Thursday, 16 June 2016

Sintar Dada-perang~Porzana fusca


Sintar Dada-perang~Porzana fusca


Sepanjang memburung inilah buat pertama kalinya saya berpeluang melihat spesies Sintar Dada-perang~Porzana fusca dengan mata kepala dilapangan habitatnya. Teruja dan gembira apabila berjaya menjejak dan mencarinya sendiri sehingga terjumpa tanpa bantuan orang lain. Kepercayaan saya sebelum ini, spesies Sintar Dada-perang~Porzana fusca ini hanya boleh dijumpai dikawasan lombong, kolam, sawah padi dan parit  sahaja.



Tetapi rupa-rupanya ia boleh dijumpai dalam kawasan tanah lapang dengan tumbuhan lalang serta belukar kecil. Burung Sintar Dada-perang~Porzana fusca ini bersarang diatas lantai tanah didalam rimbunan semak dikawasan belukar kecil. Bergerak mencari makanan dibawah kenopi  tumbuhan semak samun, lalang-lalang dan di kawasan berair.




Sintar Dada-perang~Porzana fusca bergerak  dengan langkah kaki panjang berjalan  dan melakukan larian-larian pantas. Hanya akan menggunakan sayap untuk terbang ketika merasa cemas untuk menyelamatkan diri daripada sebarang ancaman. Ketika mula dijumpai , pemerhatian saya mendapati burung ini berulang-alik dilokasi yang sama dengan membawa serangga masuk ke dalam rimbunan semak.



Keadaan seperti itu menandakan ia sedang dalam proses membesarkan anaknya yang baru menetas. Selang seminggu kemudian , saya mendapati burung dewasa sudah mula memberanikan diri membawa anak-anaknya keluar dari kawasan rimbunan semak untuk mencari makan. Mendapati 3 ekor anak burung yang comel berwarna hitam mengekori kemana sahaja burung dewasa pergi.






Apa yang dapat diperhatikan, pada setiap kali burung dewasa membawa anaknya keluar  mencari makanan, salah seekor burung dewasa akan keluar terlebih dahulu. Burung dewasa itu akan terlebih dahulu memberanikan dirinya keluar berjalan sambil memerhatikan kiri kanan serta keadaan sekitar. Jaminan keselamatan daripada serangan haiwan pemangsa adalah menjadi keutamaan demi menjamin tiada sebarang ancaman bahaya kepada diri sendiri serta ahli keluarganya.



Kemudian ia akan berpatah balik kearah rimbuan lalang dan membuat bunyi panggilan " Krek krek , krek krek.. Tidak lama kemudian kelihatan terjenguk-jenguk kepala pasangan burung dewasa dari celah rimbunan lalang. Ia keluar dengan berhati-hati kearah kawasan terbuka untuk mencari makanan. Kemudian di ekori pula dari belakang ketiga-tiga ekor anaknya.



Ia akan dengan pantas lari menyelinap masuk bersembunyi ke dalam rimbunan semak dan lalang apabila mendengar suara spesies keluarga burung Gagak Rumah~Corvus splendens  yang kadang-kadang berterbangan melintas diruang tempat ia berada.



Hasil dari siri-siri pemerhatian burung Sintar Dada-perang~Porzana fusca secara tetap  yang dilakukan dari masa ke masa sejak sebulan yang lalu, saya dapati jumlah anak burung telah pun berkurangan menjadi dua ekor sahaja.



Saya tidak pasti punca kehilangan dan kematian salah seekor anak burung tersebut. Samada telah menjadi mangsa kepada Biawak, Ular, Kucing atau pun anjing yang banyak terdapat disitu. Saya juga tidak menolak faktor kemungkinan daya ketahanan anak burung itu tidak cukup kuat untuk menyahut cabaran  hidup.




Namun begitu   pembesaran 2 ekor anak-anak burung yang masih hidup, berjalan dengan lancar. Kini anak burung itu sudah mula menunjukkan perubahan pada saiz bentuk tubuh dan  buluhiasnya pula telah mula lebat dan panjang. Warna hitam kelabu masih lagi kekal dan belum berubah warnanya lagi. Saya tidak pasti pada usia berapa  warna hitam itu akan bertukar menjadi warna seperti burung dewasa.




Saya tidak dapat membezakan jantina Sintar Dada-perang~Porzana fusca kerana penampilan buluhiasnya serupa. Apa yang pasti burung jantan akan keluar terlebih dahulu membuat pemantauan sebelum ia di ekori oleh burung betina bersama-sama anaknya.


























Pada pandangan saya penemuan dan pemerhatian ini adalah penemuan peribadi yang bermakna buat saya kerana telah dapat melihat semua bentuk penampilan berserta kelakuan  spesies burung ini , samada Jantina jantan , betina dan anak-anaknya. Wasalam.






2 comments:

  1. penulisan yang menarik..dan tahniah kerana dapat menemui burung sintar ini..saya percaya kalau bukan ada orang lain yang pernah jumpa dulu dan sebarkan mungkin tak ramai yang jumpa tempat ini. sekarang ia telah dikerumun orang, agak mudah nak jejak tempat ni

    ReplyDelete
  2. Interesting Article for the bird lover

    ReplyDelete