Pantun Iblis Setan
Thursday, 23 March 2023
Pantun Iblis Setan
Thursday, 15 September 2022
Sesumpah Biawak Tanah ~ Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana
Sesumpah Biawak - Tanah ~ Leiolepis belliana~ Common Butterfly Lizard
Mengikut kajian fakta sejarah 20 , 30 tahun dahulu spesies haiwan tempatan dari family Leiolepididae ini tidak dilindungi oleh undang-undang Malaysia dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Tidak dapat dipastikan mengapa perkara itu boleh terjadi. Samada ia telah terlepas pandang oleh pihak berkuasa, yang pada waktu sama juga para penyelidik dan pengkaji tempatan tidak mengendahkan untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa. Walhal haiwan reptilia dari spesis Campbell Girdled Lizard~Cordylus campbelli spesis endemic dari negara Namibia telah tersenarai didalam Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Mujur pada tahun 2010 haiwan tempatan dari family Leiolepididae telah tersenarai dalam Akta Perlindungan Hidupan Liar 716 . Nama Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana dan Malayan Butterfly Lizard~Leiolepis triploida telah tersenarai dalam warta dimuka surat 95 . Malangnya sejak tahun 2010 reptilia tersebut tidak mempunyai nama didalam bahasa Melayu.
Ia cuma dapat dikenali dalam bahasa Inggeris sahaja, iaitu Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana dan Malayan Butterfly Lizard~Leiolepis triploida. Maka sepanjang tempoh itu sehingga sekarang 2022 tidak ada seorang pun penyelidik atau pihak berkuasa merasa megah untuk mencadangkan nama rasmi pengenalan kepada reptilia tersebut dalam bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam penulisan ilmiah atau dokumen perundangan perlindungan hidupan liar.
Dengan hal demikian jika ditunggu-tunggu masa demi masa akan berlalu begitu sahaja dan masih tidak ada seorang pun penyelidik warga tempatan berminat memberi cadangan. Oleh kerana merasa bertanggung jawab kepada Bahasa Melayu, maka disini dengan rendah hati saya ingin mencadangkan nama spesis reptilia ini dalam Bahasa Melayu sebagai pengenalan nama rasmi. Sebelum membuat cadangan tersebut, saya harus melalui beberapa proses hujah fikir supaya mendapat satu nama yang sesuai supaya masyarakat awam dan penyelidik selesa menggunakan dalam pengenalan rasmi spesis reptilia tersebut. Seterusnya nama itu dapat dimasukkan ke dalam kamus Dewan Bahasa & Pustaka sebagai memperkayakan perkataan dalam Bahasa Melayu.
Pertama-tama sekali, kita harus akur dan mengakui bahawa dalam bidang hidupan liar kita adalah bangsa yang mengikuti bukan bangsa yang diikuti. Dari itu tidak perlu merasa malu akan kenyataan ini, di tanahair kita dalam bidang ilmiah haiwan, kajian awal telah dimulakan oleh warga Eropah. Samada dari negara Great Britain, Belanda, Perancis, Jerman dan Amerika. Maka setiap nama haiwan tempatan telah di nama rasmikan oleh penyelidik-penyelidik bangsa Eropah secara bebas.
Memandangkan ilmu tersebut dapat di fahami dalam Bahasa Inggeris maka, ramai dikalangan para penyelidik dan pengkaji tempatan menjadikan bahan rujukan mereka samada daripada buku atau jurnal Sungguh pun haiwan itu haiwan tempatan dan kita dulu yang menemukannya namun Ilmu berkenaan haiwan itu dirujuk melalui Bahasa Inggeris. Dalam ertikata lain penyelidik luar lebih berilmu berbanding rakyat tempatan, dan merekalah yang memutuskan secara mutlak apa jua pun penemuan atau pemerhatian sehingga menjadi cetakan bahan ilmiah.
Maka untuk cadangan ini saya tidak terlepas berbuat begitu. Jikalau mengikut kaedah terjemahan secara terus alihbahasa Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu , untuk nama Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana itu, ia akan menjadi Cicak Kupu-kupu biasa atau pun Cicak Rama-rama biasa, manakala Malayan Butterfly Lizard menjadi Cicak Kupu-kupa Malaysia atau Cicak Rama-rama Malaysia. Pada hemat saya kaedah alih bahasa secara terus sepertimana diatas itu tidak memberi hujah cadang positif. Saya rasakan nama itu kelihatan janggal, maka kaedah alih bahasa secara terus tidak sesuai.
Maka saya menggunakan kaedah berikutnya iaitu merujuk kepada kamus Dewan Bahasa & Pustaka. Perkataan bahasa Inggeris kepada Lizard itu membawa maksud kepada Cicak dalam bahasa Melayu. Namun perkataan Lizard itu ada juga dirujuk kepada beberapa spesis Lizard yang wujud di sini. Sebagai contoh Crested Lizard, Gliding Lizard, Butterfly Lizard, Lacerted Lizard, Monitor Lizard. Perlu diingat masyarakat Melayu secara umumnya mengenali dan mentafsirkan cicak itu adalah sejenis haiwan yang bersaiz kecil yang menangkap cicak dengan lidah, melekat diatas dinding atau siling rumah. Walhal pengertian maksud kepada masyarakat Melayu, Cicak yang dimaksudkan itu dalam kamus bahasa Inggeris dikenal dengan nama Gecko. Dalam kamus Bahasa Melayu pula perkataan Gecko tidak dijumpai. Maka atas permasalah ini, pada hemat saya menggunakan kaedah alih bahasa secara terus melalui Kamus dari Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu, juga tidak sesuai.
Sebenarnya didalam Bahasa Melayu telah membezakan beberapa spesis Lizard dengan beberapa perkataan nama pengenalan kepada sesuatu spesis seperti Sesumpah, Cicak, Cicak Kobeng, Biawak, Mengkarung dan Tokey. Bahasa Inggeris juga ada pengasingan nama spesis Lizard, seperti Crested Lizard, Gliding Lizard, Butterfly Lizard, Lacerted Lizard, Monitor Lizard. Dengan adanya beberapa nama yang dinyatakan tersebut, dengan itu membolehkan saya menggunakan kaedah melihat perkataan yang mana sesuai dengan hal keadaan dan ciri ciri haiwan yang bernama Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana, diguna pakai.

Melalui pengamatan dan pemerhatian peribadi saya mendapati Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana mempunyai gabungan ciri-ciri Sesumpah dan Biawak. Rupa bentuk pada bahagian kepala , anggota tubuh, 4 pasang anggota jari kaki, dan saiznya seakan-akan menyerupai spesis Sesumpah. Walaupun begitu perbezaan ketara dapat dilihat pada bahagian kaki hadapan yang mempunyai lengan kaki yang pendek berbanding lengan kaki hadapan Sesumpah yang lebih panjang. Ciri-ciri yang dinyatakan itu dimiliki oleh seekor Biawak. Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana mempunyai rahang mulut berserta set susunan gigi tajam yang menyerupai Biawak. Keadaan rupa bentuk anggota tubuh badan yang mempunyai lengan kaki hadapan yang pendek sesuai untuk membuat larian pantas dipermukaan lantai tanah lapang.
Habitat dan perangai kehidupan Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana yang sering yang membuat sarang didalam lubang tanah menyerupai dengan perangai spesis Biawak. Dalam pada itu Kecenderungan spesis ini gemar berada dikawasan padang berpasir yang menyamai warna kulitnya bagi melakukan aktiviti harian kehidupanya. Penyamaran dengan keadaan alam sekeliling, samada untuk mencari makanan , bersosial atau melindungi dari ancaman musuh. Perangai sebegini menyerupai dengan perangai Sesumpah, bezanya Sesumpah membuat penyamaran diatas pokok manakala Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana membuat penyamaran di kawasan lapang berpasir.
Berdasarkan gabungan ciri-ciri berikut maka pada hemat saya, adalah sesuai untuk saya mencadangkan nama rasmi dalam Bahasa Melayu kepada spesis Common Butterfly Lizard~Leiolepis belliana adalah Sesumpah Biawak-tanah~Leiolepis belliana . Famili Leiolelipidae ~ Butterfly Lizard maksud kepada nama spesis dalam bahasa Inggeris, manakala Famili Leiolelipidae ~ Sesumpah Biawak memberi maksud kepada nama spesis dalam Bahasa Melayu. Setelah mendapat penentuan Famili maka mudah untuk membuat lanjutan untuk keseragaman spesis. Spesis Sesumpah Biawak dengan nama pengenalan Malayan Butterfly Lizard~Leiolepis triploida, dalam bahasa Inggeris dicadangkan kepada nama Sesumpah Biawak-Malaysia~ Leiolepis triploida sebagai nama rasmi dalam Bahasa Melayu.
Selepas ini dimasa hadapan bermula dengan sedikit, pihak Penguasa Hidupan Liar bolehlah mewartakan spesis tersebut dalam Bahasa Melayu sebelah menyebelah dengan Bahasa Inggeris. Tidaklah dibiarkan ruang kosong ditempat nama pengenalan spesis Bahasa Melayu, sepertimana sekarang. Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard dan Sesumpah Biawak-Malaysia~Leiolepis triploida~Malayan Butterfly Lizard. Pihak penyelidik dan mahasiswa pengajian tinggi juga dapat menggunakan nama pengenalan spesis ini andaikata mereka membuat tulisan kajian. Kepada mereka diharap budayakan lah, apa-apa nama Bahasa Inggeris itu hendaklah diletakkan dibelakang sekali setelah mendahulukan nama Bahasa Melayu dan nama saintifik. Cuba hias perkataan Bahasa Melayu dengan memberi ketebalan dan hitamkan font Bahasa Melayu. Kemudian pastikan saiz font bahasa Inggeris hendaklah lebih kecil saiznya daripada saiz font Bahasa Melayu.
Maka sedikit demi sedikit pihak kita tidak terlihat begitu miskin dengan bahasa ilmiah dalam bidang hidupan liar. Lama kelamaan dapatlah bahasa Melayu itu berdiri sendiri tanpa berpaut dan sokongan daripada bahasa Inggeris. Bahasa Melayu itu boleh berdiri sendiri, sepertimana Bahasa Jepun , Bahasa Jerman atau Bahasa Rusia. Dapatlah nanti, tulisan Bahasa Melayu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan tulisan Bahasa Inggeris. Kalau tidak digerakkan sekarang dengan rasa tanggungjawab dalam diri maka sampai kiamat sekali pun, Bahasa Melayu akan berpaut dan mengharapkan sokongan bahasa Inggeris dalam penulisan ilmiah.
Tidak mustahil bahasa Melayu akan sama senasib dengan bangkai spesimen Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard yang saya jumpa mati dilanggar oleh kenderaan. Sipemandu kenderaan tidak ada rasa sayang kepada Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard. Sudahlah menanggung derita kesakitan sebelum mati, kemudian terbiar sampai jadi kering diatas jalanraya. Akta Perlindungan Hidupan Liar tidak mewartakannya didalam warta tentang kewujudannya dinegara kita. Sedangkan haiwan asing dari merata dunia kewujudannya diwartakan oleh Kerajaan. Setelah berjaya diwartakan kewujudannya, ia tidak pulak mempunyai namanya dalam bahasa Melayu. Apalah bangsat sangat dilayan sebegitu rupa.
Semua kenyataan yang dikeluarkan ini bukan berniat untuk mendatangkan perasaan kebencian kepada bahasa Inggeris. Tetapi adalah untuk merawat perasaan kasih sayang kita terhadap Bahasa Melayu yang mulai pudar. Menyuntik rasa tanggung jawab untuk mempertahan dan menjulang tinggi bahasa Melayu. Mana mungkin membenci bahasa Inggeris yang telah banyak berjasa memandaikan warga tempatan dalam berbagai ilmu hidupan liar. Bahasa Inggeris itu saya ibaratkan sebagai jambatan kepada ilmu. Dengan adanya bahasa Inggeris, wujudnya nama pengenalan rasmi spesis Sesumpah Biawak-tanah ~ Leiolepis belliana ~ Common Butterfly Lizard. Wasalam.
Wednesday, 23 March 2022
Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis ~ The Malaysian Great Black Woodpecker
Pemerhatian Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis ~ The Malaysian Great Black Woodpecker Bersarang
Mukadimah
Terdapat 23 spesis burung Belatuk yang boleh kita temui di Semenanjung Malaysia, antaranya ialah Burung Belatuk Perut-putih~White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis. Menurut maktlumat buku Birds of South-East Asia Craig Robson dan The Birds of The Thai-Malay Peninsula David Wells, menyatakan ia mempunyai saiz tubuh badan yang ke 2 besarnya selepas Burung Belatuk Masyhur Kelabu~Mulleripicus pulverulentus~Great Slaty Woodpecker. Namun begitu jikalau dilihat dari mata kasar saiz tubuh badannya menyerupai saiz spesis burung Belatuk belakang-oren ~ Reinwardtipicus validus ~ Orange backed Woodpecker. Burung itu mudah sahaja untuk kita mengenali spesisnya kerana ia satu-satunya burung belatuk yang mempunyai buluhias bewarna hitam pekat, perutnya warna kuning susu cair dan jambul mahkota warna merah ros. Sungguh pun ia mudah dikenali tetapi cukup sukar untuk ditemui, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang tahun 2022.
Bayangkanlah, sepanjang lebih kurang 15 tahun memburung, spesis dari keluarga Belatuk ini lah merupakan burung terakhir dijumpai dengan sebegini keadaannya. Ia itu saya dapat peluang melakukan pemerhatian untuk jangkamasa yang panjang malah berjaya pula merakam imej spesis ini secara lengkap. Burung jantina Jantan, betina, juvana jantan dan juvana betina. Sungguhpun sebelum ini saya pernah menemuinya tetapi sekadar melihat kelibatnya sahaja. Pertama di Hutan Simpan Kemensah pada tahun 2012 dan yang kali kedua di sekitar kawasan hutan di Kampong Mat Daling di Ulu Tembeling pada tahun 2014 dulu. Setelah berpeluang melihat dengan mata kepala sendiri akan burung Belatuk Perut-putih~White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis, entah secara tidak semena-mena wujud pertanyaan dan kesangsian terhadap ketepatan nama burung itu berdasarkan ciri khas pada warna buluhias burung tersebut. Pemerhatian mata saya melihat warna dibahagian perut burung itu adalah kuning susu cair keju, bukan warna putih sepertimana buluhias burung keluarga Bangau atau pun Tern. Pemerhatian bukan hanya pada burung dewasa sahaja, malah warna yang sama turut ada pada buluhias anak-anak burung. Saya jamin , andaikata 100 individu melihat akan warna buluhias pada perut burung belatuk ini, mereka jua akan bersetuju dan bersempendapat dengan saya. Warna buluhias pada bahagian perut yang lebih tepat ialah warna kuning susu cair seperti warna keju, bukan berwarna putih.
Soalnya bagaimana dan siapa yang telah menukar nama asal iaitu The Malaysian Great Black Woodpecker yang telah digunakan sebelum, sejak dan selepas tahun 1939 kepada nama White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis ? Walhal nama asal The Malaysian Great Black Woodpecker telah diguna pakai sejak buku The Birds of Malay Peninsula Vol IV; The birds of low country, jungle and scrub yang di tulis oleh Frederick N. Chesen tahun 1939.
Mengikut kajian saya, orang yang telah menukar nama burung tersebut ialah seorang pakar burung warga Amerika bernama Jean Delacour melalui buku tulisannya berjudul Birds of Malaysia pada tahun 1947. Beliau merupakan seorang pengkaji dan pakar burung-burung yang terdapat di kepulauan Filipina, bukan di Semenanjung Tanah Melayu. Memandangkan taburan burung itu turut terdapat di kepulauan Filipina, beliau telah menggunakan nama White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis didalam bukunya. Beliau tidak mengikut nama asal The Malaysian Great Black Woodpecker ~ Dryocopus javensis. Itu bezanya orang yang membuat keputusan hasil daripada bacaan, bukan membuat keputusan setelah membaca dan berpengalaman melihat dilapangan.
Maka selepas itu pada tahun 1976 nama White bellied Woodpecker ~ Dryocopus javensis diteruskan penggunaannya melalui buku The Birds of The Malay Peninsula Vol: V , tulisan Lord Midway dan Davids Wells. Setelah pakar terulung bagi burung-burung Semenanjung Malaysia turut menggunakan nama tersebut maka ia kekallah sehingga sekarang. Apatah lagi buku panduan mengenal burung yang digunakan oleh peminat-peminat tanahair berjudul The Field Guide of South East Asia karangan Craig Robson turut juga menggunakan nama itu maka sukar untuk diubah lagi.
Secara peribadi dan pada hemat saya nama The Malaysian Great Black Woodpecker adalah memang tepat sekali dan sesuai dengan ciri-ciri burung tersebut, berbanding dengan nama White bellied Woodpecker. Untuk memudahkan pengenalan dan ingatan kepada spesis burung ini, di Semenanjung Malaysia cuma ada 1 spesis sahaja burung belatuk yang buluhiasnya bewarna hitam antara 23 spesis belatuk yang ada . Soalnya mengapa ditukar nama pengenalan burung yang telah tepat kepada yang kurang tepat. Maka mulai sekarang saya akan menggunakan nama asal yang telah tertulis didalam buku terbitan 1939 The Birds of Malay Peninsula Vol IV; The birds of low country,jungle and scrub yang di tulis oleh Frederick N. Chesen, The Malaysian Great Black Woodpecker ~ Dryocopus javensis ~ Belatuk Hitam Malaysia.
Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker-Jantan
Pemerhatian ini bermula pada hujung bulan Januari 2022. Pada ketika pasangan ini dalam proses mengeramkan telornya di dalam lubang sarang pada sebatang pokok yang telah mati. Bermakna episod burung memilih dan membuat lubang sarang telah terlepas dalam pemerhatian . Semua pemerhati burung dan jurufoto burung mengakui di Hutan Lipur Sungai Congkak, Ulu Langat Selangor memang kaya dengan pelbagai spesis sepertimana senarai burung yang telah saya rekodkan pada tahun 2015 dahulu. Rujukan senarai disertakan https://reddoortohunt.blogspot.com/2015/07/senarai-burung-burung-yang-di-temui-di.html
Sepengetahuan saya, belum pernah direkodkan burung The Malaysian Great Black Woodpecker ~ Dryocopus javensis ~ Belatuk Hitam Malaysia pernah dilihat bersarang di Hutan Lipur Sungai Congkak, Ulu Langat Selangor. Berdasarkan keadaan kawasan tempat yang telah dipilih untuk spesis ini membuat lubang sarang, saya tidak pasti samada ia memilih atas dasar secara kebetulan atau pun secara naluri pertimbangan kebijaksanaan burung. Mengikut hujah dan andaian peribadi, saya dapati ia mengambil kira beberapa aspek dan perancangan. Lokasi pokok yang dijadikan sarang itu terletak di belakang rumah Orang Asli dan bersebelahan dengan jalan tar laluan keluar masuk pengunjung. Batang pokok mati yang menjadi pilihan itu masih teguh, tegak tertanam dalam tanah, yang dianggarkan lebih kurang 40 meter ketinggiannya. Pokok yang telah lama mati itu terkandung pelbagai jenis diet dari jenis semut, anai-anai, ulat yang banyak terdapat dicelah kulit pokok. Ukurlilit pangkal pokok hampir 2 pemeluk, manakala dibahagian tengah pula satu pemeluk. Sekitar pangkal pokok itu penuh dengan tumbuhan belukar yang mana keadaan tanah bentuk mukabuminya tidak rata dan bercuram.
Lubang sarang berada pada ketinggian lebih kurang 5 meter dari tanah dan 8 meter daripada tempat manusia boleh berdiri atau lalu lalang. Ukur lilit lubang sarang berbentuk bulatan bersaiz seperti muka tin sardin besar. Manakala kedalaman lubang sarang di dalam pohon kayu saya anggarkan antara 8 ke 9 inci. Berhadapan dengan muka lubang sarang di anggarkan dalam jarak antara 4 atau 5 meter terdapat 2 pohon pokok hutan yang masih hidup subur, penuh dengan dahan dan daunan lebat yang hijau.



















































