Friday, 24 March 2017

Air Terjun Tajor, Taman Negara Bako, Sarawak Malaysia


Air Terjun Tajor, Taman Negara Bako, Sarawak Malaysia


Taman Negara Bako telah diwartakan sebagai  Taman Negara sejak 1957 lagi oleh kerajaan Malaysia. Menjadikan ia sebuah kawasan Hutan Dara Semulajadi yang tidak pernah diganggu  dari segala macam aktiviti pencerobohan dan pembalakan sejak ia ditubuhkan .





Bentuk mukabumi yang berbukit-bukit serta landai berpaya, dengan keluasan  27 kilometer persegi yang penuh ditumbuhi dengan tumbuhan hutan dari pelbagai jenis .Berdasarkan kesan dan bukti yang masih dapat dilihat , kawasan ini pada suatu ketika  dahulunya,   merupakan suatu kawasan yang telah ditenggelami dengan air lautan. Disini  banyak kesan bekas batu-batuan terumbu karang yang besar dapat dilihat disepanjang trek perjalanan menuju ke Pantai Telok Pandan Besar dan Air Terjun Tajor.




Mengambil masa lebih kurang 5 jam setengah untuk pergi balik dengan mendaki dan meredah padang paya dengan jarak perjalanan sejauh 3.5 kilometer sehala. Kepada sesiapa yang tidak mempunyai stamina dan kedegilan yang tinggi, lebih elok pilih lokasi percutian yang lain. Kerana ia akan mendatangkan pengalaman percutian yang sia-sia dan memenatkan. 





Saya bersetuju  dengan nasihat dan pandangan Kakitangan Taman Negara Bako,  dimana beliau   menyatakan jarak ke tempat ini  agak jauh dan sukar. Beliau menasihatkan supaya tidak perlu membuang masa berkunjung ke Air Terjun Tajor kerana air terjunnya mengalir lesu serta perlahan.  Keadaan seperti itu bakal akan mengecewakan saya nanti.





Kenyataan itu dipersetujui pula oleh 2 orang pemandu pelancong tempatan yang ditemui  berselisih ketika di dalam perjalanan menuju ke tempat tersebut. Lebih-lebih lagi pada ketika  musim kering. Maklumat tambahan yang diterima menyatakan tidak ada kolam-kolam untuk para pengunjung  berenang bermandi manda dan berendam. 





Dengan sikap kedegilan yang kuat, perjalanan diteruskan menyusuri trek hutan berlopak dan berair seperti anak sungai. Setelah 2 jam setengah mengharungi sesi pendakian dan siri meredah padang-padang paya terbuka yang panas kering, akhirnya sampai juga dilokasi yang hendak dituju itu.






Apabila sampai di lokasi Air Terjun Tajor,  barulah saya mempercayai dan mengakui dengan kebenaran akan kata-kata nasihat mereka itu semua. Lokasi tersebut tidak ada seorang pengunjung pun yang berada disitu, walaupun pada ketika itu jam  telah menunjukkan  12 tengahari. Apa  yang ada hanyalah suasana senyap hening bebas dari kebisingan hiruk pikuk bunyi jentera  dunia moden.




Cuma keterdengaran bunyi alam semulajadi, iaitu deruan gelora air terjun yang jatuh terhempas bertalu-talu dan membuak-buak ke dalam kawah takungan. Kesan kocakan bergelora itu menghasilkan buih-buih putih seperti buih air  Guinness Stout yang bergenang dipermukaan kawah kolah sungai.





Buih-buih itu pula dibawa arus dan terkumpul disatu sudut cabang sungai. Setelah ianya disaring oleh rimbunan tumbuhan meliar ditebing dan di dalam sungai. Sesekali terdengar bunyi suara kicauan burung sahut menyahut dan bunyi binggit suara serangga pelbagai jenis.







Memang benar Air Terjun Tajor , mengalir dengan lesu malah airnya pula berwarna gelap berbuih-buih yang menimbulkan loya dan jijik untuk mencelupkan badan yang sedang kepanasan. Saya juga tidak tahu  akan kesan buih-buih air itu  kepada kulit manusia, yang boleh jadi akan mendatangkan   masalah alahan  kepada kulit .



Atau apa akan berlaku kepada gegendang telinga sekiranya  buih-buih itu secara tidak sengaja termasuk ke dalam saluran rongga telinga. Bagaimanakah nanti untuk mengeluarkan buih-buih bertakung dari dalam saluran telinga. Apa pula yang akan terjadi  , jikalau buih-buih itu memasuki ke dalam selaput mata. Apakah akan mendatangkan pedih yang  nanti akan menjejaskan pemandangan pada mata.


Memang tidak ada tempat untuk  kita berendam dan berenang bermandi manda kerana tebing-tebingnya dipenuhi oleh  rimbunan tumbuhan-tumbuhan dari jenis Palma. Ada yang berduri dan ada juga yang boleh mengakibatkan miang pada badan jika bersentuhan.





Airnya gelap seperti Guinness Staut yang tidak memungkinkan pemandangan mata kita untuk dapat melihat paras kedalaman kawah kolam dan dasar sungai. Entahkan dasarnya itu , dalam atau cetek tidak dapat dipastikan. Entahkan  ada arus air sungai  berpusar-pusar ditengah-tengah kawah kolam menyedut objek, semuanya menjadi tanda tanya pada diri saya.




Disebabkan kegelapan airnya juga, siri gangguan minda berlaku  untuk mengawaskan kita. Ia seperti dipaksa-paksa dipermainkan untuk  menyeksa  otak. Bermacam-macam andaian tentang hidupan haiwan apakah yang berkemungkinan menyorok didalam dasar sungai yang airnya gelap itu.!




Manakan tidak, sungai yang mengalir ditengah-tengah hutan belentara yang jarang dikunjungi oleh manusia. Mungkinkah ada Ular Sawa Besar, Buaya Air Tawar, Ikan-ikan jenis Pemangsa atau pun haiwan-haiwan berbisa yang bakal memberi ancaman nyawa.




Tambahan pula, didalam rimbunan tumbuhan-tumbuhan itu, kita tidak menolak akan sarang serangga berbisa seperti Lipan Bara, Kala Jengking dan Penyegat yang hidup didalamnya. Kesemua serangga ini  memungkinkan akan memberi mudarat kepada kita. Tebing-tebing batu yang dipenuhi dengan lumut menghijau , boleh menyebabkan kita tergelincir atas sebab licin ketika sibuk bersuka . 




Perkara yang sering  terlepas pandang ialah melakukan aktiviti berenang setelah berpenat berjalan kaki dalam hutan. Melakukan aktiviti berenang ketika anggota badan dalam keletihan adalah sangat merbahaya, kerana keadaan itu akan mengakibatkan kita  mengalami kekejangan kaki di dalam air.




Sepandai mana pun kita berupaya berenang,  jikalau diserang kekejangan pada kaki , sangat susahlah untuk kita berenang di tempat yang lebih selamat. Apatah lagi dalam keadaan air berarus disekitar kawah kolah sungai yang sangat - sangat dalam. Perbuatan  ini saya anggap ia sebagai perbuatan yang sengaja menempah  maut. 



Atas dasar kecintaan dan terlalu sayangnya terhadap sisa-sisa Khazanah Alam Semulajadi yang tinggal ini. Saya sebagai  Aktivis Pelampau Alam Sekitar  menekan dan menyarankan kepada khalayak , supaya janganlah sesekali berkunjung ke tempat ini, atas sebab-sebab yang telah dinyatakan  diatas. Biarlah tempat itu kekal seperti apa yang ada sekarang ini, yang kurang dikunjungi oleh orang ramai.



Pergilah ke lokasi lain yang lebih mudah dan lebih cantik lagi untuk dikunjungi, yang banyak terdapat di sekitar Taman Negara Bako itu. Masih terdapat banyak lokasi pantai-pantai yang bersih dan mempunyai pemandangan yang indah permai.



Berdasarkan bukti pengalaman kerosakan yang lepas, saya berani mengatakan, bahawa masih ada terlalu ramai lagi masyarakat kita yang tidak mempunyai perasaan  bagaimana hendak menjaga dan menyayangi Khazanah Hutan Semulajadi. Mereka tidak mempunyai kesayangan terhadap Khazanah Alam Sekitar sepertimana mereka mencintai tanah halaman rumah mereka sendiri.










Saya tidak menolak jikalau lokasi ini  menjadi tumpuan ramai , maka kesan kecederaannya akan berlaku sama , sepertimana yang telah berlaku pada Air Terjun Air Hitam, Puchong Selangor dan Air Terjun Chemerong, Berembun , & Langsir di Hulu Terengganu yang telah banyak tercedera tanpa kita menyedarinya.



Akan nanti ada diantara pengunjung yang akan melakukan perkara mendatangkan kecederaan kepada Alam secara sembunyi atau tidak disengajakan. Tumbuhan semulajadi akan dicantas dan ditebang untuk dijadikan tempat mereka berkemah serta membuat unggun api.



Sikap tidak mahu membawa keluar sampah - sampah dan puntung rokok dengan hanya membuangnya ke dalam sungai dan disekitar Air Terjun. Sampah-sarap berselerak dimerata tempat dan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan akan menarik perhatian tikus-tikus ke kawasan ini. Bau menyusuk busuk najis manusia akan menjadi haruman meloyakan untuk dihirup di kawasan sekitar. Juga timbunan najis manusia berselerak akan memenuhi diserata tempat untuk dipijak, jika tidak berhati-hati.



Tumbuhan menghijau lumut dari berbagai speisis akan terjejas proses pertumbuhannya kerana terpijak oleh kaki-kaki manusia yang ramai. Atau akan berlaku penyebaran benih-benih tumbuhan asing yang dibawa oleh kaki-kaki pengunjung,  bakal menyerang dan merosakkan tumbuhan asal ditempat ini.



Tumbuhan di tepi tebing yang menjadi penghias disepanjang sungai akan di rosakan kerana beranggapan ianya tidak bernilai.  Bermandi manda  dengan menggunakan cecair syampoo dan sabun, sedikit sebanyak akan menjejaskan kualiti air.  Juga akan memberi ancaman kepada hidupan didalam sungai. Semua hal-hal ini  kerap berlaku dilokasi yang menjadi tumpuan pengunjung.




Mata-mata pencuri & penjenayah alamsekitar akan sentiasa sahaja bernafsu besar untuk memancing nasib mereka bagi mendapatkan laba  daripada hasil jualan yang diperolehinya, samada dari dalam sungai atau tumbuhan-tumbuhan unik dalam hutan ini.



Ada kebimbangan  yang lebih besar lagi, iaitu  ancaman  datang daripada kumpulan pihak pengkaji hidupan liar alam semulajadi.  Kumpulan ini bergerak secara sembunyi dengan berselindungkan atas nama  ilmu pengetahuan dan dijalankan secara kaedah menghalalkan cara. Melaksanakan kajian bersiri dengan rakus demi untuk mendapatkan contoh spesimen.  Mereka menggunakan peralatan moden untuk penangkapan contoh spesimen yang biasanya bakal  membunuh hidupan liar dalam jumlah yang banyak .


Walaubagaimana pun , sekiranya ada yang masih juga berdegil untuk datang ke sini , maka orang tersebut  sentiasalah wajib mempunyai tanggung jawab dan berperasaan bahawa kawasan ini adalah rumah milik mereka yang harus disayangi. Sentiasa meletakkan kasih sayang yang melampau kepada tempat ini. Harus cepat akan merasa marah sekiranya ada pengunjung lain yang cuba membuat kerosakan dan kemusnahan.



Harus berani untuk menegur atas perbuatan yang boleh mengancam tempat ini. Saranan saya berkunjunglah dalam jumlah yang tidak ramai. Memadailah hanya seramai 4 atau 5 orang sahaja pada satu-satu masa kerana keadaan seperti itu akan memberi kenikmatan yang maksimum.





Bila mana kesayangan itu telah terlekat pada hati, maka kita akan merasa aman selesa ketika menikmati apa yang akan kita rasakan nanti disitu. Samada akan dapat merasa nikmat hening , atau nikmat pada setiap langkah yang kita lakukan secara berhati-hati kerana takut menjejaskan tumbuhan dan kehidupan disitu.





Walau apa pun masing-masing telah mempunyai peruntukan rezekinya sendiri. Kerana semua perasaan yang bakal dirasakannya itu nanti, adalah anugerah  nikmat rezeki yang datangnya  hasil dari ilmu kesayangan pada alam, yang ada pada dalam dirinya.Kita bersendirian akan merasa megah gembira dengan perbuatan serta sumbangan dari hal-hal yang halus dan kecil kepada alam semulajadi. Biarpun perbuatan itu telah kita lupakan atau sumbangan itu tidak diketahui oleh sesiapa pun.











Maka tidak mustahil kita akan menjumpai hidupan baharu yang belum pernah direkodkan sebelum ini. Mungkin kura-kura, tuntung, ketam, udang, ikan, belut, ular, siput, katak, serangga dan macam-macam hidupan alam lain. Tidak mustahil juga kita boleh menjumpai kesan peninggalan hidupan purba yang terlekat pada bekas terumbu karang di kawasan ini.

Akhir kata, Apa yang disampaikan ini adalah seni perasaan halus dalam perhubungan kita dengan alam. Cintai dan Sayangilah sisa-sisa khazanah alam semulajadi hakmilik kita yang sangat bernilai ini. Wasalam.

No comments:

Post a Comment