Pemerhatian Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile Sungai Klang, Selangor.
Pada zaman sekarang bukannya mudah untuk melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar di habitatnya. Kita sedia maklum, hidupan liar dwi-alam yang dikenali umum, sebagai haiwan garang dan ganas. Ia berupaya menyerang, menggulung , melibas dan membaham mangsanya jika ia diganggu atau diberi peluang. Biasa juga kita mendengar laporan berita tentang manusia diserang dan dibaham oleh Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile di sungai Negeri Sarawak.
Tetapi di sebelah Semenanjung Malaysia, laporan haiwan ini menyerang manusia amatlah jarang berlaku. Ini disebabkan sungai-sungai di bahagian Semenanjung bukan lagi menjadi laluan perhubungan dan penggangkutan utama.Walaupun begitu, ini tidak bermakna haiwan liar ini tidak berkemampuan menyerang manusia jikalau manusia sendiri memberi peluang kepadanya dan mendedahkan keselamatan dirinya di habitatnya. Haiwan liar ini dilindungi sepenuhnya oleh Akta Perlindungan Hidupan Liar, yang membawa hukuman dan denda yang tinggi. Jikalau ditangkap dan didapati bersalah mencederakannya, apatah lagi membunuhnya tanpa sebab.
Sepanjang umur saya ini adalah kali pertama diberi peluang melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar. Sejak dahulu, ketika melakukan aktiviti memancing ikan di seluruh Semenanjung Malaysia saya berkeinginan sangat untuk melihatnya. Tidak disangka-sangka baru sekarang pada usia 50an akhirnya diberi peluang. Memang kalau sudah ada jodoh untuk bertemu, pertemuan itu hanya di Sungai Klang, Selangor sahaja.
Ketika bertemu Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile itu sedang sibuk mengejar ikan Patin~Pangasianadon hypophthalmus. Memandangkan pada waktu itu air sungai sedang surut, saya anggarkan pada paras kedalaman cuma 1 kaki sahaja. Ikan ini bergerak dalam satu kumpulan, maka agak mudahlah Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile itu membuat tangkapan. Akibat diserang, ikan itu melompat kepermukaan air untuk menyelamatkan diri. Mana-mana yang tidak berkesempatan akan dibaham oleh buaya tersebut.
Terdapat banyak ikan Patin~Pangasianadon hypophthalmus bersaiz besar dan Ikan Keli Afrika~Clarias gariepinus di Sungai Klang. Saya fikir inilah sumber diet utama Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile yang ada disini. Buaya disini tidak makan bangkai-bangkai ayam atau bangkai haiwan ternakan yang lain. Ia hanya memilih makanan dari sumber diet yang segar sahaja. Memandangkan banyak sumber makanan saya tidak menolak bilangan Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile disini dalam jumlah yang banyak. Walaupun, mungkin tidak sebanyak Biawak Air~Varanus salvator.
Sungguhpun saya dapat buat pemerhatian, namun pemerhatian saya itu terbatas. Saya tidak berpeluang melihat keseluruhan anggota badan spesies Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile. Cuma melihat 30 peratus daripada anggota bahagian atas belakang badan dan ekornya sahaja. Selebihnya tenggelam ditutupi oleh air sungai Klang. Berdasarkan saiz yang dilihat dianggarkan pada lebar bahagian perutnya, dekat 2 kaki. Panjangnya pula lebih kurang antara 15 ~ 16 kaki panjang.
Dari atas tebing, kelihatan air sungai menyembur-yembur hasil serang Buaya terhadap ikan-ikan. Setelah kenyang secara perlahan-lahan ia menyelam kedalam sungai yang sudah mulai pasang sedikit demi sedikit. Setengah jam kemudian kelihatan ia menimbulkan dirinya sambil berenang ke arah hulu sungai. Ia berenang dengan mengikut arus , kelihatan ekornya dibuai-buaikan kearah kiri dan kanan. Memandangkan saya masih belum melihat keseluruhan bentuk tubuh badannya, saya mengejar mengekorinya dan menunggu diatas tebing. Mengharapkan ia akan bersidai diatas tebing landai ditepi sungai.
Cita-cita ingin melihat Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile liar. Imej ini dirakam di Paya Indah Selangor. |
Keputusan mengekori buaya itu membuahkan hasil, dimana saya dapat membuat pemerhatian pada jarak yang lebih dekat serta jelas. Kelihatan keseluruhan warna asal badannya berwarna Tembaga telah disalut dengan tempelan kulat-kulat hijau. Disetengah bahagian badannya kelihatan tempelan sisa lumpur warna kehitaman. Ketika ia berenang kelihatan matanya terbuntang berwarna jernih keemasan. Warna keemasan mengelilingi biji mata hitam, berbentuk buah Kana. Agakan saya tidak begitu tepat apabila sampai disatu kelok sungai ia pun menenggelamkan dirinya. Hilang dari pandangan mata. Mendegilkan diri menunggu disitu untuk satu jangka agak lama, namun buaya itu tidak timbul lagi.
Papan Tanda Peringatan diatas tebing disebatang Sungai di Negeri Sarawak. |
Cadangan saya, ada baiknya Majlis Perbandaran Klang, Dewan Bandaraya Shah Alam , Jabatan Saliran Dan Pengairan atau Jabatan Perhilitan memasang papan-papan tanda supaya memberi amaran kepada penduduk. Supaya masyarakat lebih berwaspada akan kehadiran Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile disitu. Maka masyarakat yang melakukan aktiviti didalam sungai atau ditebing-tebing sungai akan lebih berwaspada.
Dalam pada itu kita tidak boleh menolak kemungkinan Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile akan terlepas berenang ke kawasan pertanian atau penempatan awam ketika air banjir melimpah.
Papantanda Awas dan Amaran ini bukan bermakna Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile akan ditafsirkan ia sebagai musuh kepada manusia. Tetapi sebagai makluman kepada manusia supaya tahu menghormati sempadan dirinya. Bukan untuk ia diburu ditangkap dan dibunuh. Harapan saya biarlah Buaya Tembaga~Crocodylus porosus~ Saltwater Crocodile di sepanjang Sungai Klang ini bertambah banyak jumlahnya. Agar ia bersaiz besar dalam keadaan mereka semua gembira menyembunyikan dirinya sepertimana sekarang. Keadaan ini akan menjana kegiatan menuntut ilmu dalam bidang kajian hidupan liar juga dalam bidang eco-tourism. Wasalam.
No comments:
Post a Comment