Tuesday, 7 October 2025

Siri Mengenal Tumbuhan Liar Tempatan Malaysia Hoya campanulata

Mengenal Tumbuhan Liar Tempatan  Malaysia ~ Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih 


Setiap kali spesis tumbuhan liar tempatan Hoya berbunga , Saudara Dennis Yong  akan segera menghubungi saya.Tujuan beliau adalah untuk berkongsi memanjangkan ilmu pengetahuan yang beliau ketahui untuk disampaikan kepada saya.  Pelajaran yang saya terima daripadanya itu pula  akan didokumen untuk bacaan khalayak dalam bahasa Melayu. Sedapat mungkin maklumat yang disampaikan itu pula, akan maklumkan mengikut perincian pemerhatian peribadi. Ia tidaklah sepertimana tulisan jurnal para Agronomist, Pendidik atau pun Profesor. Ia sekadar penerangan mengikut perincian dan kupasan pada tahap pendidikan orang awam sahaja. 

Sepertimana  yang dinyatakan sebelum ini, maklumat tumbuhan liar spesis Hoya dalam bahasa Melayu sangat kurang dan terbatas. Malah spesis jenis tumbuhan ini saya yakin, pihak yang ada hubung kait dengan tumbuhan tanahair seperti FRIM dan Institusi Pendidikan Tinggi masih belum memberi nama Rasmi Bahasa Malaysia, pengenalan kepada tumbuhan liar ini. Dengan hal keadaan itu maka  tidak ramai warga  tempatan tahu kewujudan tumbuhan ini. Lantaran daripada itu tidak ada kesayangan, langsung tidak  menghargai khazanah tumbuhan liar yang ada di dalam hutan tanahair sendiri. 


Walhal komuniti warga luar negara yang cukup bernafsu besar berlumba-lumba ingin memiliki tumbuhan Hoya. Mereka gembira dan menghargai tumbuhan Hoya supaya dapat  disimpan di dalam halaman kediaman mereka. Rata-rata tumbuhan ini mudah dijaga , rupa bentuknya unik manarik dan baunya harum wangi. Baka-baka tumbuhan yang diambil didalam hutan  kita dibawa keluar  tanpa ada sekatan. Dibiak kemudian dijual secara komersial. Maka rugi lah kita. Dengan itu saya mencadangkan nama pengenalan kepada Genus tumbuhan liar ini ialah Hoya. Nama yang sama pengenalan kepada nama Saintifik.

Ia mudah disebut dan senang diingat. Nama cadangan bahasa Malaysia kepada spesis Hoya campanulata ialah Hoya Mangkuk-putih. Ada beberapa perkataan yang sama yang ada hubung kait kepada rupa bentuk bunga seperti, tudung, kupiah atau topi. saya memilih perkataan Mangkuk berasaskan rupa bentuk bunga mirip kepada perkataan tersebut. Mungkin dimasa hadapan ada pakar tumbuhan mencadangkan nama yang lebih sesuai daripada nama cadangan ini, dipersilakan. Kerana nama cadangan Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih ini adalah bersifat sementara.  

Mengikut maklumat yang disampaikan kepada saya oleh Saudara Dennis Yong , di Semenanjung Malaysia spesis tumbuhan liar Hoya yang telah direkodkan  ada lebih kurang  27 spesis kesemuanya. Dimasa hadapan barang kali jumlah itu akan bertambah sekiranya ada penemuan spesis Hoya yang baharu. Dalam bidang ini perkara itu sentiasa akan berlaku dimasa akan datang.


Usaha Saudara Dennis Yong  mengumpul maklumat tentang tumbuhan ini sedang giat diusahakannya dari masa ke semasa. Pengetahuan dalam perkara untuk mengenal pasti asas setiap spesis tumbuhan Hoya adalah daripada rupa bentuk bunga serta warnanya, bukan dengan melihat rupa bentuk daun. 

Maka untuk mengenalnya adalah satu perkara yang   memang tersangat sukar. Ia hanya dapat dikenal pasti apabila tumbuhan ini berbunga. Kita juga tidak mengetahui masa bila tumbuhan ini berbunga. Kalau pun kita telah mengenal pasti lokasi tumbuhan itu berada di dalam hutan, belum tentu kita akan melakukan tinjauan secara berkala sepanjang masa untuk mengetahui bila masa ia akan berbunga. Andaikata kita telah cekal dan bersungguh melakukan usaha tinjauan, kita masih tidak dapat nampak pada bahagian mana tumbuhan Hoya tersebut mengeluarkan bunga. Kerana tumbuhan ini menjalar merayap bercampur dengan tumbuhan-tumbuhan lain. Kemungkinan ia berbunga dibahagian yang terlindung dari pandangan mata dengan tumbuhan yang lain yang saiznya  besar daripadanya. Jikalau bernasib baik terjumpa bunga Goya di dalam hutan kedudukannya tinggi dan sudut penglihatan tidak dapat melihat rupa bentuknya yang sebenar.Usaha gigih beliau masuk ke dalam hutan mencari spesis tumbuhan liar Hoya ini kemudian membawa pulang bakanya untuk mengenal pasti taburan tumbuhan Hoya dan mengenal pasti spesis ini. Setelah dikenal pasti beliau akan menyerahkan kepada pihak Frim. 

Jumlah jambakan 12 kuntum bunga

Beliau mahu spesis tumbuhan liar tempatan dikenali , dihargai dan menjaganya demi kekayaan sumber alam semulajadi negara kita. Setakat maklumat ini ditulis Saudara Dennis Yong telah mengenal pasti 4 spesis tumbuhan Hoya yang telah berbunga.Hoya lasiantha, Hoya pussila, Hoya coriacea dan Hoya campanulata. Bermakna ada 23 spesis tumbuhan tempatan Hoya yang belum dapat dilihat dengan mata kepala untuk mendapatkan imej bunga dan daunnya.

Sudut pandang daripada atas.


Ciri -ciri Bunga Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih 

Sudut pandang dari bawah, kelihatan kuntum mangkuk melindungi tunas kelopak berbentuk Bintang 5 segi atau Tapak Sulaiman 

Sifat bunga Bunga Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih ini, ia tumbuh bertunas berjambak secara bertangkai pada batangnya yang menjalar. Ia mula mengeluarkan jambak bunga sekitar awal bulan September 2025.Setiap kuntum bunganya itu, berkedudukan terjuntai di tangkai pada batangnya. Panjang tangkai antara batang tumbuhan dengan kuntuman bunga dianggarkan sepanjang 2 inci setengah. Setiap tangkai bersambung pada kuntuman bunga ukuran panjangnya adalah seragam. Warna  keseluruhan setiap kuntuman bunga berasakan warna putih campuran warna gading kesusuan. Jumlah keseluruhan kuntum bunga yang mekar pada satu masa adalah 12 tangkai kuntum bunga. Rupa bentuk kuntuman bunga adalah seperti mangkuk kecil. Saiz ukur bulat  muka bunga adalah sebesar duit siling 20 sen baharu ( Matawang Malaysia ). 


Saiz muka kuntum sama dengan saiz duit siling Malaysia Baharu nilaian 20 sen


Sudut pandang dari bawah .Warna kuntum bunga mekar selepas 7 hari. 

Dibawah kelopak mangkuk ada tunas bunga berbentuk Bintang atau Tapak Sulaiman 5 bucu. Bahagian dalam tunas bunga terkandung tunas bunga yang lebih kecil berbentuk bintang 5 bucu. Rupa bentuk  daun memanjang seperti daun mempelam. Bunga ini mengeluarkan bau yang segar wangi dan sedap dihidu seolah-olah seperti bau cecair penghalau nyamuk dan pacat. Kesemua kuntuman bunga berupaya mekar ditangkai dan mengeluarkan bau selama lebih kurang 7 hari tanpa perubahan warna kepada kuntuman bunga. Selepas 7 hari warna kuntuman bunga berubah kepada warna putih gading.

Saya hanya sekadar pelajar merangkap juru tulis  dalam Bahasa Malaysia kepada segala niat dan cita-cita Saudara Dennis Yong. Semoga dimasa hadapan ada lagi tumbuhan liar Hoya yang akan dimaklumkan. Sekian terima kasih.Wasalam.







































































Thursday, 7 August 2025

Siri Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan Hoya coriacea

 

Siri Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan Hoya 

Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan Malaysia ~ Hoya Coriacea

Bunga Hoya Coriacea

Sebelum ini pada bulan Julai 2024, Saudara Dennis Yong memperkenalkan saya dengan spesis tempatan tumbuhan liar Hoya Lasiantha. Kini pada bulan Ogos 2025 Saudara Dennis Yong memaklumkan kepada saya tumbuhan liar dari keluarga yang sama tetapi berlainan spesis. Tumbuhan yang sedang mengeluarkan bunganya itu dikenali dengan nama Hoya Coriacea. Saya tidak pasti apakah pihak Frim telah memberi nama rasmi dalam bahasa Melayu untuk pengenalan dari sudut kebangsaan.


Kesemua 18 kuntum bunga Hoya Coriacea sedang mekar.


Untuk makluman tumbuhan liar tempatan dari jenis menjalar yang tidak berduri itu, seperti tumbuhan spesis sireh. Keluarga Hoya hanya dapat dikenali setelah tumbuhan itu berbunga. Jikalau tidak ia kelihatan serupa dengan tumbuhan menjalar lain yang banyak tumbuh dalam hutan belentara. 



Saiz gugusan bunga Hoya Coriacea

Bentuk daun tumbuhan  Hoya Coriacea


Sejurus kelopak bunganya terbuka dan mekar, Saudara Dennis Yong dengan segera menghubungi saya. Beliau ingin berkongsi pengetahuan dan menunjukkan bunga tumbuhan liar yang orang tempatan telah terlepas pandang oleh penduduk tempatan tidak dihiraukan atau tersangat  jarang dapat melihatnya. Sudah tentu saya teruja dan menghargai usaha beliau itu, kerana turut dapat melihat rupa bentuk tumbuhan liar tempatan Hoya Coriacea. Tempoh bunganya mekar agak lama iaitu lebih kurang 7 hari daripada saat semua kuntum bunga kembang mekar. 





Disepanjang batang iaitu dari akar dan batang yang sama cuma segugus bunga sahaja yang tumbuh. Bentuk gugusan bunganya  berkeadaan tergantung berjuntai, dengan 18 belas batang tangkai bunga. Kuntum bunga itu terlekat pada  5 tulang rangka tumbuhan. Panjang tangkai diantara batang menjalar dengan pangkal bunga lebih kurang 3 ke 4 cm. Bentuk bunganya seperti bintang berbucu lima pada saiz lebih kurang 1 cm butang kemeja. Dalam 18 tangkai bunga cuma  sekuntum bunga masih belum mekar . 




Selepas tiga hari barulah kesemua 18 kuntum bunga itu  lengkap mekar. Gugusam kuntum bunga itu tidak mengeluarkan sebarang bau. Warna bunganya terdiri dari gabungan tiga warna, 3 warna itu tidak termasuk dengan warna tangkai. Tiga warna itu ialah kuning terang  lembut, warna Biji Kundang dan warna putih. . Sifat bentuk bunga itu mempunyai 5 helaian kelopak berwarna kuning terang lembut dan pada semua permukaan kelopaknya ditumbuhi dengan bulu-bulu halus. Di pusat bunga pada bahagian tengah kelopak berwarna biji kundang. Warna biji kundang itu di kelilingi oleh 5 kuntum bentuk seperti gigi taring yang berwarna putih.


Segugus kuntum bunga Hoya Coriacea


Sisi bentuk bunga dari sudut bawah

Bentuk sekuntum bunga dari sudut sisi yang mekar dan disebelahnya kuntum bunga yang masih terkatup belum mekar.


Sehingga kehari ini saya masih tidak faham kenapa Saudara Dennis Yong begitu teruja dan memberi tumpuan yang lebih kepada spesis tumbuhan liar tempatan ini. Sehingga beliau sanggup menjelajah kemerata tempat masuk di dalam hutan mencari tumbuhan ini. Bagi pihak saya pula akan terus mengikut dan belajar mengenal sebanyak mungkin apa yang Saudara Dennis Yong ingin memberitahu kepada saya. Saya cukup rasa berterima kasih kepada beliau. Wasalam.

Wednesday, 16 July 2025

Pengalaman Sekali Seumur Hidup Melihat Burung Berlau Tengkuk-Karat~Pitta oatesi

 

Pengalaman Sekali Seumur Hidup Melihat Burung Berlau Tengkuk-Karat~Pitta oatesi   ( Rusty Naped-Pitta)



Kenyataan pengalaman sekali seumur hidup dapat melihat Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi       ( Rusty naped Pitta )dari sudut pandangan orang awam yang tidak berkecimpung dalam kegiatan pemerhatian burung dan merakam gambar burung , tentunya tidak akan ada apa-apa yang dirasa. Hati mereka tidak merasa kerana dalam jiwanya kosong ilmu pengetahuan dalam bidang hidupan burung-burung tempatan. Tetapi kepada komuniti peminat pemerhati burung dan jurufoto burung, ini satu saat yang cukup mengembirakan hati dan menyenangkan perasaan. Perasaan gembira itu boleh diulang-ulang rasa, apabila melihat kembali hasil rakaman burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi. Gambaran perasaan gembira itu boleh diumpamakan seperti kita telah menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan sukan bolasepak pada masa kecederaan minit terakhir sebelum wesel penamat ditiup. Setiap hati penyokong sudah tentu merasa senang hati gembira , inikan pula sipenjaring gol kemenangan. Namun apa-apa perasaan itu harus disokong dengan ilmu pengetahuan, jikalau tidak, maka hilang rasa. Organ yang hendak merasa sedap gembira itu telah tersedia di dalam tubuh badan tetapi tidak berupaya merasa sedapnya, sebab tidak ada ilmu pengetahuan. Mengapa saya berkata begitu?  


Mengikut sejarah awal  dalam bidang ornitologi dan pemerhatian  burung-burung yang dijumpai di Semenanjung Tanah Melayu. Buku berjudul The Birds Of The Malay Peninsula Vol 1 yang di tulis oleh Herbert C Robinson terbitan tahun 1927 , burung  Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi belum diketahui atas kewujudannya di Semenanjung Tanah Melayu. 



Setelah bertahun-tahun secara berkumpulan melakukan ekpedisi  meneroka setiap kawasan hutan pergunungan dan tanah tinggi di Semenanjung Tanah Melayu, namun tidak dijumpai spesis itu.Sudah tentu uasaha itu menggunakan modal yang besar, ramai tenaga dan memakan masa yang bertahun-tahun lamanya. Di Kedah Gunung Jerai, Pulau Pinang ~ Penang Hill Stesen, Perak Gunung Inas, Bukit Maxwell's, Gunung Ijau, Gunung Korbu,Gunung Kledang, Gunung Batu Puteh, Telom, Gunung Batang Padang , Cameran Highland, Selangor Gunung Semangkuk, Fraser Hill, Bukit Kutu, Gunung Mengkuang Lebar, Gunung Ulu Kali, Genting Bidai, Gunung Menang Gasing, Negeri Sembilan~Gunung Telapa Buroh, Gunung Berembun, Bukit lantai Bukit tangga, Gunung Angsi, Gunung Tampin, Melaka Johor, Gunung Putri ( Gunung Ledang )Gunung Blumut, Gunung Mentahak, Gunung Pulai, Pahang Gunung Tahan, Gunung Benum. Kemudian di tahun 1928 dalam buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 2, Herbert C Robinson menyatakan burung spesis Berlau ini tidak mendiami kawasan hutan pergunungan, di Semenanjung Tanah Melayu. Taburan kehidupanya itu hanya di negara Thailand, Laos, Mynmar Vietnam. Kenyataan keputusan fikir rasmi itu dibuat setelah menjelajah setiap kawasan pergunungan di Tanah Melayu. 



Selepas beberapa tahun kemudian, pada tahun 1936 dan 1939 melalui bukunya Vol 3 dan Vol 4 tidak ada menyatakan apa-apa perubahan tentang penemuan burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi . Perkara ini membawa maksud taburan burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi tidak ada di Semenanjung Tanah Melayu. Ia seiring dengan keputusan yang dibuat dalam buku sebelumnya dan  telah menjadi kebenaran ilmiah. Berdasarkan maklumat rasmi datang daripada pakar terulung dalam bidang ornitologi, maka bersambung panjanglah kenyataan ilmiah tersebut kepada penyelidik dan para ornitologi masa akan datang. Setelah 20 tahun berlalu pada era tahun 1950an En.Glenister menerbitkan buku berjudul Birds of Malaya. Buku tersebut juga tidak dinyatakan tentang kewujudan burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi  di Semenanjung Tanah Melayu. 


Pada tahun 1965 Malayan Nature Society telah menerbitkan laporan bancian burung di Semenanjung Tanah Melayu, yang digelang kaki dilakukan oleh Jabatan Zoology Universiti Malaya. Laporan tersebut disediakan oleh Lord Medway dan I.C.T Nisbet menyatakan sejumlah 7,394 ekor burung dari 244 spesis keluarga burung yang ditangkap telah digelang kaki. Dalam beribu ekor burung yang digelang kaki, spesis burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi tidak tersenarai.




Pada tahun 1975 dan 1976 Buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 5 tulisan Encik David R.Wells & Lord Medway dan A Field Guide To The Birds of South East Asia tulisan Ben King, Martin Woodcock E.C Dickinson telah diterbitkan. Buku-buku tersebut juga tidak menyatakan tentang Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi ada dijumpai di Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu pemerhati burung dan pakar burung tempatan pada zaman itu Saudara Yong Ghong Chong @ Dennis Yong dan Saudara Mike Chong memaklumkan kepada saya, telah ada pernampakan spesis burung Berlau di Tanah Tinggi Bukit Fresar.  



Maklumat lisan daripada Guru-guru saya Saudara Yong Ghong Chong @  Dennis Yong dan Saudara Mike Chong pada ketika itu telah aktif dalam bidang pemerhatian burung  Mereka telah menyatakan hal keadaan sejarah pemerhatian burung tersebut sehingga ia dijumpai.

Untuk makluman, Saudara Yong Ghong Chong @ Dennis Yong adalah pembantu kepada Encik David R.Wells & Lord Medway di Jabatan Zoology Universiti Malaya. Beliau juga merupakan teman baik kepada Encik Ben King penulis buku A Field Guide To The Birds of South East Asia. Setiap perincian sejarah aktiviti dan kajian dalam bidang ornitologi serta pemerhatian burung yang berlaku pada zaman itu telah dilakukan oleh beliau sendiri. Malah terlibat secara langsung pada setiap kajian burung ketika tugasan pencarian data dilapangan dalam proses menyiapkan Buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 5 .


Pada sekitar  pertengahan tahun 1970an Buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 5 tulisan Encik David R.Wells & Lord Medway dan A Field Guide To The Birds of South East Asia tulisan Encik Ben King, Martin Woodcock E.C Dickinson telah menjadi pedoman kepada pengenalan burung-burung tempatan. Tidak ada buku lain yang layak untuk dirujuk oleh Pengkaji dan komuniti pemerhatian burung  dalam mengenal burung-burung tempatan. Sungguh pun  2 kitab itu menjadi rujukan tetapi maklumat pengenalan kepada burung tidak lengkap, sepertimana buku rujukan yang ada sekarang.




Di zaman itu setiap peminat pemerhati burung memburung hanya menggunakan peralatan teropong , skop, buku nota catitan dan pensil sahaja. Tidak seperti sekarang dengan kamera, lensa panjang, tripot, kerusi lipat, pembesar suara panggilan muslihat dan umpan makanan burung. Pada zaman itu setiap pemerhatian mereka berdasarkan kepada daya ingatan penglihatan , daya ingatan pendengaran , seni kemahiran bersiul meniru suara kicauan burung dan pemikiran jujur sahaja. Laporan penampakan dan pemerhatian adalah dalam bentuk tulisan dan lakaran lukisan tangan sahaja. Ia bukan dalam bentuk rakaman dari lensa kamera imej burung serta sokongan dengan penulisan sepertimana pada awal tahun 2000. 


Penampilan warna buluhuas dan saiz spesis burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina Giant Pitta ) betina seakan-akan menyerupai burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi Jantan /Betina

Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi Jantan /Betina

Dimasa itu telah ada beberapa laporan daripada ahli-ahli Malayan Nature Society tentang penampakan spesis burung Berlau berwarna karat seperti burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta )di Bukit Fraser. Laporan-laporan pemerhatian bertulis tersebut ditafsirkan kepada penampakan spesis Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina Giant Pitta ). Semua maklumat itu memang telah diketahui oleh semua komuniti peminat burung. Termasuklah  pengkaji burung dari Jabatan Zoology Universiti Malaya iaitu Encik David R.Wells , Lord Medway dan pembantunya Saudara Yong Ghong Chong @Dennis Yong. 

Sudah tentu laporan itu turut menarik perhatian pengkaji burung En.Ben King dari Amerika yang sedang membuat kajian tentang burung-burung di Asia Tenggara. Dari masa ke semasa laporan penampakan spesis keluarga burung    Raja Berlau~Pitta Caerulea betina Giant Pitta ). itu bertambah. Masing-masing teruja beriktiar , berangan-angan dan beruntung nasib untuk bertemu dengan burung itu. Hinggakan En.Ben King kerap berkunjung ke Bukit Fraser.  Sambil beliau membuat kajian tentang spesis burung-burung lain pada waktu yang sama juga ia menjejak spesis Berlau yang dikatakan Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea ( Giant Pitta ).betina. Setelah  gigih berusaha beliau telah berjaya mendapatkan rakaman suara burung tersebut dengan pita rakaman. Melalui contoh suara panggilan burung yang dirakam itu timbul kecurigaannya atas perbezaan ketara bunyi panggilan yang didengarnya. Contoh bunyi yang dirakamnya itu tidak sama dengan suara panggilan Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea ( Giant Pitta ).betina, Bukti suara panggilan pita rakaman yang dimilikinya itu sangat penting untuk beliau jadikan sebagai muslihat menarik perhatian burung tersebut.

Beliau gigih berusaha menjejak burung tersebut sehingga menjumpai sarangnya yang  dibina pada paras rendah diatas pokok Pakis yang tumbuh diatas cerun hutan. Dengan penemuan sarang burung itu telah memudahkan lagi usaha menangkap burung bagi tujuan kajian ilmiah bidang Ornitologi. Persiapan memasang Jaring kabus telah dipasang rapi disekitar sarang bagi memastikan ia pasti terjerat. Suara panggilan rakaman pita muslihat dimainkan sehingga  menarik perhatian burung, maka terus tersangkut ia pada jaring kabus. Setelah burung berada ditapak tangan, maka semua laporan sebelum itu yang dikatakan Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ) terbatal. Ia sebenarnya adalah spesis burung Berlau baharu di Semenanjung Malaysia yang hampir menyerupai spesis Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi ( Rusty naped Pitta ).

Sebelum keputusan DNA makmal dikeluarkan En.Ben King telah membuat laporan penulisan keatas penemuan spesis burung Berlau baharu yang ditangkapnya itu. Dalam laporan tersebut, beliau telah menamakan burung tersebut dengan nama Berlau Deborah ( Deborah Pitta) sempena  nama teman wanitanya. Selepas itu buat seketika semua laporan penampakan dan pemerhatian burung tersebut di Semenanjung Malaysia menggunakan nama Berlau Deborah (Deborah Pitta.)

Saya tidak pasti sehingga tahun bila nama Deborah Pitta tidak diguna pakai lagi oleh pemerhati burung. Boleh jadi setelah laporan keputusan DNA spesimen yang ditangkap oleh En.Ben King menunjukan persamaan dengan spesis Berlau Tengkuk-karat Pitta oatesi yang berada di Vietnam, Loas, Myanmar dan Thailand. Tidak ada tahun yang tepat sejak bila pemburung di Semenanjung Malaysia secara rasmi telah menggunakan nama Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)~ Pitta oatesi . 

Saya tidak dapat mengesan laporan jurnal yang menceritakan perkara ini. Barangkali sekitar tahun 1979 dan awal tahun 1980an. Andaian saya itu bersandarkan tarikh buku Buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 5 dicetak ditahun 1976 dan A Field Guide To The Birds of South East Asia pada tahun 1975 . Kerana kedua-dua buah buku itu tidak menceritakan taburan burung tersebut ada di Semenanjung Malaysia.  Dengan penangkapan burung itu , maka secara rasminya disekitar tahun 1980an taburan spesis ini telah wujud di Semenanjung Malaysia. Dengan itu saya boleh mengandaikan pada ketika itulah sejarah penemuan burung Berlau Tengkuk-karat ~Pitta oatesi pertama di Semenanjung Malaysia.

Dari sudut ilmiah ornitologi pula kewujudan burung Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)Pitta oatesi  di kawasan hutan tanah tinggi di Bukit Fraser itu, telah memansuhkan kenyataan ilmiah tahun 1928 oleh Herbert C Robisson dan Chasen, yang menyatakan bahawa burung spesis Berlau tidak mendiami di dalam hutan kawasan tanah tinggi dan pergunungan di Semenanjung Malaysia. Keputusan fikir yang bersifatkan  ilmiah itu telah diperakui benar oleh begitu ramai pemerhati burung dan komuniti ornitologi sepanjang tempoh lebih kurang 50 tahun. Keputusan fikir itu telah termansuh setelah tercabar dengan bukti benar yang dikemukakan oleh En.Ben King. 

Sejak itu komuniti pemerhati burung sudah cukup gembira berpuas hati bilamana mendengar bunyi panggilan dan penampakan burung spesis Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)Pitta oatesi. Mereka sudah tidak menganggap itu sebagai burung Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ). Biar pun hanya sekadar mendengar panggilan atau melihat melalui skop dan teropong. Setelah itu  pada tahun-tahun berikut sepanjang pengetahuan saya , teramat jarang yang bernasib baik dapat melihat  apatah lagi merakam imej spesis burung tersebut. Rekod paling terbaharu pada sekitar tahun 2018, ada kumpulan jurugambar berjaya merakam imej spesis Berlau Tengkuk-karat Pitta oatesi di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highland dan Bukit Frazer. Lima tahun kemudian di tahun 2023 imej burung itu dirakam lagi di Bukit Frazer.

Terbaharu pada bulan Jun , Julai 2025 yang kebetulan pada musim pembiakan burung Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)Pitta oatesi. Ini pengalaman sekali seumur hidup pada diri saya yang turut dapat melihat jelas dengan mata kepala sendiri. Bukan saja dapat melihat tetapi turut dapat merakam imej burung ini.Spesis burung yang telah berhalimunan selama hampir 50 tahun dari pengetahuan komuniti ornitologi dan pemerhati burung. Spesis burung yang berupaya menghindar mengaburi dirinya daripada dijejak dan dikesan atas kehadirannya, Yang paling istemewa spesis Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)Pitta oatesi tidak tersangkut terjerat oleh jaring kabus pihak komuniti Ornitologi. 





Catitan

Maklumat  berdasarkan penceritaan lisan pengalaman Saudara Yong Ghong Chong @Dennis Yong dan Saudara Mike Chong. Turut membantu dalam penyediaan laporan peribadi ini ialah Saudara Uzair Abdul Rahim yang berlapang dada sudi memaklumkan kawasan keliaran spesis Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)Pitta oatesi kepada saya.

Semua maklumat didalam laporan peribadi saya ini merujuk kepada buku rujukan seperti yang tersenarai dibawah.:-

1.The Birds of The Malay Peninsula Vol:1~Herbert C Robinson 
2.The Birds of The Malay Peninsula Vol:2~Herbert C Robinson 
3.The Birds of The Malay Peninsula Vol:3~Herbert C Robinson & Fredrick N Chasen
4.The Birds of The Malay Peninsula Vol:4~Fredrick N Chasen
5.The Birds of The Malay Peninsula Vol:5~Lord Medway & David R Wells 
6.The Birds of The Malaysia ~ Jean Delacour
7.The Birds of Malaya~Glenster
8.Birds Report 1962~Lord Medway & David R Wells Malayan Nature Jurnal 1963
9.Birds Report 1964~Lord Medway & I.C.T Nisbet Malayan Nature Jurnal 1965
10.Survival of the Malaysian Birds Fauna~David R.Wells Malayan Narure Jurnal 1971
11.Birds Report 1969~David R Wells Malayan Nature Jurnal 1972
12.A Field Guide To The Birds of South East Asia~ Ben King, Martin Woodcock E.C Dickinson 1976
13.Burung-burung Di Semenanjung Malaysia~G.C Madox 1985
14.Burung Buruan 1970 ~ Mohamad Khan
15.Senarai Nama-nama Burung Semenanjung Malaysia Dan Asia Tenggara  1981~Abdul Rahman Ismail

Kepada individu yang membantu, saya mengucapkan  berbanyak-banyak terima kasih dan saya sangat menghargainya. Wasalam.