Thursday, 11 July 2024

Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan Hoya Lasiantha

Mengenali Tumbuhan Liar Tempatan  Malaysia ~ Hoya Lasiantha 

Bunga Hoya Lasiantha 



Di negara kita cukup kaya dengan tumbuhan liar yang hidup subur bersepah-sepah di dalam hutan belentara Tanah Tinggi mahu pun Hutan Tanah Rendah.  Ada terlalu banyak jenis spesis tumbuhan liar  yang tumbuh disitu, samada pada lantai tanah hutan mahu pun menumpang tumbuh melilit dan tersangkut pada tumbuh-tumbuhan lain. Jika hendak dinyatakan saya sendiri tidak tahu kerana saya bukan ahli kepada bidang tumbuhan. Walaubagaimana pun begitu, perasaan  ingin tahu yang bercampur dengan kasih sayang kepada tumbuhan liar tempatan memang telah ada sebati di dalam jiwa.  Saya memang bernasib baik kerana mempunyai Guru-guru seperti Saudara Mike Chong dan Saudara Dennis Yong yang sentiasa ingin memberi pelajaran yang menambahkan ilmu pengetahuan saya dalam bidang alam semulajadi tanahair.

 

 

Baru-baru ini Saudara Dennis Yong telah menghubungi saya kerana beliau ingin menunjukkan dan memperkenalkan kepada saya rupabentuk bunga sejenis tumbuhan liar tempatan Hutan Tanah Rendah. Ujar beliau tumbuhan liar yang dikenali dengan nama saintifik Hoya Lasiantha ini jarang sekali dapat melihat kuntuman  bunganya. Katanya ini adalah buat pertama kali dia melihat bunga Hoya Lasiantha depan mata kepalanya , yang mana sebelum ini beliau hanya melihat melalui gambar di dalam buku atau pun internet.

 

Barangkali beliau teruja dan ingin berkongsi gembira bersama sambil   saya dapat belajar dan mengenal tumbuhan liar tempatan. Beliau memaklumkan tumbuhan liar Hoya Lasiantha ini hidup tumbuh menumpang dan berakar pada pokok-pokok besar. Tumbuh secara bebas liar menjalar memanjat melilit panjang pada tumbuhan lain. Sehingga kadang-kadang terlihat Hoya Lasiantha telah bercampur dengan daun-daun pokok yang ditumpanginya.


 

Cuma orang mempunyai ilmu pengetahuan seperti beliau saja dapat membezakan daun-daunnya. Atau ia dapat dibezakan bila mana ketika tumbuhan Hoya Lasiantha itu berbunga. Peluang begini bukan datang selalu, terlanjur ketika ada orang yang hendak menunjukkan kepada saya maka ia tidak akan disia-siakan.  Merakam imej dari pelbagai sudut bagi tujuan mengingat, membasmi lupa dan mengenal rupabentuk tumbuhan liar itu.

 

 

Bentuk bunganya terjuntai ke bawah secara bergugus dengan mempunyai 7 tangkai dalam satu gugus. Pada setiap hujang tangkai terbentuk kuntuman bunga lima kelopak dengan campuran 2 warna. Kelopak yang berada pada pangkal tangkai berwarna kuning bendera Negeri Selangor atau warna kuning buah Asam Gelugur. Manakala bahagian hujung kelopak berwarna  merah buah delima. Pada setiap kelopak bunga warna kuning Selangor itu, ada diselaputi oleh rerambut lebat bulu halus berwarna putih.

 

 

Mengikut kepada jenis tumbuhan yang menjalar panjang seperti Hoya Lasiantha ini, saya menjangkakan kebiasaan bunga tangkai bergugus akan tumbuh selang menyelang 1 kaki antara satu tangkai bergugus disepanjang batang tumbuhan yang menjalar itu. Saudara Dennis Yong juga tidak dapat memastikan samada ia akan berbunga sepanjang masa atau pun mengikut musim secara serentak pada satu-satu masa. Ketika rakam ini dilakukan bunga sedang mekar pada bulan Julai, maka kajian lanjut harus dibuat. Sama ada Hoya Lasiantha akan berbunga pada setiap bulan Julai  atau sebaliknya.

 


Andaikata gugusan kuntuman bunga Hoya Lasiantha bertitih-titih tumbuh disepanjang batang yang menjalar pada pokok yang ditumpanginya itu, mekar secara serentak atau beperingkat tentu indah pandangan suasana hutan belantara tanahair kita. Rezeki melihat yang indah itu mungkin khas kepada  individu yang mengenal dan mengkaji bidang tumbuhan. Kepada orang awam yang tidak langsung mengenal tumbuhan liar tempatan, maka terlepas pandanglah mereka untuk melihat perkara yang indah-indah di dalam tanahair sendiri.

 

 

Walaubagaimana pun, mungkin warga tempatan yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang mengindahkan taman atau kawasan pekarangan kediamannya, mereka bolehlah mengambilnya dikawasan hutan pembalakan yang sedang berlaku. Daripada tumbuhan liar Hoya Lasiantha ini punah secara sia-sia, maka ada baiknya dibawa pulang untuk dibiak supaya ia tidak pupus. Lambat laun jikalau dijaga dengan baik, tentu mereka dapat melihat keindahan tumbuhan liar tempatan itu, apabila ia berbunga nanti di kawasan halaman rumah sendiri.

 

Bentuk Daun Hoya Lasiantha 

Bentuk kuntum bunga yang belum mekar. (dibahagian tengah)


Bentuk pucuk daun Hoya Lasiantha

Bentuk putik bunga Hoya Lasiantha


Sisi pandang dilihat dari bahagian bawah


Sisi pandang dilihat dari bahagian atas

Bentuk kuntuman bunga dari jarak dekat 

Bentuk bunga dari sudut sisi pada dari jarak yang dekat



Terima kasih banyak-banyak Saudara Dennis Yong dan Saudara Mike Chong kerana memberi pelajaran dan tunjuk ajar kepada saya. Saya menghargai usaha itu semua.Wasalam.

Wednesday, 3 April 2024

Menyelamat Dan Membebaskan Hidupan Liar~ Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat

 


Menyelamat Dan Membebaskan Hidupan Liar Ke Habitat Asalnya~ Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat


Baru-baru ini pada bulan Mac 2024 Saudara Dennis Yong telah menghubungi saya, memberitahu bahawa beliau   telah menyelamatkan seekor  Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat yang tersesat. Beliau ingin melepaskannya kembali  di tempat  hidupan asalnya.Ia dipercayai telah tersesat memasuki di kawasan tanah lapang di tepi padang berhampiran dengan Masjid.  Kemudian ia telah di kepong oleh 3 ekor kucing domestik. Menurut Saudara Dennis Yong ,  kejadian berlaku pada waktu pagi dimana beberapa orang penduduk sedang berkerumun di tepi padang bersebelahan Masjid Al Mardiah Taman Melawati Ulu Kelang Selangor. Kucing-kucing yang  silih berganti mengacah, sergah dan mengertak hidupan liar menarik perhatian orang ramai untuk mengerumi kawasan itu, tidak terkecuali Saudara Dennis Yong. Hidupan liar seperti Tikus Mondok tidak dapat melarikan diri akibat   terkepong dan diancam dengan  suara nyaring kucing-kucing domestik. Dalam keadaan tertekan Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat hanya berupaya bertahan dan menunggu serangan oleh 3 ekor kucing domestik.







Pada ketika itu, Saudara Dennis Yong merasa musykil  bagaimana seekor  Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat boleh berada di tengah padang bola sepak. Walhal kawasan hutan buloh agak jauh daripada lokasi ia tersesat. Apakah barangkali   Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat ini telah terlepas daripada kandang sangkar peliharaan penduduk di kawasan Taman Melawati. Terdapat banyak andaian dan barangkali bagaimana ia boleh berada ditengah padang.



Melihatkan  Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat sedang terlalu tertekan, maka dengan segera beliau bertindak cuba menangkapnya untuk menyelamatkan hidupan liar tersebut. Ilmu dan pengalaman luas berpuloh tahun yang dimiliki oleh Saudara Dennis Yong memudahkan  Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat ditangkap tanpa kejadian yang tidak diingini berlaku. 



Beliau tidak menghadapai masalah dan tahu bagaimana hendak menangkap hidupan liar itu. Ketika dalam proses menangkap,   Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat itu telah meloloskan diri dari kepongan kucing lalu meluru masuk ke dalam rumah seorang penduduk disitu. Keadaan ia telah terperangkap  telah memudahkan Saudara Dennis Yong  melakukan proses menangkap. Hanya berbekalkan kayu penyapu dan kotak kandang kucing, Saudara Dennis Yong menyusun arah sehingga  Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat masuk ke dalam kotak sangkar haiwan peliharaan.






Setelah dapat ditangkap Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat  di simpan kurung didalam sangkar kucing buat satu tempoh bertenang. Memberi ruang ia berehat akibat keletihan setelah diancam oleh kucing dan proses melepaskan diri sebelum dia terperangkap. Saudara Dennis Yong menyediakan bekalan  air yang mencukupi dan makanan. Tempoh rehat yang mencukupi berserta makanan yang disediakan itu memberi kesan yang positif kepada Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat. Ia berehat dalam sangkar dengan tenang seperti seekor kucing yang hendak pergi veterina untuk dimandi shampoo. Kelihatan ingin terus tinggal dalam jagaan Saudara Dennis Yong.




Nota Pemerhatian Hal Keadaan Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat ketika dibebaskan.

Pada mulanya Saudara Dennis Yong bercadang melepaskannya di Hutan Simpan Kekal Gombak Selangor, namun, Saudara Dennis Yong berubah fikiran dan bersetuju dengan cadangan saya. Dilepas bebas  disekitar tempat yang tidak jauh dari tempat ia tersesat. Di kawasan  yang mana, kenderaan tidak ada dan jarang orang lalu lintas, berhampiran dengan sumber makanan yang banyak dan di tempat ia berupaya bersembunyi dalam lubang tanah rumpun buloh.


Semasa Saudara Dennis Yong membawa kotak sangkar haiwan peliharaan, Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat berada di dalam kurungan seperti kucing domestik yang hendak ke kelinik haiwan untuk di shampoo bulunya. Tenang dan tidak meronta-ronta, mahu pun menunjukkan riaksi gelisah berputar atau melanggar jaring kandang. Ia kelihatan dalam keadaan tenang seperti kucing domestik kenyang di dalam sangkar .

Ketika Saudara Dennis Yong membuka pintu sangkar, Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat tidak terus meluru keluar, tetapi ia tenang  dan tidak bergerak malah duduk diam dan tidak ke mana-mana. Pintu sangkar yang telah terbuka luas tidak di endahkannya. Keadaan itu berlangsung lebih kurang 3 ke 4 minit. Barangkali dia merasa curiga dan takut untuk pergi ke kawasan baharu yang asing pada dirinya. Mungkin pada ketika itu ia merasakan, berada di dalam sangkar itu lebih selamat daripada diluar. Memandangkan hal keadaan seperti itu akan berterusan maka Saudara  Dennis Yong membuat keputusan untuk mengejutkannya. Beliau mengambil sebatang ranting kecil lalu dijolokkannya masuk dicelah lubang sangkar langsung mengenai badan  Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat . Kesan tolakan dan cucukan yang tidak menyakitkan pada badan haiwan itu mendapat tindak balas. Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat itu memusingkan kepala dan badannya membelakangkan pintu sangkar. 

Setelah beberapa ketika dia membetulkan kedudukan kepalanya menghala di muka pintu untuk keluar dari sangkar. Menjenggok kepala dimuka pintu sangkar sambil terpaku disitu. Didonggakkan kepala dan memusingkan leher pendeknya, kiri dan kanan seperti perbuatan sedang menghidu. Ada besar kemungkinan ia menghidu bau udara sejuk yang keluar dari lubang, atau barang kali bau kawasan tumbuhan buloh.


Diberanikan dirinya menjengok mengeluarkan kepala dari muka pintu sangkar namun begitu, kedua belah kaki hadapan masih tetap di dalam sangkar. Disitu ia tunduk ke bawah lalu menghidu lantai tanah. Tidak pasti arah mana yang hendak ia tuju samada kanan atau pun kiri. Kemudian perlahan-lahan memulakan langkah kaki kanan memijak permukaan lantai tanah menghala ke arah  pintu sebelah kiri sangkar. Pada ketika itu kedua belah kaki hadapan telah pun memijak tanah, manakala sebahagian badan sebelah kaki belakang dan ekor masih berada di dalam sangkar. Permulaan langkah menghala sebelah kiri, kemudian ia berhenti dan menukar hala menuju kearah sebelah kanan. 



Pergerakan melangkah terhenti-henti setapak demi setapak sambil mendongak kekiri dan kanan menghidu udara sekeliling. Boleh dikatakan setiap langkah ia berhenti sejenak sambil mendongakkan kepala untuk menghidu udara sebagai petunjuk ia akan pergi kesitu. Setapak demi setapak langkahnya itu membawa ia ke sebuah lubang bekas sebatang longkang yang telah lama tersumbat. Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat itu terus masuk kedalam lubang longkang yang gelap gelita dan tidak kelihatan lagi. Mungkin ia menjadikan lubang itu sebagai penempatan sementara sebelum mencari tempat yang lebih selamat dan sesuai.


Maka selesailah usaha murni Saudara Dennis Yong yang telah menyelamatkan Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat tersesat itu. Bagi saya pula, untuk Saudara Dennis Yong menghubungi saya beberapa kali semata-mata untuk berkongsi sama merasai pengalaman membebaskan hidupan liar ini merupakan satu penghargaan dan pengalaman yang sangat berharga. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saudara Dennis Yong kerana memberi peluang kepada saya menimba pengalaman membuat pemerhatian Dekan Besar~Rhizomys sumatrensis Large Bamboo Rat  dibebaskan. Wasalam.
















































Tuesday, 26 September 2023

Laporan Penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush Di Pulau Ayam, Langkawi Kedah

 

Laporan Penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush Di Pulau Ayam, Dayang Bunting Marble Geoforest Park, Langkawi Kedah 


Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina

Burung jantan dewasa yang bertengggek atas batuan Pulau Ayam Jantan pada 6 Sept 2023


Saya mengenal Burung Tarum Batu-Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush melalui tunjuk ajar oleh Guru saya, Saudara Mike Chong. Pada ketika itu sekitar tahun 2009, beliau membawa saya ke kawasan habitat yang spesis burung ini boleh dijumpai ia itu di Batu Caves, Selayang Kuala Lumpur. Setelah mengetahui kawasan habitat keliaran spesis ini, saya telah dapat mencari dan membuat beberapa siri pemerhatian Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius Blue Rock Thrush di daratan Tanah besar Semenanjung Malaysia. Antaranya di kawasan perbukitan Batu kapur di Chuping Perlis, Gua Musang Kelantan,  Merapoh Pahang, dan Ipoh  Perak. Apabila kita mengetahui akan habitat keliarannya , maka peluang menjumpainya sangat tinggi. Ia boleh ditemui di permukaan lereng , curam dan lubang perbatuan dari pelbagai jenis batu-batuan batu. Jikalau ingin membuat pemerhatian atau rakaman tidak payahlah menyogok burung dengan umpan ulat yang dibeli di kedai atau membuat panggilan palsu dengan alat elektronik. 

Burung jantan juvana yang sedang berehat bertenggek pada ranting pokok di Pulau Ayam Jantan pada 23 Jun 2022

Burung jantan juvana yang dirakam pada 23 Jun 2022 di Pulau Ayam Jantan


Apa yang hendak saya kongsikan ialah penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius  di tengah laut bertenggek tebing batu di  Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina (coordinates 6 12 5 N 99 49 56 E ). Kedudukan pulau tersebut dianggarkan 13 kilometer daripada Pulau Dayang Bunting/ Pulau Tuba, dan 37 kilometer dari Pulau Langkawi   .Penemuan burung Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditengah laut tidak didokumenkan dalam laporan pemerhatian burung di Malaysia. Dalam buku rujukan...hanya menyatakan habitat kehidupan dikawasan permukaan lereng , curam dan lubang perbatuan dari pelbagai jenis batu-batuan batu  bukit dan gua.  Tidak pula dinyatakan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius boleh dijumpai di sekitar pulau dan laut. Ada kemungkinan para Ornithologi tempatan tidak terfikir untuk membuat kajian pemerhatian Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius di kawasan pulau.

Keadaan Pulau Ayam Jantan pada tahun 2022


Saudara Hashabudin Bin Hashim nelayan yang menetap di Pulau Tuba, Individu yang memaklumkan  burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius dijumpai di Pulau Ayam Jantan

Menurut kenyataan lisan para nelayan di kawasan sini, kehadiran burung Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius memang telah diketahui sudah lama  dulu. Kehadiran burung itu pada pandangan para nelayan, ia sama sahaja dengan burung-burung lain. Para nelayan mengecam Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius sebagai burung yang mempunyai suara kicauan yang merdu, tenang dan menghiburkan. Nyanyian kicauannya sebagai penghibur mereka ketika sedang menunggu umpan pancing dimakan ikan.

Bukti rakaman pada 6 Sept 2023

Saudara Hashabudin Bin Hashim seorang nelayan tempatan yang juga sahabat saya telah memaklumkan  tentang burung tersebut ketika saya sedang melakukan aktiviti memancing ikan bersama beliau di Pulau Tuba. Burung yang dimaksudkannya itu hanya dikenal   sebagai burung Murai. Pada mulanya saya tidak begitu yakin atas kenyataan beliau kerana pada hemat saya mana mungkin ada burung Murai ditengah lautan luas atau di pulau kecil. Hujah saya di kawasan habitat ini sesuai untuk burung Sualo Pasifik~Hirundo tahitica, Lang Kawi ~ Halistur indus, Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster, ,Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra dan berbagai jenis burung Tern. Demi membuktikan kenyataan beliau, Saudara Hashabudin Bin Hashim bersungguh-sungguh  mencari burung tersebut ditempat yang biasa beliau lihat dan dengar.

Burung sedang berehat diatas batuan ketika dijumpai pada 6 Sept 2023

Dalam keadaan air laut berombak-ombak beliau merapatkan bot menghampiri dinding Pulau Ayam di tempat beliau selalu mendengar suara merdu burung itu. Pencarian burung itu tidak begitu lama kerana pulau itu hanya mempunyai keluasan lebih kurang sebesar saiz sebuah lori 10 tan sahaja. Dengan beberapa kali  pusingan mencari sudah ternampak burung itu di cerun tebing batu. Burung yang dimaksud oleh Saudara Hashabudin Bin Hashim sebenarnya ialah Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius . Penemuan itu membuatkan saya begitu teruja kerana pada pengalaman saya penemuan ini adalah ilmu pengetahuan baharu dalam bidang Ornithologi di negara Malaysia.


Pengenalan Burung betina, yang dijumpai di kawasan sekitar halaman Gua Kek Lok Tong Ipoh Perak

Burung yang ditunjukkan kepada saya itu ialah seekor burung jantan yang sedang melalui usia juvana.  Hujah itu berdasarkan, kelihatan dengan jelas pangkal paruh burung juvana masih kelihatan lembut berwarna kekuningan cair. Pada waktu yang sama pada buluhias burung itu masih terdapat warna carik dan tompok keputihan. Penemuan itu berlaku pada 23 Jun 2022 jam 2:30 petang. Jikalau mengikut andaian mudah dan ringkas, burung muda ini bukan burung hijrah yang singgah sementara untuk berehat di pulau itu. Tentu ada pasangan induknya yang telah menjalani proses pembiakan sekitar bulan March atau April. Pemerhatian dan rakaman burung dilautan sama sekali berbeza dengan rakaman di daratan.

 

Salah satu jenis tumbuhan menjalar yang tumbuh subur diatas batuan Pulau Ayam Jantan

Cabaran dan kepayahannya samasekali berbeza, yang mana kita wajib bersedia kekecewaan dan berputih mata. Dalam keadaan bot terumbang ambing dipukul gelora ombak, sangat payah untuk mendapat fokus subjek burung yang saiz kecil. Bot tidak boleh terlalu rapat dengan burung kerana dikhuatir ia akan terbang meninggalkan pulau. Sudah tentu kita tidak akan mengejar dan mencarinya di kawasan yang lain, walau sedegil mana sekali pun. Walaupun cahaya semulajadi sangat mencukupi dan kita berupaya mengecilkan saiz lubang F dan meningkatkan jumlah kecepatan shutterspeed, Dalam tempoh yang singkat demi mendapat bukti penting saya berupay membuat rakaman sebanyak 20 rakaman. Cuma 2 rakaman sahaja yang layak ditarafkan untuk menjadi bukti penting. 

Jenis tumbuhan yang tidak dikenali tumbuh melekat pada dinding batu

Bulan Ogos dan Sept musim tumbuhan-tumbuhan liar berbunga.


Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster, (juvana)

Bertitik tolak daripada  itu setahun kemudian pada  6 Sept 2023 sekali lagi berikhtiar mendapatkan bantuan kepakaran  Saudara Hashabudin Bin Hashim untuk mencari Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditempat yang sama. Saya rasakan seolah-olah kepakarannya itu  diiring dengan secara kebetulan akan bertemu burung yang dicari. Tanpa menggunakan  apa-apa alat bantuan elektronik memanggil  suara palsu, kita dapat menjumpainya. Semuanya saya sifatkan sebagai telah berjodoh untuk dipertemukan semula Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius, pada jam 3:45 petang. Penemuan kali ke dua itu seekor individu burung jantan dewasa. Boleh jadi individu burung yang sama saya menjumpai dulu, yang kini telah mulai dewasa. Pekara itu sangat susah untuk disahkan kerana tidak ada bukti nyata yang boleh menyokong hujah tersebut. Saya hanya boleh mengandaikannya sahaja, tidak lebih daripada itu. 

Tumbuhan menjalar melekat diatas permukaan batun Pulau turut berbunga pada bulan Ogos dan Sept


Pengenalan Burung betina, yang dijumpai di kawasan sekitar halaman Gua Kek Lok Tong Ipoh Perak

Penemuan kali ini agak lama juga, dianggarkan lebih kurang 3 ke 5 minit, sebelum burung itu terbang meninggalkan Pulau Ayam Jantan. Burung itu terbang menghala ke Pulau Ayam Betina yang terletak 30 meter tidak jauh dari situ. Namun untuk mengekori burung ditengah lautan menggunakan bot satu tindakan yang saya fikir kurang cerdik. Kita boleh bayangkan sahaja entah dimana burung itu hinggap menyembunyikan dirinya. Tindakan itu akan menyusahkan dan memberi penat kepada pemandu bot. Lebih-lebih lagi cahaya matahari sedang mendera seisi orang dalam bot. Pada saya perjodohan kali kedua ini sudah cukup memadai. Saya rasakan seperti diberikan hadiah dalam bentuk perasaan gembira tanpa saya berdoa meminta menikmati rasa begitu. Peluang  yang bukan selalu dialami  itu membolehkan saya membuat lebih kurang 30 rakaman. Dari 30 rakaman itu, 5 rakaman yang berkualiti telah berjaya dihasilkan untuk dijadikan bukti penting penemuan Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius ditengah laut.

Terbang menuju kearah Pulau Ayam Betina.

Biarlah dia terbang meninggalkan saya, demi kesejahteraan dan keselamatan dirinya. Waktu kekosongan dan ketiadaannya itu membolehkan saya terus berfikir dan membuat pemerhatian di tempat ia menghuni. Habitat bentuk mukabumi sebungkah batuan Pulau itu dipenuhi dengan tumbuhan jenis merayap diatas batu , tumbuhan jenis mengkuang  dan tumbuhan yang saya tidak ketahui jenisnya. Disitu ia berpeluang untuk mencari pelbagai dietnya seperti serangga, buah-buahan kecil, cicak kecil dan anak-anak siput. Sumber air tawar boleh ia perolehi dari takungan air hujan diatas permukaan batu yang berlubang-lubang. Pada musim membiak lubang-lubang pada lereng dan tebing bungkah batuan pulau memang sesuai tempatnya dijadikan sarang. Tumbuhan  menghijau dan rimbun yang hidup subur boleh dijadikan tempat ia berlindung daripada cahaya panas terik atau ribut taufan dilautan.  Kawasan habitat semulajadi disitu cukup lengkap untuk Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius terus hidup biak membiak.


Dipercayai lubang sarang burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius terletak dilereng tebing batuan pulau


Tumbuhan jenis mengkuang

Keadaan tumbuhan yang hidup subur diatas pulau Ayam Jantan , menjadi tempat burung berlindung daripada kepanasan dan bahang di tengah laut. Tumbuhan itu juga adalah sebagai tadahan air hujan untuk hidupan liar meneruskan kehidupan disitu

Sebagai menghargai dan menghormati individu yang telah menyumbang data maklumat ilmu dalam bidang Ornithologi di negara Malaysia. Disini dengan rasa sukacita  memaklumkan bahawa Saudara Hashabudin Bin Hashim yang telah menjumpai Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius kawasan perairan Pulau Ayam Jantan dan Pulau Ayam Betina. Pihak saya hanya sekadar mengesahkan dan melaporkan tentang kebenaran maklumat yang dimaklumkan kepada saya. Semoga maklumat ilmu dalam bidang Ornithologi ini dapat dipanjangkan untuk dijadikan maklumat tambahan kepada taburan dan kawasan habitat keliaran Burung Tarum Batu -Biru~Monticola solitarius. Semoga dimasa hadapan pengkaji burung dan pemerhati burung dapat membuat kajian terperinci terhadap spesis burung ini demi memperkayakan ilmu.

Terima kasih Saudara Hashabudin Bin Hashim


Penemuan ini mengingatkan kembali kenyataan yang pernah Saudara Dennis Yong ungkapkan dan nasihat kepada saya dulu. Beliau rasa gembira jikalau ada pemburung melakukan aktiviti memburung dalam keadaan dan ditempat yang tidak sesuai. Contoh yang dinyatakan ialah membuat pemerhatian burung pada waktu malam dalam keadaan hujan yang lebat. Beliau ingin mengetahui bagaimana dan apa keadaan yang sedang dialami oleh spesis burung pada ketika itu. Saya rasa tindakan saya membuat pemerhatian burung ditengah laut dalam keadaan cuaca panas terik, lautan bergelombang, mencari kepada perkara yang tidak pasti sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan hujah Saudara Dennis Yong. Penemuan penting ini juga telah membuktikan hujah saya kepada Guru saya Saudara Mike Chong dulu, " Burung itu boleh bebas merdeka berada dimana-mana yang ia suka asalkan ditempat itu ada sumber makanan yang tidak putus dan ditempat itu menjamin keselamatannya. Wasalam.