Wednesday, 7 March 2018

Melepaskan Rindu Dendam Dan Menjenguk Sahabat-sahabat Alam Semulajadi...



Melepaskan Rindu Dendam Dan Menjenguk Sahabat-sahabat Alam...





Setelah hampir 4 tahun tidak mengunjungi Syurga Mini , tiba-tiba seperti disapa dari jauh oleh sahabat-sahabat yang menghuni didalam syurga itu. Seolah-olah mereka melambai-lambai menjemput kedatangan saya untuk kesana. Maka secara tidak berlengah-lengah lagi, terus memenuhi jemputannya itu. Ketika sampai menjejakkan kaki dimuka pintu masuk, semua sahabat-sahabat saya bersorak mengalu-alukan kedatangan saya dengan ceria dan meriah. Didendangkannya irama kebebasan alam yang menyentuh meresap dalam jiwa, yang membawa kepada ketenangan. Diselang selikan dengan alunan senyap sepi dan hening. Mereka seperti tahu menghiburkan sahabatnya. Kawasan kediaman sahabat saya itu masih seperti dulu,  kelihatan tersergam indah dengan kesuburan tumbuhan-tumbuhan. 




Doa dan harapan  dahulu telah dimakbulkan oleh penciptanya. Sejak kali terakhir saya meninggalkan kawasan disini, tidak ada tanda-tanda seorang pun manusia yang telah datang berkunjung kesini. Keadaannya masih kekal sama seperti dahulu sahaja, malah tumbuhan berbagai jenis lumut hidup bertambah subur. Lumut hijau yang lembab basah merebak-rebak menghampar pada permukaan  lantai tanah meneroka ke kawasan yang lebih luas lagi. Kabus sejuk yang tebal itu berpuput lembut, berarak meliputi keseluruhan kawasan hutan sekitar. Terkadang-kadang menghalang permandangan. Wajah menjadi lembab dan alis mata pula sibuk menjaring kabus sehingga terlekat embun.  



Selepas hilang kabus , kelihatan warna kehijauan  dari pelbagi bentuk dan jenis tumbuhan lumut yang ada disitu. Udara disini segar, sekali sekala terhidu bau-bauan dari tumbuhan lumut yang dibawa oleh bayu. Entah apa baunya  tidak dapat saya zahirkan dengan ucapan bahasa.   Embun yang bertitih-titih melekat pada lumut diatas pokok menitik-nitik jatuh di kepala. Lembab dan membasahkan baju, hasil tiupan angin berserta kabus. Manakala embun yang sentiasa melekat pada tumbuhan memlembabkan kasut dan seluar . Tuju hala perjalanan hanya mengikut sahaja bekas laluan haiwan-haiwan yang berselirat dan berpusing-pusing. Terasa tidak sampai hati kaki-kaki untuk memijak-mijak lumut seperti permaidani disini.



Bunyi riang suara serangga dan burung berkicau-kicau datang dari pelbagai sudut didalam rimbunan tumbuhan. Kelihatan tupai berlari-lari seperti mengejar sesuatu diatas dahan pokok berlumut dan melompat-lompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Tumbuhan orkid  dan periuk kera terlekat bersama-sama lumut diatas dahan. Ada juga orkid sedang mekar bunganya secara bertitih-titih. Yang pastinya tidak ada sesiapa yang memberi ancaman kepada segala penghuni disini. Hidup mereka aman bebas sihat dan merdeka pada setiap masa. 




























































Bersyukurlah disini kawasan hutannya masih terselamat dari bencana kemusnahan oleh pengkhianat-pengkhianat alam semulajadi negara. Sepertimana yang semua warganegara tahu, beribu-ribu hektar hutan tanah tinggi di Cameron Highland dan Gua Musang  telah hancur musnah bagi tujuan pembalakan dan pertanian. Kemusnahan dan kehancuran hutan disitu membuatkan terlalu banyak hati tercedera parah sehingga tidak dapat diubati. Ralat bercampur bingung, bagaimana boleh wujud satu kelompok masyarakat yang gamak hati dengan perbuatannya untuk memusnahkan hutan semulajadi yang cantik seperti ini. Keputusan dan perbuatan mereka memang tidak masuk dek akal. Tidak dapat dibangsakan mereka ini dari kalangan jenis apa?




Kali ini , biarlah baki Syurga Mini yang masih kekal suci , jangan ada seorang pun boleh merosakkannya. Pengalaman pahit kemusnahan yang lepas jadikan pelajaran berguna kepada semua manusia. Biarlah semua orang tidak tahu dimana tersembunyinya tempat letaknya. Rahsia ini merupakan perjanjian dan amanah saya kepada sahabat-sahabat saya yang menghuni disini. Pastinya saya akan sentiasa akan datang menyantuni sahabat-sahabat alam dari masa ke masa.Wasalam.



1 comment:

  1. MCM kenal tempat ni..semoga terpelihara hendakNYa. Thks for sharing RDTH.

    ReplyDelete