Friday, 30 August 2019

Senafas Menawan Kemuncak Bukit Jugra.


Nota Kembara Berbasikal Dari Taman Melawati Ke Kemuncak Bukit Jugra, Banting Selangor

Jenis Basikal

1.  Bridgestone Radac 2000- Tahun 1989 Light Alloy tubing Rim Araya 700 c 6 speed gear.

Taman Melawati Kuala Lumpur Ke Kemuncak Bukit Jugra Banting Selangor. :- 






27 Julai 2019 Sabtu

Sejak melakukan kembara berkayuh ke Tanjung Piai , Johor pada 2017, saya langsung tidak mempunyai kesempatan  membuat kembara berbasikal keluar dari daerah kediaman saya. Cuma   berkayuh mengelilingi Bandaraya Kuala Lumpur sahaja, kerana tidak ada kelapangan masa. Jadi, jika diikutkan sahaja dengan alasan tiada kelapangan, sampai bila pun tidak ada kelapangan masa. Maka atas diri sendiri sajalah yang harus mencari kelapangan masa secara sungguh-sungguh. Diri sendiri jugalah yang kena membuat cetusan semangat untuk melakukan itu semua.







Setelah mencabar diri sendiri, maka saya memilih tarikh 27 Julai 2019,  untuk berkayuh keluar dari Kuala Lumpur. Memandangkan cuma ada 2 hari cuti Sabtu dan Ahad, jadi lokasi kayuhan tidak harus terlalu jauh. Setelah berfikir dan mendapatkan cadangan, akhirnya memilih cadangan adik saya untuk berkayuh ke Bukit Jugra Banting Selangor. Kayuhan akan dimulakan dari Taman Melawati, Kuala Lumpur sampai ke kemuncak Bukit Jugra. Saya umpamakan balik kampong dengan berbasikal. Dari maklumat Adik saya  berkayuh naik ke Bukit Jugra memerlukan stamina dan kekuatan.








Ramai pengayuh basikal harus berhenti berehat atau menolak basikal dipertengahan pendakian kerana bukitnya mendonggak tinggi dan tidak ada susur laluan landai. Maklumat ini saya ambil dan dijadikan cabaran peribadi kepada diri sendiri. Mencabar diri sendiri untuk tidak berhenti dipertengahan pendakian, jauh sekali akan menolak basikal. Memandangkan teman kayuhan saya buat masa ini, ada masalah pada lutut maka saya berkayuh bersendirian sahaja. Seperti kebiasaan menyediakan dan keperluan peribadi yang akan digunakan berkayuh didalam bag. Saya hanya membawa sebuah bag  kerana tempoh kayuhan tidak lama, cuma 1 hari 2 malam sahaja. Bercadang memulakan kayuhan awal sebelum subuh kerana malas melayan cuaca panas di Lebuhraya Persekutuan nanti.



Pada hari kejadian seperti yang sudah-sudah cadangan itu hanya tinggal cadangan sahaja. Setelah melecer-lecer barulah memulakan kayuhan dari rumah jam 10:00 pagi. Ketika melalui  di Danau Kota singgah lagi bersarapan dengan adik. Setelah siap bersarapan dan bersembang, tepat jam 11:00 pagi baru memulakan kayuhan. Cuaca pada ketika itu mendung , tetapi tidak membawa kepada hujan. Memilih laluan Jalan Genting Klang ~ Jalan Tuanku Abdul Rahman~ Dataran Merdeka ~ Jalan Bangsar ~ Lebuhraya Persekutuan. Tiba di Batu 3 Shah Alam hujan renyai-renyai mulai turun. Mempercepatkan kayuhan untuk mencari tempat berteduh sebelum hujan turun lebat. Elok saja sampai  di dalam terowong laluan motosikal hujan turun dengan lebat.






Berhenti disitu menunggu sehingga hujan reda, kerana malas berkayuh dengan kasut dan seluar lencun.  30 minit kemudian hujan reda barulah menyambung semula kayuhan. Berkayuh tanpa berhenti dari Batu 3 Shah Alam ~ Klang ~ Sungai Kandis ~  Padang Jawa ~ Jalan Kebun ~ tiba di Telok Panglima Garang pada jam 2:00 petang. Ketika melalui simpang ke Pulau Carey ada sebuah gerai menjual Cendul. Walaupun cuaca redup sahaja tetapi ingin berhenti berehat disitu untuk menikmati minuman Cendul. Setelah menghilangkan dahaga meneruskan kayuhan dan berhenti berehat lagi di Masjid Kampong Sawah.  Selesai berehat disitu, meneruskan kayuhan melalui Kampong Sawah~Bandar~Telok Pulai ~ Chodoi.







Jam sudah pukul 4:00 petang, baru teringat masih belum makan tengahari lagi. Kebetulan di pekan kecil Chodoi  itu  ada sebuah Restauran Mamak untuk makan tengahari. Saya harus menambah tenaga, kerana lebih kurang setengah jam berkayuh dijangka akan sampai kaki Bukit Jugra. Setengah jam kemudian setelah lega daripada mengalas perut saya meneruskan kayuhan fasa terakhir sampai ke kemuncak Bukit Jugra. Dari Chodoi ~ Permatang Pasir hingga ke kaki Bukit Jugra mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja. Cuaca ketika itu panas dengan laluan kampong yang mendatar. Jam di tangan menunjukkan pukul 4:50 petang, maka bermulalah kayuhan senafas mendaki hingga ke kemuncak Bukit Jugra.











Pada saya untuk menawan Bukit Jugra bukan berhenti di Menara Cerap Anak Bulan tetapi di bekas Kem Tentera Udara Diraja Malaysia . Dari permulaan kaki bukit    yang reka bentuknya berkelok-kelok tajam memperlihatkan kegarangan Semangat Bukit Jugra  . Ditambah dengan kecuraman menegak sepanjang laluan naik ke situ. Pengayuh yang lemah semangat akan mudah disergah oleh SEMANGAT GARANG BUKIT JUGRA bermula dari jirat Cina atau di selekoh yang kedua. Disitu  pengayuh semangat lemah akan segera tunduk dan rebah mengikut titah perintah SEMANGAT BUKIT JUGRA. Samada ia berhenti berehat atau dia menolak basikal.  Dipermulaan kaki bukit lagi saya telah dipaksa menggunakan Gear 6 dengan Piring Kayuh Besar.




Memang sengaja saya menyimpan Piring Kayuh Kecil sebagai senjata terakhir bila melalui  jalan mencanak menegak nanti. Mengayuh perlahan-lahan secara lurus sehingga pintu masuk ke Jirat Cina. Setelah melepasi Bangunan Pejabat Daerah usang, cara kayuhan mula bertukar dengan menggunakan kaedah kayuhan Zigzag. Walaupun ketika  itu telah petang, namun pancaran cahaya matahari masih panas terik. Kulit badan terasa perit seperti telah garing kerana laluan kawasan disitu tidak ada pokok-pokok melindungi jalan. Selepas itu bertemu pula laluan selekoh tajam yang panjang menegak. Disitu saya masih mengguna kaedah kayuhan Zigzag dengan Piring Kayuh Besar. Sedar cara begini akan memeras bekalan simpanan tenaga. Untuk tidak mensia-siakan tenaga disitu maka disinilah masa yang sesuai menggunakan bantuan senjata simpanan terakhir.





Berkayuh dengan mendatarkan kedudukan  basikal, lalu dengan cepat menurunkan rantai ke Piring Kayuh Kecil. Dengan senjata simpanan inilah saya berkayuh perlahan-lahan naik secara zigzag . Walaupun cara begitu telah menambah jarak kayuhan namun pergerakan basikal tetap naik mendaki. Ia lebih mulia daripada berhenti rehat atau menolak basikal. Laluan disini curam mendonggak tetapi redup dan sejuk , hanya sedikit sahaja cahaya matahari dapat menembusi daun-daun tumbuhan hutan.  Walaupun peluh mencurah menitik keluar membasahi pakaian tetapi ulu hati masih belum panas lagi. Perlahan naik sedikit demi sedikit sehingga melintas Menara Cerap Melihat Anak Bulan. Ketika melintasi abjad gergasi "JUGRA" hati kecil bertanya ; Mengapa pengayuh basikal berhenti di sini?




 Selepas itu jalan sudah tidak berkelok-kelok lagi,  cuma jalan lurus yang mendaki dianggarkan lebih kurang 2 kilometer.  Sungguh pun laluan itu lurus mendaki perlu juga berwaspada, kerana perjalanan masih belum sampai. Jangan mudah merasa gembira sedangkan kemuncak Bukit Jugra masih belum ditawan. Selagi perlawanan belum habis apa-apa perkara boleh berlaku. Dilaluan akhir ini saya menguruskan rentak kayuhan dengan betul, adakala kaedah Zigzag ada kalanya kayuhan lurus menaik. Ia silih bertukar ganti mengikut kecuraman bentuk jalan. Mana tahu sedang rasa seronok hendak sampai ke kemuncak betis kaki berlaku kekejangan atau kepala lutut berpasir.



Jika berlaku serangan kekejangan, semangat kuat macamana sekali pun akan membuatkan berhenti mengayuh. Lebih-lebih lagi saya mengayuh bersendirian tanpa teman kayuhan. Jalan yang sedang dilalui   sedang merentas Hutan Simpan Dara Kekal Bukit Jugra yang sunyi tiada seorang pun melainkan saya seorang. Itu perlu kita sedar. Pada ketika itu datanglah saki baki gangguan SEMANGAT GARANG BUKIT JUGRA yang degil mengejek ; Hai awak kayuh tak sampai-sampai ! Berapa jauh lagi mau sampai daa!  Setelah berada pada jarak 100 meter dari pintu pagar bekas Kem Tentera Udara Diraja Malaysia, barulah dapat rasa Bukit Jugra telah pun ditawan. Pada ketika itu juga saya menaikkan rantai dari Piring Kayuh Kecil kepada Piring Kayuh Besar. Serentak dengan itu juga saya mengayuh sambil berdiri  untuk menghalau saki baki SEMANGAT GARANG BUKIT JUGRA yang degil itu.






Sampai dihadapan pagar pada jam 5:13 petang, maka sah dan rasmi lah Bukit Jugra telah ditawan dengan senafas sahaja... Bersendirian berehat di depan pagar sambil mengenang-genang kembali bukit-bukit yang pernah ditawan secara senafas. Membanding-banding tingkat kepayahan antara satu dengan yang lain. Antaranya Bukit Hangus  Taman Melawati, Bukit Dinding Wangsa Maju, Bukit Sempadan Daerah Kuala Lipis ~ Raub di Hulu Dong, dan Laluan Kampong Pagi Ulu Tembeling . Selama memilikinya merasa senang hati dengan Si Motorhead, gelaran kepada  model basikal saya era 80an.




Basikal yang dibeli dari kedai Bundle barang terpakai dari Jepun di Jenjarum. Sehingga kini Si Motorhead tidak pernah mendatangkan aib,  juga dia belum pernah memberi susah kepada tuannya. Bila-bila masa merasa yakin sepenuhnya untuk menawan mana-mana bukit ditemui. Basikal dari  jenis logam kerangka berat, dia cukup stabil membawa beban bag yang  berat ,   dengan bantuan  2 piring kayuh bersama  6 gear.




Sepanjang berkayuh cuma sekali Si Motorhead tidak berupaya naik iaitu di Bukit Nanas berhampiran Menara  Kuala Lumpur.  Ketewasan itupun  telah lama dimaafkan setelah mengambil kira laluan naik disitu terlalu pacak mendongak. Setelah berehat baru lah saya turun dengan perlahan-lahan menjaga brek jangan sampai basikal meluncur laju sehingga tidak dapat dikawal. Sehingga mendatangkan bahaya malapetaka. Singgah di Menara Cerap Anak Bulan untuk sesi berfoto. Selesai sesi bergambar bersiap sedia untuk turun ke bawah untuk pulang. Jam menunjukkan baharu pukul 6:00 petang, maka berkayuhlah melalui kawasan kampong yang damai.















Ketika melalui simpang Pulau Carey saya terlihat satu kumpulan Lotong endemik Kuala Selangor iaitu Lotong Kelabu~Presbytis cristata ( Silvered Leaf Monkey). Timbul tandatanya bagaimana spesis ini boleh berada di Telok Panglima Garang ? Dari mana kumpulan ini datang? Setahu saya selama ini tidak pernah melihat spesis ini berkeliaran di kawasan Telok Panglima Garang kecuali di Kuala Selangor. Selepas merekodkan kehadiran Lotong Kelabu~Presbytis cristata ( Silvered Leaf Monkey) di kawasan Telok Panglima Garang meneruskan kayuhan.









Sampai di Pekan Telok Panglima Garang teringatkan rakan sekolah rendah yang tinggal di situ. Telah beberapa kali hendak menziarahnya tidak kesampaian, mungkin dia ada kelapangan boleh duduk bersilaturahim minum bersama. Kebetulan beliau ada kelapangan kita duduk minum sehingga tidak terlepas waktu maghrib. Meneruskan kayuhan dalam gelap menuju ke rumah adik di Sijangkang. Katakan adik saya tiada dirumah, saya akan terus pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Berkayuh pada waktu malam ada daya seronoknya yang tersendiri. Memang nasib saya menghendakkan saya berhenti berehat tidur di kampong. Adik saya baru pulang dari kembara ke Pahang. Bersihkan diri , berehat dan makan malam.






28 Julai 2019 Ahad




Selepas subuh bersiap dan meminta diri untuk  pulang ke Kuala Lumpur. Waktu pagi kenderaaan masih belum sibuk lagi. Kalau matahari sudah meninggi laluan Telok Panglima Garang ke Kelang terlalu sibuk dengan kenderaan berat yang di pandu laju. Sudahlah jalan berlekuk-lekuk permukaan jalannya bertampal-tampal dan bahu jalan pun tinggi. Jam 7:00 memulakan kayuhan dengan keadaan jalan raya masih belum banyak kenderaan. 




Sedang mengayuh melihat sinar mega matahari keluar perlahan-lahan. Cuaca masih lagi sejuk dan dari jauh kelihatan seperti berkabus di kawasan jalanraya. Setelah sampai dikawasan tersebut, saya terpedaya itu bukannya kabus tetapi asap yang masih keluar dari tanah gambut yang terbakar sejak beberapa hari yang lalu. Sijangkang ~ Klang ~ Shah Alam dan berhenti di Sungai Way jam 9:00 pagi. 





Waktu terlalu awal untuk sampai ke rumah, maka saya singgah di rumah saudara dekat yang tinggal disitu untuk bersilaturahim. Memandangkan tidak ada apa yang hendak dikejarkan jadi singgah lama disana. Menjamu selera sambil berborak cerita-cerita lama sehingga tidak sedar matahari telah tegak diatas kepala. Jam 1:00 tengahari baru menyambung semila kayuhan menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan.



Saya tidak perlu mengulang-ulangkan cerita berkenaan kualiti jalanraya dan tata kerja penyelenggara jalanraya. Cerita berkajang-kajang akan tetap seperti itu.  Mujur ada LANDO Brotherhood and The GANG's, kalau tidak tentu akan bertambah-tambah teruk lagi keadaan jalanraya yang teruk ini. Angan-angan Mat Jenin si ahli politik mengejar menjadi negara maju, sampai ke sudah akan begini. Bangunan pencakar langit tetapi tidak ada kebersihan. Sistem jalanraya dan saliran tidak pandai selenggara.



Ada banyak jalanraya tetapi tidak ada kualiti.Dari Sungai Way~Lembah Pantai~ Bangsar ~ Dataran Merdeka mengambil masa lebih kurang 1 jam. Masih terlalu awal untuk sampai ke rumah. Berhenti lagi berlakon konon-konon kita ini Pengembara Basikal dari Mexico. Buat-buat melihat tempat-tempat menarik di sekitar Dataran Merdeka. Setelah tidak tahu apa lagi hendak dibuat, mengambil keputusan menyambung kayuhan terus pulang ke rumah. 






Dalam perjalanan pulang sudah berangan-angan lokasi kayuhan pilihan. Bukit Tarik lah , Gunung Telapak Buruk lah, Gunung Jerai lah, Bukit Larut ,Wang Kelian lah dan bla bla... Semenajung Malaysia ini masih banyak tempat yang belum di tawan lagi dengan basikal. Harap diberikan kesihatan dan keselamatan untuk meneruskan aktiviti Kayuhan Kembara. Segala puji dan pujian kepada Allah, saya selamat sampai ke Taman Melawati pada jam 3:15 petang. 





Sepanjang perjalanan tidak berhadapan dengan segala macam cemas, tidak berlaku kerosakan pada basikal, tidak berlaku kebocoron tayar dan tidak ada sebarang masalah kecil yang mengganggu kayuhan. apatah lagi masalah besar. Wasalam.