Pengalaman Pemerhatian Burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus ~ Peringkat Muda Remaja Sedang Beristirehat Tidur Mikro Di Pantai Kelanang, Selangor Darul Ehsan.
Sejak bermula memburung secara aktif 2007 dulu, saya tidak pernah membuat pemerhatian spesis burung Tern tidur. Saya cuma memerhati spesis burung itu dalam hala keadaan sedang terbang ,mengepak mengapungkan diri di udara, menjunam masuk diatas permukaan air, menukar haluan arah ketika sedang terbang, menyambar makanan , bertenggek di atas tiang atau kabel dan berjalan. Pada hari Ahad pada jam 10: 45 pagi 4 hb Okt 2026 bertempat di kawasan pinggir pantai Kelanang, Jugra Banting Selangor, saya diberi kesempatan membuat pemerhatian burung Burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus ~ Peringkat Muda Remaja sedang beristirehat bersendirian melelapkan mata tidur secara mikro.
Berdasarkan pengalaman saya memburung, lebih lebih lagi dalam pemerhatian spesis Burung Tern yang sangat rumit kita membuat pengecaman . Dalam menentukan spesis burung Tern, terdapat ciri-ciri khusus yang ada pada keluarga burung ini seperti corak pada bahagian kepala, corak pada bahagian belakang buluhias serta warna paruh dan kaki. Boleh dikatakan hampir 70 peratus penampilan burung Tern hampir menyerupai sesama spesis. Malah ketika musim membiak penampilan buluhiasnya turut berubah pada warna paruh dan kakinya. Keadaan ini kadang-kadang memberi cabaran dan kerumitan. Malah ada kalanya tersalah pengecaman spesis berlaku kepada pemerhati burung yang berpengalaman . Mujur berbekalkan sedikit pengetahuan yang diajarkan dulu oleh Guru saya, Saudara Mike Chong . Bolehlah sedikit membantu saya membuat pengenalan pengecaman burung Tern ini.
Mengikut ciri fizikal rakaman saya itu:-
1. Pada bahagian buluhias bercorak berbentuk sisik berwarna coklat perang terlihat sangat jelas.
2. Pada bahagian bahu sayap burung terdapat garisan warna kehitaman.
3. Mempunyai kaki berselaput berwarna jingga kemerahan.
4. Bentuk paruh halus , nipis dan runcing berwarna hitam. Dan pada pangkal paruh ada kelihatan berwarna sedikit kekuningan.
5.Pada bahagian kepala mempunyai tompok hitam tebal dibelakang kepala , mata dan telinga.
Setelah membuat siasatan pada setiap ciri -ciri yang ada pada burung dengan bahan rujukan buku, maka saya mencadangkan burung yang sedang tidur ini adalah dari spesis burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus ~ Peringkat Muda Remaja.
Sebelum kehadiran burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus, saya sedang membuat pemerhatian burung Keruit Emas Pasifik ~ Pluvialis fulva . Mengikut rekod peribadi saya , spesis ini akan datang pada lokasi yang sama pada setiap kali musim hijrah. Kumpulan Keruit Emas Pasifik ~ Pluvialis fulva yang berada disitu saya anggarkan sebanyak 15 individu burung.
Sekitar jam 10:45 pagi seekor burung berwarna putih terbang mendarat berhampiran dengan kumpulan burung yang sedang aktif mencari makanan. Boleh jadi burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus ~ Peringkat Muda Remaja ingin berehat sambil memulihkan tenaganya. Ia datang bersendirian tidak bersama dengan kumpulannya, boleh jadi ia telah ketinggalan dan kepenatan kerana kurang pengalaman. Ya lah, buat pertama kali melakukan penerbangan jarak jauh beribu kilometer dari benua China dan Rusia.
Ia berehat berhampiran dengan kumpulan burung Keruit Emas Pasifik ~ Pluvialis fulva yang sedang aktif mencari makanan. Naluri pemilihan tempat ia berehat disitu, saya jangkakan ada besar kemungkinan jikalau ada pemangsa datang mengancam, burung Keruit Emas Pasifik ~ Pluvialis fulva itu pasti akan memberi kicauan beramaran dan berjaga-jaga. Bunyi kicauan itu nanti boleh menjadi kejutan semulajadi dalam membantu dia sempat terbang menyelamatkan diri. Naluri silaturahim semulajadi yang wujud dalam jiwa burung yang dibekalkan oleh Allah Maha Pencipta adalah cukup terpuji dan tidak terfikir oleh akal manusia . Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus tidak perlu menyuruh atau memaksa burung Keruit Emas Pasifik ~ Pluvialis fulva untuk menjaga keselamatan dirinya..
Kedudukan antara tempat ia mendarat di kawasan lapang terbuka dengan tempat saya membuat pemerhatian adalah lebih kurang 60 meter . Secara perlahan lahan saya menggunakan pengalaman untuk pergi rapat serapat yang mungkin. Usaha dan pengalaman saya itu telah berjaya berada rapat dari kedudukan 60 meter kepada 3 atau 4 meter di tempat burung berehat.
Sehinggakan lensa kamera 300 mm tidak boleh merakam imej penuh burung tersebut. Saya terpaksa berhenti dan berundur ke belakang sedikit. Keadaan membuat pemerhatian dan merakam berlangsung hampir 10 minit sehingga bateri kamera saya kuasanya terpadam. Mujur pengalaman yang ada telah membantu saya meneruskan rakaman dan pemerhatian. Dalam keadaan itu saya harus menutup kuasa bateri kamera dan menunggu kurang 45 saat kemudian hidupkan semula kuasa bateri kamera. Kebiasaannya masih ada baki isyarat 1 bar , dan kuasa satu bar itu berupaya merakam 4 atau 5 kali rakaman. Kaedah rakaman seperti itu diulang ulang sehingga saya berada rapat dengan burung yang sedang kepenatan dan mengantuk. Kehadiran saya berada dekat ditempat ia berehat sedikit pun tidakmengakibatkan ia rasa terganggu atau terkejut. Pemerhatian saya berakhir secara naluri semulajadi terbang setelah mendapat tenaga baharu bukan kerana terbang secara terperanjat. Ia terbang pergi mengikut naluri bersendirian menghala ke arah pantai Kelanang.
Nota pemerhatian Burung Tidur Waktu Siang.
Sejurus mendarat ia berdiri tegak dengan hala sudut pandangnya ke arah pantai dan laut. Lalu ia menyisir buluhias pada bahagian dada dan perut. Keadaan burung kelihatan lesu dan penat, namun menggagahkan berdiri tegak sambil termenung dengan matanya sedikit kuyu. Berhenti sejenak kemudian memerhatikan kawasan sekelilingnya, dan menyambung semula aktiviti penyisiran buluhias pada bahagian yang sama. Kelihatan dengan jelas pada bahagian hujung buluhias pelepahnya basah . Corak bentuk sisik berwarna coklat terang yang berlatar belakangkan warna kelabu cair. Ia kelihatan kusut dan tidak terurus mungkin kesan aktiviti mencari makan pada permukaan air .
Hal keadaan burung itu berdiri tegak agak lama juga, barang kali matanya masih terbuka tetapi jasadnya sedang hilang berehat. Boleh jadi dalam waktu ia berehat ia turut mengeringkan buluhiasnya yang basah pada sinaran cahaya matahari pagi. Kemudian ia menyambung semula menyisir sehingga ia tertunduk dengan selaput kelopak matanya mula tertutup rapat. Sejenak kemudian membuka semula separuh selaput kelopak mata. Gaya tidur sebegitu berlangsung agak lama.

Pejam sejenak , celik separuh mata kemudian pejam semula dan adakalanya matanya terbuka luas tetapi ada selaput mata nipis lut sinar seperti lapisan biji matanya. Keadaan sebegitu berlaku dianggarkan lebih kurang 2 minit. Selepas itu ia mula beralih kedudukan dengan berjalan kaki pada sudut pandang ke arah kumpulan Keruit Emas Pasifik ~ Pluvialis fulva. Disitu ia mengulangi semula, cara yang sama ia tidur. Saya jangkakan tempoh melelapkan mata sebegitu, lebih kurang sama dengan sebelumnya.
Setelah ia tidur berdiri agak lama, kemudian ia duduk rapatkan badannya diatas tanah. Hal keadaan seperti mencangkung, dimana kedua belah lutut dan peha rapat pada dada dan perutnya. Sama seperti spesis burung Tukang beristirehat dan mengeramkan telor. Pada kedudukan seperti itu burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus , saya perhatikan lebih lama sedikit memejamkan matanya. Sehingga kelihatan bulu hias bentuk daun menutup bahagian keseluruhan mata. Sesekali membuka mata dan melihat sekeliling dan menyambung semula tidurnya. Hal keadaan ia tidur seperti itu dianggarkan lebih kurang 2 atau 3 minit.

Sejurus mendapat rehat ia bangun berdiri dan mengubah sudut pandang ke arah pantai dengan berjalan perlahan lahan menuju ke arah tebing. Untuk dia sampai ke tebing, entah berapa kali ia berhenti dengan keadaan mata ditutup dan mata kuyu separuh tutup. Tidak lama kemudian, baru kelihatan mata bulat kehitamannya bersinar. Disitu ia menunggu tiupan angin dari pantai dalam membantunya meneruskan aktivitinya. Setelah dirasakannya tiupan angin berupaya mengapungkan diri, burung Tern Sayap Putih ~ Childonias leucopterus cuma mendepangkan kedua belah sayap dan mengepak-gepak naik ke atas dan terbang menghilangkan diri.













No comments:
Post a Comment