Wednesday, 9 May 2018

Kembara Silaturahim Bermotosikal Ke Negeri Aceh Darul Salam Republik Indonesia

Kembara Silaturahim Bermotosikal Ke  Wilayah Aceh Darul Salam, Republik Indonesia .



Kali ini memberanikan diri untuk mencuba membuat pengembaraan bermotorsikal ke Pulau Sumatera, Indonesia. Memandangkan peruntukan cuti hanya 6 hari, maka sebahagian kecil di beberapa buah wilayah di Aceh sahaja dapat dilawati. Jika diikutkan kesihatan dan nafsu ingin saja mengelilingi seluruh Pulau Sumatera yang sangat luas dari pelbagai jenis permukaan mukabuminya.

Penerbangan dari KLIA2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Blang Bintang Aceh Besar mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja. 



Di dalam carian Internet  maklumat dari Google Map tidak boleh dipercayai dan saya sifatkan ia sebagai tidak jujur. Disebabkan maklumat Google Map perancangan untuk ke Air Terjun Peucari yang tidak tercemar dan cantik di kawasan hutan Jantho tidak kesampaian. Maka ada baiknya letakkanlah kepercayaan penuh kepada warga-warga  tempatan Aceh dimana-mana sahaja, ketika kita sedang bermusafir. Dalam bertanyakan maklumat lokasi, penginapan, lokasi petrol, harga, tempoh perjalanan dan sebagainya, mereka sedia dan senang memberi bantuan dengan mesra.



Hari Pertama. Isnin 28 Ogos 2017

Tiba menjejakkan kaki dilapangan terbang pada jam 8:00 pagi waktu Aceh. Ramai penumpang berpusu-pusu beratur untuk urusan imigrasen. Terpaksa bersabar untuk berbaris panjang sementara menunggu urusan perlepasan pasport daripada kakitangan imigrasen Aceh. Dalam ramai-ramai itu, ada juga penumpang yang tidak malu atau pun tidak perasan  memotong barisan, seolah-olah dia sahaja yang hendak cepat. Disediakan  dua lorong  bagi pemeriksaan paspot yang dikhaskan kepada Orang Tempatan dan Orang Asing. Terasa janggal ketika beratur masuk di dalam lorong  "Orang Asing " , kerana suasana di Lapangan Terbang ini hampir serupa sepertimana ditanahair. Dengan gaya pertuturan , berpakaian, dan riak wajah sangat biasa dilihat di Malaysia.




Ketibaan ramai orang asing dari Malaysia  dengan serentak  pada waktu itu, telah melambatkan proses perlepasan urusan passpot dikaunter Imegresen. Salah satunya rombongan pelajar dari   Maktab Perguruan Sultan Idris Perak.  Mereka mengadakan silaturahim ilmu dengan kumpulan pelajar Universiti tempatan di Aceh. Dan  satu lagi kumpulan rombongan yang datang untuk mengerjakan ibadah Korban, sambil  menjalin ukhwah dalam bersilaturahim dengan masyarakat Aceh.



Setelah segala urusan selesai, bersegera ke kiosk didalam kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda untuk membeli kad prabayar telepon. Disebabkan masih belum mengetahui hal ehwal disini, maka saya memohon bantuan kepada pekedai dan menyerahkan bulat-bulat apa yang perlukan. Berapa nilai dan bagaimana mengiktifkannya dialah yang tolong lakukan semua. Kami cuma menyerahkan sahaja berapa rupiah  kepadanya.  Pada mulanya timbul juga rasa curiga, tetapi selepas melihat bahasa badan dan keikhlasannya , maka senanglah hati. Sejak dari itu boleh dikatakan, semua urusan mula menjadi mudah. Hinggakan beliau  membantu membuat panggilan kepada Saudara Razi Fahlefi orang yang hendak memberi sewa motosikal. 





Bayaran penyewaan telah dilangsaikan di Kuala Lumpur dan berakujanji beliau  akan menunggu bersama motosikal yang akan disewa pada hari itu 28 Ogos . Mengejutkan apabila Saudara Razi Fahlefi masih berada dirumahnya lagi, (Saudara Razi Fahlefi @rentalsepedamotoraceh yang pusat operasinya di Banda Aceh). Anggapan Saudara Razi Fahlefi perjanjian itu pada 29 Ogos bukan 28 Ogos. Apa yang tidak difahami,  semua maklumat ketibaan kita telah dimaklumkan dengan jelas akan tiba pada hari ini 28 Ogos. 





Manakala kefahaman Saudara Razi Fahlefi ketibaan kita pada 29 Ogos. Berang dengan jawapan Saudara Razi Fahlefi,  dan menghendaki beliau datang dengan seberapa segera bersama-sama motosikal sepertimana yang dijanjikan. Saudara Razi memohon kita agar bersabar dan memberi masa untuk beliau datang ke Lapangan Terbang. Kekeliruan ini mengakibatkan perancangan awal telah tergendala dan membuang masa 2, 3 jam menunggu. Rancangannya setiba di lapangan terbang, kita boleh  terus melawat  Rumah Chet Nyak Dien. Maka hendak tidak hendak  terpaksalah menunggu sehingga dia datang.  Menunggu dan terpaksa bersarapan pagi di Restauran Bakso Malang.





Rupa-rupanya ada hikmah disebalik apa yang terjadi. Beberapa orang Warga Aceh yang prihatin melihat kita yang sedang menunggu seseorang, telah datang menyapa untuk mengajak berbual. Peluang berbual itu digunakan untuk bertanyakan arah-arah perjalanan pengembaraan kami. Sedikit sebanyak maklumat yang disampaikannya itu memudahkan perjalanan nanti. Pada jam 11:00 pagi Saudara Razi Fahlefi tiba dan terus memohon kemaafan di atas kesilapannya itu. Pada mulanya berang tetapi dengan adanya 2 orang kenalan baru yang elok bersilaturahim melayan saya, hilang lah sudah perasaan marah,  timbul pula perasaan mesra.



Motosikal yang dibawanya itu tidak sama dengan apa yang telah dijanjikan ketika berurusan sebelum ini. Walaupun Saudara Razi Fahlefi telah mungkir janji, tetapi hati saya gembira dan senang hati. Motosikal yang diberikan itu, adalah lebih tinggi kuasa kudanya (c. c) dengan bayaran kadar sewa motosikal berkuasa kuda rendah. Bermakna saya mendapat motosikal yang  lebih  elok dengan kadar sewa yang rendah.Agaknya Saudara Razi Fahlefi memohon kemaafan dengan cara ini.







Setelah memeriksa keadaan motosikal dan memberi 2 topi keledar termasuk baju hujan , Saudara Razi  Fahlefi menyuruh saya mengekorinya untuk menunjukkan tempat mengisi minyak petrol. Disini tidak ada Shell, Esso, BP, Petron atau Petronas, cuma ada Pertamina. Pertamina memonopoli penuh semua pasaran minyak disini.  Setelah mengisi minyak penuh,  Saudara Razi Fahlefi meminta diri untuk meneruskan urusan perniagaannya. Sebelum beliau beredar beliau memberi jaminan andaikata berlaku sebarang masalah sila hubunginya dengan segera pada bila-bila waktu. Beliau akan berusaha datang memberi bantuan. Pada saya, jaminan seperti ini sangat mahal dan sedikit sebanyak memberi lebih keyakinan.









Selesai segala urusan tersebut maka bermulalah pengembaraan sepertimana yang telah dicatur  walaupun telah terlewat hampir 4 jam. Beberapa kali berhenti kerana bertanyakan akan arah ke rumah penginapan Serikandi Aceh Chet Nyak Dien . Sesampai sahaja di Rumah Chet Nyak Dien, pintunya telah ditutup kerana waktu rehat pada jam 1:00 ~ 2:00 petang. Sementara ia dibuka pada jam 2:00 petang kami menjamu selera makan tengahari. Kebetulan tempat makan berhampiran dengan lokasi rumah. Dapatlah saya merasa beberapa jenis menu masakan masyarakat Aceh.  Setelah selesai segala tanggungjawab dan urusan peribadi maka sampailah ke tempat yang hendak dilawati.













Jam 2:00 petang melihatkan senibina rumah tradisional masyarakat Aceh ini, saya merasakan ianya tidak kurang hebatnya dengan bangsa-bangsa lain. Saiz bangunannya besar dan dibina cantik  selayaknya didiami oleh keluarga pembesar yang dihormati. Mengikutkan saiz dan luas rumah , pembinaan bangunan ini memerlukan kayu kayan berkualiti dalam jumlah yang banyak. Memerlukan kumpulan tenaga  tukang kayu yang mahir untuk mendirikannya.










Selain rumah ini dijadikan muzium,   ia juga dikunjungi oleh pengiat seni perfileman untuk dijadikan lokasi berlakon. Dalam pada itu juga, ramai pasangan Warga Aceh yang baru berkahwin  akan menjadikan Rumah ini sesi tempat pengambaran kenangan perkahwinan mereka.





Waktu telah mulai petang penginapan masih belum dicari lagi maka meneruskan perjalanan menuju ke arah lebuhraya di tepi pantai sambil menikmati pemandangan pantai yang panjang disini.Meneruskan perjalanan menuju ke kawasan pantai untuk mencari pantai yang sunyi, indah permandangan.  Sepanjang permulaan perjalanan dihidangkan pemandangan pantai pasir halus yang memutih seluas mata memandang. Pukulan ombak besar sentiasa bersilih ganti tanpa henti menghempas gigi pantai.





Deruan kencang angin dari arah laut mengapungkan air laut ke udara membentuk seperti gumpulan kabus berada pada permukaan air . Seterusnya angin itu membawa gumpulan kabus itu melanggar deretan pokok-pokok Rhu, yang tumbuh memagar disepanjang pantai. Manakala di tengah laut kelihatan warna kebiruan air lautan Hindi berkolek-kolek cermin bercahaya airnya. Kemudian semakin hampir ia sedikit demi sedikit bertukar menjadi putih bergulung-gulung  secara selari menerpa ke arah pasir pantai. Tiba di pantai bertukar pula warnanya menjadi kehijauan dan berbuih-buih keputihan. Keadaan seperti ini biarlah sentiasa berlangsung berulang-ulang selagi matahari dan bulan berada dipaksi yang betul.



Bungkah batu ini dihanyutkan oleh ombak Tsunami




Janganlah berlaku sekali lagi warna air lautan Hindi menjadi hitam pekat, angin datang bersama bunyi yang memberi ketakutan, gelombang ombak setinggi 30 meter, datang ganas bergulung-gulung menyerang ke arah pantai .  Belum lagi sempat ombak sampai ke pantai pohonan  kelapa dan pokok Rhu telah rebah menyembah ke tanah sebab dek kuatnya angin ribut. Gelombang ombak seperti itu tidak berhenti ditepi pantai sahaja, tetapi terus sampai ke kaki pergunungan. Datangnya seperti menyimpan amarah dendam,  tanpa ada simpati dan belas kasihan. Juga tidak memilih samada lemah , kuat, baik, jahat , beriman , kufur , bayi, dewasa...  Aduh! Kesan nya sungguh dahsyat dan menyayat hati, umpama kiamat yang tidak jadi.




Waktu telah mulai senja ketika perjalanan di Pantai Lhonga dan berhenti menginap di sebuah pondok milik pengusaha perlancungan tempatan. Entah kenapa disitu tidak ada pelancong lain yang menginap disitu. Samada disebabkan pondok itu terlalu buruk seperti pondok tinggal, sementelah harga sewanya  mahal. Entahlah.











Pondok yang serba kekurangan, dengan bilik air yang kecil berlantaikan simen mengerutu. Keadaannya gelap, kerana tidak disediakan lampu didalam tandas. Bekalan air paip yang tidak kuat tekanan airnya.  Bilik tidurnya agak luas, cuma disediakan katil uzur bersama cadar serta tilam yang telah agak uzur. Pendawaian elektrik tidak sempurna, dimana wayarnya hanya tergantung-gantung dan terdedah. Kena sentiasa berawas jangan memegang dawai tanpa sebab.  Mujur disediakan plug untuk urusan menambah kuasa bateri kamera dan komputer. 


Homestay @Resort 200 Rupiah semalam.



Pendawaian Bekalan elektrik yang tidak sempurna.

Pendawaian elektrik yang tidak sempurna dan merbahaya. 

Ahh...itu semua tidak mengapa, memang saya berniat untuk membantu pengusaha ini menambah pendapatan untuk hari ini. Di sebalik kekurangan itu semua , ada kelebihan yang saya terima. Iaitu mendapat  kawasan  pantai yang luas indah terbentang , seperti dikhaskan kepada kami berdua sahaja. Jikalau hendak bermandi telanjang bulat pun tiada siapa yang kisah. Berbaring berguling di atas pasir pantai memutih bersih sampai jemu. 















Makan malam sambil beramah mesra dengan orang tempatan sambil mendengar cerita sedih yang menyayat hati. Tentang malapetaka yang pernah  mereka dialami ketika musibah Tsunami melanda kawasan ini dulu. Selesai makan malam, duduk termenung ditepi pantai memandang ke arah lautan. Langit biru pekat dan bintang kelihatan berbintik-bintik di atas. Angin sejuk datang bersama ombak menghempas-hempas pantai dan berbunyi-bunyi bising alam semulajadi yang tidak henti-henti. 









Hari Kedua Selasa 29 Ogos 2017


Pagi sebelum meneruskan perjalanan sempat juga memburung dan berjaya menjumpai burung yang tidak terdapat di Semenanjung Malaysia, iaitu Merbah Kutilang~Pycnonotus aurigaster ~ Sooty-headed Bulbul. 



Selepas bersilaturahim kami mengucapkan terima kasih dan meneruskan perjalanan  menuju ke arah Meulaboh . Disepanjang perjalanan dihidangkan lagi dengan pemandangan pantai berpuloh kilometer jauhnya disebelah kanan. Manakala disebelah kiri pula kawasan hutan dan banjaran batu kapur. Banjaran yang penuh ditumbuhi dengan pokok-pokok hutan tebal yang tinggi seperti mencucuk-cucuk langit. Suasana waktu pagi  melihat  anak-anak menuju ke sekolah. Ada yang dibawa oleh bapanya dan ada yang menaiki motosikal roda tiga, mereka duduk beramai-ramai bergelak ketawa. Ada juga yang membonceng motosikal sehingga tidak ada ruang tempat duduk, seperti motosikal Tatu. 






















Ada disebuah tempat telah mula akan kesan-kesan pembangunan yang sedang diusahakan oleh Syarikat Gergasi Simen untuk mengaut keuntungan secara sendiri. Kelihatan bukit batu kapur telah dikumbah untuk dijadikan simen oleh deretan jentera milik syarikat gergasi simen. Harapnya Syarikat Gergasi Simen menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan  tawaran gaji yang lumayan bersesuaian dengan beban kerjanya. Pada saya itulah sepatutnya berlaku dimana laba hasil bumi itu harus jatuh kepada penduduk tempatan untuk mereka nikmati bersama-sama.




















Cuaca disepanjang perjalanan cukup panas bergabung pula dengan bahang angin dari laut. Membuatkan saya merasa dahaga. Terlihat pula sebuah gerai menjual kelapa muda, tanpa berlengah terus ingin membasahkan tekak yang dahaga. Berhenti berehat sambil menikmati makan tengahari dan minuman air kelapa muda ditepian pantai yang memutih bersih dan indah. Ombak kuat memukul pantai, angin bertiup kencang ditengah panas yang terik. Itulah suasananya yang berulang-ulang selagi berada ditepi pantai. Sementara berehat makan dibawah pokok Rhu, saya   mencuri peluang memburung ditepi pantai. Berjaya lagi menjumpai spesies burung yang tidak terdapat di Semenanjung iaitu Cericap Sayap-bercalit~Prinia familiaris ~ ( Bar Winged Prinia ). 















Setelah selesai berehat meneruskan lagi pengembaraan sepanjang pesisiran pantai melalui jalan menghala ke pekan Lamno, Kabupaten Aceh Jaya sehinggalah waktu senja. Kiri kanan perjalanan  mulai merasa seperti melihat kepada permandangan yang hampir sama sahaja. Sawah padi , bangunan ibadah masjid yang separuh siap , pantai, danau, tasik dan laut. Berulang-ulang pemandangan yang sama. 























Tiba di pekan Calang berpusing-pusing dikawasan sekitar pekan melihat hal keadaan penduduk tempatan menjalani kehidupan harian mereka. Memandangkan semalam kami telah menginap dipondok dengan keadaan tidak selesa  dan serba kekurangan . Maka pada hari ini memilih untuk menginap di sebuah Hotel dengan harapan mendapat rehat yang sempurna. Hotel Pantai Barat menyediakan ruang tidur yang lapang dan dihias kemas. Disediakan sistem penghawa dingin dan sistem mandian air panas. Bilik air yang lapang dan mempunyai tekanan air paip yang kuat memudahkan saya membersihkan diri dan membasuh pakaian. Namun begitu mangkuk tandas duduk tidak disediakan sistem "flush" bersama dengan getah paip untuk kemudahan mensucikan hadas. Mereka hanya menyediakan baldi dan cebuk untuk air diisi penuh sebelum dicurahkan ke dalam lubang tandas.






Hotel Pantai Barat, Calang




Selepas membersihkan diri dan membasuh pakaian, pergi keluar untuk makan malam. Sambil makan malam ,  kita melihat suasana dan gelagat penduduk setempat menghabiskan waktu malam mereka disitu. Sempat juga berbual-bual dengan penduduk tempatan dan mendengar cerita pengalaman hidup masing-masing.


Hari Ke 3 Rabu  30 Ogos 2017

Sebelum waktu subuh masuk,  dikejutkan dengan  bacaan tahrim dari corong pembesar suara yang berkumandang dari arah masjid. Kenangan 30 , 40 tahun ketika tinggal di Kampong Pasir Wardieburn Setapak tiba-tiba segar kembali.  Kenangan mendengar  suara Pakcik Latip bertahrim di surau Kampong Pasir dahulu. Bacaan bertaranum itu memujuk-mujuk  hati kita untuk bersiap-siap untuk mengerjakan solat subuh di masjid pulak. Bersiap segera dan terus bergegas ke Masjid yang berdekatan dengan Hotel. Tidak juga ramai orang datang mengerjakan solat berjemaah disini, cuma 1 saf sahaja. Keadaan waktu subuh di Aceh sama sahaja sepertimana di kampong-kampong di Malaysia. Berbeza jikalau di kawasan taman perumahan di Kuala Lumpur, jemaahnya ramai bersaf-saf.




Selesai segala urusan pada pagi itu, mulalah keluar memburung dikawasan sekitar hotel. Antara jam 10:00 pagi berkemas dan terus meneruskan perjalanan menghala ke arah daerah Aceh Barat. Permandangan kiri kanan bersambung lagi sama seperti semalam. Setelah memasuki kawasan Aceh Barat baru lah dapat melihat  permandangan  sawah padi menguning yang seluas-luasnya.


Hotel Pantai Barat




Pesawah disini masih mengunakan kaedah tradisional dalam mengusahakan tanaman mereka, sepertimana pesawah di Sabah. Kebetulan pada ketika itu padi sedang menguning masak, dapatlah melihat pesawah beramai-ramai bergotong royong menuai pokok padi, membanting , mengangin dan memikul guni padi naik keatas lori.










Kemudian melalui pula perjalanan mendaki dikawasan hutan tanah tinggi di Pergunungan Geurute yang sempit berbelok-belok berhampiran ditepi laut. Dari atas jalan kelihatan permandangan menarik lautan membiru dan ternampak juga pulau-pulau kecil. Berhenti disebuah warong untuk bersarapan sambil menghirup udara segar yang datang dari arah hutan berbukit. Bersarapankan dengan beberapa biji buah durian dan minum kopi panas Aceh. Orang Aceh makan durian bersama dengan pulut panggang bersulamkan dengan kopi pahit panas tanpa susu. Saiz cawannya kecil sahaja tidak sepertimana di Malaysia. Saiz cawan itu tidak dapat menghilang haus, tetapi lebih kepada merasa nikmat pahit yang sedap.












Meneruskan perjalanan yang berbelok-belok dengan kenderaan lalu lintas yang sibuk. Tiba dikawasan lereng bukit berhenti lagi untuk melihat permandangan lautan yang membiru. Ruangnya sempit, disebelah kanan dinding bukit dan disebelah kiri pula kawasan curam. Kawasan tebing curam itu pula  telah dipenuhi dengan warung berpelantar  dan  tidak ada ruang kosong. Bermakna pengunjung yang ingin melihat dan merakam keindahan permandangan harus makan atau minum di situ. Memandangkan keadaan seperti itu disepanjang jalanraya, maka saya memilih warung yang berkedudukan mempunyai sudut yang menarik untuk merakam permandangan pantai, pulau dan lautan. Ia adalah sebagai yuran merakam diatas pelantar sambil memesan air minuman walaupun tidak kehausan.




Pengusaha Warung dan Gerai tidak menitik beratkan kebersihan alam sekitar. Mereka hanya mencampakkan sahaja semua sampah dibawah curam. Perbuatan yang tidak bertanggung jawab dan dikalangan masyarakat budaya pengotor. 

















Sepanjang perjalanan  terlalu banyak Masjid didirikan dengan senibina dan reka bentuk menarik, Pembinaan Kubah berbentuk bawang terbalik menjadi pilihan penduduk Aceh. Adakalanya jarak antara satu masjid dengan satu masjid yang lain adalah sangat berdekatan. Walaupun disini banyak masjid, namun begitu pembinaan masjid itu tidak  sempurna. Ia kelihatan seperti bangunan dalam proses pembinaan. Purata boleh dikatakan banyak yang masih belum siap sempurna. Walaupun tidak siap, khariah disitu tetap menggunakannya apabila tiba waktu mengerjakan ibadah.






Kediaman tradisi masyarakat Aceh telah musnah ketika bencana Tsunami , deretan rumah teres ini adalah sumbangan daripada kerajaan Malaysia, untuk meringanan  beban  masyarakat Aceh.






Pelajar Sekolah Pondok ini sedang duduk diatas kerusi ditengah jalanraya dalam cuaca panas terik, beliau menunggu dengan harapan setiap pengguna jalanraya menhulurkan sedekah kepadanya demi menampung keperluan asas para pelajar sekolah pondok. 

Ini adalah pemandangan yang tidak pernah saya lihat sepanjang hidup. Menunggu orang yang bermurah hati menghulurkan derma ditengah jalanraya .







Kerbau putih sedang berjalan ditengah-tengah jalanraya.

Jawapan kepada tanda tanya dalam hati itu pun terjawablah, setelah berpeluang berbual dengan beberapa penduduk tempatan. Maka barulah saya faham mengapa keadaan sebegitu berlaku disini. Di Aceh semua masjid  tidak menerima bantuan penuh daripada pihak pemerintah. Masjid didirikan atas insiatif dan sumbangan ahli-ahli khariah yang bermurah hati ingin bersedekah. Maka kebagusan jiwa penduduk seperti ini memberi lambang keatas kegigihan warga Aceh sendiri,  dalam melaksanakan syariat ugamanya. Membudayakan diri sepanjang masa dengan bersedekah  walaupun dalam keadaan ekonomi mereka  serba kekurangan.





Masjid Imam Bonjol Meulaboh








Perjalanan diteruskan dalam cuaca yang panas terik sampai ke Kota Meulaboh. Berhenti sebentar di Masjid Imam Bonjol Meulaboh kemudian  minum cendul dihadapan masjid. Kota Meulaboh agak sesak mungkin kerana orang ramai sudah mula bersiap-siap pulang ke kampong halaman dan menyediakan keperluan untuk menyambut Aidil Adha.












Kawasan mencari logam Emas














Berhenti makan tengahari di Kecamatan Sungai Mas, jalan utama disini rosak dan tidak berturap. Banyak kenderaan berat menjadikan laluan ini untuk mengeluarkan hasil bumi, sebab itu jalanraya disini daif dan teruk. Kelihatan ditepi sungai  tempat membijih emas ditepi sungai yang dimiliki oleh syarikat besar. Mungkin usahasama syarikat milik dari Jakarta dan penduduk tempatan.


Ungka tangan putih ~ Hylobates lar~ White handed Gibbon


Terdapat juga kawasan ladang tanaman kelapa sawit yang luas dengan pokoknya yang masih muda. Dilaluan ini saya menjumpai seekor ungka yang mati ditepi jalan, entahlah mati akibat dilanggar kenderaan atau pun ditembak. Perjalanan disini dirasakan tidak sampai-sampai jauhnya. Merentas hutan tebal kawasan tanah tinggi dan berhenti berehat di sempadan antara Kabupaten Aceh Barat dan Kabupaten Pidie. Hari sudah mulai petang perjalanan masih belum sampai di distinasi berikutnya  di Guampang.


















Perjalanan diteruskan dalam suasana yang gelap gelita didalam kawasan pergunungan  perhutanan Kabupaten Pidie. Dipertengahan waktu Mahgrib, barulah sampai di pekan Guampang dan menginap di Homestay Murah Hati. Homestay itu adalah sebuah Bangunan Kediaman Tradisi masyarakat Aceh yang tidak dihuni lagi oleh pemiliknya. Senibina asal yang menarik dan menunjukan kehalusan senibina orang Aceh.







Walaupun bangunan itu kelihatan sudah tua, namun daya tarikan budaya membuatkan hati teruja untuk menginap disitu. Kadar sewaan semalaman tidak mahal. Biliknya sangat kecil dan bilik air harus berkongsi dengan penyewa bilik lain. Sumber bekalan air datang dari sungai dikawasan bukit. Tata hiasan serta katil dalam bilik agak uzur dan buruk. Itu semua bukan begitu penting, asal  ada tenaga eleiktik untuk menambah kuasa bateri kamera. Hari sudah lewat malam,  malas untuk keluar mencari makan malam hanya memasak bekalan nasi dan lauk yang dibawa. Laluan disini Gampong Lancong~Jalan Tutut~ Guampang Sigli Aceh Barat ~Kabupaten Pidie.



Hari Ke 4. Khamis 31 Ogos 2017


Awal pagi selepas subuh bergegas keluar mencari arah matahari terbit untuk melihat cahaya alam menerangi kawasan pertanian pekan Guampang. Selepas itu pergi ke pasar melihat aktiviti masyarakat aceh disini membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Sambutan lebaran Aidil Adha disini meriah, melihat mereka membeli lauk pauk untuk menyambut kepulangan anak-anak dan ahli keluarga mereka.





Serigunting Sumatera~Dendrositta occipitalis





Cericap Bukit~Prinia atrogularis



Perincit Abu~ Orthotomus ruficeps













Kerbau berkaki tiga

Kerbau berkaki tiga


Daging Kerbau menjadi pilihan utama berbanding lembu






























                                         
Selepas bersarapan pergi memburung dikawasan hutan pergunungan  Kabupaten Pidie. Kawasan tanah tinggi ini sejuk berangin seperti di Freaser Hill dan Ulu Kali Selangor. Hidupan burung pada waktu pagi sungguh aktif dan menjumpai beberapa spesies burung endemik bagi pulau Sumatera. Tengahari bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan ke Lembah Seulewah Aceh Besar. Walaupun kita sudah membawa peta, tetapi saya lebih selesa bertanyakan hala perjalanan dengan masyarakat tempatan. Daripada pekan Guampang penduduk tempatan mencadangkan laluan dalam kampong yang tidak sibuk sambil melihat aktiviti masyarakat tempatan. Peta yang dibawa langsung tidak digunakan.




















Semasa perjalanan dikawasan pedalaman saya berselisih dengan orang yang ingin menjual buah duriannya di pasar. Memberhentikannya untuk membeli buah durian yang banyak dibawanya didalam raga bakul. Merasalah memakan beberapa biji buah durian yang sedap isinya sehingga kenyang. Makan buah durian ditepi sungai yang jernih memandang ke arah sawah bendang.  Pengalaman menyeronokan ini jarang dapat dirasai di tanah air saya.







Kiri kanan permandangan disini memang cantik dan mendamaikan. Setiap pekan yang ditempuhi orang ramai bersesak-sesak membeli belah untuk keperluan menyambut hari lebaran Aidul Fitri keesokan harinya.  Beramai-ramai ingin pulang ke kampong halaman masing-masing. Kelihatan meriah sangat sama seperti meriah di Malaysia, ketika menyambut Hari Raya Aidil Fitri.




















Ketika perjalanan menghala ke Lembah Seulewah hujan turun agak lebat. Mujur kita membawa baju hujan , kalau tidak menunggang dalam keadaan basah dan sejuk dikawasan tanah tinggi pada waktu malam. Walaupun hari sudah pukul 9:00 malam masih lagi banyak kenderaan pergi balik melalui jalanraya yang berkelok-kelok serta gelap. Mengawal motosikal dengan keadaan ketiadaan lampu jalan dan garisan jalan agak mencabar. Setibanya  di pintu masuk Hutan Raya Lembah Seulewah, saya tidak dibenarkan oleh pegawai tentera yang mengawal disitu. Pegawai Hutan Raya Seulewah telah pulang bercuti di kampongnya. Memohon kepada anggota Tentera supaya membenarkan kami menginap didalam kawasan itu. Oleh kerana beliau tidak mahu menanggung risiko maka beliau mencadangkan saya bermalam di Hotel di pekan Lembah Seulewah. Di bawanya kami ke Hotel Bonda untuk kami bermalam disitu. Menghargai dan mengucapkan terima kasih diatas bantuan yang diberikan kepada saya sebelum beliau mengundur diri.







Pengusaha Hotel Bonda menghendaki kami menunjukkan Pasport dan  Sijil Surat Nikah terlebih dahulu sebelum boleh diterima menginap di Hotel itu. Mujur isteri saya telah menyediakan salinan Sijil Surat Nikah sebagai dokumen sokongan. Setelah mendapat kepastian dan membuat salinan barulah dibenarkan menginap. Hari ini perjalanan dirasakan jauh entah berapa ratus kilometer iaitu dari pekan Guampang menuju ke pekan Sigli , Tangsi dan bermalam di Lembah Seulewah.


Hari Ke 5. Jumaat 1 Sept 2017


Hari ini umat Islam menyambut hari lebaran Hari Raya Aidil Adha. Sebelum subuh lagi sudah terdengar  suara bilal bertahrim bertaranom mendayu-dayu. Diikuti pula dengan suara azan subuh memanggil umat islam pergi sembahyang di masjid-masjid berdekatan. Selepas selesai solat subuh berkumandang pula takbir hari raya bersahut-sahutan dari corong masjid. Bersiap-siap untuk ke Masjid Jamek di pekan Lembah Seulewah untuk bersembahyang sunat Hari Raya Aidil Adha. Masyarakat di sini berpusu-pusu datang ke masjid. lelaki, wanita , tua  muda dan kanak-kanak bergegas pergi ke Masjid. Ada yang berjalan kaki , menunggang basikal, motorsikal dan berkereta.














Didalam masjid,  saya perasan cuma saya seorang sahaja yang tidak memahami apa yang khatib memberi nasihat dalam khutubahnya. Kerana khutubah dibaca dengan menggunakan bahasa Aceh. Selesai bersolat, pulang ke Hotel dan bersarapan, kemudian keluar semula bersendirian merayau-rayau mencari jalan untuk masuk ke dalam Hutan Lindung. Hutan Lindung Lembah Seulewah boleh nampak dari halaman Hotel Bonda.







Bertanyakan kepada orang disitu bagaimana untuk kesana, maka ditunjukan  laluan masuk kesitu. Ketika sedang leka dan seronok memburung di dalam hutan tiba-tiba terpacul seekor Babi Hutan dewasa siap dengan siongnya. Jarak kedudukan dari tempat saya berdiri dianggarkan lebih kurang 50 meter. Merenung tepat kearah saya, entah apa isyarat  yang hendak disampaikan kepada saya. Sejurus itu datang lah nasihat dalam minda memberitahu saya bukan berada didalam hutan-hutan di Semenanjung Malaysia. Tetapi sekarang saya berada seorang diri didalam hutan Lembah Seulewah Aceh. Hening sunyi tiada seorang manusia pun disitu, sementelah  orang sedang sibuk merayakan hari lebaran Aidil Adha.





Kedegilan saya untuk memburung disitu cuma dapat bertahan 30 minit sahaja. Memikirkan berbagai macam kemungkinan boleh terjadi, maka saya  beralih lapangan memburung di kawasan tanah lapang yang berbukit-bukit pula. Setelah hari sudah masuki ke waktu tengah hari berpatah balik ke Hotel. Waktu menginap sudah hampir tamat maka segera pulang untuk berkemas dan meneruskan pengembaraan.





Sebelum meninggalkan Hotel Bonda semua dokumen diambil semula dan mengucapkan terima kasih kepada pegawai yang bertugas. Cadangan pengembaraan hari ini ialah untuk ke Air Terjun Peucari di dalam kawasan hutan di Jontho. Sepanjang perjalanan saya melihat suasana hari lebaran di Aceh Indonesia. Kelihatan kumpulan anak-anak kecil berpakaian baru dan berpegangan tangan untuk beraya.




Laluan disebelah sini, barulah saya dapat melihat rumah-rumah tradisional masyarakat Aceh yang menyerupai Rumah Chet Nyak Dien dan Homestay Murah Hati Geumpang. Bentuk mukabumi dikawasan ini yang terlalu jauh dari pantai adalah kawasan yang tidak terkena musibah Tsunami. Maka masih banyak lagi rumah tradisional yang masih dapat dilihat.






Sepanjang perjalanan ke Kota Jontho kita dapat melihat permandang sawah padi yang berlatar belakangkan Banjaran Bukit Barisan yang berkilometer panjangnya. Kota Jontho merupakan pusat ekonomi yang maju. Bangunan kerajaan megah tesergam besar dibina secara bertingkat-tingkat melambangkan kemajuan disini.




Setibanya disitu kita pergi masuk kedalam perkampongan yang ada menyediakan khidmat  penunjuk arah untuk ke Air Terjun Peucari, Jontho. Malangnya tidak ada seorang pun yang bersedia membawa kami kesitu kerana mereka sedang beraya. Agak kecewa juga kerana telah mencari dan datang dari jauh tetapi tidak ada siapa yang ungin membawa kesitu. Dengan masa yang ada mencari kawasan untuk dilawati dikawasan sekitar.







































Ada beberapa tempat telah dicadangkan oleh orang tempatan disitu , iaitu permandangan bukit bukau unik di Jontho, Air Terjun Kotamalaka dan permandangan kawasan bukit bukau Kotamalaka. Di Kotamalaka kami berpeluang melihat matahari terbenam yang bercahaya merah yang cantik. Selepas hari sudah gelap maka meneruskan perjalanan ke Bandar Aceh. Sampai di BandarAceh antara jam 10:00 malam. Bandar Aceh waktu malam meriah dan sibuk dengan orang ramai yang berkerumun di Masjid Besar Bandar Aceh.



Memandangkan badan sudah letih dan malas mencari penginapan yang banyak disekitar Banda Aceh, maka menginap sahaja di Hotel Medan. Disitu Hotel tumpuan pelancong dari Malaysia menginap kerana kedudukannya sangat hampir dengan Masjid Besar.



Hari ke 6. Sabtu 2 Sept 2017.





Baru-baru ini semasa temasya Sukan Sea yang ke 29 di Kuala Lumpur, penganjur Malaysia secara terlepas pandang telah berlaku kesilapan cetak pada bendera Indonesia yang dipaparkan dalam bentuk yang terbalik. Hal keadaan ini telah menyebabkan kerajaan Indonesia menegur atas kesilapan tersebut. Maka dengan sertamerta Menteri Sukan bertindak memohon kemaafan keatas kesilapan tersebut. Hal keadaan ini membuatkan rakyat jiran kita Indonesia merasa kurang senang dan bingkas membuat berbagai-bagai kenyataan berbaur kurang enak. Jikalau dilihat di siaran media sosial adalah tidak digalakkan berkunjung ke negara Indonesia.



Namun begitu apa yang dipaparkan dalam dada akhbar dan internet sama sekali berbeza dengan  penerimaan warga Aceh  kepada warga Malaysia. Dari mula sampai menjijakkan kaki dipekarangan Lapangan Terbang dihari pertama hinggalah pulang, penerimaan warga Aceh terhadap orang Malaysia cukup menyenangkan dan mesra. Sepanjang pengembaraan beratus kilometer mengelilingi beberapa wilayah Aceh selama 6 hari tidak seorang pun memberi pandangan dan renungan yang memberi rasa kekhuatiran.




Jauh sekali menerima ugutan daripada mereka. Sepanjang pengembaraan warga Malaysia ini merasa penuh dengan perasaan aman damai daripada mereka. Diceruk mana sekali pun warga Aceh sentiasa berlapang dada dan menerima Warga Malaysia sebahagian daripada mereka jua. Anggapan mereka terhadap warga Malaysia kita adalah serumpun. Bukan hendak berlebih-lebihan dalam memuji atas sikap warga Aceh, tetapi itulah pengalaman saya, ini merupakan satu kebenaran yang tulen yang dinyatakan dengan ikhlas.










Hari ini hari terakhir saya mengembara di bumi Aceh, maka sebelum berangkat pulang bercadang membeli buah tangan dan melawat kawasan sekitar Bandar Aceh. Selepas bersarapan cepat-cepat keluar untuk menziarah Masjid Raya Baitulrahman. Sebelum pelancong lain berkerumun memenuhi kawasan sekitar dan didalam masjid. Masjid Raya Baitulrahman menjadi tarikan mata kepada penganut ugama Islam dan pelancong asing. Istimewanya bangunan ibadah ini, ia adalah satu-satunya bangunan yang tidak rebah musnah oleh pukalan ombak  laut, ketika kejadian Tsunami 26 Dis 2004 dahulu.




Saya ingin mengetahui jawapan kepada tandatanya mengapa Allah mengizinkan lagi bangunan ibadat orang islam ini masih berdiri kukuh ditapaknya. Sedangkan bangunan-bangunan lain disekitarnya habis ranap rosak dimusnahkan ombak Tsunami. Bangunan Ibadat yang tersergam indah  menjadi lambang kedaulatan masyarakat islam Aceh sejak mula dibina pada tahun 1612 dahulu.



Sejurus melangkah masuk ke dalam Masjid, maka segala macam tanda tanya selama ini segera telah terjawab. Didalam masjid terdapat tidak kurang daripada 100 batang tiang konkrit bersaiz sebesar 2 pemelok sebagai tulang belakang dan rangka pengukuhan bangunan masjid. Tiang , besi, batu-bata dan simen  pembinaan mengikut sukatan yang disyaratkan oleh pakar arkitek.




Dengan modal yang biayai oleh Gabenor Dr.Ibrahim Hasan, Pengurusan Projek telah melantik kumpulan arkitek terbaik untuk merekabentuk bangunan sedia ada. Pelan rekabentuk itu pula dizahirkan oleh  ramai kumpulan tenaga buruh yang rajin dan tekun sehingga menjadi bangunan Masjid  . Agaknya pekerja yang mahir berebut-rebut untuk menjayakan kerja-kerja membina bangunan masjid simbol kedaulatan masyarakat Islam Aceh.




Tentu sekali ketika tempoh pembinaan dulu kumpulan pekerja ini telah melakukan secara bersungguh , ikhlas dan jujur. Jelas terbukti akan hasilnya telah  dapat menghindar bangunan itu dari runtuh atau dihanyut oleh ombak tsunami.     Pada hemat peribadi saya bangunan ini adalah satu-satunya bangunan ibadat didunia yang telah berjaya melepasi ujian pemeriksaan malapataka secara semulajadi berskala tinggi. Layaklah diberikan penghargaan tertinggi kepada jasa orang-orang yang terlibat dalam usaha pembinaan Masjid Raya Baitlrahman yang hebat itu.




Setiap malapetaka dan bencana tersirat kebaikan yang Allah sediakan kepada masyarakat Aceh secara tidak sedar. Kini Bandar Aceh jauh lebih maju daripada sudut keagamaan dan ekonomi. Disekeliling bangunan masjid  peniaga berkerumun menumpang sinar daripada berbagai sudut ekonomi. Dengan kedatangan pelancong dalam dan luar negeri masyarakat Aceh mendapat limpahan ekonomi. Harapnya mereka tidak terpedaya dengan tipu daya dunia sehingga menjadi rakus dan tamak.






Setelah semua urusan membeli cederahati selesai kami bersiap-siap berkemas keluar daripada Hotel Medan untuk urusan pemulangan motosikal sewa di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda. Tepat pada masa sepertimana yang dijanjikan, Saudara Razi Fahlefi @ rentalsepedamotoraceh  datang untuk mengambil motosikalnya. Menasihati beliau memeriksa keadaan motosikalnya. Kalau-kalau terdapat sebarang kerosakan atau terkemek tanpa saya disedari semasa pengembaraan. Beliau berpuas hati dengan keadaan motosikalnya dan saya mengucapkan terima kasih kerana menyediakan Motosikal berkuasa 120 cc.  Motosikal yang bagus dan tidak memberi masalah.




Pengembaraan silaturahim bermotosikal pada kali ini dianggarkan lebih kurang 1000 kilometer bermula dari Blang Bintang ~ Lhonga ~ Lamno ~ Calang ~ Meulaboh ~ Tutut ~ Gaumpang ~ Lembah Seulewah ~ Tangse ~ Sigli ~ Jantho ~ Kotamalaka ~ Banda Aceh ~ Blang Bintang. Sepanjang pengembaraan saya dapat melihat berbagai bentuk mukabumi. Bentuk mukabumi yang tidak pernah saya lihat seperti di Jantho dan Kotamalaka. Pemandangan merangkumi kehijauan hutan pergunungan, sesekali kawasan tasik, paya , kelapa sawit dan sawah padi. Jalinan perhubungan darat bentuk jalanrayanya pula pelbagai. Ada yang lurus berbatu-batu jarak jauhnya, ada yang berkelok-kelok berselekoh mendaki dan menuruni kawasan tanah tinggi. Itulah serba ringkas permandangan dan bentuk mukabumi wilayah Aceh. 





Sepanjang tempoh 6 hari pengembaraan tidak langsung menghadapi sebarang kesusahan, malah mendapat layanan yang baik daripada semua masyarakat Aceh yang ditemui. Mereka menerima kedatangan rakyaat Malaysia dengan kesantunan yang baik. Semasa menunggu di balai berlepas ramai warga Malaysia datang ke sini untuk mengerjakan ibadah korban di bumi Aceh. Biarlah Keakraban hubungan seperti ini dipanjangkan dan berkekalan. Wasalam.




Siri Pemandangan Bentuk Muka Bumi Negeri Aceh



































Masjid Lama
















Siri Pemandangan Bentukmuka Bumi Jantho, Aceh.








Siri Pemandangan Bentukmuka Bumi Kuta Malaka, Aceh





























Siri Pemandangan Bendang Sawah Padi Di Kuta Malaka, Aeeh







Bangunan Ibadat 

Masjid Raya Baitulrahman, Banda Aceh.



Binaan dan Hiasan Dalaman Masjid








































Masjid Imam Bonjol Meulaboh




Binaan dan Hiasan Dalaman Masjid




















Gereja Katolik Paroki Hati Kudus, Banda Aceh






Masjid Lama Yang Tidak Lagi Digunakan











Siri Rumah Kediaman Masyarakat Tradisional Melayu Aceh




Kesenian Halus Dan Motif Ukiran




























































No comments:

Post a Comment