Thursday, 4 January 2018

Burung Cucur Bintik Mas~Batrachostomus stellatus Gould Frogmouth



Pemerhatian Perihal Tabiat & Kelakuan Burung Cucur Bintik Mas~Batrachostomus stellatus ~ Gould Frogmouth Pada Waktu Siang.

Di Semenanjung Malaysia terdapat 3 keluarga spesies burung yang aktif pada waktu malam iaitu dari Keluarga Pungguk, Keluarga Burung Tukang dan Keluarga Burung Cucur. Ramai antara masyarakat kita lebih mengetahui akan Keluarga Burung Pungguk dan Keluarga Burung Tukang sahaja. Kerana kedua-dua keluarga itu  boleh dijumpai dikawasan sekitar kebun, ladang, belukar dan kawasan tanah lapang juga ditepi jalanraya pada waktu malam. Walaupun ada dikalangan kita tidak pernah melihatnya, namun masih boleh mendengarkan, akan bunyi suara panggilan burung-burung ini.



Tetapi pengetahuan terhadap keluarga Burung Cucur mungkin agak terbatas, kerana keluarga Burung Cucur mendiami  dicelah-celah dahan bawah knopi hutan rimba. Sangat jarang manusia berada didalam rimba  pada waktu malam yang gelap gelita. Keadaan seperti itu lebih menyukarkan lagi manusia dapat berjumpa dengan  burung Cucur. Sementelah lagi  corak serta warna bulu hias burung Cucur, menyamai dengan alam sekeliling tempat  ia bertenggek. 



Kaedah utama burung  mencari diet makanan  adalah dengan cara penyamaran dipersekitar habitat yang sama dengan corak dan warna buluhiasnya. Ia akan duduk diam , sabar menunggu dan menyambar mangsa yang berhampiran dengannya. Keistimewaan pada mata penglihatan yang membantu  ia terbang menyambar serangga-serangga berterbangan diudara dengan cekap dalam keadaan gelap gelita. Ia juga berkebolehan mengesan dan menangkap serangga yang sedang bergerak dicelah-celah tumbuhan. 



Diet pemakanan adalah dari jenis serangga seperti rama-rama, kumbang , belalang,  dan labah-labah. Saya tidak tahu apakah keluarga Burung Cucur di Semenanjung Malaysia menjadikan haiwan-haiwan mamalia kecil dan reptilia sebagai diet protin tambahan mereka. Saya juga belum pernah melihat dan belum ada penemuan tentang itu yang sempat saya baca hasil kajian peminat burung tempatan. 



Perbezaan diantara Keluarga Burung Tukang nampak ketara adalah dari sudut bentuk paruh burung Cucur yang dilihat lebar berbentuk tiga segi. Ia seakan-akan bentuk mulut seekor spesies Katak yang hujungnya bercangkuk. Itu perbezaan dari sudut rupa bentuk anggota badan burung. Manakala perbezaan daripada segi perangai antara keluarga burung Cucur dengan keluarga Burung Tukang pula, saya perhatikan semasa  mereka sedang berehat pada waktu siang. Dimana keluarga burung Tukang akan duduk mendiamkan diri diatas lantai tanah. Atau bertenggek pada dahan-dahan pada tahap yang rendah antara setengah atau 1 meter pada paras lantai tanah. Manakala Keluarga burung Cucur pula tidak duduk dilantai tanah, ia kebiasaannya bertenggek pada ranting pada tahap ketinggian antara 4 ke 7 meter tinggi.



Pada pandangan pemburung yang tidak ada pengetahuan ilmu asas biologi seperti saya ini, penilaian peribadi saya, berpendapat bahawa burung Cucur ini seolah-olah dari gabungan dari dua spesies iaitu Keluarga Pungguk dan Keluarga Burung Tukang.


1.Kedudukan matanya yang bulat adalah sama dengan kedudukan mata pada kebanyakan burung Pungguk, iaitu berada dihadapan, bukan disebelah sisi sepertimana burung Tukang.

2.Tengkorak kepala serta leher burung Cucur boleh berfungsi  sama dengan kepala burung Pungguk, iaitu boleh berpusing 90 darjah memandang kebelakang tanpa menggerakkan bahu dan kedudukan badan.

3.Warna, corak bulu hias dan bentuk tubuh Burung Cucur adalah lebih mirip kepada corak Burung Tukang.


Sepanjang memburung saya  cuma pernah membuat pemerhatian 2 spesies burung Cucur iaitu Burung  Cucur Jawa~Batrachostomus javensis (Javan Frogmouth) dan Burung Cucur Bintik-Mas~ Batrachostomus stellatus (Gould' s Frogmouth) . Cuma burung Cucur Besar~Batrachostomus auritus ( Large Frogmouth) sahaja yang belum dijumpai lagi.



Beberapa bulan yang lepas pada tahun 2017, saya berpeluang membuat pemerhatian Burung Cucur Bintik-Mas~ Batrachostomus stellatus (Gould' s Frogmouth) selang 4 tahun selepas menjumpai Burung  Cucur Jawa~Batrachostomus javensis (Javan Frogmouth) . Oleh kerana spesies burung ini sangat sukar dijumpai, maka saya mengambil semua kesempatan yang ada membuat pemerhatian tabiat perilakunya. Walaupun ia tidak aktif pada ketika siang hari namun banyak pekara boleh diperhatikan jikalau kita berfikir ketika membuat permerhatian.






Burung Cucur Bintik-Mas~ Batrachostomus stellatus (Gould' s Frogmouth) mempunyai sifat semulajadi untuk menjaga serta mengawal ruang sekitar sempadan tempat mencari makan dan kawasan berehatnya. Dari dicerobohi oleh mana-mana individu Burung Cucur lain. Ia akan  cepat merasa gusar dan tertekan bilamana ada individu burung Cucur lain mencerobohi kawasannya. Pendengarannya peka kepada bunyi suara panggilan individu burung Cucur yang lain, dan akan pergi menyiasat  dari mana datangnya suara panggilan tersebut. 



Ketika dijumpai burung ini sedang bertenggek diam membatu di atas dahan pelepah sejenis pokok palma pada ketinggian antara 3 atau 4 meter dari paras lantai tanah. Ditempat ia bertenggek penuh dikelilingi dengan duri-duri disepanjang dahannya. Ia bertenggek berehat di situ untuk satu jangkamasa yang sangat lama. Tidak menampakkan sebarang tindak balas, walaupun saya membuat pergerakan menghampiri tempat ia bertenggek. 






Dari sudut fotografi keadaan seperti ini adalah saat yang paling sesuai membuat pelbagai bentuk rakaman sehingga kad C.F. mereka penuh. Boleh membuat satu pusingan daripada pelbagi sudut sehingga mendapat memilih sudut-sudut rakaman burung yang paling menarik. Malah jikalau tidak beringat  bateri kamera mereka boleh kehabisan kuasa dek terlalu banyak buat rakaman tanpa ia sedari. 





Kepada jurufoto burung yang menggunakan bantuan tripod, mereka berupaya membuat rakaman secara " Mirror Lock up " dan rakaman secara " Slow Shutter Speed ". Dengan mendapatkan sejumlah " Depth of Field " yang sesempurna mungkin dengan hanya mendapat bantuan ISO sejumlah 80 atau 100 sahaja. Dengan rakaman sedemikian caranya , maka imej rakaman bolehlah dinilai sebagai rakaman imej sempurna. Kononnya.

Kepada jurufoto yang mempunyai lensa micro pada ketika itu , mereka boleh juga membuat rakaman dengan lensa micro. Burung akan tetap membatu seolah-olah memberi kerjasama kepada jurufoto-jurufoto. Boleh membuat rakaman tertumpu kepada imej anggota badan samada mata, kepala, corak warna buluhias dan sisik kaki.( Kenyataan ini adalah sekadar andaian kepada sifat dan tabiat burung )



Apakah deria penglihatannya tidak nampak dengan jelas kepada sesuatu objek ketika waktu siang ? Sedangkan mata bulatnya buntang merenung tajam kearah saya secara tidak berkelip-kelip. Atau ia merasa yakin kehadiran pada kedudukan saya itu, tidak dapat mengacam keselamatan dirinya yang berada agak tinggi untuk dicapai dengan tangan. Atau ia memang tidak dapat pengecaman imbangan warna pakaian saya yang menyerupai kawasan sekitar.


Sesekali pelepah itu melendut-lendut seperti imbangan dacing dengan batu kati, kesan tiupan angin dan burung sedang mengimbangkan dirinya. Kawasan sekitar redup suram terlindungi oleh knopi pokok-pokok yang besar gadang didalam hutan. Pemilihan kawasan persekitaran tempat berehatnya hampir menyamai dengan warna buluhias burung ini. Penyamaran alam sekeliling adalah benteng dalam mempertahankan keselamatan diri secara semulajadi. Kepada mata yang tidak cekap, maka amat sukar untuk dapat membezakan  kehadirannya.


Sejak menjadi pemburung hybrid, saya selalu tertanya-tanya pada diri sendiri apakah haiwan disediakan juga otak untuk berfikir oleh Allah sepertimana manusia berfikir. Jawapan kepada soalan ini berhenti ditengah-tengah, iaitu mumkin ya , mumkin tidak. Jikalau diperhatikan bukti atas tindakan burung ini mencari dan memilih pelepah tumbuhan palma yang melendut  penuh dikeliling duri membuktikan burung mempunyai daya fikir. Daya fikir yang bersesuaian dengan lingkupan dan kitaran  kehidupan dihabitatnya. Daya fikir yang membawa kebaikkan kepada keselamatan diri burung itu dari segala sudut ancaman bahaya haiwan pemangsa.



Sepertimana yang diketahui waktu siang burung adalah waktu spesies ini berehat dan tidak aktif, maka haiwan pemangsa seperti ular tidak berupaya menjalar naik diatas dahan palma yang dikelilingi oleh duri. Andaikata ular berusaha juga menjalar pada dahan, berat ular itu akan menjadikan dahan itu melendut-lendut. Gerakan pengera keselamatan semulajadi itu akan membuat Burung bingkas terbang menyelamatkan dirinya. Pada hemat saya, bukti pemerhatian seperti ini adalah asas untuk saya menyatakan haiwan juga dikurniakan oleh Allah sedikit sebanyak daya fikir.




Dalam cahaya suram ia bertenggek pada kedudukan menegak, matanya terbuka bulat buntang tidak berkelip-kelip. Jelas kelihatan warna kuning iris mata dan mata hitamnya yang terbeliak dilihat dari lensa kamera saya. 2 tiga ekor serangga bersayap hinggap di sebelah matanya dan sedikit pun tidak menimbulkan apa-apa tindak balas daripadanya. Entah apa yang disedut oleh serangga pada bahagian mata burung itu.




Ia hanya mendiamkan dirinya sahaja. Lama juga ia berkeadaan seperti itu. Sesekali terkeluar selaput putih menutup retina ke dua belah matanya.Pelepah ekornya digoyangkan ke kiri dan kanan untuk satu jangka masa tertentu, kemudian berhenti dan digoyangkan semula. Perbuatan seperti itu dilakukan secara berulang-ulang . Sesekali burung mengeliat dan membuka luas paruh mulut lagak seperti menguap mengantuk. Kiri dan kanan sayap dikejangkan, pelepah ekor dikembangkan seperti kipas sambil mengibas-gibas.




Sewaktu dipertengahan hari petang antara jam 4, keadaan menjadi berubah dimana, cahaya matahari
memancar masuk diruang-ruang celah daun. Suluhan cahaya terang panas itu tepat menerangi bahagian dahan palma berhampiran burung yang sedang diam bertenggek. Sedikit demi sedikit suluhan cahaya matahari bergerak memancar tepat pada seluruh anggota badan burung Burung Cucur Bintik-Mas~ Batrachostomus stellatus (Gould' s Frogmouth).



Diketika itu, hasil tindak balas cahaya matahari itu membuat  burung tersenggut-senggut kepalanya secara perlahan-lahan, seperti orang sedang menahan mengantuk yang teramat sangat. Selaput putih perlahan-lahan menggatup penuh terpejam matanya. Kepala yang tadinya tegak, mulai longlai.  Lehernya pula terlentuk tunduk seperti sedang tertidur lena. Kelihatan kepalanya terjulur melentuk ke bawah hingga sampai aras jari kaki. Keadaan burung lena nyenyak  berlangsung agak lama, lebih kurang antara 10 ke 15 minit.







Hal keadaan, burung sedang terlentuk tidur nyenyak yang tidak sedarkan diri, tetapi masih dalam keadaan ia sedang bertenggek. Mengimbang tubuh badan daripada jatuh ke tanah telah menampakkan bukti rahmat kekayaan Allah yang maha kuasa. Anggota organ apakah  disediakan oleh Allah yang berfungsi untuk burung Burung Cucur Bintik-Mas~ Batrachostomus stellatus (Gould' s Frogmouth) ini, berupaya membuat imbangan  ketika ia tidur lena. Kelihatan genggaman jari jemari kaki terkunci erat mencengkam pada  dahan pelepah palma . Cadangan pendapat  saya,  inilah salah satu keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada sekelian keluarga Burung.






Sedang ia tidur lena, dari jauh keterdengaran sayup-sayup suara burung mendayu-dayu dari arah belakang buat seketika. Kemudian senyap, kemudian berbunyi lagi suara dayuan burung yang tidak saya kenal pasti lagi. Makin lama semakin kuat suara dayuan itu secara berulang-ulang. Dan pada saat itu burung terjaga dan terbeliak membuka mata bulatnya.





Membetulkan kedudukkan badan kepada menegak sambil kepalanya tunduk ke kanan dan ke kiri seperti sedang mengecam mendengar dari mana datang arah suara mendayu-dayu itu. Bunyi suara itu tidak berhenti-henti,  malah ia bertambah kuat. Setelah itu burung membuat tolehan memusingkan lehernya kepada 90 darjah menoleh ke belakang. Sepertimana keluarga burung Pungguk dan terus terbang menghilangkan diri kearah datangnya suara mendayu-dayu itu.







Setelah burung itu terbang, saya terdengar pula suara beberapa orang sedang bercakap di dalam hutan. Bertindak keluar dari tempat persembunyian dan berjalan keluar dari hutan untuk pulang. Dalam perjalanan keluar saya berselisih dengan 4 orang yang sedang memikul kamera dan lensa yang panjang. Ditangannya ada alat pembesar suara dan sedang tercari-cari Burung Cucur Bintik-Mas~ Batrachostomus stellatus (Gould' s Frogmouth) disekitar kawasan itu.


Wajah terkejut dan bengis sejurus terkejut dari tidur setelah mendengar bunyi panggilan burung, Ia beranggapan ada burung lain telah cuba menghampiri dan memasuki ruang lingkup persempadanannya.





Pusingan leher 90 darjah tanpa mengubah kedudukan tubuh badan.


Pada ketika itu barulah saya tahu suara mendayu-dayu yang didengari tadi adalah suara panggilan palsu  Burung Cucur Bintik Mas~Batrachostomus stellatus. Suara palsu yang dijadikan umpan untuk menarik perhatian burung yang dimainkan oleh jurugambar burung. Mereka tidak mengetahui panggilan yang dimainkan secara berulang-ulang tanpa henti itu, telah mengganggu burung yang sedang berehat nyenyak tidur. Dalam waktu  yang sama juga jurugambar burung ini telah mengganggu kajian pemerhatian saya.


Penyamaran seperti daun kering yang tersangkut didahan pokok.




Saya melihat sendiri dengan jelas tindak balas burung apabila terdengar suara individu burung lain yang memasuki ruang sempadannya. Ia tertekan dan terkejut sehinggakan menampak riak wajah burung kelihatan bengis marah . Bingkas ia  terbang menuju ke arah suara untuk menyiasat individu burung yang telah melanggar ruang sempadannya. Tetapi hakikatnya burung ini telah terpedaya dengan panggilan palsu yang dimainkan oleh jurugambar yang datang beramai-ramai untuk merakam imejnya.




Itulah kejadian yang selalu berlaku sekarang ditahun ( 2017/2018 ) didalam aktiviti merakam imej burung dikalangan kumpulan jurugambar burung. Puaslah saya bercakap dan berkempen melarang budaya tidak beretika ini ditinggalkan dan jangan dibuat. Namun saranan itu diabaikan  begitu sahaja. Malah budaya yang tidak beretika ini telah mula menjadi kemestian kepada hampir semua Jurugambar burung yang baru berkecimpung. Mengikut suasana terkini pada hemat saya, ia akan berkekalan dan menjadi tradisi kepada setiap jurugambar burung dimasa kini dan masa akan datang. Wasalam.


No comments:

Post a Comment