Saat-saat Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley Mati di Lebuh Raya Karak .
Dalam laporan saya yang lepas telah menyatakan penyebab utama kepupusan hidupan liar adalah disebabkan langgar lari yang berlaku diatas jalanraya pada setiap hari. Untuk laporan pada kali ini saya ingin berkongsi hal keadaan dan saat-saat hidupan liar mati akibat dilanggar oleh kenderaan. Untuk makluman, sebelum ini saya telah beberapakali berjaya menyelamatkan hidupan liar daripada dilanggar apabila ternampak mereka diatas jalanraya. Samada menghalaunya supaya berpatah balik masuk ke tempat datangnya atau menguis dengan ranting kayu.
Namun pada kali 24 Dis 2017 , saya tiada daya upaya untuk memberi bantuan kepada Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley yang malang ini. Saya terlambat sampai ditempat kejadian kerana ketika ditemui ia telah pun melintas jalan menuju ke tengah penghadang jalan lebuhraya. Keadaan terlalu banyak kenderaan yang dipandu laju bersilih ganti yang tidak putus-putus. Nyawanya masih sengaja untuk dipanjangkan buat beberapa jangka masa lagi, ketika berjaya melintas jalan pada jarak lebih kurang 30 meter menuju ketengah jalan.
Ketika sampai ditengah jalan ia telah dihalang oleh tembok konkrit penghadang jalanraya. Halangan itu membuatkan Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley itu berusaha pula untuk menyusur memanjat tembok 90 darjah untuk keseberang jalan. Dengan harapan ia berpeluang mencuba nasibnya lagi untuk melintas jalan 30 meter laluan 4 lorong. Walaupun Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley ini berkebolehan menyusur memanjat naik pada lereng dan dinding batu didalam gua, tetapi pada kali ini ia tidak berkebolehan untuk menyusur memanjat tembok yang menegak dan permukaan rata. Walaupun ia telah berusaha beberapa kali lebih kurang 15 minit untuk melepasi tembok itu, namun usahanya itu gagal juga.
Setelah usaha untuk memanjat tembok konkrit gagal Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley berpatah balik untuk melintas jalan ketempat ia mula-mula datang. Cara ia menyusur melintas diatas permukaan jalanraya seperti ia menyusur didalam gua atau didalam hutan secara terus dan tidak teragak-agak. Apa yang mampu dilakukan ketika itu hanyalah berharap setiap pemandu kenderaan melihat lambaian tangan saya yang memberi isyarat memperlahankan kenderaan. Dalam waktu yang sama mereka dapat melihat Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley itu sedang melintas jalan. Adalah tidak adil menyalahkan pemandu kenderaan kerana tidak mahu memperlahankan kenderaannya secara tiba-tiba. Atau mengelak dengan menukar lorong akan mendatangkan bahaya kepada semua kenderaan pada ketika itu.
Belum sempat ia menyusur dipermulaan lorong paling kanan Ular Laju Ridley's ~ Othriophis taeniurus ridley telah digilis pada kelajuan antara 120km~ 130km sejam secara bersilih ganti sehingga lumat anggota badannya. Pada saat mengejut gilisan yang pertama, dengan sertamerta ia bergulung-gulung menahan kesakitan yang amat sangat. Gilisan itu sudah cukup untuk mematah-matahkan tulang belulangnya itu. Belum pun sempat kesakitan pertama itu hilang gilisan kedua menyusul dengan mengoyakkan pula sebahagian anggotanya lalu tercabut nyawanya.
Terburai segala isi perut dengan gilisan-gilisan seterusnya yang berlaku tanpa belas kasihan menjadikan anggota badan ular malang itu lumat dan separuh hancur.Anggota tubuh pecah bersepai berselerak berkecai sini sana. Sampaikan seluruh anggotanya itu leper pipih sekata dengan permukaan jalan. Dagingnya menjadi melekat pada batu krikil dipermukaan jalan dan menjadi sebahagian daripada jalanraya sampai bila-bila.
Dengan kejadian pemerhatian saya ini, tertanya pula pada diri sendiri; apakah yang menyebabkan naluri ular atau hidupan liar yang lain keluar dari habitatnya untuk menyeberang ke kawasan lapang seperti dijalanraya. Adakah dikawasannya itu sudah tidak ada sumber makanan, keselamatannya telah terancam atau sekadar mempunyai naluri ingin tahu. Apakah tidak, hidupan liar itu mempunyai naluri mengesan bahaya.? Saya berpendapat hidupan liar hanya mempunyai naluri mengesan bahaya yang terbatas dengan pusingan kehidupan yang bersangkut paut dalam habitat kehidupannya sahaja. Tidak dengan bahaya-bahaya terjerat, terperangkap, ditembak, terlanggar oleh kenderaan dan sebagainya.Sebab itu terlalu banyak hidupan liar mati sia-sia.
Untuk mengurangkan kematian sia-sia yang berlaku kepada hidupan liar kita, pada hemat saya pembinaan lebuhraya akan datang ( Jikalau terpaksa ) Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya harus mensyaratkan semua Syarikat konsasi pembinaan lebuhraya harus memperuntukan modal ,pelan yang sesuai bagi pembinaan pagar jaring halus disepanjang lebuhraya. Pagar jaring halus itu untuk menghalang hidupan liar menempuh jalanraya. Sepanjang pagar itu pula hendaklah disertaikan dengan lampu yang berkelip-kelip bertujuan menakutkan dan menghindarkan ia hampir dikawasan tersebut.
Kepada semua pembaca pula, saya nasihatkan supaya menerapkan nilai diminda masing-masing ketika sedang memandu pada setiap waktu siang atau pun malam. Bersentiasalah menumpukan pemandangan dihadapan, atas permukaan jalan, kiri dan kanan bahu jalanraya. Kerana pada jarak 50 meter, kita masih mampu melihat objek sebesar tupai diatas jalanraya. Pada jarak itu kita masih sempat memperlahankan atau mengelak secara selamat daripada melanggar hidupan liar.
Andaikata kita leka memandang handphone untuk whatsupp dan update status ketika sedang memandu, bukan sahaja hidupan liar akan menjadi mangsa tetapi manusia juga. Ingatlah sekiranya anda melanggar hidupan liar bermakna anda juga adalah seorang pembunuh. Walaupun ia dilakukan secara tanpa niat dan tidak disengajakan. Maka Selamatkan dan Bebaskan diri anda dari menjadi seorang calon pembunuh di jalanraya. Wasalam.