Terdapat 23 spesis burung Belatuk yang boleh kita temui di Semenanjung Malaysia, antaranya ialah Burung Belatuk Perut-putih~White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis. Menurut maktlumat buku Birds of South-East Asia Craig Robson dan The Birds of The Thai-Malay Peninsula David Wells, menyatakan ia mempunyai saiz tubuh badan yang ke 2 besarnya selepas Burung Belatuk Masyhur Kelabu~Mulleripicus pulverulentus~Great Slaty Woodpecker. Namun begitu jikalau dilihat dari mata kasar saiz tubuh badannya menyerupai saiz spesis burung Belatuk belakang-oren ~ Reinwardtipicus validus ~ Orange backed Woodpecker. Burung itu mudah sahaja untuk kita mengenali spesisnya kerana ia satu-satunya burung belatuk yang mempunyai buluhias bewarna hitam pekat, perutnya warna kuning susu cair dan jambul mahkota warna merah ros. Sungguh pun ia mudah dikenali tetapi cukup sukar untuk ditemui, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang tahun 2022.
Bayangkanlah, sepanjang lebih kurang 15 tahun memburung, spesis dari keluarga Belatuk ini lah merupakan burung terakhir dijumpai dengan sebegini keadaannya. Ia itu saya dapat peluang melakukan pemerhatian untuk jangkamasa yang panjang malah berjaya pula merakam imej spesis ini secara lengkap. Burung jantina Jantan, betina, juvana jantan dan juvana betina. Sungguhpun sebelum ini saya pernah menemuinya tetapi sekadar melihat kelibatnya sahaja. Pertama di Hutan Simpan Kemensah pada tahun 2012 dan yang kali kedua di sekitar kawasan hutan di Kampong Mat Daling di Ulu Tembeling pada tahun 2014 dulu. Setelah berpeluang melihat dengan mata kepala sendiri akan burung Belatuk Perut-putih~White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis, entah secara tidak semena-mena wujud pertanyaan dan kesangsian terhadap ketepatan nama burung itu berdasarkan ciri khas pada warna buluhias burung tersebut. Pemerhatian mata saya melihat warna dibahagian perut burung itu adalah kuning susu cair keju, bukan warna putih sepertimana buluhias burung keluarga Bangau atau pun Tern. Pemerhatian bukan hanya pada burung dewasa sahaja, malah warna yang sama turut ada pada buluhias anak-anak burung. Saya jamin , andaikata 100 individu melihat akan warna buluhias pada perut burung belatuk ini, mereka jua akan bersetuju dan bersempendapat dengan saya. Warna buluhias pada bahagian perut yang lebih tepat ialah warna kuning susu cair seperti warna keju, bukan berwarna putih.
Mengikut kajian saya, orang yang telah menukar nama burung tersebut ialah seorang pakar burung warga Amerika bernama Jean Delacour melalui buku tulisannya berjudul Birds of Malaysia pada tahun 1947. Beliau merupakan seorang pengkaji dan pakar burung-burung yang terdapat di kepulauan Filipina, bukan di Semenanjung Tanah Melayu. Memandangkan taburan burung itu turut terdapat di kepulauan Filipina, beliau telah menggunakan nama White bellied Woodpecker~Dryocopus javensis didalam bukunya. Beliau tidak mengikut nama asal The Malaysian Great Black Woodpecker ~ Dryocopus javensis. Itu bezanya orang yang membuat keputusan hasil daripada bacaan, bukan membuat keputusan setelah membaca dan berpengalaman melihat dilapangan.
Pemerhatian Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker Bersarang Di Hutan Lipur Sungai Congkak, Ulu Langat Selangor. Pemerhatian ini bermula pada hujung bulan Januari 2022. Pada ketika pasangan ini dalam proses mengeramkan telornya di dalam lubang sarang pada sebatang pokok yang telah mati. Bermakna episod burung memilih dan membuat lubang sarang telah terlepas dalam pemerhatian . Semua pemerhati burung dan jurufoto burung mengakui di Hutan Lipur Sungai Congkak, Ulu Langat Selangor memang kaya dengan pelbagai spesis sepertimana senarai burung yang telah saya rekodkan pada tahun 2015 dahulu. Rujukan senarai disertakan https://reddoortohunt.blogspot.com/2015/07/senarai-burung-burung-yang-di-temui-di.html
Sepengetahuan saya, belum pernah direkodkan burung The Malaysian Great Black Woodpecker ~ Dryocopus javensis ~ Belatuk Hitam Malaysia pernah dilihat bersarang di Hutan Lipur Sungai Congkak, Ulu Langat Selangor. Berdasarkan keadaan kawasan tempat yang telah dipilih untuk spesis ini membuat lubang sarang, saya tidak pasti samada ia memilih atas dasar secara kebetulan atau pun secara naluri pertimbangan kebijaksanaan burung. Mengikut hujah dan andaian peribadi, saya dapati ia mengambil kira beberapa aspek dan perancangan. Lokasi pokok yang dijadikan sarang itu terletak di belakang rumah Orang Asli dan bersebelahan dengan jalan tar laluan keluar masuk pengunjung. Batang pokok mati yang menjadi pilihan itu masih teguh, tegak tertanam dalam tanah, yang dianggarkan lebih kurang 40 meter ketinggiannya. Pokok yang telah lama mati itu terkandung pelbagai jenis diet dari jenis semut, anai-anai, ulat yang banyak terdapat dicelah kulit pokok. Ukurlilit pangkal pokok hampir 2 pemeluk, manakala dibahagian tengah pula satu pemeluk. Sekitar pangkal pokok itu penuh dengan tumbuhan belukar yang mana keadaan tanah bentuk mukabuminya tidak rata dan bercuram.
Lubang sarang berada pada ketinggian lebih kurang 5 meter dari tanah dan 8 meter daripada tempat manusia boleh berdiri atau lalu lalang. Ukur lilit lubang sarang berbentuk bulatan bersaiz seperti muka tin sardin besar. Manakala kedalaman lubang sarang di dalam pohon kayu saya anggarkan antara 8 ke 9 inci. Berhadapan dengan muka lubang sarang di anggarkan dalam jarak antara 4 atau 5 meter terdapat 2 pohon pokok hutan yang masih hidup subur, penuh dengan dahan dan daunan lebat yang hijau.
Pemerhatian yang dilakukan mendapati burung betina akan terlebih dahulu sampai ke dalam lubang. Ia datang dari arah kawasan hutan, terus hinggap seperti melekat pada batang pokok di bahagian atas terlebih dahulu. Dari aras atas ia akan menurun sejengkal demi sejengkal dengan menggunakan bantuan ketajaman sepasang 4 kuku jari kaki mencangkuk pada kulit pokok. Sambil batang pelepah ekornya menongkat anggota badan sebagai bantuan memudahkan kawalan ketika menurun. Setiap jengkal ia menurun ia pasti akan menoleh kiri dan kanan mungkin memerhatikan makanan. Atau sebagai usaha ikhtiarnya berawas dan berwaspada daripada sebarang ancaman. Kebiasaannya ia akan berhenti sebentar disudut sebelah kiri muka lubang , sambil menjengok dan mengagak dari sudut itu. Setelah itu barulah dia seperti melompat masuk, terus ke dalam lubang mengikut ketepatan meloloskan seluruh badannya mengikut saiz luas bulatan lubang sarang. Setelah membetulkan kedudukannya didalam sarang, ia akan mengeluarkan kepala seperti menjengok dari dalam muka pintu sarang.
Burung jantan akan tiba setelah 5 ke 10 minit burung betina beredar dari situ. Burung jantan datang ke lubang sarang dengan cara berlainan sedikit daripada burung betina. Burung jantan akan hinggap diatas pokok pada paras yang tinggi dikawasan sekitar 40 atau 50 meter daripada lubang sarang. Berhenti mendiamkan diri sebentar lebih kurang 4 ke 5 minit, menurun sedikit demi sedikit sehingga paras hampir sama dengan lubang sarang kemudian beralih ke pokok berdekatan. Sambil dia menurun ia mengambil kesempatan mencari makanan pada bahagian kulit kayu berlubang-lubang atau dicelah kulit pokok. Dengan menggunakan lidah yang panjang bergulung menjulur menjilat pelbagai jenis diet yang ada disitu, kemudian disimpan didalam kantung temboloknya.
Begitulah caranya hinggakan 3 ke 4 batang pokok ia singgah, barulah ia terbang hinggap diatas pokok tempat ada sarangnya pada kedudukan yang paling atas. Menurun seperti membuat separuh bulat mengelilingi batang kayu sehingga sampai ke muka pintu lubang sarang. Kelakuan hampir sama yang dilakukan ketika berada didalam lubang sarang. Saya tidak dapat pastikan pada ketika itu ada berapa biji telor yang sedang dalam proses eraman, hanya akan mengetahui sehinggalah telor itu menetas. Ketika telor sudah menetas, dalam satu hari pasangan burung akan melakukan kunjungan ke lubang sarang itu sebanyak 4 kali. Bermula pada waktu pagi antara jam 8.00 ke 9.00 pagi, sebelum menjelang tengahari antara jam 11.00 ke 12.00 tengahari, 1.30 ke 2.00 petang dan 4.00 petang ke 5.00 petang. Pada permulaannya pemerhatian dilihat induk burung akan masuk kedalam lubang sarang untuk kegiatan samada mengeramkan telur atau pun menyuap makanan yang dibawa. Setelah anak-anak burung sudah mulai membesar, induknya akan hinggap dimuka pintu lubang sarang sahaja untuk proses memberi makan.
Pada 15 hb Feb 2022, kelihatan pasangan itu telah datang dalam keadaan dihujung paruhnya ada makanan, kelihatan seperti anai-anai. Menjangkakan temboloknya telah penuh sehingga makanan terpaksa dibawa dengan paruhnya. Keadaan ini memberi tanda anak burung telah mula menetas, namun teka teki berapa jumlah anaknya berada didalam sarang masih menjadi tanda tanya. Keadaan seperti itu berlangsung hinggalah pada 20 hb Feb 2022 kelihatan kepala anak belatuk sudah memberanikan diri terjulur dimuka pintu lubang sarang. Pasangan Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker ini berpengalaman membesarkan anak dengan menyediakan diet yang mencukupi setiap hari, maka saiz anak burung sudah mula membesar menjadikan lubang sarang telah mulai sempit.
Pada ketika ini, anak-anak burung yang berhimpit-himpit didalam lubang mulai merasa sesak dan rimas ditambah pula dengan himpunan najis anak burung didalam lubang sarang. Maka secara semulajadi antara mereka dilihat bergilir-gilir berada dibahagian atas muka pintu lubang sarang. Semasa giliran inilah teka teki berapa jumlah telor yang berjaya menetas didalam sarang telah terjawab. Musim ini terdapat 2 ekor anak jantan dan sekor anak betina. Buluhias anak burung pada bahagian kepala hingga ke bahagian perut jelas kelihatan lengkap sama seperti kedua induknya. Pengenalan pada anak burung jantina jantan ialah terdapat secalit warna merah ros pada buluhias bahagian sisi bawah paruh. Buluhias dibahagian atas pangkal paruh hingga ke pangkal tengkok berwarna merah ros. Manakala anak burung jantina betina pula tidak mempunyai calit merah ros dibahagian sisi bawah paruh. Buluhias pada bahagian mahkota kepala berwarna merah ros bermula pada bahagian atas tengah kepala membawa hingga ke bahagian tengkok.
Pemerhatian Anak Burung Melakukan Proses Pengiliran Menjengok
Pemerhatian proses sesi pengiliran menjengok antara anak-anak burung ini pada hemat dan cadangan saya adalah satu proses yang penting kepada anak burung yang dibesarkan di dalam lubang sarang. Barangkali juga kepada semua spesis anak-anak yang dibesarkan didalam lubang sarang pokok, seperti keluarga Kasumba, Takur, Hud hud, dan Falkonet kecuali keluarga Enggang. Semasa proses penggiliran menjengok, anak burung dapat mengaktifkan deria pemandangan dan deria pendengaran setelah bergelapan di dalam lubang sarang.
Anak Burung Betina
Setelah deria penglihatan anak-anak burung berupaya memandang dengan jelas, maka secara semulajadi naluri mereka akan mula belajar melihat arah mana yang akan di tuju semasa melakukan penerbangan pertamanya sebagai sekor burung. Proses pengiliran menjengok dunia luar adalah berperingkat- peringkat. Pada permulaan hanya kelihatan kepala dan paruh anak burung sahaja. Hari demi hari anak-anak burung sudah mulai bertambah yakin sehingga berani mengeluarkan keseluruhan lehernya dari lubang sarang. Sehinggalah anak burung mendapat naluri keyakinan dimana sebahagian bahu sayap dan kedua belah jari kakinya mencengkam muka pintu lubang sarang dapat diperhatikan dari luar.
Falkon Katik peha-hitam~Mircohierrax fringillarius
Falkon Katik peha-hitam~Mircohierrax fringillarius sedang menjengok lubang sarang burung Belatuk
Pemerhatian Anak Burung Cemas Diancam Oleh burung Falkon Katik peha-hitam~Mircohierrax fringillarius.
Ketika tempoh sesi pengiliran berlangsung, secara tidak terduga, rupa-rupanya kelakuan anak-anak burung telah menarik perhatian sekumpulan burung Falkon Katik peha-hitam~Mircohierrax fringillarius. Ketika Induk burung belatuk keluar mencari makanan datang 4 ekor burung Falkon Katik peha-hitam~Mircohierrax fringillarius menghampir lubang sarang. Saya tidak pasti apa tujuan burung pemangsa secara berkumpulan 4 ekor datang mengelilingi sekitar kawasan pokok lubang sarang. Samada ia mahu menjadikan anak burung sebagai mangsanya atau untuk tujuan merampas lubang sarang. 2 ekor burung pemangsa bersilih ganti telah beberapa kali berulang alik, pergi menghampiri lubang sarang.
Setelah beberapa kali berbuat begitu, tanpa ada rasa ragu dan takut sekor burung dewasa telah datang hinggap pada muka pintu lubang sarang sambil menjengok ke dalam. Pada ketika itu, agaknya tentu ketiga ekor anak burung akan merasa cemas, atas perbuatan burung pemangsa. Entah sebab apa tindakan susulan yang berkemungkinan bakal memberi bahaya kepada anak burung telah terhenti sampai disitu sahaja, tidak diketahui sebabnya. Apakah mungkin saiz anak burung lebih 2 kali ganda besar daripada saiz anggota badan burung pemangsa. Peristiwa kejadian cemas kepada anak burung itu berlangsung lebih kurang 15 hingga 20 minit.
Falkon Katik peha-hitam~Mircohierrax fringillarius sedang menjengok lubang sarang burung Belatuk
Pemerhatian Anak Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker jantan melakukan penerbangan pertama kali sebagai sekor burung.
Pada 25 hb Feb 2022 sama seperti hari-hari sebelumnya antara jam 9.15 pagi Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker jantan datang ke lubang sarang dengan cara kebiasaanya. Induk jantan mengambil masa hampir 30 minit untuk dia sampai ke lubang sarang, setelah satu persatu pokok disekeliling lubang sarang dihinggapnya. Mencari jumlah makanan yang lebih banyak daripada biasa untuk disediakan kepada anak-anaknya. Pada ketika induk sedang berada disekitar lubang sarang, anak-anak burung sudah mula pandai mengeluarkan suara. Bunyi panggilan yang lebih kurang sama dengan induknya, sambil kepala menjenguk kekiri dan kanan muka lubang. Setiba induk burung sampai dimuka pintu lubang, sekor anak jantan tergocoh-gocoh mendahului adik beradik yang lain dengan paruhnya dibuka luas. Disuapkan makanan kedalam mulut anak jantannya itu dari jenis ulat-ulat. Setelah selesai memberi makan induknya pun beredar terbang dan hinggap pada pokok hutan yang berada tidak jauh daripada lubang sarang. Kemudian keterdengaran suara induknya sahut menyahut suaranya berulang-ulang kali , sayup-sayup dari jauh. Tindak balas dari suara induknya itu membuatkan salah sekor anak jantannya menjengukkan kepala dari lubang sarang. Ditoleh kiri , kanan atas dan bawah buat satu masa yang agak lama. Suara panggilan induknya itu masih berulang ulang sehingga pada satu ketika, terus senyap. Pada ketika itu anak burung jantan sudah mulai berani mengeluarkan sebahagian anggota badannya sehingga jelas kelihatan kejernihan iris mata kebiru-biruan, dada berwarna hitam , sebahagian perutnya yang bewarna kuning susu cair keju dan kuku jari kakinya yang sedang mencengkam muka lubang sarang. Keseluruhan warna buluhias anak jantan itu kelihatan lengkap sifat Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker. Tidak lama kemudian induk Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker betina tiba lalu hinggap diatas pokok lubang sarang. Jengkal demi sejengkal ia turun seperti melurut kebawah sampai ke muka lubang sarang.
Disitu sekali lagi induknya itu memberi makan kepada anak jantannya sehingga selesai, lalu beredar. Anak burung jantan kini berada dimuka pintu terpaku agak lama dianggarkan lebih kurang 5 hingga 10 minit. Entah apa yang akan dilakukan selepas itu, hanya dirinya sahaja yang tahu. Hari demi hari ruang lubang sarang bertambah sempit kerana ketiga anak burung telah membesar. Salah sekor daripada mereka yang terlebih dahulu merasa perkasa harus memberanikan diri untuk terbang keluar. Telah tiba masanya anak burung merasa yakin dengan keupayaan yang sedia ada. Jikalau difikirkan dari sudut akal fikiran kemanusiaan, keputusan untuk anak burung melonjak melompat dan terbang buat pertama kali dalam hidupnya tanpa berlatih adalah satu pekara yang terlalu hebat.
Bayangkan sejak ia menetas kemudian hidup dalam kegelapan di dalam lubang tanpa diberi peluang berlatih, lalu terus hendak terbang. Dimana datangnya naluri keberanian. kepercayaan dan keyakinan dirinya sendiri? Bahawa dengan sekali lonjak sahaja pasti akan boleh terus terbang. Mungkin hukum alamsemulajadi burung, sekali melonjak terbang sudah tidak boleh berpatah balik, "MESTI BOLEH"!
Siapa yang mengajarnya? Secara tiba-tiba anak burung jantan itu melonjak keluar dari lubang sarang menuju terus ke arah pokok bersebelahan yang tidak jauh dari situ. Saat melonjak keluar ia terus mengepak-gepakkan pelepah sayap terus menuju ke arah batang pokok dan terus kuku jari kaki hinggap melekat pada permukaan kulit kayu pokok. Disitu anak burung seperti terpaku buat seketika dalam keadaan lapan jari kuku runcing melengkung seperti kerambit mencengkam kulit pokok. Pelepah ekornya yang telah keras itu dijadikan bantuan untuk menongkat beban anggota badan. Jarak jauh penerbangan pertama yang berjaya dilakukan itu dianggarkan lebih kurang 20 meter. Barangkali anak burung terpaku seketika kerana menahan kepenatan kesan pertama kali menggunakan sayapnya.
Sejurus melakukan penerbangan pertama keluar daripada lubang sarang
Setelah terpaku seketika barulah anak burung melonjak bergerak naik sejengkal demi sejengkal ke bahagian paling atas pokok. Berhenti berteduh pada dahan yang dipenuhi dengan daunan hijau. Disitu anak burung berehat sambil membunyikan suara panggilan sebagai isyarat kedudukannya dapat dijejak oleh ibubapanya. Kebiasaannya ibubapa akan menjejak anaknya itu untuk proses memberi makan dan pelajaran ikhtiar diri. Peristiwa bersejarah anak burung terbang buat pertama kali keluar sarang berlaku pada jam 10.00 pagi. Ketika keadaan cuaca pagi itu cukup sesuai untuk ia terbang dalam keadaan buluhiasnya kering dan ringan kesan dari cahaya matahari bersinar terang. Kini tinggal lah sepasang anak burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker. jantan betina didalam lubang sarang. Setelah sekor telah berjaya keluar sarang maka keadaan didalam ruang lubang sarang sudah tidak sempit seperti sebelumnya.
Anak burung jantan dan betina belum bersedia meninggalkan sarang
Pemerhatian bersambung lagi untuk melihat giliran 2 ekor lagi anak burung mengekori abangnya. Namun peristiwa itu tidak berlaku sehingga waktu petang. Memandangkan tidak ada kelapangan pada hari berikutnya, maka saya jangkakan anak burung akan keluar sarang dalam waktu terdekat . Berselang dua hari tidak membuat pemerhatian sarang, lubang sarang telah pun dikosongkan. Saya menjangka 2 ekor anak burung jantan betina telah keluar dengan selamat mengikut ibubapanya pada hari berikutnya.
Anak burung betina ( Kiri ) dan anak burung jantan ( Kanan )
Rumusan
Peluang keemasan sebegini bukan selalu berlaku , malah pemerhatian sebegini bukan dapat dilihat pada setiap kali musim pembiakkan sepertimana pemerhatian burung Takau Dada-perak~Serilophus lunatus bersarang. Perincian kejadian yang dipertontonkan sebelum ini juga tidak pernah di zahirkan dalam bentuk cerita tulisan untuk bacaan dan tatapan peminat pemerhati burung. Pada hemat saya, apa yang dapat dipelajari pada peristiwa pemerhatian Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker adalah seperti berikut:-
1.Burung Turut Berikhtiar dan Memilih Dalam Menjalani Kehidupan
Pemilihan yang menimbangkan bahawa bakanya berupaya melangsungkan kehidupan dalam menjalani permulaan hidup baharu. Bagaimana dan apakah ciri-ciri pemilihan lokasi dalam menentukan lubang sarang yang bakal dibuat. Saya tidak fikir perkara ini berlaku secara kebetulan kerana peristiwa kejayaan yang telah berlaku terhadap anak-anak burung yang berjaya terbang keluar dari lubang sarang membuktikan induk burung telah melakukan pengiraan dalam semua sudut.
Kedudukan dan jarak dengan pokok-pokok sekeliling adalah lebih kurang 20 meter daripada pokok mati yang bakal dilubangkan untuk membuat sarang . Dilantai tanah harus ditumbuhi dengan tumbuh-tumbuhan renik yang subur rimbun. Lubang sarang akan di bina pada ketinggian lebih kurang 5 meter, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Faktor yang dinyatakan itu sebenarnya bertujuan menyediakan ciri-ciri keselamatan untuk kesenangan anak-anak burung berupaya melompat terbang keluar dengan risiko yang sangat kurang.
Kedudukan lubang sarang yang tidak terlalu tinggi lebih kurang 5 meter disamping itu dilantai tanah secara semulajadi telah tersedia daunan tumbuhan yang lebat. Andaikata anak burung kurang upaya terbang sampai ke pokok dihadapan semasa penerbangan pertama ia masih selamat kerana daun-daun, lalang dan tumbuhan dilantai tanah menjadi ruang empuk penyerap dari terhempas pada permukaan keras sehingga tidak mendatangkan kecederaan.
2.Proses Pengiliran Anak Burung Menjengok Dalam Sarang
Kebanyakkan burung-burung yang membina sarang dalam lubang pokok atau membina sarang dalam rekabentuk bulat tergantung atau melekat yang mempunyai muka pintu, anak burung akan ada proses pengiliran menjengok ( lebih dari satu ekor ) pada muka pintu sarang. Anak-anak burung dari Keluarga burung seperti burung Takur, Roller, Kesumba, Falkonet, Takau, Jerijit Suria, Kelicap Madu, Tempua, Tiak, dan Perapat, akan melakukan proses pengiliran menjengok pada muka pintu sarang, sama seperti anak Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker. Berdasarkan rekabentuk sarang, sejak menetas keluar dari cengkerang telor ia berada dalam suasana kegelapan, tidak sepertimana anak burung yang tinggal dalam sarang dari rekabentuk seperti Kuali, pinggan, piring atau cawan yang hanya berbumbungkan langit. Proses ini sangat penting untuknya mempersiapkan diri untuk melakukan penerbangan keluar sarang. Bermula dari deria pendengaran kemudian penglihatan dan pengetahuan. Dengan melakukan proses menjengok anak burung dapat melihat dan mengenal keadaan habitat semulajadi disekitarnya. Pengetahuan hasil melihat itu akan memberi nilai tambah kepada keyakinan diri kemana arah hala tuju yang hendak ia pergi apabila melakukan penerbangan pertamanya nanti. Memandangkan anak burung tidak diberi peluang untuk berlatih mengibas-ngibas pelepah sayap lantaran rekabentuk didalam sarang.
3.Penemuan Maklumat Baharu Ciri-ciri Pengenalan Jantina Jantan Dan Betina Anak Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker.
Merujuk kepada kenyataan Buku The Birds of Malay Peninsula Vol IV; The birds of low country,jungle and scrub yang di tulis oleh Frederick N. Chesen, mukasurat 187 "Young bird of both sexes are at first very like the adult female...... I have seen only one juvenile male ( sexed kloss )
Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker- Jantan
Merujuk kepada kenyataan Buku Birds of South East Asia~ Craig Robson berhubung dengan pengenalan burung Dryocopus javensis dimukasurat 38 "Juvenile Male with blacked mottled forecrown,
Anak Burung jantan
Berdasarkan pengamatan saya sejak dari mula anak burung Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker melakukan pengiliran menjengok , saya dapati sejak permulaan buluhias anak anak burung tumbuh, kita telah boleh mengenal pasti dan dapat membezakan jantina betina dan jantan. Ciri serta tanda khas Anak Burung jantan adalah sama dengan burung jantan dewasa. Begitu juga buluhias dan tanda anak burung betina sama juga dengan burung betina dewasa.
Burung Belatuk Hitam Malaysia ~ Dryocopus javensis~The Malaysian Great Black Woodpecker- Betina
Anak Burung Betina
Dengan bukti serta penemuan fakta baharu ini saya merumuskan bahawa maklumat yang tercatit dalam kedua-dua buku yang dinyatakan diatas itu tidak begitu tepat yang cuma bersifat maklumat andaian sahaja. Maklumat tidak tepat bersifat andaian yang telah ditulis oleh warga bukan tempatan itu telah menjadi seolah-olah ilmu maklumat yang tepat sejak tahun 1939 sehinggalah pada tarikh maklumat terbaharu ini ditulis.
4.Mengembalikan Semula Nama Asal Burung The Malaysian Great Black Woodpecker Dryocopus javensis~Belatuk Hitam Malaysia dari nama White bellied Woodpecker ~ Dryocopus javensis.
Barangkali pada ketika itu nama The Malaysian Great Black Woodpecker Dryocopus javensis~Belatuk Hitam Malaysia telah diganti dengan nama White bellied Woodpecker ~ Dryocopus javensis kerana ia sudah tidak sesuai lagi. Pada sekitar tahun 1947 dunia alam pengkajian burung telah menemukan berbagai jenis Burung Belatuk yang buluhiasnya berwarna hitam seperti Black Bodied Woodpecker~Dryocopus shulzii, Andaman Woodpecker~Dryocopus hodgei, Black Woodpecker~Dryocopus martius, Pileated Woodpecker~Dryocopus pileatus . Lantaran dari itu, untuk memudahkan pengenalan dan pembezaan maka diperkenalkan dengan nama White bellied Woodpecker ~ Dryocopus javensis. Malangnya nama yang diperkenalkan itu tidak sama dengan warna buluhias jantan betina pada bahagian perut burung. Ia sebenarnya bukan berwarna putih tetapi berwarna kuning susu cair keju.
Sepertimana kenyataan saya sebelum ini dari 23 spesis belatuk di Malaysia cuma 1 spesis The Malaysian Great Black Woodpecker Dryocopus javensis~Belatuk Hitam Malaysia sahaja buluhiasnya yang berwarna hitam. Taburan spesis belatuk berwarna hitam seperti Black Bodied Woodpecker~Dryocopus shulzii, Andaman Woodpecker~Dryocopus hodgei, Black Woodpecker~Dryocopus martius, Pileated Woodpecker~Dryocopus pileatus tidak boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak. Bagi memudahkan serta memperbetulkan pemerhati burung tempatan pengenalan burung belatuk ini, maka saya mencadangkan untuk menggunakan nama asal The Malaysian Great Black Woodpecker Dryocopus javensis~Belatuk Hitam Malaysia, dan tidak lagi menggunakan nama White bellied Woodpecker ~ Dryocopus javensis yang jelas tidak begitu tepat. Wasalam.
No comments:
Post a Comment