PEMERHATIAN TINGKAHLAKU BERSOSIAL BERUK KENTOI~MACACA ARCTOIDES(STUMP TAILED MACAQUE) DIDALAM HIDUPAN HUTAN SEMULAJADI HUTAN SIMPAN MATA AYER WANG KELIAN, PERLIS MALAYSIA.
Amsah Bin Mohd Ariff, Syamil Bin Abdul Rahman, Khairul Anuar, Pak Kim
Mohammad Hidzir
Rosla Bin MustakimMohammad Hidzir
Red Door To Hunt
Alamat Email Penulis: rosla.m3@gmail.com
Tarikh: 9 hb Februari 2019
Tarikh: 9 hb Februari 2019
ABSTRAK
Laporan pemerhatian ini telah dilakukan di Perlis State Park Wang Kelian Perlis selama 8 hari. Ia bermula pada 21hb Disember 2018 hingga 24hb Disember 2018. Kemudian disambung lagi pada 29hb Disember 2018 hingga 1hb Januari 2019. Kaedah pemerhatian ini dilakukan dengan cara menjejak mencari dan menunggu kumpulan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) sehingga terjumpa. Pemerhatian dilakukan secara melihat dengan mata kepala, akan kelakuan primat ini didalam hutan semulajadi. Semua pemerhatian dibantu dengan alat-alat rakaman bertujuan menjadikan semua imej dan video sebagai bukti sah sebagai menyokong segala teks dan kenyataan laporan ini. Pemerhatian apa-apa kejadian, kelakuan dan gelagat primat ini akan dilaporkan, walaupun ada sesetengah pandangan khalayak beranggapan ia tidak begitu penting. Semua imej rakaman juga adalah bertujuan mengelakkan apa-apa kejadian perilaku primat yang terlepas pandang oleh mata sipemerhati atau pun terlupa.
Kunci Kata: Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) Taman Negeri Hutan Simpan Mata Ayer, Wang Kelian Perlis Malaysia
MUKADIMAH.
Maklumat dalam bahasa Malaysia berkenaan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) boleh diperolehi sejak tahun 1995. Maklumat tersebut ada terkandung didalam buku yang ditulis oleh Mohamad Momin Khan terbitan Jabatan Perhilitan berjudul Mamalia Semenanjung Malaysia. Penulis buku itu ada menerangkan sedikit maklumat tentang spesis Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque).Namun maklumat yang diterangkan itu adalah sangat terbatas sahaja. Penerangan ringkasnya juga tidak disokong dengan imej, mahu pun dalam bentuk lakaran imej Berok Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque). Walaupun penerangannya cuma sedikit, namun maklumat yang terkandung didalam buku itu sangat penting, khasnya kepada penyelidik dan pengkaji hidupan liar. Kemudian pada tahun 2001 semasa ekspidisi saintifik kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia , mereka telah menjumpai satu kumpulan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) di Taman Negeri Perlis Wang Kelian Perlis. Penemuan itu secara tidak langsung telah menyokong kebenaran maklumat yang terkandung di dalam buku Mamalia Semenanjung Malaysia terbitan tahun 1995. Pada tahun 2014 seorang Pemburung tempatan Saudara Dave Bakewell secara tidak sengaja telah menjumpai beberapa ekor Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) di sekitar kawasan hutan yang sama. Laporan penemuannya itu telah disiarkan didalam Blog peribadi beliau iaitu Dig Deep. Dua tahun kemudian pada sekitar tahun 2016 Persatuan Perlis Nature & Wildlife telah memulakan projek kajian dan penyelidikan tentang Berok Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) di Wang Kelian. Kajian & penyelidikan itu diterajui oleh Saudara Syamil Abdul Rahman dan Saudara Amsah Mohd Arif dibawah program Macaca arctoides Research for Conservation (MARC). Tujuan projek itu adalah untuk mengumpul seberapa banyak data dan matlumat tentang primat ini. Melalui pemantauan berkala secara harian mereka telah berjaya menjumpai kumpulan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque). Projek Macaca arctoides Research for Conservation (MARC) ini tidak dibiayai oleh mana-mana Jabatan Kerajaan, Agensi Swasta mahupun orang perseorangan. Sehingga laporan ini dibuat, mereka masih meneruskan penyelidikan dan kajian terhadap spesies tersebut.
Di Malaysia, spesies Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) hanya boleh ditemui di dalam Negeri Perlis sahaja. Tidak sepertimana dengan keluarganya yang lain, iaitu Beruk~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) yang boleh ditemui disetiap negeri-negeri di Malaysia.
Kertas-kertas Ilmiah yang telah ditulis oleh penyelidik luar negara khususnya dari negara India dan Thailand hanya melakukan pemerhatian kelakuan bersosial primat itu didalam kurungan. Di Malaysia sehingga tahun 2019 tidak ada kertas ilmiah berkenaan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) yang ditulis oleh para penyelidik dari Universiti-universiti tempatan. Ini adalah disebabkan kesukaran untuk menjumpainya di dalam hutan habitat semulajadi. Sementelah tidak banyak maklumat berkenaan spesis ini yang telah didokumenkan di Malaysia, maka saya telah memohon bantuan pakar-pakar daripada Persatuan Perlis Nature & Wildlife. Pengalaman mereka menjejak sejak 2016 telah membantu saya membuat pemerhatian primat ini. Dengan hasil bantuan mereka itu, kerja-kerja menjejak primat ini telah menjadi kenyataan. Walaupun telah menjadi kenyataan namun hasil pemerhatian hanya selama 8 hari belum cukup menghuraikan banyak lagi rahsia yang tidak diketahui oleh pengkaji dunia. Semua laporan pemerhatian saya ini diharap dapat diterima baik dan dikongsikan pula untuk program Macaca arctoides Research for Conservation (MARC). Dimasa hadapan diharap projek Macaca arctoides Research for Conservation (MARC) yang telah memulakan penyelidikan sejak 2016 itu, dapat menyediakan satu laporan ilmiah secara lengkap untuk rujukan masa hadapan. Semua matlumat itu dapat digunakan untuk konservasi primat ini sehingga berjaya. Dengan harapan limpahan kejayaan yang berterusan itu akan dirasai oleh pihak Universiti -universiti tempatan, khususnya di Negeri Perlis.
KAEDAH KAJIAN PENYELIDIKKAN & ALAT YANG DIGUNAKAN
Lokasi tapak kajian dan penyelidikan. |
Kaedah kajian dan penyelidikan ini tidak menggunakan kaedah mengumpan kumpulan Beruk Kentoi dengan pelbagai jenis makanan. Juga tidak menggunakan sebarang ubat pelali, tidak menggunakan alatan perangkap atau apa-apa jua peralatan dan cara yang boleh memberi semua haiwan tertekan ketakutan dan terancam. Kaedah yang digunakan adalah dengan merayau berpuloh kilometer samada dengan berjalan kaki, menaiki motosikal dan memandu kereta. Pencarian kumpulan primat ini dilakukan diseluruh kawasan Wang Kelian Perlis. Samada dikawasan kebun-kebun tanaman buah-buahan, Ladang Kelapa Sawit, lereng-lereng batu kapur dan anak-anak sungai didalam kawasan Hutan Simpan Negeri Perlis dan Hutan Simpan Mata Ayer. Pencarian bermula dari jam 7:00 pagi dan berakhir jam 7:00 malam pada setiap hari. Alat bantuan kajian yang digunakan adalah Teropong Carl Zess, Kamera Panasonic Lumix LX7 untuk rakaman video, Kamera DSLR Canon 7D , Kamera DSLR Canon Mark 7D II, Canon Micro F2.8 L Prime Lens 100 mm, Canon F4 L Prime Lens 300mm dan Canon Zoom Wide EF-S 10-22mm Lens.
KEPUTUSAN & PERBINCANGAN
A.Pengenalan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque)
Berdasarkan nama Beruk Kentoi, pada hemat saya nama tersebut memberitahu akan ciri-ciri khas yang terdapat pada primat tersebut. "Kentoi" dalam perkataan loghat negeri sebelah Utara yang memberi maksud kepada " Kontot" dalam Bahasa Malaysia. Kontot adalah ukuran kepada saiz panjang atau pendek sesuatu benda, mahupun anggota badan. Yang memberi maksud kepada ukuran pendek atau bantut. Memandangkan ekor primat itu sangat kontot, maka masyarakat sebelah Utara mengelarkan primat itu sebagai Beruk Kentoi, sempena kontot ekornya dalam bunyi bahasa loghat Utara Semenanjung Malaysia. Setelah khalayak telah biasa mengenal dengan menggunakan nama panggilan itu untuk suatu jangkamasa yang lama, maka pihak Jabatan berwajib telah mengangkat nama Beruk Kentoi sebagai nama khas kepada primat tersebut. Bertitik tolak dari situ mereka telah mewartakannya nama Beruk Kentoi sebagai nama rasmi primat itu didalam Akta Senarai Hidupan Liar Yang Dilindungi Sepenuhnya di Malaysia.
B.Ciri-ciri Khas Beruk Kentoi.~
Ciri-ciri khas yang ada pada primat itu telah membezakannya diantara keluarganya yang lain. Primat ini mempunyai ekor yang sangat pendek dianggarkan antara lebih kurang 2 ke 3 inci panjangnya. Selain dari itu Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) mempunyai kulit dibahagian muka yang berwarna merah. 2 ciri khas yang dinyatakan inilah yang memberi pengenalan ciri-ciri khas kepada primat ini.
Kulit pada wajah muka berwarna merah. |
C.Kepelbagaian Warna Bulu dan Kulit ~
Primat ini merupakan spesis primat yang unik dan istimewa, kerana mempunyai berbagai jenis warna bulu dan kulit.Penampilan luaran primat ini sama sekali tidak menyerupai penampilan Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) atau pun mamalia lain. Seekor Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) akan mewakili semua penampilan primat tersebut. Sebagai contoh, penampilan warna bulu seekor Siamang yang berwarna hitam itu, akan mewakili semua spesis Siamang yang ada di Semenanjung Malaysia. Akan tetapi Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) mempunyai pelbagai jenis warna bulu dan kulit. Penampilannya sama seperti burung Merpati Batu~Columbia livia( Rock Pigeon) yang mempunyai bermacam-macam warna buluhias walaupun dari spesis yang sama. Ada besar kemungkinan DNA pigman pada warna dan kulit spesis primat ini, secara semulajadi telah mengalami kecelaruan DNA pigman. Diharap pada masa hadapan para penyelidik tempatan terkemudian akan membuat kajian lanjut tentang perkara ini. Hasil daripada penyelidikan dan kajian yang telah dibuat sehingga dokumen ini ditulis, mendapati terdapat 8 jenis warna bulu dan warna kulit. Jenis warna bulu dan kulit yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut :-
1.Bulu panjang berwarna hitam dan permukaan kulit tubuh badan warna merah.
2.Bulu lebat dan panjang berwarna kelabu.
3.Bulu panjang halus mengerekut berwarna perang terang.
4.Bulu panjang yang mempunyai 2 warna iaitu warna putih dan warna kelabu.
5.Bulu panjang berwarna coklat gelap.
6.Bulu panjang berwarna coklat terang.
7.Bulu berwarna keemasan.
8.Bulu pendek berwarna kelabu dan permukaan kulit tubuh badan warna hitam.
8.Bulu pendek berwarna kelabu dan permukaan kulit tubuh badan warna hitam.
Bulu panjang halus mengerekut berwarna perang terang.
|
Bulu panjang yang mempunyai 2 warna iaitu warna putih dan warna kelabu.
|
Bulu panjang berwarna coklat gelap.
|
Bulu panjang berwarna coklat terang
|
Bulu berwarna keemasan.
|
Bulu berwarna keemasan.
|
Bulu pendek berwarna kelabu dan permukaan kulit tubuh badan warna hitam
|
D.Pengenalan Individu Beruk
a.Jantan Dewasa.~
Pengenalan mudah bagi individu beruk jantan ialah ia mempunyai 2 anggota organ telor bersaiz besar tergantung bergayut yang berselaput kulit mengikut warna permukaan kulit beruk. Adakalanya berwarna merah, coklat, kelabu dan lain-lain. Mempunyai bentuk susuk tubuh badan yang tegap serta sasa. Pada bahagian kepala , bahu , lengan dan belakang badan ditumbuhi bulu yang panjang mengurai. Primat ini kelihatan seperti penampilan seekor Singa jantan atau seekor Dubok (Hyena). Ketika berjalan diatas tanah permukaan rata, kelihatan bahagian kepala dan bahunya lebih tinggi daripada bahagian punggung. Mempunyai saiz tengkorak kepala yang kelihatan besar. Jika dipandang dari sudut hadapan, tulang dahi jantan lebih lebar, tebal dan kelihatan tersembul.
Dua biji organ telor yang tergantung , diselaputi oleh kulit nipis dan lembut warna merah. |
Bulu panjang mengurai seperti seekor Singa jantan. |
b.Beruk Betina Dewasa.~
Pengenalan mudah bagi individu beruk betina ialah ia tidak mempunyai 2 anggota organ telor sepertimana beruk jantan. Tetapi ia mempunyai otot daging seperti bibir manusia yang tebal terletak diantara dua celah kaki belakang berhampiran punggung beruk betina. Selain itu individu beruk betina dewasa dibahagian dadanya mempunyai 2 puting susu yang saiz panjang dianggarkan 1 inci. Bentuk tubuh badan yang lebih kecil jika duduk bersebelahan dengan beruk jantan dewasa. Rekabentuk tengkorak kepalanya agak kecil sedikit daripada tengkorak kepala beruk jantan. Jika dipandang dari sudut hadapan tulang dahi betina tidak lebar dan tulang dahi lebih kecil.
c.Beruk Muda & Remaja.~
Kulit pada wajah muka telah mula menampakkan tompokan-tompokan warna, samada warna merah atau kelabu gelap. Kesemua set gigi kekal telah mulai tumbuh, namun begitu 2 gigi jenis taring bahagian atas dan 2 jenis taring bahagian bawah masih pendek dan sama tingginya dengan set gigi yang lain.
Beruk Kentoi Muda/Remaja |
d.Juvana.~
Usia seperti ini dilihat masih begitu rapat mengekori ibunya mencari makanan bersama -sama kumpulannya. Keadaan bulunya hampir sama dengan penampilan spesis Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) .Warna bulu berwarna coklat perang cair dengan rerambut bulu pendek. Kulit mukanya cerah dan tidak mempunyai warna merah atau warna-warnanya yang lain. Yang membezakan diantara mereka hanyalah pada ekornya yang kontot.
Beruk Kentoi Juvana |
Beruk Kentoi Juvana |
e."Bayi/Kanak-kanak"~
Keseluruhan warna bulunya berwarna putih dan akan sentiasa berada dibawah perut atau dibelakang bahu ibunya.
Keseluruhan warna bulunya berwarna putih dan akan sentiasa berada dibawah perut atau dibelakang bahu ibunya.
E.Hal Keadaan Cara Beruk Kentoi Bergerak.
a.Berjalan Dan Berlari Atas Lantai Tanah~ Pemerhatian mendapati primat ini lebih selesa menghabiskan masa 60 peratus diatas lantai tanah hutan. Samada melakukan aktiviti mencari makanan dengan menggunakan ke dua belah tapak tangan serentak dengan kedua belah tapak kaki untuk berjalan dan berlari .
b.Berjalan dan berlari diatas dahan pokok~Sungguh pun 60 peratus primat ini menghabiskan masa diatas lantai tanah namun ia berkebolehan berjalan dan berlari diatas dahan-dahan pokok rendah atau tinggi. Walaupun primat ini tidak mempunyai ekor yang panjang untuk tujuan imbangan tubuh badan, namun primat ini cekap melakukan semua pergerakan yang sama sepertimana Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque).
c.Melompat dan bergayut pada pokok yang rendah dan tinggi ~ Primat ini juga berkebolehan dengan cekap mencapai ranting-ranting pokok ketika melakukan melompat. dari sebatang pokok ke sebatang pokok yang bersebelahan. Kekuatan cengkaman dan genggaman tapak tangan dan genggaman tapak kaki untuk ia bergayut diranting-ranting pokok untuk tujuan pergi satu lokasi ke lokasi yang lain.
F.Tata-cara Menyeberang dan Melintas Jalan.
Beruk Kentoi ~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) hidup dikawasan hutan tanah berbukit bukau di Wang Kelian. Rekabentuk sistem jalanraya yang terdapat dikawasan Hutan berbukit-bukau di Wang Kelian dibina secara berkelok-kelok dengan mempunyai banyak selekoh.Dengan terbinanya jalanraya seperti itu didalam kawasan hutan, maka laluan semulajadi hidupan liar telah terpotong dan berubah menjadi jalanraya. Hasil daripada itu haiwan yang ada didalam hutan secara tidak langsung akan terpaksa melintas jalan untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dialam kawasan hutan itu. Memandangkan sifat semulajadi Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) suka bergerak berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan yang lain ,maka primat ini juga terpaksa melintas jalan setiap hari. Samada menuju ke kawasan tapak mencari makanan, tapak tempat mereka berhenti beristirehat atau tapak tempat mereka tidur.
Sepanjang 8 hari membuat pemerhatian, mendapati apabila setiap kali kumpulan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) ingin melintas menyeberang jalan . Maka kaedah sebegini akan dilakukan. Seekor induk jantan akan keluar terlebih dahulu dari rimbunan tumbuhan ditepi hutan. Induk beruk jantan akan menuju ke atas jalan raya atau jalan tar. Disitu induk jantan itu akan berjalan mundar mandir disekitar jalan raya untuk tempoh beberapa minit. Tugasannya seperti peninjau untuk memastikan keadaan sekeliling selamat untuk menyeberang jalan. Setelah diyakini semua keadaan terkawal, induk jantan akan duduk diatas permukaan jalanraya dengan kepala dan badannya menghala kearah yang hendak dituju. Selepas itu satu nada isyarat bunyi dikeluarkan dari mulutnya, serentak riak raut wajah menandakan lintasan boleh dilakukan segera. Sejurus itu seekor Beruk Jantan akan mendahului lintasan sebelum menderu-deru individu beruk kentoi keluar daripada gigi hutan. Maka berbagai bilangan serta lapisan jantina dan usia bergegas berlari pantas menyeberang jalan. Induk jantan hanya duduk memerhatikan satu kumpulan demi satu kumpulan berlari melintas jalan. Anak-anak beruk Kentoi yang sudah pandai mencari makanannya sendiri, kebiasaannya dilihat akan berlari pantas seolah-olah ada pemangsa sedang mengejarnya dari belakang. Semua dalam satu kumpulan itu menuju terus masuk kedalam kenopi hutan yang redup itu. Beruk dewasa jantan akan berjalan pantas manakala Beruk dewasa betina pula akan berlari-lari anak bersama anak kecil dibawah perut. Setelah diyakini semua ahli kumpulan Beruk Kentoi telah selamat melintas jalan, maka barulah Induk Beruk Kentoi jantan itu perlahan-lahan beredar masuk kedalam hutan dan hilang dari pandangan.
Memanggil dengan memberi isyarat kepada kumpulan yang menyorok didalam hutan supaya sudah boleh melintas jalan. |
Induk jantan ini hanya duduk memerhati semua ahli kumpulannya melintas jalan dengan selamat tanpa ada sebarang gangguan. |
Berpusu-pusu kumpulan Beruk Kentoi melintas jalan secara berlari dengan cepat.. |
Sedang mengeluarkan bahasa bunyi yang mungkin memberi maksud cepat melintas jangan ketinggalan. |
Menunggu sambil memeriksa kalau-kalau ada ahli kumpulan tertinggal |
Sebelum meninggalkan tempat, ia memastikan tidak ada ahli kumpulannya tinggal dan terpisah dengan kumpulanya. |
Induk jantan ini beredar dengan cara berjalan-jalan tanpa ada rasa dirinya terancam |
G.Hal Keadaan Beruk Betina Membawa Anaknya.
Individu beruk jantan tidak pernah dilihat membawa anak-anak beruk, samada secara mengincang atau pun mengelek anaknya. Boleh dikatakan urusan itu semuanya dilakukan oleh individu Beruk betina. Tidak pernah melihat individu Beruk betina membawa lebih daripada sekor anak. Setiap individu beruk betina hanya menjaga seekor anak beruk sahaja. Sepanjang pemerhatian mendapati 3 cara Beruk betina membawa anaknya. Cara yang sering digunakan adalah dengan membiarkan anaknya berada dibawah perut ibunya. Yang mana kedua belah kaki dan tangan anak beruk akan menggenggam dan mencengkam erat bulu dan kulit badan ibunya . Kedudukan anaknya itu akan tergantung terbuai dibawah perut dalam keadaan terbalik. Cara begini kebiasaan dilakukan apabila Beruk betina sedang berjalan dan berlari diatas permukaan lantai tanah dan ketika ibunya sedang memanjat pokok. Cara begini menjadi cara yang biasa Beruk Betina membawa anaknya. Sesekali Beruk betina ada juga membawa anaknya dengan cara anaknya berada diatas belakang badan ibunya. Seolah-olah anaknya sedang menunggang ibu dengan kedua kaki dan tangan menggenggam bulu Beruk betina. Ketika Beruk Betina sedang makan dan berehat diatas pokok ibunya akan mengelek dan memangku anak.
H.Hal Keadaan & Cara Beruk Kentoi Turun Dari Atas Pokok.~
Kebiasaan ia turun dengan mendahulukan kepalanya sambil mengimbang kedudukan tubuh badan menggunakan kekuatan genggaman kedua tangan dan kakinya.Cara ini adalah cara yang selalu dilakukan ketika turun daripada tempat tinggi samada dari atas pokok atau benteng yang curam.
I. Perilaku /Cara Beruk Jantan Dan Beruk Betina Bersosial Mempunyai persamaan dengan spesis Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque).
Ketika mereka dalam keadaan sedang berehat, seekor individu Berok Kentoi betina akan datang berhenti di hadapan Beruk jantan dewasa. Disitu Beruk Kentoi betina secara rela akan merendahkan kepalanya sehingga dagunya mencecah tempat ia berjalan pada dahan pokok. Sambil menonggekkan bahagian punggung lalu dihalakannya kearah muka individu Beruk Jantan. Sejurus itu Berok Kentoi Jantan memegang punggung Berok Betina lalu diperhatikannya sesuatu buat seketika. Kemudian Berok Kentoi jantan merapatkan hidung sambil mengeluarkan sedikit bahagian hadapan lidahnya. Lalu disentuhkannya hujung lidahnya itu ke bahagian anggota organ yang ada dikawasan punggung beruk Kentoi betina. Sesekali dilihat Berok Kentoi jantan menghidu kawasan punggung Berok betina. Selepas menghidu Beruk Kentoi jantan meletakkan jari pada organ di kawasan punggung sambil jari telunjuknya dicolek-colek beberapa kali. Selepas itu Berok Kentoi betina membetulkan kedudukannya pada kedudukan seperti biasa lalu beredar, tanpa melakukan sebarang urusan dan kegiatan percantuman sperma antara benih jantan dan betina.
Kelakuan bersosial antara individu jantan dan betina yang diterangkan sepertimana diatas itu, adalah kelakuan kebiasaan sama yang dilakukan oleh Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque).
Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque)
Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque).
J. Diet Pemakanan Beruk Kentoi ~
Pada setiap masa Beruk Kentoi akan bergerak dalam satu kumpulan samada ketika mereka mencari makanan atau sedang berehat. Dietnya terdiri daripada pucuk-pucuk daun pokok, bunga-bungaan dan buah-buahan hutan. Diet makanannya itu memang banyak terdapat disekitar kawasan Wang Kelian. Kumpulan Beruk Kentoi bergerak mencari makanan seperti " Ombak Burung" (Bird Wave) . Dipercayai cara sebegini memberi mereka merasai beraneka jenis rasa tumbuhan dan buah. Setiap individu bebas memilih makanannya sendiri dari pelbagai jenis tumbuhan untuk menambah protien kepada tubuh badan mereka. Sepanjang pemerhatian dilakukan, tidak nampak antara mereka berkelahi atau berebut-rebut ketika sedang mencari makan. Beruk Kentoi akan menyimpan makanannya didalam tembolok tekaknya sebelum menghadam sedikit demi sedikit ketika dalam perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
K. Sifat Kelakuan Beruk Kentoi Apabila Terganggu.
Jikalau dirasakan berlaku ada gangguan atau dirasakan ancaman kepada ahli kumpulan Beruk Kentoi, seekor induk jantan dewasa akan datang dengan mempamerkan wajah garang. Sambil menunjukkan tingkah laku yang tidak senang akan kehadiran sipemberi anacaman. Induk jantan itu akan bertindak seperti menyergah sipemberi ancaman dengan mengeluarkan suara-suara kasar yang keluar dari kerongkong. Suara keras seperti amaran itu dilakukan secara berulang-ulang, sambil induk jantan mempamerkan set gigi bertaringnya. Serentak perbuatan menggoncang-goncang dahan atau pelepah pokok ditempat ia berada.Tingkah laku liar yang ditunjukkan itu adalah memberi tahu dan masej supaya kita beredar dari situ.
L. Set Gigi Beruk Kentoi
Set Atas ~ Gigi Kacip (Incisor) 4 batang, Gigi Taring (Canine) 2 batang, Gigi Geraham Kecil 4 batang (Premolar) Gigi Geraham 6 batang ( Molar)
Set Bawah ~ Gigi Kacip (Incisor) 4 batang, Gigi Taring (Canine) 2 batang, Gigi Geraham Kecil 4 batang (Premolar) Gigi Geraham 6 batang ( Molar)
Set Atas ~ 4 batang Gigi Kacip (Incisor) yang tersusun sebaris dibahagian hadapan mulut , sebatang Gigi Taring (Canine) yang mengapit dikiri dan kanan 4 gigi kacip, dibahagian kiri dan kanan rahang 2 batang Gigi Geraham Kecil (Premolar) yang bersusun secara beratur dan diikuti dengan 3 batang Gigi Geraham ( Molar).
Set Atas ~ 4 batang Gigi Kacip (Incisor) yang tersusun sebaris dibahagian hadapan mulut , sebatang Gigi Taring (Canine) yang mengapit dikiri dan kanan 4 gigi kacip, dibahagian kiri dan kanan rahang 2 batang Gigi Geraham Kecil (Premolar) yang bersusun secara beratur dan diikuti dengan 3 batang Gigi Geraham ( Molar).
Dicadangkan adalah seperti berikut:-
Melalui pemerhatian secara terperinci, mendapati set 4 batang gigi taring( Canine) beruk Kentoi boleh dijadikan kayu pengukur untuk menentukan status usia beruk remaja, beruk muda atau beruk matang dewasa atau tua. Ia dapat ditentukan melihat akan panjang-pendek saiz gigi taringnya.
M.Aktiviti Perilaku Kelakuan Beruk Kentoi Sedang Berehat ~
Kehidupan seharian yang dilalui oleh Beruk Kentoi bersama-sama hidupan liar lain didalam hutan semulajadi sama sekali jauh berbeza dengan kehidupan didalam kurungan. Berbagai gelagat dan kelakuan dapat disaksikan, walaupun setiap kelakuan tersebut tidak penting dimata sipemerhati. Biarpun perilaku yang dilakukan tidak penting, namun itu semua adalah penanda aras atau lambang primat itu hidup dalam suasana aman dan bebas. Mereka menjalani dan menikmati putaran hidup dari usia bayi hingga peringakat usia tua secara bebas yang mutlak. Setiap individu bebas melakukan apa-apa sahaja aktiviti yang hendak mereka lakukan. Mereka akan mencari tempat yang sesuai untuk merasa selesa ketika berehat. Ada yang memilih diatas dahan pokok yang redup sejuk bebas daripada panas pancaran cahaya matahari.Disenaraikan perilaku kelakuan Beruk Kentoi semasa mereka berehat.
a.Menggaru-garu anggota badan seperti bahagian kepala dan anggota bahagian belakang badan dengan menggunakan beberapa kuku jari kaki.
b.Duduk diam termenung dalam tempoh yang agak lama dengan tidak melakukan apa-apa aktiviti.
c.Menguap membuka mulut seluas-luasnya.
d.Mengorek lubang telinga dengan jari telunjuk dan mengesatnya pada bahagian hidung.
e.Menggosok kedua belah biji mata untuk tujuan ke bersihan bahagian mata.
f.Mencari dan menangkap kutu yang hidup dicelah-celah bulu badan dengan menggunakan jari kemudian memasukkannya ke dalam mulut.
g.Memegang membersihkan gigi dan mulut menggunakan jari.
h.Memerhatikan keadaan sekeliling tempat ia berehat.
N. Hal Keadaan Beruk Kentoi Sedang Tidur~
Pemerhatian kelakuan ini telah disaksikan antara jam 6:30 petang, setelah kumpulan primat ini selesai melakukan aktiviti mencari makanan disebelah petang. Dipercayai setelah ia kenyang dan menyimpan bekalan makanan didalam tembolok masing-masing, kelihatan seekor individu sedang mencari kawasan dia berehat. Ia memilih disatu kawasan sekeliling yang rimbun dan redup penuh dengan tumbuhan meliar. Ia memilih untuk duduk diatas beberapa batang tumbuhan menjalar berukur lilit tanpa daun saiz sebesar lengan kanak-kanak remaja. Batang-batang tumbuhan itu berkedudukan 1ebih kurang 1 kaki dari lantai tanah berhampiran dengan sebuah busut . Pada mulanya individu Beruk Kentoi itu duduk bersanda sambil kedua belah kakinya terkangkang. Kedua belah tangan itu memegang ranting diatas kepalanya. Lama kelamaan matanya terlelap dan tertidur disitu. Selang 15 minit kemudian individu beruk Kentoi itu sudah tidur didalam keadaan yang mengering diatas batang tumbuhan tersebut. Pemerhatian tidak dapat disambung kerana cahaya sudah malam, sementalah banyak tumbuhan renek menutup pemandangan.
Sedang nyanyak tidur dalam posisi mengereng diatas ranting kayu |
O.Cadangan Kepada Hal Keadaan Beruk Kentoi Sedang Mengawan Adalah Sama Dengan Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque).~
Berdasarkan jumlah anak-anak Beruk Kentoi yang banyak memberi petanda jelas bahawa sifat Beruk Kentoi mengawan adalah sepanjang tahun dan ia tidak dilakukan secara bermusim.Sepanjang 8 hari pemerhatian dilakukan , saya tidak berpeluang melihat mana-mana individu Beruk Kentoi sedang mengawan. Memandangkan Beruk Kentoi dan Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) , Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) adalah dari keluarga yang sama, maka cara mereka mengawan juga hampir sama. Ia itu individu jantan akan berada dibelakang beruk betina dalam keadaan berdiri sambil kedua belah kaki individu jantan mengenggam bahagian belakang betis kaki individu beruk betina. Manakala individu beruk betina berada didalam posisi keempat kaki dan tanganya berada diatas lantai tanah.
P. Konflik Antara Beruk Kentoi Jantan~
Kejadian berlaku ketika sesi pagi antara jam 8:00 pagi, ketika satu kumpulan Beruk Kentoi sedang mencari makan ditepi sebatang jalanraya. Kelihatan 2 ekor individu jantan sedang berjalan diatas penghadang jalan menuju ke rimbunan tumbuhan. Pada mulanya kedua-duanya sedang berdiri bersebelahan sesama sendiri seperti sedang memerhatikan sesuatu didalam rimbuan tumbuhan itu. Tidak lama kemudian, tidak dapat dipastikan apa puncanya, kedua ekor individu jantan itu sedang bersemuka antara satu dengan yang lain dalam keadaan berang. Bulu lebat pada bahagian kepala mengembang dan ekor kontotnya naik menegak tegang. Antara mereka bersemuka mara kehadapan sambil sergah menyergah dengan mengeluarkan bunyi keras dari kerongkong berulang-ulang kali, balas membalas. Walaupun mereka mara namun tidak berlaku pertembungan fizikal antara mereka. Ada pada satu ketika salah seekor telah melompat naik keatas melepasi tubuh badan lawannya seterusnya hinggap kemas pada batang besi penghadang dibahagian belakang seterunya itu. Pertembungan secara sergah menyergah itu berterusan sehingga salah seekor hilang kawalan dan terpaksa terjun dari besi penghalang jalanraya. Setelah salah seekor telah berada dibawah, maka disaat itu perkelahian itu terhenti. Individu jantan yang telah berada dibawah cuma memandang seterunya dan tidak meneruskan pertelingkahan lalu beredar. Masing-masing melakukan kegiatan mencari makan tanpa ada pertelingkahan selanjutnya.
Pada mulanya 2 individu Beruk Jantan ini seperti sedang bermaufakat sesama mereka, tetapi selang beberapa minit kemudian mereka berkelahi. |
Adegan sergah menyergah antara satu sama lain.
|
Masing-masing tidak berganjak juga tidak mahu berundur sehingga salah seekor melompat melepasi seterunya itu. |
Beruk Kentoi yang berjaya |
Q. Pelbagai Ancaman .
a.Menjadi Mangsa Kemalangan Jalanraya ~
Sepanjang kajian ini dibuat, memang masih belum ada berita kejadian Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) mati atau tercedera akibat dilanggar oleh kenderaan yang menggunakan jalanraya disini. Namun begitu dengan kekerapan kumpulan ini melintas jalanraya pada setiap hari , keadaan ini memungkinkan pada suatu ketika kemalangan itu akan berlaku.
b.Pembuangan Haram Sampah Sarap Dalam Hutan Simpan Negeri Perlis & Hutan Simpan Mata Ayer.~
Terdapat bukti-bukti sampah bahan binaan/industri dan sisa makanan telah dibuang didalam kawasan ini. Melalui pengalaman di negeri-negeri lain di Malaysia hal perbuatan ini akan mengundang hidupan liar cenderong menjadikan sisa buangan makanan sebagai diet makan mereka. Kesannya nanti dimasa hadapan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) akan bergantung kepada sisa-sisa makanan buangan manusia. Sepertimana yang berlakau kepada spesis Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque).
Imej pembuangan sampah haram yang berlaku di Hutan Simpan Hulu Gombak ini adalah sebagai contoh malang yang telah terjadi kepada spesis Beruk~Macaca nemestrina. |
Masalah pembuangan sampah yang telah berlaku berulang-ulang kali sehingga menjadi kebiasaan ini secara tidak langsung telah memperkenalkan hidupan liar dengan diet makanan dari bahan sisa buangan. |
c.Tong Sampah Yang Tidak Dipungut Secara Berkala.
Sifat naluri hidupan liar yang ingin tahu akan membawa kepada sampah-sampah didalam tong sampah yang penuh akan dikumbah oleh hidupan semulajadi seperti Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) dan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque)
d.Jerat Haiwan Yang Dipasang Oleh Pemburu Haram Dari Negara Jiran.
Terdapat bukti jerat-jerat yang dipasang untuk menangkap hidupan liar dipasang didalam Hutan Simpan Negeri Perlis & Hutan Simpan Mata Ayer. Melalui bukti rakaman ada 2 ekor Berok Kentoi kudung pergelangan kaki & tangannya. Memandangkan lebih 60 % aktiviti Berok Kentoi berada diatas lantai tanah didalam hutan, maka cadangan ia terkena jerat adalah munasabah.Dipercayai kesan daripada nahas terkena jerat yang ditinggalkan oleh pemburu haram.
e.Menangkap Bagi Tujuan Komersial Untuk Diperdagangkan Menjadi Sebagai Haiwan Peliharaan.
Sikap dan ketagihan manusia cenderong kepada memelihara haiwan, memungkinkan spesis Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) dijadikan haiwan peliharaan sepertimana kucing dan anjing itu adalah besar. Lagikan Berok~Macaca nemestrina (Pig-tailed Macaque) dan Kera~Macaca fascicularis (Long-tailed Macaque) sering dijadikan haiwan peliharaan, inikan pula Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) yang istimewa dan menarik. Lebih khuatir lagi apabila orang yang tidak bertanggung jawab menggacukkan spesis Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) dengan spesies lain.
f.Ada Dikalangan Pekebun Kecil & Pemilik Ladang Beranggapan Spesis Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) Sebagai Haiwan Perosak Tanaman & Pokok Buah-buahan.
Ketika musim buah-buahan tentunya spesis ini akan datang untuk menjadikan buah-buahan para pekebun kecil sebagai diet makanan mereka. Samada buah dari jenis Buah Durian, Rambutan atau Mangga. Konfik sebegini sangat sulit diselesaikan melainkan kesedaran daripada pihak pekebun kecil itu sendiri.
R. Langkah-langkah Persediaan
a.Memasang papan tanda berAwas dilokasi yang difikirkan sesuai untuk mengingatkan setiap pengguna jalanraya tentang hidupan liar melintas jalan. Langkah ini adalah satu cara mendidik pengguna jalanraya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui dikawasan tersebut tidak kira waktu siang atau pun malam.
b.Disarankan jabatan berwajib melakukan kekerapan rondaan secara berkala dikawasan hutan bagi memantau lori-lori atau kenderaan awam daripada membuang sampah dikawasan hutan.
c.Penduduk tempatan dengan segera memaklumkan kepada jabatan berwajib tentang orang-orang yang mencurigakan masuk kedalam hutan.
d.Mana-mana agensi Swasta tempatan, pihak Universiti atau badan kerajaan harus menyokong konservasi ini dengan menyalurkan dana khas atau geran kepada Persatuan Perlis Wildlife & Nature untuk menjayakan projek Macaca arctoides Research for Conservation (MARC). Sepertimana bantuan dan sokongan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Sabah & Kerajaan Negeri Sarawak dalam Konservasi Monyet Belanda~Nasalis larvatus( Proboscis Monkey) dan Orang Utan~Pongo pygmaeus.
e.Kerajaan Negeri Perlis dengan seberapa segera harus mewartakan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) sebagai Mamalia Rasmi Negeri Perlis.
f.Pos Malaysia Berhad menjadikan imej Beruk Kentoi didalam muka setem Negeri Malaysia & Perlis, sebagai hidupan liar yang boleh dijumpai di Negeri Perlis, Malaysia.
f.Pos Malaysia Berhad menjadikan imej Beruk Kentoi didalam muka setem Negeri Malaysia & Perlis, sebagai hidupan liar yang boleh dijumpai di Negeri Perlis, Malaysia.
PENGIKTIRAFAN & PENGAKUAN
Saya berbesar hati dan sangat berterima kasih kepada nama-nama yang dinyatakan seperti berikut. Presiden Persatuan Perlis Wildlife & Nature Saudara Shamil Abdul Rahman, merangkap Ketua Projek program Macaca arctoides Research for Conservation (MARC). Saudara Amsah Bin Mohd Arif, Saudara Khairul Anuar @ Khaiaz Khazra daripada Persatuan Perlis Wildlife & Nature, Saudara Mohamad Hidzir @ AJ Penyelidik Bebas, Saudara Pak Kim dari Perlis Mountainering Savior (PEMOS) kerana menawarkan penginapan percuma di Chuping , Penduduk Kampong Wang Kelian, Ibu kepada Saudara Amsah Mohd Ariff kerana meminjamkan motosikal dan menawarkan tempat penginapan di Kampong Wang Kelian, Kakitangan Perlis State Park, Pegawai Keselamatan PDRM Wang Kelian dan Kakitangan Perhilitan Negeri Perlis, kerana memberi kerjasama yang baik, sepanjang tempoh kajian dan penyelidikan.
Kajian dan penyelidikan Beruk Kentoi~Macaca arctoides (Stump tailed Macaque) ini tidak menerima sebarang geran mahupun apa-apa bantuan berupa wang ringgit daripada mana-mana agensi kerajaan, awam, komersial atau sektor tidak berasaskan keuntungan. Kajian dan penyelidikan ini sepenuhnya dibiayai oleh diri sendiri melalui Syarikat Penerbitan Buku Bacaan Ilmiah RED Door To Hunt.
RUJUKAN
1.Mamalia Di Semenanjung Malaysia ~ Mohammad Momin Khan
2.A Field Guide of Mammals of Borneo ~ Junaidi Payne, Charles M.Francis & Karen Philipps.