Pengalaman Sekali Seumur Hidup Melihat Burung Berlau Tengkuk-Karat~Pitta oatesi ( Rusty Naped-Pitta)
Pada sekitar pertengahan tahun 1970an Buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 5 tulisan Encik David R.Wells & Lord Medway dan A Field Guide To The Birds of South East Asia tulisan Encik Ben King, Martin Woodcock E.C Dickinson telah menjadi pedoman kepada pengenalan burung-burung tempatan. Tidak ada buku lain yang layak untuk dirujuk oleh Pengkaji dan komuniti pemerhatian burung dalam mengenal burung-burung tempatan. Sungguh pun 2 kitab itu menjadi rujukan tetapi maklumat pengenalan kepada burung tidak lengkap, sepertimana buku rujukan yang ada sekarang.
Di zaman itu setiap peminat pemerhati burung memburung hanya menggunakan peralatan teropong , skop, buku nota catitan dan pensil sahaja. Tidak seperti sekarang dengan kamera, lensa panjang, tripot, kerusi lipat, pembesar suara panggilan muslihat dan umpan makanan burung. Pada zaman itu setiap pemerhatian mereka berdasarkan kepada daya ingatan penglihatan , daya ingatan pendengaran , seni kemahiran bersiul meniru suara kicauan burung dan pemikiran jujur sahaja. Laporan penampakan dan pemerhatian adalah dalam bentuk tulisan dan lakaran lukisan tangan sahaja. Ia bukan dalam bentuk rakaman dari lensa kamera imej burung serta sokongan dengan penulisan sepertimana pada awal tahun 2000.
![]() |
Penampilan warna buluhuas dan saiz spesis burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ) betina seakan-akan menyerupai burung Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi Jantan /Betina |
![]() |
Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi Jantan /Betina |
Dimasa itu telah ada beberapa laporan daripada ahli-ahli Malayan Nature Society tentang penampakan spesis burung Berlau berwarna karat seperti burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta )di Bukit Fraser. Laporan-laporan pemerhatian bertulis tersebut ditafsirkan kepada penampakan spesis Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ). Semua maklumat itu memang telah diketahui oleh semua komuniti peminat burung. Termasuklah pengkaji burung dari Jabatan Zoology Universiti Malaya iaitu Encik David R.Wells , Lord Medway dan pembantunya Saudara Yong Ghong Chong @Dennis Yong.
Sudah tentu laporan itu turut menarik perhatian pengkaji burung En.Ben King dari Amerika yang sedang membuat kajian tentang burung-burung di Asia Tenggara. Dari masa ke semasa laporan penampakan spesis keluarga burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ). itu bertambah. Masing-masing teruja beriktiar , berangan-angan dan beruntung nasib untuk bertemu dengan burung itu. Hinggakan En.Ben King kerap berkunjung ke Bukit Fraser. Sambil beliau membuat kajian tentang spesis burung-burung lain pada waktu yang sama juga ia menjejak spesis Berlau yang dikatakan Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea ( Giant Pitta ).betina. Setelah gigih berusaha beliau telah berjaya mendapatkan rakaman suara burung tersebut dengan pita rakaman. Melalui contoh suara panggilan burung yang dirakam itu timbul kecurigaannya atas perbezaan ketara bunyi panggilan yang didengarnya. Contoh bunyi yang dirakamnya itu tidak sama dengan suara panggilan Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea ( Giant Pitta ).betina, Bukti suara panggilan pita rakaman yang dimilikinya itu sangat penting untuk beliau jadikan sebagai muslihat menarik perhatian burung tersebut.
Beliau gigih berusaha menjejak burung tersebut sehingga menjumpai sarangnya yang dibina pada paras rendah diatas pokok Pakis yang tumbuh diatas cerun hutan. Dengan penemuan sarang burung itu telah memudahkan lagi usaha menangkap burung bagi tujuan kajian ilmiah bidang Ornitologi. Persiapan memasang Jaring kabus telah dipasang rapi disekitar sarang bagi memastikan ia pasti terjerat. Suara panggilan rakaman pita muslihat dimainkan sehingga menarik perhatian burung, maka terus tersangkut ia pada jaring kabus. Setelah burung berada ditapak tangan, maka semua laporan sebelum itu yang dikatakan Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ) terbatal. Ia sebenarnya adalah spesis burung Berlau baharu di Semenanjung Malaysia yang hampir menyerupai spesis Burung Berlau Tengkuk-karat~Pitta oatesi ( Rusty naped Pitta ).
Sebelum keputusan DNA makmal dikeluarkan En.Ben King telah membuat laporan penulisan keatas penemuan spesis burung Berlau baharu yang ditangkapnya itu. Dalam laporan tersebut, beliau telah menamakan burung tersebut dengan nama Berlau Deborah ( Deborah Pitta) sempena nama teman wanitanya. Selepas itu buat seketika semua laporan penampakan dan pemerhatian burung tersebut di Semenanjung Malaysia menggunakan nama Berlau Deborah (Deborah Pitta.)
Saya tidak pasti sehingga tahun bila nama Deborah Pitta tidak diguna pakai lagi oleh pemerhati burung. Boleh jadi setelah laporan keputusan DNA spesimen yang ditangkap oleh En.Ben King menunjukan persamaan dengan spesis Berlau Tengkuk-karat Pitta oatesi yang berada di Vietnam, Loas, Myanmar dan Thailand. Tidak ada tahun yang tepat sejak bila pemburung di Semenanjung Malaysia secara rasmi telah menggunakan nama Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)~ Pitta oatesi .
Saya tidak dapat mengesan laporan jurnal yang menceritakan perkara ini. Barangkali sekitar tahun 1979 dan awal tahun 1980an. Andaian saya itu bersandarkan tarikh buku Buku The Birds Of The Malay Peninsula Vol 5 dicetak ditahun 1976 dan A Field Guide To The Birds of South East Asia pada tahun 1975 . Kerana kedua-dua buah buku itu tidak menceritakan taburan burung tersebut ada di Semenanjung Malaysia. Dengan penangkapan burung itu , maka secara rasminya disekitar tahun 1980an taburan spesis ini telah wujud di Semenanjung Malaysia. Dengan itu saya boleh mengandaikan pada ketika itulah sejarah penemuan burung Berlau Tengkuk-karat ~Pitta oatesi pertama di Semenanjung Malaysia.
Dari sudut ilmiah ornitologi pula kewujudan burung Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)~ Pitta oatesi di kawasan hutan tanah tinggi di Bukit Fraser itu, telah memansuhkan kenyataan ilmiah tahun 1928 oleh Herbert C Robisson dan Chasen, yang menyatakan bahawa burung spesis Berlau tidak mendiami di dalam hutan kawasan tanah tinggi dan pergunungan di Semenanjung Malaysia. Keputusan fikir yang bersifatkan ilmiah itu telah diperakui benar oleh begitu ramai pemerhati burung dan komuniti ornitologi sepanjang tempoh lebih kurang 50 tahun. Keputusan fikir itu telah termansuh setelah tercabar dengan bukti benar yang dikemukakan oleh En.Ben King.
Sejak itu komuniti pemerhati burung sudah cukup gembira berpuas hati bilamana mendengar bunyi panggilan dan penampakan burung spesis Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)~ Pitta oatesi. Mereka sudah tidak menganggap itu sebagai burung Burung Raja Berlau~Pitta Caerulea betina ( Giant Pitta ). Biar pun hanya sekadar mendengar panggilan atau melihat melalui skop dan teropong. Setelah itu pada tahun-tahun berikut sepanjang pengetahuan saya , teramat jarang yang bernasib baik dapat melihat apatah lagi merakam imej spesis burung tersebut. Rekod paling terbaharu pada sekitar tahun 2018, ada kumpulan jurugambar berjaya merakam imej spesis Berlau Tengkuk-karat Pitta oatesi di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highland dan Bukit Frazer. Lima tahun kemudian di tahun 2023 imej burung itu dirakam lagi di Bukit Frazer.
Terbaharu pada bulan Jun , Julai 2025 yang kebetulan pada musim pembiakan burung Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)~ Pitta oatesi. Ini pengalaman sekali seumur hidup pada diri saya yang turut dapat melihat jelas dengan mata kepala sendiri. Bukan saja dapat melihat tetapi turut dapat merakam imej burung ini.Spesis burung yang telah berhalimunan selama hampir 50 tahun dari pengetahuan komuniti ornitologi dan pemerhati burung. Spesis burung yang berupaya menghindar mengaburi dirinya daripada dijejak dan dikesan atas kehadirannya, Yang paling istemewa spesis Berlau Tengkuk-karat (Rusty naped Pitta)~ Pitta oatesi tidak tersangkut terjerat oleh jaring kabus pihak komuniti Ornitologi.
Catitan