Saturday, 26 November 2016

Kembara Memburung Ke Cameron Highland



Seperti biasa keluar rumah pada jam 10.30 pagi, tidak tahu kemana tuju hala untuk memburung pada hari ini. Keputusan hanya dibuat setelah beranggan-anggan untuk menjumpai burung Tekukur Khukhu Ekor-panjang~Macropygia unchall, Sambar Niltava Malaysia~Niltava sumatrana dan Perincat Coklat~Pyrrhula nipalensis yang berkemungkinan boleh dijumpai di tanah tinggi Berinchang Cameron Highland.


Pada ketika itu motor sedang meluncur laju ditengah jalan  Lebuhraya Karak dan membuat keputusan  untuk kesana. Perjalanan menggunakan laluan  melintas pekan Bentung , Raub, Sungai Koyan, Ringlet, Tanah Rata dan Pencawang Telekom di kaki Gunung Brinchang. Tiba di Pekan Sungai Koyan jam 2 petang dan berhenti untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan.



Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai

Permandangan Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai pada waktu siang

Jarak dari Sungai Koyan ke Pekan Ringlet dianggarkan lebih kurang 93 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam lagi. Dalam perjalanan ada dua kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi  menikmati pecutan enjin motosikal mereka di Lebuhraya itu. Dipercayai Lebuhraya ini memang sesuai bagi peminat motosikal mencuba kemahiran dan keupayaan enjin mereka kerana kurang kenderaan disini. 



Kembara secara berkumpulan adalah lebih menyenangkan jikalau berlaku masalah yang tidak dijangka.






Cuaca cerah serta berangin dan pemandangan Banjaran hijau Hutan Ulu Jelai dilihat seperti tidak ada aktiviti pembalakan disitu. Namun begitu terdapat papan-papan tanda yang menasihati pengguna jalan raya lebih berwaspada terhadap Lori Balak keluar masuk persimpangan. Hutan di Negeri Pahang mana mungkin tiada aktiviti pembalakan?

Siapakah agaknya yang menikmati hasil tanaman yang dijagai rapi seperti ini. Apakah untuk keperluan penduduk tempatan atau untuk keperluan pasaran penduduk luar negara.

Dipertengahan perjalanan saya berhenti untuk mencuba nasib membuat pemerhatian burung, kalau-kalau terjumpa burung yang jarang ditemui dikawasan Lembah Kelang. Mendapati burung-burung yang kelihatan dikiri kanan lebuhraya sama sahaja dan tidak ada kelainan spesies. Lebih kurang 2 atau 3 kilometer untuk tiba di Pekan Ringlet, saya  mendapati motorsikal saya semput dan menghadapi kesukaran untuk bergerak lancar. Walaupun enjin semput tetapi masih boleh juga meluncur dengan perlahan.

Kerajinan dan pengurusan industri pertanian yang cekap seperti ini harus dicontohi.




Keadaan perjalanan terpaksa diteruskan dalam keadaan yang tersekat-sekat pada kelajuan 20 kilometer sejam. Pada ketika ini mengharapkan supaya enjin motosikal tidak mati dipertengahan lebuhraya. Saya tidak sanggup  menanggung perasaan malu untuk mengemis  ehsan pengguna jalanraya yang pasti akan datang  untuk menghulur bantuan jika itu terjadi. Tidak mahu orang lain merasa serba salah atau kalau-kalau terpaksa memberi bantuan. Sifat tidak mahu terhutang perasaan kepada sesiapa jua pun. Pada saya biarlah  memberi bantuan kepada orang lain jangan saya yang menerima bantuan.




Getah Daiphram yang telah terkoyak.

Saudara Ah Meng mengesan Ball bearing roda hadapan yang telah pecah, dan beliau menasihi ianya harus ditukar bagi mengelakan kerosakan yang lebih teruk yang akan lebih menyusahkan.



Motosikal Honda Klasik

Motosikal Honda Klasik membawa maksud Kedai motor ini berpengalaman dalam bidang pemotoran.

Saudara Ah Meng menguji keupayaan enjin setelah memperbaikinya. Terima Kasih Saudara Ah Meng.

Setelah berpusing-pusing mencari kedai memperbaiki motosikal, akhirnya terjumpa sebuah kedai Motosikal yang menjalankan perniagaannya  pada hari Ahad, 2 kilometer dari pekan Ringlet. Setelah diperiksa, jangkaan enjin semput disebabkan pencucur plug yang telah lama tidak diganti adalah tidak tepat.  setelah ditukar masalah tersebut masih berlaku. Pekerja tersebut membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati getah Daiphram telah terkoyak. Mujur Alat ganti hanya tinggal 1 unit didalam stok mereka dengan harga RM 70.00.  Kerja-kerja menukar minyak enjin, menukar plug, menarik rantai, mengganti ball bearing tayar hadapan dan getah Daiphram  mengambil masa lebih kurang 1 jam. Jumlah upah yang dikenakan adalah sebanyak  RM 130.00 .Setelah selesai memperbaiki dan menguji keupayaan enjin maka perjalanan diteruskan dengan lancar serta selesa.

Ladang-ladang Teh yang terbentang luas di Cameron Highland.

Sungai Air Teh yang telah dibancuh pekat oleh penduduk-penduduk setempat di kawasan Cameron Highland yang diberi percuma kepada sesiapa sahaja untuk mengeteh bersama rakan-rakan.



Meneruskan perjalanan ke tanah tinggi Brinchang dan sampai dikemuncak pencawang Telekom dikaki Gunung Berinchang pada jam 4.00 petang. Suasana berkabus dan cahaya agak kurang disekitar kawasan itu. Burung-burung pula tidak aktif dan cuma dapat melihat seekor burung jenis  Sambar, dan mensyaki ianya  dari spesies Sambar Niltava Malaysia~Niltava sumatrana. Tidak berkesempatan pula untuk membuat rakaman kerana burung itu bertenggek di kawasan gelap. Berkeliaran dan menunggu lama sambil mencari-cari spesis burung yang lain namun usaha itu berakhir dengan kegagalan, burung langsung tidak muncul. Keadaan sudah mulai gelap dan jam telah menunjukkan pukul 7.00 malam dan bergegas turun pulang ke Kuala Lumpur.

Sepatutnya keadaan berkabus sebegini, burung-burung tanah tinggi aktif.



Semua pihak tidak mempunyai pendidikan moral kebersihan. Pengunjung sepatutnya membawa sendiri turun sampah mereka. Manakala Pengurusan sampah hanya menyediakan 2 tong sampah dan  tidak dipungut secara kerap.

Jabatan Perhutanan daerah Kuala Lipis sedang membangunkan kemudahan awam yang hanya nanti memberi keuntungan kepada pihak Kontraktor projek pembangunan ini sahaja. Pentadbiran dan kawal selia yang lemah dan lama-kelamaan akan terbiar, sepertimana kemudahan awam yang lain.



Pokok-pokok hutan jenis tanah tinggi yang telah  ditebang demi memberi laluan kepada pembinaan bangunan ini.

Pokok jenis yang berada dikawasan hutan tanah tinggi mengambil masa yang sangat lama untuk ia besar seperti ini.

Salah satu daripada 4 batang pokok matang yang telah ditebang, kononnya untuk pembangunan .


Hasil kurang cerdik pihak pengurusan projek.



Permandangan Pada Waktu Malam Di Kawasan Pertanian Tanah Tinggi Ringlet.


Perjalanan bermotosikal seorang diri pada waktu malam dari Pekan Ringlet ke Pekan Sungai Koyan merupakan satu pengalaman baharu dari aspek pemandangan.  Pada waktu senja ketika melintas  Pekan Ringlet, kelihatan terlalu banyak jumlah burung dari spesies Lelayang dan Sualo. Mereka berterbangan berpusing-pusing sambil mengeluarkan suara riuh diruang udara Pekan Ringlet. Sesetengahnya ada yang beterbangan berlegar-legar  menyambar serangga diudara. Apa yang pasti spesies burung Sualo Pacifik dan Sualo Jelapang mendominasi kawasan pekan Ringlet. Burung-burung ini bertenggek memenuhi setiap kabel Elektrik dan kabel Telekom. Beberapa kumpulan burung baru tiba, datang menderu-deru dan berebut-rebut mencari tempat untuk bertenggek disekitar pekan tersebut. Bunyi riuh kicauan burung diwaktu senja agak bising. Dari mana datangnya burung ini dengan jumlah yang terlalu banyak tidaklah dapat dipastikan. Mungkin dikawasan ini mempunyai sumber makanan asli yang banyak.


Kebiasaannya saya menunggang pada waktu malam apabila melintasi  kawasan lembah atau hutan kebiasaannya berkeadaan gelap gelita. Tetapi di sini sepanjang lebih kurang 4 hingga ke 5 kilometer, dikiri-kanan jalan diterangi oleh cahaya. Cahaya lampu yang dipasang oleh petani-petani disini  bertujuan mendapatkan cahaya haba kepanasan untuk tanaman mereka. Cahaya lampu yang terang memancar dikiri-kanan jalan , dan ada juga dari arah lereng bukit disepanjang jalan. Keadaan ini merupakan satu pengalaman menarik pada diri saya, mungkin tidak kepada orang lain.


Sepanjang merentasi lebuhraya dalam gelap gelita kebiasaannya saya akan membuka wizer topi keledar bertujuan mendapatkan pandangan yang jelas supaya boleh meningkatkan kelajuan dengan lebih yakin. Tetapi dikawasan ini wizer helmet terpaksa dikatupkan, kerana terlalu banyak serangga halus dan Serangga Kelkatu yang melanggar bahagian muka dan ada juga yang termasuk mata. Serangga yang terlalu banyak berterbangan dalam gelap menghempas muka menimbulkan kesakitan seperti tercucuk-cucuk oleh jarum guni pada muka. Hal keadaaan yang serupa ketika kita menunggang motosikal dalam hujan lebat.

Tentunya hasil tanaman ini akan dijual mahal kerana kos penyelengaraan yang tinggi. Rangka Besi, Jaring Lut Sinar, Upah Pekerja Asing, Baja, sistem pengairan, pendawaian elektrik, pemasangan ribuan mentol dan tenaga elektrik yang banyak.


Pengalaman menempuh serangga pada waktu malam di Lebuhraya Sungai Koyan ini telah memberi jawapan tepat mengapa Pekan Ringlet menjadi penghuni burung spesies Lelayang dan Sualo dalam jumlah yang sangat banyak. Faktor cahaya lampu-lampu yang dipasang oleh petani diatas tapak pertanian mereka telah menjadi tarikan kepada jutaan serangga yang menghuni  kawasan  hutan Ulu Jelai. Serangga ini akan menghurungi dikawasan cahaya lampu , dengan kehadirannya itu menjadi faktor utama  burung-burung  Lelayang dan Sualo  menghuni dikawasan mempunyai sumber makanan semulajadi yang terlalu banyak itu.

Keadaan seperti ini menunjukan pihak Syarikat Tenaga Elektrik Berhad memperolehi keuntungan yang banyak hasil daripada bayaran bill elektrik. Atau mungkin petani hanya menggunakan tenaga elektrik dari Generator milik sendiri.


Selepas melepasi kawasan pertanian Ringlet, suasana sejuk dan keadaan sangat gelap kerana tiada lampu jalan disepanjang lebuh raya tersebut. Cuma sesekali melintasi Pos Betau , Pos Batu , Pos Telanok, Kampong Orang Asli Sungai Kabuk  dan Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai sahaja yang terdapat beberapa batang lampu menerangi kawasan tersebut.


Pada waktu malam laluan ini memang kosong dan hampir tiada kenderaan, cuma sesekali memintas motosikal orang asli yang dipandu pelahan dengan pemboncengnya sedang mengalas batang sumpit, barangkali baru pulang daripada memburu.


Seperti kebiasaan  saya akan berhenti dikawasan yang gelap dipertengahan perjalanan kerana ingin menikmati suasana hening aman damai. Dalam  kegelapan malam pekat bersendirian sambil berfikir dan berandaian. Bermacam-macam andaian dan berkalau-kalau, untuk saya melahirkan perasaan berterima kasih kepada Tuhan. Apa akan jadi jika  rantai motor terputus , tayar bocor , mentol lampu motosikal terbakar ditengah-tengah lebuhraya  seorang diri dalam gelap gelita.




Biarlah berhenti dengan sengaja untuk menikmati hening damai daripada berhenti secara terpaksa yang memberi kepayahan. Selesai upacara berkalau-kalau saya meneruskan perjalanan dan berhenti di Pekan Sungai Koyan untuk mengisi minyak yang hampir kehabisan.


Suasana hening Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai pada waktu malam.

Empangan Haidroelektrik Ulu Jelai

Perjalanan dari Sungai Koyan ke Kuala Lumpur tidak banyak perbezaan dengan perjalanan yang lampau, cuma terpaksa berhenti di Felda Tersang seketika untuk memakai baju hujan. Perjalanan terpaksa diperlahankan kerana permukaan jalanraya licin dan pemandangan juga tidak berapa jelas akibat hujan lebat serta ketiadaan lampu jalan.  Saya selamat sampai di Kuala Lumpur pada jam 12.30 malam dengan kejayaan mendapat penat. Wasalam.