Sunday, 10 July 2016

Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger



Burung Kosa Kecil~ Phalacrocorax niger


Adalah satu perkara yang mengejutkan burung Burung Kosa Kecil~ Phalacrocorax niger menjadikan kawasan tasik di sekitar Lembah Klang sebagai tempat ia berhenti berehat ketika di musim hijrah, pada musim ini. Pada kebiasaannya burung ini cuma dapat kita lihat dikawasan utara dan barat pedalaman Semenanjung Malaysia.


Kawasan yang pernah direkodkan kehadirannya adalah seperti di Tasik Timah Tasoh Perlis, Pulau Pinang, sekitar Tasik di Negeri Perak dan sebahagian kawasan pedalaman di Negeri Pahang. Tetapi pada musim 2016  ia telah berani terbang lebih jauh dibahagian Lembah Klang. Dengan penemuan ini di kawasan Lembah Klang, saya tidak perlu lagi mencari di bahagian utara Semenanjung untuk membuat pemerhatian burung ini.

 



Pemerhatian Burung Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger.

Saya telah menghabiskan masa selama 1 minggu pada setiap hari untuk menjejaknya sejak mendapat maklumat tentang kehadirannya. Pada mula menjejaknya ia seakan-akan terlalu takut dengan kehadiran saya. Setelah mempelajari selok belok kelakuan dan mengetahui akan kawasan ia mencari makan dan berehat, maka burung ini sudah tidak menghiraukan kehadiran saya lagi.




Ia dijumpai secara berpasangan tetapi pasangannya itu agak pemalu dan selalu menyembunyikan dirinya . Pemerhatian telah dilakukan pada setiap hari selama 3 minggu berturut-turut sehingga burung ini tidak lagi berada dilokasi kebiasaan ia ditemui, entah hilang kemana.




Aktiviti dan perilaku yang menjadi kebiasaan  Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger pada setiap hari adalah sama sahaja. Yakni bermula antara jam 8 pagi ia sudah berada di dalam air, berenang-renang sambil menyelam memburu ikan. Kaedah mencari makanannya hampir serupa dengan kaedah yang dilakukan oleh burung Grebbi Kecil~Tachybaptus ruficollis ketika mencari makanan.



Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger adalah sejenis spesies burung yang istimewa  kejadiannya di alam ini. Kejadiannya seperti hampir sempurna jika dibandingkan dengan spesies burung-burung yang lain. Ia berkebolehan terbang tinggi di udara, hidup diatas darat dan berenang menyelam di dasar air untuk satu jangka masa yang agak lama. Ciri -ciri keistimewaan ini jarang kita temui pada spesies burung lain selain burung Pendendang Kosa~Anhinga melanogaster.



Mempunyai sepasang kaki  yang berselaput pada jejari kakinya seperti Angsa dan Itik, membuatkan ia cekap melakukan  aktiviti berenang dan menyelam mencari makanan  dengan mudah dan pantas.Ia juga mempunyai sepasang sayap yang  besar dan lebar memudahkan ia terbang tinggi dan jauh. Berdasarkan pemerhatian ini, saya mendapati burung Burung Kosa Kecil~Phalacrocorax niger mempunyai sepasang mata tajam yang berkeupayaan melihat dan menangkap ikan di dalam air. 




Pada awal pagi ia sudah berpusing-pusing berkeliaran mencari makanan disekitar tasik dan setelah merasa kenyang ia akan terbang kembali ke batang kayu yang biasa ia hinggap di tengah tasik itu. Memang pada setiap hari ia akan mengulangi ke tunggul yang sama untuk melakukan aktiviti pengeringan  sambil menyisir satu persatu  buluhiasnya itu. Sejurus hinggap atas tunggul kayu, dalam berkeadaan basah ia terus mendepangkan  dan mengibas-gibas sayapnya.


Renjisan-rinjisan air beterbangan mengurangkan kuyup basah buluhias burung. Kemudian ia mendepangkan sayapnya buat seketika yang pada ketika itu sinaran matahari memancar terik. Kelihatan berkilat bersinar akan warna buluhiasnya setelah terkena pantulan cahaya matahari. 




Selepas itu barulah ia menyisir-yisir setiap bahagian buluhiasnya menggunakan paruhnya. Kadang-kadang ia menggaru-garu kiri kanan kepala serta  lehernya menggunakan kukunya. Sesekali  kelihatan matanya terlelep buat seketika, jikalau terdengar bunyi asing ia akan membuka mata dan memerhatikan arah bunyi tersebut. 




Kecekapan mengimbang tubuh badannya diatas sebatang tunggul kayu dalam keadaan ia melelapkan mata menarik perhatian saya. Adakalanya hanya menggunakan sebelah kakinya sahaja. Keadaan sebegitu  tidak pula menyebabkan ia terjatuh tersembam di dalam air. Keistimewaan imbangan ini agaknya memang ada pada setiap spesies burung yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada setiap keluarga burung.




Ia mengambil lebih kurang 1 jam untuk menyempurnakan proses pengeringan buluhiasnya. Selepas merasakan buluhiasnya sudah kering sepenuhnya ia akan terjenguk-jenguk memerhatikan sekeliling tasik, untuk dia terbang kearah yang dirasakan sesuai untuk mencari makanannya. Setiap kali ia ingin terbang meninggalkan tunggul pasti ia akan membuang najisnya yang berwarna putih seperti kapur. 




Selama tempoh 3 minggu membuat pemerhatian setiap hari perkara yang sama akan dilakukannya berulang-ulang kali sepanjang hari, iaitu mencari makanan didalam air , hinggap diatas tunggul, berehat ,membersihkan diri, menyisir ,  dan mengeringkan buluhias kemudian masuk kembali didalam air.


Wasalam.

No comments:

Post a Comment