Wednesday, 17 June 2015

Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium






Memerhati Kelakuan Burung Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium Mandi


Ruang sembahyang dijadikan tempat bermalam.


Hari sudah mulai senja, burung-burung yang diidamkan masih tidak tercapai, maka saya membuat keputusan untuk tidur sahaja di kawasan Bukit Renggit. Memohon kepada pegawai keselamatan Pusat Konservasi Perhilitan untuk menumpang tidur di surau. Sebelum azan maghrib hujan lebat berserta angin ribut berlaku dikawasan ini sehingga jama 12:30 tengah malam. Banyak dahan dan pokok tumbang jatuh dijalan utama menghalang perjalanan lalu masuk.

Keadaan bukit-bukau yang digundolkan melebihi ribuan hekter.




Pada pandangan peribadi kejadian ribut ini berlaku adalah disebabkan oleh kawasan ini dikelilingi oleh kawasan lapang yang begitu luas. Dimana hutan-hutan yang tinggi dan tebal sudah habis ditebang  untuk memberi laluan kepada bidang pertanian. Pokok-pokok yang menjadi benteng tiupan angin  kencang telah musnah.

Pokok jenis Palma hutan tempat pemerhatian burung mandi.



Daun kering tempat air hujan bertakungan 

Kebiasaan keadaan hujan yang panjang pada waktu malam adalah penanda yang baik kepada pemburung seperti saya. Yang mana diesok harinya burung-burung yang kuyup basah buluhiasnya akan aktif keluar mencari makan dan untuk mengeringkan buluhias yang basah memberatkan pergerakkannya.

Merendamkan diri sambil membersihkan buluhias daripada kekotoran.


Awal pagi burung sungguh banyak dan aktif, namun begitu burung idaman tidak mahu keluar dari tempat habitatnya. Saya hanya sekadar mampu mendengar kicauan burung idaman Burung Berlau belang~Pitta guajana dan Jay berjambul~Platysmurus galericulatus sahaja.



Sedang saya menunggu, saya terdengar kicauan seekor burung Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium melompat-lompat dari sebatang ranting ke celah-celah ranting pokok renek yang rimbun, dan suram cahayanya. Sambil melompat  diselang selikan dengan bunyi kicauannya. Terjenguk-jenguk dan tertoleh-toleh kiri kanan dan atas bawah, kalau-kalau ternampak serangga untuk dimakannya.


Keadaan buluhias burung yang telah bersih dan bersiap sedia untuk meneruskan pencarian rezekinya.

Memerhatikan serangga atau ulat untuk dimakan

Burung Kekicau Horsfield~Malacocincla sepiarium terhenti pada sehelai daun kering yang besar lebar, didalamnya ada takungan air hujan yang masih belum sejat. Burung itu terus masuk kedalam takungan air dalam keadaan berdiri. Kelihatan jari kaki dan sebahagian pangkal keting kaki terendam oleh air hujan. Ia memerhatikan disekelilingnya lalu ia duduk  merendamkan sebahagian perut dan cunut sambil mengocak-gocakkan air menggunakan kedua belah pelepah sayapnya. Merecik-recik air disekeliling daun kering sambil sesekali ia berdiri.


Kemudian ia naik berdiri diatas ranting sambil ia toskan buluhias dengan cara mengembang dan menggetarkan buluhias untuk tujuan keringan buluhias. Disisir-sisirkan bulu hiasnya dengan paruhnya terlebih dahulu sebelum menyambung kembali kegiatan pencarian rezekinya. Wasalam.

No comments:

Post a Comment