Wednesday 29 June 2016

Ancaman Yang Diterima Oleh Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus Di Musim Mengawan


Ancaman Yang Diterima Oleh Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus Di Musim Mengawan.


 

Keluarga Burung Tukang tidak membina sarang sepertimana keluarga burung lain. Ia hanya bertelor diatas pemukaan tanah lapang dikawasan sunyi dari pelbagai kegiatan aktiviti manusia dan haiwan. Ia juga tidak membina binaan sarang sepertimana keluarga burung lain. Burung betina  hanya bertelor dan membiarkan begitu  sahaja telornya diatas permukaan tanah tanpa ada sebarang binaan yang melindungi telor atau anaknya daripada cuaca terik matahari dan kesejukan air hujan. 


Seolah-olah  mempunyai keyakinan penuh dalam keadaan seperti itu ia mampu bertahan dan melindungi diri dari musuh dengan keupayaan kaedah penyamaran dihabitat tempat ia berada. Keluarga burung ini telah mengharungi keadaan seperti itu sejak zaman berzaman sehingga sekarang. Jikalau mengikutkan gerak fikir akal manusia kaedah seperti ini  adalah mengamalkan prinsip penuh keyakinan dan bertawakal secara membabi buta, kepada yang Maha Pencipta. 


Iktibar Dari Pemerhatian Dan Tinjauan  

Saya secara tidak sengaja telah terjumpa  Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus yang sedang dalam proses bertelor pada 5 hb Mei 2016. Untuk  minggu pertama burung betina telah berjaya mengeluarkan sebiji telor sahaja. Andaian saya  bertujuan mengetahui dan menguji kesesuaian lokasi untuk proses mengeram yang bebas dari mara-bahaya. Pada minggu kedua telor burung telah bertambah menjadi 2 biji, dan pada ketika ini proses eraman telor bermula.



Semasa tempoh eraman telor dilakukan burung hanya akan duduk diam diatas telor sepanjang hari jikalau tiada sebarang gangguan. Walaupun burung duduk diam, namun begitu ia sentiasa berada dalam siap siaga jikalau dirasakan objek hidup yang mendatangkan ancaman melepasi jarak yang merbahaya.


Sepanjang 21 hari proses eraman telor dilakukan ada ketika-ketika nya burung dewasa akan meninggalkan telor eramannya atas dasar keselamatan dirinya. Walaupun burung dewasa tidak berada diatas telornya namun begitu burung dewasa akan duduk diam dalam keadaan penyamaran diatas tanah yang berhampiran dengan lokasi  telornya itu.


Jikalau merasakan telornya itu diambang ancaman bahaya , maka ia akan terbang rendah untuk menzahirkan dirinya kepada pihak yang mengancamnya bagi tujuan mengalih tumpuan daripada telor miliknya itu. Ia akan melompat terbang rendah bagi menarik perhatian sipengancam seolah-olah dirinya boleh ditangkap dan seterusnya membawa mengikut  burung dewasa  ke tempat lain sebelum terbang hilang menyembunyikan dirinya.


Apa yang dikesalkan ialah, saya tidak dapat membuat pemerhatian pada waktu malam untuk memerhatikan Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus aktif mencari makanan dan menjalankan aktivitinya. Saya tidak  pasti apakah burung betina dan jantan bergilir-gilir mengeramkan telornya atau hanya burung betina sahaja mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mengeramkan telor sehingga telor menetas.


Setelah   menjalani proses eraman telor selama 21 hari sehingga pada 12 Jun 2016, kedua biji telor menetas dan mengeluarkan 2 ekor anak burung yang sempurna. Selama tempoh  itu burung telah berjaya mengelak  daripada berbagai macam ancaman dari Kucing, Anjing, Ular , Burung Gagak dan Pekerja-pekerja memotong rumput .



Walaubagaimanapun ia tidak berjaya mengelak  ancaman daripada Jurufoto Burung yang ramai tertunggu-tunggu akan bila telor burung itu akan menetas . Kebelakangan ini sudah menjadi kebiasaan pada mereka itu, dengan mudah mendapatkan maklumat tersebut daripada siaran-siaran di media sosial. Kebiasaan yang hadir pula adalah daripada Jurufoto Burung yang baharu menceburkan diri dalam hobi merakam imej burung.



Jurufoto Burung seperti  sekumpulan Burung Hereng yang mengerumi bangkai haiwan diatas padang, ketika  mereka merakam imej anak-anak burung itu. Mereka tidak sedar bahawa keterujaan merakam imej anak burung yang baharu menetas akan mengundang bahaya kepada nyawa anak-anak burung. Usia anak burung baharu sehari dua, keluar daripada cengkerang telor, belum lagi mampu bergerak dengan betul.  


Burung dewasa pula tidak termampu dan tidak berdaya melakukan sesuatu apa pun bagi menghalang perbuatan itu, hanya sekadar melihat dari jauh, atau bersembunyi dengan rasa risau dan cemas sahaja. Ada juga dikalangan Jurufoto Burung yang  mengalih kulit telor pada badan anak burung untuk mendapatkan " Rakaman Imej Bersih ".


Mereka tidak menyedari perbuatan melampaunya itu akan meninggalkan kesan bau dan haba yang dapat dihidu oleh makhluk-makhluk pemangsa.  Jurufoto Burung akan silih berganti datang untuk merakam imej anak Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus hinggakan tidak memberi peluang kepada Ibu burung untuk berada disamping anak yang baru menetas.



Apapun jua semua kenyataan itu, cuma andaian-andaian yang dicipta sahaja, kerana tidak ada dalam mana-mana kitab atau kenyataan undang-undang yang mencatitkan akan melarang merakam imej anak burung. Perbuatan merakam imej anak-anak burung adalah lebih mulia daripada mengambil anak-anak burung dari dalam sarang untuk tujuan ekonomi. 



Ketika membuat kunjungan pemerhatian perkembangan anak burung selepas 5 hari ia menetas, saya mendapati kedua ekor anak burung dan ibunya sudah tidak lagi berada dilokasi itu. Demi menjaga perhubungan silaturahim sesama manusia saya bersikap berbaik sangka dengan beranggapan bahawa Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus telah membawa anak-anaknya itu pergi ke satu tempat yang tersembunyi yang lebih selamat dari dikacau ganggu.





Lagi pun kegagalan yang berlaku kepada keluarga burung ini adalah memang  sengaja ditempah sendiri oleh Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus . Dari banyak tempat yang luas kenapa  memilih dikaki lima jalan tempat untuk  bertelor tentunyatidak sesuai dan selamat. Harapnya di lain masa tentu sekali burung ini akan belajar daripada iktibar yang telah berlaku. Wasalam.

Friday 24 June 2016

Cadangan Sub-Spesies Baharu Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur


Cadangan Sub-Spesies Baharu
Burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur
Nama Inggeris: Olive Backed Sunbird.
Lokasi: Pulau Aur. Mersing Johor Malaysia.
Tarikh: 28 Mei 2016



Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis mempunyai banyak sub spesies yang taburannya agak meluas di kawasan Asia Tenggara & Benua India. Di dalam Buku berjudul The Birds of Thai & Malay Peninsula Vol: 2 tulisan En. David R.Wells ada memaklumkan tentang taburannya di Semenanjung Malaysia. Taburannya meliputi di bahagian kepulauan-kepulauan seperti Pulau Tioman, Pulau Aur, Pulau Langkawi dan beberapa pulau yang lain. En.David R.Wells menggunakan nama saintifik Cinnyris merujuk kepada burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun, manakala buku Bird of South East Asia tulisan En.Craig Robson pula menggunakan nama saintifik Nectarina.



Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur


Saya yakin kedua-duanya betul dan boleh sahaja memilih antara satu. Siapa dan  bila masanya nama saintifik ini ditukar, saya kurang pasti. Atas dasar ilmiah apa, perbezaan pangkal nama saintifik digunakan, juga tidak  saya  ketahui, kerana penggunaan  bahasa Latin. Apa yang penting kedua-duanya adalah merujuk kepada burung yang sama dan saya hanya mengikut sahaja.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ornatus Jantan
Kajian terhadap burung ini telah saya lakukan sejak tahun 2009 lagi dimana data dan imej diperolehi dimerata tempat di Malaysia. Samada di Tanah Besar Semenanjung, Kepulauan Borneo, Pulau Langkawi, Pulau Tuba , Pulau Indah dan akhir sekali di Pulau Aur.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Hasil rujukan dan kajian peribadi  mendapati burung ini mempunyai banyak sub spesiesnya. Antara yang sempat dirujuk ialah Cinnyris jugularis jugularis, Cinnyris jugularis ornatus, Cinnyris jugularis klossi, Cinnyris jugularis plateni, Cinnyris jugularis franatus, Cinnyris jugularis sammaxillaris, Cinnyris jugularis andamanicus, Cinnyris jugularis aurora, Cinnyris jugularis infrenatus, Cinnyris jugularis rhizophorae, Cinnyris jugularis obscurior, Cinnyris jugularis kelansis, Cinnyris jugularis polyclystus, Cinnyris jugularis woodi, Cinnyris jugularis ornata, Cinnyris jugularis prosellus dan Cinnyris jugularis buruensis. 

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Sebelum ini, terdapat maklumat penemuan perbezaan burung sub-spesies  Perincit Leher-gelap~Ortholomus atrogularis atrogularis yang terdapat di Pulau Tioman, Pahang dan tanah besar Semenanjung Malaysia. Penemuan itu  membuktikan pernah ada pengkaji dan peminat burung menjalankan ekspedisi saintifik di Pulau Tioman. Maka hasil penemuan perbezaan  sub-spesies burung itu sehingga ke hari ini telah diiktiraf dan menjadi  ilmu pemburungan kepada  peminat burung tanahair.



Nectarina jugularis ornatus Jantan yang dijumpai di Pantai Jeram Selangor.
Peminat burung juga sedia maklum bahawa burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis juga mempunyai sub-spesiesnya yang tersendiri. Burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis supersiliaris yang berada di Kepulauan Sumatera, Indonesia di sebelah Selat Melaka adalah sedikit berlainan daripada burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti di Gunung Tahan, Pahang Malaysia.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Kandungan buku tulisan Mr. David R.Wells ada menyatakan tentang taburan burung ini di Pulau Aur, Mersing namun tiada sebarang maklumat tentangnya. Saya beranggapan pengkaji telah sampai ke sana hanya untuk membuat penyelidikan tentang taburannya tetapi terlepas pandang akan perbezaan ciri-cirinya. Mr. David R.Wells tidak menyatakan akan apa-apa perbezaan burung ini sepertimana beliau menyatakan perbezaan burung Perincit Leher-gelap ~ Ortholomus atrogularis annambensis; atau saya yang kurang menyelidik dan tidak tahu akan keputusan penyelidikan mereka.


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Pada 28 Mei 2016 yang lalu, saya telah membuat ekspidisi memburung di Pulau Aur Negeri Johor selama 3 hari. Ekspedisi memburung di kawasan persekitaran kepulauan yang paling jauh dengan tanah besar Semenanjung di sebelah Laut China Selatan. Ekspedisi memburung ini menemukan saya dengan spesies burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis  yang berlainan penampilan buluhiasnya. Namun begitu kelakuan dan perangainya serta bunyinya adalah seperti biasa yang kita lihat di Tanah Besar Semenanjung. Saya juga berpeluang melihat burung betina dan anaknya sepanjang kunjungan disana.

Spesies Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ini pada kebiasaan sangat mudah dijumpai, berdasarkan ia mudah dijumpailah maka ia tidak diberi tumpuan sangat terhadapnya. Andaikata saya bersikap sambil lewa dan hanya meneropong sahaja pada ketika itu, maka tidak dapatlah saya menunjukkan bukti perbezaan burung  yang berada di Pulau Aur dengan spesies di Tanah Semenanjung Malaysia.

Hasil bandingan satu persatu  kepada semua sub spesies dengan teliti itu, burung ini tidak menunjukkan persamaan dengan semua sub spesies yang tertera diatas. Setelah puas membuat penelitian berulang-ulang kali, saya dengan yakin mencadangkan terdapat 2 ciri-ciri perbezaan yang ada pada burung yang dijumpai di Pulau Aur. 

Ciri Khas:

1. Dibahagian Kening Burung.

Pertama pada buluhias dibahagian atas mata yang menyerupai seperti, ciri-ciri kening yang lengkap yang  berwarna hitam. Ia bukanlah warna hitam yang bersambungan dengan warna buluhias pada bahagian bawah leher dan bahagian muka burung, tetapi ia adalah memang corak kening yang asal dan sempurna.  

Kening Burung yang jelas kelihatan berwarna hitam.
2. Terdapat warna hijau gelap berkilat pada pelepah ekor burung.

Sebahagian warna pelepah ekor burung mempunyai warna yang hampir serupa dengan warna buluhias dibahagian leher burung jantan. Ciri khas ini adalah ciri yang menyokong kuat kepada cadangan saya bahawa ia adalah sub spesies yang tersendiri yang belum direkodkan lagi.

Warna hijau gelap  berkilat pada  yang boleh dilihat pada sisi pelepah ekor burung.
Saya pasti tentunya akan ada cabaran-cabaran seperti " apakah boleh diambil kira juga jika sedikit perbezaan dibahagian kening yang ada pada burung boleh ia  dianggap sebagai sub spesies ? Jawapan kepada soalan itu saya ajukan kembali kepada cabaran ini dengan jawaban seperti berikut; Bagaimana kita boleh menerima bulat-bulat ilmu dan penetapan yang telah dibuat didalam buku Bird of South East Asia~Craig Robson dan The Birds of Thai & Malay Peninsula Vol: 2 tulisan David R.Wells kepada keluarga spesies burung Pipit [ Pipit ] dan Cekup [ Warbler ].
Burung Betina Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur yang ditemui bersama-sama burung jantan di Pulau Aur.
Dimana perbezaan antara Pipit Richard~Anthus richardi ~ { Richard Pipit }, Pipit Blyth ~Anthus godlewskii~{ Blyth Pipit } dan Pipit Padi~Anthus rufulus { Paddyfield Pipit } sangat sedikit malah hampir tidak dapat dikesan perbezaannya, sekiranya melihatnya dilapangan menggunakan teropong.


Imej burung betina yang dirakam di Taman Melawati Kuala Lumpur.

Walaubagaimana pun masih terlalu awal serta agak keterlaluan untuk saya mencadangkan pengisytiharan bahawa burung yang dijumpai di Pulau Aur merupakan sub spesies Jerijit Suria Belakang-Hijau zaiton  baharu , yang belum direkodkan lagi. 

Imej Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis betina   yang dirakam di Sabah

Pada waktu yang sama saya bercadang akan menggunakan nama saintifik Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~ Nectarina jugularis aur  bagi merujuk kepada burung yang dijumpai di Pulau Aur ini. Menambah perkataan " aur " sempena tempat burung ini dijumpai.


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris di Pulau Langkawi, Kedah.
Cadangan kepada penemuan sub spesies burung yang baharu  ini sebenarnya adalah untuk membuka ruang kepada peminat burung yang lebih berpengalaman luas , untuk menyangkal dengan hujah ilmiah  atau bersetuju dengan cadangan saya ini berserta bukti.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris betina yang dirakam  di Pulau Tuba, Kedah.

Perkara ini pada hemat saya amat baik , untuk kita bersama-sama mempelbagaikan hujah-hujah ilmiah dan mencari bukti demi ilmu pengetahuan bidang pemburungan tanahair. Serta memperkasakan bidang pemburungan tanahair , supaya dapat kita perturunkannya pula  kepada peminat burung yang akan datang.



Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris, Juvana~ Rakaman dibuat di Pulau Langkawi

Dengan cadangan penemuan sub spesies baharu untuk burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur  ini, maka negara kita terbukti mempunyai kekayaan pelbagai spesies burung. Cuma kita sahaja yang tidak rajin dan berminat seperti orang putih untuk meneroka khazanah alam yang tersedia ada dari pelbagai macam spesies yang ada.


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris Jantan~Rakaman dibuat di Pulau Langkawi
Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris, Jantan~Rakaman dibuat di Pulau Langkawi


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ornatus Jantan~Rakaman dibuat di Taman Melawati Kuala Lumpur.

Banyak Khazanah alam telah lenyap tanpa dapat dikesan setelah beribu-ribu hektar hutan yang dihuni oleh hidupan-hidupan kecil dan besar, yang masih belum kita pelajari telah lenyap. Setelah ia ditebang musnahkan oleh " Penganas-Penganas Alam Sekitar " dan digantikan dengan ladang-ladang pertanian dan pembangunan lain.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ornatus Jantan
Dulunya terlalu luas dan banyak tetapi kini semakin hari semakin berkurangan disebabkan kedungguan sesetengah rakyat sendiri  mengikuti segala telunjuk pembuat dasar yang mempunyai gerak fikir yang cenderung kepada mengutamakan keuntungan yang banyak dan cepat.Sebelum malang yang bertimpa-timpa terjadi lagi kepada khazanah alam tanahair eloklah saya dokumenkan apa yang sempat dikongsikan.  Wasalam.

Saturday 18 June 2016

Cadangan Kepada Kaedah Inventori Menggira Jumlah Spesies Burung Tanpa Penyiksaan


Cadangan Kepada Kaedah Inventori Mengira Jumlah Spesies Burung Tanpa Penyiksaan.

.
Mukadimah.

Sehingga kehari ini pihak yang mempunyai hubung kait untuk mengira jumlah burung masih lagi menggunakan kaedah lama yang senang untuk menggira jumlah dan populasi burung. Kaedah lapuk yang ketinggalan ilmu dan zaman ini jelas mendatangkan kesengsaraan , cemas dan bahaya semasa proses itu dijalankan kepada mana-mana spesies burung. Mereka bersembunyi disebalik " Kajian Ilmu " untuk  dianugerahkan kekebalan undang-undang dimata khalayak , namun begitu perbuatan  ini  jelas boleh mendatangkan kesengsaraan kepada Spesies Burung.


Sudah jelas kaedah sebegini telah mengurangkan jumlah spesies burung liar yang memakan korban dari masa kesemasa. Lebih malang lagi kaedah ini diperturunkan dari satu genarasi ke satu genarasi sehinggalah sekarang. Seolah-olah tidak langsung mahu berfikir kaedah yang lebih selamat yang tidak mendatangkan sengsara , cemas dan bahaya kepada burung.

Tentu sahaja buat permulaan pihak akedemik atau badan berwajib akan mempersendakan cadangan kepada kaedah ini dengan berbagai alasan dan hujah ilmiah yang cerdik sejajar dengan kehendak mereka itu. Atau mungkin juga menerima kekangan itu dan ini daripada pihak pegawai-pegawai atasan yang tidak mahu mencuba berubah.


Seperti kata-kata hikmah oleh penerima Anugerah Merdeka Dr.Lim Boo Liat dalam sesi temubualnya pada 14 May 2016 yang lalu; Setiap pengkaji atau yang berkepentingan dalam bidang ini wajib pergi kelapangan secara bersiri dengan lebih kerap untuk melihat dengan mata kepala  sendiri hal keadaan kajiannya.




Dari situ ia akan merangsang penyelidik itu berfikir dan membuat kajian serta jawapan yang lebih tepat tanpa mengikut bulat-bulat buku teks. Bukan hanya  bulat-bulat menerima hasil maklumat daripada pembantu penyelidik dan seterusnya membuat keputusan kajian didalam pejabat atau makmal.




Saya kongsikan salah satu kaedah yang telah terbukti berjaya mengira jumlah spesies burung yang hampir tepat jumlahnya berserta maklumat jantan dan betina. Kaedah ini boleh diperbaiki dari masa kesemasa jikalau mempunyai Pengkalan Data yang banyak dan ramai tenaga.

Maklumat kajian ini dilakukan sejak 2010.

Lokasi ini terpaksa dirahsiakan kerana kalau-kalau ada dikalangan pembaca mempunyai niat yang jahat serta buruk untuk menangkap burung-burung itu untuk tujuan jualan sebagai mata pencarian mereka.



Kebiasaan Tempoh Mengawan & Musim Membuat Sarang.


Berdasarkan data-data yang diperolehi musim mengawan dan membuat sarang ialah antara Bulan Januari hingga May.

Lokasi Yang Dipilih Untuk Membina Sarang


Kebiasaannya burung ini membuat sarangnya ialah diatas ranting dan dahan pokok yang tumbuh ditepi-tepi jalan berturapkan tar disepanjang jalan. Keadaan yang serupa ini juga boleh dilihat di kawasan tanah tinggi dinegeri  , Pahang.


Paras ketinggian sarang yang dibina adalah diantara 5 kaki hingga 20 kaki pada paras lantai tanah. Purata sarang yang dibina pada ketinggian 6 kaki adalah lebih banyak jika dibandingkan sarang yang dibina melebihi  7 kaki keatas.


Saya bersetuju dengan maklumat yang diterima daripada guru saya Saudara Mike Chong. Menurutnya burung ini memilih lokasi sarang berhampiran dengan laluan  manusia,  adalah untuk menghindar dari gangguan Beruk, Kera dan Lotong. Kehadiran manusia boleh menghalau haiwan-haiwan primite ini.


Bahan-Bahan Yang Digunakan Untuk Membentuk Sarang.



Hasil dari pemerhatian terhadap banyak sarang-sarang burung ini, saya dapati kebiasaan bahan binaan yang digunakan adalah terdiri daripada tumbuhan-tumbuhan kering, lumut, sesawang labah-labah, ranting kering, lalang kering  dan buluhiasnya sendiri. Pasangan jantan dan betina akan berkerjasama mencari dan menganyam sarang mereka dalam tempoh lebih kurang 14 hari  untuk siap sepenuhnya.




 
Bentuk Sarang.


Bentuk sarang yang dianyam oleh burung adalah berbentuk bulat yang berbunjut tergantung pada hujung ranting pokok atau hujung dahan pokok. Bentuk dan saiznya adalah seperti buah kelapa yang telah dikopek sabutnya. Muka pintu sarang terletak pada bahagian atas sisi sarang dan mempunyai daun pokok hidup sebagai daun pintu muka sarang.


Melindungi burung daripada pancaran tepat cahaya panas dan air hujan. Pembinaan sarangnya tidak kemas jika dibandingkan dengan kekemasan binaan sarang burung Tempua~Ploceus philippinus.

 


 
Hasil Laporan Kajian Menggunakan Kaedah Mengira Sarang Burung. 


Sejak tahun 2010 lagi kajian untuk mengenal bentuk sarang telah dimulakan, cuma saya mengambil data kajian untuk tahun  2014  hingga 2016 sahaja. Untuk makluman saya mula menyimpan data-data hasil  pengiraan jumlah sarang-sarang  burung  Takau Dada-perak~Serilophus lunatus yang telah membuat sarang ditempat yang dinyatakan itu sejak 2010. 



Hasil Catitan jumlah sarang pada tahun 2014 ialah berjumlah 36 buah sarang. Bermakna terdapat 72 ekor burung yang terbahagi kepada  36 burung jantan dan 36 burung betina dikawasan tersebut. Pada kebiasaannya purata burung betina berjaya menyumbangkan 2 biji telor dalam sebuah sarang. Jikalau tiada sebarang gangguan musuh, maka telor-telor yang dieramkan itu akan berjaya menetas. Ini menjadikan 72 ekor  anak-anak burung berjaya keluar terbang meninggalkan sarang. Maka  kebarangkaliannya  pada musim itu jumlah keseluruhan spesies itu akan menjadi  144 ekor burung. Satu jumlah yang agak banyak.



Pada musim 2015 pula catitan saya menunjukkan jumlah sarang telah berkurangan secara mendadak daripada 36 buah sarang menjunam kepada hanya 21 buah sarang sahaja. Walau jumlah sarang berkurangan namun begitu , untuk musim itu masih lagi ada penambahan jumlah anak-anak burung. Daripada 21 pasangan jantan betina pada musim itu terdapat 42 ekor anak burung.

Baru-baru ini kiraan jumlah sarang untuk  musim 2016, mulai  telah meningkat kembali menjadi kepada 26 buah sarang. Daripada jumlah 26 buah sarang yang diemui, saya dapat anggarkan ketepatan  jawapan kepada jumlah spesies burung yang terdapat disini iaitu 52 ekor burung. 26 ekor burung jantan dan 26 ekor burung betina. Harapan saya untuk musim ini kesemua telor yang dieramkan dapat menetas dan menjadikan jumlah 52 ekor anak burung.



Tahun 2014

Jumlah Sarang Tahun 2014: 36 buah sarang ,
Jumlah Burung                   : 72 ekor burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus,
Jantina                                : 36 ekor Jantan dan 36 ekor Betina
Jumlah Anak Burung         : 72 ekor anak burung.
Jumlah Keseluruhan          : 144 ekor burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus

Tahun 2015

Jumlah Sarang Tahun 2014: 21 buah sarang ,
Jumlah Burung                   : 42 ekor burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus,
Jantina                                : 21 ekor Jantan dan 21 ekor Betina
Jumlah Anak Burung         : 42 ekor anak burung.
Jumlah Keseluruhan          : 84 ekor burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus

Tahun 2016

Jumlah Sarang Tahun 2014: 26 buah sarang ,
Jumlah Burung                   : 52 ekor burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus,
Jantina                                : 26 ekor Jantan dan 26 ekor Betina
Jumlah Anak Burung         : 52 ekor anak burung.
Jumlah Keseluruhan          : 104 ekor burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus

Setiap tahun sejak tahun 2014 hingga 2016 boleh dianggarkan jumlah spesies burung ini ada peningkatan jumlah anak-anak burung iaitu kepada 332 anak burung dalam tempoh 3 tahun. Walaupun ini hanya anggaran kasar, tetapi jumlah ini dapat diperkemaskan jikalau mempunyai tenaga pemerhati dan pemantauan.




Pada hemat saya, kaedah mengira bilangan bentuk sarang ini sedikit sebanyak dapat membantu kita memberi petunjuk jelas terhadap bilangan ekor sesuatu spesies burung itu, selain membuat pengiraan menggunakan teropong. Dengan ini telah jelas, bahawa kaedah menggunakan " Jaring Kabus "  yang digunakan oleh pihak pelajar-pelajar Universiti, Perhilitan sudah tidak sesuai lagi dizaman negara kita yang sedang menuju kearah negara maju. Jikalau diteruskan juga maka tahap pemikiran tenaga pengajar dan pelajar kita sama sahaja ketika dizaman pemerintahan British duhulu yang tiada perubahan. Andaikata cadangan ini dicuba dengan hati terbuka , sudah pasti burung tidak lagi teraniyai hanya disebabkan untuk membuat pengiraan spesies. Wasalam.