Mengapa Ia Bersarang Rendah.
Pergam Agong Gunung ~ Ducula badia ~ Mountain Imperial Pigeon
Burung Pergam Agong Gunung ~ Ducula badia ~ Mountain Imperial Pigeon biasa ditemui bertenggek diatas ranting pokok yang tinggi. Kerap kali dilihat pada awal waktu pagi dan penghujung waktu petang secara berpasangan di kawasan hutan tanah sederhana tinggi dan kawasan hutan tanah tinggi. Bagi negeri-negeri di Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan, lokasi biasa ditemui adalah di Freazer Hill, Ulu Kali , Gunung Telapak Buruk dan di Brinchang Cameron Highland.
Namun pun begitu ini tidak membataskannya ia dijumpai hanya dikawasan tanah tinggi sahaja, kerana saya telah beberapa kali menemuinya di kawasan hutan tanah rendah seperti di Lanchang Kuala Krau dan di Merapoh Kuala Lipis Pahang. Ada besar kemungkinan pada ketika itu dia sedang mencari makanan. Ia akan terbang kemana sahaja mencari buah-buahan kegemaran mereka, kemudian pulang semula ke tempat ia asalnya untuk berehat.
Sebelum ini saya telah beberapa kali membuat pemerhatian burung Pergam Agong Gunung ~ Ducula badia mencari bahan membina sarang. Saya juga pernah melihat anak burung yang sedang berada didalam sarangnya. Kesemua lokasi pemilihan sarang burung yang saya temuinya adalah berada ditepi jalanraya. Ia memilih membuat sarang kawasan dicelah-celah tumbuhan yang rimbun tersorok pada aras ketinggian & kedudukan yang rendah. Dianggarkan antara 5 ke 6 kaki daripada lantai tanah. Kesemua tempat sarang yang dijumpai itu adalah sama ketinggian antara lokasi sarang dengan lantai tanah.
Pada April 2018 saya diberi peluang lagi untuk memerhatikan perilaku mereka mencari bahan membina sarang dan menyusun ranting-ranting sehingga menjadi sarang. Sepanjang tempoh pemerhatian itu, Burung dewasa dilihat mengulang-ulangi ke sebatang pokok rendang yang tidak berapa besar tumbuh ditepi jalan. Berulang alik terbang masuk didalam rimbunan tumbuhan yang tersorok tidak jauh daripada bahan binaan itu diambil.
Setiap kali ia memasuk kesitu pasti diparuhnya ada sebatang ranting kayu. Batang ranting bersaiz sebesar seperti lidi penyapu yang panjangnya lebih kurang 12 inci. Batang ranting itu akan disusun membentuk seperti mangkuk pinggan dengan saiz sesuai dengan bentuk tubuh burung itu.Ia pandai membuat pemilihan ranting-ranting dari jenis ranting yang sudah hampir mati dan tidak berdaun lagi. Saya berpendapat, pokok ini adalah salah satu jenis tumbuhan yang akan dikunjungi untuk diambil rantingnya pada setiap kali ia ingin membina sarang.
Sepanjang tempoh pemerhatian tersebut, burung langsung tidak mengendahkan kehadiran saya yang kadang-kadang datang menghampir ditempat ia bertenggek..Timbul persoalan mengapa Burung Pergam Agong Gunung ~ Ducula badia ~ Mountain Imperial Pigeon memilih satu keadaan yang berlawanan dengan tabiatnya.
Dimana semasa musim membiak burung seolah-olah membiarkan sahaja dirinya terdedah dengan keadaan dari berbagai bentuk gangguan daripada manusia. Sedangkan sebelum musim membiak, burung ini sentiasa berada di hujung-hujung dahan pokok yang tinggi. Apabila terlihat manusia secara tidak sengaja menghampirinya, ia akan terus bingkas terbang meninggalkan tempat itu. Keadaan seperti itu menimbulkan kemusyhkilan kepada saya.
Sejarah Nota Pemerhatian Burung Pergam Agong Gunung ~ Ducula badia ~ Mountain Imperial Pigeon.
Siri burung sedang mematahkan ranting ditepi jalan Bulatan Telekom Frezer Hill 28 Feb 2010
2. Dalam cuaca pada waktu pagi berkabus Burung dewasa sedang mematahkan ranting pokok ditepi jalan di Bulatan Telekom, Frezer Hill pada 28 Feb 2010. |
3.Sarang itu ditemui berhampiran dengan Bank Negara Rest House di Bukit Frezer pada bulan Mac tahun 2011. |
Merapoh 7 Jun 2014 |
Di Lanchang Kuala Gandah Pahang pada 22 Jan 2017 |
Pertama, burung tidak takut akan kehadiran manusia berada hampir dengannya. Kedua burung memilih membuat sarang ditempat yang rendah dan boleh dicapai oleh manusia. Mengapa burung memilih keadaan seperti ini dan berlaku kepada spesies burung Pergam Agong Gunung ~ Ducula badia ~ Mountain Imperial Pigeon. Apakah ada rahsia disebalik itu semua, tidak dapat saya huraikan. Wasalam.