Keadaan dan Suasana Persekitaran
Kawasan disini sentiasa di selubungi oleh kabus tebal, tiupan angin yang menderu-deru dan
suhu yang sangat sejuk. Saya bernasib baik kerana ketika memasuki
dikawasan ini cuacanya elok dengan matahari memancar terang dan kabus tidak
kelihatan, sepanjang 2 jam menjelajah.
Tempoh 2 jam menjelajah tidak mendatangkan sebarang masalah penat pun, malah leka menikmati setiap pemandangan disini. Tidak ada lintah atau pacat yang menghisap darah, dan tidak ada nyamuk, semut serta agas mengganggu hal ehwal kita.
Udara nyaman dan suhu yang sejuk
segar menghilangkan semua keletihan, ditambah pula bau-bauan istimewa
yang jarang dihidu datang dari tumbuhan kayu dan lumut. Sepanjang
penjelajahan itu saya hanya mengekori laluan yang sedia ada kesan dari
laluan mamalia kecil yang banyak terdapat disini.
Pada lantai hutan pula tumbuhan lumut dari
berbagai jenis spesies lumut terhampar seperti permaidani hijau yang tumbuh
dengan subur. Sehinggakan adakalanya tidak sampai
hati untuk memijak-mijak hamparan lumut disini, apabila memijak ketika tidak bertemu
dengan kesan laluan haiwan. Menyangkakan dengan terpijaknya lumut
tersebut ia akan mengakibatkan kematian pada lumut. tidak dapat
dipastikan adakah perasaan sebegini merupakan perasaan kesayangan yang
melampau.
Dan ada juga jenis lumut yang melekat segar pada batang dan
ranting pokok-pokok . Butiran embun melekat bertitih-titih berkaca cerah dan jernih tergantung-gantung pada
hujung tumbuhan berlumut. Embun berkaca berbutir-butir juga kelihatan tergantung-gantung pada sarang labah-labah yang banyak berselirat dicelah-celah ranting pokok.
Ada terdapat banyak tumbuhan
dari jenis Palma, Paku-pakis, Mengkuang dan Rotan yang mungkin tidak
sama dengan yang terdapat didalam hutan tanah rendah. Terdapat juga
beberapa jenis tumbuhan Periuk Kera yang tumbuh menjalar diatas tumbuhan
lumut, dan ada juga yang tergantung.
Tumbuhan Orkid liar memang banyak terdapat disini, ada yang melekat pada batang dan ranting pokok. Tidak kurang juga yang tumbuh diatas hamparan lantai tanah yang berlumut hijau dan basah. Ada disetengah laluan hutan tumbuhan rimbun membentuk seperti trowong, maka terpaksa membongkok diri untuk melaluinya.
Kelihatan juga lorong-lorong kecil berlekok-lekok diatas lantai berlumut yang dilakukan oleh Mamalia kecil. Dengan mengekori lorong kecil itu kita akan bertemukan sarang-sarang tempat mamalia kecil berehat yang dibina dibawah perdu serta pada akar-akar pokok.
Persekitaran disini masih lagi
belum tercemar daripada sebarang sampah sarap hasil peninggalan manusia.
Keadaan ini adalah sebagai bukti jelas memang tidak ada sebarang
aktiviti manusia telah berlaku disini.
Lebih menarik lagi ketika ini, disini tidak ada tumbuhan
dari jenis lalang dan buloh yang berupaya tumbuh dalam keadaan cuaca suhu yang sangat sejuk. Bukti ini adalah penimbang aras kepada tahap
gangguan pencemaran suhu dan perubahan cuaca dikawasan ini. Jikalau benih tanaman lalang yang secara tidak sengaja dibawa dari kawasan rendah tersebar disini, maka kesan kemudaratan kepada tumbuhan-tumbuhan asal mungkin akan terancam.
Saki Baki Syurga Bumi Yang Tinggal.
Seharusnya kawasan
hutan seperti ini dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak bagi menjamin tidak berlaku kerosakan hasil dari kesan tapak-tapak kaki Penagih Pendaki
Gunung, Pemburu Hidupan Liar, dan Pemburu Serangga & Kumbang.
Penggekalan saki baki Hutan Tanah Tinggi dan Hutan Elfin ini adalah
bertujuan untuk meneruskan suasana bersih, hening, keamanan dan keselamatan
kepada penghuni-penghuni dikawasan ini yang terdiri daripada pelbagai
spesies Burung, Mamalia kecil, Kumbang, Rama-rama, Katak, Tokek, Ular
dan banyak lagi.
Andaikata tempat ini dapat dikesan
oleh Penagih Pendakian Gunung, maka sudah pasti akan bermulanya kacau ganggu kepada
penghuni-penghuni disini. Maka akan berlakulah kerosakan secara bersiri terhadap persekitaran semula jadi dikawasan ini.
Apa tidaknya, ketika mereka merintis membuat laluan trek, habis tumbuhan serta akar dicantas dan ditakik dengan parang tajam mereka. Kerana memang sudah menjadi adat perintis, bahawa mereka akan mencantas setiap halangan dihadapan mereka, seperti perumpamaan "Membujur lalu melintang patah."
Apalah yang
mereka tahu tentang jenis tumbuhan dikawasan Hutan Tanah Tinggi dan
Hutan Elfin ini ? Mereka hanya tahu ikhtiar hidup ketika berada didalam hutan sahaja. Daripada ilmu pengetahuan tentang jenis tumbuhan, spesies hidupan liar dan serangga tanah tinggi. Pada mereka setiap yang dicantas akan bertunas dan
tumbuh semula. Sifat dan sikap tanggung jawab mereka adalah tipis.
Apa yang mereka tidak ketahui bahawa
tumbuhan didalam Hutan yang saya nyatakan ini tidak sama dengan tumbuhan
yang tumbuh didalam Hutan Rimba Tanah rendah. Kerana tumbuhan disini
mengambil masa yang sangat panjang untuk ia membesar dan matang.
Tumbuhan disini merupakan dari jenis tumbuhan kerdil, ia dilihat
seperti anak-anak pokok tetapi hakikatnya tumbuhan itu telah
matang dan tua usianya.
Ada juga yang menakik-nakik
batang-batang pokok sebagai tanda tunjuk arah disepanjang laluan mereka menuju ke puncak.
Ketika ingin membuat khemah pula, sudah pasti mereka akan melapangkan
kawasan tapak untuk mendirikan khemah. Sedikit sebanyak tumbuhan difikirnya kecil akan dicantas. Tidak kurang juga yang memasang "
Heymook " dengan mengikat terik tali pada batang-batang pokok.
Sesudah melapangkan tapak khemah, perut
pula
telah lapar, maka kayu-kayu kering pasti menjadi mangsa pembakaran bagi
tujuan memasak, memanaskan badan dan menjadikan unggun keselamatan. Apakah yang akan
terjadi kepada lantai hutan dikawasan yang dipenuhi dengan berbagai
jenis tumbuhan
berlumut yang terhampar ini.?
Kita perlu akui, bahawa
kesan-kesan
tapak kaki manusia dalam jumlah yang ramai dan kekerapan memasukinya akan merosakkan
lantai hutan. Ini telah terbukti sepertimana yang telah berlaku kepada hampir
semua Hutan Tanah Tinggi di negara kita sepertimana yang telah berlaku
pada Gunung-Gunung G7 .
Lantai -lantai hutan disitu telah
membentuk laluan seluas longkang yang berlopak dan berlecah. Laluan
trek seperti itu telah menjadi dwi-musnah disepanjang laluan tersebut
menuju ke puncak. Ketika dimusim kering akar-akar pokok akan rosak kerana dipijak dan musim
hujan pula menjadi laluan air hujan sehingga membentuk seperti anak sungai.
Lagikan kesan yang dilakukan oleh
Penagih Mendaki Gunung sudah memadai untuk memberi kemudaratan kepada
kawasan persekitaran, inikan pula kerosakkan yang dilakukan oleh Pemburu
Hidupan Liar dan macam-macam pemburu.
Dengan izin Maha Pencipta Sekelian Alam , hendaknya biarlah kawasan hutan ini terus kekal bersama-sama penghuninya dalam keadaan sedia ada. Biarlah penghuninya juga berkembang biak dalam suasana semulajadi aman tenteram secara berterusan sampai ribuan tahun akan datang. Wasalam.
No comments:
Post a Comment