Untung Nasib Orang Asli Bateq Di Taman Rimba Kenong Kuala Lipis Pahang
Mukadimah.
Dalam halaman rasmi Web JAKOA Jabatan Kemajuan Orang Asli secara amnya kenyataan disitu menunjukkan kemajuan dan kejayaan yang telah diperlihatkan oleh masyarakat Orang Asli. Memang tidak dinafikan segala usaha bersungguh-sungguh yang dibuat oleh JAKOA sejak 1950an untuk memberi kemajuan kepada masyarakat Orang Asli boleh dikatakan menuju kepada "kejayaan". Di Semenanjung Malaysia ada 3 kumpulan besar masyarakat Orang Asli iaitu bangsa Senoi, Melayu Proto dan Negrito.
Bangsa Negrito/Semang
1.Kensiu
2.Kintak
3.Lanoh
4.Jahai
5.Mendriq
6.Bateq
Bangsa Senoi
1.Temiar
2.Semai
3.Semoq Beri
4.Jahut
5.Che Wong
Bangsa Melayu Proto
1.Kuala
2.Kanaq
3.Seletar
4.Jakun- Mah Meri/Besisi& Blandas
5.Semelai
6.Temuan
Pada hemat saya antara 3 kumpulan bangsa itu, bangsa Negrito dilihat telah ketinggalan kebelakang berbanding dengan bangsa Senoi dan Melayu Proto. Bangsa Negrito terdiri daripada 6 suku kaum iaitu Kensiu, Kintak, Lanoh, Jahai, Mandriq dan Bateq. Kemajuan yang dirancangkan itu menjadi lambat atau boleh dikatakan langsung tidak akan berjaya kerana bangsa itu sendiri yang tidak bersedia untuk berubah. Atau pun mereka sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk berubah. Keadaan menjadi lebih rumit akibat kekangan adat budaya bangsa itu sendiri yang kerap berpindah randah dari masa ke masa. Mereka memilih untuk berpindah jauh kedalam hutan sehingga terputus langsung perhubungan jalanraya yang boleh menghubungkan mereka dengan pekan terdekat.
Keadaan itu menyukarkan kerajaan untuk menyediakan kemudahan asas kepada mereka seperti sekolah, bekalan elektrik, air dan sistem pembentungan. Bilamana kemudahan asas dan pendidikan tidak mereka terima, maka secara automatik mereka ketinggalan dari sudut kemajuan. Kemajuan yang menghendakkan mereka berubah seiring mengikut peredaran zaman. Sedangkan sejak tahun 1950an lagi pihak Jabatan dan kerajaan mendakwa , telah menyediakan bantuan dan khidmat nasihat secara samarata kepada semua masyarakat Orang Asli. Sebagai bukti kita dapat lihat masyarakat orang asli Bangsa Senoi dan Melayu Proto telah menunjukkan kemajuan berbanding dengan Bangsa Negrito.
Sejak dahulu lagi terlalu banyak laporan ilmiah dan kajian tentang masyarakat Orang Asli telah dibentangkan oleh cendikiawan tempatan dan luar negara. Dari zaman pemerintahan British kemudian disambung pula oleh pengkaji tempatan seperti Saudara Ban Seng Hoe dan Emeritus Prof Dato' Dr. Haji Hood Salleh. Namun hasil semua kajian terperinci tersebut tidak dapat dizahirkan sepenuhnya dalam bentuk memberi kemajuan menyeluruh kepada masyarakat Orang Asli, sepertimana masyarakat Melayu dan warganegara keturunan lain. Kadang-kadang ada betulnya jugak beberapa kenyataan sepertimana didalam laporan The Orang Asli of West Malaysia yang ditulis oleh Saudara Shuichi Nagata. Entahlah, agaknya memang telah menjadi untung nasib masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia memang sebegitu rupa. Boleh jadi ada pihak-pihak yang memang sengaja hendakkan mereka kekal pada tahap yang ada sekarang.
Saya sendiri tidak pasti antara 6 suku negrito itu apakah ciri-ciri yang dapat membezakan antara mereka, jikalau tidak dibuat ujian DNA. Paling-paling tidak, mungkin dari sudut perbezaan bahasa pertuturan antara mereka. Itu pun kalau kita memang sudah kenal dan tahu bahasa Orang Asli. Kalau hanya mengikut dari sudut penampilan luaran, memang payah untuk kita membezakan 6 bangsa suku Negrito itu.
Pengalaman saya terjumpa penempatan Orang Asli Bateq ketika membuat pemerhatian burung dan hidupan liar di Taman Rimba Kenong . Terjumpa mereka secara tidak dirancang pada tahun 2016 jauh di dalam hutan. Pengalaman pendidikan itu menjadi rezeki yang tidak boleh dilepaskan untuk saya belajar mengenal mereka. Dalam pada itu dapat melihat sendiri keadaan sebenar masyarakat Orang Asli suku Bateq . Untuk membayangkan betapa jauhnya penempatan Orang Asli suku kaum Bateq ini, saya berkongsi cerita mengenai pengalaman perjalanan saya dari Kuala Lumpur kesana. Menunggang motosikal pergi ke bandar Kuala Lipis, sudah mengambil masa hampir 3 jam lebih.
Selepas itu, dari bandar Kuala Lipis melalui pula kawasan Felda Kechau sehingga sampai dipersimpangan masuk ke Taman Rimba Kenong. Perjalanan itu mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk sampai dipersimpangan . Kemudian dari simpang itu masuk jauh ke dalam ladang kelapa sawit menggunakan laluan tanah merah. Perjalanan lebih kurang 45 minit baru lah masuk ke kawasan sempadan hutan dan ladang kelapa sawit. Lebih kurang 30 minit kemudian barulah tiba ke kawasan penempatan mereka.Masa perjalanan yang diambil dari Kuala Lumpur ke situ lebih kurang 5 jam .
Penempatan mereka memang jauh dan terputus hubungan dengan bandar Kuala Lipis. Bekalan keperluan asas seperti beras dan gula mungkin diperolehi dari kedai berdekatan di penempatan Felda Kecau. Kita sendiri boleh bayangkan betapa besar keluasan hutan yang telah di balak dari Kuala Lipis sampai ke tempat Orang Asli itu. Meminggirkan mereka dengan cara yang kelihatan mulia dan sopan.Jarak ukuran keluasan hektar itu mengambil masa hampir 2 jam setengah perjalanan menggunakan kenderaan motosikal. Bayangkan berapa ribu hektar hutan telah lenyap bertukar menjadi ladang kelapa sawit yang kini telah menjadi milik Felda.
Catitan Peribadi Pengalaman Bersama Orang Asli Bateq di Taman Rimba Kenong, Kuala Lipis Pahang.
Kawasan penempatan di Taman Rimba Kenong merupakan satu kawasan lapang berlalang di dalam kawasan baki Hutan Simpan Yong. Walaupun didalam hutan, tetapi pada hemat saya kedudukan penempatan itu tidak sesuai untuk penempatan. Kerana ia terletak lebih kurang 500 meter jauh dari sumber air sungai. Disitu terdapat lebih kurang 6 atau 7 buah pondok kediaman yang belum 100 % siap. Melihatkan kepada keadaan pembinaan pondok tersebut saya menjangkakan ia baru dibangunkan. Kerana masih terdapat beberapa baki batang-batang pokok yang bersepah dihadapan pondok mereka.
Saya berpendapat komuniti Orang Asli Bateq ini telah disuruh untuk mendirikan pondok-pondok mereka disitu. Kerana ada besar kemungkinan pihak yang mencadangkan itu ingin menjadikan penempatan Orang Asli ini sebagai produk perlancongan, untuk menambah produk jadual aktiviti di Taman Rimba Kenong. Memang tidak dinafikan ,kedudukan penempatan itu sangat sesuai dari sudut logistik pelancongan, kerana terletak dihadapan pintu masuk Taman Rimba Kenong. Tetapi ia sangat tidak sesuai kepada komuniti Orang Asli Bateq, kerana mereka terpaksa berjalan kaki jauh untuk mendapatkan sumber air, samada untuk minuman atau untuk kegiatan pembersihan diri.
Mereka terpaksa mengisi air untuk minuman ke dalam tong dan menjinjing jauh ke pondok masing-masing. Keadaan itu tidak sepertimana di penempatan Orang Asli di Tasik Chini, Kuala Gandah dan Taman Negara Ulu Tembeling. Kepada pihak yang mencadangkan itu mereka cuma memikirkan kebaikan kepada pelanggan Taman Rimba Kenong sahaja. Tetapi tidak memikirkan kesusahan yang Orang Asli Bateq hadapi dalam menjalani kehidupan pada setiap hari. Kononnya itulah saja yang mampu mereka fikirkan untuk disumbangkan demi membantu Orang Asli suku Bateq menambah mata pencarian. Dalam ertikata lain Orang Asli Bateq itu adalah sejenis barang produk bernyawa untuk tarikan perlancongan sahaja.
Rekabentuk pondok itu berbentuk petak empat segi dengan keluasan lebar 9 kaki dan panjang 13 kaki. Pembinaan itu tidak ada ruang dapur dan tidak ada juga kemudahan tandas. Pondok itu mempunyai 2 bahagian tempat berteduh yang tidak bertangga. Bahagian beranda yang mempunyai pelantar yang tidak berdinding tetapi beratap. Kawasan beranda itu dijadikan tempat mereka keluar masuk .dan tempat mereka duduk berehat atau makan. Manakala bahagian dalam pondok dijadikan ruang untuk mereka tidur beramai-ramai. Bahan binaan lantainya adalah dari batang-batang pokok yang panjang bersaiz ukur lilit sebesar 2 ibu jari lelaki dewasa.
Batang-batang kayu itu disusun rapat kemudian diikat dengan rali rotan. Pada lantai itu dilapikkan dengan tikar pelastik atau plastik canvas. Ruang tempat tidur tidak bertingkap , ditutup penuh dengan dinding yang diperbuat daripada kulit-kulit kayu. Kulit kayu itu yang disusun rapat-rapat kemudian di lekatkan dengan batang rotan yang dipaku sebagai mengukuhkan dinding pondok. Ada juga bahagian dinding itu, menggunakan batang kayu lurus yang panjang untuk dilekatkan pada hujung tiang ke hujung tiang. Pada bahagain bumbung pondok, mereka menggunakan daun palma yang disusun rapat antara satu pelepah dengan pelepah yang lain sebagai bumbung pondok.
Susunan atap daun palma dilakukan sehingga menutup sebahagian kiri kanan pembinaan dinding pondok. Ruang tempat tidur dibiarkan gelap tidak mempunyai pelita. Dibahagian hadapan kiri dan kanan beranda akan ada tempat unggun api sebagai tempat mereka memasak. Juga sebagai pemanas badan pada waktu malam. Unggun api itu sentiasa menyala samada untuk mereka menanak nasi, masak ubi hutan atau menjerang air. Yang pasti mereka akan sentiasa menjerang air sepanjang masa, kerana bila-bila masa sahaja mereka dapat membuat air kopi atau teh dengan menggunakan air panas.
Ketika sampai disitu kebetulan saya berkenalan dengan Tok Batin Budor yang sedang duduk termenung. Beliau berehat sambil menghisap rokok tembakau ditepi rumah pondoknya. Rambut hitam kerenting mengerbang berlenggeng hanya dengan berseluar pendek dan berseliper getah. Ramai kanak-kanak duduk di atas beranda turut juga berlenggeng tidak berbaju dan berkaki ayam. Agaknya mereka memang merasa selesa dengan tidak berbaju dan bersepatu. Budak-budak berbual sambil tergelak-gelak menggunakan bahasa ibundanya saya tidak fahami.
Begitulah keadaannya kehidupan yang mereka lalui pada setiap hari sampailah besar agaknya. Rupa-rupanya budak-budak itu sebenarnya , sedang menunggu ubi hutan masak yang diletakkan didalam bara api dibawah cerik air. Setelah masak dikuisnya ubi-ubi dari bara api untuk dikopek kulit untuk dimakan beramai-ramai. Mungkin budak-budak itu sedang menanggung lapar , mereka kelihatan menyelerakan bila memakan ubi hutan berebut-rebut . Disuanya ubi hutan kepada saya untuk dirasa. Tanpa dibasuh terlebih dahulu terus disiat-siatkan kulit ubi panas lalu terus dimakan. Rasanya lemak lebih kurang sama dengan rasa ubi keledik.
Bagi wanita-wanita orang Asli Bateq mereka hanya mengenakan kain pelekat dan kain batik yang hujungnya diikat pada bahagian bahu. Kain batik itu menutup sebahagian bahu tubuh mereka hingga ke bahagian lutut kaki. Tidak tahu bagaimana agaknya keadaan wanita Orang Asli Bateq yang kedatangan haid bulanan. Bahan pelekat dari jenis apa yang mereka gunakan sepanjang tempoh kedatangan haid. Ditambah pula dengan keadaan ketiadaan tandas dan sumber air dimana mereka melangsaikan hajat mereka. Keadaan ini penting kerana menjamin tahap kesihatan masyarakat itu.
Saya masih ingat lagi nota perbualan dengan Tok Batin Budur tentang sejarah kehidupan yang dilaluinya. Nota perbualan itu meninggalkan kesan kepada diri supaya saya harus sentiasa merasa bershukur dan berterima kasih dengan apa yang saya ada. Saya sangkakan apa yang saya lalui itu sudah rasa susah, walhal jika dibandingkan kehidupan yang dilalui oleh Tok Batin Budur jauh lebih susah. Kenyataan Tok Batin Budur secara selamba dan tersenyum berbunyi ", Kami sudah biasa dah rasa susah... sampai sudah rasa senang sepanjang masa. Dah susah begini, nak buat macam mana. Tak pernah ada banyak rezeki. Dapat sikit kita makan sikit. Macam itu la.. Lapar tu memang la rasa lapar, tapi macamana nak buat...dah biasa dah. "
Tidak dapat tidak, saya kena jugak gambarkan akan untung nasib kesusahan yang mereka lalui. Mereka bukan hidup menumpang dinegara orang lain, tetapi hidup dinegaranya sendiri. Sebagai warganegara Malaysia yang sama statusnya dengan bangsa Melayu, Cina , India , Sikh ,Serani dan lain-lain. Lebih mendukacitakan, nasib kehidupan pelarian politik Myanmar , Rohinga, pekerja-pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal bersenang lenang dinegara tumpang dan menikmati kehidupan lebih baik dari Orang Asli Bateq .
Tidak keterlaluan jika saya andaikan nasib Anjing dan Kucing lebih baik daripada mereka. Kucing dan Anjing lebih senang mendapat makanan yang baik-baik dan tidak putus-putus, berbanding nasib Orang Asli Bateq ini. Telah menjadi lumrah zaman sekarang dimana-mana sahaja manusia berkesanggupan bekorban membeli makanan kucing yang lebih mahal harganya daripada harga beras sekampit. Sudahlah mahal harganya, isi kandungnya pula sedikit.
Bukan sahaja makanan diberi secara berjadual, malah manusia manjakan lagi haiwan dengan segala macam bukan keperluan haiwan seperti shampoo bulu kucing, ubat kutu dan vitamin. Sampaikan pasir untuk kucing berak disediakan juga. Katanya kucing itu binatang kesayangan Nabi, jika memberi makanan kepada kucing akan mendapat kebaikkan pahala dan mendapat kesenangan hidup didunia serta diakhirat. Sedangkan masyarakat Orang Asli Bateq pula hidup tenggelam timbul terkapai-kapai diatas darat setiap masa kelaparan untuk mendapat makanan. Walaupun menanggung kesusahan begitu, ada satu perkara yang jarang dilakukan oleh Orang Asli Bateq, iaitu berkeliaran didalam pekan menadah tangan meminta sedekah menagih simpati sebagai pengemis daripada orang ramai.
Kenyataan diatas itu bukan bersifat penghinaan kepada masyarakat Orang Asli Bateq tetapi ia adalah sebagai suatu kenyataan untuk kesedaran atas keutamaan hidup terhadap sesama manusia. Keutamaan manusia harus ditumpahkan kepada manusia terlebih dahulu sebelum bergolok gadai memanja-manjakan binatang.
Boleh jadi saya tidak cukup pergaulan sehingga tidak mengetahui hal keadaan sebenarnya. Dimana ramai orang telah pun memberi bantuan untuk meringankan beban hidup Orang Asli Bateq. Kumpulan dan golongan mulia yang memberi bantuan itu sengaja menyembunyikan diri kerana tidak mahu dikenali oleh khalayak, khuatir nanti akan jatuh riak takbur dan mempunyai perasaan bermegah-megah.
Saya fikir pihak Jabatan dan orang-orang mulia yang tidak mahu dikenali kena mencari jalan penyelesaian berkesan untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Penyelesaian jangka masa pendeknya adalah dengan segera menghantar bahan-bahan keperluan asas kepada mereka secara berkala sepanjang tahun. Itu sahaja cara yang ada. Kerana kawasan hutan dan isi kandungnya menyukarkan mereka mencari makanan disebabkan telah sangat berkurangan. Berpunca daripada rancangan manusia yang tamak haloba, samada dari pengusaha pembalakan hutan atau pengusaha ladang kelapa sawit.
Pergi dampingi mereka untuk pujuk setiap Tok Batin membuka mindanya supaya mereka terdidik. Dengan pendidikan akan mendatangkan corak cara berfikir untuk hidup maju. Lantaran daripada itu Tok Batin akan nampak pekara ini boleh mengubah nasib dan mengembirakan seluruh komunitinya.
Apa yang sangat diperlukan oleh komuniti Orang Asli Bateq disitu adalah peralatan Pam Air untuk menyedut air minuman dari dalam tanah dan kemudahan tandas.
Hantarlah bekalan kepada setiap pondok yang ada disitu sepertimana yang dinyatakan dibawah ini secara berkala pada setiap bulan sekali disepanjang tahun.
Bahan Makanan. :-Beras , Garam, Gula, Susu Cair, Tepong Gandum, Minyak Masak, Teh, Kopi Susu Tepong, Tembakau
Bahan Bantuan Masak.:-Kuali, Periuk, Dapur, dan Tong Gas, Lampu Kabait dan Bahan Kabait.
Keperluan Kesihatan Diri :- Sabun Mandi, Sabun Basuh Baju, Sabun Basuh Pinggan, Shampoo, Ubat Gigi, Vitamin Minyak Ikan, Tuala Pelekat Wanita, Tuala Mandi, Kasut Seliper.
Andaikata pada setiap bulan mereka dijenggok dan menerima bantuan secara berkala nescaya jinak hati mereka untuk berubah untuk hidup maju. Masa mereka untuk berhempas pulas memikir dan mencari keperluan asas kehidupan dapat disalurkan dengan melakukan kegiatan pendidikan yang boleh memajukan diri mereka.
Bantuan mengikut musim. |
Dalam memberi bantuan kita juga perlu menggunakan kebijaksanaan dan kecerdikkan. Tujuannya untuk mengelakkan usaha mulia kita itu tidak menjadi sia-sia. Dalam hal seperti ini ia tidak boleh menggunakan satu cara untuk semua jenis keadaan. Ia perlu dikaji dan pemerhatian yang mendalam tentang keberkesanannya. Konsep memberi "Bantuan cara membekalkan mereka Joran Tali Mata kail" tidak sesuai kepada komuniti ini. Konsep itu cuma sesuai kepada masyarakat yang telah didedahkan ilmu pengetahuan , orang yang telah terbuka minda dan mempunyai peluang terbuka seperti kita.
Bantuan mengikut musim. |
Ialah....! Untuk saya berhujah, mencadangkan, bercakap itu dan ini memanglah senang...sesiapa pun boleh lakukan. Apa yang payah adalah menzahirkan apa yang dicakapkan itu sehingga menjadi kenyataan.
Cerita Pendek Kisah Persemadian Orang Asli Bateq, Taman Negara Kampong Pagi Jerantut Pahang.
Baru-baru ini saya berkesempatan meninjau penempatan Orang Asli Bateq berhampiran dengan Kampong Pagi Ulu Tembeling Jerantut. Kali ini saya ditemani oleh rakan saya yang memang kenal dengan Tok Batin penempatan disitu. Penempatan itu berada di kawasan Taman Negara Ulu Tembeling yang lebih ramai penghuinya daripada penempatan Orang Asli Bateq di Taman Rimba Kenong, Kuala Lipis. Dengan sekilas pandang sahaja saya sudah mengetahui akan keadaan dan kehidupan komuniti disini. Kehidupan disini lebih kurang sama saja dengan apa yang pernah saya lihat 4 tahun dulu di Taman Rimba Kenong. Jadi tidak perlu lah saya menekankan lagi kisah kesusahan yang mereka lalui. Kelak menimbulkan perasaan bosan dan menyampah.
Sementelah rakan saya Saudara Pak Teh mengenali Tok Batin Sena yang mengetuai di penempatan disitu. Maka saya meminta jasa baiknya untuk membawa saya pergi menyantuni beliau dipenempatannya. Saudara Pak Teh memang mengetahui dan berpengalaman serba sedikit berkenaan adat budaya Orang Asli Bateq mengurus dan semadikan mayat. Perkongsian cerita secara ringkas ini adalah tentang kisah adat budaya tradisi masyarakat Orang Asli Bateq menguruskan kematian. Maklumat ringkas itu dicerita secara lisan kepada saya oleh Saudara Pak Teh.
Tok Batin Sena |
Bagi masyarakat Melayu Islam jenazah akan dikebumikan di dalam tanah pada satu kedalaman dikawasan tanah perkuburan. Ada juga dikalangan masyarakat di Malaysia mayatnya dibakar kemudian abunya disimpan, ada juga dilepaskan ke dalam laut atau di air sungai mengalir . Ada juga mayat itu diawet elok-elok kemudian disimpan di tempat khas. Semua tata cara yang dinyatakan itu adalah mengikut cara yang terbaik menyemadikan jenazah mengikut fahaman dan kepercayaan masing-masing. Namun bagi masyarakat Orang Asli Bateq ia berlainan daripada biasa yang kita tahu. Bila berlaku kematian , mayat mereka akan disemadikan diatas pokok didalam hutan belentara. Tatacara dan bagaimana upacara menguruskan mayat Orang Asli Bateq tidak diketahui ramai. Kita juga tidak tahu cara dan bagaimana mereka menaikkan mayat keatas pokok yang tinggi.
Maklumat ini adalah maklumat secara umum sahaja, kerana masih ada beberapa perincian yang tidak saya ketahui kerana tidak sempat bertanya.
Tatacara Dan Kaedah Menyemadi Mayat Orang Asli Bateq.
Dibawah ini disenaraikan beberapa perkara dan pekerjaan yang harus dilakukan sebelum mayat dapat disemadikan ke atas pokok.Pokok Gaharu adalah penting kepada masyarakat Orang Asli Bateq dalam menguruskan mayat.
1.Kulit pokok Gaharu akan dibentuk menjadi balutan kafan kepada mayat.
2.Kulit pokok kayu akan dipintal menjadi utasan tali untuk mengikat balutan kafan dan tali mengandar mayat.
3.Batang-batang kayu untuk dijadikan pelantar diatas pokok.
4.2 batang pokok unutk tujuan dijadikan tangga untuk membawa naik mayat.
5. Rotan untuk membuat ikatan.
6. Kayu-kayu untuk dijadikan kayu mengandar mayat.
1.Kulit pokok Gaharu akan dibentuk menjadi balutan kafan kepada mayat.
2.Kulit pokok kayu akan dipintal menjadi utasan tali untuk mengikat balutan kafan dan tali mengandar mayat.
3.Batang-batang kayu untuk dijadikan pelantar diatas pokok.
4.2 batang pokok unutk tujuan dijadikan tangga untuk membawa naik mayat.
5. Rotan untuk membuat ikatan.
6. Kayu-kayu untuk dijadikan kayu mengandar mayat.
Bila berlaku kematian Tok Batin bersama komuniti mereka akan membuat persediaan menguruskan jenazah, yang pada kebiasaannya akan dilakukan pada permulaan hari. Memandangkan komuniti mereka tidak begitu ramai, maka mereka bersepakat akan bergotong-royong melaksanakan tanggung jawab tersebut. Jumlah kakitangan yang mencukupi adalah diantara 7 ke 8 orang individu, yang akan berpakat membahagi-bagikan tugas sesama mereka.
Mayat akan di balut penuh dari bahagian kepala hingga ke bahagian kaki dengan kulit kayu pokok Gaharu. Maka petugas akan pergi masuk ke dalam hutan mencari pokok Gaharu yang mana kulitnya sesuai untuk disiat dan kopek dari batang pokok. Memandangkan kebanyakan dari mereka adalah pencari Kayu Gaharu , maka mereka sudah tahu peta lokasi pokok-pokok Gaharu didalam hutan. Urusan mencari Pokok Gaharu tidak menjadi masalah yang besar kepada mereka.
Kadang-kadang urusan itu menjadi lebih mudah bila mana sebelum berlaku kematian mereka telah pun menjumpai pokok gaharu yang berdekatan . Maka mereka terus ke situ untuk menyiat dan mengopek kulitnya pada kadar yang mencukupi. Selain dijadikan kafan mayat , kulit kayu gaharu juga akan dipintal-pintal untuk membuat tali bagi membalut kafan mayat. Tali untuk mengandar mayat juga adalah dari kulit pokok Gaharu. Semua proses itu memerlukan sedikat masa untuk disiapkan walaupun mereka sudah mahir membuat pekerjaan tersebut.
Pada waktu yang sama kumpulan yang lain pula mencari pokok yang sesuai untuk ditempatkan mayat diatas pokok. Mereka akan memilih pokok sederhana besar yang mempunyai 2 dahan bercabang pada kedudukan sebelah menyebelah. Dimana 2 batang dahan itu difikirkan sesuai untuk dibina lantai pelantar disitu. Ketinggian lantai pelantar tempat bakal diletakkan mayat itu adalah dianggarkan antara 15 ke 17 kaki daripada lantai tanah. Manakala luas lebar pelantar adalah mengikut bentuk saiz tubuh badan jenazah.
Untuk kerja membina lantai pelantar mayat, kayu-kayu panjang berukur lilit sebesar 2 ibu jari lelaki dewasa perlu dicari terlebih dahulu. Dicantas semua ranting dan daun supaya menjadi sebatang kayu lurus yang panjang. Dianggarkan antara 10 ke 12 batang kayu panjang akan dibawa naik diatas dahan pokok, untuk disusun rapat-rapat membentuk menjadi pelantar mayat. Ketika dalam perjalanan mereka juga akan mencari "Rotan Seni" untuk dibuat tali ikatan untuk kerja-kerja yang bakal mereka lakukan nanti.
Dalam pada itu mereka juga kena mencari 2 batang pokok sebesar betis lelaki dewasa yang sama tinggi dengan dahan tempat pelantar jenazah. Jenis pokok kayu itu harus mempunyai dahan secara bertingkat-tingkat dikiri kanan disepanjang batang pokok. Pokok kayu itu sama seperti bentuk batang pokok manggis yang dahannya bertingkat-tingkat disepanjang batang pokok. Setelah itu dahan-dahan pada pokok akan di potong separuh dahannya sehingga muat diletakkan tapak kaki untuk dibuat tempat pemijak. 2 batang pokok itu kemudiannya akan diikat pada kiri dan kanan pokok untuk dijadikan tangga untuk kerja-kerja membuat pelantar mayat dan membawa naik mayat. keatas pokok. Kedua batang pokok itu diikat kuat menggunakan rotan seni sehingga kebahagian tempat untuk membuat pelantar mayat.
Dua orang sudah mencukupi untuk naik keatas pokok untuk membawa batang-batang kayu kemudian menyusun rapat-rapat. Ada bahagian dipaku dan ada bahagian batang kayu pelantar diikat terik dengan rotan seni. Susunan batang-batang kayu pelantar untuk meletak mayat tidak berbumbung dan dibiarkan terbuka. Memadai hanya dengan berbumbungkan daun-daun pokok yang ada disitu. Pelantar mayat disiapkan mengikut saiz mayat, kemudian batang-batang kayu diikat terik-terik demi menjamin kekukuhan pembinaan. Setelah selesai urusan barulah mereka turun untuk memberi tahu kumpulan lain bahawa pelantar telah siap untuk digunakan.
Kulit kayu gaharu yang dikopek dari batang pokok akan dipotong elok-elok mengikut panjang dan lebar saiz tubuh badan mayat. Ada bahagian kulit yang harus diketuk supaya kulitya lembut sehingga boleh dibentuk sebagai kafan pembalut keseluruhan tubuh mayat. Mereka juga memintal kulit kayu Gaharu untuk menjadikan tali pengikat balutan mayat. Panjang tali tersebut mencukupi untuk membalut di tiga bahagian kafan mayat, kepala, badan dan bahagian kaki.
Mereka juga menyediakan 3 utas tali yang teguh untuk tujuan mengangkat mayat dengan cara mengandar menggunakan kayu gandar. Dua batang kayu kukuh yang sama panjang dengan kafan balutan mayat, akan diletakkan pada bahagian bawah badan mayat. Kemudian tiga utas tali kulit Gaharu yang telah dipintal bersama rotan berukuran sama panjang akan disangkut pada kayu untuk digandar oleh dua orang. Ikatan itu akan disangkut pada bahagian kepala badan dan kaki, untuk memudahkan mayat digandar. Jikalau mayat itu berat maka mereka akan menggandar secara berganti-ganti ke lokasi pokok. Pada kebiasaannya berat badan Orang Asli Bateq jarang melebihi 70 kilogram ke atas.
Sesampai dikawasan pokok semadian, dua orang akan naik diatas menunggu diatas pelantar semadian. Dua orang lagi akan panjat naik menunggu hingga dipertengahan batang kayu tangga. Manakala dua orang lagi akan mengandar jenazah dari bawah secara bertingkat-tingkat. Andaikata mereka penat dipertengahan proses membawa naik mayat, mereka boleh menyangkut batang kayu gandar pada dahan batang pokok ibarat sebagai tangga.
Setelah hilang keletihan mereka akan sambung menyambung bertingkat-tingkat mengandar mayat sampai ke pelantar. Dua orang yang menyambut mayat mengangkat naik keatas pelantar lalu meletakkan mayat ditengah-tengah pelantar semadian. Setelah berpuas hati dengan kedudukan susun letak mayat barulah mereka turun. Dengan itu selesailah proses penyempurnaan mayat dan mereka boleh beredar meninggalkan tempat itu dengan segera.
Dengan tempoh waktu yang singkat, tidak banyak maklumat dan persoalan dapat ditanya. Maka ada beberapa maklumat yang tidak lengkap seperti :-
1. Apakah ada sebarang perhiasan yang dipakaikan kepada jenazah ketika proses mengkafan jenazah dengan kulit kayu geharu.
2. Apakah ada perbezaan penyediaan antara jenazah orang lelaki , perempuan dan kanak-kanak.
3. Apakah ada sebarang bacaan mentera yang dilakukan kepada jenazah semasa proses semadian. Dan siapa yang membaca mentera itu. Apakah ada pantang larang yang perlu dituruti.
4.Katakan Tok Batin itu sendiri meninggal dunia siapa yang berhak menggantikan tanggung jawab yang ditinggalkan oleh Tok Batin. Isterinya kah atau anaknya kah.
4.Katakan Tok Batin itu sendiri meninggal dunia siapa yang berhak menggantikan tanggung jawab yang ditinggalkan oleh Tok Batin. Isterinya kah atau anaknya kah.
Dengan berlakunya kematian dikawasan penempatan mereka, maka mengikut kepercayaan adat budaya masyarakat Orang Asli Bateq seluruh komuniti terpaksa berpindah ke tempat lain yang lebih sesuai. Kepercayaan mereka kejadian kematian itu suatu perkara yang menundangkan perkara yang tidak baik kepada komuniti jikalau masih berada dikawasan itu. Walaubagai mana pun kadang-kadang Tok Batin akan membuat keputusan yang difikirkannya pada ketika itu, baiknya adalah lebih besar daripada buruknya terhadap komunitinya.
Jikalau seorang pesakit itu terlalu tenat dan dirasakan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, maka Tok Batin akan berbincang dengan ahli keluarga si pesakit. Membincang untuk mendapat persetujuan supaya pesakit itu dibawa ke satu tempat yang jauh dari tempat kediaman mereka dikawasan hutan yang lebih dalam. Ketika ditinggalkan disitu mereka akan membekalkan makanan seperti biskut atau nasi kepadanya disamping sedikit pakaian. Mereka tidak mahu pesakit tenat yang tidak ada harapan sembuh itu menghembuskan nafasnya di kawasan penempatan mereka. Dengan keputusan yang diambil itu Tok batin dapat mengelakkan mereka semua dari berpindah randah ke tempat yang lain yang belum tentu sesuai.
Sepertimana yang saya nyatakan sebelum ini, memang agaknya Allah telah takdirkan suku kaum Bateq di Semenanjung Malaysia memang akan hidup dalam serba serbi penuh kedaifan dengan kesusahan. Apakah mungkin salah satu dari banyak-banyak perkara itu berlaku atas sebab-sebab yang dicadangkan dalam laporan The Orang Asli of West Malaysia. Disini saya memilih beberapa petikan dalam laporan tersebut, kemudian disalin semula bulat-bulat kenyataan Saudara Shuichi Nagata yang di catitkannya dalam laporan The Orang Asli of West Malaysia . :-
No:13. Another link was slavery prevalent not only in pre colonial Malaya but elsewhere regionally. Southeast asia was and still is a region of low population density, and one cause of wars between pre-colonial mainland states was manpower shortage. War was not for the conquest of land but for the
acquisition of captives, who were often forcefully moved to the conquering king's court ( Adas 1981:218:231) Slaves filled the need of domestic labor and were marketable as well (Dentan et al:1997:55) In Malaya slavery was abolished in all states only in 1920 ( Dentan et al 1997: 58 )
No:18. In early 1970s, when the New Economic Plan to eradicate poverty and ethnic division of occupation's was instituted , the Aborigines were left out of its purview. Tun Razak who succeeded Tunku Abdul Rahman as Malaysia's prime minister, had initiated the Plan. He once ask his officer just how many Orang Asli there in the country. When told they were less one percent of the population, he said there was no need to bother with them for development purposes as they would not carry weight in election.
Kawasan Penempatan Peneroka Felda &Ladang Felda |
No:19.Meanwhile logging, mining and government land schemes such as FELDA and FELCRA , with funding from the World Bank, began to make blatant encroachment into aboriginal area. Although the Emergency was declared to be over in 1960, the government launched Second Emergency in the early 1970s to deal with renewed activity by the Malayan communist party in northern areas ( Nicholas 2000: 95) Regroupment schemes were instituted that,for security reason aggregated dispersed settlements into much smaller areas, in one case only 1.4 percent of the former territory (ibid 114:1994:51-2) These regroupments continued even after a truce was concluded with the communist in 1989 (ibid 96) because for the government"(i)t is the most effective,socially acceptable mean to appropriate Orang Asli traditional territories for it's own use by others (ibid 116).Then in the late 1970s and 1980s, a paradigmatic shift occurred in the state's relation with the Aborigines . As the countryside was pacified ,developmental energies were directed to the exploitation of resources available in the interior, the habitat of the majority of Orang Asli.
No:22. In Malaysia, land come under jurisdiction of each states not a central government in Kuala Lumpur. When a states wish to remove Orang Asli from thier traditional land, it used attraction of individual title to induce them to relocate. " The Orang Asli want thier traditional territories on which they are residing to be either gazetted as permanent reserves or for some form of permanent title to it to be issued. The state governments, however see relocation to another (invariably smaller) site as a precondition for granting land titles- individually , not communally ( Nicholas 2000:118). Moreover since Orang Asli have no individual land titles, they are unable to obtain bank loans by using the land as collateral (ibid:235) All this disabilities contribute to their frustration.
37.Moreover,certain Orang Asli leaders may use the movement as a vehicle for personal advancement at the expense of thier fellow orang asli. A focus on individul well-being,as opposed to communal identities,could reduce this danger. Given that orang asli leaders are mainly senoi and are those quite familiar with the ropes" of mainstream society, they may be more assimilated than most orang asli. the Lanoh, for instance, often mistrust these leaders, saying that they "already" look and act like Malay.
Andaikata Sir Frank Swettenham masih hidup lagi, kemudian beliau melihat perubahan kemajuan dari pelbagai sudut yang telah dicapai oleh bangsa Melayu sekarang, tentu beliau akan rasa terkejut dan bangga. Yang mana kebanyakkan Bangsa Melayu pada satu ketika dahulu pada sekitar tahun 1870 tidak jauh bezanya dengan orang Asli dari sudut kesusahan. Tentu menjadi tanda tanya didalam mindanya, mengapa orang Asli tidak seiring sama-sama maju dengan Bangsa Melayu.? Sedangkan kedua-dua bangsa itu sama-sama tinggal dinegara yang sama. Wasalam.
No comments:
Post a Comment