Sekendi Hadada~ Bostrychia Hagedash~Hadada Ibis
Pada 6 November 2015, saya teruja melihat seekor burung Sekendi Hadada~Bostrychia hagedash yang sedang bertenggek sambil berjemur mengeringkan buluhiasnya diatas tiang
lampu di sebatang jalan di Pandan Indah. Burung ini pernah saya lihat
pada 27 Oktober 2013 di sekitar Taman Tasik Perdana dahulu.
Dijumpai pada 6 Nov 2015 |
Dijumpai pada tahun 2010. |
Dijumpai pada 27 Okt 2013 |
Kerap kali menjumpai burung jantan ini mencari makanan. |
Pada ketika itu saya menyangka burung ini dalam proses perjalanan
hijrahnya. Tetapi setelah bertanyakan kepada Guru saya Saudara Mike
Chong, beliau memberi tahu bahawa burung Sekendi Hadada~~Bostrychia hagedash adalah burung yang terlepas daripada kandang kurungan.
Untuk membuat cadangan burung ini berstatuskan burung hijrah adalah
sangat tipis. Kerana tempat asal kepada burung Sekendi Hadada~Bostrychia hagedash adalah dibenua
Afrika, seperti di Afrika Selatan dan Mahgribi. Kemungkinan terlepas
dari Zoo Negara atau pun dari Taman Burung Kuala Lumpur adalah lebih
tepat.
Apa yang menarik perhatian saya, burung yang terlepas ini telah mula
membiak dan menyesuaikan diri dipersekitar dinegara kita ini. Jikalau
dahulu menjumpainya hanya bersendirian tetapi kini menjumpainya dalam jumlah 3 ekor .
Keadaan ini memungkinkan ia akan terus membiak sepertimana yang terjadi
dengan burung Upeh-botak~Mycteria leucocephala.
Pekara yang sama juga berlaku kepada Parot Kelabu-Afrika~Psittacus erithacus erithacus yang
saya jumpai pada tahun 2010 berpasangan terbang bebas dihabitat yang
baharu. Saya percaya pada kebiasaannya mereka cepat menyesuaikan diri dengan
keadaan alam sekitar dinegara kita ini. Dan saya percaya banyak lagi
spesis burung dari luar negara yang terlepas atau dilepaskan dihabitat
negara kita yang kita tidak ketahui.
Masalah ini sering kali disuarakan oleh pencinta hidupan liar tempatan,
dan saya juga sehaluan dengan pandangan mereka itu. Masalah ini dicipta oleh
peminat-peminat membela haiwan eksotik warga tempatan negara yang hanya
mementingkan hawa nafsu mereka sendiri sahaja
Tidak langsung memikirkan kesan buruk yang bakal berlaku dimasa akan datang
kepada hidupan liar asal negara ini. Masalah ini akan timbul bila mana
mereka telah jemu membela atau tidak berkemampuan menjagai hidupan eksotik itu seterusnya membuat keputusan
melepaskannya dihutan atau belukar.
Perkara yang sama juga terjadi apabila Zoo-Zoo persendirian terlepas secara tidak
disegajakan kerana pengurusan kandang tidak diselia dengan
baik. Ada besar kemungkinan 20 tahun akan datang jumlah burung ini akan
bertambah banyak sepertimana yang berlaku dengan spesis burung Gagak
rumah~Corvus splendens. Pada ketika itu burung Sekendi Hadada~Bostrychia hagedash pasti akan mendapat status " Burung-burung yang boleh ditemui di Malaysia " sepertimana burung Gagak Rumah~Corvus splendens.
Dalam bab ini, burung tidak berhak untuk dipersalahkan kerana mereka
tidak tahu menahu, tetapi manusialah yang harus dipersalahkan
sepenuhnya. Daripada orang yang terlibat membawa masuk, meluluskan kebenaran
membawa masuk, orang yang membeli dan membelanya sehingga terlepas atau
melepaskan. Asas utama masalah ini terjadi disebabkan golongan manusia yang rakus ingin mencari
laba keuntungan keatas hidupan liar. Wasalam.
No comments:
Post a Comment