Tarian Klasik Bharatha Natyam Solo
Oleh Cik Navi Indran Pillai
Saya kenal Tarian Klasik India Bharatha Natyam melalui Lagenda Tarian Klasik India Malaysia Dato Ramli Ibrahim sejak tahun-tahun 1980an lagi. Pernah datang ke rumahnya yang dibina dengan senibina Rumah Kayu Melayu Kutai di Sungai Pencala Kuala Lumpur. Pergi kerumahnya mengikut kenalan baiknya , untuk melihat beliau berlatih dan melatih anak muridnya di situ. Kemudian sekali lagi berpeluang menerima jemputan "Kawan atas Kawan " menonton persembahan secara langsung gabungan Tarian Klasik India dan Menora bertempat di kediaman Hijjas Kasturi di Paya Jaras Selangor sekitar tahun 1980an dulu. Pengalaman lampau itu membuatkan saya menghargai seni tarian klasik India Bharatha Natyam. Seorang penari itu harus mempunyai jiwa meruntun kepada perincian seni gerak halus, disulam dengan emosi dan mempunyai tahap stamina yang tinggi.
Selepas itu tidak lagi berkesempatan menonton persembahan tarian Klasik India Bharatha Natyam. Secara kebetulan anak rakan sekerja isteri saya akan mengadakan persembahan Tarian Klasik India Bharatha Natyam. Persembahan itu bertujuan membiayai kos rawatan dan perubatan memulihkan penyakit kenser Payu Dara yang dihadapinya. Sebagai tanda memberi sokongan kepadanya, saya meluangkan masa melihat dan menikmati kembali ketinggian persembahan seni tarian klasik India yang pernah saya tonton dulu.
Apa yang memberi keterujaan kepada saya untuk menonton tarian ini, adalah disebabkan tarian ini dipersembahkan oleh pesakit kanser itu sendiri, iaitu Cik Navi Indran Pillai. Latarbelakang sejarah kehidupan zaman muda belianya berkisar dengan kehidupan getir. Kehidupan beliau tidak sama sepertimana orang-orang lain yang sihat. Pada tahun 2013 ketika berusia 22 tahun beliau telah disahkan menghidap penyakit Kanser Payu Dara. Ketika mendapat tahu berita seperti itu , pasti sesiapa pun jua akan merasa sedih kecewa bilamana dirinya menghidap kanser.
Selama tempoh itu hendak atau tidak, walau dengan perasaan sedih beliau tetap berjuang meneruskan kehidupan dengan semangat melawan. Tempoh beberapa tahun itu banyak wang ringgit dan masa keluarga dihabiskan untuk mengubati penyakit Kanser Payu Dara itu. Shukur Alhamdulilah, atas usaha semangat diri sendiri yang disulam dengan kasih sayang dari ahli keluarga. Disamping mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari rakan taulan akhirnya beliau pulih.
Pada ketika sedang bertatih untuk memulakan kerjayanya dengan menyangkakan episod malang itu telah berakhir. Sekali lagi pada tahun 2017 ujian telah datang dengan cabaran hidup yang lebih kuat kepada Cik Navi Indran Pillai. Pada kali ini, diusia 29 tahun cabaran itu lebih getir kerana Kanser Payu Dara itu telah berada pada peringkat 4 ( Peringkat Terminal ). Belum pun sempat menikmati kehidupan seperti biasa, datang pula ujian yang lebih berat. Semasa itu Virus kanser tersebut telah mula menyerang bahagian Hati dan Tulang Belakangnya.
Bukan calang-calang orang yang sanggup menghadapi ujian hebat seperti ini. Kalau tidak cukup kuat semangat biasanya akan terjelepok duduk merintih akan nasib malangnya. Menunggu saja virus jahat memamah punah apa saja organ sehingga tercabut nyawa. Walaubagaimana pun , bersesuaian dengan firman Allah, Dia tidak akan memberi beban kepada makhluk dengan beban yang tidak boleh dipikulnya.
Semangat yang dimiliki dalam diri Cik Navi Indran Pillai cukup hebat , sama seperti semangat bidalan Melayu " Patah sayap, bertongkatkan paruh , pecah paruh bertongkatkan dahi. Dengan baki semangat itu beliau berjuang semula memulihkan semangat untuk melawan dan merawat penyakitnya sehingga ke hari ini. Merasakan beban rawatan yang sangat mahal, juga perihatin kepada keluarganya yang selama ini menanggung beban yuran perubatan. Maka beliau berazam mengadakan persembahan bakat seni tarian klasik India Bharatha Natyam. Seni Tarian Klasik India yang telah dipelajarinya sejak berusia 6 tahun.
Pada hemat saya, ini adalah pencapaian sejarah tertinggi peribadi kepada dirinya. Buat julang-julung kalinya dapat menzahirkan persembahan tarian klasik solonya. Walaupun beliau mempunyai latarbelakang seni tarian Klasik India yang tinggi. Tetapi itu bukan menjanjikan ia boleh dilaksanakan dengan mudah. Persembahan solo ini, bukan satu kerja yang senang, kerana beliau harus mengandakan usahanya bagi mempersiapkan diri dalam keadaan kesihatan dirinya yang tidak menentu. Mempertontonkan persembahan dihadapan daif-daif kehormat dan orang ramai.
Lebih-lebih lagi dihadapan Lagenda Tarian Klasik India Dato' Ramli Ibrahim yang turut hadir bersama guru-gurunya yang lain. Pada malam itu hampir 70 peratus ruang tempat duduk Auditorium Shantanad dipenuhi oleh penonton yang hadir untuk memberi sokongan kepadanya. Persembahan itu dicadangkan akan dilakukan lebih kurang 2 jam, yang dijangka bermula dari jam 6:30 petang membawa hingga ke pukul 8:45 malam.
Beliau diiringi oleh 4 orang pakar ahli seni muzik klasik India. Saya akui kelemahan diri sendiri kerana tidak mengingat akan nama-nama mereka itu, walaupun telah dimaklumkan. Pemain Tabla, Pengesek Biola, Tukang Mengalun Mentera dan Gurunya sebagai mendenting loceng. Persembahan itu dimulakan dengan tepukan gemuruh dari semua penonton yang hadir. Sebaik sahaja gesekan biola dan tabla dimulakan sambil diselang seli dengan bacaan mentera beralun-alun, muncullah Si Cantik Jelita Cik Navi Indran Pillai.
Kemunculanya berpakaian tradisional India dengan hiasan diri wanita yang lengkap. Ia dihias kemas dari hujung kepala hingga ke hujung kaki, siap berinai ditapak kaki. Bahagian kepala dihias dengan set rantai yang terletak pada tengah dahi, belakang kepalanya bersanggul berbunga , kilauan subang menghiasi cuping telinga, bertindik dihidung, 1 set rantai menutup bahagian leher dan 1 lagi rantai tergantung didada. Di kiri kanan lengan penuh bergelang , pada pinggang tersemat logam bersinar warna keemasan dan set gelang loceng di kedua belah pergelangan kaki. Seolah-olah saya telah tertipu dengan penampilanya itu. Apa, benarkah Si Cantik jelita ini sedang menghidap penyakit Kanser Payu Dara ?
Peeergh ! Begitu besar jiwanya.! Berani dan bersungguh-sungguh dia ingin berhadapan dengan ramai penonton. Dari penampilannya itu beliau seperti berkobar-kobar ingin membuat persembahan buat pertama kali dalam hidupnya. Cahaya lampu beranika warna hanya memancarkan cahaya diruang legar tarian . Dengan suasana begitu, tumpuan mata penonton hanya tertumpa kepadanya. Paras wajahnya seperti gabungan kecantikan wajah Dalida, Karisma Kapoor, Erra Fazira dan Maya Karin. Maka menarilah sicantik jelita Navi Indran Pillai itu seperti sang rama-rama, yang sedang bersuka ria menyedut manisan madu sambil berterbangan di dalam taman kayangan.
Menari mengikut rentak yang tersusun gaya tarian klasik sesuai dengan jalan cerita mentera dari alunan bacaan mentera, agaknya. Jikalau saya memahami makna mentera yang disampaikan itu, boleh jadi gerak tari Si penari cantik jelita itu sama seperti gambaran dewa dewi kayangan. Beliau menari dengan berubah-rubah riak wajah beremosi. Sambil menghentak-hentak kaki, melompat, melentik, berpusing, terbaring, bersempuh kemudian bangun semula selama hampir 2 jam. Entah dari mana datang staminanya sipenari yang menghidap penyakit Kanser Payu Dara ini.? Itu saya tidak pasti, ini satu usaha persembahan hebat dan mengkagumkan.
Itulah bukti bahawasanya beliau telah membuat persediaan berlatih bersungguh-sungguh sehingga mendapat tahap stamina yang diperlukan. Saya pasti penonton lain hanya mampu melihat pergerakan tarian yang berseni sahaja. Tetapi semua penonton mungkin terlepas pandang akan perincian sejarah emosi yang dilalui cuba disampaikan oleh Cik Navi Indran Pillai. Walau mereka duduk dibahagian hadapan sekali pun pasti tidak nampak apa yang dizahirkan pada riak wajahnya. Kerana riak wajahnya yang bermacam-macam itu berubah-rubah dengan cepat sekilas pandang.
Wajah yang riang gembira, sedih, hiba, terkejut, patuh, nakal, kecewa, marah telah dizahirkan nampak pada wajahnya seiring dengan bacaan mentera. Bermacam jenis riak wajah telah dapat dihentikan menggunakan seni rakaman kamera untuk kita hargai dan menikmati bersama. Pada riak wajah yang terhenti itu dapatlah kita memandang lama-lama. Dari sudut kaca mata saya siri rakaman ini ada kelebihan malah ia sangat penting. Dengan mengulang pandang ini dapat memperlihatkan keupayaan sebenar, dalam persembahan tarian klasik India. Jikalau tidak diperlihatkan riak wajahnya , maka tarian klasik itu ditonton hanya melihat gerak geri anggota tubuh penari itu sahaja. Sedangkan Cik Navi Indran Pillai bersusah payah memusatkan pendengaran, meresap menusuk kedalam jiwanya kemudian mewujudkan berbagai bentuk perasaan didalam hati. Setelah itu menjelmakan riak wajah yang berbagai rasa. Samada sedih , gembira , marah, hiba dan segala macam bentuk rasa.
Jauh dalam sudut hati saya timbul tanda tanya, apakah perasaan yang sebenar-benar dirasai oleh Cik Navi Indran Pillai, ketika menzahirkan berbagai-bagai riak wajah semasa menari. Sedangkan dirinya menghidap penyakit kanser ? Hanya diri dia sahaja yang tahu. Kita renung dengan mata hati dan pandang riak wajahnya lama-lama mungkin saudara saudara sekelian akan dapat jawapan yang tepat. Semua jawapan yang diperolehi nanti itu , adalah betul serta benar dan tidak ada jawapan yang salah. Walaupun jawapan itu berlainan dan berbeza antara satu sama lain. Semua jawapan itu benar mengikut rasa hati peribadi masing-masing. Kalau kita menjawab gembira, maka gembira la dia. Andainya kita menjawap hiba sedih, bersedih lah dia.
Dibawah ini saya kongsikan siri menghentikan riak wajah Cik Navi Indran Pillai untuk kita tatap lama-lama, bagi tujuan seni Tarian Klasik India Bharatha Natyam. Kemudian nilailah sendiri bakatnya itu, sambil menghargai kesungguhan usahanya sehingga beliau berjaya melakukan persembahan tarian solo pertama dalam hidupnya. Mencontohi kecekalan dan semangat yang tidak pernah patah. Setiap hari membara semangat dengan bersikap positif berbaik sangka, untuk terus berjuang melawan penyakit. Menghargai setiap saat kehidupan yang dilaluinya.
Persembahan tamat hampir ke jam 9:00 malam, mengikut jadual cadangan persembahan yang dinyatakan. Dengan persembahan seperti itu, tentu sekali beliau mendapat tepukan gemuruh sambil berdiri daripada sidang penonton. Walaupun di sesi penghujung persembahan tarian ada berlaku sedikit disiplin imbangan kaki badan yang tidak begitu sempurna. Namun beliau cepat menutup ketidak sempurnaan itu tanpa disedari oleh ramai penonton. Kita juga sangat memahami situasinya yang kepenatan setelah hampir dua jam menari. Pekara itu sangat kecil yang tidak langsung boleh mencacatkan persembahan.Selesai persembahan Cik Navi Indran Pillai memberi tunduk hormat kepada penonton . Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada sidang penonton yang datang memberi sokongan.
Iktibar dari pengalaman yang kongsikan ini sedikit sebanyak memberi dorongan semangat kepada orang lain berhadapan dengan penyakit Kanser Payu Dara atau apa-apa jua sakit. Supaya mereka itu jangan-sesekali patah semangatnya walaupun sedang menderita menanggung sakit. Bangkit dan bakar semangat untuk terus melawan penyakit sepertimana dilakukan oleh Cik Navi Indran Pillai. Ketika dia sedang bergelut mencari semangat melawan, rakan dan taulan jangan biarkan dia bertarung bersendirian. Beri lah sokongan dari segi apa jua sokongan yang mampu. Samada sokongan kewangan, sokongan memudahkan, sokongan kata-kata perangsang.
Sokongan seperti itu akan meniup bara api semangat sehingga membakar menjulang-julang. Ajal maut semuanya adalah ketentuan Allah, selagi nyawa dikandung badan selagi itu berusaha secara bersungguh-sungguh dengan cara betul dan jujur. Tidak putus berdoa kepada yang Maha Kuasa supaya usaha kita itu berjaya. Setelah itu bertawakal dan Redho kepada Allah dengan sentiasa berbaik sangka kepadanya. Supaya usaha kita itu akan berjaya. Dengan izinnya akan berjaya. Wasalam.
Menerima berita sedih penari Puan Navi Indran Pillai telah meninggal dunia pada 21 Okt 2024 disebabkan penyakit kanser.