika  membawa makanan pasangan ini datang serentak dikawasan muka pintu lubang.  Selain daripada itu  tidak ada aktiviti lain yang dilakukannya sepanjang burung melakukan pengawasan selain membersihkan bulu hias, dan mengeliat untuk merenggangkan otot kepak serta kakinya.



Kecekapan Dan Keistemewaan
 
Pengalaman membuat pemerhatian burung Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius jenis burung yang mempunyai kemahiran tinggi ketika melakukan penerbangan pantas dan tepat.  Setiap kali terbang menuju ke lubang sarang bersaiz bola golf, ia akan terus terbang masuk meloloskan dirinya di dalam lubang tanpa berhenti bertenggek dimuka lubang sarang. Keupayaan seperti ini memerlukan ketajaman mata , imbangan tubuh badan, kecekapan mengawal angin dan  kemahiran pengawalan diri semasa terbang.



Menentukan Jantina

Apa yang menarik perhatian saya ialah burung ini, tidak nampak apa-apa perbezaan warna atau tanda pada buluhias antara burung jantan dan betina. Penampilan warna dan corak buluhias mereka adalah sama sahaja , dan sangat sukar menentukan jantinanya.



Jikalau begitu keadaannya bagaimana spesies burung ini mendatangkan naluri tertarik kepada lawan kepada jantinanya ketika mencari pasangan untuk persenyawaan.? Untuk kefahaman kita umpamakan keadaan yang sama ini dibawa kedalam kehidupan manusia. Katakan semua manusia mempunyai penampilan yang sama tetapi  berlainan jantina.



Sudah tentu keadaan ini agak memayahkan keadaan.   Mungkin pada suara panggilan , atau perbezaan bentuk dan saiz tubuhnya. Tentu ada tandanya cuma kita sahaja yang belum mengetahuinya.

Persenyawaan Ketika Anak Masih Didalam Lubang Sarang.
 
Namun begitu berdasarkan pengalaman dalam pemerhatian, saya menjangkakan bahawa burung jantan adalah bersaiz kecil daripada burung betina.




Asas ini dapat saya buktikan, ketika saya melihat sendiri pasangan burung ini sedang melakukan proses mengawan. Lebih menarik lagi proses mengawan itu berlaku ketika pasangan itu sedang membesarkan anaknya yang masih berada didalam lubang sarang.




Burung betina yang bersaiz besar bertenggek pada ranting diatas pokok yang tinggi. Dia menunggu untuk satu tempoh yang agak lama, dianggarkan hampir 30 minit. Kemudian burung Jantan datang hinggap bertenggek pada ranting yang lebih tinggi berhampiran dengan Burung Betina. Kedua pasangan itu dilihat seperti mengganguk-anggukkan kepala mereka antara satu sama lain buat seketika. 




Seterusnya  mereka saling berbalas-balas mengeluarkan suara-suara halus antara mereka  buat seketika. Sejurus itu kelihatan burung betina mengembangkan semua bahagian buluhiasnya mungkin sebagai isyarat bahawa  dirinya sudah bersedia untuk dipersenyawakan.



Burung Jantan menerpa melompat naik memijak dibelakang badan burung betina, sambil ia berkepak mengibas-gibaskan sayapnya . Burung betina pula yang bertenggek diranting bahagian bawah terpaksa menggunakan seluruh kekuatan serta saiz badan dengan mencengkam batang ranting untuk mengimbangkan kedudukan dan beban yang ditanggungnya.



Manakala burung Jantan yang berada diatas belakang badan burung betina seperti membantu meringankan beban dengan mengepak-gepakkan sayapnya untuk tujuan meringankan beban yang ditanggung oleh burung betina.  Dalam waktu yang sama   burung betina mengalih kedudukan pelepah ekornya kesebelah tepi untuk membenarkan organ persenyawaan dibahagian cenunut burung jantan diturunkan untuk bercantuman dengan organ persenyawaan bahagian cenunut burung betina.



Semasa proses persenyawaan itu berlangsung  kedengaran suara burung seperti berdecit-decit dan ia berlangsung dengan pantas sekali. Setelah selesai burung jantan melompat turun lalu bertenggek pula pada ranting yang berdekatan untuk berehat seketika. Sambil berehat pasangan tersebut  memperkemaskan  kembali buluhias dan mengeliat sambil berkepak-kepak. Tidak lama kemudian Burung jantan terbang meninggalkan pasangannya yang tetap masih bertenggek  diranting untuk satu tempoh yang lama.  







Dengan pemerhatian  ini, timbul persoalan   apakah spesies Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius ini mengawan sepanjang tahun tanpa mengikut musim. Jikalau andaian ini benar maka kebarangkalian jumlah mereka susut tidak berlaku.  Wasalam. 

*Ucapan Terima Kasih kepada Saudara Salleh Sheikh Ibrahim AlSaber diatas maklumat lokasi burung bersarang. 





Monday, 23 May 2016

Kehormonian Hidup Antara Berlainan Keluarga Burung


Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate & Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus



Musim ini saya telah diberi peluang untuk membuat pemerhatian burung yang berlainan spesis bersarang disatu lokasi secara serentak. Ucapan Terima kasih kepada Saudara Salleh Sheikh Ibrahim AlSaber kerana telah menunjukkan lokasi lubang sarang tersebut kepada saya.


Pada sebatang pokok itu terdapat 2 lobang sarang yang dihuni oleh burung Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate dan burung Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus yang sedang aktif melakukan proses pembiakkan mereka



Kedudukan lubang-lubang sarang pada pokok mati itu terletak pada bahagian atas dan bahagian bawah. Mulanya pada 12 April 2016 yang lalu, saya mendapati burung Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate sedang bertenggek pada muka lubang sarang dibahagian atas. Pada kebiasaannya tanda-tanda begini mengambarkan lubang sarang tersebut adalah milik burung tersebut.



Namun begitu pada 26 April 2016, 11 hari kemudian saya mendapati lubang sarang yang percayai dihuni oleh Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate telah bertukar tuan kepada burung Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus.



Menurut maklumat lisan daripada Saudara Salleh Sheikh Ibrahim AlSaber, beliau menyatakan sejak dijumpai lubang bahagian bawah itu adalah milik Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate. Jikalau begitu mengapakah burung Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate berada dimuka lubang sarang Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus pada 11 April 2016 ?


Apakah mungkin sebelum ini burung Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus telah merampas dan menghalau burung Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate dari lubang sarangnya dibahagian atas? Jikalau mengikut saiz dan keupayaan Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate, adalah 2 kali ganda besar saiznya daripada burung Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus, yang mana pada fikiran saya ia berupaya mempertahankan dirinya.


Atau kelakuan Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate sekadar ingin tahu apakah yang ada didalam lubang tersebut. Ataupun sebagai muslihat untuk memperdaya manusia yang berada disekitar lubang sarang demi keselamatan bakanya didalam lubang.


Kejadian itu tidaklah dapat saya jawab, mengapa burung Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate seolah-oleh ingin memasuki lubang sarang burung Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus. Apa yang menarik dalam pemerhatian ini bagaimana kedua buah keluarga yang berbeza dapat menyesuaikan kehadiran masing-masing ditempat yang sama.


Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarus dari keluarga Falconidae manakala Takur Dada-berjalur~Megalaima lineate adalah dari keluarga Megalaimidae . Apakah tidak akan berlaku serang menyerang antara mereka ketika mempertahankan baka masing-masing? Atau kedua keluarga yang berbeza ini dapat menjalinkan hubungan naluri yang baik antara mereka secara aman dan harmoni.


Sepanjang pemerhatian dilakukan disini , keadaan harmoni dan aman antara mereka. Dimana antara mereka  melakukan kegiatan membesarkan baka masing-masing dengan membawa makanan keutamaan mereka ke lubang sarangnya untuk diberikan kepada anaknya. Masih belum ada tanda-tanda kejadian serang menyerang antara mereka.




 

Kejadian yang dipertunjukkan ini sedikit sebanyak memberi sedikit contoh bukti  kepada manusia bahawa makhluk selain manusia yang dijadikan Allah, juga mempunyai naluri perasaan hormat antara satu dengan yang lain. Dengan naluri hormat inilah  mereka dapat hidup dalam suasana bebas , aman , harmoni dan  selamat. Wasalam.





Monday, 9 May 2016

Cadangan Maklumat Terbaharu Burung Spesis Sambar Biru



Mukadimah

Perkara ini timbul apabila saya tidak dapat membuat pengecaman burung spesis Sambar Biru yang saya temui pada tahun 2010. Rujukan daripada buku Field Guide of The Birds of South-East Asia oleh Craig Robson, mendapati imej tersebut hampir menyerupai burung Sambar Ekor putih~Cyornis concretus.
Burung Sambar mirip kepada Sambar ekor putih~Cyornis concretus yang diperolehi pada tahun 2010.



Sambar Ekor putih~Cyornis concretus jantan dalam keadaan proses pertukaran buluhias yang mana susunan panjang pendek buluhiasnya tidak sekata.
Sambar Ekor putih~Cyornis concretus`betina , hampir keseluruhan buluhiasnya berwarna coklat daun getah kering dan coklat cerah.


Pandangan dari sisi hadapan.


Burung ini ditemui dihabitat Hutan Tanah pamah berhampiran dengan sungai. Kelakuannya  Ia hanya duduk diam disatu lokasi untuk jangkamasa yang lebih daripada biasa. Untuk makluman, Burung Sambar Ekor putih~Cyornis concretus merupakan burung tempatan yang sangat jarang pemburung temui.





Malah data dan imej burung tersebut tidak seorang pun memperolehinya di Semenanjung Malaysia. Imej yang boleh dibuat rujukan tidak begitu sempurna, kerana hanya 5 atau 6 imej sahaja yang dapat diperolehi, itupun imej burung itu ditemui dari kepulauan Borneo, Sumatera dan India.

Kelihatan pelepah ekor burung dalam proses pertukaran buluhias. Setiap pelepah burung tidak sama rata.

Kelakuan burung ini unik kerana ia tidak khuatir atau terbang sekiranya dirinya dihampiri. Namun begitu keadaan begini amat bahaya pada spesis burung sekiranya dijumpai oleh manusia pemangsa.

Burung jantan sedang memerhatikan buah-buah yang telah masak untuk dimakan.

Sifat yang jelas kelihatan , ia akan hinggap disatu lokasi untuk satu tempoh yang agak lama, antara 5 minit hingga 10 minit sebelum beralih lokasi hinggapan.

Kelihatan dengan jelas keting kaki burung yang berwarna cerah tidak berwarna hitam, ciri yang ada pada burung Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus

Burung jantan sedang bersedia untuk membuat lompatan kearah gugusan buah yang telah masak untuk dimakan.

Pandangan dari sudut belakang.




Jelas kelihatan jalur selari berwarna hitam pada pangkal paruh melintasi  ke bahagian mata burung.

Burung jantan mempunyai 2 jalur berwarna biru cair yang selari pada bahagian kepalanya menyerupai bentuk seperti kening.

Warna biru yang ada pada buluhias akan berubah-ubah menjadi jenis biru yang berbeza-beza apabila burung berada dilokasi yang berlainan sinar cahaya. 

Burung Betina






Ciri warna burung yang bertepatan dengan plat yang digambarkan didalam bulu rujukan The Field To The Birds of South-East Asia oleh Craig Robson.

Pada Ogos 2012 saya memperolehi imej yang mirip dengan burung yang dirakam pada 2010. Pada masa itu burung ini datang berpasangan. Kelakuan pasangan burung ini sama dengan burung yang saya jumpai dahulu. Kali ini saya berpeluang membuat pemerhatian yang lebih lama, kerana burung sentiasa datang kepohon tempat ia mencari makanannya pada setiap hari.



Pemerhatian dilakukan sepanjang tempoh pohon itu berbuah sehinggalah buah-buahnya habis. Sepanjang tempoh itu segala data tentang burung ini saya perolehi dan simpan untuk tujuan kajian lanjut. Cuma saya tidak menangkap burung sepertimana saintis untuk dibuat spesimen. 



Oleh kerana saya memang tahu akan makanan kegemarannya serta lokasi dimana burung ini boleh dijumpai maka setiap tahun apabila musim berbuah saya pergi membuat pemerhatian. Sepanjang tempoh dari tahun 2010 hingga 2015 saya telah memperolehi imej burung dalam pelbagai usia, cuma saya tidak berpeluang menjumpai sarang burung sambar ini.



Kelihatan sedikit carikan warna biru pada bahagian kepala burung betina, ciri ini mengikut gambaran yang ada didalam plat buku rujukan.

Saya telah membuat penelitian dari pelbagai sudut bahagian anggota burung, untuk menyokong bahawa burung yang saya perolehi ini adalah dari spesis jenis Sambar Ekor putih~Cyornis concretus. Namun ciri-ciri khas yang termaktub dalam buku tidak nampak pada imej burung ini. Ciri-ciri khas tersebut ialah terdapat 2 jalur warna putih di kiri dan kanan pelepah ekor burung.



Warna putih itu hanya boleh dilihat apabila pelepah ekor burung terbuka seperti kipas. ( Keadaan ekor seperti spesis burung Murai ekor putih~Myiomela leucura ) Namun begitu ciri-ciri yang lain adalah bertepatan dengan maklumat yang  terdapat dalam buku rujukan.



Pada hemat saya, mengapa burung ini bukan spesis Burung Sambar Biru cair~Cyornis unicolor  kerana, pada bahagian perut burung adalah berwarna putih sehingga bahagian cenut ( buntut ) burung. Sedangkan burung Sambar Biru Cair~Cyornis unicolor keseluruhan buluhias bahagian badannya berwarna biru cair, hampir menyerupai burung betina Sambar Verditer~Eumyias thalassina.

Warna buluhias burung yang dilihat apabila tiada sebarang teduhan daun-daun pokok. Pancaran cahaya matahari terus mengenai buluhias burung dan mengeluarkan warna biru yang berlainan dengan apa yang dapat dilihat  dibawah redupan pokok.
Tambahan pula burung ini mempunyai sepasang keting kaki yang berwarna cerah, sedangkan burung Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor mempunyai sepasang kaki berwarna hitam. Pandangan ini disokong pula dengan warna buluhias burung betina berwarna coklat pada keseluruhan buluhiasnya.


Burung betina sedang mengembangkan buluhiasnya.
Imej burung Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus yang dirakam ketika proses penyalinan buluhias selesai. Imej ini adalah imej sebenar spesis burung Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus jantan. Dibawah ini ditunjukkan siri imej burung jantan dan betina dari pelbagai sudut.



Baru-baru ini saya berpeluang menjumpai burung yang hampir menyerupai burung Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus , ia datang berpasangan dikawasan pohon berbuah dan berbunga lebat. Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah burung betina adalah berlain dengan burung betina yang dijumpai pada akhir tahun 2013 dan awal tahun 2014. Dimana buluhias pada bahagian kepala burung betina ini lain warnanya dengan warna buluhias yang dijumpai sebelum ini.

Burung betina sedang memerhatikan serangga yang boleh disambar.


Kelihatan jelas warna pada bahagian kepala burung yang berwarna kelabu cerah


Setelah mendapatkan pengesahan daripada Guru saya Saudara Mike Chong, beliau juga bersetuju bahawa burung yang dijumpai banyak perbezaannya. Dibawah ini disenaraikan perbezaan yang ketara antara kedua spesis burung betina tersebut :-



Pada Bahagian Kepala.

Warna buluhiasnya adalah berwarna kelabu manakala yang satu lagi berwarna coklat.

Pandangan dari sudut belakang burung.~Hutan Simpan Perdik, Selangor.



Burung betina yang ditemui di dalam Hutan Simpan Perdik, Selangor

Burung betina yang ditemui di dalam Hutan Simpan Hulu Gombak


Pada Bahagian Alis Mata.

Warna buluhias pada bahagian mata mempunyai bentuk seakan-akan topeng Zorro yang berwarna hitam, sedangkan burung Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus betina tidak kelihatan topeng tersebut.


Burung Betina ~ Hutan Simpan Perdik :Panjang pelepah sayap terbang burung menutupi keseluruhan bahagian tongkeng burung.

Burung Betina~Hutan Simpan Hulu Gombak: Pelepah sayap terbang kelihatan pendek sehingga kelihatan keseluruhan buluhias tongkeng burung.



Burung Betina~ Hutan Simpan Perdik :Warna bahagian kepala burung kelihatan coklat kelabu yang cair.


Burung Betina~Hutan Simpan Hulu Gombak: Warna kepala burung betina menyamai keseluruhan warna buluhias pada tubuh badan burung. Pada buluhias dikepala burung mempunyai corak padi tersusun.



Bentuk dan panjang sayap burung jantan yang dijumpai di Hutan simpan Perdek menyamai dengan saiz dan panjang burung betina.

Saiz dan panjang pelepah sayap terbang Burung jantan menyamai dengan pasangannya yang pendek sehingga jelas kelihatan buluhias bahagian tongkeng burung.


Pada Bentuk Sayap Premir

Berdasarkan bentuk dan ukuran yang dapat dikaji daripada imej-imej kedua-dua spesis burung itu , didapati perbezaan ini adalah pada bahagian bentuk dan ukuran panjang pelepah sayap burung. Dimana Burung Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus mempunyai sayap yang lebih pendek, berbanding dengan burung Sambar Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor yang mempunyai pelepah sayap yang lebih panjang.


Sambar Biru Ekor putih~Cyornis concretus~Jantan




Sambar Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor~Jantan


Sambar Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor~Jantan


Sambar Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor~Betina


Sambar Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor~Betina


Sambar Sambar Biru Cair ~Cyornis unicolor~Betina


Pandangan ini berdasarkan penelitian yang terpeinci daripada bukti-bukti pemerhatian di lapangan dan bukti imej yang telah dirakam.   Wasalam.