GEMBIRA SEORANG PEMBURUNG~Bangau Upeh Paruh-renggang
Musim penghijrahan 2013 kali ini telah mengejutkan ramai pemerhati burung tanahair kerana telah menerima kunjungan secara besar-besaran oleh spesis Burung Bangau Upeh Paruh-renggang~Anastomus oscitans. Pada tahun-tahun sebelumnya burung ini ada membuat kunjungan di sekitar kawasan sawah padi di utara tanahair kita, Perlis , Kedah dan Pulau Pinang.
Saya beberapa musim telah berusaha ingin melihatnya tetapi hampa, tetapi untuk musim ini saya telah diizinkan Allah untuk melihatnya tanpa bersusah payah mengeluarkan modal yang banyak untuk pergi ke utara tanahair, kerana telah bertemu spesies burung ini di Kundang Selangor.
|
Buat kali pertama melihat Bangau Upeh Paruh-renggang pada 12 Jan 2013 |
Ketika perjalanan saya untuk memburung ke Bagan Sungai Buloh, Kuala Selangor antara jam 3:00 petang saya terlihat burung-burung spesies Bangau didalam kolam memancing ikan milik Risda ditepi lebuhraya LEKAS. Sangkaan saya, burung Bangau Upeh-botak~
Mycteria leucocephala. Setelah memberhentikan motosikal dan melihat dengan teropong; hati saya berdebar dan gembira, kerana tidak menyangka akan dapat melihat dan memerhati burung Bangau Upeh Paruh renggang ini, yang sangat jarang sampai sejauh ini.
|
Burung membuat pusingan mengelilingi ruang udara beberapa kali pusingan bagi tujuan memastikan semua kumpulannya tidak ketinggalan untuk kesuatu destinasi lain. |
Ketika membuat pemerhatian burung-burung sedang leka mencari makanannya didalam kolam yang cetek. Ada juga burung sedang berehat, membersih, menyisir dan mengeringkan buluhiasnya. Dianggarkan jumlah burung tidak kurang daripada 250 ekor burung.
|
Kali kedua melihat terbang agak rendah disekitar Batang Tiga Melaka pada 20 Jan 2013 |
Kebiasaan nafsu saya ialah untuk merakam imej burung dari jarak sedekat mungkin, bagi mendapatkan imej rakaman yang jelas dan terang. Sambil itu juga saya dapat mengetahui jarak sempadan antara manusia dan spesies burung ini. Burung akan mula rasa kurang selesa ketika jarak saya dengannya menghampiri 50 meter dari tempat ia berada. Burung akan mula terbang secara berperingkat peringkat setelah saya melepasi jarak sempadannya. Mereka akan membuat pusingan diangkasa beberapa kali, mungkin bertujuan memastikan semua kumpulannya turut menyertai ketika membuat penerbangan ke lokasi lain yang dianggap selamat.
|
Antara jam 6.30 petang burung pulang untuk berehat dan tidur di kawasan sawah padi Batang Tiga Melaka. 26 Jan 2013 |
|
Burung ini berkebolehan membuat penerbangan pada tahap yang sangat tinggi diudara, seperti burung-burung dari spesies Helang. |
MEWARTAKAN BURUNG INI DIDALAM KATOGARI BURUNG YANG DILINDUNGI SEPENUHNYA.
Saya dapati ini perlu dilakukan oleh badan berwajib ( PERHILITAN ) bagi mewartakan burung ini sebagai Burung yang dilindungi sepenuhnya, sepertimana burung-burung lain yang mendapat hak yang sama. Pihak berwajib harus juga sentiasa mengambil tahu akan status burung-burung baharu yang telah disahkan dilihat dinegara kita. Ia perlu dilakukan dengan seberapa segera kerana pihak berkuasa dapat melunaskan tanggung jawab mereka dimuka pengadilan nanti ketika proses mahkamah.
|
Burung baru selesai mendarat untuk berehat tidur di Batang Tiga Melaka pada 26 Jan 2013. Suasana hening senja ditengah sawah bendang membuka ruang selesa dan menandakan bahawa burung ini sangat mudah dijadikan lauk pauk eksotik. |
Mengapa ini harus disegerakan kerana, ketika saya memburung di Batang Tiga, Melaka saya telah dilaporkan secara lisan oleh penduduk disitu , ada orang tempatan yang mempunyai senjata api telah menyalahgunakan senjata api mereka untuk memburu burung ini untuk dijadikan makanan eksotik mereka. Laporan lisan yang dilaporkan kepada saya , setakat ini sudah 4 ekor burung Bangau Upeh Paruh-renggang telah ditembak untuk dijadikan makanannya. Perbuatan mereka ini telah merugikan kepada penduduk setempat dari sudut perlancongan Pemerhatian Burung. Kita tidak tahu atas alasan apa burung ini telah memilih kawasan sawah padi di Batang Tiga Melaka sebagai tempat mereka berehat dan tidur untuk musim ini. Sekiranya perbuatan ini berterusan, tidak tahu apa yang boleh kita katakan lagi. Ketika ini burung tersebut tidak dilindungi oleh undang-undang dinegara kita, maka sewajarnya bersegeralah mewartakannya sebelum terlambat.
|
Burung Bangau Upeh paruh renggang sedang mencari siput kegemaran mereka di kawasan sawah padi Kampong Gajah Perak pada 12 Feb 2013. |
|
Menunggu diri untuk ditembak. Batang Tiga , Melaka. 26 Jan 2013 |
|
Antara burung yang terselamat menyelamatkan diri terbang secara tergesa-gesa pada tahap ketinggian yang sangat rendah dari paras tanah. Kemudian mereka akan membuat pusingan beramai-ramai diudara, dan setelah dirasakan selamat burung akan datang kembali ketempat mula-mula burung berehat. |
Ketika saya sedang membuat pemerhatian burung Bangau Upeh Paruh renggang pada Januari , saya telah mendengar tembakan senjata api kearah burung yang sedang berehat. Peristiwa itu juga dilihat oleh 4 orang pemerhati burung yang berada disitu. Dengan sertamerta kerana ketakutan dan terkejut semua burung-burung terbang secara berperingkat-peringkat menuju ke satu arah dan membuat pusingan secara berlegar -legar diangkasa untuk seketika . Sejurus itu burung-burung itu kembali semula ditempat bunyi tembakan, dimana mereka berehat dan tidur.
|
Leka dan bebas termenung tanpa gangguan di Kampong Gajah , Perak. 6 Feb 2013 |
|
Leka mencari makanan beramai-ramai. |
Keadaan ini akan terus berlaku kerana tiada siapa yang akan menjaga dan memerhatikan perbuatan mereka ini ditengah-tengah sawah pada waktu senja pada setiap hari. Harap hanya pada Allah sahaja memberi mereka hidayah, supaya menghormati hak untuk hidup makhluk-makhluk di alam ini.
Pada 8hb March pula, burung ini saya lihat berada diruang angkasa Sawah Sempadan, Tanjung Karang dalam jumlah yang sangat banyak. Dianggarkan melebihi 2,000 ekor membuat pusingan dikawasan sawah padi pada tahap sangat tinggi. Saya berpendapat burung tidak singgah dikawasan ini kerana keseluruhan bendang dipenuhi dengan tanaman padi masih hijau. Ada kemungkinan peluang mereka untuk mencari siput adalah tipis.
No comments:
Post a Comment