Thursday, 11 July 2024

Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan Hoya Lasiantha

Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan  Malaysia ~ Hoya Lasiantha 

Bunga Hoya Lasiantha 



Di negara kita cukup kaya dengan tumbuhan liar yang hidup subur bersepah-sepah di dalam hutan belentara Tanah Tinggi mahu pun Hutan Tanah Rendah.  Ada terlalu banyak jenis spesis tumbuhan liar  yang tumbuh disitu, samada pada lantai tanah hutan mahu pun menumpang tumbuh melilit dan tersangkut pada tumbuh-tumbuhan lain. Jika hendak dinyatakan saya sendiri tidak tahu kerana saya bukan ahli kepada bidang tumbuhan. Walaubagaimana pun begitu, perasaan  ingin tahu yang bercampur dengan kasih sayang kepada tumbuhan liar tempatan memang telah ada sebati di dalam jiwa.  Saya memang bernasib baik kerana mempunyai Guru-guru seperti Saudara Mike Chong dan Saudara Dennis Yong yang sentiasa ingin memberi pelajaran yang menambahkan ilmu pengetahuan saya dalam bidang alam semulajadi tanahair.

 

 

Baru-baru ini Saudara Dennis Yong telah menghubungi saya kerana beliau ingin menunjukkan dan memperkenalkan kepada saya rupabentuk bunga sejenis tumbuhan liar tempatan Hutan Tanah Rendah. Ujar beliau tumbuhan liar yang dikenali dengan nama saintifik Hoya Lasiantha ini jarang sekali dapat melihat kuntuman  bunganya. Katanya ini adalah buat pertama kali dia melihat bunga Hoya Lasiantha depan mata kepalanya , yang mana sebelum ini beliau hanya melihat melalui gambar di dalam buku atau pun internet.

 

Barangkali beliau teruja dan ingin berkongsi gembira bersama sambil   saya dapat belajar dan mengenal tumbuhan liar tempatan. Beliau memaklumkan tumbuhan liar Hoya Lasiantha ini hidup tumbuh menumpang dan berakar pada pokok-pokok besar. Tumbuh secara bebas liar menjalar memanjat melilit panjang pada tumbuhan lain. Sehingga kadang-kadang terlihat Hoya Lasiantha telah bercampur dengan daun-daun pokok yang ditumpanginya.


 

Cuma orang mempunyai ilmu pengetahuan seperti beliau saja dapat membezakan daun-daunnya. Atau ia dapat dibezakan bila mana ketika tumbuhan Hoya Lasiantha itu berbunga. Peluang begini bukan datang selalu, terlanjur ketika ada orang yang hendak menunjukkan kepada saya maka ia tidak akan disia-siakan.  Merakam imej dari pelbagai sudut bagi tujuan mengingat, membasmi lupa dan mengenal rupabentuk tumbuhan liar itu.

 

 

Bentuk bunganya terjuntai ke bawah secara bergugus dengan mempunyai 7 tangkai dalam satu gugus. Pada setiap hujang tangkai terbentuk kuntuman bunga lima kelopak dengan campuran 2 warna. Kelopak yang berada pada pangkal tangkai berwarna kuning bendera Negeri Selangor atau warna kuning buah Asam Gelugur. Manakala bahagian hujung kelopak berwarna  merah buah delima. Pada setiap kelopak bunga warna kuning Selangor itu, ada diselaputi oleh rerambut lebat bulu halus berwarna putih.

 

 

Mengikut kepada jenis tumbuhan yang menjalar panjang seperti Hoya Lasiantha ini, saya menjangkakan kebiasaan bunga tangkai bergugus akan tumbuh selang menyelang 1 kaki antara satu tangkai bergugus disepanjang batang tumbuhan yang menjalar itu. Saudara Dennis Yong juga tidak dapat memastikan samada ia akan berbunga sepanjang masa atau pun mengikut musim secara serentak pada satu-satu masa. Ketika rakam ini dilakukan bunga sedang mekar pada bulan Julai, maka kajian lanjut harus dibuat. Sama ada Hoya Lasiantha akan berbunga pada setiap bulan Julai  atau sebaliknya.

 


Andaikata gugusan kuntuman bunga Hoya Lasiantha bertitih-titih tumbuh disepanjang batang yang menjalar pada pokok yang ditumpanginya itu, mekar secara serentak atau beperingkat tentu indah pandangan suasana hutan belantara tanahair kita. Rezeki melihat yang indah itu mungkin khas kepada  individu yang mengenal dan mengkaji bidang tumbuhan. Kepada orang awam yang tidak langsung mengenal tumbuhan liar tempatan, maka terlepas pandanglah mereka untuk melihat perkara yang indah-indah di dalam tanahair sendiri.

 

 

Walaubagaimana pun, mungkin warga tempatan yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang mengindahkan taman atau kawasan pekarangan kediamannya, mereka bolehlah mengambilnya dikawasan hutan pembalakan yang sedang berlaku. Daripada tumbuhan liar Hoya Lasiantha ini punah secara sia-sia, maka ada baiknya dibawa pulang untuk dibiak supaya ia tidak pupus. Lambat laun jikalau dijaga dengan baik, tentu mereka dapat melihat keindahan tumbuhan liar tempatan itu, apabila ia berbunga nanti di kawasan halaman rumah sendiri.

 

Bentuk Daun Hoya Lasiantha 

Bentuk kuntum bunga yang belum mekar. (dibahagian tengah)


Bentuk pucuk daun Hoya Lasiantha

Bentuk putik bunga Hoya Lasiantha


Sisi pandang dilihat dari bahagian bawah


Sisi pandang dilihat dari bahagian atas

Bentuk kuntuman bunga dari jarak dekat 

Bentuk bunga dari sudut sisi pada dari jarak yang dekat



Terima kasih banyak-banyak Saudara Dennis Yong dan Saudara Mike Chong kerana memberi pelajaran dan tunjuk ajar kepada saya. Saya menghargai usaha itu semua.Wasalam.

No comments:

Post a Comment