Pemerhatian Burung Tangkap Lalat
Pucong Kecil~Butorides striatus ( Little Heron )
Nota Pemerhatian
Di tengah Bandaraya Kuala Lumpur ada cabang sebatang anak sungai Klang yang cetek, kotor dan busuk mengalir terlalu perlahan. Aliran air yang lesu itu terhalang oleh berbagai bentuk dan jenis sampah sarap. Terlalu banyak kalau ingin ditulis satu persatu, dan jika ditulis akan mendatangkan pulak malu.Itu petanda penghuni yang mendiami bandaraya yang serba maju dari segi infratruktur adalah dari jenis metaliti manusia kelas dunia ke 3. Paras air anak sungai ini juga berlain-lain keadaan. Ada yang berlumut lembab serta berselut , ada yang cetek airnya dan ada yang terkepung menjadi kolam mini.
Walaupun air anak sungai ini mengalir, namun pada hemat peribadi saya ia tidak sah untuk berwuduq , lantaran kekotoran yang melampau. Ada disebahagian tempat, walaupun air nampak jernih tetapi berbau hanyir dan busuk. Kerana mana ada sungai dan parit didalam bandaraya Kuala Lumpur yang bersih, semuanya kotor belaka. Sungguh pun begitu di sepanjang anak sungai itu telah tersedia rezeki bekalan makanan untuk makhluk-makhluk ciptaannya, jika berusaha mencari.
Seekor burung juvana Pucung Kecil~Butorides striatus ( Little Heron ) kelihatan bersendirian sedang berjalan dikawasan gigi anak sungai. Kadang-kadang berjalan diatas selut dan kadang-kadang jari kakinya basah berendam kerana meredah air. Habis keting kakinya terlekat lendir lumut warna kehijauan. Kemudian hilang kembali setelah berjalan meredah air dikawasan cetek. Sambil berjalan kepalanya terhanguk-hanguk dengan sepasang mata tajam mencari objek yang boleh dimakan. Setelah lebih kurang 2 meter terhanguk-hanguk meredah air , burung itu berhenti diatas sebuah tayar kenderaan yang terbenam dalam selut. Bersebelahan tayar itu ada pempers bayi yang baru dibuang bersama-sama najis bayi yang masih terlekat pada pampers.
Disitu juga ada sekor bangkai ikan Talapia yang telah kembung perutnya menunggu pecah. Mungkin akibat terperangkap dalam kolam mini yang telah bertukar menjadi racun kepada ikan malang itu. Gabungan bangkai ikan dan najis bayi pada pampers itu sudah tentu menarik perhatian lalat. Gerombolan lalat menghurong kedua objek itu secara bersepah-sepah dan bertitih-titih. Ada yang bertenggek diatas najis ada yang berpusing-pusing beterbangan mengelilingi kawasan itu. Burung juvana Pucung Kecil~Butorides striatus ( Little Heron ) berjalan seperti didalam taman tanpa apa-apa sebarang tindak balas pada suasana busuk disitu. Berdiri tegak sambil memerhati kawasan sekeliling.
Tidak semena-mena dengan kekuatan tulang batang leher panjang dan ketajaman mata burung dia membuat patukan ke udara sekelilingnya. Adakalanya dibahagian kiri, ke atas dan ke kanan. Dari jauh kelihatan tindakan burung itu seperti perbuatan sia-sia. Tetapi apabila dilihat pada imej rakaman kamera, tindakan burung itu sebenarnya bukanlah kerja sia-sia. Dihujung parung itu terkepit lalat-lalat yang berjaya ditangkap dengan hujung paruh runcingnya. Pemerhatian perilaku burung menangkap lalat yang sedang terbang adalah pekara yang baharu pada saya.
Pada kebiasaan melihat spesies ini mencari makanan dari jenis ikan, udang , cacing atau ketam. Samada dengan merejam paruhnya ke dalam air atau membenamkan parut didalam selut atau tanah. Tetapi perilaku menangkap lalat di udara untuk menangkap lalat merupakan pengalaman baharu. Pemerhatian ini menjadi bukti jelas tentang kecekapan burung menggunakan gabungan pancaindera yang dicipta oleh Maha Pencipta seperti mata, paruh dan batang lehernya untuk mencari rezekinya. Kecepatan tujahan paruh ke udara sambil mengepit lalat mengatasi pepantasan lalat-lalat sedang terbang. Wasalam.
No comments:
Post a Comment