Rezeki Dari Hutan Orang Asal TEMUAN.
Selain memburung saya juga akan membuat pemerhatian tentang hal ehwal
kehidupan manusia, untuk dijadikan iktibar dan tauladan kehidupan saya,
supaya menjalani kehidupan yang lebih bermaruah dan bershukur. Ketika memburung dikawasan Hutan Simpan disekitar Ulu Langat, saya telah bertemu dengan saudara kita orang Asal dari suku kaum TEMUAN, yang ketika itu sedang memikul 5 batang buluh panjang.
Ketika saudara kita itu sedang duduk berehat untuk menghilangkan penat lelah akibat memikul batang buluh, saya menyapanya sebagai tanda untuk memulakan bicara. Kebiasaannya adab orang asal ialah mereka terlebih malu daripada biasa. Tetapi jika kita mulakan dulu pastinya mereka akan rasa gembira dan menerima kita dalam suasana yang berlapang dada.
Hasil daripada perbualan itu barulah saya tahu banyak pekara terpencil yang membawa sengsara kepada mereka, yang tidak diketahui oleh khalayak. Pekara ini telah berlaku secara bersiri pada setiap musim, ketika berurusan dan melayan kerenah Peraih Buluh yang pelbagai. Untuk berjaya seorang Peniaga haruslah sentiasa cerdik dan pintar ketika membuat segala urusan jual beli , jikalau tidak pastinya akan bakal mendapat penat, rugi dan sakit hati. Maka siapa yang cerdik dan pandai merekalah yang akan berjaya untung.
Mencari Buluh Lemang.
Pada setiap musim bulan Ramadhan dan Syawal, Saudara kita ini Halim Tamun dan Hasan Ruak akan berkerja sama untuk mencari buluh bagi menampung permintaan Peraih Buluh dan Peniaga Lemang di sekitar Ulu Langat dan Lembah Klang.
Urusan tempahan Ruas Buluh yang dilakukan oleh Peraih kepada pencari buluh hanya berasaskan kepercayaan antara satu sama lain. Umpama Kerbau berpegang pada ekornya, manakala manusia pula berpegang pada kata-kata lisannya. Peraih hanya perlu membuat panggilan talipon kepada Si Pencari Buluh dan memaklumkan secara lisan berapa jumlah Ruas Buluh yang diperlukan dan tempoh masa Buluh boleh diambil. Urusan bayaran tunai akan berlaku ketika Peraih Buloh datang untuk mengambil buluh tempahan mereka. Maka apa-apa bayaran cengkeram tunai tidak timbul semasa permulaan urusan perniagaan ini.
Berdasarkan jumlah tempahan maka Si Pencari Buluh akan merayau ke hulu ke hilir didalam hutan mencari rimbunan buloh yang sesuai untuk dijadikan buloh lemang. Tentunya memerlukan sedikit modal, kudrat tenaga yang banyak dan kemahiran memilih batang buluh. Dalam pada itu adat resam dihutan seperti serangan Agas, Nyamuk, disengat Lebah, tumpahan darah oleh Pacat, onak duri dan miang selumbar buloh adalah pekara wajib dilalui oleh Si Pencari Buluh.
Setelah lokasi buluh ditemui maka proses penebangan batang-batang buluh dilakukan. Bukan semua batang buluh didalam rimbunan itu sesuai untuk ditebang. Adakalanya batang yang sesuai berada dikawasan luar rimbunan buluh dan adakalanya ia berada dibahagian dalam rimbunan buluh. Antara cabaran yang terpaksa dilalui ialah ruang menghayun parang untuk menebang buloh sangat terhad dan mereka melakukan hayunan dalam keadaan yang gelap dibawah rimbunan pokok buluh. Sentiasa berwaspada dengan Pucuk dan Umbutnya yang dipenuhi miang buluh dari terkena permukaan kulit.
Setelah menebang batang-batang buluh, harus pula disusun ikat untuk memudahkan Si Pencari Buluh memikul membawa keluar daripada hutan. Cabaran seterusnya bergantung kepada permukaan bentuk mukabumi tanah iaitu antara tempat buluh dikumpul dengan lokasi jalan raya tempat proses seterusnya. Jikalau buluh yang sesuai dijumpai dibawah bukit atau diatas bukit maka cabaran memikul keluar batang buluh adalah cukup memenatkan dan sengsara.
Proses berikutnya ialah menggergaji batang buluh mengikut ruas-ruas yang sesuai untuk membuat lemang. Setiap batang buluh yang digergaji harus dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan batang buluh pecah. Andaikata setiap batang buluh pecah maka tenaga dan sengsara yang dialami Si Pencari Buluh akan menjadi sia-sia. Setiap batang ruas yang dipotong akan disusun ikat mengikut saiz buluh, iaitu bersaiz 2 jari, 3 jari dan 4 jari.
Pada ketika ini, Si Pencari Buluh akan mula menghubungi Peraih Buloh membuat temujanji, untuk mengambil buluh tempahan mereka. Masa untuk mendapat laba atas hasil pencarian buloh ditentukan oleh kesesuaian masa si Peraih Buloh. Mana-mana Peraih Buluh yang menyewa lori maka lambatlah Sipencari Buluh boleh mengutip hasil pencariannya itu. Bukan boleh dengan sertamerta mereka datang untuk mengambil buluh. Mana-mana Peraih yang mempunyai Van dan Lori sendiri maka lebih cepat sedikit mereka akan datang mengikut kesesuaian mereka.
Catitan Pengalaman Perit Yang Diceritakan.
1. Sementara menunggu Peraih Buluh datang mengambil tempahan mereka, buluh-buluh yang telah siap disusun ikat telah dicuri olah manusia yang menganggap perbuatan itu dibolehkan dari segi undang-undang ciptaan manusia dan Tuhan. Mungkin mereka mencabar dengan alasan, buluh-buluh adalah tumbuhan hutan yang tidak berpemilik, maka ia adalah milik sesiapa yang menjumpainya. Andaikata pihak Polis dan Mahkamah ingin mencari bahan kes bukti, tentulah sangat lah susah untuk mensabitkan kesalahan tersebut terhadap si pencuri buluh.
2. Peraih yang dikenali tidak datang mengambil buluh-buluh yang ditempahnya sepertimana yang dijanjikan. Walaupun dihubungi beberapa kali namun tidak mendapat jawapan dan terus senyap menghilangkan diri . Sangkaan untuk mendapat laba dan untung atas segala usaha penat lelah bertukar menjadi rugi, marah dan sakit hati. Kerugian ini dapat dikurangkan sekiranya Peraih mempunyai akal budi untuk memberi wang cengkeram untuk menjalankan kerja-kerja pencarian buluh.
3. Peraih yang datang untuk mengambil buluh yang ditempahnya, bersendiwara mendakwa buluh-buluh yang disediakan tidak sesuai untuk dijadikan bekas buluh lemang. Mendakwa buluh yang disediakan adalah dari buluh tua, buluh retak, pecah dan sebagainya. Sengaja untuk memberi tekanan dan helah kepada Si Pencari Buluh bertujuan untuk mengurangkan lagi kadar harga buluh. Seni-seni menekan tidak dizahirkan melalui lisan dan perbuatan, tetapi secara merendahkan mutu dan memberi Pencari Buluh rasa serba salah. Dalam ertikata lain Peraih terlihat seperti teranyai dan wajar meninggalkan buluh yang ditempah akan ditinggalkan. Mahu tidak mahu Si Pencari Buluh terpaksa akur akan desakan.
Cukup mengejutkan apabila Saudara kita Halim Tamun memberitahu kadar seruas batang buluh dijual kepada Peraih Buluh hanyalah 50 sen sahaja walapun saiz buluh yang berbeza . Kadar 50 sen itu termasuk upah disusun dan diikat, Peraih hanya perlu datang dan menyusun masuk kedalam kenderaan mereka sahaja.
Sedangkan, harga pasaran sebatang buluh lemang yang dijual dipasar dan tepi jalan adalah RM 2.00 seruas mengikut saiz berbeza. Kadar Saiz 2 jari adalah lebih murah daripada kadar saiz 3 jari atau 4 jari. Yang pastinya tidak akan ada sesiapa yang hendak membakar lemang hanya dengan sebatang lemang sahaja. Tentu sekali mereka akan membeli sekurang-kurangnya 7 atau 10 batang buluh. Kerana mereka akan membakar lebih 10 batang ruas kerana kepayahan menyediakan bahan-bahan dan kerumitan menjaga api Lemang.
Bermakna untuk sebatang buluh Saudara kita Halim Tamun dan Hasan Ruak hanya mendapat upah lebih kurang RM 4.00 ke RM 5.00 sahaja, setelah bertungkus lumus mengeluarkan buluh dari hutan. Manakala Peraih buluh mendapat laba yang berlipat kali ganda, tanpa bersusah payah setelah mengambil kira kos minyak.
Saudara Kita Hasan Ruak memberitahu, hanya ROBOT sahaja yang tidak menipu |
Bermakna untuk sebatang buluh Saudara kita Halim Tamun dan Hasan Ruak hanya mendapat upah lebih kurang RM 4.00 ke RM 5.00 sahaja, setelah bertungkus lumus mengeluarkan buluh dari hutan. Manakala Peraih buluh mendapat laba yang berlipat kali ganda, tanpa bersusah payah setelah mengambil kira kos minyak.
Daripada apa yang diceritakan oleh saudara kita ini , pada hemat saya, kalau tidak keterlaluan saya berani nyatakan bahawa akal hati budi masyarakat peniaga-peniaga kita pada waktu kini lebih terdorong mempunyai gerak fikir keduniaan yang akan menyeret dan menjerumuskan bangsa kita didalam pergelutan jiwa seperti haiwan yang tidak mengendahkan kehidupan moral dan kehidupan rohani. Sehari-harian hati-hati mereka telah dijirus dengan baja najis yang menyuburkan jiwa keji yang tertanam kukuh dan menyegarkan dibenak hati mereka itu. Malah boleh merasa aman tenteram , tanpa sekelumit perasaan aib dari menindas insan lain.
Ya , itulah perniagaan yang halal namanya. Siapa yang cerdik dan berani maka berolehlah keuntungan dan kepada siapa yang dianggap kurang cerdik maka rugi dan tertindaslah ia sepanjang masa. Tidak mengapalah. Syabas dan Tahniah. Wasalam.
Menghilangkan dahaga sebelum menyambung kerja-kerja yang belum selesai |
Ya , itulah perniagaan yang halal namanya. Siapa yang cerdik dan berani maka berolehlah keuntungan dan kepada siapa yang dianggap kurang cerdik maka rugi dan tertindaslah ia sepanjang masa. Tidak mengapalah. Syabas dan Tahniah. Wasalam.
Artikel yang menarik untuk dihadam. Macamana nak hubungi OA diatas?
ReplyDeleteBagaimana mahu hubungi Orang Asal tersebut?
ReplyDelete