Wednesday, 25 May 2016

Pemerhatian Burung Falkon Katik Peha- hitam ~Microhierax fringillarius


Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius 




Sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada rakan-rakan , bahawa burung  Falkon Katik Peha hitam ~ Microhierax fringillarius bersarang didalam lubang. Kini saya melihat sendiri proses pasangan ini membiak dan membesarkan bakanya. Pemerhatian ini telah memberi peluang kepada saya menimba  ilmu pengetahuan secara terus daripada sumber kejadian Alam Semulajadi . 

Pada kebiasaannya burung pemangsa akan mencari ranting-ranting kayu untuk membina sarangnya seperti bentuk mangkuk sarang diatas pokok atau dicelah lereng-lereng bukit .  Tetapi burung pemangsa Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillariusi berlainan pula sifatnya, dimana ia menjadikan lubang sarang  di dalam pokok sebagai sarangnya.



Dari segi fizikalnya burung ini, tidak ada tanda-tanda pada bentuk paruhnya yang ia berkebolehan mematuk dan mengorek batang kayu untuk dijadikan lubang sarang sepertimana yang dilakukan oleh  keluarga burung Belatuk dan Takur. Burung-burung ini mempunyai bentuk paruh yang sesuai untuk kerja-kerja mematuk dan mengorek. Bentuk paruh pada burung Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius yang melengkung bercangkuk seperti mata kerambit itu adalah tidak sesuai untuk melakukan itu semua.





Jikalau ia tidak membuat lubang sarang sendiri, bagaimana ia boleh bersarang di dalam lubang.? Saya menjangkakan  Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius menggunakan lubang sarang burung spesies lain yang telah ditinggalkan atau pun lubang sarang yang dirampas dengan kaedah menghalau pemilik lubang tersebut. 



Pemerhatian ini hanya dilakukan pada peringkat anak burung sudah pun menetas di dalam lubang sarang iaitu pada 12 April 2016. Bermakna saya telah terlepas untuk memerhatikan proses burung bertelor dan mengeram.  Proses burung bertelor dan mengeram barangkali berlaku pada sekitar bulan March 2016. Dan saya juga tidak dapat menjangkakan berapa lama burung dewasa mengeramkan telornya sehingga ia menetas.





Perihal Kelakuan Burung Ketika Itu

Pasangan burung dewasa sentiasa melakukan pengawasan dari jarak yang  berhampiran dengan lubang sarangnya. Sambil mereka mengawas ia juga memerhatikan  mangsanya untuk dijadikan makanan anaknya. Selain anak-anak burung , cicak, adakalanya burung dewasa membawa rama-rama , dan pepatong kepada anaknya. Ketika  membawa makanan pasangan ini datang serentak dikawasan muka pintu lubang.  Selain daripada itu  tidak ada aktiviti lain yang dilakukannya sepanjang burung melakukan pengawasan selain membersihkan bulu hias, dan mengeliat untuk merenggangkan otot kepak serta kakinya.



Kecekapan Dan Keistemewaan
 
Pengalaman membuat pemerhatian burung Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius jenis burung yang mempunyai kemahiran tinggi ketika melakukan penerbangan pantas dan tepat.  Setiap kali terbang menuju ke lubang sarang bersaiz bola golf, ia akan terus terbang masuk meloloskan dirinya di dalam lubang tanpa berhenti bertenggek dimuka lubang sarang. Keupayaan seperti ini memerlukan ketajaman mata , imbangan tubuh badan, kecekapan mengawal angin dan  kemahiran pengawalan diri semasa terbang.



Menentukan Jantina

Apa yang menarik perhatian saya ialah burung ini, tidak nampak apa-apa perbezaan warna atau tanda pada buluhias antara burung jantan dan betina. Penampilan warna dan corak buluhias mereka adalah sama sahaja , dan sangat sukar menentukan jantinanya.



Jikalau begitu keadaannya bagaimana spesies burung ini mendatangkan naluri tertarik kepada lawan kepada jantinanya ketika mencari pasangan untuk persenyawaan.? Untuk kefahaman kita umpamakan keadaan yang sama ini dibawa kedalam kehidupan manusia. Katakan semua manusia mempunyai penampilan yang sama tetapi  berlainan jantina.



Sudah tentu keadaan ini agak memayahkan keadaan.   Mungkin pada suara panggilan , atau perbezaan bentuk dan saiz tubuhnya. Tentu ada tandanya cuma kita sahaja yang belum mengetahuinya.

Persenyawaan Ketika Anak Masih Didalam Lubang Sarang.
 
Namun begitu berdasarkan pengalaman dalam pemerhatian, saya menjangkakan bahawa burung jantan adalah bersaiz kecil daripada burung betina.




Asas ini dapat saya buktikan, ketika saya melihat sendiri pasangan burung ini sedang melakukan proses mengawan. Lebih menarik lagi proses mengawan itu berlaku ketika pasangan itu sedang membesarkan anaknya yang masih berada didalam lubang sarang.




Burung betina yang bersaiz besar bertenggek pada ranting diatas pokok yang tinggi. Dia menunggu untuk satu tempoh yang agak lama, dianggarkan hampir 30 minit. Kemudian burung Jantan datang hinggap bertenggek pada ranting yang lebih tinggi berhampiran dengan Burung Betina. Kedua pasangan itu dilihat seperti mengganguk-anggukkan kepala mereka antara satu sama lain buat seketika. 




Seterusnya  mereka saling berbalas-balas mengeluarkan suara-suara halus antara mereka  buat seketika. Sejurus itu kelihatan burung betina mengembangkan semua bahagian buluhiasnya mungkin sebagai isyarat bahawa  dirinya sudah bersedia untuk dipersenyawakan.



Burung Jantan menerpa melompat naik memijak dibelakang badan burung betina, sambil ia berkepak mengibas-gibaskan sayapnya . Burung betina pula yang bertenggek diranting bahagian bawah terpaksa menggunakan seluruh kekuatan serta saiz badan dengan mencengkam batang ranting untuk mengimbangkan kedudukan dan beban yang ditanggungnya.



Manakala burung Jantan yang berada diatas belakang badan burung betina seperti membantu meringankan beban dengan mengepak-gepakkan sayapnya untuk tujuan meringankan beban yang ditanggung oleh burung betina.  Dalam waktu yang sama   burung betina mengalih kedudukan pelepah ekornya kesebelah tepi untuk membenarkan organ persenyawaan dibahagian cenunut burung jantan diturunkan untuk bercantuman dengan organ persenyawaan bahagian cenunut burung betina.



Semasa proses persenyawaan itu berlangsung  kedengaran suara burung seperti berdecit-decit dan ia berlangsung dengan pantas sekali. Setelah selesai burung jantan melompat turun lalu bertenggek pula pada ranting yang berdekatan untuk berehat seketika. Sambil berehat pasangan tersebut  memperkemaskan  kembali buluhias dan mengeliat sambil berkepak-kepak. Tidak lama kemudian Burung jantan terbang meninggalkan pasangannya yang tetap masih bertenggek  diranting untuk satu tempoh yang lama.  







Dengan pemerhatian  ini, timbul persoalan   apakah spesies Falkon Katik Peha hitam ~Microhierax fringillarius ini mengawan sepanjang tahun tanpa mengikut musim. Jikalau andaian ini benar maka kebarangkalian jumlah mereka susut tidak berlaku.  Wasalam. 

*Ucapan Terima Kasih kepada Saudara Salleh Sheikh Ibrahim AlSaber diatas maklumat lokasi burung bersarang. 





1 comment: