Hari Pertama - Isnin (19 Mac 2018)
(Padang Pariaman - Sungai Limau - Lubuk Basung - Maninjau)
Tiba di Lapangan Terbang Internasional Minangkabau jam 7:30 pagi waktu Indonesia selepas 1 jam 10 minit penerbangan dengan Air Asia. Disoal tentang tujuan kedatangan, tempat menginap dan tiket pulang. Urusan mudah untuk melepasi Imigresen kerana hanya bawa handcarry backpack. Temujanji dengan Saudara Hartono untuk mengambil motosikal pada jam 8:30 pagi. Ketika menanti kedatangan beliau, ramailah perayu ekonomi datang menyapa untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan. Kepada yang tidak biasa dengan keadaan ini, sedikit-sebanyak memberi perasaan kurang selesa. Memadai menolak tawaran dengan senyuman dan terima kasih sahaja. Sepertimana yang dijanjikan pada jam 8:30 pagi WIB, beliau sampai untuk melangsungkan urusan penyewaan motosikal. Setelah dokumen dan pembayaran semua selesai, mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Hartono (3H Trans Padang) |
Target hari ini adalah Danau Maninjau. Dalam perjalanan ke sana kami banyak kali berhenti samada bertanyakan hala tuju tempat atau melihat permandangan alam sekitar. Di sebuah kampong berhenti sambil beramah mesra dengan penduduk tempatan. Di situ buat kali pertama saya berjumpa dengan seorang warga tua berusia 105 tahun yang masih berupaya mengendalikan hal ehwal dirinya sendiri. Mempunyai daya ingatan yang masih kuat, penglihatan yang elok cuma pendengarannya agak terjejas. Rakan dan taulan beliau terpaksa berbual dengan meninggikan nada suara mereka seolah-olah kurang sopan terhadap orang tua.
Berusia 105 tahun. |
Kanak-kanak pulang daripada Sekolah. |
Kawasan di sini agak menarik kerana air sungainya sangat cetek, airnya deras, sejuk lagi jernih. Penduduk tempatan melintas sungai hanya dengan menyinsing kain atau seluar sahaja. Kelihatan gerombolan ikan mundar mandir berenang melawan arus menuju ke kawasan yang lebih dalam. Jumlah ikan yang banyak di sungai ini adalah disebabkan oleh adat budaya masyarakat Minang yang patuh pada larangan menangkap ikan. Ikan hanya boleh ditangkap cuma setahun sekali iaitu pada bulan Ramadhan. Selain daripada waktu itu adalah tidak dibenarkan. Pada bulan Ramadhan seluruh penduduk kampong akan menangkap ikan samada dengan memancing, mengepung atau menjaring.
Sungai yang terlalu cetek dengan airnya jernih dan deras. |
Semua hasil tangkapan itu untuk keperluan mereka atau disedekahkan kepada warga tua yang tidak berupaya melakukan kerja-kerja menangkap ikan. Budaya ini hampir menyerupai dengan adat dan peraturan menangkap ikan di daerah di Sabah, Malaysia. Disiplin dan sikap satu hati dalam menzahirkan adat budaya seperti ini adalah sangat baik. Kesan kepada adat budaya seperti ini berupaya mengimbang tuntutan alam semulajadi demi kelestarian kehidupan spesies ikan. Dalam waktu yang sama sumber alam dapat dirasai bersama-sama untuk satu jangka masa yang panjang dan berterusan.
Aktiviti ekonomi, lori-lori sedang mengambil pasir sungai sedang memenuhkan muatan lori, untuk dihantar kepada pelanggan mereka. Pemilik-pemilik lori membeli pasir sungai daripada pemilik tanah. |
Pemandu Lori serta kelendan sedang menunggu muatan lori mereka penuh, sambil minum kopi dan berehat. |
Warung yang dimiliki oleh warga tua 105 tahun ini adalah tempat para pemandu lori pasir berehat sementara giliran lori mereka diisi dengan pasir sungai. Dengan menjual pasir sungai, maka pemilik tanah secara tidak langsung dapat mendalamkan dasar sungai yang sangat cetek. Penyediaan mendalamkan sungai seperti ini dapat memendung masalah banjir di musim tengkujuh nanti.
Jalanraya utama yang menghubungi satu pekan ke satu pekan saiz lebarnya adalah seperti jalan kampong.
|
Suasana di kawasan pusat perniagaan yang biasa dilihat di Sumatera Barat. |
Tertarik dengan bentuk batang pokok kelapa yang tumbuh bengkang bengkok naik tegak meninggi. |
Berteduh menunggu hujan berhenti. |
Ketika sedang berteduh menunggu hujan lebat berhenti, sempat berbual dengan Pemandu Go Jack berkenaan senang susah kehidupan di Sumatera Barat. |
Air Parit atau taliair ini mengalir deras seperti sungai , ia berpunca daripada anak sungai yang berada jauh dikawasan pergunungan. |
Landasan Jambatan Keretapi yang sudah tidak digunakan lagi. |
Sejuk mata memandang. Sawah padi, Sungai, Pokok Pinang dan Pokok Kelapa. |
Danau Maninjau |
Kanak-kanak tempatan ini masih belum faham dan fasih berbicara dalam bahasa Indonesia. |
Siri Senibina Bangunan Kediaman
Sepanjang perjalanan mata tidak akan terlepas akan memandang rumah kediaman masyarakat tempatan yang dibina di kiri kanan jalanraya. Kami dihidangkan dengan rekabentuk senibina rumah yang menarik , tinggi nilai senibinanya dengan berbagai ukiran warna dan bentuk. Secara umum, pada hemat saya ianya terdiri daripada 2 atau 3 jenis senibina iaitu tradisional Minangkabau, senibina bentuk rumah zaman kolonial Belanda dan gabungan antara Tradisional Minangkabau dengan Kolonial Belanda. Semua bentuk rumah itu dibina dengan menarik yang pastinya memerlukan ramai tenaga pakar si pembuat rumah.
Bentuk rumah zaman kolonial Belanda ( cadangan peribadi ) dibina samada bahan binaan dari kayu atau batu-bata, mempunyai lantai tapak rumah letaknya diatas tanah dan tidak bertiang. Manakala senibina Tradisional Minangkabau pula dibina dengan mempunyai tiang-tiang untuk mengampu lantai.
Bukti ini menjelaskan bahawa, tidak dapat tidak di Sumatera Barat terdapat begitu ramai Tukang membuat rumah yang berkemahiran tinggi , tekun dan mempunyai nilai senibina tangan yang halus. Perincian hiasan pada dinding, tiang, daun tingkap , muncung atap dengan berbagai bentuk corak ukiran dengan warna yang menarik.
Saya tidak pasti berapa lama dan beramai Tukang membuat rumah dapat menyiapkan sebuah rumah tradisional dengan lengkap jikalau cuaca mengizinkan. Samada ianya, dilakukan secara berperingkat-peringkat atau disiapkan secara sekali gus. Berdasarkan pembinaan ukiran dan warna pada dinding-dinding rumah , apakah papan dinding dipasang terlebih dahulu kemudian baru diukir atau si tukang pembuat rumah mengukur dengan tepat papan-papan dinding kemudian dipasang, setelah ukiran serta warna disiapkan. Pada saya kedua cara itu memperlihatkan kehebatan tukang membina rumah.
Namun begitu timbul beberapa persoalan , mengapa rumah-rumah yang besar dan cantik dibina dilokasi yang rapat-rapat antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain. Sedangkan kawasan tanah disini sangat luas. Hinggakan rumah yang cantik itu tidak memiliki kawasan halaman atau ruang taman landskap. Ini dilihat mereka tidak menyediakan kawasan istirehat, tempat menjemur pakaian dan padi. Tentu sekali keadaan bangunan kediaman seperti ini terdedah kepada risiko tinggi akan kemungkinan berlaku kebakaran. Malah bahang api mudah merebak ke rumah-rumah papan yang lain dengan cepat. Apakah mungkin pekara ini terjadi disebabkan kelemahan atas kesan sekatan sekatan pemilikan tanah adat oleh mesyarakat disini. Ini tidak dapat dipastikan.
Saya juga ralat kerana tidak berkesempatan bersilaturahim dengan pemilik rumah untuk mereka mengizinkan saya memasuki serta melihat keadaan dalam rumah-rumah tradisional mereka. Saya ingin tahu dan melihat bagaimana Tukang membuat rumah yang berkemahiran tinggi itu membina bentuk ruang bilik air dan tandas kepada sesebuah rumah yang mendapat bekalan air paip. Dimana tempat kerja-kerja membasuh pinggan mangkuk, berwuduk dan berhadas.
Kami tiba di daerah Maninjau sudah agak lewat petang membawa ke waktu senja. Sibuk mundar mandir mencari hotel atau resort yang sesuai dengan harga yang berpatutan. Akhirnya membuat keputusan memilih Hotel Tan Dirih yang lokasinya di tepi jalan utama. Kebetulan pada masa itu tidak ramai penghuni menyewa di Hotel itu. Lebih menarik dinding tembok dan bangunannya terletak ditebing danau betul-betul menghadap permandangan luas saujana Danau Maninjau. Bilik airnya luas, disediakan sistem mandian air panas berserta long bathtub, sistem tandas duduk flush, juga disediakan getah paip untuk kemudahan urusan pembersihan ketika berhadas.
Masjid Ummilqura Bancah Maninjau permandangan waktu senja |
Masjid Ummilqura Bancah Maninjau selepas waktu Isyak |
Hari Kedua - Selasa (20 Mac 2018)
Maninjau - Lawang - Bukit Tinggi
Ketika tiba semalam saya telah melihat pada papan tanda di sebuah Masjid Ummilqura Bancah Maninjau siap dibina pada tahun 1907. Masjid ini telah menjadi tempat ibadah kepada masyarakat Islam di Maninjau hampir 111 tahun. Bermakna Masjid ini telah dibina pada zaman pemeritahan kolonial Belanda di Indonesia. Sepanjang tempoh 100 tahun itu tentu ramai para alim ulama tempatan telah menjadikan masjid ini sebagai pusat penyiaran syariat ugama islam demi kesinambungan ilmu Islam kepada masyarakat disini. Dengan sejarah dan jasa Masjid itu, bangunan itu telah di wartakan sebagai Cagar Budaya oleh Pemerintah Kabupaten Agam sejak tahun 2010 lagi.
Pada pandangan peribadi, jika diperhatikan sekali imbas pada senibina pembinaan bumbung bangunan Masjid Ummilqura, terdapat sedikit ciri-ciri persamaan dengan bumbung Masjid Tengkera di Melaka binaan tahun 1728. Mungkin secara kebetulan kedua masjid itu telah dibina semasa zaman pemerintahan Belanda dahulu. Tahun 1728 di negeri Melaka, Malaysia dan tahun 1907 di Maninjau Sumatera Barat.
Setelah jemaah melangsaikan tanggungjawab solat subuh, Masjid ditinggalkan sepi dan lenggang. Pada ketika itu saya tidak melepaskan peluang membuat rakaman setiap sudut senibina masjid tanpa sebarang gangguan. Apa yang menarik perhatian saya ialah lantai-lantai jubin di masjid ini memberi gambaran kepada saya, beginilah bentuk dan corak lantai jubin pada 100 tahun dahulu. Entah siapalah yang bermurah hati mengeluarkan modal pembinaan masjid besar seperti ini pada masa dahulu. Apakah dari wang yang dikumpul sumbangan penduduk tempatan atau mendapat biaya daripada pemerintahan Belanda.
Tiga kubah masjid berbentuk seperti " Payung Terbuka" menunjukkan perbezaan pada Masjid-masjid lain yang mempunyai kubah seperti "Bawang Terbalik". |
Bentuk lantai jubin masjid yang menggunakan corak 111 tahun dahulu. |
Ruang solat untuk lelaki dibahagian hadapan, manakala bidai berwarna biru adalah ruang solat untuk wanita. |
Terdapat 8 tiang konkrit yang dihias menarik. |
Pandangan dari atas Mimbar Masjid |
Pintu masuk |
Mimbar untuk Khatib membaca Khutubah. |
Jenis tingkap masjid yang masih elok dan berfungsi walau berusia 111 tahun. |
Ruang beranda Masjid di hias cantik dengan susunan jubin bentuk bunga. |
Keadaan Beduk yang elok dan masih berfungsi jikaau ia dipalu. Namun begitu ia sudah tidak digunakan lagi sekarang. |
Tingkap bilik Imam |
Bentuk-bentuk Jubin 100 Tahun Yang Ada Didalam Masjid Ummilqura Maninjau.
Ruang Solat Imam |
Deretan pingat-pingat yang dimenangi oleh anak-anak qariah Masjid dalam pertandingan setiap tahun di bulan Ramadhan. |
Kejohanan penyelengaraan Jenazah. |
Melihat permandangan kawasan di Maninjau.
Pulang dari Masjid Ummilqura, sarapan pagi telah disediakan oleh pihak pengurusan Tan Dirih Hotel. Bersarapan pagi di beranda sambil melihat permandangan Danau Maninjau yang luas tetapi pemandangan dicacatkan oleh sangkar-sangkar ikan ternak. Hujan pagi diwaktu itu agak lebat, sedikit sebanyak telah membantutkan pergerakan untuk melawat Muzium Kelahiran Buya Hamka. Sementara menunggu hujan berhenti sempat berbual dengan pemilik Tan Dirih Hotel. Beliau seorang yang bersikap terbuka, mempunyai pandangan-pandangan bernas serta matang. Banyak topik dibincangkan tentang hal ehwal masyarakat setempat dan keluhan beliau sebagai pengusaha perlancongan di Danau Maninjau.
9 atau 10 tahun dahulu Hotel Tan Dirih pada setiap hari akan sentiasa dikunjungi oleh pelancong samada dari negara jiran dan pelancong dari benua eropah. Tetapi sejak 5 , 6 tahun kebelakangan ini perusahaan perlancongan beliau telah menjunam jatuh sehingga 75%. Katanya kemerosotan kedatangan pelancong di sini adalah disebabkan keindahan Danau Maninjau sudah tidak seindah dahulu dan telah jauh berubah.
Peta Danau Maninjau ihsan Dari Tan Dirih Hotel |
Sesiapa sahaja yang rajin berusaha boleh menjalankan penternakan ikan didalam sangkar. Kerana Danau Maninjau adalah milik masyarakat setempat. Tidak ada satu badan kerajaan pemerintah yang mengawal selia Danau Maninjau itu. Maka peningkatan mendadak hingga terlalu banyak perusahaan penternakan ikan didalam sangkar dilakukan disekelililing Danau tersebut.
Sementara menunggu hujan berhenti bertukar-tukar pandangan |
Dulunya kualiti air disini sangat jernih tetapi kini telah berubah menjadi keroh kesan dari makanan ikan dalam sangkar. Ada juga pengusaha sangkar ikan membuang bangkai ikan-ikan yang mati didalam danau sebagai jalan penyelesaian yang mudah . Pembinaan rumah dan gerai ditebing-tebing Danau juga sedikit sebanyak membawa kesan kepada kualiti air. Semua air buangan di salur masuk ke dalam Danau.
Lama kelamaan kesan langsung itu berlaku, maka pada ketika itu suka atau tidak pengusaha-pengusaha bidang perlancongan kena tanggung kerugian itu. Walaupun beberapa kali sesi dailog penduduk tempatan telah diadakan untuk membincangkan penyelesaian masalah itu demi mendapat permaufakatan, namun begitu tetap menemui jalan buntu. Secara sinis Saudara Budi Wijaya mengeluarkan kenyataan , di Indonesia memang ada terlalu ramai orang yang pandai, cerdik dan bijaksana. Malangnya orang-orang bijaksana itu memilih tidak mahu maju bersama-sama. Kebijaksanaan mereka itu hanya dapat memajukan diri sendiri sahaja tidak kepada kemajuan kepada masyarakat.
Kualiti air sudah tidak jernih seperti dahulu dan sangkar ikan menjelekkan pemandangan. |
Sebagai Pengurus Operasi perniagaan milik keluarganya, Saudara Budi Wijaya sentiasa bermesra dengan pengujung dan pandai mengambil hati . |
Waktu pagi di Maninjau |
Hujan pagi membawa kabus tebal menutup pemandangan hutan dan kawasan tanah tinggi |
Pandangan dari Pasenteran Buya Hamka |
Pandangan dari jauh.. |
Melihat Hal Ehwal Masyarakat Minangkabau di Meninjau
Sukan Tradisi Masyarakat Minang di Sumatera Barat~ Olahraga Memburu Babi |
Menjunjung Guni Padi |
Bekerjasama memperbaiki laluan taliair untuk mengair tanaman padi |
Kumpulan petani sedang menuai padi |
Membawa lalang dan rumput untuk haiwan ternakan, |
Menghantar anak pergi kesekolah |
Pengembara Berbasikal |
Melawat Rumah Kelahiran Hamka Prof.Dr. Haji Abdul Malik Bin Syeikh Dr.Haji Abdul Karim Amrullah.
Buya Hamka sudah lama meninggalkan tempat kelahirannya di tanah Maninjau kerana pergi merantau menuntut ilmu. Sepanjang usianya beliau menyebarkan ajaran ugama Islam ke seluruh pelusuk Indonesia termasuk Semenanjung Tanah Melayu. Sehingga sekarang cahaya kegemilangannya membawa kesenangan kepada sanak saudara dan umumnya kepada masyarakat setempat di Meninjau. Adalah seperti tidak kena jikalau tidak ke sini setelah berada di Danau Maninjau. Jika dipandang memadai menonton sahaja di dalam Youtube.
Replika rumah Minangkabau itu dibina semula diatas tapak rumah keluarganya. Dalam rumah itu tergantung lukisan gambar Hamka, gambar-gambar lama yang dibesarkan kemudian di frame. Mesin taip lama, tongkat, katil besi serta bag lama peninggalan keluarga Hamka. Didalam almari kaca terdapat manuskrip tulisan miliknya. Saya tidak pasti status ketulenan manuskrip tersebut. Apakah ia sekadar manuskrip yand disalin cetak atau yang asal.
Namun begitu ada keistimewaan datang ke sini, yang tidak ada ditempat lain. Memiliki karya-karya novel dan cerpen tulisan Buya Hamka yang telah dibukukan. Dapatlah saya menambah koleksi Novel karya Hamka seperti Girah, Terusir, Berbohong Di Dunia dan Menunggu Beduk. Biar pun buku ini diulang cetak namun keutamaan pada saya ialah memiliki karya hasil buah fikiran Buya Hamka yang jauh , sulit lagi mendalam. Adalah sangat rugi jikalau ke sini, tetapi tidak mahu memiliki karya tulisan Hamka. Secara langsung Rumah Kelahiran Buya Hamka telah menarik perhatian masyarakat Nusantara untuk datang menghabiskan wang mereka kesini.
Replika rumah Minangkabau itu dibina semula diatas tapak rumah keluarganya. Dalam rumah itu tergantung lukisan gambar Hamka, gambar-gambar lama yang dibesarkan kemudian di frame. Mesin taip lama, tongkat, katil besi serta bag lama peninggalan keluarga Hamka. Didalam almari kaca terdapat manuskrip tulisan miliknya. Saya tidak pasti status ketulenan manuskrip tersebut. Apakah ia sekadar manuskrip yand disalin cetak atau yang asal.
Namun begitu ada keistimewaan datang ke sini, yang tidak ada ditempat lain. Memiliki karya-karya novel dan cerpen tulisan Buya Hamka yang telah dibukukan. Dapatlah saya menambah koleksi Novel karya Hamka seperti Girah, Terusir, Berbohong Di Dunia dan Menunggu Beduk. Biar pun buku ini diulang cetak namun keutamaan pada saya ialah memiliki karya hasil buah fikiran Buya Hamka yang jauh , sulit lagi mendalam. Adalah sangat rugi jikalau ke sini, tetapi tidak mahu memiliki karya tulisan Hamka. Secara langsung Rumah Kelahiran Buya Hamka telah menarik perhatian masyarakat Nusantara untuk datang menghabiskan wang mereka kesini.
Anak sepupu dan saudara mara kepada Buya Hamka. |
Di Kelok 44 - Terserempak Pengembara Berbasikal Dari Malaysia
Setelah memiliki buku novel Hamka, pengembaraan di teruskan menuju ke Puncak Lawang pula. Melalui kawasan tanah tinggi yang mendapat gelaran Kelok 44. Perjalanan melalui jalanraya sempit dikawasan tanah tinggi yang menegak tinggi , menurun yang curam dan berselekoh tajam. Kepada yang buat pertama kali dan tiada pengalaman akan menghadapi sedikit kesusahan untuk mengenderaani motosikal mereka. Sistem brek harus diurus tadbir dengan dengan cermat, jikalau tidak sistem brek akan menjadi panas dan tidak berfungsi. Keadaan ini akan mendedahkan si penunggang berhadapan dengan bahaya. Apakah sebab jalanraya disini direka bentuk keadaannya seperti itu? Adakah keadaan bentuk muka buminya, tidak memberi pilihan kepada arkitek pembinaan jalanraya mencadangkan bentuk jalanraya yang lebih selamat dan menjimatkan. Atau pun arkitek tidak mempunyai kepandaian dan pengalaman membentuk jajaran jalanraya yang lebih selamat. Atau pihak pemerintah tidak mempunyai keupayaan modal ketika pembinaan jalanraya.
Secara kebetulan terserempak kenalan Kembara berbasikal dari Malaysia di susur jalan Kelok 44. |
Singgah Ke Puncak Lawang
Tiba di kaki Puncak Lawang sudah petang antara jam 4:00 petang. Dalam perjalanan menuju ke puncak Lawang secara kebetulan saya bernasib baik telah ditemukan dengan Lotong endemik Pulau Sumatera iaitu Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai. Mereka berkumpulan antara 7 ke 8 ekor sedang leka memakan pucuk-pucuk daun pokok disitu. Pemerhatian tingkah laku Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai lebih kurang 30 minit sebelum mereka beredar masuk ke dalam kawasan hutan pergunungan disitu. Penemuan ini telah menambah koleksi spesis Lotong saya. Lebih mengembirakan lagi, saya berpeluang membuat pemerhatian spesies Lotong endemik Pulau Sumatera. Telah tersenarai dalam daftar merah sebagai 'Terancam Punah " oleh IUCN.
Perjalanan diteruskan hingga sampai di kemuncak Lawang.Bayaran masuk dan bayaran untuk letak motosikal juga dikenakan kepada pengunjung. Saya tidak pasti siapa yang mengutip bayaran yuran masuk. Samada yuran dikutip oleh pemilik tanah atau pihak pemerintah. Sepanjang melalui ke puncak kiri kanan dihidangkan permandangan kawasan lapang yang penuh dengan aktiviti pertanian. Antaranya tanaman padi, jagung, sayur-sayuran dan tebu. Keadaan seperti ini agak jarang saya lihat di Malaysia melihat tanaman tebu dan jagung ditanam subur dikawasan pergunungan tanah tinggi.
Cuaca berubah bersilih ganti dengan cepat, dimana dibahagian tanah danau matahari memancar terik tetapi di puncak Lawang pula mendung dan berkabus. Kabus berarak menutupi permukaan atas bahagian danau sehingga melindungi sebahagian besar permandangan kawasan tanah rendah. Kemudian cerah kembali dan berulang-ulang sehingga kita beredar dari puncak Lawang.
Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai.
Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai. |
Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai. |
Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai. |
Mitred Leaf Monkey ~ Sumateran Surili~ Presbytis melalopos~ Simpai. |
Pandangan dari Puncak Lawang |
Sebahagian permukaan air danau yang terkena pancaran matahari berkabus yang dapat dilihat dari Puncak Lawang. |
Permandangan dalam cuaca panas terik ketika kabus tebal . |
Setongkol jagung bakar manis dengan harga Rp7000 = RM2
Setongkol jagung bakar pedas tidak habis dimakan kerana rasanya yang tidak selesa
|
Puncak Lawang Ke Bukit Tinggi
Jam sudah menujukkan pukul 6:40 senja, perjalanan diteruskan lagi menuju ke Bukit Tinggi. Dalam cahaya matahari suram tidak banyak permandangan dapat dilihat. Disini jalanraya tidak ada lampu jalan, maka perhatian yang lebih harus bertumpu kepada jalanraya yang sempit dan berlecak. Untuk memastikan keselamatan diri, perjalanan tidak boleh laju disebabkan keadaan jalanraya tidak mempunyai garisan putih malah bentuk mukabumi menurun dan gelap gelita. Hanya mengharapkan lampu motosikal sahaja.
Dalam perjalanan terlihat sebuah rumah yang akan melangsungkan perkahwinan. Kami berhenti sebentar dan meminta izin untuk melihat persediaan istiadat masyarakat Melayu Minangkabau membuat persediaan perkahwinan.Dengan senang hati dan mesra Keluarga itu membenarkan kami melihat hiasan rumah malah menjemput kami datang ke majlis perkahwinan anak lelaki mereka dikeesokan harinya.
Bidai merah menyala dengan sulaman-sulaman benang emas berbunga berserta manik-manik berkilau memperlihatkan kesenian tinggi budaya masyarakat Minangkabau. Keseluruhan bahagian ruang tamu rumah termasuk lelangit rumah dihias dengan bidai merah dan warna emas. Pemilihan warna merah terang dan emas berkilau mirip kepada masyarakat keturunan Cina di Malaysia dalam istiadat menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Tiba di bandar Bukit Tinggi sekitar jam 9:00 malam, penginapan masih belum ditemui lagi. Setelah berpusing-pusing tanpa tuju hala disebabkan susur jalan yang asing, akhirnya bertanyakan kepada pemuda tempatan yang kebetulan berada ditepi jalan. Memandangkan kepada keadaan kami yang bermotosikal, penuh dengan beban bag pengembara. Beliau dengan ramah mesra dan bersantun menerangkan beberapa pilihan tempat menginap di Bandar Bukit Tinggi sesuai dengan budget kami. Kedua belah pihak saling ingin mengetahui antara satu sama lain. Bermula cuma ingin bertanya sehingga memakan masa lebih kurang 30 minit kami berbual mesra. Rupa-rupanya beliau adalah seorang pengarah filem terkenal di Indonesia.
Karya terbaharu beliau berjudul "Surau dan Silek" yang turut dibintangi oleh pelakon terkenal Malaysia iaitu Seniman Dato' Ahmad Tarmimi Siregar. Filemnya juga turut mendapat pandangan nasihat budaya dari Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Bin Yatim. Filemnya telah pun ditayangkan diseluruh dunia tetapi belum lagi di Malaysia. Sebab itu kami langsung tidak mengetahui akan beliau. Walaupun karyanya terkenal dipersada dunia namun begitu Saudara Arief Malinmudo dilihat selesa, bersahaja merendah diri, bersantun dengan pengembara yang baru dikenali beliau. Hendaknya Saudara Arief Malinmudo sentiasa menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Memandangkan masing-masing mempunyai hal peribadi penting yang belum selesai maka kami berpisah disitu. Entahkan bila lagi akan bersua kembali.
Saudara Arief Malinmudo Pengarah & Screenplay filem Surau & Silek. |
Hari Ke Tiga - Rabu (21 Mac 2018)
Bukit Tinggi - Malalak Selatan - Paya Kumbuh - Lembah Harau
Melihat permandangan kawasan sekitar ketika menuju ke Melalak Selatan
Selepas bersarapan pagi, bersiap sedia meneruskan pengembaraan menuju ke Melalak Barat. Bagi menyampaikan hasrat hati isteri yang beria-ia benar untuk mengunjungi Air Terjun Langkuik Tinggi. Beliau melihatnya di siaran Youtube dan membuat cariannya di Google. Laluan menuju ke Melalak Barat berbukit-bukau sama sepertimana di Genting Peres Kuala Kelawang. Jalanraya disini lebar dan kurang pengguna jalanraya. Permandangan menuju ke Melalak Barat juga menarik. Untuk memastikan kami sampai ketempat yang betul, beberapa kali berhenti bertanyakan hala tuju ke sana. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai kesana.
Helang Sewah Blyth~Spizaetus alboniger~ Blyth Hawk Eagle |
Menerokai hutan belantara untuk ke Air Terjun Langkuit Tinggi Melalak Selatan.
Sesampai di sana secara rambang membuat bertanyakan kepada seorang peniaga durian, bagaimana hendak ke Air Terjun Langkuit Tinggi. Beliau memaklumkan Air Terjun Langkuit telah ditutup kepada semua pengunjung sejak setahun yang lalu. Dari tempoh itu tiada seorang pun boleh memasuki ke Air Terjun tersebut. Terkejut mendengar maklumat penutupan itu, nampak gayanya sia-sia sajalah datang jauh dari Malaysia tetapi telah ditutup.
Setelah bersantun dengannya, lama kelamaan pemuda itu menyatakan sebab-sebab penutupan itu. Katanya Air Terjun Langkuit Tinggi itu terletak didalam kawasan tanah salah seorang penduduk disitu. Untuk menyampaikan ke lokasi Air terjun tersebut, haruslah melalui lagi tanah 6 orang pemilik tanah yang lain. Sebelum penutupan pengusaha perlancongan dari luar telah berjanji akan membayar yuran melintas kepada semua pemilik tanah. Malangnya pekara itu tidak dizahirkan secara tetap, ada kala ada dan adakala tidak, tetapi lebih kepada tidak untuk sekian lama. Keadaan itu menyebabkan pemilik-pemilik tanah tidak berpuas hati kerana hampir tiap-tiap hujung minggu dan hari cuti ramai pengunjung bersenang lenang bebas memasuki tanah pertanian mereka, tanpa membuat bayaran yang dipersetujui. Akhirnya pemilik tanah bersepakat tidak membenarkan orang awam melintas dan melalui tanah-tanah mereka.
Setelah mendapat tahu akan perkara sebenar, maka saya menyuruh pemuda itu memperkenalkan saya kepada pemilik-pemilik tanah. Apabila dapat berjumpa dengan mereka, kami menyatakan niat akan kedatangan ke Melalak Selatan. Setelah berbual menyantuni dan berbincang dengan pemilik tanah, akhirnya terbuka hati salah seorang daripada pemilik tanah untuk membawa kami ke air terjun. Sebagai balasan atas kesanggupan mereka, kami tiada halangan membayar sejumlah wang upah yang berpadanan untuk ke situ. Ternyata dengan bayaran itu kesemua pemilik tanah menerima bayaran yang saksama dan merasa senang hati.
Berjalan kaki untuk ke lokasi air terjun mengambil masa hampir kepada 2 jam setengah. Kami melintas kebun-kebun pertanian, kemudian dusun pokok kayu kulit manis , menyeberangi sungai air deras dan kawasan hutan berbukit-bukau. Dipermulaan berjalan telah menuruni kawasan yang sangat curam sehingga terpaksa menggenggam erat akar dan tumbuhan disitu. Jikalau tidak maka, akan jatuh menggelongsor ke bawah. Penutupan lokasi ini lebih dari satu tahun membuatkan sepanjang perjalanan kesana laluan trek hutan ditumbuhi dengan segala macam tumbuhan. Meredah laluan trek yang ditumbuhi dengan berbagai jenis tumbuhan melambatkan kelancaran kesana. Selepas itu sepanjang perjalanan hanya melalui di kawasan tebing-tebing batu sungai atau menyusuri sungai hingga ke hulu. Dalam perjalanan berikutnya kami melintas 3 atau 4 lokasi air terjun yang agak tinggi limpahan airnya.
Menonton didalam Youtube tidak sama sekali melihat dengan mata kepala sendiri akan kecantikan kawasan sekitar Air Terjun Langkuit Tinggi ini. Lokasi ini merupakan kawasan gaung berdindingkan batu-batu berlumut seperti kawasan yang terkepung. Air terjun mencurah dari kedudukan yang sangat tinggi jatuh menghempas batu batan mengakibatkan tempias seperti kabus diseluruh kawasan gaung terkepung itu. Dari jumlah air yang melimpah dari atas itu membuktikan terdapat sungai yang lebar dan panjang. Tentu sekali disitu tersorok sebuah tempat yang indah, menarik yang tidak dicemari oleh sesiapa. Adalah tidak cerdik jikalau sengaja meletakkan tubuh badan kita ke bawah hempasan air yang tinggi. Tentu sekali kepala kita akan terdedah kepada beban hentakan dan hempasan air dari tempat tinggi dalam jumlah yang banyak . Ini bakal akan mencederakan tulang leher individu itu.
Walaupun pada kedudukan 100 meter jarak daripada lokasi air terjun namun saya menghadapi kesukaran merakam imej kerana tempiasan dari air terjun itu terperecik melekat pada permukaan kaca lensa kamera. Lebih kurang 1 jam setengah, setelah puas menikmati permandangan dan merasa nikmat berada disitu. Tidak ada sebarang gangguan daripada pengunjung lain, seperti kawasan yang telah ditempah. Air Terjun Langkuit Tinggi merupakan anugerah alam semulajadi yang menjadi milik masyarakat tempatan disini. Sekiranya tidak ditadbir urus, tidak dijagai akan kebersihan maka ternyata pemiliknya itu adalah sangat kurang cerdik.
Melihat Hal ehwal Ekonomi Masyarakat Di Melalak Barat & Selatan
Perusahaan Kulit Kayu Manis.
Dalam perjalanan pulang ke Bukit Tinggi, berpeluang melihat perusahaan kulit kayu manis yang dusahakan oleh masyarakat di kawasan Melalak Barat dan Selatan. Disepanjang kiri kanan jalan kelihatan kulit kayu manis dijemur disepanjang jalan untuk dikeringkan. Setelah kulit getahnya kering barulah dikumpul, di asingkan mengikut gred, disusun kemudian diikat. Kemudian barulah ditimbang sebelum dimasukan kedalam guni untuk diambil oleh peraih kulit kayu manis atau menjualnya sendiri.
Perushaan Menjual Kayu Api
Setelah pokok kayu manis semua disiat dari kulitnya pokok itu akan ditebang sebelum ditanam semula. Batang kayu dan ranting yang ditinggalkan oleh pengusaha kulit kayu manis akan dipikul bawa pulang untuk dijadikan kayu api. Kemudian batang kayu akan dipotong mengikut panjang dan saiz yang sama untuk dijemur sehingga kering. Keratan kayu api itu kemudiannya disusun dan diletakan ditepi jalan untuk kemudahkan pihak yang menempah ( Pengusaha Restauran/ Hotel ) datang mengambilnya. Tukang masak hotel dan restauran sejak dari dahulu menggunakan kayu api ketika memasak lauk pauk istimewa makan mereka. Kayu api ini mengeluarkan bara api yang banyak dan sekata untuk satu tempoh yang lama. Bahan bakaran serta asap akan menambah rasa harum dalam masakan bakaran dari kayu manis. Pengusaha makanan sanggup membayar mahal untuk bekalan Kayu api dari batang kayu manis.
Bukit Tinggi Ke Lembah Harau
Setiba kami di Hotel menghampir jam 4:30 petang. Menguruskan pembayaran tambahan kerana lewat daftar keluar 4 jam (Rp110,000 = RM40. Lewat sejam pertama tidak perlu dibayar). Selesaikan solat, berkemas dan bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Lembah Harau. Dari pekan Bukti Tinggi melalui beberapa pekan kecil Batu Hampar, Paya Kumbuh barulah sampai ke distinasi seterusnya di Lembah Harau. Jam menunjukkan sudah pukul 9:00 malam. Dalam gelap masih merayau-rayau dan tertanya-tanya orang untuk mencari Abdi Homestay. Walaupun disini terdapat banyak rumah tumpangan dan resort tetapi Abdi Homestay juga yang menjadi pilihan ramai pelancong. Sungguhpun kedudukannya satu lapis dari jalan utama tetapi menjadi pilihan ramai pelancong kerana layanan, privarsi, kebersihan dan selesa. Setiba di sana pekerja homestay menyambut kami dengan mesra dan dihidangkan dengan Air Kopi sebagai selamat datang. Bernasib baik kerana masih tinggal satu homestay yang masih kosong (Rp150,000 = RM50). Dibenarkan kami terus masuk tanpa mendaftar dan membayar terlebih dahulu. Semua urusan itu boleh dilakukan ketika daftar keluar nanti.
Ruang Bilik yang lapang dan bilik air yang luas. |
Hari ke Empat - Khamis (22 Mac 2018
Lembah Harau - Batu Sangkar - Pagar Ruyung
Melihat sekitar Lembah Harau sebelah pagi sehingga 12:00 tengahari.
Awal pagi sudah keluar merayau-rayau mencari arah matahari terbit, untuk melihat warna cahaya menarik tetapi tidak kesampaian kerana cuaca mendung berkabus dan hujan. Mengelilingi keseluruh kawasan Lembah Harau untuk melihat bentuk mukabumi yang unik ini. Awal pagi memerhatikan saja masyarakat menjalani aktiviti harian mereka. Kelihatan ditengah sawah petani-petani berjalan diatas batas memeriksa tanaman padi mereka sambil menghalau burung-burung yang ingin memakan tanaman padi. Ibubapa menunggang motosikal menghantar anak mereka kesekolah dalam hujan renyai-renyai.
Mata leka melihat tumbuhan-tumbuhan unik dari berbagai jenis spesis tumbuhan yang melekat tumbuh pada permukaan dinding batuan. Disulam pula dengan lumut-lumut seperti hamparan permaidani hijau melekat pada dinding batuan. Terdapat beberapa batang anak sungai dari atas batuan tinggi air menjernih mencurah-curah terjun jatuh kebawah membentuk pemandangan air terjun yang menarik. Kabus pagi berarak menutup permandangan sebahagian atas batuan menambah keindahan alam semulajadi disini. Banyak rahsia hidupan liar yang belum dikumbah oleh para saintis dan pengkaji tentang yang hidup dihabitat kawasan batuan disini. Mungkin spesies ular, ikan, rama-rama, berbagai spesis serangga, spesis burung dan lain-lain.
Setelah puas berpusing menggelilingi kawasan Lembah Harau, saya merasa agak terkilan akan sikap pelancong dan sebahagian penduduk yang tidak pandai menjaga keindahan alam semulajadi yang istimewa ini. Bekas dan botol pelastik bersepah-sepah dimerata tempat mencacatkan permandangan kebersihan alam semulajadi. Air sungai jernih yang berpunca dari air terjun mengalir dikaki batuan dipenuhi dengan pelastik dan botol-botol plastik serta kaca. Dalam erti kata lain untuk kita melihat keindahan dan keunikan Lembah Harau hendaklah mendonggak keatas sahaja. Janganlah sesekali memandang apa yang ada diatas tanah, nanti berkecai jiwa orang yang sayang cintakan keindahan alam semulajadi.
Inilah wabak penyakit yang dihidapi oleh semua masyarakat dari dunia ketiga yang telah dianugerahkan oleh Allah keindahan alam semulajadi. Wabak penyakit yang sama juga dihidapi oleh sebahagian masyarakat dinegara saya . Sakit yang sangat susah untuk disembuhkan. Entah 50 tahun akan datang masih belum boleh dipulihkan. Pesakit ini sudah ada alasan jawapan yang sama biasa saya dengar. Katanya pihak pemerintah tidak menyediakan tong sampah untuk mereka membuang sampah. Mereka tidak disediakan tempat khas untuk membuang sampah. Sampah yang dibuang dalam tong sampah tidak dikutip secara berjadual sehingga haiwan liar seperti monyet, babi , anjing dan kucing mengumbah melambakan sampah. Bau busuk jijik, lalat berterbangan tidak diendahkan sehingga menjadi pandangan biasa. Tidak ada tanggungjawab sendiri dan hanya mengharapkan pemerintah datang menyelesaikan masalah mereka. Hiduplah mereka kekal dengan aman sentosa dipenuhi dengan sampah dimerata-rata tempat.
Aktiviti
Meneruskan Kembara ke Batu Sangkar dan Pagar Ruyung.
Jam 12:00 tengahari, selepas menyelesaikan bayaran sewa penginapan kami meneruskan pengembaraan ke arah Batu Sangkar kerana ingin melihat senibina Istano Basar Pagar Ruyung. Ketika melintas pekan Payar Kumbuh , seorang anggota Polis Trafik bermotosikal memintas motosikal kami dan mengarahkan kenderaan diberhentikan. Menurutkan sahaja kehendak anggota Polis Trafik tersebut. Seteleh berhenti beliau menghendaki saya menunjukkan dokumen penyewaan dan cukai jalan kenderaan. Sejurus hulurkan dokumen itu ke tangannya, beliau sertamerta beredar memecut membawa bersama dokumen kami. Dengan tidak menyatakan sepatah apa kata-kata arahan. Kebiasaan pengalaman seperti ini, memberi gambaran anggota polis menghendaki kami mengekori beliau dari belakang. Dengan tidak tahu selok belok lalu lintas disitu, saya cuba mengekorinya dari belakang, malangnya beliau memecut laju dalam keadaan lalu lintas sibuk sehingga hilang dalam pandangan.
Mujur dalam perjalanan saya terlihat seorang anggota polis trafik yang lain, sedang bertugas ditepi jalan. Memaklumkan permasalahan yang dihadapi kepadanya. Setelah mendengar permasalah tersebut, lalu beliau membawa saya Balai Polis. Sesampai disana anggota polis yang membawa dokumen sudah tercegat diatas kerusi sambil buku saman diatas mejanya. Beliau mendakwa saya telah melanggar peraturan lalu lintas semasa melalui di sebuah bulatan jalanraya.
Agak lama juga memberi penjelasan kepada beliau supaya memberi kelonggaran, tidak menyaman keatas kesalahan yang saya sendiri tidak tahu atau disengajakan. Akhirnya atas belas ehsan dan budi bicara beliau, saya dilepaskan tanpa sebarang dakwaan atau pun dikenakan saman. Episod membuang masa yang pelik ini sedikit sebanyak memberi pengalaman menarik sebagai pengembara.
Selepas itu meneruskan perjalanan melalui kawasan pergunungan yang menghala ke Batu Sangkar. Hujan mulai turun menyebabkan saya mencari tempat berteduh di sebuah gerai menjual burung-burung liar. Bersilaturahim dengan pemilik gerai sambil mendengar kisah-kisahnya memikat dan menangkap burung. Usaha ini adalah mata pencarian sepenuhnya yang telah dijalankan 5 , 6 tahun lalu. Permintaan yang tidak putus daripada masyarakat tempatan membolehkan beliau meneruskan kehidupan dengan sederhana. Kerjayanya ini telah membebaskan keluarga daripada meminta-minta atau mencuri.
Magpai Hijau~Cissa chinensis~Green Magpai dan Khukhu Sayap berangan~Clamator coromandus~Chesnut winged Cuckoo, |
Memang telah menjadi budaya turun temurun masyarakat disini menangkap dan menjual burung-burung liar. Maka tidak hairanlah aktiviti itu dilakukan secara terang-terangan. Mungkin disini pihak pemerintah tidak melindungi hidupan liar dibawah akta perlindungan hidupan liar, sepertimana di Malaysia.
Kelopak Dahi Baldu~Sitta frontalis~Velvet-fronted Nuthatch dan Nuri import. |
Sambar Indigo~ Eumyias indigo~Indigo Flycatcher, |
Terdapat beberapa spesis burung yang sukar dijumpai di Semenanjung Malaysia. Tetapi mudah dijumpai didalam sangkar-sangkar disini seperti :-
1.Magpai Hijau~Cissa chinensis~Green Magpai,
2.Khukhu Sayap berangan~Clamator coromandus~Chesnut winged Cuckoo,
3.Sambar Indigo~ Eumyias indigo~Indigo Flycatcher,
4.Sambar Ekor-putih~Cyornis concretus~White and tailed Flycatcher ( Sepasang )
5.Tit Bakau~Parus major~Great Tit,
6.Sibia Ekor panjang~Heterophasia picaoides~ Long tailed Sibia,
7.Mata Putih Everetts ~ Zosterops everetti~Everett White Eye
8.Kelopak Dahi Baldu~Sitta frontalis~Velvet-fronted Nuthatch,
9.2 ekor anak burung Srigunting Sumatera~Dendrositta occipitalis ~Sumatera Treepie ,
10.beberapa ekor spesies Burung Kaka tua import dan
11.anak Musang Pulut~Paradoxurus hermaphroditus~Common Palm Civet.
Tit Bakau~Parus major~Great Tit, |
Sambar Ekor-putih~Cyornis concretus~White and tailed Flycatcher ( Jantan ) |
Burung-burung ini ditangkapnya sendiri dikawasan hutan kaki Gunung Merapi dengan menggunakan denak dan cecair getah. Perusahaan ini memang mendapat sambutan ramai dikalangan penduduk tempatan. Kebanyakan burung-burung ini dibela atas tujuan untuk mendengar bunyi kicaunya sahaja. Antara burung yang mempunyai nilai harga yang tinggi ialah Sambar Ekor-putih~Cyornis concretus~White and tailed Flycatcher dengan harga RM 90.00.
2 ekor anak burung Srigunting Sumatera~Dendrositta occipitalis ~Sumatera Treepie |
Sambar Ekor-putih~Cyornis concretus~White and tailed Flycatcher ( Betina ) |
Melihat Senibina Kediaman Pembesar Minangkabau Di Batu Sangkar & Pagar Ruyung
Setelah hujan berhenti meneruskan lagi perjalanan menghala ke Pagar Ruyung dan sampai pada jam 3:00 petang. Setibanya disana saya dapati terlalu ramai pelancong sedang melawat Istano Besa Pagar Ruyung. Dengan keadaan lalu lintas sesak dengan kenderaan pelancong dan orang ramai disitu maka saya membuat keputusan akan kembali semula pada awal pagi esok nanti.
Lagi pun disepanjang kiri kanan jalan ke Batu Sangkar dan Pagar Ruyung memang terdapat beberapa rumah gadang yang cantik senibina halusnya. Untuk menikmati dan melihat senibina halus pada saya harus tenang dan tidak tergesa-gesa. Pada petang ini memberi tumpuan melihat rumah-rumah gadang yang berada di kiri kanan jalan, sementelah ianya percuma tanpa bayaran.
Petang itu sempat melihat 3 buah gadang yang memang menarik pembinaannya. Entah siapalah pemilik rumah tersebut. Melihatkan hasil kerja dan perinciannya memanglah cukup hebat kumpulan tukang pembuat rumah-rumah itu. Tidak pernah saya melihat dengan mata kepala kesenian rumah-rumah seperti ini sepanjang hidup. Memang senibina pertukangan masyarakat Minangkabau cukup tinggi dan terbaik didunia.
Istano Silinduang Bulan
Rumah Pembesar Minangkabau B
Rumah Gadang Pembesar Minangkabau C
Bermalam Di Hotel Yoherma, Batu Sangkar
Tayar Motosikal Bocor
Selepas melihat senibina rumah-rumah Minangkabau terus ke pekan Batu Sangkar untuk mencari tempat penginapan. Akhirnya membuat keputusan menginap di Hotel Yoherma yang terletak berhampiran dengan jalan utama untuk ke Pagar Ruyung.
Ketika ingin keluar makan malam, saya mendapati tayar belakang motosikal kempis tayarnya. Pada waktu malam begini dimana hendak mencari kedai motosikal yang masih beroperasi lagi. Bertanyakan kepada orang tempatan, ditunjukannya tempat menampal tayar. Diwaktu malam masih ada kedai yang menawarkan perkhidmatan menukar tiub tayar. Sampai disana saya menyuruh foreman itu membuat pemeriksaan tayar yang dipercayai bocor. Saya katakan kepada beliau sekiranya tiub tayar itu bocor dan masih boleh ditampal, sila tampal. Sekiranya tiub itu tidak boleh ditampal silalah tukar tiub.
Setelah diperiksa foreman itu menyatakan kepada saya " Benen " sambil menunjuk tempat yang bocor itu. Mendapati tiub itu bocor saya menyatakan sila tampal atau tukar tiub tayar. Tetapi beliau menyatakan "Benen " Benen" dengan ditinggikan suara dan menunjukkan riak muka yang tidak puas hati. Dalam hati saya tertanya-tanya apa masalah foreman ini, jika bocor tampal atau tukar saja la. Kita tidak ada masalah untuk membayarnya kerana esok saya ingin meneruskan pengembaraan.
Foreman itu masih tidak puas hati dan mengulangi perkataan " Benen " ! Saya syak Foreman Minang ini tidak faham bahasa Indonesia/Malaysia. Mujur ada 2 orang pemuda tempatan disitu dan memohon bantuan mereka menerangkan apa yang saya maksudkan. Supaya tampal bocor atau tukar sahaja tiub yang bocor. Pemuda itu bercakap dalam bahasa Minang akan kehendak kita. Juga menerangkan maksud Benen itu. Maksud Benen di Sumatera Barat adalah Bocor. Setelah itu baru, sebab itu Foreman itu mengulang-ulang perkataan 'Benen" kepada saya. Dalam waktu yang sama, dia pulak tidak faham akan maksud Bocor itu. Setelah diberi penerangan oleh jurubahasa barulah Foreman itu faham dan ia tersipu-sipu langsung menjalankan terus kerja-kerja menampal.
Pengalaman baharu dapat melihat bagaimana foreman menampal tiub yang terkena bocor dikawasan tempat tampalan lama. Kaedah tampalan disini adalah dengan membakar getah tampalan kemudian dihimpit ketat buat satu masa. Kesan tampalan bocor telah menjadi sekata dengan getah tiub tayar. Hebat.
Untuk perkhidmatan "Benen" di waktu malam upahnya adalah RM3.00 sahaja (Rp10,000). Selepas semua masalah selesai barulah senang mencari kedai makan untuk makan malam.
Hari Ke Lima -Jumaat (23 Mac 2018)
Batu Sangkar - Pagar Ruyung - Solok
Pemilik Basikal Kecik
Di Batu Sangkar saya melihat seorang pelajar sedang menunggang basikal ke sekolah. Basikal yang dikayuhnya itu terlalu rendah jika dibandingkan pada ketinggian pelajar tersebut. Saiz basikal itu lebih rendah daripada saiz basikal BMX dan tidak mempunyai sistem brek. Setelah berbual dengan Renaldi @ Asep, barulah saya ketahui di sini memang ada kumpulan basikal bentuk seperti itu. dikenali sebagai WINCYCLE. Katanya basikal BMX sangat mahal dan sukar diperolehi maka mereka mencari basikal terbuang lalu membentuk sendiri mengikut kehendak cara penggunaan masing-masing.
Katanya di kalangan kumpulan mereka, sewaktu pulang dari sekolah atau pada hujung minggu mereka akan menunjukkan kebolehan masing-masing bersaing dengan kumpulan Basikal BMX. Akan menjadi kepuasan jikalau dapat membuat aksi-aksi berani, menarik seterusnya mengalahkan kumpulan BMX.
Sebagai persediaan meningkatkan tahap stamina, setiap hari beliau berkayuh sejauh 5 kilometer ke sekolah yang ditemani oleh teman sekolahnya yang menunggang motorsikal. Semoga beliau berjaya menjadi apa yang diinginkan. "Make Things Happen".
Renaldi @ Asep sedang menunggu temannya untuk sama-sama ke sekolah. |
Sambil adik Renaldi @ Asep menunggu beliau bersilaturahim seperti seorang yang matang. |
Beraksi |
Istano Basa Pagar Ruyong
Seawal jam 8:00 pagi kami telah sampai di hadapan Istano Basa Pagar Ruyung. Tiket untuk warga asing adalah Rp25,000 = RM7 seorang. Terdapat sekumpulan pelancong dari Aceh yang sudah selesai melawat sekitar. Kawasan di hadapan istana lengang. Peluang seperti ini bukan senang diperolehi memandangkan Istana ini sentiasa tidak putus-putus dikunjungi oleh pelancong luar dan tempatan. Kami menghabiskan masa di dalam Istano Basa Pagar Ruyung hampir selama 2 jam tanpa ada pelancong lain. Terasa seolah-olah menjadi Raja pada tempoh 2 jam itu.
Lagikan Rumah Gadang di sepanjang jalan sudah cukup hebat seni pembinaan halusnya inikan pula Istano Basa Pagar Ruyung. Pada saya pembinaan istana ini adalah menjadi kayu pengukur tertinggi kepada hasil senibina pembinaan Istana atau rumah oleh masyarakat Minangkabau di dunia.
Tidak ada seinci pun bahagian bangunan tidak dihias, malah permukaan yang telah terhias dengan motif-motif ditutup dengan hiasan-hiasan lain. Keadaan ini membuktikan betapa melimpah ruah banyaknya senibina halus yang dimiliki oleh masyarakat Minangkabau. Ketelitian dan perincian yang dimiliki oleh pakar mereka cukup tinggi. Tidak kira dari bidang ukiran, mewarna, tenunan, sulaman, hias manik dan seni hiasan dalaman. Masyarakat Minangkabau mempunyai kemahiran tinggi bidang seni yang lengkap dan melengkapkan.
Walaupun bangunan Istana ini merupakan sebuah muzium namun timbul tandatanya dimanakah kamar mandi dan tandasnya. Teruja ingin melihat seni hias kamar mandi dan hiasan tandas yang disediakan untuk Yang Dipertuan Sultan. Mungkin bangunan itu terlalu besar sehingga saya terlepas pandang untuk melihatnya.
Saya mendapati pihak pengurusan bangunan muzium Istana telah terlepas pandang akan melaksanakan penyelenggaraan secara berjadual kepada bangunan yang gah dan hebat ini. Dimana tumbuhan-tumbuhan telah mulai hidup dengan subur dibahagian atap Muzium Istano Basa Pagar Ruyung. Jika dibiarkan lama kelamaan bumbung atap akan mencacatkan permandangan bangunan seterus rosak.
Kincir Kembar Tiga
Melawat Sistem Pengairan Tanaman Zaman Belanda
Selesai melawat Istano Basa Pagar Ruyung kami pulang ke Hotel di Batu Sangkar untuk berkemas sebelum keluar meneruskan lagi pengembaraan menuju ke pekan Padang. Dalam perjalanan ke sana sempat singgah melihat sistem penairan tanaman zaman pemerintahan Belanda yang masih elok beroperasi. Kawasan pertanian yang penuh dengan tanaman padi yang sedang menghijau dan menguning. Di antara bendang itu mengalir sebatang sungai yang airnya jernih mengalir deras.
Kelihatan disepanjang kiri kanan tebing sungai terdapat binaan beberapa buah kincir air bersaiz kecil dan 3 buah kincir air besar berpusing perlahan tanpa henti. Ternyata buah fikir dan pembinaan Kincir Air yang diilhamkan oleh orang-orang Belanda dahulu telah banyak memberi jasa kepada penduduk tempatan. Ciptaan warga belanda yang telah memberi manfaat yang besar secara berpanjangan kepada masyarakat petani di Sumatera Barat ini. Berbahagialah orang yang telah bersusah payah memerah keringat semasa mengambil bahagian, ketika pembinaan Kincir Air ini. Mereka itu terus menerus menerima balasan kebaikan dari Allah selagi arus air sungai mengalir memusingkan Kincir Air itu.
Melawat Rumah Tua Kampai Nan Panjang.
Kedudukan Kincir Kembar Tiga tidak jauh daripada lokasi Rumah Tua Kampai Nan Panjang yang terletak di Desa Balimbing. Terlanjur melalui jalan yang sama maka saya singgah sebentar melawat rumah tradisi ini. Rumah Tua yang berusia lebih kurang 350 tahun ini masih tetap utuh walaupun didirikan hanya menggunakan kayu-kayan dan buluh sahaja. Kewujudan rumah ini adalah bukti nyata yang tidak boleh disangkal akan kepakaran dan kehebatan tukang-tukang membuat rumah masa lampau.
Pembinaan rumah ini didirikan dengan menggunakan kaedah pasak dan selak, tanpa menggunakan sebatang paku. Ia dibina dengan peralatan pertukangan tradisional sahaja. Kaedah pembinaan rumah secara pasak dan selak memerlukan kepakaran mengukur. Ukuran dan tebuk pada kayu-kayu harus tepat jikalau tidak pemasangan tidak dapat dilakukan.
Berehat Petang Di Danau Singkarak
Jam 6:30 petang tiba di Danau Singkarak, perjalanan hendak ke pekan Padang masih jauh lagi. Membuat keputusan berhenti sebentar berehat untuk mengalas perut di sebuah Restaurant Minang yang terletak ditebing Danau Singkarak. Sambil menjamu selera memerhatikan permandangan waktu petang dan aktiviti harian masyarakat disekitar Danau Singkarak. Selepas selesai azan Maghrib menyambung semula perjalanan menuju kearah Padang. Sepanjang jalan tidak putus-putus gerai perniagaan didirikan. Keadaan lalu lintas sangat sibut, banyak kenderaan berat seperti berlumba-lumba menggunakan laluan yang sempit dan berkelok-kelok. Keadaan bertambah mencabar apabila menunggang motosikal dengan tidak ada lampu jalan dan tidak ada garisan jalan.
Budaya menghidangkan segala menu yang ada. Kita bayar apa yang dimakan sahaja. |
Sekuntum Bunga Sumatera Barat Yang Mengharum.
Silaturahim Di Pekan Solok
Ketika sampai di pekan Solok, isteri saya mengadu badannya sudah keletihan dan merasa sangat mengantuk. Pada waktu itu jam menunjukkan sudah menghampiri jam 10:00 malam. Pekan Solok masih sibuk dengan aktiviti perniagaan. Lalu lintas disini cukup sesak dengan motosikal yang simpang siur bertali arus. Berhenti disebuah kiosk ditepi jalan bertanyakan kepada seorang remaja perempuan, akan jalan menghala ke Kota Padang serta jarak jauh kesana. Dari cara loghat pertuturan kami, remaja itu mudah mengecam bahawa kita pengembara yang berasal dari Malaysia.
Remaja itu menasihati kami supaya bermalam sahaja di Kota Solok kerana perjalanan ke Kota Padang masih jauh dianggarkan lebih kurang 60 ke 70 kilometer lagi. Keadaan jalanraya kesana akan melalui banyak selekoh tajam , permukaan jalan yang mendonggak tinggi dan menurun yang sangat curam. Tambahnya lagi banyak kenderaan berat melalui jalanraya disitu yang tidak disediakan lampu jalan.
Secara suka rela remaja itu menawarkan dirinya untuk menunjukkan beberapa lokasi penginapan yang ada di Kota Solok. Dihidupkan enjin motosikalnya dan menyuruh saya mengekorinya dari belakang. Penginapan pertama yang ditunjukannya tidak menarik minat saya. Kemudian dibawanya kelokasi yang ke dua, tidak jauh dari situ. Memilih sahaja Hotel ini kerana Isteri saya sudah penat dan mengantuk.
Setelah urusan pendaftaran selesai, Remaja itu menawarkan bantuan untuk mengiringi kami ke Kota Padang melalui laluan yang tidak berbukit-bukit dan lebih selamat. Berbanding laluan yang hendak saya lalui menurut bacaan dari peta yang kita bawa. Beliau juga ingin menunjukkan tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sepanjang perjalanan ke Kota Padang. Setelah perjanjian dibuat yangkita akan berjumpa esok pagi Remaja itu meminta diri.
Setengah jam kemudian Remaja itu datang kembali menemui kami di Hotel dengan sebungkus " Martabak Minang" dan diberikannya kepada kami. Perbuatan Remaja itu terhasil dari gerak fikirnya yang murni, iaitu untuk memberi ke-ringanan kepada pengembara, yang baru sahaja sampai ke Kotanya. Dengan niat baik, dia menjangkakan mungkin kami masih belum makan malam, sementelah banyak kedai-kedai sudah di-tutup. Usaha Remaja itu begitu menyentuh hati dan meninggalkan kesan kepada saya. Langkah buah pukulan adab santunnya hanya dapat disambut dengan ucapan terima kasih sahaja.
Sepertimana yang dijanjikan kesokan harinya Remaja itu telah datang ke Hotel penginapan. Atas dasar timbang rasa, saya mengambil keputusan untuk tidak menyusahkan lagi Remaja itu. Bantuan dan adab kesopanan yang diterima sudah cukup menyenangkan. Tidak perlulah Remaja itu menambah susah kepada dirinya lagi, kerana urusan ke Kota Pandang melalui mana-mana laluan bukan menjadi kesusahan kepada saya. Mempersilakan remaja itu menjalankan urusan peribadinya dan berpisahlah kita disitu. Entahkan bila lagi kita akan bersua untuk bersilaturahim. Hanya usaha dan takdir sahaja akan mempertemukan kita dimasa hadapan.
Dipihak kami , tidak ada buah tangan lain yang sesuai untuk mengimbangi santunnya sebagai tanda ingatan yang dapat diberikan kepadanya. Maka ketika bersalaman perpisahan isteri saya memberi sejumlah wang dengan niat membantu Remaja itu membeli peralatan senilukispelajaran kuliahnya di Universiti. Ditolaknya pemberian kami itu dengan sopan dan dipihak kami mati langkah terpaksa menghormati kesungguhannya untuk menzahirkan KEIKHLASAN masih wujud. Melaksanakan bantuan kebaikan tanpa mengharapkan sebarang balasan dalam bentuk kebendaan yang membawa kepada keuntungan.
Remaja ini bernama Cik Sufrida Rizke, beliau adalah seorang mahasiswi yang sedang mengikuti kursus dalam jurusan Senilukis di sebuah Universiti tempatan di Padang Panjang, Sumatera Barat. Pada setiap hujung minggu atau cuti semesta beliau akan segera pulang ke rumahnya di Kota Solok, untuk membantu Ibunya berniaga. Cita-citanya ingin membebaskan beban kehidupan yang sedang dipikul oleh ibubapanya. Berazam dan belajar bersungguh-sungguh wahai Cik Sufrida Rizke, nanti Allah memberikan ilmu seni dan kemahiran melukis seperti seniman sepertmana Pelukis lagenda Indonesia iaitu Raden Saleh.
Sekuntum Bunga Sumatera Barat Yang Mengharum. |
Hari Ke Enam - Sabtu (24 Mac 2018)
Aktiviti
Perjalanan dari Solok ke Padang dan Bendara.
Hari ini hari terakhir berada di Sumatera Barat, dimana saya ada 2 perkara penting harus diselesaikan sebelum meninggalkan Sumatera Barat. Pertama harus menzahirkan perjanjian memulangkan motosikal sewa pada jam 2:00 petang sebelum menyelesaikan urusan di Lapangan Terbang. Merangkakan akan masuk ke balai berlepas pada jam 4:00 petang. Sebelum meninggalkan Hotel, Cik Sufrida Rizke datang sekali lagi bersama Bondanya baru pulang dari pasar di Paya Kumbuh. Bersilaturahim mesra walaupun cuma sebentar sebelum mengucapkan selamat berpisah. Selepas itu barulah kami memulakan perjalanan ke Kota Padang.
Laluan menghala ke Kota Padang agak mencabar kepada penunggang motosikal berpengalaman kerana bentuk muka bumi pada jalanraya yang berbukit sangat curam serta berselekoh. Banyak kenderaan menggunakan laluan ini terutamanya kenderaan berat. Pemandunya pula seolah-olah seronok berlumba-lumba dan gemar memintas kenderaan lain dengan berani.
Setiap kenderaan berat harus mengerakkan kenderaan mereka pada kelajuan 10 ke 20 kmj sahaja. Sambil menekan brek secara berulang-ulang sepanjang menuruni bukit. Sistem brek harus sentiasa berada dalam keadaan baik. Jikalau tidak, kenderaan mereka akan mengelongsor laju melajak ke bawah dan hilang kawalan kerana keadaan jalanraya yang terlalu curam. Ada beberapa kenderaan berhenti ditepi jalan untuk menyejukkan sistem brek kenderaan mereka yang kepanasan.
Di beberapa kawasan selekoh-selekoh tajam berkumpul orang-orang yang memberi bantuan kepada pemandu-pemandu lori triler. Mereka menolong menghentikan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan, untuk Triler boleh melepasi kawasan selekoh tajam. Dengan bantuan itu mereka mendapat upah daripada pemandu Triler.
Dilaluan ini juga saya merasai pengalaman dari dekat cara dan budaya pemandu masyarakat setempat. Samada pemandu di sini memang terlalu cekap dan mahir mengawal kenderaan mereka, atau mereka terlalu berani mengadai nyawa diri sendiri dan tidak mempedulikan pengguna jalanraya yang lain. Atau pemandu disini terlalu kurang cerdik membuat penilaian antara nyawa dan sampai ke distinasi.
Mungkin orang luar yang tidak pernah melihat keadaan seperti ini akan berpendapat sebegitu, namun pada masyarakat tempatan yang setiap hari melihat keadaan seperti yang digambarkan, itu seperti biasa-biasa sahaja. Apa yang penting semua pengguna jalanraya selamat sampai ke distinasi masing-masing dengan pantas.
Objek Wisata Taman Hutan Raya Bung Hatta
Dalam perjalanan ke Kota Padang terlihat kawasan hutan yang sangat luas dan masih tidak dicemari oleh perladangan kelapa sawit dan pembalakan. Berhenti untuk menyejukkan sistem brek motosikal sambil memburung. Malangnya kawasan Taman Hutan Raya Bung Hatta yang kaya dan tidak tercemar itu lenggang tidak ada seorang penggunjung pun. Sedangkan pada hari itu ialah hujung minggu.Trek untuk memburung seperti sudah lama tidak dikunjungi oleh pelawat. Mungkin tidak masyarakat disini sudah terlalu biasa dengan permandangan alam disini. Maka mereka tidak hairan akan ini semua. Disebabkan kesuntukan masa perjalanan diteruskan untuk sampai ke Kota Padang mengikut masa yang dirancang.
Ketika 5 atau 6 kilometer dari Kota Padang berlaku kesesakan lalu lintas yang agak teruk. Kesesakan disebabkan oleh sekatan pemeriksaan jalanraya oleh kumpulan Polis Trafik Indonesia. Lori, kereta dan motosikal berhenti ditengah jalanraya. Ada juga kumpulan kenderaan berhenti berkumpul ditepi jalan jauh dari sekatan kerana mengetahui akan kesalahan masing-masing. Mereka sanggup menunggu sehingga sekatan jalanraya itu tamat. Tidak ada sebab untuk kita berhenti, maka meneruskan menunggang motosikal mencelah-celah diantara kenderaan lain. Sampai di hadapan Pegawai Trafik mengarahkan motosikal saya berhenti. Menurut sahaja kehendak pegawai itu untuk beliau membuat pemeriksaan.
Satu-persatu dokumen hendak diperiksanya, surat penyewaan motosikal, permit cukai jalan, kad pengenalan, passport, dan lesen memandu. Memandangkan dokumen kami semuanya lengkap beliau meminta pula Lesen Menandu Antarabangsa. Nah..Memang dokumen itu tidak dimiliki oleh saya. Pegawai tersebut menyatakan itu satu kesalahan jalanraya kepada mana-mana pelancong yang memandu tanpa lesen antarabangsa. Maka dibawanya semua dokumen itu ke kenderaan untuk Pegawai lain untuk mengeluarkan saman dan merampas motosikal.
Ada 5 orang pesalah warga tempatan yang sedang berbaris menunggu saman dikeluarkan kepada mereka. Jam menunjukan pukul 12:30 tengah hari, perjanjian dengan pemilik motosikal ialah pada pukul 2:00 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau. Pegawai Trafik menasihati kami memaklumkan kepada pemilik kenderaan untuk menuntut motosikalnya di Balai Polis Trafik Kota Padang. Kami berdua akan dihantar ke Lapangan Terbang menaiki kenderaan Polis Trafik bila semua operasi mereka selesai. Jikalau begitu keadaannya, saya menjangkakan semua perjanjian akan ingkar dan saya akan terlepas penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Terpaksa pula membeli tiket jadual penerbangan berikutnya itu pun jikalau ada kekosongan.
Memang saya ketahui perkara ini adalah salah satu ilmu yang harus dilalui, dan bagaimana saya merangka strategi sebagai jalan penyelesaian. Pada saya, pekara ini bukan melibatkan keadaan nyawa terancam , antara hidup atau pun mati. Cuma-cumanya sekadar sedikit tambahan wang harus dibazirkan untuk membeli tiket kapalterbang. Memandangkan sudah kesuntukan masa dan keadaan juga sudah mulai genting, maka saya menekan butang bantuan.
Sejurus itu pegawai trafik yang menahan saya itu datang dari belakang, sambil mengeluarkan kenyataan " I will help You" . Beliau bertanya, berapa banyak dokumen yang ada dalam simpanan polis trafik kemudian dia mencari menyelak dokumen yang terkumpul diatas meja. Tanpa sebarang soal bicara beliau terus memulangkan semua dokumen penting dan menyuruh menyemak kembali untuk memastikan semua dokumen penting telah diterima. Lalu Pegawai Trafik tersebut mengiringi kami ke lokasi motosikal dan membuat tabik hormat sambil senyum menasihatikan sentiasa berhati-hati di jalanraya dan selamat pulang ke tanahair. Alhamdulilah..segala puja dan pujian kepada Allah.
Perjalanan dari Kota Padang dan Bendara.
Memecut laju menghala ke arah Kota Padang, sampai di sana berlaku kesesakan jalanraya yang agak teruk. Mujur berpengalaman menunggang motosikal didalam kesesakan jalanraya di Kuala Lumpur banyak memberi kelebihan. Telah sampai ke Lapangan Antarabangsa Minangkabau pada jam 1:30 petang. Memandangkan perjanjian waktu pemulangan motosikal masih panjang lagi, maka kami berhenti disebuah Madrasah berhampiran dengan Lapangan Terbang.
Ketibaan kami di Madrasah itu disambut oleh seekor anjing dan seorang kanak-kanak lelaki. Suasana begini terlalu jarang berlaku di Malaysia, mungkin disini anjing belaan adalah dianggap sama seperti seekor kucing di Malaysia. Maka suasana janggal yang dilihat disini adalah pandangan biasa di Sumatera Barat. Sebelum pulang selesaikan terlebih dahulu segala tanggung jawab peribadi disitu. Sambil itu menyusun semula barang serta pakaian dengan kemas didalam bag.
Setia menjaga Madrasah |
Sepertimana yang telah dijanjikan Saudara Tono telah datang tepat pada waktunya, untuk mengambil semula motosikal sewa daripada kami. Saya menasihatinya supaya beliau memeriksa terlebih dahulu keadaan motosikal.Setelah berpuas hati masing-masing mengucapkan terima kasih dan sama-sama beredar.
Jejantas menghala ke pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Bendara. |
Bergegas masuk ke balai berlepas, dan menunggu sehingga jadual penerbangan yang telah ditetapkan oleh Syarikat Penerbangan Air Asia pada jam 4:00 petang tiba. Sejam kemudian penumpang ke Kuala Lumpur masih menunggu dibilik berlepas kerana Kapal Terbang masih belum dibenarkan mendarat atas sebab cuaca hujan yang sangat lebat. Suka atau tidak terpaksalah menunggu. Shukur
selamat sampai di Lapangan Terbang KLIA 2 , walaupun terlewat mengikut jadual.
Alhamdulilah pengembaraan pada kali ini sentiasa mendapat keselesaan dan bantuan daripada hari pertama di Lapangan Terbang hinggalah hari terakhir pengembaraan. Penerimaan mereka terhadap warga Malaysia cukup menyenangkan. Santun dalam bersilaturahim yang ditunjukan oleh Saudara Tono, Saudara Budi Wijaya Hotel Tan Dirih, Sutradara Arief Malinmudo , Pemilik Tanah di Melalak Selatan, Cik Sufrida Rizke , Adik Renaldi @ Asep dan semua orang-orang yang dijumpai ditepi jalan untuk bertanya arah perjalanan, kakitangan Resort Abdi Lembah Harau, Hotel Starli Bukit Tinggi, Hotel Yoherma Batu Sangkar, kedai-kedai makan ditepi jalan. Diucapkan ribuan terima kasih. Wasalam.
Syukur Alhamdulilah perjalanan bapak Rosla Dan ibu selamat semua nya. Seronok sekali dpt membaca kesah perjalanan bapak bersama gmbr2 yg menarik. Semacam rasa bersama Sama saja. Tk diatas perkongsian ini.
ReplyDeleteTerima kasih .. Saudara Zony.
ReplyDeleteInteresting travelog Thks for sharing
ReplyDeleteterimakasih telah mau berkunjung dan berbagitentang sumatera barat..
ReplyDeleteSalam Hangat
Salam tuan...bagaimana prosedur untuk menyewa motosikal di padang tuan? Adakah penyewa memegang passport original?
ReplyDeleteYa. Puan Suehanna Saaid. Penyewa menyimpan passport asal.
ReplyDeleteCantek tempatnya
ReplyDelete