Monday, 7 October 2019

Nelayan Sungai Kampong Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut Pahang, Malaysia.


Pengalaman Bersama Nelayan Sungai Menangkap Ikan Menggunakan Jaring Hanyut Di Kampong Pagi, Ulu Tembeling Jerantut Pahang.





Mukadimah

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Teh @ WAN Cik ,  Pakcik Razak dan Saudara Idris kerana beliau merasa selesa dan senang hati untuk berkongsi pengalamannya sebagai Nelayan Sungai sepenuh masa di Kampong Pagi Ulu Tembeling Jerantut Pahang, Darul Makmur. Pengalaman yang dirasai itu ketika mengikut beliau menangkap ikan, sewajarnya dikongsi pula kepada khalayak. Dengan niat kalau-kalau dapat mencelekkan mata hati yang lama terlelap lena dibuai senang lenang. Setelah terceleknya mata hati itu nanti, nescaya akan timbul pula akal budi timbang rasa. Dengan  akal budi itu akan terbukalah hati dapat melihat dan  mengenal susah payahnya kehidupan orang-orang yang berusaha sebagai nelayan atau pekerjaan menggunakan tulang empat kerat , tanpa perlu ia melalui pengalaman itu.


Saudara Wan Cik @ Pak Teh

Pakcik Razak

Kehidupan Nelayan yang tidak tahu hujung pangkal kedatangan punca rezekinya,  dalam membiayai diri dan keluarga untuk meneruskan kehidupan. Semua jenis ikan disepanjang sungai Ulu Tembeling itu juga pun begitu, mereka ingin hidup beranak pinak membesarkan diri masing-masing. Dengan menggunakan naluri kecerdikan yang dianugerahkan oleh Allah supaya boleh terus hidup bebas dari tertangkap menjadi rezeki manusia.

Saudara Idris 

Maka disinilah berlakunya sifir hukum berusaha,  berdoa, bertawakal dan redho. Sesuai dengan kata-kata Saudara Pak Teh @ Wan Cik dalam mencari rezekinya sebagai nelayan; "kalau tidak di tebarkan jaring ke dalam sungai, manakan boleh kita mendapatkan ikan".  Setelah selesai segala urusan usaha jaring sudah berhanyut didalam sungai, maka selepas  itu baru lah boleh menjadi ketentuan Allah. Allah sahajalah menghendakkan rezeki ikan tersangkut pada jaring . Usaha ini adakalanya banyak , adakala sedikit dan adakala tidak ada langsung. Hal keadaan rezeki  itu pula tidak menentu dan tidak tetap, maka atas diri sendirilah untuk sentiasa beringat.






Penyediaan Sebelum Turun ke Sungai Untuk Menjaring Ikan.



Jaring yang digunakan untuk menangkap ikan mempunyai luas mata petak 1 inci benang tangsi dengan panjangnya lebih kurang 50 meter dan lebarnya 1 meter. Dibahagian atas jaring harus diletakkan deretan pelampung yang disusun ikat pada jarak  lebih kurang 1 meter antara 1 pelampung dengan pelampung yang lain. Manakala pada bahagian bawah jaring, akan disusun ikat batu pemberat dengan jarak yang sama dengan yang diatas.





Urusun menyediakan pelampung dan pemberat hendaklah diselesaikan diatas darat terlebih dulu. Botol plastik terpakai yang disediakan bersama tali rapia untuk diikat pada tali jaring sebelum dilepaskan ke sungai. Ditambah lagi,lebih kurang 20 ketul batu sungai  saiz penumbuk yang telah diikat dengan tali rapia. Memandangkan Saudara Pak Teh @ Wan Cik bersendirian menangkap ikan, maka semua urusan itu harus dilakukan diatas darat. Urusan itu untuk memudahkan diri sendiri dan kelancaran tugas apabila kerja-kerja melepaskan jaring dilakukan.




Disaat itu, beliau  tidak akan membuang masa untuk mengikat batu pemberat satu persatu diatas Bot Panjang. Semasa itu mana hendak mengimbang mengawal bot , menjaga enjin dengan arus air yang agak deras. Mana sempat hendak mengikat batu pemberat pada ketika itu. Maka semuanya itu harus dirancang dan diselesaikan semasa di atas darat lagi. Letak susun jaring diatas bot juga banyak membantu dalam melakukan tugasan melepas dan menarik jaring nanti. Setelah selesai pekara itu semua maka persediaan bekalan minyak bot, bekalan palet umpan makanan ikan, air minuman, pelampung keselamatan, parang dan bekalan makanan hendaklah selesai semuanya.  





Hal Keadaan Dan Proses Menjaring Ikan Di Sungai Mengunakan Jaring Hanyut.






Pada kebiasaan setiap hari di sebelah pagi Saudara Wan Cik @ Pak Teh akan mengemudik bot panjangnya ke Hulu Sungai Tembeling. Dalam suasana pagi yang sejuk berkabus dengan berpandukan pengalaman dan gerak naluri hatinya, beliau akan mencari lubuk-lubuk bertuah . Atau telok-telok yang pada kebiasaannya akan menjadi tempat ikan berkumpul dan bermain-main mencari makanan. Setelah memilih kawasan yang disangkakan terdapat kumpulan ikan yang banyak, sambil bot menghanyut beliau akan mencampakkan pelet-pelet ikan sebagai umpan. 









Memandangkan bentuk sungai berkelok-kelok dan kedalaman paras air yang berbeza-beza , maka beliau harus pandai memacu dan mengawal bot ketempat yang sesuai. Disitu  beliau akan membuat pemerhatian sambil berehat  menunggu buat seketika. Memandang ke arah pelet-pelet itu hanyut terapung  dibawa oleh arus air ke hilir. Segenggam demi segenggam dicampak dalam sungai dan proses itu akan terus diulang-ulanginya. Katakan pelet-pelet umpan yang ditabur itu tidak dimakan dikawasan yang cadangkan, tetapi ia hanyut terapung mengikut aliran di kawasan yang lain. Kebetulan pulak disitu ada nelayan  lain yang sedang menghanyutkan jaring dan ikan-ikan itu memakan pelet umpannya. Maka itu telah menjadi ketentuan rezeki nelayan tersebut pada hari itu. 








Jikalau ternampak kesan buih-buih atau muncong ikan pada permukaan air, itu adalah  petanda ikan sedang memakan pelet umpan. Dengan segera Saudara Wan Cik @ Pak Teh akan mengemudi bot panjang pergi dikawasan yang sesuai untuk berlabuh. Perlu diingat, bukan semua tempat disepanjang sungai itu sesuai untuk berlabuh. Jikalau ditempat itu tiada tempat sesuai beliau akan pergi ke tebing sungai untuk melabuhkan bot panjangnya. Urusan mengikat bot panjang dengan apa yang dapat diikat supaya bot panjangnya tidak dibawa arus. Samada pada batang pokok, ranting atau pun di ikat hanya pada batu sungai sahaja. 








Sementara bot panjang sedang terbuai-buai, botol-botol plastik pelampung dan batu pemberat akan di ikat pada tali jaring satu persatu. Air akan dimasukan kedalam botol-botol pelastik supaya tidak terlalu ringan dan tidak juga terlalu berat. Biar ia sedang-sedang elok terapong-apong menghanyut diatas permukaan air . Supaya ia tenggelam timbul dan mudah dilihat dari atas bot walaupun dari jauh. Dengan keadaan berdiri beliau akan melepaskan jaring perlahan-lahan mengikut arus air sungai menuju ke arah buih-buih ikan itu.  Semasa itu bot akan berkolek-kolek terapong mengikut sahaja rentak arus air secara berbuai-buai.





Hujung tali jaring dibelit erat pada genggaman tangan Saudara Wan Cik @ Pak Teh dan bersiap siaga bila-bila masa akan ditariknya. Matahari pagi sudah mula terik memeritkan kulit-kulit, walaupun telah diselimut dengan pakaian dan penutup kepala. Peluh kepenatan mencurah-curah keluar bercampur baur dengan peluh terkena cahaya panas terik pancaran matahari. Sementara sedang menghanyut berkolek-kolek, ada saja gangguan  arus ombak  dari belahan air sungai yang datang dari bot-bot pelancong dan nelayan yang lalu lalang. Walau pun tidak kuat namun ombak itu tetap akan mengoyangkan bot. 














Sesekali ada gangguan biadap kurang ajar daripada bot-bot panjang pelancong yang tidak memperlahankan bot mereka. Entah apa yang hendak dikejarkannya sehingga hilang santun dan hormatnya kepada para nelayan. Berlakulah siri ombak yang kuat mengoyang-goyangkan bot panjang Saudara Wan Cik @ Pak Teh. Dalam cuaca panas terik, digeleng-gelengkan kepalanya dan  pendamkan sahaja bara api kemarahnya itu. Kerana pada ketika itu beliau sedang sibuk memegang erat tali jaring yang sedang berhanyut. Hanya memberikan tumpuannya kepada hal ehwal mencari rezeki tanpa diganggu dengan perasan marah. Setelah beberapa lama menunggu , dari atas bot,  terlihat botol plastik pelampung tenggelam timbul dan tali jaring seperti ditarik-tarik, maka itu tanda ikan telah tersangkut pada  jaring. 







Beliau berdiri memperbetulkan kedudukan badan dan menarik tali jaring. Dililitkan tali pada bahagian tapak tangan dan ditarik tali jaring perlahan-lahan. Hal keadaan menarik jaring  dalam keadaan melawan arus bukan satu kerja yang mudah. Kematu pada tapak tangan Saudara Wan Cik @ Pak Teh sedikit sebanyak meringgankan beban kesakitan jerutan tali jaring. Sedepa demi sedepa tali tegang basah ditarik menggunakan kudrat dalaman, dengan bantuan kekuda kaki. Penat berdiri beliau akan duduk, pada waktu yang sama tentu sekali dalam hatinya tertanya-tanya atau mempunyai pengharapan. Mengharapkan di dalam jaringnya itu ada ikan-ikan besar yang tersangkut.





Pada pagi itu , memang sengaja Allah hendak tunjukkan sesuatu pelajaran hidup kepada saya agaknya. Setelah keseluruhan jaring dinaikkan diatas bot, tidak nampak pulak tanda-tanda rontaan ikan-ikan ada tersangkut pada jaring.  Rupa-rupanya tanda-tanda botol plastik pelampung tenggelam timbul itu sebenarnya bukan dari rontaan ikan-ikan tersangkut. Dalam panas terik pagi, kuderat telah separuh hilang, tetapi hanya ranting-ranting kayu yang dapat. Perlu diingat, didalam sungai selain ikan , ada banyak ranting kayu menghanyut dari hulu. Sisa alam semulajadi itu semua bakal berselirat tersangkut kadang-kadang akan merosakkan benang tangsi jaring. Sudahlah penat menarik jaring, ikan tidak ada tetapi ranting dan dahan kayu pulak yang tersangkut.





Bertabahlah dengan ujian dalam mencari rezeki halal ini. Ini bukan pekerjaan orang-orang malas,! Waima orang rajin yang suka menuduh orang malas disuruh membuat kerja seperti ini setiap hari, baru mereka sedar insaf apa erti sebenar perkataan malas itu. Walaupun sedang dalam keadaan penat dan panas tidak boleh dibiarkan sahaja ranting-ranting kayu itu. Maka satu persatu setiap batang ranting yang terlekat hendaklah dikeluarkan dari lilitan benang tangsi jaring.





Buatlah kerja diam-diam, menyumpah-nyumpah pun tidak berguna kerana ranting-ranting masih terlekat juga .  Ditarik keluar satu-persatu ranting dengan jari jemari yang sudah mulai kecut kesejukan . Kalau hendak mengikutkan malas dan penat, sudah tentu diri sendiri juga akan mendapat susah. Bukan orang lain.  Setelah selesai kerja-kerja itu, dengan muka yang hitam terbakar berkilat Saudara Wan Cik @ Pak Teh bersiap sedia untuk beralih tempat. Mungkin didalam firasat hatinya,  kali ini bila menongkah arus jauh naik ke hulu sungai Tembeling, peluangnya akan cerah.








Disana kurang  nelayan yang naik keatas memasang jaring. Ada besar kemungkinan ikan-ikan akan tersangkut dalam jaringnya. Setelah lebih kurang 15 ke 20 minit menongkah arus maka sampai dilokasi pilihan. Sesampainya di situ, maka  diulanginya lagi tata cara yang selalu dilakukan itu. Dalam hatinya mungkin tidak putus mengharap, untung-untung ada lah ikan tersangkut dalam jaring. Kali ini lebih mencabar kerana  pada saat itu cuaca memang sudah cukup panas terik.







Air berbotol telah habis diminumnya , rokok berbatang habis dihisab. minyak bot sudah tinggal separuh . Kerahan tenaga telah banyak dihabiskan dan peluh pula membasahi pakaiannya yang memang sudah basah dek air sungai. Namun  ikan masih belum masuk jaring lagi. Ditingkatkan usahanya dengan semangat, "MESTI KASI SAMPAI DAPAT". Setelah lebih satu jam mencuba akhirnya beliau terpaksa mengalah juga atas ketentuan rezeki. Tidak sekor ikan pun tersangkut dalam jaring, maka pada saat itu baru lah beliau menerima ketentuan rezeki itu milik ALLAH.






Menerima dengan hati yang redho , bahawa usahanya tadi itu telah selesai pada masa tersebut. Dipujuk hatinya dengan kata-kata semangat bahawa malam tadi beliau telah mendapat beberapa ekor ikan yang besar. Seekor ikan Kelah berat hampir 2 kilogram, seekor ikan Belida 1 kilogram lebih, Ikan Belais, Ikan Baung. beberapa ekor Udang Galah dan 2 , 3 ekor ikan sungai yang lain. Walau tidak dapat hari ini, namun rezeki semalam belum habis lagi. Ikan-ikan itu  masih belum disiang lagi untuk dimasak. Ada hari dapat banyak , ada hari dapat kurang dan ada hari langsung tidak ada.  Memang itu lah  menjadi sifirnya.  Perasaan itulah yang  dirasanya pada setiap hari menjadi seorang nelayan.
















Suasana Kegiatan Seharian Nelayan Di Hulu Sungai Tembeling.





































Pakar Menangkap Ikan Temoleh  Hulu Sungai Tembeling@ Kampong Pagi.


Saudara Idris  

Secara kebetulan berkesempatan juga berkenalan dengan pakar menangkap Ikan Temoleh iaitu Saudara Idris yang pada ketika itu tidak memburu ikan Temoleh kerana sakit gigi. Beliau merupakan rakan karib kepada Saudara Wan Cik@Pak Teh yang datang berkunjung ke kemah kami semasa beriadah memancing di Ulu Sungai Tembeling. Tempoh masa pengenalan yang begitu terhad itu, menyebabkan saya tidak dapat bertanya tata cara menangkap ikan secara terperinci.







Katakan jikalau diberi kesempatan itu, saya tidak berkesanggupan mengikut Saudara Idris menangkap  ikan Temoleh liar kerana pekerjaan itu memakan masa lebih kurang 3 bulan. Ikan Temoleh liar Hulu Sungai Tembeling sentiasa mendapat permintaan tinggi sehinggakan pelanggan yang menempah daripada beliau terpaksa menunggu mengikut giliran. Menurut Saudara Idris, spesis Ikan Temoleh kebiasaannya bergerak secara berpasangan. Ikan ini sangat sensitif  kepada kehadiran manusia dan mempunyai daya naluri yang cekap menghidu merbahaya. Samada dari mata kail atau pun jaring.









Menurut Saudara Idris  untuk mendapat sepasang Ikan Temoleh mengambil masa lebih kurang 3 bulan. Itulah kerjanya sejak berbelas tahun yang dulu. Beliau sudah mahir tentang selok belok sungai, mengenal rentak dan bentuk air , dan lubuk yang berkemungkinan menjadi permainan ikan tersebut. Kerja-kerja menjejak harus dilakukan pada waktu malam gelap gelita tanpa ada sedikit cahaya walau dari  cahaya bara rokok. Kebiasaan pada sebelah siang beliau akan keladang-ladang kelapa sawit mencari baki peninggalan buah kelapa sawit yang tidak dikutip. Memilih  buah kelapa sawit yang ranum masak  kemudian diriceh halus-halus dan diperam dalam bekas.






Pada waktu malam secara bersendirian beliau akan turun ke sungai menghulu jauh ke dalam hutan Sungai Ulu Tembeling. Seorang diri dalam gelap gelita, bertemankan lampu suluh dikepala dia menyusur sungai  . Mengelak batu-batu dan tunggul-tunggul pokok yang tersekat dalam sungai. Sepanjang perjalanan selalu terlihat hidupan liar berada ditebing sungai, seolah-olah menjadi hiburan dan ketenangan kepadanya. Gajah, Harimau, Tapir, Harimau Kumbang dan lain-lainnya sudah menjadi penglihatan biasa kepadanya. Tidak langsung memberikannya perasaan takut atau cemas.





Setelah sampai dikawasan yang dijangkakan tempat-tempat permainan Ikan Temoleh. Saudara Idris akan menabur ricehan-ricehan buah kelapa sawit itu sebagai mendidik citarasa selera Ikan Temoleh. Diulang-ulangnya selalu ke tempat itu, boleh dikatakan setiap hari untuk menabur ricehan kelapa sawit yang lemak berminyak. Supaya ikan-ikan buruan itu gemar sehingga pada tahap gelojoh. Entah macam mana bentuknya cara ikan Temoleh makan ricehan kelapa sawit, entah masa bila umpan dimakan hanya dia sahaja yang tahu. Proses mendidik citarasa selera ikan kebiasaannya memakan masa lebih kurang 3 bulan. Seni didikan itu pula hanya dia sahaja yang tahu.





Mungkin pada permulaan bulan pertama cara didikan itu, akan ditaburnya dalam jumlah yang banyak. Kemudian apabila dirasakan ikan sudah gemar dengan itu, maka akan disekat-sekat selera ikan untuk tujuan mendatangkan rasa ketagihan. Setelah dirasakan Ikan Temoleh itu sedang diulit leka sedap sehingga mendatangkan kelalaian, mungkin pada masa itu baru lah Saudara Idris bertindak. Semasa bertindak , dalam banyak-banyak makanan umpan yang ditaburkan, beliau akan selitkan satu atau dua mata kail. Sepanjang berbelas tahun memburu Ikan Temoleh, cara kejayaan inilah yang beliau gunakan untuk menyara kehidupannya.





Ringkasan Iktibar

Kita sebagai pengguna, janganlah sesekali berniat untuk melakukan tawar menawar harga yang telah ditetapkan oleh nelayan. Secara peribadi saya anggap itu satu perbuatan penghinaan kepada nelayan-nelayan itu.  Adakanlah sedikit dalam hati perasaan hormat timbang rasa dan beradab kepada mereka. Hasil tangkapan mereka itu semua adalah dari Ikan-ikan yang baru naik dari sungai. Ia masih segar bugar dari spesis ikan yang baik-baik . Bukan ikan-ikan dari dalam sangkar belaan, ia adalah ikan-ikan liar. Tidak langsung terkena ais batu. Berfikirlah dan berhisablah tentang modal serta kemahiran dan keberanian para nelayan itu. Dengan tempoh masa yang tidak menentu, berserta kecekalan mereka itu telah membolehkan ikan itu boleh ditunjuk depan mata atas darat. Entah masa bila mereka dapat mencuri-curi masa untuk bersama ahli keluarganya. Lagi pun bukan setiap hari mereka para nelayan itu akan sihat sentiasa. Ada masa mereka akan jatuh sakit juga. Bukan ada sesiapa yang akan menanggung mereka ketika mereka jatuh sakit nanti. Jangan sesekali membiarkan mereka seperti mengemis untuk menjual ikan-ikan terbaik mereka.

Walaubagaimana pun semua kenyataan saya itu, hanyalah sebagai orang  beringat yang sentiasa menghargai mereka . Kerana pada kebiasaan pada setiap hari semua ikan-ikan baru yang ditangkap di Sungai Tembeling itu pasti akan langsai. Jarang sekali ikan-ikan baharu tidak habis dijual  kerana sentiasa menjadi rebutan.


Penghargaan.

Dengan rasa rendah hati saya ingin memohon kemaafan daripada Saudara  Zony @ Azizan, Saudara Kashmir Anuar, Saudara Kamalruzaman Kamal dan Saudara Sham kerana telah berlebih kurang atas sikap berat tulang dalam menlaksanakan tanggungjawab semasa riadah secara berkumpulan.  Tidak lupa juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat saya itu kerana  memperkenalkan saya dengan Saudara Wan Cik @Pak Teh dan rakan-rakannya. Atas dasar hubungan akrab dan kepercayaan mereka itulah, telah membolehkan saya mengikuti dan menyelami hal kehidupan seharian  ketika menjalankan tugasan mereka. 


Saudara  Zony @ MrBrown.


Saudara Kamalruzaman Kamal

Saudara Kashmir Anuar


Gambar kenangan bersama-sama ahli Expidisi Riadah Silaturahim di Ulu Tembeling.


Saudara Wan Cik @ Pak Teh Kampong Pagi Ulu Tembeling.

Akhir kalam, Saya juga ingin memohon maaf kepada Saudara Wan Cik@ Pak Teh  sekiranya kehadiran saya pada ketika beliau sedang mencari rezeki  telah mengganggu tugasan hariannya sehingga beliau tidak dapat tangkapan ikan yang biasa diperolehinya. Harap maaf. Wasalam.






















1 comment: