Tawarikh & Kenangan Susur Galur Keturunan Sebelah Ibu ~ Keluarga Imam Jaafar Bin Safak
Semua maklumat didalam tulisan ini hanyalah berlandaskan andaian peribadi semata-mata sahaja. Setelah merujuk kepada bukti daripada gambar-gambar lama, barangan peninggalan keluarga atau mendengar kenyataan lisan daripada sanak saudara, serta membaca jurnal-jurnal lama. Memang semua maklumat dan tarikh yang ditulis juga adalah tidak tepat. Namun begitu walaupun ia tidak tepat, tetapi kisahnya tidak tersasar jauh daripada kejadian sebenar yang pernah berlaku pada ketika itu. Catitan peribadi ini hanyalah sekadar untuk mengimbau kembali kenangan silam yang telah mulai terhakis secara perlahan-lahan diminda.
Berdasarkan imej rakaman daripada foto , usia Imam Jaafar di anggarkan dalam lingkungan 70 tahun. Cadangan imej ini dirakam adalah diantara tahun 1910 ~ 1915.
|
Duduk Diatas Kerusi Kiri ke Kanan :-
1.
Nasron Bin Imam Jaafar~Pak Anjang 2. Imam Jaafar Bin Mat Saman 3.Isteri
Nama (Tidak Diketahui ) 4. Rasimah Binti Imam Jaafar~Mak Ulong 5. Salbiah Binti Imam
Jaafar~Mak Ngah
Berdiri Dari Kiri ke Kanan :-
1.
Osman Bin Imam Jaafar~Pak Usu 5 tahun 2. Mahiyah Binti Imam
Jaafar,3.Tidak Tahu Binti Imam Jaafar~Perempuan 14 tahun 4.Nuriah
Binti Imam Jaafar~Makcik 5. Nubiah Binti Imam Jaafar.~Mak Uteh 6 . Anak Perempuan 13 tahun (Nama Tidak Diketahui ) 7. (Nama tidak diketahui)Anak Perempuan 9 tahun 8.
Anak Lelaki 7 tahun ( Nama Tidak Diketahui )
Atas Balkoni Rumah.
8 Kanak-kanak 7 perempuan dan 1 kanak-kanak lelaki cucu kepada Imam Jaafar. |
Mukadimah.
|
Suasana yang hampir serupa yang dialami oleh Imam Jaafar ketika hayatnya pada sekitar tahun 1860 hingga 1928. |
Beliau datang dari Gugusan Kepulauan Melayu di Kepulauan Borneo, disebuah
daerah Banjarmasin Kalimantan. Tidak diketahui asal datangnya dari
daerah mana, samada dari Amuntai, Barabai, Kalua, Alai, Negara atau pun
Kandingan. Menurut kajian, Orang Banjar yang telah bermastautin di
daerah Kuala Langat Selangor kebanyakan berasal dari Kalua, Tabalung
Kalimantan Selatan. Jaraknya 212 kilometer disebelah utara dari
Banjarmasin. Keluarga Imam Jaafar Bin Mat Saman datang berhijah ke Semenanjung Tanah Melayu disekitar
tahun 1868. Ketika sama-sama menyertai gelombang penghijrahan
beramai-ramai masyarakat Banjar kerana desakan dan tekanan politik dari
pemerintahan Belanda di Kalimantan.
|
Duit Siling Queen Victoria 1862 yang dijadikan loket rantai adalah pinggalan keluarga Imam Jaafar yang telah warisi oleh anak perempuannya Mahyah Binti Imam Jaafar. kemudian dipeturunkan Rohayah Binti Omar dan Rosla Bin Mustakim |
|
Dipercayai Duit siling One Rupee India 1862 keluaran Kerajaan British tahun 1862 ini adalah milik Imam Jaafar yang tidak sah dan tidak dapat digunakan dalam urusan jual beli di Selangor. Mungkin beliau menerima duit tersebut kerana terkeliru dengan duit Siling One Cent India Straits 1862 yang sah digunakan di Selangor. Memandangkan tidak dapat digunakan maka dijadikan loket rantai untuk digunakan oleh anak perempuannya Mahyah Binti Imam Jaafar. |
|
Ada besar kemungkinan sebelum keluarga Imam Jaafar berhijrah beliau juga pernah menggunakan watawang Stuiver @ duit siling tahun 1826 yang dikeluarkan oleh Syarikat Belanda Hindia Timur ( VOC ) . |
Samada
Imam Jaafar masih bujang ketika menyertai bapanya Mat Saman atau beliau
telah pun berumahtangga tidak dapat dipastikan, kerana langsung tidak ada
maklumat tentang kisah itu. Namun begitu berdasarkan peninggalan pinggan mangkuk serta piring buatan Belanda, (
yang pada kebiasaan dimiliki oleh orang perempuan ) isteri Imam Jaafar , memberi petunjuk beliau sudah berumah tangga.
|
Pinggan Petrus Regout & Co. Maastright. The Sphinx / Acra dipercayai milik Imam Jaafar menjadi bukti menyokong andaian beliau telah membuat penghijrahan dari Banjarmasin, Kalimanatan pada sekitar 1860. |
|
Petrus Regout & Co. Maastright. The Sphinx pottery ACRA Made In Holland adalah sebuah Syarikat mahsyur pembuat pinggan mangkuk dari Belanda sejak 1839 sehingga 1899. |
Ada besar kemungkinan mereka
menumpang Kapal Wap Dagang yang pergi berdagang menuju ke destinasi
perdagangan seperti Pulau Singapura, Pulau Pinang atau pun ke pulau
sebelah Sumatera. Membayangkan mungkin perjalanan beliau berhadapan dengan berbagai
cabaran , antaranya serangan lanun dan gelora ombak angin taufan di
tengah lautan. Tidak juga diketahui adakah beliau terus datang ke
Semenanjung Tanah Melayu atau pergi ke Pulau Sumatera terlebih dahulu.
Sebelum menyambung pelayaran menyeberangi Selat Melaka dan berlabuh di
jeti Kampong Kelanang, Kuala Langat.
|
Pinggan Societe Ceramique Maestricht Made In Holland yang pernah digunakan oleh Imam Jaafar |
|
Societe Ceramique Maestricht Made In Holland |
Dinegeri Selangor pada ketika itu diperintah oleh Sultan Sir Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah. Pusat
pemerintahannya terletak di Jugra yang tidak begitu jauh dengan Kampong Kelanang. Dianggarkan 30 minit berbasikal mengikut jalan darat dan 15 minit berkolek dengan sampan atau perahu.
|
Sultan Sir Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah |
Pada ketika itu juga dinegeri Selangor sedang bergolak dengan peperangan saudara di Klang antara menantu Sultan Sir Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah iaitu Tengku Kudin dengan anak-anak Raja Selangor/ Pembesar, yang diketuai oleh Raja Mahadi. Apakah wabak peperangan Saudara di Klang itu memberi tempiasnya kepada suasana kehidupan sehari-harian di kawasan Kampong Kelanang, tidak dapat hendak dihuraikan.
|
Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa |
|
Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa |
|
Setem wajah Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah |
|
Setem Negeri Selangor ketika zaman pemerintahan Jepun. Walaupun Jepun menaklum Tanah Melayu, namun begitu mereka masih mengiktiraf Raja-raja Melayu. |
|
Sultan Selangor ketika Pemerintahan Jepun ; Tengku Musauddin bergelar Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Syah |
|
Sultan Selangor ketika pihak Jepun tewas 1945. Sultan Hisamuddin Alam Shah |
Dipercayai mula bermastautin di
Kampong Kelanang pada sekitar tahun 1870. Pada suatu ketika dahulu, adat orang merantau ke tempat orang lain, biasanya telah terbekal ilmu agama
dan ilmu seni bela-diri didada masing-masing. Keadaan ini tidak terkecuali kepada Imam Jaafar juga, dimana
dipinggangnya terselit Keris Banjar atau Keris Bujang Beliung. Zaman itu orang-orang Melayu
dari gugusan Tanah Melayu merantau tanpa memerlukan pasport atau
pengenalan diri.
|
Siri koleksi pinggan & piring Petrus Regout & Co. Maastright. The Sphinx pottery ACRA Made In Holland milik Imam keluarga Jaafar . |
|
Piring Vintage Petrus Regout & Co. Maastright. The Sphinx pottery Made In Holland lukisan tangan kurun ke 18. |
Kerana belum ada lagi persempadanan politik secara muktamat dikalangan
masyarakat Melayu pada masa itu. Jikalau ada pun tidak lah begitu ketat.
Tiada istilah kenegaraan Indonesia, Malaysia, Brunei, atau pun
Singapura. Malah undang-undang sivil masih belum diberatkan lagi, kerana
tidak cukup kakitangan yang boleh mendaulatkan undang-undang tersebut.
|
Piring Vintage Petrus Regout & Co. Maastright. The Sphinx pottery Made In Holland lukisan tangan kurun ke 18 |
|
Siri koleksi pinggan & piring Petrus Regout & Co. Maastright. The Sphinx pottery Made In Holland milik Imam keluarga Jaafar. Oleh sebab terlalu lama permukaan piring ini telah menunjukkan tanda retak seribu. |
Mereka bebas pergi ke merata tempat, asalkan
mempunyai kenalan dan sanak saudara yang telah lama bermastautin
disesuatu tempat itu. Tidak hairan di Selangor ada banyak berbilang keturunan antaranya Bugis, Banjar, Cina, India, Mendiling, Minang, Rawa, Jawa, Batu Bara dan Orang Asli. Jikalau tidak mempunyai kenalan, mereka haruslah pandai membawa diri , semasa berada ditempat yang begitu asing kepada mereka. Sebab itu
ada Perpatah Melayu menyatakan; dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Atau
Masuk kandang kambing , mengembek masuk kandang harimau kita mengaum.
Ada besar kemungkinan beliau telah
ada ramai sanak saudara dan kenalan di Kampong Kelanang Selangor.
|
Societe Ceramique Maestricht Made In Holland |
Berdasarkan
pengetahuan agama yang dimiliki oleh beliau, masyarakat di situ
telah memberi penghormatan kepadanya sebagai tempat mereka merujuk. Tidak dapat
dipastikan apakah beliau menerima watikah lantikan secara rasmi sebagai Imam oleh Hal Ehwal Agama dari Istana. Atau sekadar mendapat kepercayaan
khalayak yang bersepakat melantik Imam Jaafar menjadi Imam kepada mereka di
Masjid Lama Kampong
Kelanang . (Masjid baru yang sediada sekarang hanya dibina pada
tahun 1960 yang dirasmikan pada 2 -4-1965 )
|
Piring Societe Ceramique Maestricht Made In Holland |
Beliau mengetuai dan menjadi rujukan dalam segala macam bidang hal ehwal
keagamaan dan pendidikan ugama islam di sekolah-sekolah pondok dan madrasah. Aktiviti keagamaan seperti
mengimamkan segala jenis sembahyang, mengajar bacaan Al Quran, memberi
kuliah ugama, bertahlil, bertalkin, berkhatan, berzakat, berzanji dan berselawat Marhaban.
Dan ada besar kemungkinan hal ehwal nikah dan kahwin dikendalikannya juga
oleh Imam Jaafar . Tidak pulak diketahui adakah Imam Jaafar pernah
mengerjakan ibadat Haji ke Mekah, perkara ini tidak ada seberang maklumat
mengenai hal peristiwa itu.
|
Ini adalah bidai pemidang katil yang masih dapat dikekalkan milik keluarga Imam Jaafar yang dipercayai dibuat sendiri oleh ahli keluarga Imam Jaafar. |
Sumber Mata Pencarian.
Selain
menjalankan aktiviti ibadat dan keagamaan Imam Jaafar Bin Safak
mempunyai tanah-tanah yang luas untuk perusahaan pertanian. Mengikut
bukti peninggalan tanah-tanah milik Imam Jaafar di Kampong Kelanang yang
diwarisi oleh anak-anaknya. Ada besar kemungkinan salah satu punca
pendapatannya adalah daripada perdagangan menjual Kelapa Kering , Minyak
Kelapa , Membuat Penyapu Lidi dan penjualan Atap Nipah. Cadangan serta andaian ini
adalah berdasarkan tanah-tanah miliknya dipenuhi dengan tanaman pokok kelapa secara
tersusun seperti ladang.
|
Keluarga Imam Jaafar mempunyai kemahiran tinggi dalam Seni Tekat. Tidak dapat dipastikan dikalangan 10 orang anak Imam Jaafar itu siapa yang memiliki kepakaran menghasilkan warisan seni Tekat ini. Peninggalan hasil Seni Tekat untuk dijadikan kepala bantal ini sebagai bukti. Mencadangkan Seni Tekat ini dimiliki oleh Isteri Imam Jaafar, kerana anaknya Mahyah Binti Imam Jaafar telah menghasilkan banyak peninggalan Seni Tekad yang masih elok tersimpan. |
|
Salah satu kehalusan dan cermatnya pembuatan hasil kerja tangan ahli keluarga Imam Jaafar. |
Sekitar antara tahun 1860
hingga 1900 di Kelanang Selangor , tidak diketahui jenis mata wang
apakah yang beliau gunakan semasa melakukan segala urusan jual beli. Matawang seharian untuk membeli beras, pakaian, bayaran cukai atau sebagainya. Adakah matawang yang dikeluarkan oleh Matawang Negeri-negeri Selat, Syarikat British Hindia Timur
atau mata wang yang dikeluarkan oleh Kesultanan Abdul Samad, atau hanya menggunakan sistem "
Bata ".
Timbang
tara kedudukan seseorang pada zaman itu adalah dilihat dari sudut
kesempurnaan sesebuah keluarga itu mengenakan pakaian mereka. Melihatkan
kepada sumber bukti daripada gambar-gambar yang ada, beliau berkemampuan
menyediakan pakaian yang elok kepada kesemua anak-anak lelaki ,
perempuannya termasuk cucu-cucunya sekali.
|
Kotak peninggalan Mahyah Binti Lebai Jaafar ini telah diwarisi oleh anak perempuannya Rohayah Binti Omar yang juga berbolehan melakukan seni karya Tekat. Manik dan labuci yang belum sempat digunakan menjadi bukti kukuh bahawa Mahyah dan anaknya Rohayah Binti Omar merupakan karyawan Seni Tekat. Malangnya tiada seorang pun waris yang berminat untuk meneruskan warisan Seni Tekat ini selepas Rohayah Binti Omar meninggal dunia.
|
Pakaian
Jenis
Fabrik yang bermutu untuk dibuat pakaian Kebaya Labuh berpesak,
berkainkan Batik Jawa Lepas. Selendang berlabuci tersangkut ditengkuk. Sepatu
Kulit bertumit buatan Eropah, bergelang kaki, berkerongsang emas tersangkut pada
setiap baju Kebaya Labuh. Anak anak Lelakinya pula lengkap berbaju
Melayu Telok Belangga, lengkap bersongkok dan berkasut kulit. Manakala
cucu-cucunya yang jelas dilihat berdiri diatas balkoni , tidak seorang
pun dilihat berlenggeng tidak berpakaian. Pada ketika itu bukan semua
masyarakat Melayu berkemampuan untuk memakai kasut kulit buatan
Eropah. Bergaya dengan berpakaian sepertimana yang disediakan oleh
Imam Jaafar kepada semua anaknya.
|
Kipas baldu yang dihias indah |
Kenderaan
Dalam
gambar lama yang diteliti mendapati Imam Jaafar juga mempunyai basikal
iaitu jenis kenderaan utama pada ketika itu. Kenderaan ini penting
untuk beliau memudahkan kerja-kerja dakwah, ulang-alik ke Masjid atau
pun menghadiri jemput-jemputan kenduri kendara.
|
Pinggan vintage unik berkonsepkan Burung Hummmingbird. |
Perabut Rumah Dan Kelengkapan Rumah.
Pada
zaman itu kelengkapan rumah masyarakat orang Melayu tidak sama dengan
rumah warga Eropah. Namun begitu berlaku juga sedikit pengaruh barat
dalam menghias rumah. Rumah yang didiami oleh Keluarga Imam Jaafar
dilengkapi dengan perabut , bukti yang dapat dilihat adalah set kerusi
rotan. Katil Besi berpalang, Peti menyimpan pakaian, Barangan Tembaga,
Tikar mengkuang. Dizaman itu , masih belum ada bekalan elektrik yang
disediakan, maka pada waktu malam mereka hanya menggunakan Pelita Minyak
, Lampu Kabait dan Lampu Pam untuk menerangkan ruang di dalam rumah.
|
Periuk Tembaga Hikmat ini membuktikan ahli keluarganya memiliki seni kepandaian memasak dari pelbagai jenis juadah makanan yang ada dinegeri Selangor. Mengimbau kembali kenangan silam , ketika mengacau Lempuk, Labu Berkacau , membuat Kaya, Serunding Ikan, Serunding Udang , Sagun Kelapa , Coklat Thambi Lay lay dan berbagai rendang daging. Kesedapan makanan yang dibuat dengan penuh kasih sayang menimbulkan sejarah " Rasa Sedap " yang sukar dilupakan. |
Pemilikan Tanah
Hasil
perkahwinan Imam Jaafar Bin Safak dengan Isterinya ( tiada maklumat ) ,
mereka telah dikurniakan dengan 10 orang cahayamata. 3 anak lelaki dan 7
orang anak perempuan. Kesemua anak-anaknya telah mewarisi sebidang
tanah daripada bapanya Imam Jaafar. Jikalau dihitung secara minima,
setiap anak Imam Jaaafar telah mewarisi keluasan 1 ekar , maka harta
keseluruhan yang pernah dimilik oleh Imam Jaafar melayakkan beliau
sebagai Hartawan. Dalam ertikata lain beliau telah melunaskan tanggung
jawabnya sebagai Mukmin yang memperoleh kekayaan didunia dan kekayaan di
akhirat.
1.Rasimah Binti Imam Jaafar ~ Mak Ulong
2.Salbiah Binti Imam Jaafar ~ Mak Ngah
3.Nasron Bin Imam Jaafar ~ Pak Anjang
4.Mahyah Binti Imam Jaafar
5.Nubiyah Binti Imam Jaafar ~ Mak Utih
6.Nuriah Binti Imam Jaafar ~ Makcik
7.Norashikin Binti Imam Jaafar~ Mak Usu
8.Osman Bin Imam Jaafar
9.Tidak diketahui Binti Imam Jaafar
10.Tidak diketahui Bin Imam Jaafar.
|
Dulang Bertudung Saji Tembaga |
Suasana Dan Keadaan Membesarkan Anak-anak Di Kelanang
Tanggungjawab
berat sebagai ketua keluarga demi memastikan anak-anak tidak berlapar
pada setiap hari. Tentunya boleh dibayangkan pada setiap hari berapa
tempurong beras yang harus ditanak untuk dimakan sekeluarga. Berapa
gelen
air setiap hari harus dijerang untuk kegunaan sekeluarga. Berbagai jenis
Lauk pauk dan sayur ulam yang harus disediakan dengan jumlah
mencukupi. Paling-paling tidak, sayur dan pucuk-pucuk untuk dimasak
tumis air, Tempoyak, Sambal tumbuk Cili Api, Sambal Belacan, Ikan Masin
atau Goreng-goreng. Mungkin sesekali mengulai ayam atau merendang
daging.
Sebelum boleh memasak, Kayu api harus dicari
terlebih dahulu. Beban memikul dan mengapak kayu siapa yang lakukan.
Kemudian dikumpul dan simpan suatu tempat bagi melindungi kayu daripada
basah dari embun atau hujan. Atau, Imam Jaafar mengupah orang untuk
menyediakan itu semua.
Kemudahan asas seperti
kerja-kerja mengisi air perigi untuk
disimpan ke dalam tempayan. Samada tujuan minuman , mencuci periuk
belanga, pinggan mangkuk dan cawan setelah ia digunakan. Pakaian yang
dipakai harus di basuh, di bilas disidai dan dilipat. Simpanan air
yang mencukupi untuk kemudahan untuk berwuduk dan berhadas.
Bagaimana
agaknya bentuk bilik air dan tandas pada ketika itu. Apakah tandas
dindingnya sekadar ditutup dengan daun atap nipah yang tidak berbumbung.
Mungkin perigi dan tempayan hanya dikepong dengan atap nipah untuk
dijadikan
tandas. Atau hanya mereka menggunakan " tandas terbang " kerana pada
ketika
itu sudah menjadi kebiasaan masyarakat kampong pada ketika itu. Semua
maklumat sejarah yang dilalui oleh keluarga Imam
Jaafar pada ketika itu tidak siapa yang mengetahui. Semua kenyataan
yang dicadangankan sepertimana yang ditulis ini adalah sebagai agakan
dan andaian sahaja, cuma mereka yang pernah hidup dizaman itu sahaja
mengetahuinya secara tepat.
|
Salah satu peralatan rumah milik keluarga Imam Jaafar |
Pendidikan
Pendidikan pada ketika itu
lebih menitik berat kepada pembelajaran membaca Al Quran , pendidikan
kerohanian islam, adab kesopanan & tingkah laku, akhlak yang baik,
dan seni mempertahankan diri. Ilmu itu diajar samada dipondok-pondok
, madrasah atau mempelajarinya dirumah daripada ketua keluarga atau abang dan kakak yang lebih tua. Semua anak-anak
Imam Jaafar dibekalkan dengan ilmu pelajaran ugama dan akhlak. Membaca
dan menulis hanya menggunakan tulisan jawi. Maka semua anak-anaknya
tidak buta huruf.
|
Sekolah Melayu Kelanang |
Kewafatan Imam Jaafar Bin Safak
Tidak
ada maklumat berkenaan kewafatan Imam Jaafar yang dapat diketahui. Pada usia berapa, apakah
sakitnya, siapa yang pulang kerahmatulalah terlebih dahulu. Samada
isterinya atau beliau sendiri. Semua sejarah itu hilang lenyap begitu sahaja tanpa
meninggalkan sebarang tanda dan maklumat. Jasadnya telah disemadikan
dikawasan tanah perkuburan Kampong Kelanang tetapi dimana letaknya? Dimana batu nisannya, samada telah tertanam dalam tanah atau hilang entah kemana. Apakah ada seorang warisnya yang berusaha ingin mencari. Atau ada
yang telah berusaha tetapi gagal kerana nisan zaman dahulu tidak dipahat namanya sehingga waris yang terkemudian tidak berupaya mengesannya lagi.
Kekesalan
Adalah menjadi kekesalan kepada diri sendiri kerana tidak mengetahui akan serba sedikit maklumat ringkas isteri kepada Imam Jaafar. Apatah lagi mengetahui akan siapa namanya, meninggalnya dimana, apa sakitnya , pada usia berapa dan dimana makamnya. Lenyaplah dia di tanahairnya sepertimana beliau tidak pernah hidup dialam ini, kerana tiada seorang pun warisnya yang mengetahui akan maklumat itu.
Kekesalan itu bertambah apabila tidak mengenali 7 ahli keluarga sepertimana yang tercatit dibawah. Mungkin pada ketika itu terlalu mentah untuk menghargai nilai tali kekeluargaan keturunan Imam Jaafar. Tambahan pula, ada dikalangan mereka telah berpindah randah maka secara tidak sedar telah terputus hubungan antara satu dengan lain. Mungkin disebabkan jarak yang jauh atau sibuk berjuang menguruskan kehidupan keluarga masing-masing . Waris kepada ahli keluarga dari Peringkat Nenek dan Datuk Saudara juga tidak melihat pekara itu secara bersungguh-sungguh.
1.Rasimah Binti Imam Jaafar ~ Mak Ulong
2.Salbiah Binti Imam Jaafar ~ Mak Ngah
3.Nasron Bin Imam Jaafar ~ Pak Anjang
4.Nubiyah Binti Imam Jaafar ~ Mak Utih
5.Osman Bin Imam Jaafar
6.Tidak diketahui Binti Imam Jaafar
7.Tidak diketahui Bin Imam Jaafar.
Serba Sedikit Maklumat Ringkas Yang Diketahui Berkenaan 3 Anak Imam Jaafar Bin Safak.
1. Norashikin Binti Imam Jaafar ~ Pangkat Mak Usu
Norashikin Binti Imam Jaafar telah berumah tangga dengan Ismail & Nordin, mempunyai 4 orang cahayamata:-
1.Rashid Bin Ismail
2.Rohani Binti Ismail
3.Fairoos Bin Ismail
4.Shahbana Bin Nordin
Dikalangan adik-beradik dalam keluarga Imam Jaafar Bin Safak, Norashikin Binti Imam Jaafar adalah anak yang ke 7 dan dalam carta tradisi masyarakat Melayu, beliau adalah pangkat Mak Usu.
|
Dipercayaai 3 orang wanita yang duduk ini adalah adik beradik kepada Mahyah Binti Imam Jaafar yang duduk disebelah kanan sekali. |
Norashikin Binti Imam Jaafar tinggal bersama anaknya Rashid
Bin Ismail ( Pak Ulong ) di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Demi menjaga hubungan
silaturahim , dimasa hayatnya ada, beliau kerap datang menziarah anak
saudaranya Rohayah Binti Omar di Kampong Pasir Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur. Hubungan
silaturahim menziarah tersebut diteruskan pula oleh anaknya antara Rashid Bin Ismail
dan Rohayah Binti Omar. Samada ketika silaturahim urusan kerja nikah kahwin,
kematian, berutus surat dan ziarah Hari Raya. Hubungan tersebut kekal sehingga akhir
hayat masing-masing.
|
Norashikin Binti Imam Jaafar |
|
Norashikin Binti Imam Jaafar berdiri dibahagian tengah. |
|
Khalid Bin Omar, Jalal Bin Johari, Rashid Bin Ismail & Tidak Dikenali . Mereka ini semua bersahabat baik merangkap sebagai sepupu. |
|
Anak Sulong Norashikin Binti Imam Jaafar, Rashid Bin Ismail bersama isterinya Salwa. |
|
Anak perempuan Norashikin Binti Imam Jaafar, Rohani Binti Ismail. |
Malangnya setelah ketiadaan mereka, hubungan kekeluargaan itu telah
mulai renggang sedikit demi sedikit kerana jarang
berhubung. Ziarah menziarah antara satu sama lain sudah tidak diteruskan
oleh waris yang masih hidup. Mungkin masing-masing tiada masa dan tidak
berkesempatan mengeratkan silaturahim persaudaraan kerana terdesak
berjuang membebaskan diri dari himpitan kehidupan.
|
Sepupu ~Berdiri dari kiri Rohaya Binti Omar, Rohani Binti Ismail ,Shahbana Bin Nordin dan Jamaliah Binti Omar |
Atau hubungan tersebut
tidak akan hidup jikalau hanya sebelah pihak sahaja yang datang
menziarah. Sementara sebelah pihak lagi, hanya menunggu ia diziarah. Kadang-kadang yang datang menziarah merasa terpinggir ketika kunjungan
ziarah dilakukan. Semua itu boleh dilihat dan dinilai dengan melihat
bahasa badan masing-masing. Atau mengharapkan yang lebih muda datang terlebih dahulu untuk menziarah mereka . Atau waris yang lebih muda telah terhakis adabnya atau waris yang lebih muda malu atas kekurangan kedudukkannya, seolah-olah nanti dilihat datang menziarah bertujuan untuk meminta pertolongan. Atau masing-masing menganggap memang sudah tidak ada kepentingan yang boleh diperolehi atas pertalian persaudaraan.
2. Nuriah Binti Imam Jaafar ~ Pangkat Mak Cik
Nuriah Binti Imam Jaafar berumahtangga dengan Johari Bin Osman
1.Jalal Bin Johari
2.Rosli Bin Johari
3.Embon Binti Johari
4.Zainon Binti Johari
|
Gambar lama yang membuktikan pertalian persaudaraan rapat. |
|
Dipercayai didalam gambar ini adalah keluarga Nasrun Bin Imam Jaafar. |
3.Mahyah Binti Imam Jaafar
Nota:
Pada ketika itu tiada sijil kelahiran bagi menentukan usia dan tahun,
maka ketentuan usia dalam kenyataan ini berdasarkan kepada pengalaman
melihat pada gambar lama dan kebiasaan masyarakat melayu pada zaman
itu.
Mahyah lahir pada tahun 1910. Usia beliau dalam lingkungan 16~17 tahun.
|
Mahyah Binti Imam Jaafar |
|
Contoh Gelang kaki yang terlihat didalam gambar lama yang dipakai oleh salah seorang ahli keluarga Imam Jaafar. |
|
Jenis alat Penapis santan kelapa dan makanan dari tembaga yang pernah digunakan pada zaman dahulu. |
Tidak dapat dipastikan Mahyah Binti Imam Jaafar merupakan anak ke berapa
dalam keluarga Imam Jaafar. Ketika Mahyah berusia 17 tahun beliau
telah berumahtangga dengan Omar Bin Abu Bakar pada sekitar tahun 1928.
Menurut maklumat lisan Omar Bin Abu Bakar adalah seorang pemuda yang
berasal dari negeri sebelah Utara Semenanjung Tanah Melayu.
|
Kepala Bantal yang pernah digunakan oleh keluarga Mahyah Binti Imam Jaafar. |
Ini bermakna
bapa atau datuknya adalah dari kumpulan 500 Panglima yang setia berkhidmat kepada Tengku Dhiauddin Ibni
Al Marhum Sultan Zainal @ Tengku Kudin. Menantu kepada Sultan Sir Abdul
Samad ibni Almarhum Raja Abdullah. Kumpulan 500 orang pahlawan Kedah
yang datang bersama Tengku Dhiauddin Ibni Al Marhum Sultan Zainal @ Tengku Kudin ketika berjuang untuk menyingkir pengikut dan Hulu Balang anak-anak raja Selangor yang diketuai oleh Raja Mahadi dalam Perang Saudara Klang.
|
Omar Bin Abu Bakar meriba Siti Raha Binti Omar, Mahyah Binti Imam Jaafar dan anak perempuannya Paspa Binti Omar pada sekitar tahun 1935 |
Mungkin saki baki panglima Tengku Kudin yang masih hidup dan tidak mahu pulang ke Kedah memilih untuk menentap sahaja di Negeri Selangor. Ahli keluarga dan sanak saudara mereka telah menetap lama di Kampong Kelanang dan disekitar daerah Kuala Langat. Merupakan Abang sulong daripada 4 orang adik beradik. Adiknya iaitu Haji Busu Bin Abu Bakar, Sana'ah Binti Abu Bakar dan Sariah Binti Abu Bakar.
Bagaimana Mahyah Binti Imam Jaafar dan Omar
Bin Abu Bakar mula mengenali antara sama lain sehingga membawa kepada
alam perkahwinan, tidak pernah diceritakan. Perkara itu terus menjadi rahsia mereka berdua sahaja. Atau perkahwinan mereka
telah diatur oleh kedua ibubapa mereka sepertimana adat kebiasaan masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu.
|
Kehidupan membesarkan anak-anak ketika dibawah pemerintahan Jepun selama 3 tahun 6 bulan dari tahun 1942 hingga 1946 suatu pengalaman yang memeritkan. |
Sumber pendapatan Omar Bin Abu Bakar ketika diawal perkahwinan dengan Mahyah Binti Imam Jaafar adalah dengan menjalankan kerja-kerja kampong. Mereka suami isteri berganding bahu mencari rezeki untuk menampung hidup. Bermakna Mahyah Binti Imam Jaafar telah dikahwinkan dari kalangan orang yang kurang berharta. Menjalani kehidupan perit dan susah sepanjang hayat bersama suaminya.
|
Matawang yang digunakan semasa zaman pemerintahan Kerajaan British di Semenanjung Tanah Melayu. |
Semua kerja-kerja kampong mereka lakukan asalkan beroleh pendapatan . Antara kerja-kerjanya itu yang lakukan ialah mengambil upah mencucuk atap nipah untuk dibuat atap, mencari dan menjual bemban, menjual buah pinang, menjual buah kelapa, menjual buah durian dan buah-buahan lain. Ada ketikanya jikalau ternakan ayam terlalu banyak maka mereka akan menjual ayam dan telor ayam kepada peraih.
|
Matawang keluaran Kerajaan Jepun yang digunakan lebih kurang 3 tahun setengah semasa penanklukan Jepun keatas Semenanjung Tanah Melayu. 1941 ~ 1945 |
|
|
Mahyah Bint Imam Jaafar pada ketika ini sedang menghidapi penyakit
kanser pangkal rahim, namun begitu pada ketika itu ramai masyarakat di
Semenanjung Tanah Melayu tidak ada pengetahuan dalam kesihatan dan
kaedah rawatan di hospital juga sangat kurang. |
Lauk pauk pula mereka akan pergi ke laut untuk mencari hasil laut seperti menjala ikan serta udang, mencari Siput sedut, Pepahat, Ketam, Lokan dan Kepah. Selain dari kerja-kerja yang dinyatakan, Omar Bin Abu Bakar juga mengambil upah menebas rumput dan lalang di kebun-kebun orang. Kehidupan yang dilalui oleh keluarga Omar Bin Abu Bakar jika dibuat perbandingan dengan waktu sekarang memang tergolong dari kalangan orang miskin dan susah. Namun begitu itulah pekara biasa yang dilalui oleh kebanyakan masyarakat Melayu di Kampong Kelanang pada masa itu.
Mereka mempunyai pengalaman merasai kehidupan dari berbagai-bagai zaman.
Dari pemerintahan British, penaklukan Jepun, pemerintahan Kominis , dan
dalam suasana berjuangan untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari
pemerintahan British. Hidup dengan keadaan serba kekurangan dan tekanan
kemiskinan jika dibandingkan dengan keadaan yang ada sekarang.
Ketika usia Omar Bin Abu Bakar dalam lingkungan 50an , dirasakan tenaganya telah berkurangan, beliau telah menceburi bidang perniagaan dengan membuka kedai Kopi di Pekan Kelanang. Beliau menyewa rumah kedai daripada kawannya seorang peraih Ikan " Si Choo " untuk menjalankan perniagaan Kedai Kopi. Kedai Kopi rumah 2 tingkat dari binaan papan yang tidak bernama itu letaknya paling hadapan sekali, disebelah kanan jika
menghala ke Pekan Banting.
|
Melihatkan imej 3 orang lelaki Melayu yang berpakaian Kot, bertie, berkasut kulit memberi tafsiran bahawa 3 orang lelaki Melayu ini seperti Kakitangan Kerajaan British berpangkat Pegawai atau berjawatan Guru Besar. |
Kedai Kopinya menjadi tumpuan orang Kampong Kelanang duduk berehat menghilangkan dahaga , makan minum setelah pulang ke laut, menebas dan bercucuk tanam. Setelah Omar Bin Abu Bakar tidak berdaya menguruskan perniagaannya , Kedai Kopi itu diambil alih pula oleh menantunya Yaakob Bin Manap suami kepada anak perempuannya Siti Raha Binti Omar.
Hasil
perkahwinan dengan Omar Bin Abu Bakar telah dikurniakan dengan 7 orang
anak. 6 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
1.Norliam Binti Omar
2.Paspa Binti Omar 1930
3.Siti Raha Binti Omar 1934
4.Khalid Bin Omar 1936
5.Rohayah Binti Omar 1938
6.Jamaliah Binti Omar 1940
7.Fatimah Binti Omar
|
Matawang yang pernah digunakan oleh keluarga Omar Bin Abu Bakar |
Peristiwa Kenangan Peribadi Dengan Omar Bin Abu Bakar Dan Mahyah Binti Imam Jaafar.
Tidak banyak kenangan yang dapat dicatitkan kerana saya masih kecil lagi, namun begitu masih ingat lagi peristiwa pada satu ketika semasa pulang ke rumah Kampong Kelanang, saya pergi mendapatkan Omar Bin Abu Bakar ( Tok Aki ) yang duduk ditepi pintu sebelah tangga dapur. Beliau bersinglet bersandar pada tiang dinding sambil menghisap rokok daun. Keadaan dan suasana diruang itu panas , muram dan suram sahaja. Dipangku dan saya duduk diam diatas ribanya sambil dia bercerita dengan anaknya Rohayah Binti Omar yang pulang menjengok. Pada ketika itu beliau tinggal bersendirian setelah kematian isterinya Mahyah Binti Imam Jaafar.
Peristiwa Kewafatan Mahyah Binti Imam Jaafar
Masih ingat lagi melihat Mahyah Binti Imam Jaafar ( Wan ) terlantar terbaring tilam diatas lantai papan dekat ruang atas bersebelahan dengan dapur. Keadaan Mahyah Binti Imam Jaafar ( Wan ) cengkung dan kurus kering tidak berkata apa-apa kerana menghidap penyakit kanser pangkal rahim. Itu sahaja kenangan yang masih menjadi ingatan. Mahyah telah kembali kerahmatullah pada 7 Ogos 1968 antara jam 11:00 malam setelah bertahun-tahun menderita penyakit tersebut. Ketika saat nyawa Mahyah Binti Imam Jaafar djemput, sanak saudara sudah mengelilingi beliau yang tidak bermaya terbaring diruang dapur. Dalam suasana malap cahaya pelita dan lampu minyak diiringi pula oleh perasaan hiba dan hening ahli keluarga.
|
|
|
Tidak dapat dipastikan apa isi kandungan surat berdaftar ini yang dikirim oleh adik ( Norashikin Binti Imam Jaafar ) kepada kakaknya Mahyah Binti Imam Jaafar. Kebiasaan surat berdaftar yang dikirim itu menandakan ada berita penting dan mustahak yang hendak disampaikan. Pada tahun 1960 Yuran Setem untuk surat berdaftar cuma 20.cent dan mengambil masa 24 jam untuk sampai dari Kuala Lumpur Ke Kampong Kelanang. Tarikh penghantaran 13 Jan 1960 dan sampai kepada alamat pada 14 Jan 1960 10: 30 pagi. Posmen yang bertugas menghantar surat ini berupaya mencari penama walaupun surat itu alamatnya tidak lengkap. Ini membuktikan Posmen ini sangat mengenali penduduk kampong Kelanang |
Peristiwa Kematian Omar Bin Abu Bakar ( Tok Aki )
Pada
ketika itu semua anak-anaknya sudah tidak lagi tinggal bersama beliau,
kerana ada yang bertugas ke Kuala Lumpur. Dan ada yang telah mendirikan
rumah tangga mengikut suami masing-masing. Cucu-cucunya pula ada yang
melanjutkan pelajaran ke bandar, cuma cucunya Fatimah Binti Yaakob
sahaja yang masih tinggal bersamanya. Fatimah Binti Yaakob sedang
bercuti menunggu keputusan peperiksaan L.C.E pada tahun 1971.
Diceritakan oleh Fatimah Binti Yaakob
Semasa
tahun-tahun akhir sebelum menghembus nafas yang terakhir, Omar Bin Abu
Bakar selalu tersesat kerana tidak dapat mengingati laluan jalan pulang
ke rumah. Selalu juga Omar Bin Abu Bakar dihantar pulang oleh kenalan
rapat, sehingga sampai kerumah kerana beliau dilihat berkeliaran setelah
tercari-cari jalan pulang dan tersesat.
Selain daya ingatnya mudah lupa, Omar Bin Abu Bakar juga menghidap
penyakit Darah Tinggi. Kadang-kadang beliau tidak berupaya untuk
berpantang atas desakan serta himpitan hidup. Apa saja sumber makanan
yang boleh dimakan terpaksa beliau makan ketika perut sedang lapar.
|
Omar Bin Abu Bakar |
Seperti hari-hari biasa, beliau akan pulang dari Sembahyang Asar dan
Kedai Kopi dengan berjalan kaki. Kebiasaannya akan berhenti singgah di
rumah adiknya Sana'ah Binti Abu Bakar untuk berbual-bual, sebelum
balik kerumah secara perlahan-lahan. Tetapi pada kali ini Omar Bin Abu
Bakar dilihat berjalan tergesa-gesa menuju kerumah. Ketika terserempak
dengan cucunya Fatimah Binti Yakoob yang sedang menajak rumput dihalaman
rumah. Beliau hanya merenung dan diam tidak mengeluarkan sepatah kata pun.
|
Haji Busu Bin Abu Bakar |
|
Sana'ah Bin Abu Bakar adik kepada Omar Bin Abu Bakar. |
Secara bergegas lekas beliau memanjat naik anak tangga dan terus masuk ke dalam bilik dan membaringkan diri secara terlentang. Melihatkan keadaan itu Fatimah Binti Yaakob mengekori datuknya dari belakang sehingga dihadapan pintu bilik. Diselaknya langsir pintu dan mendapati Datuknya Omar Bin Abu Bakar sedang terbaring terlentang sambil mata merenung tepat pada lelangit rumah. Kedua tangannya berada diatas perut dan nafasnya juga agak kencang.
Dengan rasa cemas dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, Fatimah Binti
Yaakob berlari keluar menuju kerumah Ibu Saudaranya Sana'ah Binti Abu
Bakar adik kepada Datuknya untuk mendapatkan pertolongan. Setelah
kembali semula ditempat pembaringan Omar Bin Abu Bakar, adiknya Sana'ah
mendapati beliau baru sahaja menghembus nafas yang terakhir secara
bersendirian dengan aman tenteram.
|
Rehal kayu ini adalah hasil kerja tangan Omar Bin Abu Bakar untuk cucunya membaca Al Quran |
|
Sehingga kini rehal Al Quran ini masih digunakan dan berkeadaan baik. |
|
Sekolah Melayu Kelanang telah banyak membebaskan penduduk kampong daripada penyakit Buta Huruf. |
Kejadian itu berlaku pada 15 hb Julai
1971 antara jam 5:45 petang hingga 6:00 petang. Omar Bin Abu Bakar
menjalani urusan menghadap Tuhan yang Esa secara mudah dan tidak
dibebankan dengan sakit yang lama. Beliau disemadikan bersebelahan
isteri pertamanya Mahyah Binti Imam Jaafar yang pulang kerahmatullah 3
tahun lebih awal daripadanya. Jasadnya dikebumikan ditanah perkuburan
Islam Kampong Kelanang berdekatan dengan Masjid pada usia dianggarkan 72
tahun.
|
Omar Bin Abau Bakar berusia 70 tahun |
Peristiwa Menyayat Hati Mahyah Binti Imam Jaafar
1.Norliam Binti Omar.
Norliam
Binti Omar adalah anak sulung pertama untuk pasangan Mahyah Binti Imam
Jaafar dan Omar Bin Abu Bakar. Pada usia yang muda pasangan ini telah
diuji oleh Allah dengan ujian hebat yang menyayatkan hati seorang ibu.
Anak sulung kesayangan itu telah meninggal dunia ketika beliau masih
kanak-kanak lagi iaitu pada usia 4 tahun. Seperti kebiasaan setiap hari
Mahyah Binti Imam Jaafar bersama-sama adik-adik serta rakan
beramai-ramai akan ke laut untuk mencari hasil laut untuk dijadikan lauk
pauk. Setiap orang akan membawa bekalan makanan masing-masing sebagai
mengalas perut apabila kelaparan setelah kepenatan bergelumang dalam
selut.
|
Mahyah Binti Imam Jaafar |
Untuk menjadikan sebab, pada hari itu Mahyah Binti Imam Jaafar tidak
menghabiskan bekalan makanannya yang dibawa, mungkin disebabkan nasi dan
lauk telah basi dan tidak boleh dimakan. Dengan niat dihatinya,
daripada membazir dibuang kelaut adalah lebih baik diberikan kepada ayam
dan itik dirumah, maka Mahyah membawa pulang bekalannya itu. Ketika
sampai dirumah beliau pergi ke perigi untuk membersihkan dirinya dan
meninggalkan bekas bekalan makanan dirumah. Tanpa disedari oleh sesiapa,
anak sulongnya Norliam telah memakan bekalan makanan tersebut.
|
Pinggan Mangkuk peninggalan Mahyah Binti Imam Jaafar yang disimpan dan dijagai dengan sebaik mungkin.Pinggan Makan ~ Normandy ~ Blue Flow~ Bunga/Daun/ Berkerinting/Garisan Emas Buatan Johnson Brothers England |
|
Normandy ~ Blue Flow Johnson Bros England |
|
Khyber ~ Johson Bros England |
|
Khyber ~ Johson Bros England |
|
Asiatic Pheasants ~ Adams & Sons Tunstall |
|
Asiatic Pheasants ~ Adams & Sons Tunstall |
|
Bristol Pountney & Co Ltd England Establish 1683 |
|
Bristol Pountney & Co Ltd England Establish 1683 |
|
Kain Tenun milik Mahyah Binti Imam Jaafar |
Setelah pulang daripada membersihkan diri, Mahyah mendapati anaknya itu
telah berkeadaan mabuk pitam dan muntah-muntah. Kejadian itu berlaku
pada waktu lewat petang dan hari mulai senja. Jarak anatara rumah
dengan Kelinik dan Hospital adalah jauh dan tiada pula pengangkutank.
Keadaan panik cemas dan tidak tahu bagaimana mencari penawar mujarab
untuk anaknya itu pada saat genting itu.
|
Mahyah Binti Imam Jaafar bersama anak perempuannya Rohayah Binti Omar
|
|
Penutup Cawan |
|
Seni tekat halus Alas penutup kotak Sirih Pinang. |
Kejadian yang paling ditakuti oleh semua ibu-ibu akhirnya berlaku juga
kepada Mahyah Binti Imam Jaafar. Anak sulong kesayangannya itu
menghembuskan nafas dalam dakapan ibunya yang telah hilang daya upaya
bagaimana untuk memulihkan anaknya itu . Peristiwa pahit yang menyayat hati itu
meninggalkan kesan teramat mendalam kepada kehidupan Mahyah Binti Imam Jaafar.
Hinggakan hilang semangatnya untuk terus hidup seperti manusia biasa. Berbulan
Mahyah hidup dalam keadaan murung dan sesal yang tidak bersempadan.
Sehinggakan suaminya Omar Bin Abu Bakar terpaksa bersusah payah mencari
orang yang memulihkan kembali semangat isterinya yang kehilangan semangat.
|
Mahyah sedang menunggu bas untuk membuat pemeriksaan dan rawatan di Hospital Klang. |
|
Disemadikan sebelah menyebelah |
|
Batu Nisan diatas pusara Omar Bin Abu Bakar. 17hb Julai 1971 |
|
Batu Nisan diatas pusara Mahyah Binti Imam Jaafar. 7 hb Ogos 1968. |
2.Paspa Binti Omar & Abdul Rahman Bin Muji
|
Duduk disebelah kanan itu ialah Paspa Binti Omar, manakala berdiri disebelah kiri dipercayai Siti Raha Binti Omar. Imej ini adalah satu-satunya imej Siti Raha Binti Omar yang ada. |
|
Abdul Rahman Bin Muji |
|
Paspa Binti Omar bersama adiknya Jamaliah Binti Omar |
|
Paspa Binti Omar mengelek anak bungsunya Hasni Bin Abdul Rahman |
Selepas
berumah tangga anak sulong pasangan Mahyah dan Omar Abu Bakar, Paspa
Binti Omar mengikut Suaminya Abdul Rahman Bin Muji berpindah di Telok
Panglima Garang. Disana mereka mendirikan rumah diatas tanah milik Abdul
Rahman Bin Muji di Batu 8 Sijangkang. Dalam keluarga Omar Bin Abu Bakar , Paspa Binti Omar
mempunyai keistimewaan tersendiri dalam bidang masak memasak dan
kepakaran membuat berbagai jenis kuih-muih Melayu Tradisional Selangor.
Keistimewaan itu digunakannya untuk menyara kehidupan dengan berniaga menjual kuih-muih yang
dipasarkan di Pekan Telok. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan
dengan 5 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
1.Abdul Walid Bin Abdul Rahman
2.Abdul Rahim Bin Abdul Rahman
3.Abdul Aziz Bin Abdul Rahman
4.Itsnin Bin Abdul Rahman
5.Rosita Binti Abdul Rahman
6.Hasni Bin Abdul Rahman
|
Abdul Walid Bin Abdul Rahman |
|
Abdul Aziz Bin Abdul Rahman bersama adiknya Abdul Rahim Bin Abdul Rahman |
|
Abdul Aziz Bin Abdul Rahman & Abdul Walid Bin Abdul Rahman |
|
Rosita Binti Abdul Rahman bersama abangnya Itsnin Bin Abdul Rahman |
|
Rosita Binti Abdul Rahman |
|
Hasni Bin Abdul Rahman |
|
Hasni Bin Abdul Rahman |
|
Duduk Abdul Rahim Bin Abdul Rahman bersama rakan sekolahnya. |
|
Abdul Aziz Bin Abdul Rahman |
|
Abdul Walid Bin Abdul Rahman mempunyai bakat melukis. |
|
Ithnin Bin Abdul Rahman adalah seorang Atlit Pelari Pecut untuk negeri Selangor pada tahun 70an. |
|
Abdul Rahim Bin Abdul Rahman adalah orang pertama dari kalangan keluarga Omar Bin Abu Bakar yang telah berjaya menjejak kaki ke menara gading pada awal tahun 70an. Kejayaan beliau melanjutkan pelajaran ke luar negara telah menjadi contoh kepada sanak saudaranya yang lain untuk mengikuti jejak langkah untuk berjaya dalam bidang pelajaran.
|
|
Abdul Aziz Bin Abdul Rahman bersama abangnya Abdul Walid Bin Abdul Rahman |
|
Hasil karya lukisan Abdul Walid Bin Abdul Rahman |
|
Ithnin Bin Abdul Rahman bersama abangnya Abdul Rahim Bin Abdul Rahman |
|
Hasil karya lukisan Abdul Walid Bin Abdul Rahman |
|
Mahyah Binti Imam Jaafar bersama cucunya Abdul Walid Bin Abdul Rahman ketika musim durian di Kampong Kelanang |
|
Abdul Rahman Bin Muji |
2.Siti Raha Binti Omar & Yaakob
Anak ke tiga daripada pasangan Mahyah Binti Imam Jaafar dan Omar Bin Abu Bakar ialah Siti Raha
Binti Omar. Siti Raha Binti Omar telah berumah tangga dengan Yaakob Bin Manaf orang Kampong Kelanang yang juga bertugas sebagai seorang anggota tentera . Perkahwinan itu telah dikurniakan dengan 2 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Tempoh perkahwinan mereka tidak panjang kerana takdir telah menentukan Siti Raha Binti Omar telah pulang ke rahmatullah pada tahun 1954. Siti Raha Binti Omar telah syahid dalam usia yang begitu muda ketika beliau melahir anak perempuan bongsunya Fatimah Binti Yaakob.
1.Abdul Malik Bin Yaakob
2.Abdul Ghani Bin Yaakob
3.Maswa Binti Yaakob
4.Fatimah Binti Yaakob
|
Nisan pada Pusara Siti Raha Binti Imam Jaafar |
|
Yaakob Bin Manaf |
|
Yaakob Bin Manaf, ketika mengambil alih perniagaan Kedai Kopi daripada Bapa Mentua Omar Bin Abu Bakar. |
Setelah kewafatan Siti Raha Binti Omar, maka tanggungjawab membesarkan ke empat orang anak yatim itu adalah dibawah tanggungjawab dan jagaan oleh Datuk , Nenek , Ibu Saudaranya Rohayah Binti Omar dan Jamaliah Binti Omar. Dalam keadaan serba kekurangan, mereka bersama-sama berganding bahu membesarkan dan memberikan pendidikan dengan penuh kasih dan sayang.
|
Pada usia remaja lagi Rohayah Bin Omar telah bertanggung jawab menjaga ke empat orang anak saudaranya yang masih kanak-kanak dan bayi. |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob ( kiri ) dan Abdul Malik Bin Yaakob ( Kanan) |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob ( kiri ) dan Abdul Malik Bin Yaakob ( Kanan) |
|
Adik beradik |
|
Maswa Binti Yaakob & Fatimah Binti Yaakob |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob semasa bersekolah di Kampong Kelanang |
|
Abdul Malik Bin Yaakob |
|
Abdul Malik Bin Yaakob |
|
Abdul Malik Bin Yaakob bersama puteri-puterinya. |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob semasa musim durian di Kampong Kelanang |
|
Abdul Malik Bin Yaakob ( Kiri ) bersama sepupunya Abdul Aziz Bin Abdul Rahman ( Kanan ) |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob ketika zaman remajanya |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob bersama sepupunya Ithnin Bin Abdul Rahman |
|
Itsnin Bin Abdul Rahman dan Abdul Ghani Bin Yaakob |
|
Abdul Ghani Bin Yaakob bersama Allahyarhamah isterinya Roslin |
|
Maswa Binti Yaakob |
|
Fatimah Binti Yaakob |
|
Maswa Binti Yaakob ( Kiri ) dan Fatimah Binti Yaakob ( Kanan) |
3.Khalid Bin Omar & Marliana Binti Abdullah.
Merupakan satu-satunya anak tunggal lelaki dalam keluarga Omar Bin Abu Bakar dan Mahyah Bin Imam Jaafar. Selepas berumah tangga dengan Marliana Binti Abdullah , beliau telah berpindah ke Kuala Lumpur dan bertugas dengan Keretapi Tanah Melayu. Sepanjang bertugas dengan Keretapi Tanah Melayu beliau telah dipindahkan merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Lokasi akhir sebelum beliau bersara adalah di Bukit Mertajam , Pulau Pinang. Beliau telah pulang kerahmatullah pada tahun 2014 dan di kebumikan di Kulim , Kedah. Meninggalkan balunya dan 2 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Kini ahli keluarganya menetap di Kulim, Kedah.
Anak-anak Khalid Bin Omar Dan Mariana Lim Binti Abdullah
1.Rosmeili Binti Khalid
2.Rosninawati Binti Khalid
3.Khairul Huari Bin Khalid
|
Pedang milik Khalid Bin Omar |
|
Mariana Binti Abdullah balu kepada Khalid Bin Omar |
4.Rohayah Binti Omar & Mustakim Bin Mat.Zin
Rohayah Binti Omar dilahirkan pada tahun 1938 di Kampong Kelanang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kelanang sehingga menamatkan pelajaran sehingga darjah 6. Memandangkan kedudukan kewangan keluarga Omar Bin Abu Bakar yang tidak menentu, telah membantutkan Rohayah Binti Omar melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Keadaan itu membuatkan beliau berhenti dan mencari pekerjaan.
Beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai Jururawat di Hospital Banting, namun begitu tawaran itu terpaksa ditolak dengan dengan berat hati dan kecewa. Bapanya Omar Bin Abu Bakar melarang dan dengan tegas tidak mengizinkan anak perempuan bekerja. Kerana berpendapat wanita harus duduk dirumah menjadi surirumah tangga sepenuh masa. Terpaksa akur akan keputusan itu dengan kekecewaan yang amat. Dipendamkan sahaja, sehingga lama kelamaan menjadi lupa . Andaikata diwaktu itu beliau diberi dorongan dan mendapat sokongan tentu perubahan itu akan berlaku kepada diri dan ahli keluarganya. Namun begitu pada masa itu suasana sangat berbeza dimana pemikiran maasyarakat Melayu jauh ketinggalan dari sudut keterbukaan pemikiran.
Semasa kakaknya jihad meninggal dunia ketika melahirkan Fatimah Bin Yaakob, Rohayah Binti Omar telah mengambil alih tanggungjawab kakaknya yang meninggal dunia itu. Dialah yang membesar , mengasuh dan menjagai ke 4 orang anak buahnya sehingga dewasa. Semasa hayat Rohayah Binti Omar ada, mereka semua menganggap dan menghormati Rohayah Bin Omar itu sebagai ibu mereka.
|
Mustakim Bin Mat.Zin ( berdiri ditengah-tengah ) |
Mungkin mengurangkan beban saraan hidup, pada kebiasaan budaya masyarakat pada ketika itu anak-anak dara akan dikahwinkan pada usia yang agak muda . Pekara ini berlaku kepada Rohayah Binti Omar, dimana beliau telah ditunangkan dengan seorang lelaki yang berkali-kali ganda usia dengannya. Tentunya ibubapa sudah menilai dan menyelidik bakal menantunya kerana inginkan anaknya itu dapat hidup dengan sempurna . Walaupun Lelaki yang telah berusia tetapi mempunyai fikiran matang malah mempunyai pekerjaan tetap dengan Jabatan kerajaan. Namun begitu, kehendak pemikiran orang tua adalah berlainan dengan orang muda. Individu yang telah mempunyai pendidikan dan percampuran luas tentunya merasa kurang selesa dengan keadaan yang dilaluinya dengan hatinya yang tidak rela.
Dalam senyap seorang pemuda bernama Mustakim Bin Mohd Zin yang berasal dari Kampong Sijangkang Telok Panglima Garang telah menunjukkan minat mendalam dan kesungguhan terhadap Rohayah Binti Omar. Mereka menjalin hubungan silaturahim dengan berpucuk-pucuk surat diutuskan antara mereka. Demi memastikan balasan surat tidak tertangguh , Mustakim Bin Mat.Zin menyediakan setem-setem supaya balasan surat dari Rohayah Binti Omar cepat mendapat balasan segera.
Setelah bulat hati dan nekad Mustakim Bin Mat.Zin dengan berani telah mencadangkan supaya pihak keluarga Rohayah Binti Omar memutuskan tali pertunangan supaya pihaknya boleh datang bersama rombongan untuk masuk meminang . Cadangan itu telah disambut baik oleh pihak keluarga Rohayah Binti Omar. Maka urusan memutuskan tali pertunangan dan menggandakan cincin pertunangan telah dilakukan secara baik maufakat. Seperti bidalan orang Melayu " Memukul ular, ular tidak mati, kayu tidak patah, tanah tidak lekuk. "
|
Kamera Kodak milik Mustakim Bin Mat Zin ini telah banyak berjasa dalam merakam detik-detik sejarah kehidupan keluarga untuk dijadikan bahan bukti kehidupan silam. |
|
Keluarga besar Mustakim Bin Mat.Zin |
|
Mustakim Bin Mat.Zin ketika bekerja sebagai " Gate-Keeper" di Cycle & Carriage ( Malaya ) pada tahun 1966 dengan gaji $ 90.00 sebulan. |
|
Menunaikan Ibadah Haji |
|
Rosla Bin Mustakim |
|
Rosla Bin Mustakim |
|
Rosla Bin Mustakim |
|
Norela Binti Mustakim |
|
Rosla Bin Mustakim |
|
Rosla Bin Mustakim bersama Norela Binti Mustakim ketika tinggal di Kampong Pasir Wardieburn Setapak Kuala Lumpur |
|
Siti Surida Binti Mustakim |
Siti Surida Binti Mustakim
|
Siti Suridah Binti Mustakim |
|
Rosla Bin Mustakim & bersama sepupu Hasni Bin Abdul Rahman |
|
Siti Adura Binti Mustakim |
|
Siti Adura Binti Mustakim meninggal dunia disebabkan sakit demam panas yang melampau. |
|
Siri Gambar kenangan 4 beradik di Kampong Pasir Wardieburn Setapak Kuala Lumpur. |
|
Norela Binti Mustakim & Siti Surida Binti Mustakim |
|
Rosla Bin Mustakim |
1.Rosla Bin Mustakim
2,Norela Binti Mustakim
3.Siti Surida Binti Mustakim
4.Siti Adura Binti Mustakim
5.Jamaliah Binti Omar & Fatimah Binti Omar
Waris tunggal Omar Bin Abu Bakar dan Mahyah Binti Imam Jaafar yang masih hidup ialah Jamaliah Binti Omar. Usia Jamaliah Binti Abu Bakar pada waktu sekarang ialah 77 tahun, kesihatannya sudah mula tidak berapa baik jika dibandingkan 2 atau 3 tahun lepas. Pada ketika ini beliau bersendirian tinggal di Kampong Medan Sijangkang bersebelahan dengan rumah anak buahnya Siti Suridah Binti Mustakim, anak perempuan kepada kakaknya Rohayah Binti Omar. Menurut maklumat sehingga tahun 2017 sejak 1870 hanya terdapat 3 orang cucu kepada waris Imam Jaafar Bin Safak yang masih hidup.
Tidak dapat dipastikan, apakah pernah Jamaliah Bin Omar sempat melihat dan bertemu Imam Jaafar pada masa dahulu.Kini beliau tinggal berjiran dengan anak buahnya Siti Surida Bin Mustakim di Sijangkang Telok Panglima Garang Selangor.
|
Rohayah Binti Omar dan Jamaliah Binti Omar |
|
Jamaliah Binti Omar |
Kisah ini adalah sebagai langkah permulaan dalam melaksanakan usaha mendokumantasikan perihal sejarah kehidupan Keluarga Imam Jaafar Bin Safak. Diharap dimasa hadapan ada waris-waris yang ingin menyumbang maklumat sejarah yang telah mereka dengari dari orang tua mereka atau mengalaminya sendiri untuk dikongsi. Wasalam.
Rujukan:
Berkenaan Matawang Lama ~ King Miharbi @ Raja Ibrahim
Asiatic Socitey Society ~ Jurnal
Sejarah Selangor~ Haji Buyong Adil ~ Dewan Bahasa & Pustaka
No comments:
Post a Comment