Wednesday, 3 August 2016

Siri Bangunan Ibadat Bersejarah Yang Terbiar Dan Terabai


Tidak ada daya upaya yang boleh dilakukan, selain berharap hanya pada Allah sahaja. Moga-moga ada  orang yang berilmu dan berharta daripada kalangan kita sanggup bekorban mengusahakan sesuatu yang terpuji. Untuk tampil menyelamatkan, membaik pulih, menyelia dan mentadbir dengan baik bangunan Masjid Lama ini . Masjid Lama ini terletak disebuah daerah pedalaman di negeri Pahang yang jauh daripada kesebukkan arus kemodenan bandar.




Pemandangan Bangunan Masjid Lama dari hadapan. 

Anak tangga kayu untuk naik memasuki ke dalam Masjid telah hilang dan reput. Atap zingnya juga telah berlubang, berkarat dan salah satu atap zing telah hilang dipercayai telah diterbangkan oleh angin. Kedudukan arah kiblat sama dengan muka pintu masjid. Tumbuhan liar dari jenis rumput serta lalang hidup segar subur dihalaman Masjid Lama. Kelihatan  tidak ada penjaga dan terbiar begitu sahaja, walaupun seharian para Khariah Masjid dan penduduk Kampong  lalu lalang dihadapannya langsung tidak mempedulikannya.




Orang tempatan yang berjaya dan  berhijrah dari Kampong ini pun tidak menampakkan kesayangan mereka terhadap Masjid Lama ini. Agaknya mereka hanya leka dengan kesedapan hidup di bandar sahaja. Tidak langsung mahu berikhtiar untuk menawarkan jasa untuk menjaga atau membaik pulih Masjid Lama ini. Keadaan ini jelas membuktikan mereka adalah dikalangan  orang yang kurang berpendidikkan ilmu Tawarikh tempatan.



Jikalau atap-atap zing pada Bangunan Masjid Lama ini sudah terbuka dan mendedahkan ruang bilik Imam Masjid, alamatnya  bangunan ini sedang berlaku proses kemusnahan diperingkat pertengahan. Iaitu  sedang menjalani proses petukaran menjadi lapuk. Serangan cuaca panas hujan sejuk bersilih hari,  bakal meruntuhkan bangunan ini seterusnya akan menyembah bumi tanpa ada seorang pun yang akan perasan.


Sikap umat Islam Melayu ditempat ini sendiri memberi tanda jelas bahawa ada dikalangan mereka dipercayai daripada kalangan Jiwa Kosong. Perbuatan Vendalism pada sebahagian besar bahagian dinding Masjid Lama ini membuktikan  hati-hati mereka liar. Tafsiran dalam beribadat dikalangan mereka sangat sempit. Pada mereka memadai hanya dengan Sembahyang, Puasa, Zakat, Haji, Ceramah , Halal,  Haram sahaja. Mengekalkan sejarah penempatan awal orang Melayu Islam di daerah pedalaman Negeri Pahang serta sejarah senibina tidak termasuk dalam kamus hidup mereka.




Berdasarkan bukti yang boleh dilihat Masjid Lama ini dibina sekitar tahun 40 atau 50an, dan ia telah ditambah baik pada 11 Oktober 1964. Seni binaan bangunan orang Melayu Islam Pahang pada ketika itu menampakkan tiada unsur-unsur senibina Islam yang bercirikan dari benua India mahu pun dari benua Arab. Ia adalah rekaan senibina Bangunan Ibadat Melayu Islam Pahang yang dicipta oleh orang yang terdahulu yang tidak ditiru dari mana-mana tempat.



Ketekunan orang Melayu Islam Pahang ketika berusaha memperindahkan Masjid Lama mereka harus dipuji. Sikap ini telah mula pudar di kebanyakan masyarakat kita hari ini. Bukan sahaja tidak pandai lukisan pelan Senibina, pertukangan jauhlah sekali. Untuk mengekalkan senibina Melayu Islam Pahang yang unik ini langsung tiada sekelumit didalam hati kalangan mereka.



Sebagai salah satu contoh menyokong kenyataan saya ialah dari hasil kepingan Zing sebagai pemidang memperindah sekeliling Kubah Masjid. Kepingan Zing di lukis corak bunga dan dipahat sehingga menjadikan corak seragam yang menarik. Hasilnya dilekat tampal di sekeliling Kubah Masjid Lama, untuk memberi rasa megah dan kebanggaan kepada senibina Masjid. Setidak-tidaknya setanding dengan senibina dari masyarakat lain.


Kini segala usaha tukang kayu dan pengukir itu menjadi seperti sampah terbuang bersepah-sepah sedangkan ianya terhasil daripada seni pertukangan pahat yang memerlukan kepakaran dan ketekunan.



Pada sekeliling bangunan Masjid Lama , dibina juga ruang angin keluar masuk untuk tujuan memberi selesa para makmum ketika beribadat. Corak pahat yang menarik dilakukan dalam bentuk geomateri seragam yang juga bertujuan memberi cahaya masuk menerangkan ruang solat. Kerana pada ketika itu Masjid Lama ini tidak dibekalan oleh tenaga elektrik.



Seni pertukangan dan pahat yang membentuk corak asal Melayu Islam Pahang pada ketika itu banyak memikirkan kesejahteraan khalayak. Keseluruhan ruang siling Masjid Lama ditutup susun rapat dengan kayu-kayu bertujuan mengurangkan haba panas dan memperkemaskan senibina Masjid.




Terdapat Bilik Imam merangkap khutub khanah untuk menyimpan kitab-kitab, Al Quran, Rehal, Tikar dan Sejadah dibina kemas. Ruang ini dipisahkan dengan 2 daun pintu yang berbentuk  seperti bucu kon. Diruang  Mihrab Masjid masih terdapat rangka Mimbar kayu berwarna Hijau yang masih berkeadaan baik.


Ruang dinding didalam bilik ini nya dicat dengan warna yang terang, memberi kemudahan orang untuk mentelaah kitab dan mengaji didalam bilik ini.











Masjid Lama ini dibina oleh sekumpulan Mahir Tukang Kayu yang berkemahiran tinggi. Rangka bangunan Masjid lama didirikan dengan menggunakan kaedah tebuk, selak dan pasak dengan tidak menggunakan paku. Setiap tiang kayu di ukur dengan tepat dan sempurna. Andaikata ukuran dan tebukan tidak tepat  maka rangka bangunan tidak dapat didirikan.


Namun begitu semua seni pertukangan kayu berkemahiran tinggi itu langsung tidak dihargai oleh khariah dan penduduk Melayu Islam Pahang. Mungkin mereka hanya mengharapkan kerajaan atau pihak NGO untuk menyelamatkan binaan sejarah ini. Untuk mereka merasa megah mempertahankan seni bina Melayu Islam Pahang jauh panggang dari api.



Setakat bersimpati tanpa ada sebarang tindakan yang menggerakkan usaha memperbaiki dan mengekalkan Masjid Lama ini, sama sahaja seperti tidak melakukan apa-apa. Apakah akan berlaku jikalau ada orang perseorangan datang dengan lori dan membuka bangunan Masjid Lama ini untuk dipindahkan dilokasi lain ? Apakah ada orang atau kumpulan yang akan menghalang usaha tersebut.


Apakah tindakan menyelamatkan senibina itu akan dianggap seperti mencuri atau merampas hakmilik penduduk Kampong tersebut? Sedangkan pada hakikatnya bangunan itu hanya bertaraf sampah dimata mereka.


Andai kata ahli Khariah kawasan kampong ini menggerakan otaknya untuk memenafaatkan bangunan ini tentu Ahli Jawatan Kuasa Masjid Kampong ini boleh menambah jumlah simpanan wang Masjid. Mungkin melebihi kutipan derma pada setiap Sembahyang Jumaat. 


Salah satu cadangan yang boleh saya beri ialah, jadikan lah tempat ini sebagai rumah inap untuk pelancong dan pengembara tempatan dan luar negara. Apa yang perlu lakukan adalah cuma sediakan sahaja kemudahan asas seperti tenaga elektik, air dan tandas. Bersihkan halaman dan cantikkan tanaman landskap.








Apa yang menariknya ialah kedudukan lokasi bangunan ini letaknya diatas kawasan bukit, dimana arah pemandangan akan melihat dan menikmati warna-warni cahaya matahari terbit diwaktu menjelang pagi. Sambil bersarapan pagi dihalaman masjid lama dengan menu hidangan yang disediakan oleh penduduk kampong. Menu-menu tempatan boleh diperkenalkan kepada masyarakat luar dan secara tidak langsung menambah sumber pendapatan warga kampong.




Janganlah nanti merasa kesal yang tidak sudah atas kerugian khazanah sejarah penempatan awal penduduk Melayu Islam Pahang disini. Tidak berfaedah lagi untuk berkalau-kalau sekiranya Bangunan Ibadat Melayu Islam Pahang ini menyembah bumi. Wasalam.


Sunday, 10 July 2016

Finch Hijau Dada-kuning~Carduelis spinoides ~Yellow Breasted Greenfinch




Finch Hijau Dada-kuning~Carduelis spinoides ~Yellow Breasted Greenfinch

  

Lokasi Ditemui: Putrajaya Kuala Lumpur.
Tarikh: May 2016


Kenyataan: Rakaman dilakukan tidak menggunakan suara panggilan palsu dan tidak mengumpan dengan makanan. 

Sepanjang pengetahuan saya, burung ini belum lagi disenaraikan dalam senarai Burung-burung Yang Boleh dijumpai di Malaysia. Oleh yang demikian , bersama-sama ini saya kongsikan bukti penemuan burung tersebut bahawa ia telah pun sampai di Malaysia.



Menurut bacaan daripada buku dan internet, spesies burung ini mendiami habitat kawasan pergunungan sederhana tinggi antara 1,220 hingga 2,550 meter dari paras laut. Ia boleh dijumpai disekitar kawasan negara Afganistan ,Bhutan, India, Myanmar, Nepal , Thailand, Tibet dan Vietnam.



Nota Pemerhatian.

Ia dijumpai secara bertenggek pada pokok yang sama pada tiap-tiap petang, sehingga pada awal bulan Jun. Ketika pemerhatian dilakukan burung ini bertenggek diam diatas ranting pokok yang tinggi buat satu tempoh yang agak lama, sebelum ia terbang menghilangkan diri.



Pada keting kaki kanan burung saya dapati terdapat gelang logam, dipercayai gelang kajian burung yang telah dipasang oleh pihak Pengkaji Burung luar negara. Tidak dapat dipastikan dari negara mana burung ini dilepaskan. Oleh kerana burung ini asing pada saya, maka tidak ada apa-apa maklumat yang mampu sampaikan.




Dengan bukti penemuan ini sedikit sebanyak dapat dijadikan bukti kukuh , bahawa burung Finch Hijau Dada-kuning~Carduelis spinoides ~Yellow Breasted Greenfinch telah sampai dinegara kita Malaysia. Cadangan saya kepada pihak   Persatuan Pencinta dan Peminat Burung , Jabatan Perhilitan atau pun dari pihak MNS boleh dipertimbangkan untuk menambah jumlah Burung-burung Yang Boleh dijumpai di Malaysia dengan memasukkan spesies burung ini didalam senarai tersebut. Wasalam.

Takau Ekor panjang~Psarisomus dalhousiae


Spesies: Takau Ekor panjang~Psarisomus dalhousiae

Lokasi Ditemui : Bukit Freazer, Pahang .
Kenyataan: Rakaman dilakukan tidak menggunakan suara panggilan palsu dan tidak mengumpan dengan makanan. 










Rel Dada-Kelabu~Gallirallus striatus


Rel Dada-Kelabu~Gallirallus striatus

Lokasi : Putrajaya, Kuala Lumpur.
Kenyataan: Rakaman dilakukan tidak menggunakan suara panggilan palsu dan tidak mengumpan dengan ulat. 













Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger



Burung Kosa Kecil~ Phalacrocorax niger


Adalah satu perkara yang mengejutkan burung Burung Kosa Kecil~ Phalacrocorax niger menjadikan kawasan tasik di sekitar Lembah Klang sebagai tempat ia berhenti berehat ketika di musim hijrah, pada musim ini. Pada kebiasaannya burung ini cuma dapat kita lihat dikawasan utara dan barat pedalaman Semenanjung Malaysia.


Kawasan yang pernah direkodkan kehadirannya adalah seperti di Tasik Timah Tasoh Perlis, Pulau Pinang, sekitar Tasik di Negeri Perak dan sebahagian kawasan pedalaman di Negeri Pahang. Tetapi pada musim 2016  ia telah berani terbang lebih jauh dibahagian Lembah Klang. Dengan penemuan ini di kawasan Lembah Klang, saya tidak perlu lagi mencari di bahagian utara Semenanjung untuk membuat pemerhatian burung ini.

 



Pemerhatian Burung Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger.

Saya telah menghabiskan masa selama 1 minggu pada setiap hari untuk menjejaknya sejak mendapat maklumat tentang kehadirannya. Pada mula menjejaknya ia seakan-akan terlalu takut dengan kehadiran saya. Setelah mempelajari selok belok kelakuan dan mengetahui akan kawasan ia mencari makan dan berehat, maka burung ini sudah tidak menghiraukan kehadiran saya lagi.




Ia dijumpai secara berpasangan tetapi pasangannya itu agak pemalu dan selalu menyembunyikan dirinya . Pemerhatian telah dilakukan pada setiap hari selama 3 minggu berturut-turut sehingga burung ini tidak lagi berada dilokasi kebiasaan ia ditemui, entah hilang kemana.




Aktiviti dan perilaku yang menjadi kebiasaan  Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger pada setiap hari adalah sama sahaja. Yakni bermula antara jam 8 pagi ia sudah berada di dalam air, berenang-renang sambil menyelam memburu ikan. Kaedah mencari makanannya hampir serupa dengan kaedah yang dilakukan oleh burung Grebbi Kecil~Tachybaptus ruficollis ketika mencari makanan.



Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger adalah sejenis spesies burung yang istimewa  kejadiannya di alam ini. Kejadiannya seperti hampir sempurna jika dibandingkan dengan spesies burung-burung yang lain. Ia berkebolehan terbang tinggi di udara, hidup diatas darat dan berenang menyelam di dasar air untuk satu jangka masa yang agak lama. Ciri -ciri keistimewaan ini jarang kita temui pada spesies burung lain selain burung Pendendang Kosa~Anhinga melanogaster.



Mempunyai sepasang kaki  yang berselaput pada jejari kakinya seperti Angsa dan Itik, membuatkan ia cekap melakukan  aktiviti berenang dan menyelam mencari makanan  dengan mudah dan pantas.Ia juga mempunyai sepasang sayap yang  besar dan lebar memudahkan ia terbang tinggi dan jauh. Berdasarkan pemerhatian ini, saya mendapati burung Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger mempunyai sepasang mata tajam yang berkeupayaan melihat dan menangkap ikan di dalam air. 




Pada awal pagi ia sudah berpusing-pusing berkeliaran mencari makanan disekitar tasik dan setelah merasa kenyang ia akan terbang kembali ke batang kayu yang biasa ia hinggap di tengah tasik itu. Memang pada setiap hari ia akan mengulangi ke tunggul yang sama untuk melakukan aktiviti pengeringan  sambil menyisir satu persatu  buluhiasnya itu. Sejurus hinggap atas tunggul kayu, dalam berkeadaan basah ia terus mendepangkan  dan mengibas-gibas sayapnya.


Renjisan-rinjisan air beterbangan mengurangkan kuyup basah buluhias burung. Kemudian ia mendepangkan sayapnya buat seketika yang pada ketika itu sinaran matahari memancar terik. Kelihatan berkilat bersinar akan warna buluhiasnya setelah terkena pantulan cahaya matahari. 




Selepas itu barulah ia menyisir-yisir setiap bahagian buluhiasnya menggunakan paruhnya. Kadang-kadang ia menggaru-garu kiri kanan kepala serta  lehernya menggunakan kukunya. Sesekali  kelihatan matanya terlelep buat seketika, jikalau terdengar bunyi asing ia akan membuka mata dan memerhatikan arah bunyi tersebut. 




Kecekapan mengimbang tubuh badannya diatas sebatang tunggul kayu dalam keadaan ia melelapkan mata menarik perhatian saya. Adakalanya hanya menggunakan sebelah kakinya sahaja. Keadaan sebegitu  tidak pula menyebabkan ia terjatuh tersembam di dalam air. Keistimewaan imbangan ini agaknya memang ada pada setiap spesies burung yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada setiap keluarga burung.




Ia mengambil lebih kurang 1 jam untuk menyempurnakan proses pengeringan buluhiasnya. Selepas merasakan buluhiasnya sudah kering sepenuhnya ia akan terjenguk-jenguk memerhatikan sekeliling tasik, untuk dia terbang kearah yang dirasakan sesuai untuk mencari makanannya. Setiap kali ia ingin terbang meninggalkan tunggul pasti ia akan membuang najisnya yang berwarna putih seperti kapur. 




Selama tempoh 3 minggu membuat pemerhatian setiap hari perkara yang sama akan dilakukannya berulang-ulang kali sepanjang hari, iaitu mencari makanan didalam air , hinggap diatas tunggul, berehat ,membersihkan diri, menyisir ,  dan mengeringkan buluhias kemudian masuk kembali didalam air.


Wasalam.