Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus di Malaysia
Sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain ke Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Borneo, Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus telah terlebih dulu mendiami tanah ini dari bangsa-bangsa lain. Mereka juga adalah penduduk asal yang telah bermastautin lama di Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Borneo sejak berjuta tahun dahulu lagi. Penemuan bukti arkologi menjelaskan sejarah kehadiran mereka dan tidak boleh disangkal. Pada ketika itu mereka hidup aman, bebas merdeka didalam habitatnya tanpa sebarang kacau ganggu dan penindasan dari mana-mana pihak.
Tidak dapat diketahui punca kepupusan bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus di Semenanjung
Tanah Melayu, namun begitu mereka masih boleh ditemui di Pulau Borneo,
tetapi dalam jumlah yang sangat membimbangkan. Kerana pada waktu ini
Program Penindasan & Penghapusan Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dirancang dengan
rapi dan tersusun. Rancangan itu dilakukan tanpa ada rasa kasihan belas
terhadap Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus ini. Jikalau ada perasaan simpati pun, ia
hanyalah sekadar pura-pura sahaja, demi mendapatkan laba penajaan atau
menampakkan mereka adalah dari kalangan insan yang mulia.
Maufakat Program Penghapusan Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dilaksanakan oleh
Kumpulan Syarikat-syarikat Perladangan Gergasi. Kumpulan ini
berebut-rebut merampas seluas-luas tanah kawasan Habitat semulajadi
Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus. Kerakusan mencari keuntungan ekonomi dari hasil
penebangan kayu balak sebelum dijadikan kawasan perladangan Kelapa
Sawit. Luas tanah yang dirampas untuk dimiliki oleh sesebuah Syarikat
Perladangan adalah tersangat luas.
Sehinggakan keluasan tanah itu
seolah-olah melayakkan Syarikat-syarikat ini menubuhkan sebuah negara
baharu yang berdaulat. Samada di Semenanjung Tanah Melayu atau pun di
Sabah dan Sarawak. Pemilikan tanah ladang itu adalah lebih luas daripada
negeri Melaka, Perlis dan Negara Brunei. Dengan kekayaan dan kuasa,
mereka boleh sahaja melantik Ahli-ahli Lembaga Pengarah sebagai Waizuri
untuk bertahta memerintah negara Kelapa Sawit itu. Sepertimana
pernah dilakukan oleh Syarikat India Timur yang pernah memerintah
dibenua India pada suatu ketika dahulu.
Cara pemilikan tanah yang luas itu tidak dilihat
sebagai perbuatan jenayah Penghapusan Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus. Tetapi dilihat
sebagai salah-satu usaha penjanaan ekonomi dalam sektor perladangan
pertanian sahaja. Mengaburi minda masyarakat seolah-olah usaha ekonomi
itu memberi banyak peluang pekerjaan kepada Bangsa Haiwan Manusia. Namun
pada hakikatnya Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus telah diusir serta dihambat keluar
secara beramai-ramai dari tanahair mereka.
Pernah juga berlaku pengusiran Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dilaksanakan dengan
kaedah tebang dan pembakaran hutan secara terbuka kerana ia mudah, cepat
dan murah. Kaedah pengusiran sebegini cukup berkesan dan sangat
berjaya. Siri pengusiran yang dilaksanakan ini jelas satu perbuatan
Pencabulan Hak Asasi Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus. Perbuatan kejam ini jelas tidak
memberi peluang Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus untuk mencari makanan dan
beranak-pinak. Malangnya perbuatan kejam ini tidak dilihat sebagai satu
Jenayah Keseksaan tetapi hanya sekadar Jenayah Alam Sekitar sahaja.
Walaupun sebilangan kecil dari Bangsa Haiwan Manusia sedih dan
menyedari akan kekejaman ini, namun mereka tidak mampu melakukan apa-apa
tindakan. Kerana mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang
atau membantah. Sementelah Syarikat Perladangan telah dilindungi dengan
kukuh oleh kuasa kekebalan undang-undang yang tertulis.
Setelah berpuluh-puloh tahun menzalimi Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus , kita sebagai
bangsa Haiwan Manusia bertamadun yang telah diturunkan ugama dari
langit, gunakanlah neraca keadilan pertimbangan akal untuk merasa insaf
akan segala perlakuan kezaliman itu. Maka kenal dan selamilah jiwa
perasaan mereka bersungguh-sungguh dengan pendekatan berbaik sangka
serta jujur.
Orang Utan~Pongo pygmaeus itu adalah makhluk hidup yang mempunyai nyawa dan perasaan.
Mereka berasal dari satu kalangan bangsa haiwan seperti kita manusia
juga. Tetapi mereka telah dikecualikan oleh Allah untuk mengikuti dan
menuruti segala macam perintah serta wahyu yang pernah diturunkan Allah
kepada Nabi-nabi. Oleh sebab itu bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus tidak perlu bersusah
payah menuntut ilmu dan menuruti segala macam Fardu , Sunat dan Haram
sepertimana kita. Biarlah dikalangan mereka menentukan sendiri hala tuju
kehidupannya. dengan bebas merdeka. Mereka juga berhak untuk bebas
merdeka seperti kita untuk mencari kehidupan beranak pinak secara aman.
Tidak
ada sesuatu pun yang dijadikan oleh Allah dialam ini akan menjadi
sia-sia sahaja. Kesempurnaan kejadian jasmani susuk tubuh Bangsa Orang
Utan~Pongo pygmaeus yang padat dan besar adalah bersesuaian dengan tempat habitatnya
didalam hutan belentara. Mempunyai kudrat tenaga yang berlipat kali
ganda dengan kekuatan Bangsa Haiwan Manusia. Kulit dan bulu pada tubuh
mereka cukup tebal untuk menjadi penebat kepada segala macam keadaan
cuaca. Kulit mereka juga tidak mudah cedera akibat terkena ranting dan
duri.
Sepasang tangan yang panjang dan kuat untuk mereka memanjat dan
bergayut diatas pokok. Mempunyai sepasang kaki yang berfungsi seperti
tangan untuk memegang serta mencengkam selain berfungsi untuk berjalan .
Rahang serta gigi yang kukuh memberi kelebihan kepada mereka mencari
makan dan mempertahankan diri. Kerangka tulang empat kerat yang ada pada
jasmani Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus sudah cukup untuk mereka tidak mati kelaparan
didalam hutan belentara. Kerana disitu mereka berupaya mencari dan
memilih sendiri rezeki mereka tanpa bantuan.
Dari sudut rohani, mereka mempunyai berbagai-bagai rasa perasaan serta
hawa nafsu sepertimana Bangsa Haiwan Manusia. Dalam hati mereka
mempunyai naluri rasa kesayangan, takut, gembira, marah dan sebagainya.
Walaupun perhubungan antara mereka hanya menggunakan bahasa mimik muka ,
bahasa badan dan bunyi-bunyi yang hanya difahami oleh mereka. Mereka
aman sentosa hidup didalam hutan belentara tanpa bersendikan ugama ,
adat, peraturan dan pelajaran.
Oleh yang demikian, kita Bangsa Haiwan Manusia
yang sangat bertamadun yang telah diberi segala ilmu fikiran serta
ugama melayakkan kita menzalimi makhluk yang lemah seperti bangsa
Orang Utan~Pongo pygmaeus dan
makhluk-makhluk lain. Tidakkah boleh ilmu pelajaran kurnian Tuhan yang
dimiliki itu digunakan untuk melindungi makhluk-makhluk yang lemah dan
mudah terancam. Atau tidakkah cukup bermacam-macam ancaman pembalasan daripada Allah. Maka jadilah MANUSIA, BUKAN HAIWAN MANUSIA.
Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus akan sentiasa berdiamkan diri dalam derita sepanjang hayat atas semua perbuatan kezaliman terhadap mereka. Akhir kalam, anggaplah sahaja kenyataan ini semua berdasarkan fakta-fakta imaginasi saya sahaja.. Wasalam.
Satu imiginasi yg sangat menarik beserta gambar.semoga Tuan La terus maju berkarya.
ReplyDelete