Sunday 18 June 2017

Burung Sengsurit~Caloperdix oculea


 Pemerhatian Burung Sengsurit~ Caloperdix oculea




Status : Burung Tempatan Bagi Malaysia
Boleh Dijumpai Di: Malaysia. Thailand , Indonesia dan Myanmar
ICUN Red List: Hampir Terancam/ Near Threatened


Burung jantan ini meninjau keadaan samada dihadapan mempunyai ancaman bahaya atau pun keselamatan.

Burung betina ini memberi kepercayaan penuh terhadap keselamatannya  mengekori burung jantan daripada belakang.

Seniasa berwaspada daripada sebarang ancaman musuh

Pada tahun 2007 ketika saya menjadi pembantu Saudara Mike Chong melakukan inventori burung di kawasan Hutan Simpan Jengai, Besul dan Pasir Raja di daerah Hulu Terengganu. Saya ada dimaklumkan oleh Saudara Mike Chong bahawa beliau telah mendengar suara burung Sengsurit ~ Caloperdix oculea  sedang berjalan dibawah rimbunan tumbuhan dibawah curam hutan. Beliau nyatakan spesis itu sangat susah untuk ditemui, kerana mendiami kawasan hutan yang mempunyai habitat bebas dari sebarang gangguan aktiviti pembangunan pertanian dan pembalakkan.

Proses mencari makanan burung ini serupa dengan cara ayam kampong mencari makanan dilantai tanah.





Selepas itu cerita tentang burung tersebut hanya menjadi cerita dongeng kepada saya apatah lagi untuk menjumpainya. Setelah sekian lama dilupakan peristiwa itu , pada penghujung tahun 2015 saya mendapat maklumat bahawa ada pemburung telah terjumpa burung Sengsurit ~ Caloperdix oculea di Hutan Simpan Bukit Tinggi Pahang.








Jikalau ada kelapangan pasti kesana untuk berusaha   mencuba nasib , kalau-kalau boleh berketemukan burung ini. Sejak penemuan burung itu di Bukit Tinggi, hampir kesemua jurufoto yang kesana pulang dengan kejayaan dapat melihat serta merakam burung itu. Cuma saya sahaja yang belum ada rezeki untuk berjumpa dengannya pada ketika itu. Mengikut nota peribadi, usaha pencarian di kawasan itu telah berlaku lebih kurang 43 kali. Sehinggalah pada  bulan Jun 2017 pada jam 10:30 pagi secara tidak semena-mena burung itu telah menjelmakan dirinya secara berpasangan dihadapan saya untuk jangka masa yang panjang. 




Burung Sengsurit~Caloperdix oculea ini sedang meragut rumput dan mencabut sehingga terkeluar akar berbuah untuk dimakan.


Pemerhatian secara bersendirian telah berlangsung selama lebih kurang 45 minit.

Rumusan Daripada Pemerhatian Burung.

1.Saiz burung ini lebih kurang menyamai dengan saiz Ayam Denak remaja betina.

2.Penampilan corak dan warna buluhias burung Jantan dan betina hampir menyerupai antara satu dengan yang lain.

3.Pengenalan kepada burung jantan dewasa dilihat pada keting kakinya yang mempunyai 2 taji, manakala burung betina dewasa tidak mempunyai taji.

4.Saiz burung jantan adalah lebih besar daripada saiz burung betina.

5.Burung jantan sentiasa berada dihadapan mendahului hala tuju perjalanan dan diekori oleh burung betina.





Pemerhatian Burung Mencari Sumber Makanan Semulajadi 

Saya mendapati burung dari keluarga Puyuh ini menjadikan kawasan itu sebagai salah satu  kawasan  lapangan pencarian makanannya, selain beberapa tempat lain didalam hutan tersebut. Burung betina dilihat sentiasa mengekori burung jantan  berada mendahului dihadapan. Setelah burung jantan yakin diri mereka bebas dari sebarang ancaman maka ia mula berkeliaran disekitar tempat itu. Setiap ruang berdekatan dengan pangkal akar tumbuhan akan dikais-kaisnya. Mencari sesuatu yang boleh dimakannya. Kadang-kadang antara mereka berebut-rebut mematuk-matuk makanan yang dijumpainya setelah dikaisnya tanah. Setelah berkeliaran hampir 45 minit  dan merasa telah kenyang pasangan itu beredar.




1.Salah satu sumber makanan semulajadi burung ini adalah dari sejenis rumput yang mempunyai ubi kecil yang terlekat bersama akar rumput tersebut. Mendapati jenis tumbuhan rumput itu banyak tumbuh disekitar kawasan tersebut.

2.Putik-putik bunga yang jatuh bertaburan diatas lantai tanah dari sejenis pokok yang tumbuh disitu .

3.Sejenis mineral Tanah/Pasir/Meniral yang dipatuk dari dalam tanah. Tidak dapat dipastikan jenis meneral itu.

  
Wasalam.

Tuesday 6 June 2017

Khukhu India~Cuculus micropterus


Khukhu India~Cuculus micropterus


Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017


Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017


Lokasi Dijumpai: Radar Ulu Kali, Pahang Tarikh: 12 April 2016

Lokasi Dijumpai: Radar Ulu Kali, Pahang Tarikh: 12 April 2016

Lokasi Dijumpai: Radar Ulu Kali, Pahang Tarikh: 12 April 2016

Merujuk daripada beberapa naskah buku  mengenai status burung  Khukhu India~Cuculus micropterus di Semenanjung Malaysia. Saya mendapati terdapat beberapa status yang telah diberikan kepada spesies burung ini. Burung Khukhu India~Cuculus micropterus ini mempunyai 3 status Resident ( Burung Tempatan ) Winter Visitor ( Pengunjung Musim Sejuk ) , Passage Migrant  (Laluan Penghijrah) .

Lokasi Dijumpai: Taman Negara Gunung Tahan, Pahang Tarikh: 4 April 2016

Lokasi Dijumpai: Kawasan Padang Universiti Pertanian Serdang. Selangor Tarikh: 5 Mei 2016

Lokasi Dijumpai: Bukit Melawati , Kuala Lumpur Tarikh: 27 Jan 2015



1.MNS Check List 2016 : Burung Tempatan      Burung Hijrah

2.Allen Jeyarajasingam   : Burung Tempatan     Burung Hijrah Musim Sejuk  Burung Laluan Hijrah 

3.Criag Robson               :            ~                     Burung Hijrah Musim Sejuk  Burung Laluan Hijrah 

4.David Wells                 :  Burung Tempatan                                                     Burung Laluan Hijrah

5.Robinson&Chesen      : Burung Tempatan       Burung Hijrah Musim Sejuk

Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Kekal Kemensah, Ulu Kelang Selangor Tarikh:16 Dis 2011




Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017

Dari 5 orang penulis itu hanya Craig Robson sahaja yang tidak menyatakan serta mengesahkan bahawa Burung Khukhu India~Cuculus micropterus ini adalah burung tempatan bagi Semenanjung Malaysia. Dalam bukunya itu telah  membawa maksud status burung Khukhu India~Cuculus micropterus adalah burung hijrah bukan burung tempatan.



Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017


Apakah alasan Craig Robson membuat keputusan seperti itu tidak dapat dipastikan. Apakah beliau tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong maklumat itu. Atau beliau tidak mahu mengikut dan meniru maklumat yang di putuskan oleh Robinson & Chesen sepertimana dalam buku The Birds of Malay Peninsula Vol 4 1927~1939 mukasurat 142.


Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017


Pada hakikatnya pada suatu ketika dahulu Keluarga burung Khukhu ini memang rumit untuk menentukan keputusan yang tepat samada ia burung tempatan atau pun tidak. Kerana pada ketika itu sangat susah membuktikan burung ini ada membuat sarang dan mengeram  kerana sangat kurang pemerhati burung yang memberi maklumat.


Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017

Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Bukit Tinggi, Pahang Tarikh: 22 Mei 2017


Namun begitu lama kelamaan pemerhati burung mendapat maklumat baharu dan mengetahui bahawa  sifat semulajadi pembiakan keluarga burung Khukhu ini adalah unik dan berlainan dengan cara pembiakan keluarga burung yang lain. Burung ini  memang tidak membuat sarangnya sendiri, ia  tidak mengeramkan telornya dan ia juga tidak membesarkan anaknya. Kerja-kerja membesarkan anak burung Khukhu India~Cuculus micropterus dilakukan sepenuhnya oleh keluarga angkatnya sehingga boleh berdikari sendiri.

Lokasi Dijumpai: Hutan Simpan Kekal Kemensah, Ulu Kelang Selangor Tarikh:25 Julai 2009

Rujukan:-

Robinson & Chesen ~ The Birds of Malay Peninsula Vol 4 1927~1939
David Wells~The Birds of the Thai-Malay Peninsular~ Resident, Passage Migrant
MNS Check List 2016 ~ Resident & Migrant 
Allen Jeyarajasingam~Field guide of Peninsular Malaysia and Singapore~Fairly common resident, Winter visitor & Passage migrant
Criag Robson~Field Guide of Birds of East Asia~Winter Visitor & Passage migrant
Quentin Philip & Karen Philip~Birds of Pulau Borneo- Burung tempatan dan winter visitor
IUCN: Least Concern ~ Wikipidia ~ India , Bangladesh, Bhutan, Nepal, Sri Lanka, Indonesia, Semenanjung Malaysia, China dan Russia.


Sejarah Pemerhatian Peribadi Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum


Nota Sejarah Pemerhatian Peribadi 
Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum

Status Burung : Burung Tempatan.
Status IUCN   : Hampir Terancam/Near Threatened

Peluang untuk menjumpai Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum akan menjadi tinggi jikalau kita berada dipesekitaran habitat hutan yang  berdekatan dengan kawasan lembab, berlopak, berpaya,  dan anak sungai. Waktu yang sesuai untuk menjumpainya adalah pada awal pagi dan disebelah waktu lewat petang. Ketika itu burung akan keluar mencari makanan dikawasan yang dinyatakan itu.

Nota Pemerhatian Peribadi:-

1. Pertama kali menjumpai spesies burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum ialah pada 9 Jun 2009 di tepi Sungai Relau , Taman Negara Merapoh Pahang. Ia dijumpai pada waktu  antara jam 8:00 pagi, sedang berkicau diatas tunggul kayu lapuk sambil mencari makanan ditebing sungai. Pada ketika itu saya masih tidak dapat membuat pengecaman dilapangan akan spesis burung ini. Jarak burung dengan tempat berdiri lebih kurang 40 meter. Mencuba untuk menghampirinya bagi mendapatkan rakaman imej yang lebih jelas, tetapi burung itu merasa kurang selesa lalu terbang meninggalkan kawasan itu. Ia terbang dan hinggap diatas permukaan batu ditebing sungai pada jarak yang agak jauh.






2. Semasa memburung pada 28 Julai 2010 antara jam 10.00 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Perdik Ulu Langat Selangor, secara tidak sengaja telah bersua dengan burung. Burung itu sedang meniti berjalan diatas akar pokok yang berada ditepi anak sungai menuju kearah rimbunan ranting kayu yang bertimbun disitu. Burung itu masuk kedalam rimbunan ranting kayu seperti mencari sesuatu didalamnya. Tidak lama kemudian kelihatan dari celah-celah ranting kayu diparuhnya sudah mengepit seekor lipas hutan sebelum menelan makanannya itu. Kemudian burung itu berjalan sambil melompat-lompat masuk kedalam reba-reba tumbuhan dan bertenggek berehat didalamnya. Sambil berehat sesekali burung itu menyisir dan membersihkan buluhias. Tidak lama kemudian ia melompat  berjalan meninggalkan kawasan itu, dan menghilangkan diri dalam rimbunan tumbuhan.










3: Pada 3 Aug 2011 antara jam 11:00 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Perdik Ulu Langat Selangor ketika dalam perjalanan pulang keluar daripada kawasan hutan , terpacul burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum ditepi anak sungai. Jarak kedudukan burung  lebih kurang 1 meter daripada tempat saya berdiri. Masa yang diberikan untuk  memerhati dan merakam imejnya adalah lebih kurang 10 saat sahaja. Sejurus itu ia berjalan beredar dari situ memasuki rumpun tumbuhan seterus menghilangkan dirinya.





4: Pada  5 Mei  2012 , antara jam 9:45 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Perdik Ulu Langat Selangor terdengar kicauan burung dari dalam rumpunan tumbuhan ditepi sungai. Dari celah-celah ranting kayu kelihatan burung sedang berkicau bersahut-sahutan seperti mengisyaratkan sesuatu. Sangat lah payah untuk merakam imej burung dalam keadaan cahaya malap, dihalang pula dengan ranting tumbuhan dan burung bergerak-gerak. Apabila cuba mendekatinya demi mendapatkan  rakaman yang lebih baik,   burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum  beredar berjalan menuju masuk kedalam rimbunan tumbuhan yang lebih jauh ke dalam hutan.





5: Pada 28 May 2013 antara jam 4:00 petang bertempat di Tasik Chini, Pahang ketika sedang dalam perjalanan menaiki Bot bermudik perlahan-lahan ke hulu  anak sungai.  Ternampak burung ini sedang  berjalan-jalan dan melompat-lompat disepanjang tebing sungai. Menghadapi kesukaran  untuk merakam imej burung tersebut, kerana bot sentiasa berkolek tanpa henti . Ditambah keadaan cahaya sangat kurang , burung  tidak henti-henti berjalan dalam kawasan rimbunan ranting. Peluang untuk mendapat rakaman yang baik tidak berjaya kerana tumbuhan  menghalang pemandangan tepat kepadanya.




6. Pada  18 April 2014 , antara jam 11:00 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Chongkak  Ulu Langat Selangor, ketika sedang menunggu kedatangan burung Ciak Serindit Ekor-jarum~ Erylhrura prasina yang sering dilihat dikawasan itu. Secara tiba-tiba burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum terpacul bertenggek diatas ranting sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Kemudian burung itu melompat turun diatas lopak air sambil mencari sesuatu didalam lecak. Sesekali melompat-lompat terbang seperti tidak mahu membasahkan kakinya. Hasrat  menghampiri burung untuk mendapatkan imej yang lebih elok, menyebabkan ia mempercepatkan pergerakan menuju ke dalam rimbunan tumbuhan sehingga tidak kelihatan kelibatnya.




7: Bertempat di kawasan lopak paya di kaki Gunung Senyum, Temerloh Pahang pada jam 4:30 petang bertarikh 11 May 2015, keterdengaran bunyi kicauan  mendayu-dayu dan nyaring dalam not-not yang tidak putus-putus. Suara kicauan itu datang dari arah rimbunan tumbuhan yang agak tebal. Berusaha mengekori suara kicauan itu kalau-kalau  pemilik suara yang berkicau itu menunjukkan dirinya. Kesabaran menunggu membuahkan hasil, apabila burung itu keluar  untuk  menyeberang ke rimbunan yang berhampiran disitu. Pada saat yang sekejap itu, berjaya melihat  kelibatnya ketika ia sedang memasuki kedalam rimbunan yang lain. Suara kicauan Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum  tidak berhenti sepanjang  berada dalam rimbunan. Walaupun jarak kedudukan burung sangat dekat tetapi pemandangan telah terhalang oleh ranting dan akar tumbuhan yang berselirat. Berkat kesabaran  dari celah lubang berjaya juga melihat kelakuan burung itu, dimana dia sedang menyisir dan mengemaskan buluhiasnya. Memandangkan waktu petang cahaya sudah mulai berkurangan , saya meninggalkan sahaja burung itu didalam rimbunan reba.




8: Bertempat  di Taman Negara Bako, Sarawak pada 19 Mac 2017 jam 7:30 pagi ketika melalui lorong denai telah berjumpa dengan burung ini. Ia sedang melintas  dengan berjalan menititi diatas pelantar kayu.  Berjalan  deras menyeberang titi, menuju ke arah kawasan lembab dikawasan tumbuhan palma dan rotan. Disitu ia  berkeliaran mencari makanan untuk satu jangka masa yang agak lama. Kelihatan burung itu menyelak-yelak daun kering dengan paruhnya dengan harapan boleh menjumpai serangga dibawah daun.  Burung ini mempunyai kemahiran mengagak akan sumber makanannya. Dalam waktu yang pantas, ia telah berjaya menangkap serangga seperti lipas dan  cengkerik yang menyorok dibawah helaian daun-daun mati yang banyak berselerak atas tanah. 










Rumusan Peribadi

Sepanjang penemuan burung ini sebanyak 8 kali ,  Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum sentiasa dilihat berjalan secara bersendirian. Ia tidak menyertai kumpulan burung lain dalam ombak burung, dan tidak juga dijumpai bersama-sama spesiesnya. Selesa berjalan dilantai tanah daripada membuat penerbangan pendek. Kelakuan burung ini lebih kurang sama dengan burung Kekicau Kopiah-hitam~Pellorneum capistratum (Black Cap Babbler) dan Kekicau Rel Malaysia~Eupetes macrocerus (Rail Babbler). Ia hanya akan terbang bilamana ia terkejut atau terancam demi untuk menyelamatkan diri. Ia terbang  tidak tinggi antara 1 kaki dari paras lantai tanah dan hanya membuat penerbangan singkat dan pantas menuju ke dalam rimbunan semak atau reba. Jarang sekali ditemui dikawasan terbuka dan terang. Kebiasaannya memilih berada dikawasan yang lembab, suram dan gelap. Keadaan seperti ini menawarkan cabaran tidak memberi kelebihan kepada jurugambar untuk merakam. Wasalam.