Pemerhatian Kejayaan Burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous Bersarang Pada 2024 Di Genting Peras Ulu Langat Selangor, Semenanjung Malaysia.
Mukadimah
Sepertimana yang kita maklum , semua spesis burung Enggang menjadikan lubang di dalam pokok sebagai sarang semasa menjalani proses pembiakan . Perlu diketahui bukan satu pekara mudah pasangan burung mencari lubang sarang pada setiap musim mengawan. Pokok-pokok yang sesuai untuk dijadikan lubang sarang seharusnya sebatang pokok yang berukur lilit lebar , bersaiz besar, tinggi , berlubang secara semulajadi dengan persekitarannya berdekatan sumber makanannya. Kebiasaannya pada setiap musim mengawan setiap pasangan burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous akan menggunakan kembali lubang pokok yang sama sebagi sarangnya, jikalau pokok tersebut tidak musnah akibat ditebang.
Di Semenanjung Malaysia keluasan kawasan hutan belentara dara sudah mengecil secara mendadak akibat ekonomi pembalakan , perluasan ladang Kelapa Sawit, ladang Durian, pembinaan ECRL, perlombongan mineral yang sentiasa disokong oleh golongan Kapitalis. Pengurangan bilangan Keluarga Enggang itu tidak dapat dielakkan disebabkan pokok-pokok matang bersaiz ukur lilit besar, yang berlubang sukar ditemui, malah bilangannya tidak banyak lagi. Lazimnya, sejurus syarikat Konsasi Balak mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan dan agensi kerajaan yang berkaitan, mereka akan menyegerakan proses penebangan pokok-pokok yang telah dibanci. Pastinya mereka tidak mengetahui dan tidak mengendahkan musim pembiakan hidupan liar. Mereka tidak memandang penting terhadap burung Enggang betina sedang mengurungkan diri di dalam lubang pokok. Tidak akan terjadi syarikat konsasi balak akan menangguhkan proses penebangan pokok pada ketika burung Enggang sedang berada di dalam lubang sarang. Aktivti sebegini telah berlaku berpuluh tahun dan mereka tidak memandang mustahak kepada penurunan bilangan kelahiran anak-anak burung Enggang.

Lebih membimbangkan ada laporan sahih penemuan anak burung Enggang hasil daripada pensenyawaan antara dua Enggang berlainan spesis, iaitu Enggang Badak~Buceros rhinocerous dan Enggang Papan ~Buceros bicornis . Itu petanda di kawasan tersebut, bilangan jantan betina antara dua spesis tersebut sudah tidak seimbang dan bilangannya telah berkurangan. Kejadian itu berlawanan dengan sifat semulajadi burung Enggang yang akan tetap setia kekal kepada seekor individu sepanjang hayatnya. Ketidak seimbangan jantina mengakibatkan burung itu tidak ada pasangan sesama spesis, maka berlakulah sepertimana yang telah dilaporkan itu.
Laporan peribadi bertarikh 22 May 2025 ini disediakan untuk mendokumenkan hal kejayaan burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous menambah bilangan spesisnya di Negeri Selangor. Ia ditulis berdasarkan pengamatan secara terperinci dan disampaikan sebaik yang boleh berdasarkan perilaku dan perbuatan pasangan burung Enggang sepanjang tempoh pembiakkan.
Maklumat tentang penemuan lubang sarang burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous diketahui oleh seorang Jurupandu Pemerhatian Burung pada bulan Mei 2024. Pada ketika itu, burung betina telah memenjarakan dirinya di dalam lubang sarang. Tidak dapat dipastikan samada burung betina itu sedang menjalani proses bertelor atau sedang mengeramkan telurnya. Jumlah telornya juga tidak dapat dipastikan.
Lokasi Lubang Sarang
Lokasi sarang bertempat di kawasan tanah tinggi Genting Peras Ulu Langat Selangor , diaras altitude 507 meter dari aras laut. Pokok itu terletak bersebelahan dengan Jalan Kampong Sungai Lui ke Kuala Kelawang. Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous menjadikan sarangnya pada sebatang pokok bersaiz dianggarkan 2 pemeluk lelaki dewasa yang mempunyai ketinggian lebih kurang 50 meter tinggi dari lantai tanah hingga ke pucuk pokok. Lubang sarang dalam pokok kayu itu terhasil setelah dahan pokok rekah pada bahagian pangkal batang pokok. Lubang itu terbentuk setelah proses air hujan memasuki dan bertakung sehingga mereputkan ruang tersebut. Proses pereputan didalam batang kayu itu telah membentuk sebuah lubang yang dapat memuatkan saiz anggota badan seekor burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous.
Kedudukan dan lokasi lubang sarang terletak pada ketinggian lebih kurang 20 meter, bersebelahan dengan sebatang cabang dahan yang besar. Kedudukan muka pintu sarang terletak berhadapan dengan jalanraya, yang saya anggarkan lebih kurang 10 meter. Bentuk muka lubang sarang adalah pipih dan saiz muka pintu lubang sarang dianggarkan 2 meter tinggi, manakala lebar muka pintu dianggarkan 3 ke 4 inci lebar. Saya percaya pasangan burung ini telah memilih lubang sarang yang selamat dan tepat semasa proses pencarian. Pada ketika itu hal keadaan dikawasan lokasi pokok adalah terlindung dan tersorok. Pelbagai jenis tumbuhan dihadapan lubang sarang melindungi penglihatan jika dipandang dari jalanraya .Namun diluar dugaan percaturan burung, kawasan tumbuhan yang melindungi lubang sarang telah ditebang dan dibersihkan secara berkala oleh pihak penyelenggara jalanraya disitu. Maka berserahlah hal keadaannya lubang sarang telah terdedah dan mudah dilihat oleh pengguna jalanraya.
Keadaan seperti itu memungkinkan ia terdedah kepada pelbagai ancaman daripada manusia dan haiwan pemangsa. Boleh jadi pasangan Enggang Badak~Buceros rhinocerous ini tidak mempunyai banyak pilihan pokok yang sesuai untuk dijadikan sarang lagi. Walaupun terdapat beribu batang pokok yang besar yang masih tumbuh subur . Atau mungkin kebanyakan pokok di kawasan tersebut lubang sarang telah dikuasai oleh pasangan Enggang yang lain.
Ketidak Suaian Lokasi Sarang.
Alasan dan hujah kebimbangan peribadi saya menyatakan pokok itu berada cukup hampir dengan jalanraya dimana banyak aktiviti kenderaan lalu lalang pada setiap hari. Kedudukan itu memungkinkan anak burung akan terdedah pada bahaya dilanggar oleh kenderaan, ketika cuba melakukan penerbangan pertama setelah keluar dari lubang sarang. Dengan keadaan begitu, barangkali anak burung bakal tercedera semasa mendarat diatas permukaan jalanraya yang keras. Atau terlanggar kenderaan Jurufoto Pemerhati Burung yang diletakkan sepanjang bahu jalan, menghadap pada muka sarang. Anak burung akan bernasib baik jikalau ia dapat melonjak meluncur pada dahan ranting yang paling hampir dari pintu lubang sarang. Untuk makluman ranting yang paling hampir dengan muka pintu lubang sarang berada disebelah tepi, bukan berada di bahagian hadapan. Andaikata ia gagal hinggap pasti akan jatuh pada rimbunan tumbuhan di kiri kanan lubang sarang.
Melalui perincian pemerhatian, pada permukaan kawasan lubang sarang terdapat 5 batang paku yang ditanam separuh terlekat ke dalam batang pokok. Paku-paku itu ditanam menggelilingi pintu lubang sarang. Maklumat yang diterima melalui perbualan lisan daripada penduduk Orang Asli yang lalu lalang disitu, menyatakan pada tahun 2023 ada dikalangan mereka telah menjerat anak burung untuk dijadikan burung peliharaan mereka. Dibahagian belakang pokok, tertanam kukuh batang-batang paku disusun secara berderet naik ke atas untuk dijadikan tangga memanjat dan sebagai tempat menyangkut jaring kabus. Jaring kabus sebagai jerat menangkap ketika burung betina dan anak burung terbang keluar daripada sarang.
![]() |
5 batang paku yang ditanam mengelilingi lubang sarang. |
Fasa Jenis Diet Makanan Yang Dibawa.
Sebagai makluman, saya tidak ada keupayaan untuk membuat pemerhatian secara harian disepanjang tempoh pembiakan iaitu lebih kurang selama 4 bulan ( 30 Mei ~ 13 Sept 2024 ). Sepanjang tempoh tersebut, cuma sebanyak 18 kali pemerhatian telah dilakukan. Tarikh tersebut adalah seperti berikut:-
Bulan Mei~1 kali 30 Mei
Bulan Jun ~ 1 kali 26 Jun
Bulan Julai ~ 3 kali 2, 15 dan 29 Julai
Bulan Ogos ~ 5 kali 10.19, 20, 28, 29 Ogos
Bulan Sept ~ 8 kali 2, 3, 4 6, 9.10, 11, 12 dan 13 Sept
Dalam tempoh tersebut kunjungan membuat pemerhatian cuma dapat dilakukan 2 atau 3 kali dalam tempoh seminggu. Walaupun begitu, saya telah mengumpul dan menambah maklumat daripada beberapa orang kenalan pemerhati burung berkaitan jenis diet yang dibawa ketika tempoh saya tidak membuat pemerhatian. Selain diet makanan bertujuan mengenyang dan membesarkan, burung dewasa turut menjadikan makanan itu sebagai umpan menarik perhatian anaknya.
Saya bahagikan kepada empat peringkat jenis diet dan kadar makanan yang dibawa ke lubang sarang. Peringkat pertama ketika Burung betina masuk ke dalam lubang sarang menjalani proses bertelor, mengeram dan menetas. Peringkat kedua pada ketika anak burung menetas dan dibawah pengawasan burung betina. Peringkat ketiga ketika ibu burung telah keluar meninggalkan anaknya bersendirian sehingga anak burung terbang meninggalkan lubang sarang. Peringkat terakhir ketika anak burung ditemani oleh ibubapa pada ketika anak burung masih lemah tidak berupaya mencari makanannya sendiri.
Kaedah Burung Membawa Makanan Ke Lubang Sarang
Selain penerangan bertulis, laporan pemerhatian ini akan disokong dengan bukti rakaman terhadap perilaku Enggang Badak~Buceros rhinocerous. Akan terdapat banyak imej yang hampir serupa tetapi sebenarnya ianya berbeza dari sudut jenis diet makanan dan jumlahnya. Ada juga imej jenis yang serupa tetapi ianya adalah bukti rakaman pada hari dan waktu yang berbeza.
Cara burung membawa sejumlah makanan untuk diberikan kepada pasangannya adalah dengan cara menyusun , mengumam dan menjinjing makanan dihujung paruh. Kejadian rupa bentuk paruh , batang leher dan tembolok Enggang Badak~Buceros rhinocerous digunakan sebagai ruang simpanan bahan makanan yang dibawa. Saya anggarkan terdapat 4 bahagian ruang simpanan makanan sementara. Bahagian pertama iaitu pada ruang tembolok, kedua antara rongga pintu tembolok hingga rongga pintu tekak . Ruang yang ketiga antara pangkal paruh hingga ke ruang hujung paruh dan yang ke empat pada muncung paruh yang mengepit menjinjing diet makanan bersaiz besar.

Kadar Jumlah Makanan Yang Dibawa Pada Satu Masa.
Sepertimana yang telah dinyatakan diatas, diet burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous terdiri dari pelbagai jenis , bentuk dan saiz. Mengikut pemerhatian secara teliti yang dibuat, saya kadarkan burung dewasa boleh membawa buah yang mempunyai saiz sebesar biji Kelapa sawit dan buah Ara antara 12 biji hingga 13 biji .Manakala buah yang bersaiz anggaran sebesar biji cermai atau ceri adalah sebanyak 130 biji. ( Maklumat yang diterima daripada Encik Tee, setelah beliau mengira melalui rakaman video secara gerak perlahan ) Makanan bukan dari jenis buah-buahan pula sukar untuk disukat kerana mempunyai saiz dan panjang yang pelbagai. Walaupun begitu mengikut rakaman dan data yang diperolehi, ianya adalah antara 5 ke 6 ekor.
Menentukan Kawasan Keliaran Tempat Burung Mencari Makanan.
Melalui jenis diet makanan yang dibawa, kita dapat menjangka akan cara burung mendapatkan makanannya. Diet ruji yang selalu diambil oleh Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous adalah dari jenis buah-buah Ara masak yang di kupil pada dahan pokok. Buah-buah yang dimasukkan ke dalam mulutnya itu akan disusun tadbir mengikut kehendak dan keperluan dirinya. Samada untuk dihadam sertamerta atau dijadikan simpanan ketika lapar atau untuk dibawa ke lubang sarang. Ia akan berulang alik ke pokok yang sama secara berpasangan untuk mendapatkan sumber makanan. Sejak 20 tahun kebelakangan ini, andaikata di kawasan lingkungan sempadan keliaran Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous itu tidak terdapat pokok buah Ara yang masak, maka ia mencari sumber makanan alternatif iaitu biji Kelapa sawit yang masak. Biji-biji kelapa sawit yang masak tidak bermusim dan boleh diperolehi pada bila-bila masa kerana ladang kelapa sawit lebih luas daripada Hutan Simpanan Kekal.
Selain Enggang Badak~Buceros rhinocerous mencari makanan dari jenis buah-buahan dilakukan secara bertenggek , melompat dari satu dahan ke satu dahan pokok, ia turut berkebolehan mencari makanan dilantai tanah hutan dari jenis tumbuhan ubi atau halia. Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous berupaya melakukan proses mengorek dan mengali permukaan tanah yang tertanam dalam tanah . Pemerhatian dan bukti rakaman terhadap kenyataan cadangan saya ini tidak dapat dibuktikan dengan rakaman. Namun saya membuktikannya dengan rakaman diet yang dikeluarkan dari mulut Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous yang dibawa ke lubang sarang.
Sementara berada diatas lantai tanah ia turut juga mencari hidupan dengan cara mengais, menyelak dan penghendapan . Samada dicelah batu, tunggul kayu reput , dan daun-daun kering sebelum menangkap mangsanya. Bukti itu dapat disahkan pada paruhnya ada kesan tanah yang sedang menjinjing hidupan kecil yang kehidupannya dilantai tanah seperti Mengkarung , Ular, Kala Jengking, Katak atau Ulat Gonggok.
Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous menjadikan rupa bentuk kejadian paruhnya sebagai alat pekakas serbaguna yang memberi kelebihan peluang kepada ikhtiar hidup untuk melangsungkan kehidupan. Pekara itu dibuktikan ketika ia datang membawa anak burung Tiong Mas , Burung Takur atau Belatuk. Petanda itu membuktikan ia telah menceroboh dan membinasakan lubang sarang burung-burung lain. Setelah mengompel dan membinasakan lubang sarang ia menangkap anak-anak burung termasuk induk burung sekali, jikalau tidak sempat menyelamatkan dirinya.
Saya pernah melihat cara dan kaedah Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous jantan mencari makanan untuk anaknya di Hutan Simpan Ulu Gombak. Dalam pemerhatian itu saya sedang merakam imej Burung Tiong Emas ~ Gracula religiosa yang bertenggek diatas tunggul pokok mati yang mana disitu ada lubang sarang. Saya menjangkakan burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous telah membuat pemerhatian hendapan terhadap Burung Tiong Emas~Gracula religiosa untuk satu jangkamasa, sebelum bertindak. Menyedari keselamatan terancam, burung Tiong Emas~Gracula religiosa bertindak beredar segera. Sejurus itu burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous sudah berada diatas dahan tunggul pokok mati tersebut.
Kelakuannya disitu seperti mencari-cari sesuatu seperti mendengar dan terintai-intai pada pohon mati. Kemudian Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous memasukkan paruhnya ke dalam pintu lubang sarang dan mengompel bahagian tersebut. Terkopak dan patah sebahagian permukaan batang pokok lantas jatuh ke lantai tanah. Dengan segera terbang turun menuju ke bawah tempat terjatuhnya sebahagian batang kayu yang lapuk. Disitu berjayalah dia mendapatkan apa yang boleh dibawa pulang ke lubang sarangnya. Peluang mendapat tambahan makanan selain anak burung adalah besar, kerana di dalam kayu lapuk lazimnya terdapat sumber makanan lain seperti Kala Jengking, Lipan, Kumbang Labah-labah atau pun Ulat-ulat.
Diet Makanan Burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous
Peringkat Pertama~Burung Betina masuk ke dalam Lubang Sarang
Pemerhatian Bertarikh 30 Mei 2024
Sejurus burung betina membuat keputusan mengurungkan diri , maka pada ketika itu jualah bermulanya tanggung jawab berat yang akan digalas oleh burung jantan. Burung jantan akan berusaha mencari dan membawa sejumlah makanan pada satu jangkamasa yang tepat secara berjadual kepada pasangannya yang telah berkurung , selain makanan untuk dirinya sendiri.
Pemerhatian saya hanya bermula pada ketika burung betina telah berada dalam lubang sarang. Saya tidak dapat memastikan pada masa itu status pembiakan samada sedang memulakan proses bertelor , mengeram atau pun telornya telah menetas. Melalui data pemerhatian yang dikumpul saya mengandaikan burung betina sedang dalam proses mengeramkan telornya. Jumlah telornya juga tidak dapat dipastikan. Andaian ini dibuat berdasarkan kurangnya jumlah kunjungan burung jantan membawa makanan, berbanding ketika telor burung telah menetaskan.
Jumlah kunjungan pada waktu siang hari yang saya kadarkan ialah bermula pada jam 7:00 pagi hingga 6:00 petang. Dalam tempoh tersebut burung jantan datang membawa makan sebanyak 4 kali. Setiap hari burung jantan akan mengawas sambil berehat tidur diatas pokok yang berdekatan dengan lubang sarang. Kunjungan pertama ialah antara jam 7:00 hingga 8 pagi. Kunjungan kedua antara jam 10:00 pagi hingga jam 12:00 tengah hari. Kunjungan ke tiga antara jam 1:30 tengah hari ke 2:30 petang. Kunjungan yang ke 4 pula, antara jam 4:00 petang hingga 5:30 petang. Jenis makanan yang dibawa adalah seperti buah-buahan, ubi-ubi, berbagai jenis serangga bersayap, Reptilia, Amphibia, Unggas, Araknid dan Ulat.
Peringkat Ke 2~Telor Menetas Dan Anak Dibawah Pengawasan Ibu Burung ( Jun ~ Julai )
Pemerhatian Bertarikh 26 Jun 2024
Pemerhatian Bertarikh 2 Julai 2024
Pemerhatian Bertarikh 15 Julai 2024
Pemerhatian Bertarikh 29 Julai 2024
Awal pagi antara jam 8:00 pagi ketika burung jantan datang membawa makanan, saya baru menyedari burung betina sedang melakukan aktiviti awalan memecahkan tampalan pintu sarang. Selepas memberi makanan Burung betina menyambung usaha mengetok-getok dinding pintu lubang sarang dengan hujung paruhnya. Melalui perkongsian maklumat yang disampaikan oleh Puan Lucy ( Pemerhati Burung ) kepada saya, aktiviti itu telah dilakukan sejak seminggu yang lalu. Perbuatan mengetok dan juga mengetip-getip bahan tampalan muka pintu lubang dilakukan dari bahagian bawah naik keatas.
Burung betina sesekali mengeluarkan paruh dari lubung sarang kemudian melentukkan paruh bertujuan paruh bahagian atas dan paruh bahagian bawah melonggarkan kiri kanan binaan tampalan. dinding pintu lubang.Ia tekun melakukan secara beulang - ulang sehingga terkeluar hujung muncung paruh yang dapat dilihat oleh pemerhati burung. Terkadang-kadang keterdengaran bunyi ketukan paruhnya yang kuat. Sementara dibahagian luar pula burung jantan sedang bertenggek memerhatikan perbuatan burung betina , dan mengeluarkan suara garaunya. Sesekali burung jantan ada membantu mengepil dan mengetip membuang bahan tampalan penutup lubang sarang. Setelah lebih kurang 15 minit burung jantan beredar terbang sejurus itu, burung betina menghentikan usaha tersebut.
Aktiviti awalan memecahkan pintu lubang sarang memberi petanda anak burung sudah mulai membesar di dalam ruang lubang yang telah sempit. Burung betina turut mengeluarkan objek yang dipercayai biji-biji buah, ketulan najis, buluias burung dan pelepah sayap yang tercabut. Boleh jadi sedikit sebanyak dengan usaha itu ruang lubang tidak begitu sempit.
Pemerhatian Bertarikh 30 Julai 2024 Peristiwa Burung Betina Keluar Dari Lubang Sarang
Laporan ini dibuat setelah menonton rakaman video kenalan atas kenalan kepada Pemerhati Burung yang sudi berkongsi maklumat.
Semasa proses Pengurungan Kasih Sayang itu burung betina menjalani proses bertelor, pengeraman , penetasan telor, menjaga dan menyuap makanan kepada anaknya. Pada hari itu antara jam 8:30 pagi Burung betina telah melakukan persediaan untuk keluar daripada lubang sarang yang didiami sejak awal bulan Mei 2024. Usaha memecahkan tampalan pintu sarang telah selesai sehingga dapat meloloskan anggota badan melepasi ruang tersebut. Pada tarikh 30 Julai 2024 saiz anaknya telah mulai membesar dan menyempitkan ruang lubang sarang. Dalam pada itu naluri burung betina merasa yakin bahawa anaknya itu telah bersedia untuk ditinggalkan bersendirian . Sejak burung betina masuk ke dalam lubang sarang, pada setiap hari burung jantanlah berusaha keras mencari sejumlah makanan yang mencukupi untuk keperluan kehidupan tiga nyawa. Kini telah sampai masanya meringankan beban burung jantan yang cuma akan mencari makanan untuk anak burung sahaja. Dengan burung betina keluar dari lubang sarang, burung jantan dan betina akan bekerja sama membawa sejumlah makanan secara kerap secara silih berganti. Dengan hal sedemikian akan mempercepatkan proses pembesaran anak burung . Pada pagi itu dengan menggunakan paruh burung betina melakukan kerja-kerja akhir mengetuk dan mengompel bahan tampalan pada kiri kanan muka pintu lubang. Setelah muka lubang pintu telah terbuka, anggaran muat burung betina melolos keluar, ia memulakan dengan menjulurkan leher panjangnya keluar melepasi muka pintu sehingga bahagian paras tembolok. Kemudian menginsut-insut mengeluarkan hujung pelepah sayap sebelah kiri .
Setelah keseluruhan bahagian leher dan pelepah sayap kiri berada diluar lubang, burung betina dengan sedaya upaya menginsut-insutkan diri sedikit demi sedikit mengeluarkan pelepah sebelah kanan pula. Sejurus itu juga secara tiba-tiba burung jantan datang terus hinggap pada dahan bersebelahan lubang sarang. Setelah kedua sayap burung sudah berada di luar lubang ia melonjak dan terus terbang keluar meninggalkan anaknya. Burung betina terbang menghala menuju ke arah laluan burung Jantan datang sebentar tadi. Penerbangan yang lakukannya itu tidak menampakkan sebarang kekurangan, walaupun telah berbulan lamanya terpenjara dalam lubang.
Peringkat Ke 3~Ibu Burung Keluar Meninggalkan Anak Dari Lubang Sarang Pada 30 Julai 2024 Setelah 44 Hari Anak Burung Hidup Bersendirian
Dalam tempoh 44 hari anak burung ditinggalkan sendirian oleh ibunya saya cuma dapat membuat pemerhatian sebanyak 13 hari sahaja . 5 hari dalam bulan Ogos dan 8 hari dalam bulan Sept 2024. Hari-hari itu ialah pada 10 Ogos,19 Ogos, 20 Ogos, 28 Ogos, 29 Ogos, 2 Sept, 3 Sept, 4 Sept, 6 Sept, 9 Sept, 10 Sept, 11 Sept dan 12 Sept. Baki 31 hari lagi saya tidak membuat pemerhatian.
Bulan Ogos 2024 ~ 10, 19, 20, 28 dan 29 Ogos (5 Kali )
Pemerhatian Bertarikh 10 Ogos 2024
Burung betina meninggalkan anaknya pada 30 Julai 2024, bermakna anak burung telah hidup bersendirian selama 11 hari ketika pemerhatian ini dilakukan. Saiz dan bentuk anggota badan anak burung telah berupaya berdikari melakukan segala macam aktiviti kehidupan secara bersendirian tanpa memerlukan bantuan ibunya. Anak burung telah boleh menyambut segala jenis makanan yang dihulurkan dari luar sarang. Ia turut berkebolehan memancutkan najisnya dari dalam lubang sarang malah berupaya melakukan kerja-kerja membersihkan ruang dalam sarang. Kenyataan itu disokong setelah melihat bulu pelepah baharu yang gugur bertaburan, biji-biji buah dan najis-najis kering dibawah pokok. Pada ketika ini sebahagian kepala , paruh dan mata anak burung dapat dilihat dari celah muka pintu lubang.
Burung jantan dan betina kerap datang membawa diet makanan dari jenis serangga dan cicak. Pasangan burung turut akan berehat lama menunggu disekitar lubang sarang. Pernah pasangan burung datang serentak membawa makanan dari jenis berbeza. Hal keadaan seperti ini saya cadangkan burung jantan dan betina berkeliaran mencari bahan makanan di kawasan yang berbeza.
Pemerhatian Bertarikh 19 Ogos 2024
Pemerhatian Bertarikh 20 Ogos 2024
Pemerhatian Bertarikh 28 Ogos 2024
Pemerhatian Bertarikh 29 Ogos 2024.
2 Sept 2024
Pemerhatian Bertarikh 3 Sept 2024
Pemerhatian Bertarikh 4 Sept 2024
Pemerhatian Bertarikh 6 Sept 2024
Pemerhatian Bertarikh 9 Sept 2024
Awal Pagi 7:30 pasangan burung hadir di luar lubang sarang, dimana burung betina sedang mengeluarkan makanan dari rongga tempoloknya. Setelah ditadbirnya makanan sehingga berada dihujung paruh, kemudian dihulurkan makanan dipercayai buah biji sawit. Proses memberi makanan itu berlangsung lebih kurang 5 ke 10 minit dengan anggaran cuma 3 ke 4 biji sahaja. Burung jantan yang turut berada disitu tidak memberi makanan tetapi hanya berdiamkan diri. Ia cuma melihat tindakan burung betina menyuapkan buah kepada anak burung.

Tidak lama kemudian pasangan burung itu beredar meninggalkan lubang sarang. Semasa ketiadaan burung jantan dan betina disitu, kelihatan anak burung meniru perbuatan ibunya yang mengetip bahan tampalan lubang. Saya tidak pasti pada tarikh bilakah anak burung sudah mula melakukan ikhtiar mengopek tampalan muka lubang sarang. Pemerhatian pada 9 Sept 2024 telah memperlihatkan anak burung memulakan ikhtiar untuk keluar , selepas 39 hari ibunya meninggalkan lubang sarang. Walaupun hujung muncung paruh masih belum tajam dan kekuatan paruh anak burung masih rapuh ia berikhtiar menujah-nujah bahan tampalan.
Tanpa ada sebarang pengalaman dan serba kekurangan, itu tidak membantutkan ikhtiar anak burung untuk keluar dari sarang. Ketika proses berlangsung , dari celah lubang kelihatan keseluruhan bentuk paruh . Jendul cula pada pangkal paruh sudah mengeluarkan warna oren cair. Biji mata hitam yang dikelilingi dengan warna biru cair turut ternampak ketika anak burung membuat pemerhatian. Melalui rakaman yang diperhatikan dari jarak dekat, terdapat tanda awal selaput gelung dimatanya seperti mata ibunya. Selaput gelung matanya masih berwarna hitam itu, saya mengandaikan anak burung ini betina. Setelah lama anak burung termenung di dalam lubang, ia mengalihkan duburnya dimuka pintu lubang dan memancutkan najis keluar.
Ketika itu nampak sebahagian daripada pelepah ekor yang telah mempunyai sejalur belak hitam. Setiap kali sekitar 5 minit sebelum kehadiran ibubapanya ke lubang sarang, anak burung akan kelihatan aktif. Seperti ia telah mengetahui ibu atau bapanya akan tiba bersama makanan, walhal disaat itu tidak ternampak langsung kelibat ibubapanya dikawasan tersebut. Seolah-olah ia mempunyai deria perhubungan istimewa antara sesama mereka. Deria perhubungan yang tidak memerlukan melihat dengan pancaindera mata dan tidak kedengaran oleh pancaindera telinga. Perlakuan ini disedari setelah berulang-ulang kali membuat pemerhatian. Apabila kelakuan anak burung seperti ini, secara peribadi saya jadikan pedoman sebagai persediaan awal untuk membuat rakaman kehadiran induk burung Enggang. Setelah mengambil tempat terus membuat persediaan kamera, lebih kurang 3 minit kemudian salah satu daripada induknya pasti datang.
Ia datang dengan diet makanan dari jenis buah sawit. Kehadiran burung betina kali ini hanya menyuapkan 2 ke 3 biji Sawit/Ara sahaja. Lima minit kemudian ia pun beredar meninggalkan lubang sarangnya. Hari ini Burung jantan langsung tidak datang ke situ sejak jam 7:30 pagi. Perilaku seperti itu jarang sangat berlaku, dimana induk burung sebelum ini, lazimnya akan tiba antara jam 10:30 kemudian 1:30 atau 2:30 petang.
Pemerhatian Bertarikh 10 Sept 2024
Pada pagi itu kawasan sekitar sarang cuacanya berkabus agak tebal, jarak penglihatan lebih kurang 10 atau 20 meter sahaja. Waktu itu burung betina sudah tercegat bertenggek pada dahan yang bersebelahan dengan lubang sarang. Saya tidak pasti samada setiap hari ia tidur diatas pokok yang sama ditempat lubang sarang. Burung Jantan mengulangi perlakuannya seperti semalam untuk tidak berada dikawasan tempat anaknya . Untuk maklumat masa akan datang tingkah laku seperti itu harus dijawab dengan membuat pemerhatian waktu sebelah petang dan senja.
Dalam kabur kabus sejuk anak burung giat menyambung usaha memecahkan dinding pintu lubang. Dengan menggunakan paruh tumpul, ditujah - tujah keatas dan ke bawah untuk memecahkan tampalan keras. Sedikit demi sedikit ruang muka pintu bahagian bawah telah menampakkan ruang yang besar jika dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya. Selepas itu tidak kelihatan paruhnya sedang bekerja, mungkin anak burung kepenatan dan berehat tidur. Keadaan senyap, diam dan tidak ada sebarang aktiviti berlangsung agak lama.
Keadaan cuaca bertambah mendung dan diikuti dengan hujan lebat. Hujan lebat berlangsung menghampiri satu jam lamanya. Setelah hujan reda, kabus mulai beransur-ansur hilang, anak burung menyambung kembali kerja-kerja memecahkan bahan tampalan. Air hujan yang membasahi bahan tampalan dibahagian muka pintu sedikit sebanyak merapuhkan bahan tampalan. Keadaan itu membantu mempercepatkan proses pemecahan bahagian tampalan sebelah atas.
Jikalau keadaan begitu berlangsung lebih giat, peluang anak burung bakal keluar dari lubang sehari dua lagi agak besar. Penantian pemerhatian sudah memasuki waktu tengahhari, peluang untuk melihat anak burung keluar adalah tipis pada hari ini. Berdasarkan pengalaman memerhatikan anak burung keluar dari sarang, kebiasaan adalah disebelah waktu pagi. Jarang sekali anak burung keluar waktu tengahari atau pun disebelah petang.
Pemerhatian Bertarikh 11 Sept 2024
Hari ini pemerhati burung telah ramai berkumpul dihadapan sarang, untuk menyaksikan anak burung akan keluar dari lubang sarang. Seperti biasa pada awal pagi burung betina datang bersendirian membawa makanan. Pada suapan yang kedua burung betina menghulurkan makanan dari jenis buah hutan masak berwarna merah yang dikepit erat pada hujung paruh . Ketika anaknya ingin mengetip menyambut buah untuk dimakan , ibunya tidak melepaskan makanan kepada anaknya. Berlaku siri tarik menarik dan acah mengacah makanan pada hujung paruh antara anak dan ibunya. Perbuatan ibunya itu memang disengajakan atas sebab yang penting kepada anaknya.
Perbuatan burung betina menyamai cara penjual Ais Krim Turki ketika memberikan Ais Krim kepada pelanggannya. Adegan tarik menarik dan acah mengacah selesai tanpa ada sebarang keputusan. Sejurus itu burung betina melompat ke dahan berdekatan, dengan buah yang masih berada di hujung paruhnya. Setelah itu buah dimasukan kembali ke dalam tembolok lalu terbang meninggalkan sarang. Adegan yang dipersembahkan pada pagi ini, adalah satu pekara baharu pada saya. Mengapa dan apa tujuan ibunya melakukan perkara tersebut terhadap anaknya itu tidak dapat dipastikan. Perbuatan ibunya terlihat seperti " Sampai Hati mempermain-mainkan dan memperolok-olokkan anaknya terngaga-ngaga dengan penuh pengharapan hendak mengambil makanan, ketika lapar kebuluran. Setelah berulang-ulang kali melihat perincian rakaman dan berfikir akhirnya saya mendapat keputusan jawapan. Jawapan cadangan ini, saya namakan UPACARA MENARIK ANAK KELUAR DARI SARANG.
Perihal kelakuan ini cukup unik yang pernah saya lihat dalam sejarah pemerhatian burung terbang keluar dari sarang. Nikmat diberi peluang melihat secara langsung detik-detik anak burung, terbang keluar dari sarang. Pengalaman menyaksikan anak burung buat pertama kali terbang adalah pengalaman yang cukup mahal. Untuk makluman burung bersarang dengan pelbagai cara serta jenis rupa bentuk dan susunan letak tempat sarangnya.Jika hendak dinyatakan akan menjadi panjang lebar.
Diringkaskan cerita daripada apa yang saya ketahui tidak ada reka bentuk sarang yang muka pintunya sengaja dibuat dengan tampalan sempit hampir tertutup, melainkan spesis Burung Enggang. Rekabentuk sarang burung yang lain akan ada pintu keluar masuknya. Samada tergantung pada dahan, terlekat pada dinding batu, dijahit cantum antara helaian daun, terletak diatas dahan pokok seperti cawan , lubang yang digali pada dinding tanah, dan mengorek lubang dalam pokok dan tanah. Kesemua reka rupabentuk yang dinyatakan itu hanya berkehendakan anak burung melonjak terbang keluar tanpa memerlukan 'anak burung bersusah payah. Keadaan ini berbeza dengan anak spesis burung Enggang yang harus bekerja melepaskan diri dari pintu yang sempit. Sebab itu anak burung enggang perlu diberi pedoman dan bantuan daripada ibunya.
Maka pada pagi itu anaknya cuma diberi sebiji buah hutan sahaja. Keterdengaran suara anak burung sudah berubah dari suara yang halus telah bertukar bunyi suara yang garau. Menyambung kembali usaha yang sama seperti semalam yang dilakukan oleh anak burung. Mengetip-getip dan memecahkan bahan tampalan pada kiri kanan lubang muka pintu sarang. Hasil usahanya itu , kelihatan anak burung telah mengeluarkan sebahagian lengan pelepah sayap keluar dari lubang sarang dan memasukkannya kembali. Barangkali sebagai raptai persiapan dan latihan untuk keluar dari lubang sarang apabila tiba waktunya nanti. 5 jam kemudian burung betina datang dengan membawa diet makanan dari jenis serangga, iaitu Kumbang, Lipan dan Semut besar. Setelah memberi kesemua diet makanan kepada anaknya, burung betina beredar. Burung jantan sudah tidak datang membawa makanan kepada anaknya, tetapi ia mengawasinya dari jauh sahaja.
Mengikut hukum adat dan harus, memadai sajalah cuma burung betina sahaja yang membawa makanan. Andaikata burung jantan juga datang membawa diet makanan kepada anaknya tentu siaz anggota badan anaknya bertambah besar, walhal lubang sarang kecil dan pintu lubang itu sempit. Tidakkah nanti akan menyusahkan anak burung keluar dan memberi bahaya terperangkap dalam lubang. Burung betina memang berpengalaman masuk dan keluar daripada lubang sarang, ia mengetahui hal keadaan bentuk didalam lubang. Maka ia tahu kaedah bagaimana cara untuk keluar daripada lubang sarang, sebab itu burung jantan hanya sekadar mengawas sahaja.
Anak Burung Terbang Keluar Dari Lubang Sarang
Pemerhatian Bertarikh 12 Sept 2024

Awal pagi antara jam 7:30 pagi burung Betina tiba lalu hinggap pada dahan bahagian kiri bersebelahan dengan lubang sarang. Sejurus kemudian burung jantan datang hinggap pada dahan pokok sebelah kanan bersebelahan dengan lubang sarang. Disitu pasangan itu menunggu , memerhati sambil memperkemaskan buluhiasnya untuk satu jangkamasa lebih kurang 1 jam. Kedudukan yang hampir di lubang sarang memudahkan membuat pemantauan atas setiap gerak geri perlakuan dan tindakan yang dilakukan oleh anaknya. Pada hari ini anak burung sudah mulai berani mengeluarkan sebahagian paruhnya dari muka lubang. Sesekali terdengar suara anak burung yang mulai garau dari sebelumnya. Hujung paruh yang ternganga terkeluar dari lubang kadang-kadang menghala ke kiri, kanan malah ada juga didonggakkan ke atas.
Kelihatan dengan jelas warna paruh anak burung sudah mempunyai 2 warna iatu warna gading dan warna oren cair. Tidak lama kemudian anak burung mula menjengokkan kepalanya keluar sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Warna iris mata telah berwarna biru cair , barangkali penglihatannya sudah jelas dan mengenal warna. Sejurus itu Anak burung melakukan aktiviti mematuk, mengompil dan merejam bahan binaan untuk meluaskan ruang lubang pintu sarang. Hal keadaan ini menandakan bahawa anak burung sedang berusaha untuk keluar. Perlakuan yang sama itu pernah dilihat olehnya ketika ibunya keluar daripada lubang sarang pada 30 Julai 2024, 44 hari yang lalu. Ketika sedang memecahkan bahan tampalan, anak burung meletakan duburnya pada muka pintu dan memancutkan najis warna keputihan. Perlakuan ini dilakukan tidak kurang daripada 2 kali sepanjang ia melakukan kerja-kerja pembesaran pintu lubang.
Boleh jadi untuk mengecilkan tembolok dan perut dalam usahanya mengensutkan anggota badan ketika keluar dari ruang yang sempit nanti. Burung betina kelihatan teruja melihat apa yang sedang berlaku, ia melompat pada dahan berdekatan sambil menjenggok dihadapan lubang pintu. Ada besar kemungkinan burung betina memberi nasihat dan arahan tanpa suara kepada anaknya. Arahan yang hanya didengari oleh panca indera mereka. Usaha keras yang dilakukan dengan berbagai cara tujahan paruh dari bawah ke atas. Rejaman dari atas ke bawah, mengompel dengan meletakkan paruh pada bahan binaan tampalan langsung menggerakkan paruh arah kiri dan kanan. Dengan harapan untuk meretakkan bahan sebelum mengetip untuk dibuang keluar.
Hal keadaan melakukan pekerjaan didalam ruang yang sempit, terhad pada suhu dalam lubang mengakibatkan ia kepenatan. Pekerjaan yang melibatkan kekuatan pada anggota leher, pangkal mulut dan kepala . Hentakkan dan rejaman secara bertalu-talu untuk jangkamasa yang berterusan memang berkehendakkan rehat.Pada ketika itu jelas kelihatan anak burung kepenatan sehingga ia mengeluarkan sebahagian kepala sambil paruhnya ternganga luas . Dengan keadaan kepala terjulur keluar ia berehat sambil mengambil angin untuk menghilangkan penat.
Kini giliran Burung jantan pula datang ke muka pintu melihat hal keadaan anaknya yang sedang rehat keletihan. Burung jantan menjengok ke muka pintu lubang dan memasukan hujung paruh lalu bersentuhan hujung paruh antara burung jantan dan anaknya. Entah apa tanda atau nasihat dan arahan yang telah disampaikan kepada anaknya tidak dapat dipastikan. Kemudian berlaku perlagaan paruh antara mereka anak beranak, sejurus itu burung jantan pun beredar dari situ naik keatas dahan bersebelahan sarang. Anak burung kelihatan bertenaga selepas berehat lalu mengeluarkan kepala sehingga kelihatan separuh lehernya. Ia melihat kawasan sekitar dengan membuat tolehan ke kiri, ke kanan dan ke bawah pokok. Barang kali anak burung sedang membuat penilaian akan hala tuju yang akan ia pergi, apabila berupaya terbang keluar dari lubang sarang nanti.
Upacara Kasih Sayang menarik keluar anak dari lubang.
Selang beberapa minit kemudian kelihatan burung betina mengeluarkan sebiji buah berwarna merah menyala dari dalam temboloknya dan dikepit pada hujung paruh, lalu turun ke dahan tempat ia selalu memberi makan kepada anaknya. Buah yang dikepit dihujung paruh itu diajukan ke arah hujung parung anaknya dalam gaya seperti kebiasaan memberi makan. Sertamerta secara gelojoh dan beria-ia paruh anak burung menyambut buah merah daripada hujung paruh burung betina. Namun dengan kemahiran pengalaman dan kecekapan burung betina di alih naik ke atas buah merah tersebut. Maka Paruh anak burung sekadar mengetip angin terngaga-nganga sahaja bukannya buah. Hal keadaan itu lebih kurang sama dengan perlakuan Penjual Ais Krim Turki dengan pelanggannya. Muslihat yang dilakukan oleh ibu burung sebegitu bertujuan meransang anak burung menerpa atau maju ke atas secara bersungguh-sungguh untuk melepasi halangan ruang muka pintu lubang sarang yang sempit.
Melepaskan anggota badan secara mengensut-engsut sedikit demi sedikit. Anak burung yang berada di dalam lubang tidak dapat mengetahui hal keadaan bahagian anggota tubuhnya yang melekat tersepit tetapi ibunya yang berada diluar nampak dengan jelas akan arah mana untuk melepasi ruang sempit itu. Ada seketika ibu burung menimbang-nimbang buah di hujung paruh tanpa buah jatuh ke tanah. Tindak balas pantas menangkap buah menggunakan hujung paruh yang tersasar dari mulut anak burung. Maka pengalaman menyusun atur arah pergerakan buah di hujung paruh itu dapat membantu anak burung melepasi ruang sempit itu . Bila mana kedudukan anggota badan berada pada paras tertentu burung betina menggunakan kaedah menarik anaknya menggunakan buah sebagai pengantara. Burung betina mengetahui atas kesan bantuan dari luar lubang yang diberikan olehnya, bilamana ke semua jari kaki anaknya sedang terjingkit-jingkit di dalam lubang.
Kesan terlepas dari ruang yang sempit walau seinci dua, tentu memberi nilai tambah untuk anaknya terus berusaha mengensut keluar. Ibu burung meletakkan buah di bahagian tengah paruh anaknya, dengan sertamerta dikepit buah tersebut. Dalam waktu yang sama burung betina turut mengepit erat buah tersebut. Ketika sama-sama mengepit buah, burung betina menggunakan tenaga, kekuatan leher dan kedudukannya yang berada diluar sarang, menarik anaknya ke atas. Kesan kepitan kuat daripada hujung paruh mengakibatkan buah terkerat pecah. Kaedah begini barang kali berkesan tetapi mengambil risiko bakal kerugian adalah tinggi, dimana telah mensia-siakan 3 biji buah. Sebiji buah jatuh ke dalam lubang sarang dan 2 biji buah terpelanting jatuh dibawah pokok. Sungguh pun dari mata kasar tidak nampak keberkesanannya namun tentu seinci dua dari anggota badan yang tersepit telah melepasi lubang sarang Melalui perincian pemerhatian mendapati adegan begitu membabitkan 4 biji buah. Sebiji terjatuh ke dalam lubang sarang, 2 biji jatuh ke bawah pokok dan sebiji berjaya ditangkap makan oleh anak burung.
Usaha telah berlangsung sejak jam 7:30 pagi sehingga jam 10:20 pagi Anak burung masih tetap berada di dalam lubang sarang. Kelihatan burung jantan mungkin telah hilang kesabaran lalu beredar disitu . Barangkali di dalam kantong temboloknya telah kehabisan buah untuk dijadikan umpan muslihat. Ia terbang ke sebatang tunggul pokok mati dan hinggap di atas pongka pokok .Disitu ia tunduk seperti mencari sesuatu, selepas beberapa minit kemudian burung betina beredar terbang. Kemudian burung jantan datang buat kali ke 2 bertenggek berhampiran lubang sarang untuk melihat tindakan anak burung seterusnya.
Dijengok berdekatan dengan lubang sarang, barangkali burung jantan menyampaikan arahan tanpa suara kepada anaknya. Berlaku perlagaan paruh antara mereka, sejurus itu burung jantan melompat pada dahan pada kedudukan membelakangkan anaknya. Tindakan itu membuatkan anak burung berpaling ke arah burung jantan dengan keadaan keseluruhan leher terkeluar dari lubang. Tidak lama kemudian burung jantan terbang dan hinggap pada dahan bahagian atas lubang sarang. Tidak lama kemudian burung jantan beredar dari situ. Sejurus itu kelihatan anak burung mula berhempas pulas untuk mengeluarkan dirinya daripada lubang yang sempit tanpa mendapat bantuan daripada ibubapanya.
Bahagian anggota badan yang paling susah untuk dilepasinya ialah dibahagian bahu lengan pelepah sayap burung. Melihatkan perincian pemerhatian, anak burung hanya boleh keluar sekiranya ia dapat melepasi halangan bahagian itu. Apa yang menakjubkan, perlakuan melepasi lubang sempit ini tidak pernah dilakukan seperti mana ibunya. Anak burung cuma ada pengalaman melihat sekali sahaja atas perbuatan ibunya keluar lubang 44 hari yang lepas. Melihatkan keadaan anggota tubuh badan anak burung yang mengeluarkan sepenuhnya bahagian leher sehingga terkeluar 10 % bahu lengan sayap kanan. Dengan menjingkitkan kaki sambil kepala mendonggak keatas ia cuba melepaskan bahu lengan sayap sebelah kanan. Ikhtiar dilakukan secara berulang-ulang kali sehingga tercunggap-cunggap ternganga luas paruhnya keatas , namun tidak berupaya melepasinya.
Ada ketika anak burung menggunakan paruh mengepit tumbuhan menjalar pada batang pokok bersebelahan lubang sarang sebagai bahan sangkutan untuk menarik anggota badan keluar. Ikhtiarnya tidak mendatangkan bekas kerana tumbuhan yang ditarik itu terputus dan melayang ke bawah. Digandakan lagi usaha beriktiar dengan paruh ia cuba menngepit akar yang menjalar , diulangi usaha tersebut berulang kali namun masih tidak juga berjaya. Maka ia duduk termenung sambil berehat dalam keadaan leher , kepala terjulur dan mata terbeliak memerhati bahagian luar. Lebih kurang 10 minit ke 15 minit berehat anak burung menyambung kembali usahanya untuk keluar dari lubang.
Pada usaha kali ini kelihatan sebahagian anggota bahu pelepah sayap telah berada diluar. Tetapi anggota badan bahagian dadanya masih berada di dalam lubang sarang. Dengan hal yang demikian anak burung terus menginsut-insut sedikit demi sedikit untuk melepaskan pada bahagian itu pula. Apa -apa yang dipandang berdekatan dengannya yang berkemungkinan dapat membantu dirinya akan diusahakan. Anak burung tidak putus ikhtiar lalu mencapai akar tumbuhan yang menjalar lalu menariknya. Kesan gandaan usaha menginsut dan menggesik badan dari pintu sempit itu mengakibatkan bahan-bahan tampalan mulai terlerai.
Ketika sebahagian bahu pelepah kanan sudah mulai keluar tetapi susunan batang pelepah sayap masih tersepit pada dinding pintu. Anak burung mengempiskan bahagian dada kemudian perut sambil paruhnya menarik tumbuhan. Kemudian ia menarik bahu pelepah sayap yang tersepit dengan paruhnya sekuat yang boleh. Ditariknya satu demi satu batang pelepah sayap yang licin melepasi pintu dinding sendat itu sampai sebahagian sudah berada diluar . Setelah usaha itu selesai , kemudian anak burung memasukkan kembali bahagian anggota badan yang dikeluarkan tadi lalu berehat. Tidak pasti mengapa tindakan sebegitu dilakukan olehnya, setelah bersusah payah melepasi halangan, kemudian memasukkan kembali kedalam lubang sarang. Jam menunjukkan pukul 11:15 pagi, kedua ibubapanya masih belum pulang dari mencari makanan muslihat.
Barang kali dia menunggu kedatangan ibubapanya untuk dia mengikutnya nanti. Sambil menunggu dan berehat anak burung menoleh ke arah kanan, kiri, hadapan, atas dan juga bawah. Boleh jadi ia mencari cadangan arah hala tuju dan kesesuaian dahan ranting yang paling hampir untuk ia hinggap dan bertenggek nanti. Atau ia ingin menyesuaikan dan menstabilkan keadaan atau kadar pantulan cahaya pancaindera matanya. Yang mana sebelum ini hidupnya hanya di dalam lubang gelap, sebentar lagi ia bakal hidup di dunia yang terang benderang.
Menurut Saudara Sanjitpaal Singh seorang pengkaji Burung Enggang tempatan yang saya temui, beliau menyatakan anak burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous akan memilih dahan yang paling hampir dengan lubang sarang untuk dia melonjak dan hinggap apabila keluar dari sarang. Dengan alasan anak burung Enggang tidak pernah berpeluang berlatih mengepak-gepakkan sayap atau melompat-lompat terbang, sepertimana peluang yang ada pada anak burung spesis Helang berlatih.
Kemudian saya kaitkan dengan pengalaman anak burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous, yang mana sepanjang hidupnya hanya berada terkurung di dalam lubang sarang yang sempit dan gelap. Maka cadangan Saudara Sanjitpaal Singh itu berasas. Kenyataannya itu pula disokong oleh satu rakaman video yang dikeluarkan oleh Malayan Rainforest Station berkenaan kejayaan anak burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous keluar dari lubang sarang. Rakaman pada 4 Sept 2019 di Taman Negara Sungai Relau Merapoh Pahang itu selaras dengan hujah cadangan Saudara Sanjitpaal Singh. Rakaman itu menunjukan anak burung yang ditemani oleh Ibubapanya melonjak dari pintu lubang untuk terbang keluar, sejurus itu anak burung terus jatuh diatas semak tumbuhan lantai tanah hutan. Menurut maklumat daripada Malayan Rainforest Station itu, anak burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous mengambil masa selama 7 jam untuk ia mendapatkan keyakinan diri untuk terbang mengikut ibubapanya.
Ibubapa burung masih tidak pulang ke sarang menjangkau hampir 1 jam, di saat itu anak burung telah mula aktif semula terjengok-jengok dari lubang sarang. Pada ketika itu pemerhati dan jurufoto burung dianggarkan 10 orang senyap sepi menunggu langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh anak burung. Selepas menjengok anak burung menarik-narik tumbuhan menjalar disitu, kemudian mengeluarkan sepenuh anggota leher, mendonggak sambil mengensut-ensutkan bahagian bahu dan lengan pelepah sebelah kanan. Kaki yang berpijak dijingkitkan dan menolak keluar bahagian yang tersepit, sedikit demi sedikit seluruh bahagian pelepah kanan telah berada di luar lubang sarang. Di angkatnya kaki kanan naik memijak mencengkam muka pintu lubang sarang manakala kaki kiri dijingkitkan keatas. Sertamerta itu kaki kiri pula memijak muka pintu lubang sarang. Pada kedudukan sebegitu kedua belah kaki sudah bertenggek, maka dengan sertamerta anak burung melonjak menerpa ke arah hadapan. Saat itu juga pelepah sebelah kiri dan bahagian pelepah ekor mudah terlolos keluar dari muka pintu lubang sarang.
Entah dari mana datang keyakinan membabi buta pada diri anak burung yang begitu berani melonjak dari tempat tinggi. Melakukan perbuatan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini pada usia yang terlalu muda, untuk terbang melayang buat kali pertama tanpa perlu berlatih. Sejurus keluar melonjak terbang anak burung memercikkan najisnya lalu terbang mengepak-gepakkan sayapnya melintas jalanraya menuju terus ke lereng seberang tepi jalan. Jarak penerbangan pertamanya di anggarkan 40 meter pada ketinggian 9 meter melintasi deretan kenderaan pemburung. Penerbangan julung kali itu mendarat terus secara terperosok masuk ke dalam rimbunan tumbuhan renek. Dalam keadaan tercunggap-cunggap ia berehat dalam keadaan ke dua belah kepaknya masih terbuka dan kaki anak burung menggenggam batang rumput Gajah liar yang tumbuh disitu ,
Semua kekhuatiran pemburung yang risau anak burung akan melanggar atau dilanggar oleh kenderaan yang lalu lalang disitu tidak berlaku. Saya menjangkakan bahawa anak burung akan jatuh ke tanah sepertimana yang berlaku di Merapoh pada tahun 2019 dulu, semuanya tidak berlaku. Pada hujah pemikiran saya yang menggunakan hukum aturan adat, wajib, harus dan mustahil, merasa teruja dan takjub dengan peristiwa yang disaksikan depan mata. Begitulah kehendak dan tadbir Maha Pencipta kepada segala macam isi sekelian alam, yang telah disusun mengikut kehendaknya.
Lama anak burung berehat di dalam rimbunan tumbuhan sambil mendonggak terpingga-pingga ke atas memandang sekeliling. Barangkali mencari dan menunggu ibubapanya datang mendapatkannya. Kemudian anak burung memberanikan diri bergerak naik dari sebatang ranting ke ranting yang lain ke bahagian pokok yang tinggi di kawasan itu. Tidak lama kemudian kelihatan burung jantan datang hinggap diatas pokok yang tinggi disekitar anak burung mendarat. Dari atas dahan, burung jantan merenung lama menjejak kelibat anaknya. Kemudian burung jantan terbang turun ke pokok yang lebih rendah dari sebelumnya. Renungan mata untuk mengesan dan mencari-cari akan kelibat anaknya yang berada di bawah rimbunan tumbuhan renek. Dengan ketajaman deria penglihatannya, ia tidak mengambil masa begitu lama untuk mengesan kedudukan anaknya di dalam rimbunan tumbuhan. Deria penglihatan burung Enggang Badak~Buceros rhinocerous memang cukup tajam dan cekap mengesan apa yang hendak di carinya.
Lagikan Ular, Ulat Gonggok, Kala, Cicak yang saiz lebih kecil dapat dikesan inikan pula anaknya. Setelah burung jantan berjaya mengesan anaknya, ia terbang turun menuju ke atas pokok yang sangat rendah, yang mana di bawah pokok tersebut anak burung sedang diam berehat. Pada ketika itu, burung jantan tidak menghiraukan lagi hal keadaan sekeliling yang mana kehadiran manusia begitu ramai sedang memerhatikannya. Kehadiran burung jantan yang berada sangat rendah sedang bertenggek pada ranting yang melendut-lendut bergoyang. Dalam hal yang demikian, tentu sekali disedari oleh anak burung telah mengetahui kehadiran bapanya. Tidak berapa lama kemudian Burung jantan meninggalkan tempat itu, lalu terbang pergi ke lubang sarang.
Disitu Burung jantan memasukkan kepalanya ke dalam lubang sarang seperti mencari atau melihat sesuatu dalam lubang sarang. Beberapa kali burung jantan menjengok tengok ke dalam lubang sarang. Tidak pasti mengapa tindakan begitu dilakukan olehnya. Apakah di dalam lubang ada 2 ekor anak burung atau burung jantan ingin memastikan tanpa ada syak atau ragu ragu bahawa yang dilihatnya dibawah rimbunan tumbuhan tadi itu adalah anaknya. Perkara ini terpaksa dilakukan kerana ketika anak burung keluar ketika burung jantan dan betina tidak berada disitu. Maka perkara yang dilakukan oleh burung jantan itu tadi adalah untuk memastikan tidak akan timbul syak zhan dan waham di dalam lubang sudah tidak didiami oleh anaknya. Maka sah lah bahawa anak burung yang berada dibawah rimbunan tumbuhan itu sememangnya adalah bakanya sendiri.

Setelah burung jantan selesai melihat lubang yang telah tidak berpenghuni ia bertenggek di atas dahan pokok bersebelahan dengan lubang sarang. Burung jantan berehat sambil menyisir buluhias seperti menunggu anaknya datang ke situ. Pada waktu yang sama setelah hilang kepenatan naluri anak burung mula bergerak melompat dari satu dahan ke satu dahan untuk berada di tempat yang tinggi. Setelah sudah berada ditempat yang tinggi ia berehat buat seketika, sambil memerhatikan arah kedudukkan bapanya Anak burung mudah melihat bapanya kerana bapanya menempatkan kedudukan ditempat yang tinggi mudah untuk dilihat oleh anaknya.
Setelah ia nampak kedudukan bapanya sedang menunggu di sarang ia pun membuat penerbangan yang kedua menuju ke arah bapanya. Penerbangan yang kedua lebih sempurna dan berupaya hinggap dengan tepat pada ranting dahan yang berhampiran dengan bapanya. Disitu anak burung bertenggek berehat lama, sambil membersih dan menyisir keseluruhan buluhiasnya. Perbuatan itu berulang-ulang kali dilakukan menyisir , membuat renggangan otot sayap dan mengeliat. Kehadiran burung betina disedari oleh burang jantan telah mengetahui sedang menunggu disekitar kawasan sarang. Lantas burung jantan terbang mendapatkan burung betina yang sedang bertenggek pada pokok yang tinggi. Setibanya disitu pasangan itu bersilih ganti mengeluarkan laungan Haarrk dan Hooorgk. Pasangan itu melompat dari satu dahan ke satu dahan yang lebih tinggi seperti merayakan kejayaan membesarkan anak sehingga keluar daripada lubang sarang.

Istiadat sebegitu berlangsung lebih kurang antara 5 ke 10 minit, dimana pasangan itu terbang dari satu pokok ke pokok yang lain disekitar sarang mereka secara berpasangan sambil mengeluarkan suara Haaark dan Hoorgh laungan sepenuh suara. Selepas selesai upacara itu kelihatan burung betina datang ke lubang sarang menjenguk ke dalam lubang sarang. Ia melakukan perbuatan yang sama sepertimana burung jantan lakukan sebelum itu. Apa yang menjadi tanda tanya burung betina datang menjengok ke dalam lubang sarang pada hujung paruhnya ada sebiji buah merah. Mengikut catitan Burung betina melakukan perbuatan menjengok memasukkan kepala ke dalam lubang sarang sebanyak 9 kali. Perbuatan ini menimbulkan tanda tanya, pertama apakah di dalam sarang ada 2 ekor anak burung. Kedua apakah memang tabiat burung ingin mendapat kepastian adalah dengan melihat sendiri dengan mata kepala bukan dengan makluman daripada burung jantan.
Selepas itu burung betina melompat terbang ke arah anak burung yang berada tidak jauh dari situ dibawah pengawasan Burung Jantan. Burung betina mengeluarkan 2 biji buah dari dalam pemboloknya kemudian disuapkannya buah kepada anak burung. Burung betina mengeluarkan buah satu persatu kemudian bersilih ganti anak burung disuapkannya. Burung jantan yang berada berdekatan disitu hanya memerhatikan sahaja. Selepas itu burung betina terbang meninggalkan anak dan pasangannya. Tidak lama kemudian burung jantan pula meninggalkan anaknya menuju ke lubang sarang. Disitu ia menjengok lagi ke dalam lubang sarang mengulangi perbuatannya sebelum itu. Setelah itu burung jantan datang kembali pada dahan anaknya sedang berehat. Disitu anak beranak berehat untuk satu jangka masa yang panjang. Tempoh rehat itu dihabiskan dengan kegiatan ialah membersihkan buluhias masing-masing, mengeliat merenggangkan anggota sayap mereka. Pemerhatian ditamatkan pada ketika burung jantan menemai dan mengawasi anaknya diatas dahan pokok yang berhampiran dengan lubang sarangnya.


Peringkat Ke 4~Anak Burung Tidak Berupaya Mencari Makanannya Sendiri.
Pemerhatian Bertarikh 12 Sept 2024 & 13 Sept 2024
Kehidupan Hari Pertama Anak Burung Di Luar Sarang
Pemerhatian Bertarikh 13 Sept 2024

Pemerhatian telah dilakukan pada jam 9:00 pagi sehari selepas anak burung keluar daripada lubang sarang, mendapati anak burung telah ditemani oleh kedua ibubapanya. Pasangan itu sedang bertenggek pada dahan pokok yang tinggi tidak jauh daripada pokok tempat mereka bersarang. Jarak dianggarkan lebih kurang 100 meter antara pokok tersebut. Burung betina bertenggek diatas dahan yang sama pada jarak 1 meter dengan anaknya, manakala burung jantan berada diatas dahan yang lebih tinggi diatas pokok yang sama. Hal keadaan anak burung baharu keluar daripada lubang sarang maka sudah tentu ia tidak berupaya melakukan penerbangan dengan cekap. Ia menghabiskan masa dengan bertenggek pada satu satu tempat lebih kurang antara 45 minit ke 1 jam.
Disitu ia melakukan aktiviti seperti membersih buluhias, menyisir pelepah dengan paruh, memetik daun, menggetip ranting kecil dan mengeliat membuat renggangan otot dengan mendepangkan sayapnya. Sambil melakukan aktiviti itu ibubapanya meninggalkannya untuk mencari bekalan makanan. Ibubapanya tidak meninggalkan secara bersendirian untuk waktu yang lama. Pemerhatian secara teliti mendapati selain menyuapkan makanan kepada anaknya ibu burung turut mendorong anaknya bergerak dari satu tempat kesatu tempat, samada pergerakan melompat atau terbang jarak dekat. Kaedah yang sama digunakan ketika menarik keluar anaknya dari lubang dengan cara Upacara Dorongan Muslihat Makanan. Anaknya itu akan berusaha bergerak mengikut ibunya dari sebatang dahan ke sebatang dahan yang lain setelah ibunya menunjuk dan menghulur buah. Makanan dihujung paruh akan dialih kearah lain, apabila anaknya ingin mengambil dengan paruh.
Rumusan
Setelah melalui pengalaman pemerhatian proses pembiakan Spesis Burung Enggang sehingga selesai yang berakhir dengan kejayaan. Ketentuan anak burung telah keluar dari lubang sarang mengikut kedua ibubapanya. Dalam ertikata lain proses pembiakkan tahun 2024 di Genting Peras Ulu Langat Selangor telah berhasil dengan jayanya. Lantaran kejayaan itu, mereka bebas terbang berkeliaran masuk jauh ke dalam hutan yang luas mencari kesejahteraan dan melestarikan kehidupan. Dengan harapan mengulangi proses membiak dimusim hadapan demi menambah bilangan spesisnya itu. Segala macam kebimbangan yang wujud didalam fikiran terhadap berbagai macam ancaman, yang ditimbulkan pada awal proses pembiakan, seolah-olah sia-sia belaka. Rupa-rupanya Yang Maha Kuasa yang bersifatkan penuh dengan sifat maha pengasih dan maha penyayang kepada sekelian makhluknya, telah pun mencatur dengan sebaik-baik susunan kesejahteraan.
Hasil pemerhatian itu saya merumuskan bahawa saya telah diberi perincian ilmu pengetahuan berkenaan perilaku dan sifat hidup burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous . Pada hemat saya , ada baiknya ilmu pengetahuan dan maklumat yang disaksikan itu dipanjangkan dalam bentuk tulisan yang saya mudah fahami. Dengan harapan dengan menggunakan bahasa kebangsaan segala maklumat dapat disebarkan secara menyeluruh. Saya berpendapat tidak banyak maklumat dalam bahasa kebangsaan yang dilaporkan berkenaan pemerhatian burung kepada khalayak peminat burung.
Rumusan yang saya ingin kongsikan adalah seperti berikut:-
1.Burung Enggang menzahirkan rasa tanggungjawab dengan kelakuan dan perbuatan secara bersungguh-sungguh pada setiap masa merupakan kunci kejayaan. Sebagai contoh , salah satu tujuan sifat perilaku spesis Burung Enggang betina sanggup memenjarakan diri ke dalam lubang sarang adalah untuk menjaga keselamatan telur dan anak daripada segala macam ancaman. Ketika itu pasangan burung Enggang satu hati mengalas tanggung jawab masing-masing dengan harapan kejayaan.Andaikata telurnya ditinggalkan boleh jadi spesis burung Khukhu akan menggantikan telurnya dengan telur bukan daripada darah dagingnya. Perkara ini kerap berlaku pada burung-burung lain, atau dimusnahkan oleh Biawak , Ular, Beruk dan Monyet. Tanggung jawab yang digalas oleh burung betina selama berbulan-bulan terlalu penting. Dalam waktu yang sama burung jantan memikul beban yang menjadi kunci kepada kelestarian kehidupan mereka. Dalam tempoh itu pada setiap hari burung jantan berusaha mencari makanan yang mencukupi kepada dirinya , pasangan dan anaknya.

2.Menyampaikan ilmu pengetahuan yang benar menggunakan kaedah menunjuk contoh dengan melakonkan perbuatan adalah lebih berkesan. Hujah itu dikaitkan ketika Burung Betina menyalurkan pelajaran dan gaya hidup kepada anaknya melalui contoh perbuatan. Contoh yang dapat diperhatikan ialah cara membuang najis dengan menghalakan anggota dubur kearah muka pintu lubang sarang kemudian memancutkan najis keluar. Tatacara Burung betina memecah dan membuang bahan tampalan pada lubang sarang ketika sampai waktunya keluar dari sarang. Cara dan kaedah berkesan keluar daripada lubang sarang. Tiga mata pelajaran yang dinyatakan diatas itu adalah hasil yang ditiru oleh anak burung atas perbuatan Ibu burung.
3.Kekurangan yang ada pada anak burung tidak mematikan semangat untuk ia keluar dari lubang sarang. Tidak ada spesis anak burung , selain anak burung Enggang atau dari keluarga Enggang yang berkehendakkannya menjalani satu usaha bersusah payah untuk keluar dari sarang. . Dengan serba kekurangan bahagian paruh yang masih belum padu, ukuran paruh pendek dan tumpul ia berjaya memecahkan bahan tampalan penutup lubang sarang.
4.Deria Mata Penglihatan burung Enggang Badak ~ Buceros rhinocerous adalah dari jenis deria yang mengenal pada warna. Hujah ini disokong ketika burung betina mencari dan menggunakan objek buah berwarna terang seperti warna merah ketika UPACARA MENARIK ANAK KELUAR DARI SARANG
5.Spesis Burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous mempunyai satu deria perhubungan khas jarak jauh sesama mereka tanpa ada bunyi dan tanpa ada suara. Samada deria pendengarannya terlalu sensitif pada getaran bunyi sehingga berupaya mengesan bunyi dari jarak jauh, idak dapat dibuktikan secara ilmiah. Contohnya bunyi kesan daripada sayap yang sedang mengepak terbang. Hujah kepada pekara ini adalah sepertimana penerangan pemerhatian yang telah diterangkan diatas. Burung betina dan anak burung akan mengetahui terlebih awal 4 atau 5 minit sebelum kedatangan Burung Jantan ke sarang.
6.Keadaan rupabentuk kejadian paruh burung Burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous yang keras, tajam, runcing dan panjang merupakan alat perkakas istimewa untuk tujuan usaha mencari makanan, menyimpan makanan dan menjaga keselamatan diri. Mangsa-mangsa yang dijadikan makanan seperti Kala Jengking, Lipan dan Ular tidak berupaya memberi serangan balas berbisa apabila terkepit pada paruh. Apabila mangsa merasa kepitan seperti kacip tajam , keupayaan dan peluang untuk menyelamatkan nyawa sudah tiada.
7.Mengesan petanda awal, kemudian menjangka anggaran waktu hari burung betina bakal keluar dari lubang sarang. Selain mengira jumlah hari yang telah dihitung harinya oleh pengkaji dan pemerhati terdahulu, kita boleh mengesan bila waktu dan harinya burung betina keluar dari lubang sarang. Mengikut hukum adat dan harus , setelah anak burung yang diberi makan setiap hari tentunya saiz anggota badan membesar dengan cukup sifat. Lazimnya ruang sarang bertambah sempit untuk didiami oleh Burung Betina dan anak burung. Pada ketika itu Burung betina akan mulai memulakan ikhtiar untuk keluar demi memberi keselesaan kepada diri dan anaknya. Burung betina akan memulakan aktiviti mengetip, menujah dan memecahkan bahan tampalan lubang sarang. Perilaku burung jantan yang membantu memecahkan tampalan turut boleh dijadikan kayu pengukur, bila burung betina akan keluar dari sarang. Kebiasaan proses memecahkan bahan tampalan burung dewasa mengambil masa antara 2 atau 3 hari. Hal keadaan perilaku ini saya jadikan petanda untuk mengesan waktu dan hari burung betina akan keluar daripada sarang. Kebiasaannya akan keluar pada sebelah pagi sebelum matahari terik dan meninggi.
8.Mengesan petanda awal, kemudian menjangka anggaran waktu, hari anak burung bakal keluar dari lubang sarang. Perkara yang hampir meyerupai dengan burung betina yang keluar sarang. Jika dihitung jumlah hari daripada burung betina keluar sarang dengan tempoh anak burung keluar sarang adalah 44 hari. Namun petanda jelas untuk menjangka waktu anak burung keluar, ialah perilaku anak burung sudah meniru contoh perilaku dan pelajaran yang ditunjukkan oleh burung betina ketika keluar dari sarang. Walau dengan keadaan paruh yang belum kukuh dan masih tumpul, anak burung akan melakukan proses memecahkan tampalan muka pintu sarang. Perilaku begitu menunjukan burung bakal keluar dari sarang paling lewat 3 hari daripada permulaan perilaku tersebut.
Ia lebih mudah diconggak, apabila perilaku Burung Betina datang ke lubang sarang pada sebelah pagi dengan membawa buah yang berwarna terang seperti warna merah. Kemudian melakukan seni UPACARA MENARIK ANAK KELUAR DARI SARANG, maka itu petanda jelas bahawa anak burung akan keluar sarang pada bila-bila masa. Walaubagaimana pun itu tertakluk kepada saiz rupabentuk anggota badan anak burung melepasi muka pintu lubang sarang. Hal sedemikian hanya diketahui oleh kehendak, kekuatan dan kesungguhan anak burung itu sendiri.
9.Bagi memastikan anaknya tidak terperangkap lama di dalam lubang sarang, Burung Enggang betina akan membantu anaknya keluar daripada lubang sarang dengan UPACARA MENARIK ANAK KELUAR DARI SARANG. Burung betina telah merancang awal dan telah menentukan waktu untuk dia membantu mengeluarkan anaknya dengan UPACARA MENARIK ANAK KELUAR DARI SARANG. Pada hari tersebut burung betina telah keluar mencari buah-buah yang berwarna merah terang dengan jumlah yang mencukupi, lalu dihadam simpan ke dalam tembolok untuk digunakan sebagai umpan untuk upacara tersebut.
10.Burung Jantan dan betina akan begilir-gilir mengasuh anak burung bersenam menguatkan otot kaki dan sayap sebagai persediaan untuk melompat dan terbang Tanggung jawab yang dilakukan itu adalah sebagai pendidikkan mempersiapkan diri untuk anaknya hidup berdikari. Sejurus anaknya keluar dari lubang sarang ibubapa burung telah mempersiap siagakan simpanan makanan didalam temboloknya, untuk dijadikan acahan dan muslihat. Kaedah yang digunakan adalah dengan mempamirkan diet makanan dihadapan anaknya pada jarak yang agak jauh daripada tempat dia bertenggek. Dalam erti kata yang memberi maksud, jikalau anaknya berkendakkan makan maka secara naluri ia datang melompat mengambil makanan dari hujung paruh. Ibubapa burung tidak terus menyuapkan makanan ke mulut anaknya tetapi dialih-alih ke berbagai arah sebelum menyuap ke dalam mulut anaknya. Dengan cara latihan begitu, anak burung mendapat latihan menguatkan otot bahagian lengan sayap, peha kaki, jari untuk mencengkam mengimbang , menyuntik keberanian serta keyakinan.
11.Bukan semua diet makanan yang dibawa oleh Induk burung untuk diberikan kepada anaknya boleh dihadam. Sekor kala Jengking dewasa bersaiz besar tidak dapat dipecahkan-pecahkan kerana terlalu keras. Induk burung membuat keputusan tidak memberi makanan kepada anaknya dan beredar bersama Kala Jengking tersebut.
12. Perasaan curiga yang melampau telah mengganggu emosi pasangan Burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous setelah ditakdirkan tidak dapat menyaksikan dihadapan mata peristiwa anaknya keluar dari sarang. Demi memastikan anak burung yang sudah berada diluar sarang itu benar-benar adalah hasil dari zuriatnya, pasangan burung Burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous telah bersilih ganti secara berulang-ulang kali menjengokkan kepala ke dalam lubang sarang. Perilaku itu sebagai mendatangkan keyakinan, anak burung yang berada diluar sarang itu adalah benar-benar anak mereka.
13.Sifat lengkap hari pertama yang ada pada Anak burung ketika ia keluar dari lubang sarang adalah seperti berikut:-
A.Sepasang sayap terbang lengkap berwarna hitam mempunyai 40 batang pelepah yang terbahagi kepada 20 batang pelepah sebelah kanan dan 20 batang pelepah kiri.
B.10 batang pelepah ekor berwarna putih yang di tengahnya mempunyai 1 jalur warna hitam.
C.Jendul Cula pada pangkal paruh berwarna oren.
Terima Kasih Kepada Semua Yang Terlibat.
Ucapan terima kasih kepada individu , Kumpulan Jurufoto Burung dan Pemerhati Burung yang mula-mula mengesan kehadiran 5 batang paku yang mengelilingi lubang sarang dan segera membuat aduan kepada jabatan yang berwajib. Tindakan itu telah membantu proses semulajadi penambahan jumlah pembiakan Burung Enggang Badak~ Buceros rhinocerous di sekitar Negeri Selangor.
Ucapan penghargaan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Perhilitan yang memantau dan membuat rondaan pada setiap hari dikawasan sarang burung. Pemantauan yang dilakukan sepanjang tempoh pembiakkan sehingga anak burung selamat terbang dari lubang sarang mengikut kedua ibubapanya. Sebagai makluman, sejurus pihak Jabatan Perhilitan menerima aduan daripada kalangan peminat dan pemerhati burung, terhadap cubaan menangkap anak burung pihak Jabatan dengan segera mengarahkan kakitangannya membuat siasatan. Hasil dari siasatan tersebut, 28 batang paku telah ditanam pada bahagian belakang pokok untuk dijadikan tangga memanjat ke lokasi lubang sarang. Selain 5 batang anak paku yang ditanam mengelilingi lubang sarang. Syabas dan tahniah kepada pegawai Penguatkuasaan Perhilatan yang melakukan rondaan penyamaran setiap hari sesi pagi dan sesi petang.
Secara peribadi saya ingin mengucaplan terima kasih kepada:-
1. Saudara Mike Chong dan Saudara Dennis Yong yang memberi hujah cadangan terhadap laporan ini.
2. Saudara Steven terhadap memaklumkan maklumat awal tentang lokasi sarang.
3. Encik Tee, Encik Ryan, Encik Ristomoyo Kassim dan Puan Lucy kerana sudi berkongsi maklumat tentang diet makanan yang dibawa oleh Enggang Badak~ Buceros rhinocerous.
Peralatan Bantuan Rakaman Dan Teropong Yang Digunakan.
Saya masih menggunakan peralatan Kamera model DSLR model lama Canon 7D Mark2 dan Canon 6D Mark 2 yang masih berfungsi dengan baik. Kamera itu saya judukan dengan Canon Prime lensa 400mm IS F4, Canon 300mm IS F4, Canon Micro Lensa 100mm F2.8 IS, Canon Lensa Zoom EF 24-70mm L USM Micro, Canon EFS 10-22mm Ultrasonic dan Leica D-Lux 8. Teropong Carl Zess.
Wasalam.