Tuesday, 17 February 2015

Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus indicus ( Grey Nightjar )


Memberi Bantuan Mana Yang Termampu.
Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus indicus ~Grey Nightjar

Pada jam 10:00 pagi 16 Feb 2015, saya dimaklumkan oleh Sahabat Cinta Burung Saudara Pak Long di Ulu Kali yang beliau ada menyimpan seekor Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ) yang patah sayap akibat terlanggar kenderaan pada malam 15 Feb 2015.

Mereka tidak tahu bagaimana untuk merawat dan menyelamatkan burung malang tersebut. Sejurus mendapat maklumat saya terus membuat pertanyaan kepada kenalan saya , Prof Madya Dr.Jalila Abu di Universiti Putra Malaysia tentang bagaimana untuk merawat dan menyelamatkan burung tersebut.

Beliau menasihatkan saya untuk menghantar imej burung tersebut untuk beliau membuat persediaan terlebih dahulu sebelum menghantar burung tersebut untuk menerima rawatan kepadanya. Setelah mendapat kata kepastian maka saya bergegas naik ke Ulu Kali untuk mengambil  Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ).

Keadaan Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ) yang cedera patah sayap.

Ini bukan kali pertama kali Sahabat Cinta Burung Saudara Pak Long menyelamatkan burung-burung.

Pak Long sentiasa ringan tulang dan bersungguh-sungguh untuk membantu.



Keadaan burung didalam kotak sebelum perjalanan menaiki motosikal ke UPM Serdang.


Pada pagi keesokan harinya saya membuat keputusan menghantar Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ) menggunakan motosikal kerana ingin menjimatkan masa dan mengelak daripada mengharung kesesakkan lalu lintas yang teruk. Jam 9:00 pagi saya telah tiba di Jabatan Pengajian Klinikal Veterina, Universiti Putra Malaysia Serdang.




Keadaan burung yang masih hidup lebih 48 jam setelah mendapat kemalangan.




Sejurus menerima burung tersebut Prof Madya Dr.Jalila Abu terus membuat pemeriksaan awalan secara luaran tentang serius atau tidak keadaan kecederaan burung itu. Hasil daripada pemeriksaan itu beliau menasihatkan saya membawa ke Klinik Haiwan Kesayangan untuk membuat pendaftaran dan memberi maklumat kecederaan burung itu.



Hospital Veterinar Universiti~Klinik Haiwan Kesayangan


Sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan

Setelah semua urusan pendaftaran selesai, saya dikehendaki membawa burung ke bilik 7 pusat pemeriksaan hidupan liar. Hasil pemeriksaan mendapati Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ) telah patah sayap kepak kanan tulang Humeras~open fracture~Non viable Bone  sepanjang 1cm. 
 
Keadaan tulang sayap kepak kanan yang telah kering.



Berdasarkan maklumat kecederaan akibat pelanggaran, Prof Madya Dr.Jalila Abu ingin mengetahui ada kemungkinan kecederaan lain selain patah sayap, maka pemeriksaan X Ray harus dilakukan untuk mengetahui mungkin ada kecederaan lain.


Pendaftaran burung untuk dibuat pemeriksaan X-Ray.

Pemudah cara dan mempercepatkan proses.



Hasil daripada rakaman X Ray, Prof Madya Dr.Jalila Abu memaklumkan selain patah sayap, kaki kiri burung juga telah patah ~fracture left femur~close fracture.

Bahagian sayap kepak kanan yang patah dan kaki kiri yang patah.

Bahagian kaki kiri yang telah patah setelah dikesan melalui pemeriksaan X Ray.

Proses membalut bahagian sayap yang patah


Berat burung 40 gram

Sayap yang patah dibalut supaya sayapnya tidak terkulai.

Sudut bahagian sisi kiri burung.



Suntikan bertujuan untuk memberi tenaga kepada burung.

Pemeriksaan pada bahagian mulut dan paruh burung untuk memastikan tiada keretakan pada paruh.


Membuat pemeriksaan terhadap mata burung.

Dengan perasaan sedih Prof Madya Dr.Jalila Abu memaklumkan Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ) terpaksa ditidurkan untuk selama-lamanya  bagi mengurangkan penderitaannya.

Setelah membuat pemeriksaan rapi terhadap Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar )Prof Madya Dr.Jalila Abu  membuat keputusan burung terpaksa ditidurkan buat selama-lamanya kerana  2 asas haiwan liar untuk berdikari mencari makanan serta menjaga keselamatan diri telah hilang keupayaannya. :-

1. Kecederaan patah tulang humeras pada sayap kepak kanan~open fracture sepanjang 1 cm ( terputus ), dimana sel-sel darah pada kedua-dua bahagian tulang telah kering disebabkan lebih 48 jam kemalangan berlaku.   

2. Tulang kaki kiri femur telah patah~close fracture.

Asas utama kehidupan burung untuk berdikari ialah pada sayapnya. Ia tidak boleh mencari makanan sendiri dan menyelamatkan diri hanya dengan sebelah sayap sahaja, maka bagi meringankan penderitaan burung secara berpanjangan adalah lebih elok burung ditidurkan buat selama-lamanya.


Laporan Diagnosis burung


Burung dibawa pergi untuk urusan lanjutan untuk mengurangkan penderitaan.

Namun begitu sebelum proses itu boleh dilaksanakan Prof Madya Dr.Jalila Abu akan memaklumkan dan mohon kebenaran terlebih dahulu kepada Jabatan Hidupan Liar kerana burung ini dilindungi oleh Akta Perlindungan Hidupan Liar. 

Setelah proses itu selesai  burung itu akan diawetkan untuk tujuan pengajian dan pembelajaran oleh pihak Universiti atau pun disimpan di dalam Muzium Universiti.

Pakar Veterinar dan Pencinta Hidupan Liar.

Rumusan dan Pembelajaran Dari Insiden Ini.

Kepada setiap pengguna jalanraya haruslah sentiasa beringat dimana-mana sahaja, tidaklah memandu kenderaan terlalu laju diwaktu malam dikawasan hutan. Keadaan ini akan  memberi kejutan kepada hidupan liar lalu terperanjat menyelamatkan diri secara melulu sehingga melanggar apa sahaja dihadapan mereka, atau hidupan liar tidak sempat melarikan diri daripada dilanggar oleh kenderaan.
 
Apa yang mengembirakan dan membanggakan ialah semua kos rawatan dan pemeriksaan yang dijalankan untuk menyelamatkan  semua hidupan liar adalah percuma, kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negara Malaysia. Malah mendapat rawatan daripada Pakar Veterinar terbaik negara  Prof Madya Dr.Jalila Abu. Wasalam.

Terima kasih Prof Madya Dr.Jalila Abu, kerana bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan Burung Tukang Kelabu~Caprimulgus  indicus ( Grey Nightjar ).





No comments:

Post a Comment