Pemerhatian Mamalia.
Kubung ~ Cynocephalus variegatus ( Colugo or Flying Lemur )
Mamalia ini jarang sekali dapat kita melihatnya kerana ia aktif, ketika bermulanya waktu senja membawa ke waktu malam. Penyamaran adalah salah satu cara ia menyelamatkan diri daripada musuh-musuhnya. Warna bulunya hampir menyamai dengan tempat ia berpaut dan bergantung.
Hampir setiap hari saya meredah hutan namun jarang sekali saya dapat berjumpa dengan Kubung~Cynocephalus variegatus . Kali terakhir saya berjumpanya pada 24 Ogos 2011 di Hutan Bukit Freazer.
Baru-baru ini saya berpeluang membuat 
pemerhatian yang agak lama , iaitu selama 2 malam berturut-turut. Dengan 
peluang sebegini maka dapatlah sedikit sebanyak saya mengetahui akan 
mamalia unik ini yang sangat kurang pengkaji mendapat peluang membuat pemerhatian tentang
 tingkah laku ketika dilapangan kehidupan semulajadi.
Pada hemat mata saya, bentuk tubuh dan saiz  Kubung~Cynocephalus variegatus seakan-akan menyerupai seekor Kancil , tetapi berkebolehan terbang bersewah, bergayut dan memanjat. Kubung~Cynocephalus variegatus mempunyai
 lapisan selaput kulit nipis ( pada pandangan bawah ) dan berbulu ( pada
 pandangan atas ) yang menyaluti bahagian 2 tangan hadapan bersambungan 
pada 2 bahagian kaki belakang ( berkedudukan seperti kaki belakang Arnab
 dan Kanggaro ) yang bersambung pula pada bahagian ekor yang bertulang 
kuat yang agak panjang. Bentuk selaput kulit menyamai selaput kulit yang ada pada spesis Keluang, Kelawar dan Tupai Terbang.
Mempunyai 5 jari  yang berkuku panjang 
bercangkuk tajam dan kukuh sebagai membantunya bergayut, mencengkam dan 
bergantung. Walaupun mempunyai sepasang tangan bahagian hadapan, tetapi 
ianya hanya berfungsi untuk kerja-kerja mendepang, memanjat, bergayut, 
mendakap dan bergantung sahaja. Genggaman 2 tangan hadapan tidak digunakan untuk 
memetik dan mengambil makanan untuk disuapkan ke dalam mulutnya 
sepertimana perbuatan spesis Siamang, Ungka, Lotong, Beruk ,Kongkang dan
 Tupai menyuap makanan kedalam mulut.
Kubung~Cynocephalus variegatus 
mengambil makanannya terus menggunakan mulutnya sepertimana Kancil, 
Kijang , Rusa , Lembu dan lain-lain. Menjadikan pucuk-pucuk, putik 
tumbuhan sebagai makanan rujinya. 
Sepasang mata bulat Kubung~Cynocephalus variegatus berkebolehan
 melihat dengan tajam dan jelas pada jarak yang agak jauh pada waktu 
malam gelap gelita. Keistimewaan ini yang hampir sama dengan penglihatan
 spesis Burung Bertemak dan Burung Tukang.
Tidak diketahui pula akan kebolehan
 kakitangan yang mempunyai selaput kulit itu samada , berupaya  berkepak
 berfungsi sepertimana pelepah sayap burung yang 
mampu mengubah haluan-haluan penerbangannya ketika sedang berterbangan.
Pergerakan Kubung~Cynocephalus variegatus adalah sangat pelahan, hampir menyerupai pergerakan spesis Kongkang~Nycticebus coucang. Sejurus hinggap mendakap batang pokok, setelah membuat penerbangan ia akan bergerak perlahan-lahan naik kebahagian yang tinggi. 
Andaikata
 ia berada dilantai tanah ia akan mengesut-gesut dengan perlahan seperti
 anjing laut melakukan pergerakan. Keadaan ini sangat merbahaya kepada 
keselamatan dirinya. Hendaknya kita sebagai manusia yang mempunyai 
hatibudi dan akal apabila terserempak haiwan ini dilantai tanah 
hendaklah kita memberi belas ehsan kepadanya supaya tidak 
mengapa-apakannya. Berikan ia masa untuk memanjat pokok untuk 
menyelamatkan dirinya. Ketika itu ia hanya mengharapkan belas ehsan 
manusia sahaja kerana ia memang tidak mampu berbuat apa-apa untuk 
menyelamatkan dirinya.
Cara Membuang Najis Dan Mengulung Selaput Kulit Ekor Kubung~Cynocephalus variegatus
Selepas Kubung~Cynocephalus variegatus  berjaya
 hinggap pada batang pokok ekornya akan menjongkit, ketika itu selaput 
kulit bahagian bawah akan jelas kelihatan, termasuk tulang ekor serta 
buritnya.
Ada
 ketikanya ia akan membuang najisnya jatuh menitik-nitik dan bertaburan 
dibawah pokok. Kemudian ia akan mengulung selaput kulit dengan kekuatan 
tulang ekor secara perlahan-lahan hingga terkatup masuk dibawah 
punggungnya.
Pemerhatian Ketika Kubung~Cynocephalus variegatus Mencari Makan
Daripada apa yang dapat diperhatikan, Kubung~Cynocephalus variegatus gemar memakan pucuk daun dan putik pokok-pokok buah-buahan seperti gajus yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Ia akan secara senyap dan pelahan-lahan dalam gelap memanjat ranting-ranting secara tubuh badannya dalam keadaan bergayut. Keempat kaki tangannya memegang dahan manakala badannya tergantung dibawah.
Penjagaan Anak
Setiap musim mengawan pasangan Kubung~Cynocephalus variegatus berupaya mempunyai seekor anak yang akan sentiasa dikendung dibahagian selaput kulit belakang kaki dan tulang ekornya. Ia akan membawa kemana-mana sahaja anaknya itu sehingga ia boleh berdikari sendiri.
Apa yang menjadi persoalan saya ialah tentang kekuatan , kemahiran dan kecekapan Kubung~Cynocephalus variegatus mengendalikan
 anaknya ketika ia membuat penerbangan dan hinggap pada batang pokok 
dalam keadaan anaknya berada dibawah selaput kulit punggung ibunya itu. 
Tidakkah anaknya itu tercedera akibat terhantuk pada batang pokok yang 
keras ketika ibunya hinggap didalam gelap pada batang pokok?  Bagaimana 
ia mengawal situasi sebegitu tidak dapat saya ulas.
Memanjat naik kebahagian yang lebih 
tinggi dengan beban berat anaknya merupakan satu keadaan yang meletihkan
 . Pastinya ia memerlukan kekuatan kakitangan yang dibantu oleh kuku 
bercangkuk yang tajam untuk memudahkan pergerakan dilakukan.  
Bagaimana kaedah ibunya memberi anaknya 
makan masih menjadi tandatanya. Samada Ibunya itu akan memberi suapan 
mulut ke mulut seperti burung ataupun anaknya itu mengambil sendiri 
pucuk-pucuk daun untuk dimakan. Semuanya masih menjadi tandatanya kepada
 saya. Hendaknya dimasa akan datang saya berpeluang membuat pemerhatian
 ini. Wasalam.   
























No comments:
Post a Comment