Ilmu Dari Satu Kematian
Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat
Semasa berkayuh basikal di kawasan cerun bukit di Taman Melawati, saya terjumpa seekor bangkai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat betina yang baharu sahaja mati beberapa jam yang lalu, dipercayai akibat kemalangan Langgar Lari. Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat malang ini dipercayai datang dari kawasan cerun bukit, yang subur rimbun dengan tumbuhan rumpun buluh. Sebelum ini sudah beberapa kali menjumpai bangkai spesies ini akibat musibah yang sama. Saya banyak mengenali hidupan liar bukan dari pemerhatian didalam hutan, tetapi daripada pemerhatian bangkai hidupan liar malang yang terlibat dengan kemalangan Langgar Lari.
Memandangkan hal kejadian kemalangan Langgar Lari Hidupan Liar boleh dikatakan berlaku setiap hari, maka jangan di sia-siakan korban itu. Walaupun sedih dengan apa yang terjadi tetapi setiap pekara yang berlaku itu suka atau tidak suka pasti akan ada hikmahnya kalau kita cari. Pendidikan seperti ini tidak sama dengan apa yang kita dapat daripada hasil mentelaah buku. Pemerhatian seperti ini adalah tingkatan yang kedua tingginya selepas pemerhatian hidupan liar didalam habitatnya.
Selama ini saya merujuk kepada 2 buah buku lama iaitu Mamalia Semenanjung Malaysia ~ Mohammad Momin Khan dan A Field Guide Of The Mamals Of Borneo~ Junaidi Payne, Charles M.Francis & Karen Philips. Berdasarkan adat ilmu pengetahuan yang sentiasa ada maklumat baharu dari masa kesemasa maka saya ingin berkongsi serba sedikit maklumat tentang Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat ini yang tidak tertulis didalam buku tersebut.
Pengenalan
Ciri-ciri khas pengenalan haiwan ini adalah ia mempunyai sepasang gigi kacip yang panjang terletak dihadapan mulutnya. Panjang 2 batang gigi kacip itu lebih kurang 2 inci panjang pada bahagian atas dan 2 batang gigi kacip bawah yang hampir sama panjangnya dengan yang diatas. Kedudukan gigi kacip bahagian atas menutup gigi kacip bawah. Set Gigi kacip itu berwarna karat besi. Hidupan Liar ini adalah satu-satunya haiwan yang ada di Malaysia yang mempunyai bentuk Gigi Kacip yang panjang terkeluar dari bahagian mulutnya. Penampilan wajah bahagian mukanya menyerupai American Beaver~Castor canadensis.
Maka ia sangat mudah untuk dikenali dan membuat perbezaan antara haiwan-haiwan yang lain. Gigi Kacip yang pipih keras serta tajam itu membantu haiwan ini memakan diet utamanya iaitu batang buluh dan umbut-umbut buloh. Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat hidupnya banyak masa dihabiskan didalam lubang tanah dan akan keluar apabila untuk mencari makan. Pada satu-satu masa ia berupaya melahirkan 2 atau 3 ekor anak.
Dibahagian hidungnya tumbuh bulu-bulu misai hitam yang panjang pada kedudukan yang jarang-jarang. Mempunyai sepasang cuping telinga yang kecil bentuk separuh bulat. Lehernya hampir tidak kelihatan kerana terlalu pendek. Kaki bahagian hadapannya hanya mempunyai 4 batang anak jari pendek yang sama saiz berserta kuku bentuk runcing. Bentuk bahagian tapak kakinya adalah seperti tangan manusia dari jenis berkulit lembut yang berwarna putih.
Manakala kaki bahagian belakang pula mempunyai 5 batang anak jari dengan kuku yang berbentuk runcing juga. Mempunyai bentuk 3 batang anak jari yang sama panjang dan saiz dibahagian tengah dan 2 batang anak jari pendek pada bahagian kiri kanan disisi 3 jari tengah. Bentuk kaki bahagian belakang lebih memanjang daripada bentuk kaki hadapan.
Dibahagian bawah badan berhampiran dengan kaki hadapan terdapat 2 tetek puting susu manakala dibahagian bawah badan berhampiran kaki belakang berhampiran dengan organ jantina pula terdapat 4 tetek puting susu. Mempunyai ekor berkulit tanpa berbulu yang panjangnya dianggarkan 4 ke 5 inci berwarna kehitaman. Berat anggota badan haiwan dewasa ini dianggarkan 1 kilogram. Ia dipercayai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat betina.
Agak ralat kerana tidak dapat memaksimakan bangkai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat betina dari sudut ilmu. Saya cuma dapat hanya sedikit pengetahuan luaran haiwan ini sahaja. Andaikata saya mempunyai kuasa seperti Profesor di Universiti-universiti tempatan, akan saya nasihatkan semua pengkaji dan pelajar tempatan menjadikan setiap bangkai haiwan hasil dari Langgar Lari dijadikan bahan kajian mereka.
Contohnya berapa ramai anak tempatan yang mahir dalam bidang kemahiran Awetan Texidermy.? Saya rasa tidak ramai, jikalau ada pun hanya kepada haiwan yang biasa-biasa sahaja. Maka bagaimanakah mereka boleh jadi mahir sekiranya tidak ada banyak masa latihan. Apakah pelajar di universiti tempatan mendapat latihan dengan mencari hidupan liar yang hidup. Kemudian dibunuh untuk berlatih, bidang Awetan Texidermy untuk mereka menjadi mahir. Sudah tentu tidak. Sebab itu Muzium-muzium dinegara kita telah terlalu jauh ketinggalan dengan British Natural History Museum dan muzium antarabangsa yang lain.
Dalam bidang pelajaran Veteriana Hidupan Liar di negara kita juga sangat berkurangan. Kita harus mempunyai ramai tenaga pakar sebagai pelapis kepada Associate Professor Dr.Jalila Abu dalam bidang ini. Sudah tentu beliau tidak dapat menangani setiap kes kemalangan hidupan liar di negara kita seorang diri. Jikalau berlaku kemalangan langgar lari melibatkan hidupan liar yang tercedera ringan seperti patah tulang kaki , maka jalan penyelesaiannya mangsa terpaksa ditidurkan. Ini adalah kerana kita tidak ada keupayaan yang ramai dalam ilmu kepakaran dalam bidang veteriana membaik pulih kecederaan hidupan liar.
Tentu sekali bangkai Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis (Raffles) ~ Large Bamboo Rat ini berguna dalam bidang Sains Zoology. Jikalau pekara ini penting maka pihak yang melihat pekara ini penting, mereka harus mengatasi semua masalah logistik. Orang yang berkepentingan itu tidak bolehlah bersenang-senang dengan mengharapkan bangkai itu dihantar sampai kedepan pintu makmal mereka. Mereka wajiblah datang mengambilnya sendiri atau mengarahkan kakitangan mereka melakukan usaha itu. Cari jalan bagaimana tata cara untuk menuntut bangkai pada jarak lokasi yang jauh. Sediakan juga tata cara menyimpan bangkai hidupan liar, termasuk memberi imbuhan saguhati atau sijil penghargaan kepada yang telah mengusahakan tanpa memilih spesis hidupan liar. Apa yang penting, berapa kesungguhan pekara ini dapat dizahirkan dengan tata cara yang betul dan sempurna.
Jikalau keadaan ini berterusan sepertimana sekarang, maka pada fikirkan saya sangatlah rugi kerana bangkai hidupan liar yang jarang ditemui itu menjadi sia-sia kematiannya. Hilang lenyap dalam keadaan busuk berhari-hari ditepi jalan. Dihurung oleh langau dan lalat begitu sahaja. Kemudian dimakan oleh ulat-ulat atau di makan oleh anjing liar dan biawak. Eeerrm. Wasalam la.