Wednesday, 6 February 2013

TEMASYA TAHUNAN MENGECAM DAN MENGENAL BURUNG DI MALAYSIA

Temasya Tahunan Mengecam dan Mengenal Burung-Burung di Malaysia 2013
MALAYSIA BIG BIRDS YEAR 2013

Pada awal tahun 2011, sahabat saya saudara Megat Iskandar telah memberi saya menonton filem "The Big Bird Year". Hasil daripada tontonan itu, saya terpanggil untuk melakukan usaha ini pada tahun 2013. Sebelum melakukan Temasya Tahunan ini, saya telah membuat kaji selidik untuk mendapatkan maklumat dan cara tepat untuk melakukan usaha ini. Saya dapati usaha ini harus dilakukan demi tujuan seperti berikut:-

1. Mengetahui tahap kejujuran kita ketika membuat pengecaman dan penyenaraian  spesies berlandaskan peraturan dan syarat Temasya Tahunan Mengecam Burung.
2. Ia dilakukan untuk mengetahui bilangan spesies burung yang telah diancam kepupusan.
3. Kita juga dapat mengetahui status sesuatu spesies yang mudah ditemui atau payah untuk dijumpai di Malaysia.
4. Membantu memeriahkan industri pelancongan memerhati  burung.

Saya dapati kenalan saya dan pelopor pemerhati burung di Malaysia iaitu Saudara Dennis Yong telah melakukan usaha ini pada tahun 2006. Beliau telah berjaya membuat pengecaman dan mengenal pasti sejumlah 582 spesies burung di Malaysia. Selepas itu tiada siapa yang melakukannya.

Setelah 6 tahun berlalu, maka untuk tahun 2013 ini saya berazam untuk meneruskan usaha Saudara Dennis Yong (sifu kepada Saudara Mike Chong) ini dengan menambah baik format Saudara Dennis Yong. Format beliau adalah hanya menyenaraikan burung yang dilihat sahaja tetapi tidak menyenaraikan burung hanya dengan mendengar bunyi panggilan burung. Format yang akan diguna pakai oleh saya ialah akan menyenaraikan spesies burung yang dilihat dan merakamkan gambarnya bagi mengelakkan sebarang keraguan timbul terhadap spesies yang hampir menyerupai antara satu sama lain; dan spesies yang sukar ditemui.

Saya ada memaklumkan kepada sifu saya, Saudara Mike Chong bahawa tahun ini saya ingin membuat "Big Bird Year" dan menyuruh beliau menonton filem "Big Bird Year". Setelah menontonnya, beliau juga  ingin bersaing dengan saya untuk melakukannya pada tahun 2013.

Apa yang menjadi masalah kepada saya ialah Laporan Bulanan Senarai Pengecaman spesies burung ini hendak diserahkan kepada siapa? Perhilitan, MNS, Universiti Malaya atau Kementerian Pelancongan??? Jikalau di United State atau United Kingdom, memang ada badan yang melaksanakan usaha ini tetapi tidak di Malaysia.

Oleh kerana di Malaysia tiada badan yang mengelolakan "Big Bird Year Malaysia" ini, maka saya akan mengisytiharkannya di dalam blog RED DOOR TO HUNT ini selaku badan rasmi yang mengelolakan Temasya ini. Pada setiap bulan atau setiap 3 bulan, saya akan buat pengisytiharan jumlah spesies burung yang telah dijumpai sepertimana yang dilakukan oleh peserta Big Bird Year di United State.

Seperkara lagi, semua pengisytiharan adalah dengan menggunakan nama burung Bahasa Malaysia kerana saya ingin mempromosi dan mempelopori usaha ini di kalangan penduduk Malaysia yang selesa dan faham akan bahasa kebangsaan. Nama-nama burung yang diguna pakai adalah menyamai dengan penjenamaan baharu nama burung sepertimana yang terdapat di dalam buku-buku saya, Jilid 1, Jilid 2 dan Jilid 3 Burung-burung di Semenanjung Malaysia ~ Hakmilik Kita yang terlepas pandang....

Mengapa Bahasa Malaysia

Telah ada terlalu banyak blog tentang burung dalam Bahasa Inggeris, maka biarlah saya memulakan usaha ini demi untuk membiasakan peminat burung dengan nama panggilan dalam Bahasa Malaysia. Saya berharap usaha ini mendapat sokongan daripada pemerhati burung tempatan, di mana nama-nama burung dalam bahasa Malaysia dapat berdiri sendiri tanpa sokongan daripada nama Bahasa Inggeris. Memadai hanya dengan nama saintifik sahaja. Memang kita telah terlambat seabad lamanya untuk mendokumenkan kisah burung dalam Bahasa Melayu. Jikalau saya tidak memulakan usaha ini, tidak tahu bila akan ada kisah-kisah mengenai burung dalam Bahasa Malaysia.

Bukan orang kita tidak suka akan burung-burung, tetapi kesukaan orang kita lebih memberi kacau ganggu kehidupan burung. Daripada dahulu lagi orang kita mahir tentang burung tetapi kemahiran mereka ialah untuk menjejak dan menangkap burung samada untuk dijadikan haiwan peliharaan, bahan kajian para saintis atau pun menjadi lauk eksotik mereka. Seni mendekut, memukat, menggam, menjerat dan berbagai-bagai jenis cara menangkap burung memang telah ada sejak zaman Wallace datang ke Malaysia dulu.

Rahsia

Mereka menjadi begitu mungkin kerana orang kita tidak dapat melihat kecantikan burung dari dekat. Mereka hanya dapat melihat kecantikan burung dari jauh. Mereka tidak mampu dan tidak mempunyai alat melihat kecantikan burung di dalam habitat kehidupan semulajadinya. Andai kata daripada awal mereka telah melihat kecantikan burung dari dekat, nescaya akan timbul rasa sayang akan burung-burung tersebut.

Kenapa kita yang dianugerahkan kitab Al-Quran tidak mahu mengambil pelajaran yang telah Allah ceritakan kisah haiwan istimewa ini di dalam Al-Quran. Pastinya tidak akan menjadi sia-sia sekiranya sejak daripada dahulu lagi kita mengambil pelajaran dan iktibar yang boleh dikupas dalam Al-Quran tentang kisah-kisah burung.

Hasil dari kecekapan orang  "Atas Angin" mengkaji Al-Quran, maka mereka telah mendahului orang kita mendapat ibu kepada segala faedah. Daripada sekecil-kecil faedah hinggalah sebesar-besar faedah. Sentiasalah kita berada di belakang mereka sehinggalah kini.

Mengapa orang sanggup membelanjakan wang yang banyak membeli teropong dan skop Carl Zeiss, Leica dan Sworski hanya semata-mata untuk melihat burung?? Sudah tentu ada rahsianya. Rahsianya ialah untuk melihat kecantikan ciptaan Allah yang terdapat pada mahkluk unik ini.

Selamat Memburung wahai orang kita.


No comments:

Post a Comment