Monday, 23 July 2018

Encik Abdul Majid Bin Long ~ Perintis & Penyumbang Ilmu Bidang Ornitologi Semenanjung Malaysia


Encik Abdul Majid Bin Long ~ Perintis & Penyumbang Ilmu Bidang Ornitologi Semenanjung Malaysia 



Buku Burung-burung Di Semenanjung Malaysia~G.C Madoc telah terlihat untuk dilelong dihalaman internet. Tanpa berlengah  sahabat saya Saudara Raja Ibrahim @ King Miharbi terus memaklumkan tentang buku itu. Sejurus mengetahuinya, saya menaruh harapan yang tinggi supaya buku tersebut akan menjadi milik saya.Mengetahui buku itu mempunyai  kepentingan kepada saya, beliau menggunakan kemahiran berunding dan pengalamannya untuk mendapatkan bagi pihak saya. Diucap berbanyak-banyak terima kasih.




Buku berjudul Burung-burung Di Semenanjung Malaysia adalah terjemahan dari buku bertajuk An Introduction Of Malayan Bird's. Buku Bahasa Inggeris karangan Encik Guy Charles Madoc, terbitan edisi pertama tahun 1943. Buku ini adalah antara buku terawal yang pernah diterbitkan mengenai aktiviti memburung dan kajian  burung di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga menjadi buku rujukan kepada peminat pemerhatian burung   selain buku The Bird's of Malay Peninsular ~ Herbert C Robinson & Frederik N Chesen.








Secara ringkasnya buku ini merupakan buku panduan yang sangat berguna kepada orang awam yang mempunyai minat untuk menjalankan aktiviti memburung. Diterangkan juga panduan asas bagaimana untuk mencari serta mengenal burung yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia. Dalam pada itu penulis ada menceritakan juga, sejarah penemuan dan pemerhatian burung pada tahun-tahun sebelum Semenanjung Tanah Melayu merdeka. 







Ditulis pada zaman yang mengutamakan pemburung untuk melihat, mengingat, melukis, memerhati tabiat dan mencatit perilaku burung dilapangan. Beliau menulis buku ini ketika dipenjarakan oleh tentera Jepun  di Changi Singapura . Ketika itu beliau tidak terfikir langsung aktiviti ini akan berkembang maju meluas menjangkau memasuki kebidang seni fotografi. Dengan perkembangan semasa, kini ramai peminat  burung sudah tidak memerlukan buku panduan seperti ini lagi. Kerana telah digantikan dengan beberapa buku-buku lain yang bersesuaian dengan maklumat terbaharu yang lebih lengkap. Peminat pemerhati burung bukan sahaja menggunakan teropong tetapi ditambah dengan peralatan rakaman yang termaju dan mahal. 




Kini di Malaysia peminat pemerhatian burung sudah kurang melihat, melukis dan melaporkan apa yang mereka perhatikan. Sebaliknya telah diganti dengan memberi tumpuan  melihat kecantikan burung sambil merakam imej burung. Peminat akan ralit memerhati imej-imej burung yang dirakam  pada bila-bila masa dirumah. Itu lah ringkasan perubahan  yang telah berlaku  dalam aktiviti pemerhatian burung di negara ini.






Maklumat yang terkandung dalam buku ini juga sudah cukup lengkap untuk kita memulakan aktiviti memerhatikan burung. Maka tidak perlu lagi saya membuat apa-apa ulasan tentang buku ini. Sebenarnya apa yang hendak saya utarakan  pada sudut mata saya ialah pada satu kenyataan penghormatan. Penghormatan  Encik Guy Charles Madoc bertarikh 23 hb March 1984 yang diberikan kepada Allahyarham Encik Abdul Majid Bin Long dihalaman ruang prelim itu adalah sangat besar ertinya. 







Memang sebelum ini saya juga tidak mengenali Encik Abdul Majid Bin Long, walaupun berulang-ulang kali membaca buku edisi bahasa Inggeris. Namun begitu setelah terbaca namanya dalam buku edisi bahasa Melayu, timbul perasaan  tanda tanya dan ingin tahu. Siapakah orang Melayu ini yang bernama Encik Abdul Majid Bin Long.







Melalui petikan kenyataan Encik Guy Charles Madoc itu, dapatlah mengetahui dan menghuraikan bahawa Allahyarham Encik Abdul Majid Bin Long sentiasa bersama dengannya selama 20 tahun . Selama tempoh itu mereka berdua sentiasa berganding bahu  dalam bidang pemerhatian burung serta perkembangan ilmu bidang Ornitologi. Pengalaman pemerhatian burung selama 20 tahun adalah satu jangkamasa yang sangat lama. Jangkamasa yang begitu lama itu melayakkan sesiapa sahaja menjadi seorang pakar dalam bidang pemerhatian burung.





Walaupun sebagai pembantu, pengalaman selama itu sudah cukup melambangkan bahawa seseorang itu tersangat mahir dan mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan burung secara terperinci dan meluas. Pancaindera mata dan telinga  mereka sangat cekap  mencari  dan mengenal setiap spesies burung. 




Ketagihan dan keseronokan memerhati burung memberikan Ilmu kepada  mereka.  Encik Guy Charles Madoc telah diberi peluang membuktikan kepakarannya dengan menyalur ilmu berkenaan burung dalam bentuk buku. Maka sehingga sekarang beliau telah dikenali oleh segenap lapisan masyarakat dan jasanya dikenang.


But-but Kecil~Centropus bengalensis

Manakala Encik Abdul Majid Bin Long pula  menyimpan ilmu yang diketahuinya itu hanya didalam hatinya sahaja. Maka sehingga ke hari ini tiada siapa yang mengetahui kewujudan dan kepakaran beliau. Secara perinsipnya , berdasarkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh Encik Abdul Majid Bin Long , layaklah ia dinobatkan sebagai perintis pemerhatian dan pembelajaran burung warga tempatan di Semenanjung Tanah Melayu. 


But-but Besar (Terakup)~Centropus sinensis


Walaupun tidak diceritakan perincian setiap peristiwa mereka bersama, tetapi kita semua dapat bayangkan hal keadaan yang sedemikian berlaku pada ketika itu. Ditahun-tahun pemerintahan British 1930an hingga 1950an dapat dibayangkan bagaimana kesukaran Encik Abdul Majid Bin Long menemani Encik Guy Charles Madoc pergi keseluruh pelusuk Semenanjung Tanah Melayu. 




Falkon Katik Peha-hitam~Microhierax fringillarius


Tanpa bantuan warga tempatan seperti Encik Abdul Majid Bin Long yang memang tahu selok belok negerinya sendiri, sudah tentu Encik Guy Charles Madoc akan berhadapan berbagai-bagai kesulitan ketika dilapangan. Menaiki kapal menempuh ombak lautan terbuka luas, pergi ke pulau-pulau dilaut terbuka, menyusuri di tepian pantai, meredah hutan bakau, merentas kawasan paya air tawar, berperahu menyusuri sungai-sungai, memasuki kawasan kampong-kampong pedalaman, pekan-pekan, kawasan taman tanah rendah, berpanas dipadang semak terbuka, meredah hutan tanah pamah dan hutan kawasan tanah tinggi. 







Merbuk Aman~ Geopelia striata

Merbuk Aman~ Geopelia striata


Saya memetik sebuah laporan jurnal dari Malayan Nature Jurnal berjudul A Visit To Gunung Tahan yang dilaporkan oleh Encik Guy Cherles Madoc . Beliau telah menceritakan akan ekspidisi hebatnya yang dilakukan  pada 19 Feb 1959 . Ekspidisi kajian burung-burung hutan tanah tinggi untuk mencari dan melihat burung Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia) di Gunung Tahan. Kita ambil kira perjalanan darat dari Kuala Lumpur  ke Kuala Tahan.


Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopelia chinensis

Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopelia chinensis

Kemudian berperahu dari Kuala Tahan hingga ke Kuala Teku. Berbekalkan kekuatan 17 orang Melayu dengan 5 buah perahu sarat dengan bekalan dan peralatan. Mereka  berperahu mudik sampai ke Kuala Teku. Sepanjang perjalanan kesana mereka terpaksa mengharungi 65 laluan jeram air deras (rapid). Untuk sebuah perahu yang tidak mempunyai apa-apa beban bekalan, memerlukan keupayaan kudrat seramai 10 orang untuk mengangkat perahu melepasi jeram-jeram.


Tekukur Tengkuk-bintik~Streptopelia chinensis


Dari Kuala Teku mereka memerlukan tambahan 14 orang porter untuk meneruskan ekspidisi mendaki naik ke puncak Gunung Tahan. Diceritakan juga azab menghadapi kepanasan melampau sehingga 50 darjah Fahrenheit ketika melintas dikawasan Padang. Semata-mata untuk mencari burung Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia). Sengsara tidur hanya dengan bertikar diatas lantai tanah. Terperangkap kesejukan , terkena dengan  hujan lebat dan ribut  di kemuncak Gunung Tahan. 




Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus

Burung Tukang Ekor-besar~Caprimulgus macrurus

Burung Tukang Savana~Caprimulgus affinis


Lokos basah dan menggigil menahan kesejukan yang melampau di kemuncak Gunung Tahan. Itulah yang dilalui oleh Encik Guy Cherles Madoc bersama temannya Encik Abdul Majid Bin Long demi perkembangan ilmu dalam bidang Ornitologi. Walaupun ekpidisi itu dianggapnya gagal kerana tidak bernasib baik untuk bertemu burung Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia), tetapi mereka dapat bertemu dengan burung-burung lain dikawasan tanah tinggi pergunungan.

Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia)

Cericap Bukit~ Prinia atrogularis (Hill Prinia)




Kesumba Tengkuk-merah~Harpectes kasumba

Itu adalah serba sedikit catitan yang dilalui oleh Encik Guy Charles Madoc dengan pembantunya Encik Abdul Majid Bin Long. Begitu susahnya mereka ingin mendapatkan ilmu. Mencari kepada pekara yang belum pasti. Boleh jadi berjumpa dan boleh jadi gagal. Pada  waktu yang sama  terpaksa bekorbanan  berpisah dengan ahli keluarga dan menahan rindu dengan mereka.


Kesumba Tengkuk-merah~Harpectes kasumba


Kesumba Tengkuk-merah~Harpectes kasumba


Persoalannya sekarang, siapakah dikalangan rakyat Malaysia yang berkecimpung dalam bidang pemerhatian burung , seorang pendidik bidang Ornitologi, pengiat-pengiat Persatuan Burung,  kenal akan nama Encik Abdul Majid Bin Long ? Saya yakin rata-ratanya tiada seorang pun  mengenali beliau kecuali ahli keluarga terdekatnya atau anak cucu kepada Encik Abdul Majid Bin Long.







Pekaka Leher-putih~Halcyon smyrnensis

Memang saya akui, saya juga tidak mengenal Encik Abdul Majid Bin Long sehinggalah terbaca maklumat penghargaan yang ditulis oleh Encik Guy Charles Madoc. Mengapa pekara seperti ini boleh berlaku kepada Encik Abdul Majid Bin Long, sehingga jasanya tidak diketahui oleh warga tempatan. Malah bukan itu sahaja , tidak ada sebarang maklumat berserta bukti sahih tentang dirinya dapat dirujuk atau dibaca. Gambar batang tubuhnya langsung tidak dapat dikesan, disebabkan  tiada sebarang matlumat. Begitulah halnya yang terjadi kepada Encik Abdul Majid Bin Long. 





Rollar Paruh-merah~Eurystomus orientalis

Berbeza pula dengan nasib Encik Ali Wallace pembantu Encik Alfred Russel Wallace yang melalui pengalaman yang sama.  Warga Sarawak yang menjadi teman dan  membantu Alfred Russel Wallace sepanjang tempoh membuat kajian diseluruh kepulauan Melayu. Namun sejurus Alfred Russel Wallace menerbitkan bukunya beliau telah memberi penghormatan dan penghargaan kepada pembantunya Encik Ali Wallace, melalui beberapa artikel dan boleh dirujuk sehingga sekarang.




Apa yang menjadi persoalan kepada saya ialah, mengapa Encik Guy Charles Madoc tidak memberi penghormatan kepada Encik Abdul Majid Bin Long. Sepertimana beliau memberi penghormatan kepada Dr.Moleworth, Encik F.G Allen, En.Gibson Hill dan Dr.Tho Wan Hoe didalam penerbitan buku An Introduction Of Malayan Bird's edisi yang pertama ditahun 1943. 


Takur Tembaga~Megalaima haemacephala

Takur Tembaga~Megalaima haemacephala

Takur Jumbai-berapi~ Psilopogon pyrolophus

Takur Jumbai-berapi~ Psilopogon pyrolophus


4 tahun kemudian  pada tahun 1947 buku ini diulang cetak , diikuti pula tahun 1956 dan 1976. Namanya masih tercicir tidak dimasukkan didalam bukunya sebagai orang yang telah berjasa. Selama tempoh hampir 33 tahun  itu nama Encik Abdul Majid Bin Long telah tercicir didalam buku itu. Selama tempoh itu jugalah  orang yang membaca buku itu tidak mengetahui akan jasa dan kewujudan Encik Abdul Majid Bin Long.





Belatuk Pinang-tua Kecil~Dinopium javanensis (Betina)

Belatuk Pinang-tua Kecil~Dinopium javanensis (Jantan)


Namun begitu setelah 41 tahun berlalu iaitu pada tahun 1984 , Encik Guy Charles Madoc telah menterjemahkan buku edisi Bahasa Inggerisnya kepada edisi Bahasa Malaysia. Buku yang diterbitkan dengan bantuan Persatuan Pencinta Alam telah mendapat sokongan bantuan kewangan dari Petronas.  Maka pada ketika itu, barulah beliau teringat jasa Allayarham Abdul Majid Bin Long. Beliau telah mengambil masa selama   41 tahun untuk mengenang jasa  Encik Abdul Majid Bin Long untuk disematkan didalam buku Burung-burung Di Semenanjung Malaysia.





Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis


Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis


Malangnya buku yang diterbitkan pada tahun 1984 oleh Persatuan Pencinta Alam itu tidak ramai pula yang tahu akan kewujudannya. Lagikan buku ilmiah terbit baharu tidak mendapat perhatian, inikan pula buku terbitan 33 tahun yang lampau.  Sementelah itu pula dengan sifat orang Melayu yang kurang berminat membeli dan membaca bacaan ilmiah, maka sama sahaja statusnya pada Encik Abdul Majid Bin Long, yang masih juga  tidak dikenali oleh khalayak warga tempatan. Kadang-kadang difikirkan, tindakan yang dilakukan pleh Encik Guy Charles Madoc itu ada betulnya juga. 


Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis


Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis

Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis

Samada beliau memberi penghormatan dan penghargaan atau tidak, tanggapan orang Melayu  sama sahaja. Dikalangan orang Melayu tidak dipedulikannya langsung akan pekara remeh seperti ini. Bertambah-tambahlah lagi dengan sifat dan budaya orang Melayu yang memang kurang berminat membaca bacaan ilmiah berbanding membaca bacaan hiburan, khabar angin, mistik dan kisah puaka. Berterusanlah beliau tidak dikenali. Harap-harapnya penerbit ada menghantar senaskah  buku sebagai cenderahati kepada waris Allahyarham Abdul Majid Bin Long di Bukit Kuda Kelang Selangor sebagai tanda ingatan jasanya.





Minivet Dagu-kelabu~Pericrocotus solaris (Betina)

Minivet Dagu-kelabu~Pericrocotus solaris (Jantan)

Minivet Dagu-kelabu~Pericrocotus solaris (Jantan)

Bertitik tolak dari situ lah sejak buku ini diterbitkan 33 tahun lalu barulah sebilangan warga tempatan  seperti saya  mengetahui siapa itu Allayarham Abdul Majid Bin Long. Sepatutnya beliau telah dikenali sudah lama sejak 73 tahun yang lalu. Dari kerana itu , setelah saya mengetahui akan hakikat perkara tersebut, maka menjadi tanggungjawab saya pula untuk memaklumkannya kepada khalayak ramai.






Cemcili Tengkuk-badam~Enicurus ruficapillus ( Betina )

Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama. Walau kasturi tersorok lama, namun harumnya tetap segar, walau intan berlian tertanam dalam tanah kilauannya tetap bersinar-sinar.


Cemcili Tengkuk-badam~Enicurus ruficapillus ( Betina )


Mengapa Encik Guy Charles Madoc mengambil masa begitu lama sejak 1943 sehingga 1984 iaitu selama 41 tahun untuk mengenang jasa Allahyarham Abdul Majid Bin Long?  Hanya dia sahaja yang mengetahuinya.  Sebagai menghormati jasa dan pengorbanan yang besar oleh Guy Charles Madoc dalam bidang pemerhatian burung & ornitology adalah molek membuat kenyataan berbaik sangka sahaja diberikan terhadap beliau.



Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

Boleh jadi beliau secara tidak sengaja telah terlepas pandang akan pekara itu. Boleh jadi juga, ada besar kemungkin semasa hayatnya ada, Allayarham Abdul Majid Bin Long telah meninggalkan wasiat supaya jangan sesekali namanya dicatit didalam bukunya itu. Maka Encik Guy Charles Madoc dengan rasa berat hati dan serba salah telah mengotakan apa yang telah diwasiatkan oleh temannya itu 


Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

Shama Tongkeng-putih~Copsychus malabaricus

















Agaknya itulah tanda-tanda sifat orang Melayu dulu-dulu yang berilmu, tidak mahu membangga dan dibangga. Tidak mahu menjulang-julangkan namanya sendiri atau tidak mahu dirinya dikenali ramai. Baginya  Ular menyusur akar bisanya tidak akan hilang. Mengikut rasmi padi, makin berisi makin lah ia tunduk.  Wasalam.


Nota Penghargaan:

Terima kasih dan penghargaan kepada sahabat saya Saudara Mike Chong kerana sudi meminjamkan buku An Introduction Of Malayan Bird's ~ G.C.Madoc miliknya sebagai rujukan perbandingan.


Terima kasih kepada sahabat saya saudara Raja Ibrahim @ King Miharbi  atas ingatan dan kecekapan beliau  lah saya dapat memiliki buku Burung-burung Di Semenanjung Malaysia Karangan Encik Guy Charles Madoc pada Disember tahun 2017.

Rujukan Malayan Nature Jurnal.

1 comment: