Monday, 15 February 2016

Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica

Peluang untuk melihat burung Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica ini agak tinggi jikalau kita berada dibahagian utara Semenanjung Malaysia. Kunjungan sebelum sebelum ini tidak mendatangkan hasil yang memuaskan hati dan saya menganggap ia sebagai belum ada rezeki. Tetapi kali ini bertempat di Tasik Timah Tasoh, Perlis burung Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica ini menjelmakan dirinya untuk satu tempoh yang mencukupi untuk saya  melihat dan merakam imejnya.

Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica- Jantan

Peluang kita akan lebih tinggi pada awal pagi ketika burung sedang dalam proses mengeringkan buluhias sebelum ia memulakan pencarian makanannya. Kalau sebelum ini saya hanya berpeluang melihat spesis jantannya sahaja, tetapi pada kali ini berpeluang pula melihat  burung secara berpasangan jantan dan betina. 


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Betina

Ada besar kemungkinan pada bulan Februari burung ini dalam proses mencari pasangannya untuk mengawan. Kerana ketika pemerhatian dibuat burung jantan sedang melakukan upacara menarik perhatian burung betina. Burung jantan sedang mengeluarkan suaranya secara berketuk-ketuk dihadapan  burung betina sambil kepalanya tertunduk-tunduk. Ketika saya menghampirinya pasangan ini beralih tempat dan terbang menuju kearah pokok berdekatan. Walaupun telah beralih tempat kelihatan burung jantan masih berketuk-ketuk mengeluarkan suaranya untuk menarik perhatian  burung betina yang berada disitu.


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Jantan
Ada besar kemungkinan juga burung ini terbang  atas kekhuatiran yang ia akan ditangkap oleh manusia kerana ia mempunyai nilai komersial. Burung ini digemari oleh penduduk tempatan kerana suara dan kecantikkan buluhiasnya. Maka tidak hairanlah jikalau ia bingkas terbang meninggalkan tempat ini dengan sertamerta.


Tekukur Merah~Streptopelia tranquebarica-Jantan


Sehingga sekarang saya masih tidak mengerti dimanakah keseronokan memelihara burung didalam sangkar. Apakah ada satu alasan yang kuat didalam mana-mana kitab yang menyokong atau menggalakkan burung dibela didalam sangkar ? Peliknya kepercayaan pengganut agama Buddha menggalakan pengganut-penganutnya membebaskan burung yang terpenjara didalam sangkar sebagai memerdekakan makhluk ciptaan Tuhan .  Tepuk dada tanyalah lubuk hati, adakah perbuatan memenjarakan burung didalam sangkar  perbuatan yang  benar. Wasalam.

Saturday, 13 February 2016

Penjagaan & Mengekalkan Keistimewaan Khazanah Gua Wang Buloh, Pulau Tuba Kedah.


Penjagaan & Mengekalkan Keistimewaan Khazanah Gua Wang Buloh, Pulau Tuba Kedah.

Keistimewaan Gua Wang Buloh, Pulau Tuba dinegeri Kedah, adalah ia merupakan sebuah Gua yang letaknya dikemuncak kawasan hutan belentara berbukit-bukit. Hasil kajian geologi terhadap Gua  Batu kapur dikawasan ini, ia telah terbentuk secara semulajadi sejak 490 juta tahun yang lalu dan menjadikan binaan semulajadi Gua yang tertua di Malaysia.






Berdasarkan galian batuan semulajadi yang masih dapat dilihat didalam Gua Wang Buloh, kawasan ini dulunya adalah kawasan dasar laut, dimana terdapat beberapa bonggolan Terumbu Karang. Apa yang menarik ialah masih kelihatan kesan warna alga dan lumut berbagai warna yang masih kelihatan terlekat pada dinding-dinding gua.









Kawasan istimewa ini merupakan khazanah alam anugerah Allah yang telah menjadi milik kita, yang tidak ternilai harganya. Khazanah alam ini telah diamanahkan kepada kita untuk dijagai sebaik mungkin daripada terjejas dan kemusnahan. Pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh kita haruslah digunakan untuk kita menjaga sebaik mungkin khazanah ini.








Maka hendaknya kita semua haruslah mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh menjaganya daripada dikorbankan oleh pihak Kapitalis yang berserongkol dengan Ahli-ahli Politik. Ahli-ahli Politik yang sama-sama tamak itu akan sentiasa memomokkan penduduk-penduduk tempatan yang Lemah Daya Fikiran supaya bersama-sama mereka untuk mendapat hasil kekayaan daripada galian didalam Gua-gua. Berwaspadalah sentiasa akan momokkan tipu daya dan helah puak Kapitalis Ahli Perniagaan dan Ahli-ahli Politik ini.








Bukti nyata telah banyak berlaku kepada kawasan Gua Batu Kapur yang telah banyak musnah didalam negara kita ini. Dan ia berlaku secara berulang-ulang kali sepanjang 58 tahun negara ini dibangunkan. Tidak perlulah kita nyatakan satu persatu Gua-gua Batu kapur yang telah musnah, kerana ia akan menambah luka bisa kepada hati-hati kita yang cinta dan sayangkan khazanah Alam Semulajadi negara ini.












Kelihatan batuan yang keras telah terpatah sehingga mencacatkan pemandangan bentuk semulajadi didalam Gua Wang Buloh.

Pastikan kawasan ini kekal dan terjaga dengan pengurusan yang sesempurna mungkin. Bebaskan kawasan ini daripada segala macam aktiviti yang berkemungkinan akan menjejaskan struktur muka bentuk binaan galian didalam gua ini. Samada aktiviti sukan lasak, aktiviti keagamaan, kegiatan tidak bermoral, pertapaan mahupun upacara pemujaan.


Pancaran dan pantulan cahaya matahari yang masuk melalui mulut-mulut gua pada ketika itu menghasilkan seperti ini.

Kepada pakar-pakar Gua Tempatan dianjurkan supaya memberi penyebaran ilmu pengetahuan secara kerap kepada khalayak tentang tata cara dan adab ketika membuat lawatan masuk kedalam Gua. Supaya setiap  pengunjung tempatan akan selalu bermotovasi tinggi ingin sentiasa menjaga alam sekitar ketika berada didalam gua.

Dalam waktu yang sama pancaran cahaya yang memantul pada lumut serta alga melekat didinding-dinding binaan semulajadi gua menghasilkan warna-warna menarik yang pelbagai.



Binaan secara semulajadi yang membentuk seperti kepala seekor Ular.

Bahagian Gua bentuk seperti mehrab didalam masjid.
Janganlah sesekali ada pengunjung melakukan kerja-kerja contengan atau ukiran vadalism kepada dinding Gua sebagai tanda, kononnya mereka pernah sampai ke Gua Wang Buloh. Perbuatan ini adalah mengambarkan tahap pemikiran yang mengaibkan. Pengunjung seperti ini adalah sangat tidak dialu-alukan untuk berkunjung kedalam mana-mana Gua.

Sebahagian permukaan Terumbu Karang yang telah terhaus kesan pijakan tapak kaki atau diduduki oleh punggung penggunjung.

Kelihatan warna kebiru-biruan yang masih kelihatan dipermukaan terumbu karang ini.


Warna warna menarik hasil gabungan alga, lumut, karat air dengan pantulan cahaya dibantu sedikit teknik rakaman.


Lapisan debu yang menutupi permukaan terumbu karang.

Bonggolan Terumbu Karang yang masih kekal kukuh dilantai Gua Wang Buloh, malangnaya terdapat kesan-kesan hakisan hasil dipijak oleh kaki.




Lawatan terbaharu pada Febuari 2016 ke Gua ini memberi dukacita  , kerana saya  telah mengesan sedikit  kerosakan kepada bentuk-bentuk batu galian didalam Gua dan peninggalan bonggolan terumbu karang didalam Gua Wang Buloh ini .

1. Beberapa permukaan Bonggulan Terumbu Batu Karang kelihatan sudah terhakis haus akibat dari kesan pijakkan tapak kasut penggunjung atau kesan diduduki dengan punggung manusia.

2. Terdapat serpihan stalatit yang telah patah yang tidak dapat dipastikan apa sebab dan puncanya ia patah dan jatuh jatuh ke lantai Gua.

Pantulan cahaya matahari pada ketika rakaman itu yang bergabung dengan lumut serta alga yang terlekat pada dinding gua mengeluarkan warna cahaya yang menarik. 

Batuan seolah-olah berbentuk manusia sedang berdiri sambil menadah tangan sambil berdoa dihadapan mulut Gua Wang Buloh.

Kenyataan Seni Rakaman.

Imej-imej rakaman yang dipaparkan ini adalah hasil daripada:-

A. Sedikit  teknik seni rakaman dengan bantuan cahaya-cahaya pantulan semulajadi yang ada didalam gua pada ketika rakaman dilakukan.



Pandangan hutan belentara yang menghijau yang dapat dilihat dari muka Gua Wang Buloh.



B. Ketepatan pemilihan sudut demi mendapatkan pencahayaan pantulan pada dinding yang bergabung dengan warna-warna pada dinding gua yang berbagai warna hasil kesan warna lumut, warna Alga, warna karat air, warna najis kelawar dan burung . 


Kesan haus terhakis permukaan bonggolan terumbu karang hasil daripada pijakkan tapak kaki penggunjung yang tidak diberi pengetahuan akan keistimewaan bonggolan terumbu karang berusia ratusan jutaan tahun.

Serpihan batuan galian stalitiat yang telah pecah.

C.  Warna rakaman ini juga telah ditingkatkan 20 peratus daripada warna asal didalam gua, bertujuan memberi sedikit gambaran keadaan asal Gua Wang Buloh pada suatu ketika dahulu.

Jesteru itu, permandangan mata kepala ketika berada di dalam Gua adalah tidak sama sekali dengan permandangan yang dilihat didalam imej. Wasalam.

Tuesday, 2 February 2016

Sejarah Ahli Perniagaan & Tokoh Ekonomi Negeri Terengganu~ WEE SIN HEE


Sejarah Ahli Perniagaan & Tokoh Ekonomi Negeri Terengganu~ Saudara Wee Sin Hee

Keluarganya berasal dari Wilayah Fuxian di Tanah Besar Negara China. Bapanya Wee Kiat Kheng  merupakan seorang Pembesar Kerajaan yang dihormati di Wilayah Fuxian, China. Pada kurun ke 18, Bapanya Wee Kiat Kheng telah mulakan perlayaran hijrahnya dari Pelabohan Tongan di Fuxian  menuju ke Semenanjung Tanah Melayu. Perjalanan pelayarannya melalui perairan Negara Thailand dan berhenti berlabuh  di Negeri Terengganu. Disitu beliau memulakan perniagaan dan bermastautin di Kuala Terengganu.

Saudara Wee Sin Hee

Wee Sin Hee telah dilahir dan dibesarkan di Kuala Terengganu. Beliau telah meneruskan perniagaan Bapanya Wee Kiat Kheng di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III sekitar 1881 hingga 1918. Perniagaan utama yang diusahakan oleh beliau ialah perdagangan buah Pinang, perusahaan Tembakau dan Garam. Hasil berkat usahanya itu, beliau telah menubuhkan Syarikat Teck Soon Company dan berjaya mengembangkan empayar perniagaannya dengan membina lebih 10 buah bangunan rumah kedai di sekitar Pekan Kuala Terengganu.

Beliau mempunyai talian persahabatan baik dengan Sultan Zainal Abidin III sehingga dilantik menjadi Juru Bahasa Sultan keatas segala urusan diplomatik dan perdagangan . Atas dasar kepercayaan dan kejujuran beliau Sultan Zainal Abidin III telah membenarkannya mengeluarkan matawang sendiri sebagai upah gajinya sebagai  Juru Bahasa Sultan.  

Sebagai mengenangkan akan jasanya dalam merancakkan ekonomi dan pembangunan di negeri Terengganu, Sultan Terengganu telah menganugerahkan tanah istimewa diatas sebuah bukit di Kuala Terengganu untuk jasadnya disemadikan disitu.

Banguan Rumah Kedai yang masih tersergam cantik di kawasan Pekan Cina di Kuala Terengganu.

Mata Wang Persendirian Keluaran Syarikat Teck Soon Company

Sepertimana yang kita ketahui, untuk mendapat kepercayaan khalayak seseorang itu haruslah dikenali dan mempunyai pengaruh yang kuat. Disamping harus mempunyai hubungan baik dan akrab dengan pihak pemerintah. Ciri-ciri tersebut ada pada Wee Sin Hee yang mana beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan terkenal. Disamping  mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Sultan Zainal Abidin III.

Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang sejarah bagaimana Wee Sin Hee berupaya mengeluarkan matawangnya sendiri. Tujuannya mungkin untuk mempermudahkan segala urusan perniagaan disekitar Kuala Terengganu bersama-sama rakan-rakan , ahli Kesatuan peniaga-peniaga Cina disitu.

Tentu sekali Wee Sin Hee mempunyai simpanan emas dan perak yang kukuh bagi mendapat kepercayaan daripada orang ramai, bahawa matawangnya itu adalah bernilai. Sesiapa yang memiliki matawangnya itu boleh menebusnya pada bila-bila masa tanpa ragu-ragu dan tanpa kejatuhan nilai . Pengiktirafan matawang yang di keluarkan oleh Wee Sin Hee oleh pihak pemerintah Negeri Terengganu adalah satu kejayaan peribadi yang sangat besar dan harus dibanggakan.



Sedikit Maklumat Matawang.

Matawang ini dikenali sebagai Jokoh ditempa pada logam Timah menggunakan 2 bahasa dan tulisan. Iaitu menggunakan ejaan huruf Bahasa Mandarin , ejaan huruf Jawi Bahasa Melayu dan ejaan huruf Rumi.

Matawang Jokoh ini berbentuk bulat , ditengah-tengahnya  mempunyai lobang berbentuk 4 segi.  Lubang ditengah  dicipta adalah untuk kemudahan pemilik matawang mengira, menyusun dan mengikatnya untuk dibawa bagi urusan jual beli. Ini kerana matawang Jokoh tidak dinyatakan jumlah nilainya pada muka matawang sepertimana matawang yang lain. Bentuk seperti ini merupakan tradisi atau gaya matawang yang diwarisi dari matawang di Tanah Besar Negeri China.


De Shun Gong Si 1907 Wee Sin Hee

Daripada maklumat didalam Jurnal Asiatic Society   Hugh Clifford ada menyatakan kadar nilai perbandingan Matawang-matawang yang digunakan pada ketika itu.

1 Jokoh bersamaan dengan 2 setengah cent .
1 Jokoh bersamaan dengan 24 Keping.
5 Jokoh bersamaan dengan 1 Kupang ( Emas )
20 Jokoh bersamaan dengan 1 Mas ( Emas )
40 Jokoh bersamaan dengan 1 Spanish atau Mexico Dollar. ( 1,000 Coin. )

Sin Hee Ejaan huruf Jawi Melayu

Kefahaman dan pandangan masyarakat yang beraliran Bahasa Kebangsaan, seringkali beranggapan bahawa Kongsi itu ada kaitan rapat dengan Pertubuhan Kongsi Gelap. Tetapi pada hakikatnya pandangan itu tidak tepat sama sekali. Tulisan Mandarin pada muka Matawang Jokoh ini berbunyi Xie Xing Gong Shi yang membawa maksud  Kesatuan Kerjasama Makmur. Huruf Mandarin bersaiz kecil pada bahagian atas itu pula membawa maksud " Tuan".

Unsur perlambangan yang digunakan dimuka matawang ini menggunakan sejenis tumbuhan yang tidak dapat dikenal pasti. Tetapi berdasarkan bentuk lukisan dan hubung kait dengan perdagangannya , saya mencadangkan tumbuhan ini merupakan Tumbuhan Daun Tembakau.



Dibahagian muka sebelah matawang ini pula tertera tulisan huruf Jawi Melayu yang berbunyi "Ini Juru Bahasa Punya " yang ditempa letak dalam bentuk bulatan. Tulisan huruf Jawi itu pula diapit dengan bahasa dan tulisan huruf Mandarin. Disebelah Kiri huruf tulisan Mandarin ini membawa maksud " Hiap Heng " manakala disebelah kanan pula membawa maksud Gong Shi atau Syarikat / Kesatuan/ Kongsi .

Unsur perlambangan dimuka matawang disebelah ini pula , menggunakan lambang Bintang 5 bucu yang mengelilingi Tulisan huruf Jawi " Ini Juru Bahasa Punya. " 



























Apa yang menarik perhatian saya, terdapat logam halus dibenamkan kedalam permukaan matawang ini, bagi tujuan keselamatan dan pengawalan matawang palsu. Bukti nyata ini dapat kita andaikan bahawa Wee Sin Hee adalah seorang yang teliti dan berpandangan luas. Beliau mempersiapkan matawangnya dengan ciri-ciri keselamatan sepertimana matawang yang dikeluarkan oleh Pemerintahan British.

Dalam pada itu boleh diandaikan juga, pada abad ke 18 dan awal abad ke 19  telah wujudnya unsur-unsur kecerdikan penipuan dan ketamakan dalam urusan mencari harta  dikalangan masyarakat.

Bagaimana pula jikalau Wee Sin Hee mengeluarkan 100 Jokoh pada setiap hari dan ditukarkan matawang Jokoh kepada matawang Mas , mengikut nilaian yang dicatit oleh Hugh Clifford ? Bermakna pada setiap hari Wee Sin Hee berupaya mendapatkan 5 Mas ( Logam Emas.)

1 hari = 5 Mas(  Emas )
30 hari = 150 Mas ( Emas )
12 Bulan = 1,800 Mas ( Emas.)

Ini semua adalah andaian semata-mata kerana sejak 1869 lagi  matawang Jokoh ini telah tidak diiktiraf oleh kuasa pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu. Walaupun matawang ini tidak diiktiraf oleh pihak British, namun matawang ini masih digunakan dalam urusan  oleh masyarakat tempatan. Wasalam.


Ucapan terima kasih kepada:-
  
Saudara Luis J.A.Wee @ Wee Jin Ann waris genarasi ke 5  Wee Sin Hee ~Maklumat Sejarah.
Saudara Raja Ibrahim Bin Raja Sulaiman @ King Miharbi~ Pemilik Matawang Dan Penasihat
Saudara Lim Tze Tshen @Ah Tshen ~Penterjemah Bahasa Mandarin
Saudara David Tehkukbek ~ Penterjemah Bahasa Mandarin



Monday, 1 February 2016

Itik Belibis Siul Kacukan


Kacukan Itik Belibis Siul-kecil ~Dendrocygna javanica dan Itik Belibis Siul-Kembara ~Dendrocygna arucuata.







Saya telah berjumpa dengan seekor itik yang pada anggapan saya mempunyai kedua -dua ciri-ciri yang ada pada Itik Belibis Siul-kecil ~Dendrocygna javanica dan Itik Belibis Siul-Kembara ~Dendrocygna arucuata. Perbezaan antara mereka adalah :-



1.Itik Belibis Siul-kecil ~Dendrocygna javanica ~Buluhias diatas kepalanya adalah berwarna coklat cair dan mempunyai gelong mata yang berwarna kuning.

2.Itik Belibis Siul-Kembara ~Dendrocygna arucuata ~ Buluhias diatas kepalanya adalah berwarna coklat pekat membawa kebahagian tengkok lehernya. Bahagian sisi bawah kepak itik mempunyai carik-carik berwarna putih yang selari. Dan ia mempunyai gelong mata yang berwarna kehitaman.


Berdasarkan maklumat ini yang diambil dalam buku rujukan Craig Robson, mendapati Itik yang saya jumpa baru-baru ini mempunyai kedua-dua ciri yang ada pada 2 spesis itik tersebut. Buluhias dikepalanya berwarna coklat pekat dan mempunyai carik-carik selari yang berwarna putih disisi bawah kepak itik. Dibahagian gelong matanya pula berwarna kuning manakala dibahagian bahu sayap itik berwarna coklat buah berangan menyamai ciri-ciri khas Itik Belibis Siul-kecil ~Dendrocygna javanica.



Cadangan saya dalam hal ini ; 

Hasil yang terjadi kepada Itik  terebut ialah telah ada berlaku persenyawaan antara kedua dua spesis ini dimasa dahulu sehingga berlaku kacukan antara mereka.



Perkara ini boleh sahaja berlaku dihabitat liar terhadap hidupan liar ini yang kita maklumi mereka tidak mempunyai undang-undang larangan. Mereka boleh sahaja bersenyawa kerana antara kedua-duanya hampir serupa penampilannya dan dari pokok keluarga yang sama.


Itik Belibis Siul-kecil ~Dendrocygna javanica merupakan itik liar yang hidup di Semenanjung Malaysia. Manakala Itik Belibis Siul-Kembara ~Dendrocygna arucuata pula merupakan itik yang boleh ditemui di Kepulauan Singapura dan Kepulauan Borneo.



Ada besar kemungkinan , telah berlaku persenyawaan antara mereka sejak dahulu lagi tetapi tiada siapa perasan akan perkara ini. Kerana kita sendiri tahu bahawa Itik-itik liar ini sungguh pemalu dan akan terbang jauh apabila kita cuba untuk mendekatinya. Peluang untuk membuat perbezaan antara mereka agak sukar.

 



Keputusan cadangan saya ini hanya berdasarkan perbezaan imej sahaja dan ia tidak begitu kukuh dan mempelawa cabaran. Namun begitu cadangan ini sedikit sebanyak memberi sedikit petunjuk bahawa kes-kes pensenyawaan terhadapan itik-itik ini boleh berlaku.




Berdasarkan pengalaman sepanjang membuat pemerhatian burung, rungkaian ini hanya dapat disahkan dengan membuat analisa kajian DNA terhadapnya. Wasalam.