Kali Pertama Ku Lihat Kamu..
Sambar Rimba Dada-coklat~Rhinomyias brunneata (Brown Chested Jungle Flycatcher )
Menurut Senarai Merah IUCN status Burung Sambar Rimba Dada-coklat~Rhinomyias brunneata (Brown Chested Jungle Flycatcher )yang berasal dikawasan pergunungan di Negera China ini adalah Terdedah Kepada Ancaman ( Vulnerable ). Rujukan buku Criag Robson The Field Guide of The Birds of South East Asia, pula menyatakan sebagai Passage Migrant. Bermakna spesies ini menjadikan Semenanjung Malaysia hanya sebagai laluan sementara perjalanan hijrah mereka. Jikalau cuaca mengizinkan mereka akan meneruskan perjalanan hijrahnya. Ia tidak akan menetap disesuatu kawasan itu pada jangkamasa yang lama. Berdasarkan maklumat itu, maka sangat jaranglah peminat pemerhatian burung di Semenanjung Malaysia dapat menjumpainya.
Menurut sumber daripada Singapore Bird Group burung ini dikenali oleh peminat pemerhatian burung pada tahun 2006. Sebelum itu mereka beranggapan ia hanya seperti spesies Sambar~Muscicapa yang biasa sahaja. Memandangkan bentuk batang tubuh serta warna hampir menyamai dengan burung Sambar Coklat Asia~Muscicapa dauurica dan Sambar Sisi-gelap~Muscicapa sibirica. Maka tidak begitu mengambil berat tentang spesies ini. Selepas itu sejak 2006 pada setiap tahun dibulan Oktober pemburung teruja menanti dan tercari-cari spesies ini di Pulau Singapura. Mengikut rekod rasmi Oriental Bird Club menunjukkan walaupun, spesies susah dijumpai namun ia kerap dijumpai di Pulau Singapura. Berikut tarikh penemuan spesies Sambar Rimba Dada-coklat~Rhinomyias brunneata (Brown Chested Jungle Flycatcher ); 11 Nov 2006, 29 Okt 2011, 5 Nov 2011 dan yang terbaharu ialah pada 13 Okt 2018.
Sebelum saya menjumpai spesies Sambar Rimba Dada-coklat~Rhinomyias brunneata (Brown Chested Jungle Flycatcher ) ini, cuma 2 orang pemburung tempatan sahaja yang telah bernasib baik menjumpainya di Semenanjung Malaysia. Menurut rekod rasmi didalam Oriental Bird Club pada 10 Oct 2007 Saudara Lim Kim Chye seorang pemburung berpengalaman telah menjumpai spesies burung ini di kawasan Ladang Kelapa sawit di Nilai Negeri Sembilan. Kemudian pada 11 Okt 2013 Puan Yen Loong Lean secara tidak sengaja juga telah menjumpai 2 ekor spesies ini terdampar kepenatan , di Chin Swee Temple di Genting Highland. Selepas itu dari sejak 11 Okt 2013, 5 tahun kemudian itu tidak ada rekod menunjukkan spesies ini telah dijumpai di Semenanjung Malaysia.
Saya bernasib baik menjadi salah seorang pemburung tempatan yang telah menjumpainya sebanyak 2 kali. Iaitu pada tahun ini 2018 di bulan Oktober dan satu lagi di bulan November ditempat yang berlainan. Tempoh 5 tahun itu dikira lama dalam bidang pemerhatian burung ini. Ini memberi bayangan kepada kita ia seolah-olah burung halimunan. Melintas di tanah besar semenanjung Malaysia tanpa dapat dikesan oleh semua peminat pemerhatian burung di Malaysia. Salah satu ciri-ciri sebagai Pemburung Tulen adalah untuk melihat setiap spesies yang sangat susah untuk dijumpai. Ia tidak mengira akan status kecantikan sesuatu spesies burung tersebut. Ada pemburung tulen yang sudah berpuloh tahun memburung tetapi sehingga sekarang masih belum bernasib baik melihat batang tubuh spesies ini dengan mata kepalanya.
Berikut adalah penceritaan pengalaman dari sudut kaca mata seorang Pemburung Hybrid. Tentang ciri bentuk tubuh, warna dan sedikit kelakuannya. Dalam tempoh satu bulan telah 2 kali menjumpainya burung ini. Kedua-duanya dijumpai dikawasan rimba yang berhampiran dengan gigi air. Dikawasan gigi air itu pula dilindungi oleh knopi tumbuhan-tumbuhan hutan yang padat, diselang selikan dengan tumbuhan Palma Bertam. Suasana cahaya adalah gelap suram dan cahaya matahari sangat kurang dapat menembusi kawasan sekitar. Cuma yang ada saki baki cahaya matahari sahaja yang kelihatan seperti berlobang-lobang cahaya.
Dia memilih untuk bertenggek diatas ranting-ranting pada kedudukan tahap yang rendah. Kedudukan ia beertenggek antara sejengkal hingga ke 2 kaki dari aras tanah. Ia bertenggek keras membatu untuk satu jangka waktu yang agak lama, sekiranya tidak ada gangguan. Sesekali membuat penerbangan jarak pendek ke ranting berhampiran, pada paras ketinggian yang hampir sama juga.
Ketika proses perakaman imej, telah berlaku sedikit adegan kejar mengejar. Ia masih membuat penerbangan-penerbangan jarak pendek dan hinggap pada ranting-ranting yang rendah. Dengan cahaya yang suram ditambah pula warna buluhias berwarna coklat memberi kesulitan kepada mata untuk melihat batang tubuhnya. Hanya sedar kehadirannya itu bila mana ia menukar tempat terbang ke ranting lain. Ciri-ciri sifatnya itu hampir menyerupai dengan ciri sifat spesies-spesies burung tempatan iaitu Sambar Rimba Dada-kelabu~Rhinomyias umbratilis, Sambar Ekor-putih~Cyornis concretus, Sambar Dada-perang~Ficedula dumetoria dan Palintoma Sayap-perang~Philentoma pyrhopterum.
Ciri-ciri bentuk dan warna bulu hiasnya berwarna coklat hampir sama seperti burung Sambar Coklat Asia ~ Muscicapa dauurica. Dibahagian dada burung terdapat warna coklat yang tidak begitu tebal warnanya.Perbezaan ketara dapat dilihat pada bentuk paruh yang sedikit tegap serta panjang. Pada hujung paruh atas bentuk bercangkuk menutup sebahagian hujung paruh bawah. Perbezaan pada bahagian paruh jelas membezakan antara spesies terdekat yang menyerupainya.
Timbul pulak persoalan dalam fikiran, jikalau sifatnya itu dibawa pekiraan yang suka bertenggek pada kedudukan yang rendah, bagaimana agaknya bila dia membuat penerbangan hijrahnya yang jauh beribu-ribu batu, bila pulak ia akan sampai. Wasalam.
No comments:
Post a Comment